Wednesday, December 14, 2011

Peguam syarie penentu kelancaran kes syariah

Mahkamah perlu dilihat sebagai institusi berintegriti, mampu kembalikan keyakinan ummah
Oleh Musa Awang
TAHUN ini menyaksikan beberapa bangunan Mahkamah Syariah dirasmikan di seluruh negara. Pada 28 Jun lalu, Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, berkenan merasmikan Bangunan Mahkamah Syariah Tapah yang konsep dan idea luaran bangunan menyerupai Istana Kuning, Bukit Chandan.

Dalam titah perasmian, Raja Nazrin berkata, Mahkamah Syariah perlu cekap mengendalikan kes yang dibawa untuk mendapat pengadilan, termasuk tidak melayan kerenah menangguhkan kes secara sengaja kerana tindakan itu boleh menidakkan terlaksananya keadilan. Hakim, pegawai mahkamah dan peguam syarie perlu bekerjasama secara kolektif bagi memastikan prosiding mahkamah dapat berjalan lancar dan kes dibicarakan dapat diselesaikan segera. Pada 25 November lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menyeru pegawai Mahkamah Syariah khususnya hakim syarie supaya bersedia berhadapan cabaran besar dengan melengkapkan diri dalam pelbagai disiplin ilmu.

Baginda yang bertitah ketika Majlis Perasmian Bangunan Baru Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) di Shah Alam, berkata, kes di Mahkamah Syariah kini bukan membabitkan kes perceraian, juga tuntutan harta bernilai jutaan ringgit dan kes mencabar sensitiviti masyarakat.

Baginda bertitah supaya semua pihak terutama peguam syarie, pendakwa syarie dan pihak yang bertikai perlu membantu mahkamah dengan membentangkan fakta sebenar supaya keadilan dapat ditegakkan.

Mahkamah Syariah perlu dilihat sebagai sebuah institusi yang berintegriti dan berkualiti tinggi kerana ini penting dalam usaha membina keyakinan serta kepercayaan masyarakat terhadap Mahkamah Syariah.
Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan yang menelan belanja RM96 juta di Jalan Hartamas, berhampiran Kompleks Mahkamah Jalan Duta dan Masjid Wilayah Persekutuan, yang juga Mahkamah Syariah terbesar di Malaysia menjadi bukti keunggulan perundangan syariah negara.

Oleh itu, peguam syarie sebagai sahabat mahkamah juga perlu diberi pengiktirafan dan tidak dipinggirkan dalam bangunan mahkamah yang tersergam indah itu. Seperti mana di Mahkamah Sivil, bilik rehat yang selesa untuk peguam syarie sepatutnya disediakan di bangunan mahkamah.

Selain itu, sudah tiba masanya diadakan peraturan atau arahan mewajibkan pihak yang memfailkan kes di Mahkamah Syariah, terutama di Mahkamah Tinggi Syariah melantik peguam syarie sama ada swasta atau kerajaan, supaya tuntutan atau permohonan ke mahkamah dibuat mengikut prosedur.

Langkah itu juga bagi memastikan perbicaraan kes berjalan lancar dan dapat diselesaikan dengan cepat. Peguam syarie sebenarnya membantu mahkamah mengendalikan kes dengan baik dan berkesan, supaya hakim dapat menghukum dengan adil, tepat dan cepat.

Ketidakfahaman segelintir suami isteri membuat tuntutan adalah faktor utama menyebabkan sebilangan kes di Mahkamah Syariah tertangguh begitu lama. Kadang-kadang mereka tidak faham apa permohonan yang hendak dibuat semasa kes didaftarkan.

Statistik Jabatan Kehakiman Syariah Melaka menunjukkan sebanyak 24.2 peratus kes tertangguh bagi 2006 hingga 2009, berpunca daripada pihak yang bertikai tidak hadir ke mahkamah atau tidak bersedia pada tarikh pendengaran ditetapkan dan 12.65 peratus disebabkan dokumen tidak lengkap.

Pada masa sama, peguam syarie juga perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan memperbaiki akhlak serta budi pekerti mulia seperti dituntut hukum syarak.
Peguam syarie yang kurang ilmu pengetahuan syariah dan undang-undang semasa tidak akan membantu hakim menegakkan keadilan.

Peguam syarie yang tidak berakhlak dan tidak amanah bukan saja akan menyusahkan anak guam, tetapi juga menjadi halangan untuk membantu mahkamah menghukum dengan adil, tepat, cepat dan berkesan.

Adanya bangunan baru dan kemudahan diberikan, diharap peguam syarie dapat memberi kerjasama sepenuhnya untuk memastikan perbicaraan dijalankan dengan berkesan seterusnya mengurangkan jumlah kes tertunggak.

Tuesday, November 29, 2011

Tiada kesepakatan laksana fatwa kelirukan umat Islam

Oleh Musa Awang

2011/11/30
Wanita Muslim sertai ratu cantik cabar ketetapan syariah

PENYERTAAN wanita Islam pada pertandingan ratu cantik pernah menggugat ketenangan masyarakat apabila tiga gadis Melayu menyertai pertandingan itu di Selangor pada 1997. Baru-baru ini, lima wanita Islam menyertai pertandingan Ratu Cantik Borneo (MBB) 2011 di Kuching, Sarawak, walaupun sudah diberi kaunseling oleh Jabatan Agama Islam Sarawak dan mendapat bantahan pelbagai pihak. Walaupun belum ada undang-undang khusus di Sarawak yang menghalang orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik, tidak bermakna mereka boleh memperagakan aurat pada pertandingan itu. Dicadangkan supaya diwujudkan jawatankuasa penyelarasan pada peringkat kebangsaan untuk memastikan negeri yang belum mewartakan fatwa sudah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk berbuat demikian Firman Allah SWT bermaksud: “Dan katakan kepada perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan jangan memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh melainkan kepada suami atau bapa atau bapa mentua atau anak atau anak tiri atau saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan atau perempuan Islam atau hamba atau orang gaji daripada lelaki yang sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti mengenai aurat perempuan dan jangan mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubat kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur, ayat 31)

Kecantikan tubuh wanita Islam bukan untuk dipertontonkan atau dijadikan bahan pertandingan. Wanita Islam perlu memiliki sifat tawaduk dan tidak membanggakan diri. Kecantikan wanita Islam terletak pada ketaatan agama, kemuliaan hati, kelembutan tutur kata dan tindak-tanduk.

Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan untuk mengharamkan wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik pada 1997. Isu terbaru membuka mata kita walaupun selepas lebih 14 tahun fatwa kebangsaan dikeluarkan, masih ada negeri belum menerima dan mewartakan fatwa itu.

Walaupun dari sudut perundangan keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mengikat negeri untuk menerimanya, dari sudut pandangan syarak, keputusan itu suatu fatwa.
Dari sudut lain, ia menunjukkan tiada kesepaduan pendapat dalam urusan umat Islam. Perbezaan adat dan budaya tidak boleh mengubah hukum ditetapkan syarak. Dicadangkan supaya diwujudkan jawatankuasa penyelarasan peringkat kebangsaan untuk memastikan negeri yang belum mewartakan fatwa sudah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk berbuat demikian. Alasan munasabah perlu diberikan negeri yang belum mewartakan fatwa kebangsaan itu termasuk Sarawak. Mereka perlu menyemak semula semua fatwa kebangsaan yang belum diwartakan, terutama larangan ratu cantik Islam.

Suasana mutakhir ini membabitkan ancaman pihak yang menaja hak asasi dan individu secara terbuka, memerlukan tindakan segera pihak berkuasa agama. Ramai gadis terlalu ghairah memperagakan kecantikan pada pertandingan majalah dan akhbar sama ada dalam keadaan mereka mengetahui atau jahil hukum.

Dari segi penguatkuasaan, jika sudah diwartakan, orang yang melakukan tindakan bertentangan dengan fatwa itu boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang jenayah syariah negeri. Seksyen 9 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah 2001 (Ordinan 46 Tahun 2001) memperuntukkan: “Mana-mana orang yang bertindak dengan cara menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan majlis dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

Tindakan menasihatkan lima peserta terbabit adalah langkah awal yang harus dipuji. Apabila mereka masih menyertai pertandingan itu walaupun diberi nasihat, ia seperti mencabar kewibawaan pihak berkuasa agama. Maka, kajian menjadikan larangan itu dalam bentuk penguatkuasaan undang-undang perlu disegerakan bagi menyekat aktiviti itu terus berleluasa.

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia boleh dihubungi di alamat e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com

Tuesday, November 22, 2011

Sains akui kelebihan solat jemaah

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila engkau berada di tengah-tengah mereka (sahabatmu), lalu engkau hendak mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan daripada mereka berdiri (solat) bersamamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang solat beserta denganmu) sujud maka hendaklah mereka berpindah dari belakangmu (untuk menghadap musuh). (an-Nisa': 102)

SOLAT berjemaah sangat dituntut dalam Islam sehinggakan ia diperintahkan walaupun berada di medan pertempuran untuk berperang. Ini sebagaimana firman Allah SWT menerusi ayat di atas yang turunkan kepada Rasulullah semasa baginda ingin menghadapi peperangan dengan orang kafir.

Mungkin ramai yang masih meragui mengapa perlunya melaksanakan solat berjemaah sedangkan ia boleh dilakukan secara bersendiri di rumah atau di lokasi kita berada tanpa bersusah payah ke masjid ataupun surau.

Namun salah faham terhadap kemestian solat jemaah di surau dan masjid ini juga sebenarnya telah merumitkan untuk melaksanakan tuntutan tersebut sedangkan ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja walaupun hanya dua orang.

Mengerjakan solat secara berjemaah seminggu sekali pada solat Jumaat atau solat sunat raya dianggap telah mencukupi oleh sesetengah umat Islam asakan tidak meninggalkan kewajipan dalam rukun Islam kelima itu sendiri di rumah.

Solat berjemaah sering diambil mudah dan semakin kurang mendapat sambutan. Antara sebabnya, kurangnya kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap kelebihan dan manfaat yang bakal diperoleh daripada menunaikan tuntutan Allah tersebut.

Kelebihan solat berjemaah disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda baginda yang bermaksud: Solat berjemaah itu lebih afdal daripada sembahyang berseorangan dengan kelebihan 27 darjat. (riwayat al-Bukhari)

Sabda Rasulullah dalam ayat di atas menunjukkan betapa Allah melipat kali gandakan ganjaran kepada hambanya yang menunaikan solat berjemaah berbanding solat secara bersendirian walaupun ia tiada perbezaan dari segi perbuatan fizikal dan bacaan ketika solat.

Malah kelebihan serta manfaat solat berjemaah terbukti dari segi saintifik dan diakui oleh pakar sains fizik di sebuah universiti di Amerika Syarikat, Prof. John Herbert selepas membuat kajian mengenai tujuan dan kelebihan solat berjemaah.

Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr. Abdul Ghaffar Surip berkata, hasil kajian John Herbert mendapati sentuhan antara bahu jemaah ketika solat mampu menyeimbangkan cas elektrik positif dan negatif yang terdapat dalam tubuh manusia menjadikan tubuh lebih segar dan bertenaga.

"Tubuh manusia terdiri daripada dua cas elektrik iaitu cas positif dan negatif. Setiap aktiviti harian kita tidak kira bekerja, beribadat atau berehat banyak menggunakan tenaga yang menyebabkan berlakunya pertukaran cas positif dan negatif yang menyebabkan ketidakseimbangan cas tersebut di dalam tubuh.

"Ini menyebabkan tubuh berasa letih dan tidak bermaya. Oleh itu, cas ini perlu diseimbangkan semula untuk memulihkan tubuh badan kita iaitu dengan cara menunaikan solat berjemaah yang merangsang proses pertukaran cas elektrik dalam tubuh kita tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mega pada majlis penyampaian Sijil Tinggi Pengajian Sains Dakwah di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Seramai 27 peserta terdiri daripada Saudara Muslim mengikuti kursus tersebut yang dijalankan dua minggu sekali selama tiga bulan.

Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Razali Shahabudin yang turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta.

Dr. Abdul Ghaffar berkata, tubuh manusia mengeluarkan cas yang berlebihan dan cas itu akan ditarik oleh cas yang berlawanan dalam tubuh badan jemaah di sebelah kanan dan kiri.

Begitu juga proses yang sama berlaku kepada setiap jemaah. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang dan semakin segar tubuh badan kita.

Mengikut hasil kajian tersebut, proses pertukaran cas ini sangat diperlukan dalam kehidupan harian sebagaimana keperluan tidur pada setiap hari dengan sama.

Menurutnya, bilangan rakaat yang berlainan dalam setiap waktu solat adalah bertepatan dengan keperluan pertukaran cas elektrik positif dan negatif tersebut.

Solat subuh hanya dua rakaat kerana ia hanya memerlukan sedikit pertukaran cas dalam tubuh. Berlainan pula dengan solat Zuhur dan Asar yang memerlukan pertukaran cas yang banyak untuk menyeimbangkan cas dan mengembalikan tenaga dan kecergasan tubuh.

"Selepas waktu Asar pula, pada kebiasaannya kita hanya beriadah atau melakukan aktiviti ringan yang tidak terlalu banyak menggunakan tenaga di samping perbezaan masa yang diperuntukan tidak terlalu ketara.

"Oleh itu, solat berjemaah waktu Maghrib hanya sebanyak tiga rakaat mencukupi untuk menyeimbangkan cas dalam tubuh," katanya.

Walaubagaimanapun, mungkin sesetengah daripada kita keliru mengenai bilangan solat Isyak yang banyak sedangkan ia tidak jauh berbeza dengan waktu solat Maghrib.

Dr. Ghaffar berkata, menurut kajian itu, pertukaran cas yang banyak perlu bagi menyediakan cas elektrik dalam tubuh yang benar-benar seimbang dan pengumpulan tenaga yang secukupnya untuk bangun pada sepertiga malam bagi menunaikan solat sunat seperti yang dituntut dalam Islam.

"Hasil kajian saintifik tersebut menunjukkan kepada kita betapa indah dan sempurnanya amalan agama Islam sehingga setiap kewajipan yang diperintahkan kepada kita mempunyai kelebihan dan manfaat tersendiri," katanya.

Hasil kajian John Herbert itu membuka pintu hatinya dan mendapat hidayah Allah untuk memeluk agama Islam kerana tiada amalan agama lain yang selengkap dan sempurna sebagaimana ajaran Islam.

Tuesday, October 25, 2011

Persoalan hukum tepuk tangan

Oleh Muhammad Asyraf

2011/10/25
Haram ketika solat, diharus bagi meriahkan majlis

KEBIASAANNYA bertepuk tangan disaksikan ketika menghadiri majlis keramaian dan persembahan. Sudah menjadi kebiasaan majlis berbentuk Islam sunyi daripada tepukan gemuruh penontonnya. Bahkan suasana sedemikian menampakkan kesuraman sesuatu program. Apabila diteliti permasalahan ini, timbul beberapa perbahasan dalam kalangan sesetengah orang agama bahawa bertepuk tangan itu diharamkan. Ada pula mengeluarkan pendapat pelik ia boleh menyebabkan syaitan melahirkan anaknya. Bertepuk tangan di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah Malah ada yang mencadangkan jika ingin menepuk tangan maka tepuklah dengan belakang tapak tangan sebagai isyarat gantian. Persoalannya adakah ini sesuatu ditetapkan agama.

Walaupun ada dibahaskan dalam bab solat oleh ulama asy-Syafi’iyyah seperti Imam Ramli dan al-Bajuri, namun ia tidak membabitkan hukum menepuk tangan di luar solat. Maka, ada pendapat mengharamkannya berasaskan penghujahan dalil tertentu.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tiadalah solat atau ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ (siulan) dan tashdiyyah (tepuk tangan). Maka rasakan azab disebabkan kekafiran kamu.” (Surah al-Anfal ayat 35)

Pentafsir mentafsirkan ayat ini mengatakan perkataan al-muka’ (siulan) dan al-tashdiyyah (tepuk tangan) yang dimaksudkan dalam surah al-Anfal ialah perbuatan orang kafir yang mengganggu solat dan bacaan al-Quran Rasulullah serta kaum muslimin.
Tepukan dan siulan itu mendatangkan rasa tidak senang kepada Rasulullah dan orang Islam sehingga Rasulullah menegah perbuatan berkenaan. Ini pandangan paling tepat dalam menceritakan sebab turunnya ayat menurut Imam Jalaluddin as-Suyuti.

Al Qurtubi pula merujuk kepada pendapat Ibnu Abbas mengatakan, masyarakat Quraisy jahiliah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia adalah ibadat. Ini juga pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu Umar.

Merujuk sebab turun dan kisah di sebalik ayat 35 surah al-Anfal ini, jelas pengharaman tepuk tangan secara umumnya adalah kepada orang yang meniru perbuatan orang kafir dalam melakukan ibadah. Jika ibadah solat diselang-selikan dengan bertepuk tangan maka secara jelas diharamkan.

Bagaimanapun, mengharamkan hukum menepuk tangan ketika di luar solat adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya kerana ayat berkenaan tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk tangan.

Sudah jelas kepada kita bertepuk tangan dalam solat seperti orang jahiliah adalah dilarang. Namun, menepuk tangan di dalam solat dan di luar solat berbeza. Maka penyabitan hukumnya juga berbeza.

Begitu juga sebahagian pendapat mengatakan menepuk tangan diharamkan kepada lelaki berasaskan dalil hadis sahih yang bermaksud: “Barang siapa yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih (dengan berkata subhanallah). Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya (memberi perhatian). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan itu dilarang kerana termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) wanita seperti dinyatakan hadis bahawa hal semacam itu hanya khusus bagi wanita ketika memperingatkan imam yang tersilap dalam solat sementara lelaki disuruh mengingatkan imam dengan ucapan tasbih.

Hadis ini khusus mengenai bertepuk tangan dalam solat. Kes berlaku apabila seorang imam melakukan kesilapan maka makmum wanita hanya boleh menepuk tangan sebagai isyarat membetulkan imam. Ia tidak boleh menjadi dalil menegah bertepuk di luar solat seperti disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami.

Pengharaman hukum menepuk tangan dalam sesuatu majlis itu tertolak kerana masih lagi didasari dalil agak lemah. Penulis cenderung kepada pandangan beberapa ulama yang membenarkannya seperti Syeikh Atiyyah Saqr, yang mengharuskannya kerana tiada dalil mengharamkan.

Menurut kaedah fiqh Islam, asal sesuatu perkara adalah harus. Maksudnya, sesuatu perkara yang tidak diberitakan oleh syariat dipandang harus hukumnya. Namun, ia boleh menjadi haram mahupun wajib jika disertakan dalil yang menyuruh.

Pengarang kitab al-Hafl al-Zifaf fi al-Fiqh Islam, Syeikh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh, berkata tepuk tangan perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor ia dilakukan.

Hukum bertepuk tangan dalam majlis asalnya mubah (perkara diharuskan) sebab bertepuk tangan termasuk perbuatan jibiliyah (af’al jibiliyyah) yang hukum asalnya mubah, sepanjang tidak ada dalil mengharamkan.

Perbuatan jibiliyah adalah perbuatan secara alamiah (fitrah) dilakukan manusia sejak penciptaannya dan menjadi bahagian yang tidak terpisah dari sifat kemanusiaannya seperti berfikir, bercakap, berjalan, berlari, melompat, duduk, makan, minum, mendengar, melihat dan seterusnya.

Menepuk tangan itu sesuatu yang diharuskan syarak. Ia boleh menceriakan sesuatu majlis terutama bagi menggembirakan kanak-kanak. Walaupun begitu, hukumnya boleh menjadi haram apabila bertepuk tangan dalam pertunjukan hiburan yang tidak syarak, pembukaan aurat atau menghina serta mengejek orang lain.

Bertepuk tangan di luar solat sama ada di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah. Begitu juga niat orang yang bertepuk tangan untuk mengejek, menghina ataupun memuji orang yang tidak sepatutnya.

Tegakkan hukum agama atas dasar hujah dan dalil kerana agama tertegak bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah, bukannya dakwaan atau sangkaan semata-mata tanpa menilai dari mana asal usulnya.

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

Tuesday, October 4, 2011

Undang-undang jenayah Islam tangani isu sosial

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

2011/10/05
Hukuman tegas mampu didik pesalah, pelihara kehormatan diri daripada perbuatan jahat

PELAKSANAAN undang-undang jenayah Islam masih menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam menyebabkan mereka menolak pemakaian undang-undang jenayah Islam. Hikmah hukuman jenayah Islam bertujuan mencegah manusia daripada melakukan segala bentuk jenayah, sekali gus memelihara kehormatan diri dan menjaga kemaslahatan masyarakat, selain mendidik pesalah dan masyarakat umum. Contohnya, jika seseorang individu itu mengetahui hukuman mencuri ialah potong tangan, pasti dia tidak akan mencuri dengan sewenang-wenangnya.

Masyarakat tidak faham kerana kekurangan maklumat mengenai hudud yang menyebabkan timbul pelbagai persepsi negatif terhadap undang-undang ini. Hudud ialah hukum yang sudah ditetapkan Allah SWT dan umat Islam tidak boleh menolaknya.

Oleh itu, masyarakat khususnya orang Islam perlu melihat hudud dari aspek positif sebagai penyelesaian terhadap masalah sosial yang kian meruncing masa kini seperti isu pembuangan bayi, kelahiran anak luar nikah, jenayah samun, ragut, rompak serta masalah murtad dan lain-lain.

Secara asasnya, hukuman jenayah Islam terbahagi kepada tiga iaitu hudud, qisas dan takzir. Hudud berasal daripada perkataan ‘hadd’ yang bererti larangan. Hukuman hudud ditentukan oleh syarak yang mana ia tidak boleh ditambah mahupun dikurangkan hukumannya.
Jenayah yang dikenakan hukuman hudud iaitu zina, tuduhan zina, mencuri, meminum minuman memabukkan, merompak dan murtad.

Bagi kesalahan zina, hukuman yang telah ditetapkan kepada penzina yang sudah atau pernah berkahwin ialah rejam seperti disabitkan oleh sunnah, manakala bagi yang belum berkahwin, dikenakan 100 kali sebatan.

Hukuman tuduhan zina, jika yang menuduh gagal membuktikan kesahihan dakwaannya, maka dikenakan hukuman sebanyak 80 kali sebatan dan hak pesalah dari segi kesaksian turut digugurkan kecuali jika dia bertaubat.

Bagi kesalahan mencuri, hukuman yang ditetapkan ialah memotong tangan (pergelangan tangan) sementara kesalahan meminum minuman memabukkan dikenakan 40 kali sebatan berdasarkan amalan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik.

Jenayah merompak, iaitu serangan bertujuan merampas harta, membunuh atau menakut-nakutkan dengan cara terang-terangan hukumannya mengikut kategori kesalahan sama ada serangan dilakukan dengan membunuh dan merompak harta, atau membunuh saja.

Berkaitan kesalahan murtad atau keluar daripada agama Islam, sudah ditetapkan hukumannya bunuh melainkan pesalah bertaubat.

Bagaimanapun, perlu difahami hukuman tidak dikenakan dengan sewenang-wenangnya kerana pemakaian hukuman hudud berdasarkan pendakwaan dan pembuktian yang digariskan mengikut setiap kesalahan jenayah.

Pembuktian hudud sangat ketat dengan mengambil kira kriteria saksi, bilangan saksi dan aspek lain sehingga boleh membuktikan sesuatu jenayah itu berlaku. Jika pembuktian berjaya dilakukan tanpa sebarang keraguan dan setelah disabitkan kesalahan, hukuman hendaklah dilaksanakan. Namun harus diingat, pembuktian hendaklah melampaui keraguan yang munasabah bagi mengelakkan sebarang kesilapan dalam menjatuhkan hukuman. Rasulullah SAW telah bersabda bahawa: “Hudud tertolak dengan ada syubhah atau keraguan.”

Jika ada keraguan, kemungkinan hukuman yang akan dijatuhkan bukan hudud tetapi hukuman takzir. Kes zina pembuktian sangat ketat serta memerlukan empat saksi yang melihat perlakuan itu dengan syarat tertentu sebelum hukuman dikenakan terhadap tertuduh.

Enakmen jenayah syariah negeri memang ada akta kesalahan hudud seperti kesalahan minum minuman memabukkan, namun hukuman dikenakan ialah takzir atas kekangan undang-undang sedia ada.

Untuk melaksanakan hukuman hudud, pindaan undang-undang terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1988 perlu dilakukan tanpa memerlukan pindaan kepada kanun keseksaan secara keseluruhan.

Jika hukuman ini dilaksanakan beberapa kajian perlu dilaksanakan dengan teliti dari sudut pendakwaan, pembuktian, cara melaksanakan setiap hukuman, pihak yang melaksanakan hukuman (tukang sebat, orang yang memotong tangan dan sebagainya) bagi mengelakkan permasalahan serta tohmahan di kemudian hari.

Masyarakat juga perlu diberi kefahaman supaya tidak takut pelaksanaan hudud. Hukuman sebat dalam Islam berbeza dengan hukuman sebat diamalkan di Mahkamah Sivil. Semua itu perlu dijelaskan dengan terperinci supaya jenayah undang-undang Islam dapat difahami dengan jelas.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Monday, March 14, 2011

Syarat pakaian solat bersih, tutup aurat

Oleh Muhammad Asyraf

2011/03/15
Penggunaan telekung, berkain pelikat, baju Melayu kebiasaan bagi masyarakat Nusantara

ISLAM mudah dan tidak menyulitkan umatnya. Malah ia meraikan semua bangsa dan warna kulit. Budaya sesuatu bangsa itu terbentuk hasil daripada pandang nilai yang sama. Kehidupan kini jauh berbeza. Perubahan zaman dengan kehidupan lebih pantas dan luas membuatkan beberapa isu budaya perlu diubah. Masyarakat terutama wanita dilihat lebih banyak berurusan dengan situasi kerja dan urusan harian membuatkan beberapa kesukaran terjadi akibat terikat dengan budaya lampau. Pemakaian telekung adalah struktur keagamaan yang dibentuk dalam komuniti masyarakat Islam di Nusantara. Ia amat baik jika dilihat dari aspek kesempurnaan ibadat. Ulama Melayu amat teliti dalam memastikan kesempurnaan ibadat umat ketika itu. Pemilihan telekung yang longgar, lebar dan mudah disarung menjadikannya sesuai untuk semua peringkat umur dan bentuk badan. Ini bersesuaian dengan perintah Allah SWT dalam al-Quran yang menghendaki kita memakai pakaian yang baik ketika mendirikan solat seperti dalam surah al-A’raaf ayat 31 bermaksud : “Hai anak Adam, pakailah perhiasan kamu (pakaian) yang indah di setiap kali kamu (memasuki) masjid, makan dan minumlah dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” Menurut Syeikh Khatib al-Syarbini dalam kitabnya Mughni Muhtaj menguatkan pendapat daripada Ibn Abbas RA mengatakan, maksud memakai pakaian indah setiap kali memasuki masjid adalah merujuk kepada pakaian ketika solat. Ibnu Hazm pula memahami maksud ‘perhiasan’ di sini adalah menutup aurat.

Imam Ibn Kathir, memetik riwayat Imam Muslim mengatakan ayat ini adalah bantahan atas tindakan orang musyrik yang sengaja mengerjakan tawaf di Baitullah dalam keadaan telanjang. Ia juga memberi pengertian lain iaitu disunatkan menghias diri ketika menunaikan solat lebih-lebih lagi pada Jumaat dan Hari Raya. Juga disunatkan memakai wangi-wangian kerana ia termasuk daripada perhiasan.

Malah kita boleh mengenakan pakaian berjenama asalkan tidak mendatangkan rasa takabbur. Sseperti diberitahu Qatadah yang meriwayatkan daripada Muhammad Ibnu Sirin bahawa sahabat Nabi SAW Tamim ad-Dari pernah membeli rida’ (selendang atau serban) dengan harga seribu, lalu ia mengerjakan solat dengan mengenakannya.

Ulama Melayu amat bijak membentuk budaya berpakaian yang baik kepada umat Islam di Nusantara. Mereka memilih putih sebagai warna rasmi telekung. Ini bersesuaian dengan sunnah yang disukai Baginda Nabi SAW dalam memilih warna pakaian terbaik. Seperti diriwayatkan daripada Imam Ahmad dari Ibnu Abbas dalam hadis marfu’, Rasulullah SAW bersabda: “Pakailah pakaian berwarna putih. Kerana sesungguhnya ia sebaik-baik pakaian. Dan kafanilah orang yang mati di kalangan kamu dengannya.”
Pembentukan budaya pemakaian telekung membuatkan umat Islam di Nusantara agak janggal memilih pakaian berlawanan dengan adat budaya yang dibentuk sejak sekian lama. Budaya yang baik sedikit sebanyak mula mendatangkan kesan negatif kepada wanita Islam masa kini yang bergerak aktif dalam kehidupan seharian. Ini kerana pemahaman budaya itu disalahertikan wanita kini tanpa melihat aspek Islam sebenar.

Disebabkan itu muncul pelbagai alasan tidak munasabah apabila tiba waktu solat. Ada wanita mengabaikan solat apabila berada di luar rumah contohnya di pusat beli belah, tempat kerja dan sebagainya dengan alasan tidak membawa telekung. Ada juga memberi alasan telekung disediakan di masjid atau surau kotor dan berbau.

Sedangkan pemakaian telekung bukan syarat sah solat seseorang wanita. Bagaimana wanita yang berada di luar dari Nusantara? Mereka tidak pernah mengenal telekung. Disebabkan itu, ramai wanita Nusantara pelik dengan pakaian wanita Muslimah di Barat, China, India mahupun Timur Tengah.

Sebenarnya syarat dalam pakaian solat adalah cukup dengan menutup aurat dan bersih daripada sebarang najis. Bukanlah telekung berwarna putih itu menjadi syarat sahnya solat kita.

Andainya seorang wanita memakai baju kurung atau pakaian yang menepati syarat aurat, walaupun ia berwarna-warni, solatnya tetap sah. Menurut Jumhur Ulama, diwajibkan wanita dalam solat adalah memakai baju dan tudung kepala. Maka Ibnu Munzir berpendapat: “Jika kain dipakai cukup luas lalu ia menutupi kepalanya dengan kelebihan kain itu, maka ia dibolehkan.”

Aurat wanita ketika solat sama seperti aurat wanita di luar solat. Seperti batasan aurat wanita yang diguna pakai masyarakat di Malaysia dengan merujuk kepada pandangan Mazhab Syafie iaitu seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Berasaskan pandangan ini, tidak semestinya telekung saja boleh dijadikan pakaian solat. Baju kurung, jubah dan blaus juga boleh dijadikan pakaian solat walaupun ia bukan berwarna putih.

Bagi lelaki, kebersihan, kerapian dan wangian menjadikan solat mereka lebih baik pada zahirnya di sisi Allah SWT. Ini kerana situasi menghadapi Pencipta Maha Agung itu memerlukan ketrampilan berbanding berhadapan manusia.

Berpakaian elok tidak semestinya mewajibkan berkain pelekat, berjubah atau baju Melayu. Ada juga yang meninggalkan solat kerana beranggapan pakaiannya kotor dengan peluh, minyak kereta kerana bekerja sebagai mekanik atau kotor dengan lumpur kerana baru pulang dari kebun.

Sedangkan, syarat sah solat ialah pakaian hendaklah bebas najis. Kotor tidak bermaksud ia najis. Seorang dalam keadaan berpeluh selepas bersukan boleh bersolat tanpa menukar pakaian.

Dalam kitab Fathul Bari, karangan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengambil riwayat daripada Ibnu Hibban mengatakan Muawiyah Abu Sufyan bahawasanya ia bertanya kepada saudara perempuannya (Ummu Habibah): “Apakah Rasulullah pernah solat memakai pakaian yang digunakan ketika berhubungan dengan isterinya?” Ummu Habibah menjawab, “Ya, apabila Baginda tidak melihat sebarang kotoran di pakaian itu.”

Hadis ini menerangkan, selagi pakaian itu tidak jelas najis yang boleh merosakkan solat, maka sah solat. Malah remaja lelaki yang memakai seluar jeans dan berbaju pelbagai warna boleh bersolat tanpa janggal. Islam tidak menyusahkan umatnya melakukan solat. Allah lebih mengetahui keadaan hamba-Nya. Islam tidak hanya meraikan kelompok manusia yang sentiasa berada dalam kelapangan. Maka solatlah walau di mana anda berada.

Friday, March 11, 2011

Aku Ceraikan Kau

Talaq satu perkataan yang berasal daripada perkataan Arab “al-talaq”. Dari segi bahasa ia membawa maksud perpisahan dan pelepasan. Dari segi hukum syarak pula ia bererti uraian atau rombakan ikatan perkahwinan yang sah dari pihak suami dengan suatu lafaz yang khusus ataupun apa saja yang dapat memberikan maksudnya, sama ada akan berlaku pada saat itu atau pada masa akan datang.
“Aku ceraikan kau” “Aku lepaskan kau” “Kita berdua tak ada apa-apa lagi mulai hari ini”. Semua di atas adalah contoh lafaz talak sama ada berbentuk soreh ataupun kinayah. Kuasa mentalaq isteri terletak di tangan suami. Walau bagaimanapun,suami tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kuasa tersebut secara suka hati dan membabi buta. Suka dingatkan penyalahgunaan kuasa ini kelak akan mengundang padah dan boleh mewujudkan individu yang gila talaq. Sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadith yang bermaksud:
“Tiga perkara yang sungguhnya tetap sungguh,bergurau main pun dikira sungguh iaitu berkahwin,talaq,dan rujuk”.
Talaq bukanlah barang mainan,talaq bukanlah mudah-mudah dilafazkan di bibir, talaq bukan sama sekali subjek yang boleh digunakan untuk bergurau,talaq bukanlah bukti untuk menunjukkan kekuasaan, talaq bukanlah cara yang terbaik untuk melepaskan marah,dan talaq bukan juga perencah tambahan dalam pergaduhan dan pertengkaran. Ketahuilah sekalian para suami melafaz talaq memanglah mudah,namun begitu,implikasinya amat parah,kelak ada yang merana, kelak ada yang merayu dan kelak ada yang merapu tak tentu hala. Status pernikahan telah tergantung dan menjadi samar,lafaz talaq tersebut menghantui diri, tidur malam tidak lena, makan tak berselera, mandi tak basah, dan hidup tak keharuan.
Lantaran itu,berhati-hati dan berfikir dahulu sebelum melafaz talaq,ia tetap akan jatuh dalam keadaan sungguh dan bergurau. Andai telah terlajak kata, maka rujuklah perkara tersebut ke Mahkamah Rendah Syariah untuk proses pengesahan lafaz talaq. Di Sarawak, untuk proses ini tertakluk di bawah Seksyen 55 Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam 2001 Sarawak(Pendaftaran Penceraian Di Luar Mahkamah). Seksyen ini menyatakan:
(1) Walau apa pun seksyen 53,seseorang lelaki yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talaq di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah hendaklah dalam masa tujuh hari dari pelafazan talak itu melaporkan kepada Mahkamah.
(2) Mahkamah hendaklah mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada talaq yang dilafazkan itu adalah sah mengikut Undang-Undang Keluarga Islam.
(3) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa talaq yang telah dilafazkan itu adalah sah mengikut Undang-Undang Keluarga Islam, maka mahkamah hendaklah, tertakluk kepada seksyen 128;
(a) membuat perintah meluluskan perceraian dengan talaq
(b) merekodkan perceraian itu; dan
(c) menghantar salinan rekod itu kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar bagi pendaftaran.
Dari peruntukan ini dapat kita rumuskan beberapa perkara seperti berikut:
1. Sesuatu kejadian lafaz cerai luar mahkamah hendaklah dilaporkan kepada Mahkamah dengan erti kata difailkan pengesahan lafaz cerai ke mahkamah dalam tempoh masa 7 hari dari tarikh kejadian.
2. Mahkamah akan menetapkan satu tarikh dan masa untuk kes ini didengar dan dilakukan siasatan terhadap lafaz yang didakwa dan perlu diambil perhatian pihak-pihak yakni suami dan isteri wajib hadir dalam prosiding ini.
3. Setelah itu,sesudah Mahkamah melakukan siasatan dan berpuas hati,Mahkamah akan membuat keputusan sama ada lafaz tersebut sah atau tidak dari segi Undang-Undang Keluarga Islam dan Hukum Syarak.
4. Andainya talaq itu diputus sah maka individu yang melafazkan talak tersebut akan tertakluk pula kepada peruntukan seksyen 128 ordinan yang sama dan akan didakwa oleh Pihak Pendakwaan atas kesalahan jenayah syariah iaitu melafaz talaq di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah. Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Sebagai kesimpulannya,sesungguhnya talaq bukanlah barang mainan dan boleh digunakan sesuka hati.Hargailah ia dan dihindarilah ia,sesungguhnya perceraian adalah jalan pilihan yang terakhir dan bukan jalan pilihan yang pertama.Wallahua’llam.