Wednesday, November 4, 2009

Tauliah ditetapkan Jais tak harus jadi pertikaian

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

JABATAN Agama Islam Selangor (Jais) perlu memberi dalil mengapa penceramah mesti ada tauliah. Jika tauliah menjadi persoalan, kenapa Jais tidak panggil penceramah untuk sesi temu duga supaya boleh dianugerahkan tauliah.

Malah, jika orang yang pakar dalam agama dan berpengetahuan, mengapa perlukah ‘lesen’ tauliah itu?

Inilah antara persoalan sinis dilontarkan sebilangan masyarakat berikutan tindakan Jais menahan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin kerana berceramah tanpa tauliah, baru-baru ini sehingga mengundang reaksi yang pelbagai. Mohd Asri sendiri mempertikai tindakan Jais itu kerana menganggap dirinya bukan orang asing di negara ini dan pandangan beliau boleh dibaca dalam akhbar perdana selain mengajar di Universiti Sains Malaysia (USM).

Hakikatnya, soalan bernada sinis ditimbulkan pihak yang memang tidak tahu, tidak faham atau sengaja tidak mahu faham keperluan tauliah kepada penceramah yang ingin memberi ceramah dan mengajar agama Islam terutama di Selangor.

Selain itu, ada yang mempersoalkan sama ada perlu pentauliahan bagi membolehkan penceramah mengajar agama sedangkan ilmu yang disampaikan adalah untuk kebaikan ummah.

Namun, bagi Jais yang dipertanggungjawab melaksanakan undang-undang dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, tindakan dilakukan adalah mengikut bidang kuasa diberikan atas perkenan Sultan sebagai ketua agama negeri.

Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Penerbitan Jais, Mohd Hidayat Abd Rani, berkata pentauliahan penceramah agama bertujuan memastikan hanya yang layak saja boleh berceramah atau mengajar mengenai Islam di Selangor.

Katanya, peraturan menetapkan penceramah perlu mempunyai tauliah bagi mengelakkan penyebaran ajaran bercanggah syariat atau ajaran sesat disampaikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Apabila penceramah ada tauliah, ini memberi keyakinan kepada masyarakat kerana yang menyampaikan ajaran itu adalah orang yang diiktiraf pihak berwajib. Wujudnya peraturan itu juga membolehkan penguat kuasa mengambil tindakan jika ada pihak melakukan kesalahan.

“Semua ini sudah ada dalam undang-undang pentadbiran agama di Selangor dan sudah dilaksanakan sejak dulu. Jadi, tidak sepatutnya timbul pertikaian kerana tujuan peraturan ini demi menjaga agama dan kepentingan umat Islam,” katanya kepada Berita Harian pada pertemuan di pejabatnya, semalam.

Justeru katanya, mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003, pihak yang mengajar agama Islam atau perkara mengenai Islam tanpa tauliah boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, perkembangan semasa di mana maklumat disebarkan dengan mudah dan tidak terkawal menyebabkan perlunya ada mekanisme yang dapat membantu masyarakat umum merujuk kepada pihak yang benar-benar diiktiraf.

Pada masa sama, ia juga dapat membendung gejala negatif yang boleh mendatangkan keburukan seperti kebanjiran penceramah agama tidak memiliki kelayakan atau ilmu untuk menyampaikan ajaran Islam kepada orang lain.

Merujuk Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008, syarat seseorang yang ingin memohon tauliah ialah beragama Islam daripada kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah berusia 18 tahun ke atas, berakhlak dengan akhlak Islam dan tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah.

Pemohon sekurang-kurangnya memiliki pengetahuan agama pada peringkat Empat Sanawi atau setaraf dengannya, lulus ujian bertulis atau temu duga oleh Jawatankuasa Tauliah dan mendapat kebenaran majikan.

Kategori tauliah terbahagi kepada empat iaitu tauliah ceramah umum dalam pelbagai aspek dan di mana-mana tempat; tauliah mengajar agama Islam secara berkala; tauliah mengajar al-Quran dan tauliah khas diberikan kepada penceramah jemputan.

Tempoh tauliah tidak melebihi lima tahun berkuat kuasa dari tarikh dikeluarkan dan permohonan memperbaharui tempoh tauliah perlu dibuat enam bulan sebelum tarikh tamat kerana permohonan selepas tarikh tamat dianggap sebagai permohonan baru.

Mohd Hidayat berkata, tauliah khas selalunya dimohon oleh jawatankuasa penganjur, pengurusan masjid atau penceramah sendiri yang ingin mendapat kebenaran untuk menyampaikan ceramah di Selangor.

Katanya, Pengarah Jais juga sudah mengeluarkan surat kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri dan Jabatan Mufti pada 2006 menyatakan keperluan mendapatkan tauliah atau kebenaran memberi ceramah atau mengajar agama daripada Jais.

“Oleh itu, semua pihak sudah maklum dengan peraturan ini dan tidak sepatutnya ada yang mempersoalkan jika Jais mengambil tindakan terhadap mereka yang memberi ceramah tanpa tauliah atau kebenaran. Dan janganlah kata esok nak buat program hari ini baru buat permohonan,” katanya.

Beliau berkata, seramai 1,007 penceramah berkelayakan sudah menerima tauliah dari 2006 hingga September 2009 dan masih ada yang sedang diproses permohonan mereka termasuk ingin memperbaharui tempoh tauliah.

Mohd Hidayat berkata, ada juga permohonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan dan tauliah yang digantung atau ditarik balik atas sebab melanggar syarat serta sekatan dinyatakan dalam tauliah.

Kesalahan lain menyebabkan tauliah ditarik ialah memberi ceramah umum atau mengajar agama Islam secara bertentangan dengan syariah, ceramah disampaikan mendatangkan perasaan benci atau menyebabkan perpecahan.

Selain itu, tindakan penggantungan dan menarik balik tauliah boleh dikenakan kepada pemegang tauliah yang memberi tafsiran tidak tepat, keliru atau menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar, gagal mematuhi arahan atau perintah Jawatankuasa Tauliah dan berkelakuan dengan cara mencemarkan Islam.

“Bagaimanapun, tindakan tidak diambil sewenang-wenangnya. Sebaliknya, kita akan memanggil pemegang tauliah untuk memberi peluang mereka mengemukakan alasan dan jika tindakan dikenakan, mereka ini tidak boleh memberi ceramah atau mengajar.

“Begitu juga dalam hal pengurusan masjid yang memanggil penceramah tidak bertauliah mengajar di tempat mereka. Kita akan panggil untuk mendapatkan keterangan sebelum sebarang tindakan diambil termasuk melucutkan jawatan nazir masjid jika perlu,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat umum boleh mendapatkan maklumat lengkap mengenai penceramah yang sudah menerima tauliah termasuk tarikh tamat tempoh tauliah melalui laman web Jais di alamat www.jais.gov.my.

0 ulasan: