1 Syawal 1430 Hijrah, telah hampir seminggu meninggalkan kita. Walau bagaimanapun, kehangatan dan suasana Hari Raya Eidulfitri ini masih lagi menyelubungi dan dirasai oleh masyarakat kita. Lagu-lagu raya masih diputarkan di corong radio dan dialunkan oleh para penyanyi di kaca televisyen, jamuan hari raya dan majlis rumah terbuka semakin rancak berjalan, amalan ziarah-menziarah giat dilakukan terutamanya di hujung minggu(Sabtu dan Ahad), dan pemberian sumbangan dan duit raya oleh syarikat-syarikat tertentu dan orang-orang perseorangan kepada mereka yang kurang bernasib baik turut berlaku.
Dalam keadaan kita bersuka ria dan bergembira ini, jangan pula lupa dan alpa untuk meneruskan atau mengekalkan momentum amalan yang kita lakukan sepanjang sebulan di bulan yang mulia iaitu Ramadhan Al-Mubarak. Antara amalan yang boleh kita lakukan untuk meneruskan momentum tersebut ialah melakukan ibadah berpuasa 6 hari di bulan Syawal. Paling afdhal perbuatan ini dilakukan sehari selepas kita menyambut Hari Raya Eidulfitri secara berturut-turut selama 6 hari,akan tetapi tidak menjadi kesalahan jika dilakukan secara berselang-seli asalkan dalam bulan Syawal.
Fadhilat amalan ini diterangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam satu hadith riwayat Muslim daripada Abu Ayub r.a,sabda Baginda:
من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان لصيام الدهر..........أو كما قال رسول الله(ص)..........
Maksudnya: “Barangsiapa berpuasa Ramadhan dan diikuti dengan puasa enam hari bulan Syawal maka seolah-olah dia telah berpuasa selama-lamanya”(Hadith no.1164).
Kedua,menunaikan solat lima waktu secara berjemaah di masjid sekerap yang boleh. Solat adalah tunjang dan tiang utama agama. Ia juga ibadah yang teristimewa kurniaan Allah kepada umat Islam melalui peristiwa Israk Wal Mikraj. Amalan penting yang pertama akan dihisab Allah jua diberikan tawaran hangat dan berganda jika didirikan secara berjemaah. Sabda Rasulullah s.a.w:
صلاة الجماعة تفضل من صلاة الفذ بسبع وعشرين درجة
Maksudnya: “Sembahyang berjemaah melebihi solat seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat”(Hadith Riwayat Bukhari(618) dan Muslim(650) )
Pengekalan kita melakukan solat berjemaah ini dapat menerus kesinambungan perlakuan kita semasa dalam madrasah Ramadhan. Menghadirkan diri solat berjemaah lima waktu dan solat sunat Tarawih di surau atau masjid sehingga melimpah ruah memenuhi setiap penjuru masjid. Di samping itu, perbuatan iktikaf yang dilakukan secara intensif pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan dan sebagai rutin harian sebulan Ramadhan dapat diteruskan. Dengan bersolat berjemaah di masjid kita boleh melakukan iktikaf juga,amat beruntung sekali kerana kita melakukan amalan 2 in 1.
Selain itu, mujahadah melawan hawa nafsu daripada melakukan perkara maksiat sebaiknya diusahakan seperti biasa. Bercakap yang tidak baik seperti mengumpat mencaci,mencarut,menfitnah, dan sewaktu dengannya, menonton,melakukan,menyeru dan mengajak kepada perkara maksiat semoleknya dihindari dan dijauhi. Amalan tidak merokok ketika berpuasa Ramadhan juga patut diteruskan dan adalah lebih baik berhenti daripada mengambil benda haram ini serta katakan”TAK NAK KEPADA ROKOK”.
Seterusnya,perbuatan sunat dikekalkan dan dipertingkatkan. Dengan erti kata, segala amalan perbuatan yang kita perbuatan pada bulan Ramadhan dilakukan seperti biasa sambil berusaha menambahkan lagi amalan sunat yang lain yang boleh menghampiri kita kepada Allah dan meningkatkan ketaqwaan kepadaNya.
Kesimpulannya, pengekalan momentum amalan yang dilakukan sepanjang tempoh satu semester di IPT Ramadhan perlu dikekalkan dan cuba dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Jangan hanya menjadi hangat-hangat tahi ayam dan jangan seperti gas yang keluar dari air minuman berkarbonat apabila ia dibuka serta renungkanlah bersama intipati kata-kata seorang abid : “Jangan kita menjadi golongan yang apabila tiba Ramadhan seperti wali yang beribadat dan beramalan,hampir dan mendekatkan diri kepada Allah tetapi apabila Ramadhan berlaku beliau pula ibarat syaitan yang bermaharajalela bebas melakukan apa sahaja” Wallahua’lam
Sekian,terima kasih.
“ Salam Muhasabah Diri Kepada Diri Saya Yang Dhaif Ini Dan Kepada Sahabat-Sahabat Dan Rakan-Rakan Sekelian”
apa2 aja...
13 years ago
0 ulasan:
Post a Comment