Sunday, September 13, 2009

MENJAMAKKAN SOLAT KERANA TERDESAK

Soalan; ustaz, exam saya bermula pukul 3ptg. tetapi saya telah sampai pd pukul 330ptg.saya terpaksa memasuki dewan peperiksan dgn segera tetapi saya belum melakukan solat zohor lg. Bolehkah saya melakukan jamak takhir pd kes sebegini ?

Jawapan;

Tidak sepatutnya seorang muslim melewat-lewatkan solat sehingga akhirnya terpaksa melakukannya di luar waktu. Di dalam surah al-Mukminun, Allah menyebutkan antara ciri orang mukmin ialah “Orang-orang yang menjaga solat mereka”. Menurut ulamak-ulamak Tafsir; menjaga solat bermaksud; “Menjaga waktunya di samping menjaga perbuatan solat itu sendiri (yakni melakukannya dengan sempurna)”. Ibnu Mas’ud menceritakan; Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w.; Apakah amalan yang paling disukai Allah?. Jawab Rasulullah; “Solat di awal waktu” (HR Imam al-Hakim dalam al-Mustadrak. Lihat; Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Mukminun, ayat 9).

Namun dalam kes saudara, saya bersangka baik; kemungkinan saudara tidaklah sengaja ingin melewat-lewatkan solat. Saudara mungkin keluar awal dari rumah dan bercadang mengerjakan solat berhampiran Dewan Peperiksaan, namun berlaku situasi yang tidak dapat dielakkan –kesesakan jalan raya, kenderaan rosak dan sebagainya-, menyebabkan saudara tiba lewat dan terpaksa terus masuk ke dalam Dewan Peperiksaan untuk mengelak dari dihalang mengambil peperiksaan. Jika situasi terdesak serupa itu, tidaklah kita menanggung dosa jika berlaku kelewatan solat. Sebagai jalan keluar bagi situasi terdesak seumpama itu, saudara bolehlah berpegang dengan pandangan ulamak sebagaimana berikut;

1. Imam ‘Atho’, Imam Malik dan Imam Ahmad, Qadhi Husain (bermazhab Syafi’ie), al-Mutawalli (bermazhab Syafi’ie), ar-Ruyani (bermazhab Syafi’ie) dan al-Khattabi, mereka berpandangan; “Diharuskan menjamak solat kerana uzur sakit atau kerana keuzuran-keuzuran lain yang seumpamanya”.

2. Imam Ibnu Sirin, Asyhab (bermazhab Malik), Ibnu al-Munzir, al-Qaffal (bermazhab Syafi’ie), asy-Syasyi al-Kabir (bermazhab Syafi’ie) dan Ibnu Syabramah, mereka berpendapat; “Harus menjamakkan solat ketika dalam negeri (yakni tanpa bermusafir) jika ada suatu desakan atau keperluan asalkan tidak dijadikan kebiasaan”.

Mereka berdalilkan hadis dari Ibnu ‘Abbas yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah menunaikan solat Zohor dan Asar dengan menjamakkan (kedua-duanya) di Madinah, tanpa sebab ketakutan dan juga tanpa sebab musafir” Dalam riwayat lain; “…tanpa sebab ketakutan dan tanpa sebab hujan”. Ibnu ‘Abbas ditanya; “Kenapakah baginda melakukan demikian?”. Beliau menjawab; “Baginda tidak mahu memberatkan umatnya” (HR Imam Muslim).

Jadi, bagi ulamak-ulamak di atas, menjamakkan solat diharuskan dengan tiga sebab;
1. Kerana musafir
2. Kerana hujan
3. Kerana suatu keperluan/desakan yang berlaku.
Adapun dalam mazhab Syafi’ie, menjamakkan solat tidak diharuskan kecuali kerana musafir dan hujan sahaja.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, 5/221.
2. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 2/176.
2. Dalail al-Ahkam, juz. 1, hlm. 419-420.
3. Kifayatul-Akhyar, hlm. 141-142.
4. Al-Wajiz Fi Fiqh as-Sunnah Wa al-Kitab al-‘Aziz, Dr. Abdul-Aziem Badawi, hlm. 146.

Jawapan oleh :USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

0 ulasan: