Thursday, September 10, 2009

Terkini: Kartika disebat selepas Hari Raya???

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bersedia meneruskan hukuman sebat ke atas seorang model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Pengarah JAIP Datuk Abdul Manan Abdul Rahman berkata pelaksanaan hukuman itu bagaimanapun bergantung kepada semakan Panel Rayuan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang dijangka selesai selepas hari raya ini.

Beliau berkata keputusan semakan itu akan diumumkan oleh Ketua Hakim Syarie Pahang Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman.

Pada 20 Julai lepas, Kartika Sari Dewi dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating, 11 Julai 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.

Bagaimanapun pada 24 Ogos lepas hukuman itu ditangguhkan bagi menghormati bulan Ramadan dan keputusan itu dikecam pelbagai pihak.

"Masyarakat tidak memahami antara sebat syarie iaitu lebih kepada mendidik dan sebat sivil yang selalu dihukum ke atas pesalah yang amat menyakitkan dan bagi kes Kartika, dia dihukum dengan hukuman sebat syarie," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bengkel Rasm Uthmani dan buku Menuju Gerbang Akhirat di Kuantan hari ini. BERNAMA

Ulasan:
Syabas diucapkan atas iltizam dan kesungguhan pihak JAIP untuk meneruskan juga hukuman sebatan kepada model sambilan ,Kartika Sari Dewi Shukarnor 32 tahun, yang telah disabitkan bersalah melakukan kesalahan meminum arak pada awal bulan Julai yang lalu. Diharapkan proses sebatan ini akan berjalan dengan licin dan lancar tanpa sebarang kontroversi lagi selepas ini. Jangan pula ada lagi masalah dan alasan seperti ketiadaan juru sebat syariah dan sebagai. Selain itu,usah dilayankan komen dan kenyataan dari golongan yang jahil,yang konon ingin menjadi jaguh dalam isu ini atas apa nama sekalipun. Kepada para pemimpin harap anda jangan memberi kongkongan dan mencampuri urusan Badan Kehakiman kerana sesungguhnya negara kita ini mengamalkan doktrin Pengasingan Kuasa..Sekian,Wassalam...Wallahua'lam...
SYARIAH ASAS KEADILAN

0 ulasan: