Showing posts with label Fiqh Semasa. Show all posts
Showing posts with label Fiqh Semasa. Show all posts

Monday, December 3, 2012

Berfesyen ikut syariat

Adakah salah untuk kita berfesyen? Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya mengenakan sesuatu fesyen sama ada dalam bentuk pakaian ataupun aksesori kecantikan. Sesungguhnya Allah menyukai hamba-Nya yang menjaga keterampilan diri dan kecantikan.
Daripada Abdullah Ibnu Masud, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada sifat sombong walaupun seberat zarah. Maka berkata seorang lelaki kepada Baginda: Sesungguhnya seseorang individu itu suka jika pakaiannya baik dan kasutnya juga baik. Balas Baginda SAW: Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan. Sifat sombong melenyapkan kebenaran dan kehinaan kepada manusia.” (Riwayat Imam Muslim)
  Rasulullah SAW tidak melarang seseorang manusia itu untuk memperagakan fesyen malah Baginda menerangkan Allah itu sifat-Nya cantik dan suka akan kecantikan. Namun Rasulullah SAW melarang jika seseorang itu berfesyen dalam keadaan angkuh dan sombong kepada masyarakat sekelilingnya.
Walaupun kita diberikan kebebasan dalam memperagakan sesuatu fesyen, tidak bermakna kita boleh memakai apa saja pakaian tanpa perlu menghiraukan adab dan tata susila. Islam telah menggariskan beberapa panduan bagi seseorang Muslim mahupun Muslimah dalam berpakaian. Antara perkara yang perlu diambil perhatian dalam berfesyen ialah memastikan pakaian menutup aurat. Aurat dalam berpakaian ialah kawasan anggota yang perlu dijaga dan ditutup oleh setiap orang Islam daripada dilihat orang lain.
Tujuan utama diwajibkan menutup aurat ke atas umat Islam semata-mata untuk memelihara dirinya dan orang lain daripada perkara buruk yang menjerumuskan mereka ke lembah dosa. Aurat bagi lelaki antara kawasan pusat dan lututnya, manakala bagi wanita pula auratnya ketika bersama dengan bukan mahram adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan kedua-dua pergelangan tangannya.

Antara adab ketika berpakaian adalah memakai pakaian tidak ketat yang menampakkan bentuk tubuh terutama kepada kaum wanita.
Dalam hal ini Nabi SAW telah menyatakan seperti mana diriwayatkan Imam Muslim dalam sahihnya antara golongan akan diazab Allah dalam api neraka adalah perempuan yang disebut ‘Kaasiyat Aariyat’ iaitu wanita yang memakai pakaian mendedahkan sebahagian bentuk tubuhnya.
Ulama terkenal, Sheikh Muhammad Salih al-Uthaimin ketika mengulas hadis ini menyatakan yang dimaksudkan golongan ini antaranya perempuan yang menampakkan bentuk tubuh badan sama ada dengan pakaian ketat, jarang mahupun terdedah sebahagian tubuh badannya.
Bagi kaum lelaki juga mereka tidak digalakkan memakai pakaian ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh pada bahagian aurat mereka dan hukumnya adalah makruh seperti diterangkan Imam al-Nawawi dalam karyanya al-Majmu’.
Sesungguhnya Islam melarang umatnya daripada terikut-ikut budaya negatif masyarakat bukan Islam. Hal ini termasuklah ketika berpakaian dan memperagakan sesuatu fesyen. Nabi SAW melarang terikut-ikut budaya luar yang kadangkala mampu menggugat akidah dan akhlak umat Islam terutama dalam kalangan pemuda-pemudi.

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang terikut-ikut dengan gaya hidup sesuatu kaum maka dia termasuk dalam golongan itu.” (Direkodkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi)
Hadis ini melarang umat Islam terikut-ikut budaya luar yang bersifat negatif termasuklah dalam berpakaian. Antara ikutan negatif yang berlaku seperti memakai pakaian mempunyai gambar salib, bertindik pada anggota badan tertentu bagi kaum lelaki, melukis tatu dan lain-lain.
Inilah realiti umat Islam akhir zaman seperti dinyatakan Nabi SAW: “Sesungguhnya kamu akan mengikuti gaya hidup masyarakat selepas kamu (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak sekali pun nescaya kamu akan memasukinya.” (Hadis muttafaq alaih)
Sesungguhnya Islam melarang umatnya menyerupai golongan berlainan jantina termasuklah dalam memperagakan fesyen. Hukum lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki adalah haram kerana ia berlawanan fitrah asal penciptaan manusia dalam tingkah laku dan pemakaian.
Contohnya kaum lelaki tidak dibenarkan memakai pakaian yang menunjukkan ciri-ciri wanita seperti memakai pakaian diperbuat daripada sutera. Begitulah juga mereka ditegah daripada memperagakan tubuh badan dengan aksesori wanita seperti rantai emas, pewarna bibir dan pewarna kuku.

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita memakai pakaian lelaki.” (Direkodkan oleh Abu Daud, al-Nasaie dan Ahmad)
Nabi SAW menganjurkan kita bersederhana dalam segala perkara termasuk ketika memperagakan sesuatu fesyen. Kita perlu mengambil berat dalam memilih sesuatu fesyen yang ingin diketengahkan.
Antara larangan Nabi SAW dalam berpakaian ialah memakai pakaian yang disebut sebagai pakaian ‘syuhrah’ iaitu pakaian yang keterlaluan bentuk dan potongannya berbanding pakaian kebiasaan.
Hal ini untuk mengelakkan daripada timbulnya perasaan sombong dalam jiwa pemakai. Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang memakai pakaian ‘syuhrah’ di dunia maka Allah SWT akan memakaikannya dengan pakaian yang hina pada hari akhirat.” (Direkodkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah)
Islam tidak melarang seseorang untuk berfesyen namun perlulah mengikut seperti yang digariskan syariat Islam. Malah kita digalakkan untuk menghias diri kita secara kemas, cantik dan sederhana. Bagaimanakah niat kita berfesyen? Kita sewajibnya menghiaskan fesyen yang diharuskan syarak dengan penuh ketakwaan seperti firman Allah SWT: “Dan pakaian takwa itulah yang paling baik.”

Tuesday, October 25, 2011

Persoalan hukum tepuk tangan

Oleh Muhammad Asyraf

2011/10/25
Haram ketika solat, diharus bagi meriahkan majlis

KEBIASAANNYA bertepuk tangan disaksikan ketika menghadiri majlis keramaian dan persembahan. Sudah menjadi kebiasaan majlis berbentuk Islam sunyi daripada tepukan gemuruh penontonnya. Bahkan suasana sedemikian menampakkan kesuraman sesuatu program. Apabila diteliti permasalahan ini, timbul beberapa perbahasan dalam kalangan sesetengah orang agama bahawa bertepuk tangan itu diharamkan. Ada pula mengeluarkan pendapat pelik ia boleh menyebabkan syaitan melahirkan anaknya. Bertepuk tangan di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah Malah ada yang mencadangkan jika ingin menepuk tangan maka tepuklah dengan belakang tapak tangan sebagai isyarat gantian. Persoalannya adakah ini sesuatu ditetapkan agama.

Walaupun ada dibahaskan dalam bab solat oleh ulama asy-Syafi’iyyah seperti Imam Ramli dan al-Bajuri, namun ia tidak membabitkan hukum menepuk tangan di luar solat. Maka, ada pendapat mengharamkannya berasaskan penghujahan dalil tertentu.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tiadalah solat atau ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ (siulan) dan tashdiyyah (tepuk tangan). Maka rasakan azab disebabkan kekafiran kamu.” (Surah al-Anfal ayat 35)

Pentafsir mentafsirkan ayat ini mengatakan perkataan al-muka’ (siulan) dan al-tashdiyyah (tepuk tangan) yang dimaksudkan dalam surah al-Anfal ialah perbuatan orang kafir yang mengganggu solat dan bacaan al-Quran Rasulullah serta kaum muslimin.
Tepukan dan siulan itu mendatangkan rasa tidak senang kepada Rasulullah dan orang Islam sehingga Rasulullah menegah perbuatan berkenaan. Ini pandangan paling tepat dalam menceritakan sebab turunnya ayat menurut Imam Jalaluddin as-Suyuti.

Al Qurtubi pula merujuk kepada pendapat Ibnu Abbas mengatakan, masyarakat Quraisy jahiliah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia adalah ibadat. Ini juga pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu Umar.

Merujuk sebab turun dan kisah di sebalik ayat 35 surah al-Anfal ini, jelas pengharaman tepuk tangan secara umumnya adalah kepada orang yang meniru perbuatan orang kafir dalam melakukan ibadah. Jika ibadah solat diselang-selikan dengan bertepuk tangan maka secara jelas diharamkan.

Bagaimanapun, mengharamkan hukum menepuk tangan ketika di luar solat adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya kerana ayat berkenaan tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk tangan.

Sudah jelas kepada kita bertepuk tangan dalam solat seperti orang jahiliah adalah dilarang. Namun, menepuk tangan di dalam solat dan di luar solat berbeza. Maka penyabitan hukumnya juga berbeza.

Begitu juga sebahagian pendapat mengatakan menepuk tangan diharamkan kepada lelaki berasaskan dalil hadis sahih yang bermaksud: “Barang siapa yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih (dengan berkata subhanallah). Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya (memberi perhatian). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan itu dilarang kerana termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) wanita seperti dinyatakan hadis bahawa hal semacam itu hanya khusus bagi wanita ketika memperingatkan imam yang tersilap dalam solat sementara lelaki disuruh mengingatkan imam dengan ucapan tasbih.

Hadis ini khusus mengenai bertepuk tangan dalam solat. Kes berlaku apabila seorang imam melakukan kesilapan maka makmum wanita hanya boleh menepuk tangan sebagai isyarat membetulkan imam. Ia tidak boleh menjadi dalil menegah bertepuk di luar solat seperti disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami.

Pengharaman hukum menepuk tangan dalam sesuatu majlis itu tertolak kerana masih lagi didasari dalil agak lemah. Penulis cenderung kepada pandangan beberapa ulama yang membenarkannya seperti Syeikh Atiyyah Saqr, yang mengharuskannya kerana tiada dalil mengharamkan.

Menurut kaedah fiqh Islam, asal sesuatu perkara adalah harus. Maksudnya, sesuatu perkara yang tidak diberitakan oleh syariat dipandang harus hukumnya. Namun, ia boleh menjadi haram mahupun wajib jika disertakan dalil yang menyuruh.

Pengarang kitab al-Hafl al-Zifaf fi al-Fiqh Islam, Syeikh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh, berkata tepuk tangan perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor ia dilakukan.

Hukum bertepuk tangan dalam majlis asalnya mubah (perkara diharuskan) sebab bertepuk tangan termasuk perbuatan jibiliyah (af’al jibiliyyah) yang hukum asalnya mubah, sepanjang tidak ada dalil mengharamkan.

Perbuatan jibiliyah adalah perbuatan secara alamiah (fitrah) dilakukan manusia sejak penciptaannya dan menjadi bahagian yang tidak terpisah dari sifat kemanusiaannya seperti berfikir, bercakap, berjalan, berlari, melompat, duduk, makan, minum, mendengar, melihat dan seterusnya.

Menepuk tangan itu sesuatu yang diharuskan syarak. Ia boleh menceriakan sesuatu majlis terutama bagi menggembirakan kanak-kanak. Walaupun begitu, hukumnya boleh menjadi haram apabila bertepuk tangan dalam pertunjukan hiburan yang tidak syarak, pembukaan aurat atau menghina serta mengejek orang lain.

Bertepuk tangan di luar solat sama ada di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah. Begitu juga niat orang yang bertepuk tangan untuk mengejek, menghina ataupun memuji orang yang tidak sepatutnya.

Tegakkan hukum agama atas dasar hujah dan dalil kerana agama tertegak bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah, bukannya dakwaan atau sangkaan semata-mata tanpa menilai dari mana asal usulnya.

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

Monday, November 23, 2009

Dermalah Organ Demi Sebuah Kehidupan

“Dermalah Organ Demi Sebuah Kehidupan”
Organ ialah alat dalam tubuh badan manusia, binatang, dan tumbuh-tumbuhan yang mempunyai tugas yang penting. Dalam bahasa Arab dan Inggeris organ merangkumi organ dalaman dan organ luaran. Dengan erti kata lain, organ ialah anggota tubuh badan sama ada anggota dalaman atau luaran. Muktahir ini masalah dan isu pendermaan organ manusia menjadi perbualan dan perbincangan di kalangan pelbagai kaum dan bangsa di Malaysia serta bermacam-macam kempen, program, dan usaha yang dilaksanakan oleh pihak-pihak dan badan-badan tertentu untuk menggalakkan pendermaan organ demi memberi harapan hidup kepada golongan yang memerlukan. Saya rasa terpanggil untuk melihat perkara ini menurut sudut perspektif yang berbeza iaitu melalui perspektif Islam dan syarak berdalil Al-Quran, hadith Nabi Muhammad s.a.w, kaedah-kaedah fiqhiyyah,dan pandangan para ulama Islam dalam persoalan semasa ini.
Jika kita selusuri secara kasar ,kita akan mendapati seolah-olah masalah ini tidak berlaku perbincangan(perbahasan) di kalangan para fuqaha dahulu tetapi hakikatnya para ulama dahulu tidak membincangkan hal tersebut secara jelas. Perbincangan mereka dalam masalah berkaitan dengan organ hanya berkisar sekitar perkara yang mereka andaikan akan terjadi(fiqh taqdiry) seperti makan jasad manusia ketika darurah, potong anggota badan yang dihinggapi penyakit berjangkit, rawatan menyambung tulang yang patah, belah perut ibu yang sudah meninggal bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan atau harta yang ditelan semasa hidup, rawatan luka menggunakan tulang manusia, dan penjualan rambut anak Adam. Walaupun begitu, asas dan panduan yang mereka tinggalkan daripada perbincangan mereka yang lalu dijadikan rujukan dan garis panduan para ulama dan cendiakiawan Muslim masa kini untuk menentukan hukuman pemindahan dan pendermaan organ serta keharusan perkara demi kemaslahatan dan kebahagiaan untuk individu lain.
Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 195:
“ Dan janganlah kamu menjatuhkan(mencampakkan) dirimu sendiri ke dalam kebinasaan”.
Ayat ini jelas melarang manusia Muslim melakukan perbuatan yang boleh mengakibatkan kebinasaan diri. Contoh yang sering kita dengari ialah merokok dan menghisap dadah. Namun begitu, ayat di atas ini jika kita lihat secara analogis ia juga boleh difahami bahawa Islam tidak membenarkan manusia membiarkan dirinya dalam keadaan bahaya maut atau tidak berfungsi organ tubuhnya yang sangat penting baginya tanpa usaha penyembuhannya dengan berubat termasuk pemindahan organ dari individu yang berhati mulia yang sanggup mendermakan organnya bagi memberikan harapan kepada yang berkenaan untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.
Firman Allah yang lain:
“Dan sesiapa yang memelihara keselamatan hidup seorang manusia maka seolah-olah ia telah memelihara keselamatan manusia semuanya”
(Al-Maidah:32)
Ayat ini berbentuk umum, merangkumi setiap bentuk usaha untuk menyelamatkan nyawa seseorang daripada kebinasaan termasuklah orang yang mendermakan organnya dan para doktor yang memindahkannya kepada orang lain bagi menyelamatkannya dari binasa atau mengembalikan semula fungsi organnya sebagaimana asal yang seumpama memberi satu kehidupan kepada individu tersebut. Syeikh Mahmud Syaltut, seorang ulama kontemporari menyatakan ayat ini menunjukkan bahawa Islam sangat menghargai tindakan kemanusiaan yang dapat menyelamatkan jiwa manusia, Misalnya seorang yang menemui bayi yang dibuang ditempat sampah wajib mengambilnya untuk menyelamatkan jiwanya. Demikian pula seorang yang dengan ikhlas hati mahu menyumbangkan organ tubuhnya setelah ia meninggal maka Islam membolehkan bahkan memandangnya sebagai satu amalan perbuatan kebajikan yang tinggi nilainya, kerana menolong jiwa sesama manusia dan memberi satu sinar harapan yang baru untuk insan yang kurang bernasib baik ini meneruskan kehidupan.
Sejarah umat Islam yang terdahulu pun ada merekodkan amalan terpuji golongan Ansar yang sanggup berkorban dan melebihkan saudara mereka, golongan Muhajirin hatta ada kisah yang menyatakan wujud individu dari golongan Ansar yang rela memberikan salah seorang isterinya kepada seorang sahabat Rasulullah s.a.w(golongan Muhajirin). Perihal hal ini dinukilkan Allah s.w.t dalam firmanNya:
“Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka berada dalam keadaan kekurangan dan sangat berhajat”
(Al-Hashr:9)
Perlakuan seseorang menderma organ kepada orang lain adalah satu perbuatan mulia dan termasuk dalam konteks ayat di atas kerana pelakunya sanggup memberi sesuatu yang berharga pada diri untuk didermakan kepada golongan yang amat memerlukan pada saat genting iaitu ketika nyawa berada di hujung tanduk dan maut datang menyinggah. Daripada perlakuan itu menyerlahkan bahawa mereka ini berpegang dengan wahyu Allah dan mempraktikkan sifat mahmudah golongan Muhajirin yang sanggup mengutamakan orang lain dari diri sendiri. Selain itu, pesakit yang keselamatan nyawanya dikatakan bergantung kepada pemindahan organ, dan ada pula orang yang sanggup menderma organnya kepada pesakit berkenaan tanpa rasa bimbang berlaku kebinasaan pada diri sendiri, sudah tentu tindakan pendermaan itu termasuk dalam bab ihsan yang digalakkan oleh syarak dan menepati seruan dermalah organ demi sebuah kehidupan.
Qawaid(kaedah-kaedah) Fiqhiyyah pula yang boleh lihat dalam menjelaskan persoalan ini ialah:
1. “Kemudaratan hendaklah dihilangkan”
2. “Keadaan darurah mengharuskan yang haram”
3. “Apabila suatu perkara berada dalam kesempitan ia mewujudkan keluasan”
Kaedah-kaedah ini terbit daripada nas-nas syarak, menjelaskan bahawa syarak memberikan rukhsah(kelonggoran) kepada orang yang berada dalam situasi darurah untuk menghilangkan kemudaratan yang menimpa dan boleh dikaitkan dengan operasi pemindahan organ dan pendermaan organ kerana ia melibatkan keadaan kesukaran atau darurah kepada pesakit yang diancam maut. Manakala, apabila dibandingkan kemudaratan yang dialami oleh penderma organ dengan kemudaratan yang menimpa pesakit yang amat memerlukannya sudah tentulah kemudaratan pesakit yang terlibat lebih besar kerana itu menghilangkan kemudaratan pesakit harus diutamakan dan ini selari dengan satu kaedah fiqhiyyah yang berbunyi:
“ Apabila bertembung dua kemudaratan, hendaklah diutamakan mengelak kemudaratan yang lebih besar dengan melakukan kemudaratan yang lebih kecil”
Ringkasnya, sudah terang lagikan bersuluh bahawa sesungguhnya menderma organ adalah amalan yang terpuji, selaras dengan roh syariat Islam, dan satu perbuatan yang amat tinggi ganjarannya di sisi Allah s.w.t kerana individu tersebut melakukannya tanpa memikirkan keselesaan dan kepentingan diri sendiri malahan lebih mengambil berat dan mengutamakan diri orang lain. Tambahan lagi, timbang tara dan neraca hukum dan nas-nas syarak jelas mengharuskan amalan ini dan sekaligus menepiskan anggapan negatif orang ramai kepada perkara ini serta secara langsung menghilangkan kekaburan dan kegusaran lalu. Maka adalah molek kempen menderma organ ini dijalankan secara lebih giat dan meluas terutamanya di kalangan masyarakat negara ini berserta penerangan yang lebih lanjut dalam hal. Dermalah organ anda demi sebuah kehidupan yang lebih sempurna kepada golongan yang memerlukan. Firman Allah s.w.t:
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran(pemusuhan).
(Al-Maaidah:2)

Wallahual'am.