HINDUN binti Amru berasal daripada Bani Salamah. Dia adalah adik-beradik dengan seorang sahabat Nabi Muhammad iaitu Abdullah bin Amru. Hindun mempunyai sifat berani, berilmu, tabah, dan sabar.
Dia berkahwin dengan seorang lelaki yang bernama Amru bin al-Jamuh. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Muaz, Muawiz, Khallad dan Abdurrahman.
Hindun adalah antara wanita yang masuk Islam ketika Mushab berdakwah di Madinah. Mushab dihantar oleh Nabi Muhammad bagi mengajak orang Madinah memeluk Islam.
Kedatangan Mushab ke Madinah disambut baik oleh penduduk Madinah. Hampir seluruh keluarga Hindun turut memeluk Islam kecuali suaminya. Suaminya tidak suka ahli keluarganya memeluk Islam. Bagi suaminya kedatangan Mushab ke Madinah adalah salah dan mengacau-bilau agama nenek moyang mereka.
Bagi memastikan isteri dan anak-anaknya tidak memeluk agama Islam, Amru telah menasihati mereka.
Amru berkata kepada Hindun, "Saya dapat tahu Mushab sudah mula menyebarkan agama Islam kepada penduduk Madinah".
"Saya tidak mahu awak dan anak-anak terpengaruh dengan kata-kata Mushab," sambung Amru lagi.
Agama yang baik dan benar
Hindun diam mendengar penjelasan suaminya. Kemudian Hindun berkata, "Awak sepatutnya mendengar dahulu ajaran Islam yang disampaikan oleh Mushab".
Amru pun berkata, "Tidak ada faedahnya saya mendengar ajaran Islam yang disampaikan oleh Myshab. Sudah terbukti agama nenek moyang kita lebih baik daripada agama Islam".
Amru menyentuh patung berhala yang diberi nama Manat yang terdapat di rumahnya. Patung berhala itu diperbuat daripada kayu. Hindun cuba memujuk suaminya supaya menerima ajaran Islam.
Hindun berkata, "Agama Islam adalah agama yang baik dan benar. Cuba awak dengar dahulu penjelasan dari anak awak. Anak kita sudah mendengar ajaran yang disampaikan oleh Mushab".
"Rupa-rupanya dalam diam anak kita sudah memeluk agama Islam. Anak tidak kenang budi!" kata Amru dengan nada tinggi.
"Dia mencari kebenaran dan petunjuk hidupnya," kata Hindun.
Setelah puas dipujuk oleh Hindun akhirnya Amru dengan rela hati mendengar keindahan ayat-ayat al-Quran yang dibacakan oleh anaknya. Berkat doa Hindun pintu hati suaminya terbuka dan menerima agama Islam.
Selepas Amru memeluk Islam bermakna seluruh keluarganya sudah memeluk agama Islam. Hindun adalah isteri yang tabah dalam menghadapi cabaran hidup.
Semasa Perang Uhud, suaminya yang berkaki pincang itu bersemangat ingin mengikuti Nabi Muhammad berperang di Bukit Uhud.
Anak-anaknya melarangnya kerana keadaan dirinya yang tidak mengizinkan. Namun Amru bersemangat dan berjumpa dengan Nabi Muhammad.
Amru berkata kepada Nabi Muhammad, "Wahai tuan, anak-anak saya tidak mengizinkan saya berperang d bukit Uhud. Saya ingin ikut bersama tuan. Saya ingin berjihad di jalan Allah".
Lantas Nabi Muhammad berjumpa dengan anak-anak Amru lalu berkata, "Awak semua tidak berhak melarang ayah awak ikut berperang di bukit Uhud. Semoga Allah memberikan dia syahid dalam perang Uhud ini".
Akhirnya, Amru bin al-Jamuh antara pasukan tentera Islam yang awal terkorban. Selain daripada itu anaknya yang bernama Khallad dan saudara kandungnya iaitu Abdullah bin Amru juga turut terbunuh.
Berita kematian suami, anak dan saudara kandungnya itu diterima dengan hati yang reda dan tenang. Jenazah mereka akhirnya dikebumikan di Uhud.
Sifat berani Hindun terserlah apabila dia sendiri berjihad di medan perang Khaibar. Dia telah ikut serta bersama angkatan tentera Islam bagi menentang musuh.
Hindun adalah pahlawan wanita yang sanggup bertarung nyawa demi tuhannya Yang Maha Esa. Dia pernah meminta Nabi Muhammad mendoakan dirinya.
Hindun berkata, "Wahai Nabi Muhammad, tolong doakan semoga saya dapat di tempatkan di syurga kelak".
Sepanjang hidupnya Hindun sering melakukan amal ibadah dengan ikhlas kepada Allah.
-Bicara Agama Utusan Malaysia,Selasa 17 November 2009,29 Zulkaedah 1430 Hijrah.
apa2 aja...
13 years ago