PENGKID DAN ISU SEMASA DALAM ISLAM
Beberapa bulan yang lalu Majlis Fatwa telah mengeluarkan fatwa mengharamkan pengkid dan berikut adalah kenyataan akhbar yang telah diberikan oleh majlis tersebut:
“Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan perlakuan ‘pengkid’ atau wanita yang menampilkan diri menyamai lelaki sama ada dari segi pergaulan, tingkah laku, atau berpakaian, haram dan dilarang sama sekali. Pengerusinya yang juga Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia(USIM), Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata pengharaman itu dibuat berdasarkan perkembangan terkini di kalangan remaja perempuan yang cenderung mengamalkan cara hidup lelaki. Beliau berkata fenomena ini menjadi isu serius di kalangan anak gadis di negara ini dan ia perlu ditangani segera supaya tidak berkembang hingga sukar di atasi pada masa depan. “Majlis Fatwa mendapati isu pengkid kini semakin ketara. Remaja perempuan kini lebih gemar dengan cara hidup lelaki dari segi pergaulan, perbuatan, dan berpakaian, yang bukan saja bertentangan dengan fitrah asal, tetapi cuba menafikan hak kewanitaan. Lebih membimbangkan pengkid kini sudah melarat kepada perkara yang berkaitan seksual dengan meminati sama jenis”. Sehubungan itu, Dr Abdul Shukor meminta ibu bapa, keluarga, dan masyarakat menasihatkan golongan terbabit supaya tidak melakukan perkara yang menyalahi ajaran Islam”
(Petikan dari Akhbar Berita Harian: 24 Oktober 2008 bersamaan 24 Syawal 1429 muka hadapan dan muka surat empat)
Pengharaman budaya tomboy dan pengkid oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan kali ke -83 di Kota Bharu pada 24 Oktober 2008 baru- baru ini mendapat kritikan pedas daripada beberapa golongan masyarakat dan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO). Isu pengharaman pengkid masih panas diperkatakan dan tidak sesuai dipolemikkan. Senario penyerupaan wanita kepada lelaki ini merupakan satu realiti krisis kehilangan identiti yang amat ketara. Penyerupaan yang dimaksudkan bukan sahaja melibatkan penampilan luaran, tetapi turut mempengaruhi orientasi seksual mereka yang lebih cenderung kepada kaum sejenis. Gejala ini bukanlah sesuatu yang baru, namun jika ditelusuri susur galur asal- usulnya ia sudah lama wujud semenjak sejarah awal tamadun manusia lagi sekitar tahun 625 hingga 750 sebelum masihi. Tersebut dalam lipatan sejarah Greek purba, sudah muncul watak seorang lesbian bernama Sappho, penyair wanita yang memuja- muja kaum sejenisnya melalui nukilan bait- bait puisi. Beliau yang dianggap sebagai pengasas falsafah lesbian telah menjalin hubungan cinta dengan murid perempuannya. Kemudian kes Rosdi Ahmad atau nama sebenarnya Azizah Abd.Rahman yang menipu pegawai agama bagi menikahi wanita daripada Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan pada tahun 1996 merupakan satu kes bagaimana pengkid cuba menjustifikasi personaliti yang dimilikinya sebagai satu- satunya cara melindungi perempuan lain. Peristiwa Oktober 1996 yang membawa kepada penangkapan beliau di Klang membawa kita kepada dilema yang sama sekali lagi selepas dua belas tahun. Rosdi adalah kegemparan di bawah isu pengkid. Kini ia timbul lagi dengan pendedahan yang meresahkan. (Azlin Mohd Hamin, 2009:27).
2.4.1 DEFINISI PENGKID
Pengkid mempunyai apa yang dikatakan sebagai dual personality iaitu mempunyai karakteristik perempuan dan pada masa yang sama meniru karakter lelaki dalam segala hal. Ia dianggap oleh ahli psikologi sebagai masalah mental dan memerlukan bantuan psikoterapi bagi tujuan pemulihan (Zamri Mohamad, 2009:16).
Wanita pengkid memiliki fizikal tubuh seperti lelaki, menjalin hubungan intim dengan wanita sehingga ada di kalangan mereka yang melakukan hubungan seks, membengkung payudara, dan mengangap diri mereka seperti lelaki yang boleh melindungi pasangan wanita mereka. Ciri wanita pengkid sedikit sebanyak menyamai ciri wanita tomboi. Cuma wanita tomboi masih mempunyai perasaan terhadap lelaki dan mereka hanya meminati aktiviti lasak dan bersikap kasar seperti lelaki (Zulkifli Mohamad Al- Bakri, 2008:50).
Walaupun perwatakan tomboi dan pengkid hampir sama dari segi 'penyamarannya', tetapi yang membezakan di antara keduanya adalah naluri atau keinginan mereka terhadap pasangan. Tomboi bersikap seperti lelaki, tetapi naluri seks masih lagi seperti perempuan dan menyukai pasangan lelaki. Manakala lesbian pula berpakaian masih sebagai wanita tetapi keinginannya cenderung kepada wanita atau kaum sejenis. Oleh itu, golongan lesbian agak susah untuk dikenal pasti kerana pada zahirnya mereka sama sahaja dengan perempuan- perempuan lain.
Ketiga- tiga golongan ini mempunyai kecelaruan identiti. Secara rasionalnya, pengkid dan pasangannya lebih mudah dikategorikan sebagai lesbian kerana masing- masing sukakan perempuan yang mempunyai penampilan feminin atau menyukai perempuan berpenampilan maskulin. Menurut Profesor Madya Dr. Mariani Md. Nor, pensyarah Universiti Malaya, tomboi pula ada potensi menjadi pengkid sekiranya sentiasa bergaul dengan wanita yang boleh mendorong keinginannya meminati wanita, di tambah dengan kecenderungannya berpenampilan seperti lelaki. Tetapi jika pergaulannya cenderung bersama lelaki, kemungkinan tidak mempengaruhi seseorang tomboi itu untuk menjadi pengkid (Zalmimazura Zahari, 2009:24).
2.4.2 PENGHARAMAN PENGKID
Di kalangan para sarjana Islam,hubungan luar tabi’i yang berlaku di antara seorang wanita dengan wanita lain dinamakan sihaq atau musahaqah . ia merupakan perbuatan yang bertujuan memuaskan nafsu seks masing- masing dengan cara yang tertentu (Enakmen Undang- Undang Kanun Jenayah Syariah (11) 1993, (Hukum Hudud), Negeri Kelantan, fasal 19). Amalan sihaq atau musahaqah merupakan amalan terkutuk di dalam Islam. Tidak ada ulama’ yang mengatakan iainya sesuatu yang halal di sisi syara’. Pengharamannya merujuk kepada firman Allah di dalam surah al- Mukminun, ayat 5-6 dan sebuah Hadith Rasulullah saw yang bermaksud: seorang lelaki janganlah melepaskan nafsunya kepada seorang lelaki di dalam sehelai kain dan seorang perempuan janganlah melepaskan nafsunya kepada seorang perempuan yang lain dalam sehelai kain (Nail Authar,6:16). Maksud Hadith ini amat jelas menunjukkan pengharaman liwat dan musahaqah di antara seorang perempuan dengan pasangan perempuannya (Dr Hj. Mat Saad Abd Rahman:2008:106-107).
Menurut pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Al- Quran dan Al- Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Azwira Abdul Aziz, fatwa pengharaman pengkid tidak seharusnya dipersoalkan lagi kerana boleh dikatakan semua ulama sama ada jalur hadis atau fikah atau dari pelbagai aliran mazhab, telah sepakat mengatakan penyerupaan atau penipuan gender adalah suatu perkara yang haram. Tidak kiralah sama ada penyerupaan wanita terhadap lelaki atau penyerupaan lelaki terhadap wanita. (Zalmimazura Zahari, 2009:24).
Dari sudut hukum asal, pengharaman pengkid adalah jelas dan tiada khilaf di kalangan ulama pun. Tamadun awal kegemilangan Islam ada merakamkan kewujudan kelompok wanita menyerupai lelaki atau lelaki menyerupai wanita ini dalam beberapa hadis sahih. Baginda Rasulullah s.a.w dengan hikmahnya telah menggariskan beberapa kaedah yang proaktif dan tegas sebelum gejala negatif itu menular ke dalam masyarakat.
Pernah suatu ketika baginda berada di dalam rumah Ummu Salamah, baginda terdengar seorang mukhannah ( mak nyah) berkata kepada adik Ummu Salamah: "Sekiranya Allah memberi kemenangan kepada kamu ke atas Taif esok, nescaya aku akan tunjukkan kepadamu anak perempuan Ghailan, yang bila dilihat dari hadapan ( badannya) berbelang empat dan bila dilihat dari belakang (badannya) berbelang lapan." Mendengar kata- kata itu, Nabi s.a.w berkata: " Halau mereka (mak nyah) keluar dari rumah kamu." (al- Bukhari, no:5887 dan 6834).
Ini membuktikan syariat Islam mempunyai prinsip yang tegas bagi mengharamkan penyerupaan gender antara kaum lelaki dan perempuan. Nabi s.a.w bersabda: " Rasulullah s.a.w. melaknat lelaki yang meyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki ( Al- Bukhari, no:5435). Laknat adalah suatu hukuman yang berat bagi kesalahan yang berat pada pertimbangan syariat Islam. Lantas, tiada khilaf di kalangan ulama dalam mengharamkan kedua- dua perkara tersebut. Dengan kata lain, hukum wanita menyerupai lelaki sama haramnya dengan hukum lelaki menyerupai wanita. Bahkan tindakan tegas juga dikenakan ke atas kedua- dua mereka.
Dalam hal ini diterangkan dengan lebih lanjut oleh al- Hafiz Ibn Hajar al- Asqalani yang memetik kata- kata Ibn at- Tin yang bermaksud:" Yang dimaksudkan dengan laknat dalam hadis ini ialah penyerupaan dari segi pakaian. Adapun jika penyerupaan itu sampai ke tahap melakukan hubungan kelamin luar tabii, maka celaan dan hukuman lebih berat berbanding yang tidak sampai ke tahap itu." ( Al- Asqalani,Fath al-Bari BiSyarh Sahih al- Bukhari, 10:333).
Dalam sebuah hadis lain, Nabi s.a.w. pernah didatangi oleh seorang mak nyah yang menginaikan tangan serta kakinya, lalu baginda memerintahkan individu tersebut dibuang ke Daerah An- Naqi'( sebuah kawasan pedalaman di mana aktiviti jual beli kambing dijalankan)." Dalam hadis itu, si sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w, "Bukankah lebih baik dibunuh sahaja?" Nabi s.a.w menjawab:"Sesungguhnya aku dilarang membunuh orang yang bersolat."(Riwayat Abu Daud, No. 4928.) Tindakan buang daerah seperti yang dilakukan oleh Nabi s.a.w itu turut dilakukan oleh Khalifah Umar al- Khattab r.a terhadap beberapa individu mak nyah dan pengkid di zaman pemerintahannya. (Zalmimazura Zahari, 2009:24).
2.4.3 KESIMPULAN
Sedar atau tidak, golongan pengkid secara langsung melakukan dua jenayah iaitu jenayah syariah dan jenayah yang boleh meruntuhkan institusi keluarga. Jika tidak dibendung, gejala ini boleh membuka kepada jenayah yang lebih besar. Oleh itulah fatwa pengharaman pengkid dikeluarkan bagi menyelamatkan orang Islam, malah gejala ini juga ditolak oleh agama lain.Dalam hal ini, semua pihak memainkan peranan yang penting dalam membasmi gejala pengkid. Pelaksanaan"amar ma'ruf nahi mungkar" mesti disebarkan secara lebih menyeluruh. Implikasi buruk gejala pengkid perlu didedahkan melalui siaran media massa kerana gejala ini bercanggah dari segi nilai agama, moral, serta budaya masyarakat timur. Di samping itu, secara peribadinya penulis merasakan adalah perlu digubal dan diwujudkan satu peruntukan seksyen yang khusus kesalahan pengkid ini dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri supaya kerisauan yang dinyatakan oleh pengerusi majlis fatwa dalam sidang akhbar beliau ketika menghebahkan fatwa pengharaman pengkid tidak akan menjadi lebih parah dan menjadi satu realiti pada masa hadapan. Sepertimana yang biasa dituturkan dalam satu kata hikmah “Mencegah Itu Lebih Baik Daripada Merawat”, maka adalah berpatutan sekiranya langkah penguatkuasa melalui undang-undang dilaksanakan
(Petikan dari penulisan ilmiah "Pesalah Berulang Syariah Lelaki Berlagak Seperti Perempuan: Analisa Seksyen 72 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 Menurut Perspektif Para Pegawai Syariah Negeri Melaka Kajian Kes Di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Melaka Tengah Melaka"tulisan Mohd Zamri Abdul Hazis,2009 m/s 35-39)
apa2 aja...
13 years ago
0 ulasan:
Post a Comment