Thursday, September 17, 2009

Lambaian Aidilfitri-4

Amalan Dalam Menyambut Hari Raya Eidul Fitri.
Ramadhan Al-Kareem kini telah hampir tiba ke penghujungnya. Sebahagian besar umat Islam di Malaysia pada ketika ini sedang sibuk bersiap sedia membuat persiapan dan persediaan untuk menyambut hari kemenangan ini. Pulang ke kampung halaman,membeli-belah di pasaraya,membuat juadah(biskut,kueh,kek,dan sebagainya) untuk dihidangkan ke tetamu yang bakal hadir pada hari raya nanti, mengacau dodol,dan membeli barangan mentah di pasar-pasar tani FAMA. Di samping itu ada juga sebilangan yang lain yang sedar dan menghayati promosi tawaran mega yang diberikan oleh Allah s.w.t di bulan Ramadhan,mereka berasa sedih dan hiba dengan pemergiaan bulan ini dan bermuhasabah sejauhmana pencapaian mereka,adakah layak untuk dianugerahkan Pingat Takwa(PT)dari Allah s.w.t? serta bersuakah lagi mereka dengan Ramadhan pada masa akan datang.Wallahual'am.Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Sebaliknya,mereka yang mengamalkan sikap acuh tidak acuh dan tidak mengambil kisah tentang kelebihan Ramadhan, pasti berasa gembira dan berpesta dengan pemergian bulan ini. Lebih bertambah malang,hiburan yang bertentangan dengan ruh dan syariat Islam menjadi pilihan utama. Seolah-olah gambaran ini memberitahu bahawa mereka mendapat natijah "gagal" selepas mengharungi pengajian selama lebih kurang 29 atau 30 hari di Institus Pengajian Tinggi Ramadhan(IPTR).Tiba-tiba datang pula soalan: Adakah pada hari raya tak boleh bersuka ria dan berhibur? Jawapannya: bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam.
Nabi SAW juga pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :
دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد
Ertinya : "Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" ( Riwayat Al-Bukhari)
Mukmin sebenar akan merasa gembira kerana berterima kasih kepada Allah s.w.t atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan di bulan Ramadhan.
Sudah tentu mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang berganda, walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT semata. Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW :
من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ
Ertinya "Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )
Selain mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan sewaktu Ramadhan, bergembira juga atas kejayaan membina ‘benteng kukuh' dari godaan Syaitan, bukankah Nabi SAW telah menyebut bahawa "Puasa itu benteng" (Riwayat Al-Bukhari).
Jadi apa yang perlu lakukan pada hari mulia?
Antara amalan yang perlu dan digalakkan pada tersebut:-
1.Syukur(Bertahmid)
Memperbanyakkan mengucap dan menglahirkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah kerana diberi kesempatan dan peluang bertemu dengan bulan Ramadhan pada kali ini dan berupaya menamatkannya serta berdoa dan berharap agar Allah mempertemukan kita dengan bulan ini pada tahun yang akan datang.
2.Memperbanyakkan takbir, mengurangkan menonton tv,dan meninggalkan main mercun dan meriam.
Seharusnya takbir diberi keutamaan apabila memasuki malam raya,baik di mana-mana sekalipun di jalanraya, rumah,masjid,dan pasar dengan suara bernada tinggi dan nyaring.Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya. Agenda menonton tv dengan rancangan yang pelbagai sebaiknya harap dapat diminimumkan dan permainan mercun dan meriam ditinggalkan,malang tidak berbau,jangan nasib malang menjengah anda,ketika orang lain berhari raya di rumah dengan riang,sebaliknya anda terpaksa beraya di hospital dengan penuh duka dan hiba.
Firman Allah s.w.t: "Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran, dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan suapaya kamu bersyukur"(Surah Al-Baqarah ayat 186).
Pada pagi 1 Syawal...
3.Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .
Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".
4.Menjamah makanan sebelum keluar.
Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."
5.Memakai pakaian terbaik yang ada ;
Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.
Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal(kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).
6. Pergi ke masjid mendirikan solat hari raya.
Amalan ini perlu diambil perhatian khusus,usaha diremehkannya sama sekali. Jangan mudah alpa,lupa,dan mencari alasan yang tak maksud akal untuk mengecualikan diri.
7.Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;
Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari).
8.Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.
Ambillah masa ini untuk menjalinkan semula hubungan keluargaan yang mungkin telah terputus sejak sekian lama,ambil peluang ini untuk mempereratkan dan mengkukuh hubungan silaturahim dan ukhuwah Islamiyyah telah lama terjalin,yang jauh kita dekat,yang dekat kita mesrakan,yang mesrakan kita serasi dan perkuatkan agar ikat ini tidak rungkai buat selamanya. Selain itu,adab ziarah perlu diberi penekanan,jangan dilakukan amalan ziarah pada waktu yang tidak sesuai(awal pagi,saat tuan rumah dan keluarga sedang beristirehat,dan waktu lewat malam),memberi salam firman Allah:يآايها الذين آمنوا لا تدخلوا بيوتا غير بيوتكم حتى تستانيسوا وتسلموا على أهلها".
9. Bermaaf-maafan antara satu sama lain.
Setipa insan tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dan kesilapan.Hari ini boleh digunakan untuk bermaafan,andai sebelum ini terasa berat dan tidak berkesempatan. Buang dan campakanlah ego dan dendam kesumat yang lalu,usah nanti di sana(akhirat)kita akan dipersoalkan.
10.Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;
Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbala Allahu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".
Disebut dalam sebuah riwayat :
قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك
Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabballahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )
11.Memberi duit raya.
Amalan ini sangat baik dan satu kesempatan untuk kita menderma dan memberi kepada yang memerlukan dan bernasib kurang baik. Firman Allah s.w.t: ayat 261 dan 254 Al-Baqarah. Cuma terdapat kelompongan yang perlu ditambah baikkan iaitu didik kepada kanak-kanak tentang pemberian duit raya ini bukanlah sesuatu yang wajib pada sesebuah rumah yang diziarahi,tetapi mencapai matlamat ziarah yang lebih utama. Menerima dengan bersyukur atas pemberian duit raya oleh tuan rumah,pertikai dan merungut jangan ditimbulkan.
12. Rumah terbuka.
Harus dilakukan kepada yang berkemampuan. Penyertaan niat yang baik dan betul akan membuahkan pahala dari ilahi.

Kesalahan Di Hari Raya
KESILAPAN DI HARI RAYA
Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-
1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.
2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.
3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.
4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.
5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)
6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.

7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh

Wallahual'am.Semoga perkongsian yang tidak seberapa ini memberi manfaat...... Assalamualaikum......Selamat Hari Raya Eidul Fitri Minal Aidil Wal Faizin Al-Maqbullin Wa Antum Bil Khair..Taqabballahu Minna Wa Minka,Sekian,Wassalam.
http://akubukanyangterbaik.blogspot.com

0 ulasan: