Friday, September 11, 2009

Fiqh Puasa-2

PELIHARA MULUT AGAR TIDAK MEMBINASAKAN
MULUT adalah salah satu anggota ciptaan Allah yang memainkan fungsi yang penting kepada diri kita. Saban hari kita akan menggunakan mulut untuk makan,minum,berkomunikasi dengan orang di sekeliling kita seperti rakan,suami,isteri,anak,emak, dan ayah dan sebagainya.Anggota istimewa kurniaan Allah boleh memberikan dua kesan utama iaitu positif dan negatif.
Kesan positif apabila mulut digunakan untuk perkara yang baik dan memberi manfaat. Contohnya,berzikir,membaca Al-Quran,pengucapan umum(ceramah,tazkirah,debat,forum, seminar,dan lain-lain lagi),memberi nasihat, dan bercakap sesuatu yang baik. Kesan negatif pula bilamana mulut ini dijadikan senjata itu menfitnah, mengumpat,mencaci,
menghina, bercakap kotor(mencarut dan memaki hamun),semua ini menjuruskan kepada perkara yang tidak baik.Pepatah Melayu ada menyatakan "Kerana Pulut Santan Binasa Kerana Mulut Badan Binasa".Oleh itu,mulut perlu dijaga dan digunakan dengan sebaik-baiknya.
Dalam menjalani ibadah puasa Ramadhan yang sedang kita lalui ini,persoalan ini amat perlu sekali dititik beratkan dan diutamakan agar puasa yang kita ditunaikan ini mencapai tahap kelas kedua(al- khusus)sepertimana yang dinyatakan oleh Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali r.ah tentang tingkat puasa ini.Nas-nas dari Al-Quran dan Al-Hadith ada menyentuh berkenaan keperluan menjaga mulut,jangan mencemuh dan merendah-rendahkan orang,mengumpat,berkata dan berperangai kurang molek,dan memanggil seseorang dengan gelaran yang buruk.Sabda Nabi Muhammad s.a.w:
من لم يدع قول الزور والعمل به فليس لله حاجة أن يدع طعامه وشرابه
Maksudnya: Barangsiapa yang tidak meninggalkan berkata yang kurang baik(keji) dan melakukan pula dengan apa yang dikatakannya maka Allah s.w.t sama sekali tidak berkehendak(tidak menerima)perbuatannya meninggalkan makan dan minum(berpuasa).
Dari hadith ini dapat disimpulkan bahawa individu yang berpuasa tetapi masih bercakap dan berada dalam keadaan kurang molek(keji)Allah s.w.t tidak menerima amalan puasanya.Dalam erti kata mudah individu ini hanya mendapat habuan lapar dan dahaga sahaja.
Pada riwayat lain,baginda s.a.w ada menggambarkan akan situasi yang sama,akan kondisi wujudnya individu yang berpuasa tetapi malangnya mendapat penat lapar dan dahaga semata-mata.Al-Quran pula menyentuh hal bahana mulut ini dalam firman Allah s.w.t pada ayat 11 dan 12 Surah Al-Hujuraat. Ayat 11,Allah melarang perlakuan mencemuh,merendah-rendah,dan mengolok-olok satu pihak kepada satu pihak lain sama ada lelaki atau wanita serta amalan mengaibkan dan mengelarkan seseorang dengan gelaran yang tidak baik dan tidak diredha tuannya juga perlu dihindari.Jika kita lihat amalan menggelarkan ini wujud dalam masyarakat kita. Nama si anu bin si anu tapi dipanggil Botak,Gemuk,Tempang,dan sebagainya.Inilah malangnya nama pemberian ayah dan ibu dan memiliki maksud yang baik dipanggil sebaliknya.
Seterusnya,pada ayat 12 surah yang sama Allah memulakan dengan memberi amaran kepada golongan yang beriman supaya menjauhi virus suuq al-zhonn(سوء الظن)kerana sesungguhnya perlakuan tersebut adalah satu dosa.Dalam Tafsir Pimpinan Al-Rahman terbitan JPM,sangkaan yang dilarang itu ialah yang membahayakan atau yang menyusahkan. Adapun sangkaan yang bertujuan beringat dan berjaga-jaga yang tidak membahayakan atau menyusahkan orang lain,maka itu tidaklah terlarang...Wallahual'am
(Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran,JPM,m/s 1386 nota 1665).
Selain itu,perbuatan mengintip,mencari kesalahan dan keaiban orang lain,dan jangan mengumpat jua dilarang oleh Allah.
Fitnah dan mengumpat,dua gandingan secocok yang kerap kita dendangkan dalam tidak kira sedari.Walaupun begitu,kita sering tersasar dalam memahami maksud dua perkataan ini.Apa maksud fitnah dan mengumpat? Fitnah ialah sesuatu yang kita katakan atau lemparkan kepada seseorang itu tanpa asas yang kukuh dan belum tentu benarnya. Manakala mengumpat,pernyataan atau apa kita umpatkan itu mungkin benar dan mungkin juga tidak.
Kesimpulannya,mari kita menjauhi dan menghindari larangan Allah ini khusus dalam bulan Ramadhan dan bulan-bulan yang lain,agar kita tidak termasuk golongan yang hanya mendapat penat lapar,dahaga,dan dosa.
Wallahual'am..

0 ulasan: