Monday, September 14, 2009

Fatwa-1

Cara pengurusan Mayat Yang Tiada Diketahui Identitinya

Agama islam itu tinggi, mulia dan tidak ada agama yang mengatasinya.


Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam :

الأسلام يعلو ولا يعلى عليه


( رواه البخارى )

Maksudnya : “ islam itu tinggi dan tidak ada yang mengatasinya.”
( Hadis riwayat Bukhari )

Dengan sebab kemuliaan dan ketinggian agama islam, maka orang-orang islam dan Negara-negara islam juga turut menjadi mulia dan mempunyai kehormatan, kerana mereka dibangsakan kepadanya. Kemuliaan dan kehormatan orang-orang islam bukan sahaja semasa hidupnya tetapi juga selepas matinya. Hatta mayat yang tidak diketahui identitinya yang dijumpai atau didapati dalam Negara islam hendaklah diurus sebagaimana mestinya berdasarkan agama mayat itu ( Islam ). Oleh kerana itu para ulama telah meletakkan asas-asas yamg kukuh bagaimana menguruskan jenazahnya, di antara dasar-dasarnya itu ialah :

“ sekiranya dijumpai tengkorak, salah satu anggota mayat atau tubuh badan mayat yang lengkap dalam negeri islam yang tidak mempunyai tanda pengenalan secara pasti adakah anggota mayat itu orang islam atau bukan islam, maka wajiblah mayat atau anggota yang dijumpai itu disempurnakan sebagaimana menyempurnakan mayat orang islam iaitu dimandi, dukafan, disembahyang dan di kebumikan di perkuburan orang islam.”

Di dalam kitab Nihayah Al-Muhtaj menyebutkan :

ولو وجد ميت مجهول أو بغضة ببلادنا صلى عليه إذ الغالب فيها الإسلام

Ertinya : “ Dan jikalau dijumpai mayat yang tidak diketahui pengenalan dirinya atau sebahagian anggotanya di negeri kita ( islam ), ia disembahyangkan , kerana yang lebih ramai di negeri itu orang-orang islam.” ( Nihayah Al-Muhtaj 2/495 )

Manakala di dalam matan kitab Asna Al-Mathalib iaitu kitab Ar-Raudh berbunyi :

ومن وجد ميتا مجهولا أو فى بلاد الاسلام صلى عليه

Ertinya : “ sesiapa menjumpai mayat yang tidak diketahui pengenalan dirinya atau anggotanya, di dalam negeri islam maka hendaklah dia menyembahyangkannya.” ( Asna Al-Mathalib 1/313 )

Di antara alasan atau ‘illah yang dikemukakan ulama mengenai perkara ini kerana orang islam lebuh ramai dan kerana kehormatan negeri islam itu sendiri. Imam As-Syubramalissi menyebutkan bahawa tidak ada perbezaan di negeri yang kebanyakannya orang-orang islam itu – sama ada di situ terdapat tanda-tanda kufur seperti salib atau pun tidak, dan hukum seperti ini berlaku kerana kemuliaan dan kehormatan negeri oran-orang islam itu. ( Nihayah Al-Muhtaj 2/495 )

Manakala Syeikh Ahmad Al-Maghribi menyebutkan bahawa jika yang dijumpai itu tergolong di bawah hukum laqith ( kanak-kanak pungut ), yang tidak di ketahui identitinya dijumpai di negeri orang kafir, tetapi di negeri itu ada juga orang islam, hendaklah mayat itu disembahyangkan. Katanya :


فحكمه حكم اللفيط ، وقضيته أنه إذا وجد بدار الكفر وفيها مسلم أنه يصلى عليه

Ertinya : “ Maka hukum mayat yang tidak diketahui atau anggotanya, adalah sama dengan hukum laqith, dan permasalahannya ialah : “ Apabila ia dijumpai dalam negeri orang kafir dan di itu ada orang islam, sesungguhnya ia adalah disembahyangkan.” ( Nihayah Al-Muhtaj dan kedua-dua Hawasyinya 2/495 )

Dengan berpandukan keterangan ulama-ulama ini, maka mayat yang dijumpai di kawasan belukar Kampong Tungku Rimba itu hendaklah disempurnakan mengikut pengurusan jenazah orang islam iaitu dimandi, dikafan, disembahyang dan dikuburkan diperkuburan orang-orang islam.

Negara asal : Brunei darussalam

Badan yang mengisu fatwa : Jabatan mufti kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darulssalam
Penulis/Ulama : Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned
Tarikh Diisu : 2000

Nota: Fatwa mufti kerajaan Brunei 2000

0 ulasan: