Thursday, September 17, 2009

Ha..Dengar Kata Pakar Undang-Undang Syariah..ni

http://akubukanyangterbaik.blogspot.com
Hukuman sebat Kartika bukan bersifat penderaan

Kebebasan hak individu perlu ditafsir ikut kehendak Islam, bukan pandangan Barat

MODEL sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno yang reda dengan hukuman sebat yang dijatuhkan terhadapnya disifatkan sebagai wanita Islam yang mematuhi perintah Allah.

Ketua Jabatan Undang-Undang Islam, Kuliah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (Aikol) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Penolong Profesor Dr Badruddin Ibrahim, berkata dalam Islam, minum arak kesalahan yang tidak boleh dipertikaikan dan hukuman sebat terhadap pesalahnya tidak boleh dipersoalkan.

Beliau berkata, setiap pihak juga mesti menghormati keputusan Mahkamah Syariah kerana institusi itu bebas daripada campur tangan.

"Keputusan mahkamah berhubung kes sebat adalah mengikut undang-undang dan tidak boleh dipertikaikan.

"Jika ada yang mempertikaikan keputusan itu, mereka perlu didakwa atas tuduhan menghina mahkamah," katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan hukuman sebat syariah terhadap peminum arak di Malaysia, di Kuala Lumpur, semalam.

Kartika, 32, didenda RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Julai lalu selepas mengaku bersalah minum arak di sebuah hotel di Cherating pada Julai tahun lalu.

Dia juga dihukum sebat tidak melebihi enam kali tetapi hukuman itu ditangguhkan bagi menghormati bulan puasa. Pelaksanaan hukum sebat terhadapnya menimbulkan polemik.

Semalam, beliau mengeluarkan kenyataan reda dengan hukuman sebat terhadapnya dan memohon ia dilaksanakan secepat mungkin.

Dr Badruddin berkata, pelaksanaan hukuman sebat tidak bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan bukan diskriminasi terhadap wanita.

Katanya, hukuman sebat mengikut undang-undang Islam terpakai tanpa mengira jantina dan bersifat kemanusiaan kerana mengambil kira keadaan pesalah dan faktor lain yang boleh memberikan kemudaratan kepada pesalah.

"Hukuman sebat ini bukan satu bentuk penderaan atau kejam, tidak berperikemanusiaan atau menghinakan.

"Ia juga tidak bertentangan dengan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita yang dianggotai Malaysia atau mana-mana konvensyen yang tidak mengikat Malaysia antaranya seperti Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1984, Waad Antarabangsa Hak-Hak Sivil dan Politik 1966 dan Konvensyen Terhadap Penderaan atau Layanan atau hukuman lain yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau menghina," katanya.

Mengenai tanggapan pendukung hak asasi manusia hukuman sebat melanggar kebebasan individu, Dr Badruddin menjelaskan menurut Islam, hak asasi manusia perlu ditafsirkan mengikut kehendak Islam.

Beliau berkata, hak individu perlu diseimbangkan dengan hak masyarakat yang inginkan keselamatan serta kesejahteraan.

Kenyataan itu disokong Dr Mohd Hisham Mohd Kamal, seorang lagi pensyarah di Aikol yang berkata, hak asasi dalam Islam termaktub dalam al-Quran dan ia dilaksanakan sejak zaman Nabi Muhammad SAW.

"Kenapa kita tidak pandang apa yang Baginda buat tetapi mengagungkan hak asasi manusia yang dicipta Barat," soalnya.

Dr Shamrahayu Abdul Aziz, yang juga pensyarah di Aikol berkata, pihak yang memainkan isu hak asasi manusia dalam kes Kartika ialah orang yang tidak memahami Islam atau mendalami undang-undang Islam.

"Kalau seseorang itu bukan Islam atau tidak memahami undang-undang Islam, jangan komen pasal Islam, jangan bincang, baik tutup mulut.

"Soal agama bersangkut paut dengan keimanan dan apabila orang luar (bukan Islam) bercakap soal keimanan kita, takkan kita nak duduk diam," katanya.

Mengenai kaedah sebatan, Dr Badruddin berkata, cara menurut Islam dan juga Enakmen Tatacara Jenayah Syariah adalah berbeza dengan kaedah sebatan yang dilaksanakan di Mahkamah Sivil.

"Kaedah sebatan secara Islam dilaksanakan oleh tukang sebat dengan menggunakan alat sebatan serta kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan si penyebat melebihi kepalanya.

"Pesalah juga dikenakan pakaian yang sempurna dan sebatan yang dilaksanakan tidak akan melukakan kulit pesalah," katanya. Bernama.(Berita Harian,17 September 2009)

Ulasan: Assalamualaikum...........
Tahniah saya ucapkan kepada ahli akademik(pakar uu syariah) kerana berani bersuara menyatakan pandangan dalam isu yang menimbulkan polemik. Semua pihak mahu mengeluarkan kenyataan hatta yang jahil,golongan yang berjuang kononnya atas nama hak asasi manusia,orang-orang perseorangan,dan pemimpin atasan yang dangkal pengetahuan agamanya. Sebahagian besarnya lebih banyak mengarut dan saya sangat bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Dr Shamrahayu Abdul Aziz:
"Kalau seseorang itu bukan Islam atau tidak memahami undang-undang Islam, jangan komen pasal Islam, jangan bincang, baik tutup mulut.
"Soal agama bersangkut paut dengan keimanan dan apabila orang luar (bukan Islam) bercakap soal keimanan kita, takkan kita nak duduk diam," katanya.
Ringkasnya,orang yang bukan ahli dalam hal ini sebaik-baiknya mengunci terus mulutnya. Jangan sesekali memberi komen dan membincang hal tersebut dan pihak wartawan pula rujuklah dan pohon komen dan pendapat daripada orang yang ahli dalam sesuatu bidang tersebut dan usaha tangkap muat memilih orang dalam sesuatu isu. Tambahan lagi,dalam isu agama,perintah Allah s.w.t dalam ayat 43 Surah An-Nahl:
وما أرسلنا من قبلك الا رجالا نوحى اليهم فسئلوا أهل الذكر ان كنتم لا تعلمون
Maksudnya: "Dan tiadalah Kami mengutus rasul-rasul sebelummu(wahai Muhammad) melainkan dari kalangan orang-orang lelaki,yang kami wahikan kepada mereka. Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui".
Ayat ini menjadi dalil bahawa orang-orang Islam yang tidak mengetahui sesuatu masalah agama hendaklah bertanya kepada alim ulama dan ahli pengetahuan.
(Rujuk no.542,muka surat 641,Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian(Rumi)JPM).
Kedua,saya sependapat dengan kenyataan Dr Badrudin Ibrahim bahawa jika ada golongan yang mempertikai keputusan itu, mereka perlu didakwa atas tuduhan menghina mahkamah. Harap pihak Bahagian Pendakwaan JAWI ambil perhatian saranan ini kerana seingat saya banyak juga pihak yang berkelakuan sedemikian dan lebih tak malu lagi sanggup hendak mencampuri bidangkuasa Badan Kehakiman yang patutnya bebas dari belenggu Badan Eksekutif dan pihak2 yang lain. Ketiga,bagi jaguh perjuang hak asasi manusia(Barat),
malulah sikit,kamu baru setahun jagung berjuangkan hal ini,dah kecoh, heboh,dan gempar negara dibuatnya ibarat ayam telur sebiji riuh sekampung.Ini nak beritahu Islam sejak 1430H telah ada acuan hak asasi manusia sendiri yang lebih baik berbanding acuan kamu yang hanya bercap ayam(Barat). Hayatilah firman Allah ini molek2:
صبغة الله ومن أحسن من الله صبغة ونحن له عبدون
Maksudnya:"Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah celupan Allah(yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam)dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah?(Kami tetap percayakan Allah)dan kepadaNya kami beribadat"(Surah Al-Baqarah ayat 138).
Sekian,wassalam.Wallahual'am.

0 ulasan: