Fatwa Ulama’ dan Institusi Islam Berkenaan Yoga
Pertama : Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi
"Dan sesiapa yang mengamalkan senaman yoga-iaitu latihan pergerakan tubuh dan tidak terlintas di fikirannya unsur penyembahan, tidak juga untuk mengikuti golongan penyembah berhala, tidak juga menyerupai mereka, maka yang lebih selamat dan lebih berhati-hati ialah menjauhkan diri daripada menyerupai mereka, lebih-lebih lagi setelah mengetahui bahawa asal-usul senaman yoga yang mempunyai unsur keberhalaan, sebagai beramal dengan hadith: "Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan". Malah Islam telah melarang tegas sebarang penyerupaan dengan penyembah berhala walaupun hanya dari segi rupa dan bentuk. Oleh sebab itu Islam telah menegah solat pada waktu terbit matahari dan ketika tenggelamnya, kerana penyembah matahari menyembah matahari pada kedua-dua waktu ini. Tidak diragukan lagi bahawa larangan daripada solat pada kedua-dua waktu tersebut ialah menyekat jalan-jalan kerosakan walaupun ia tidak terlintas di benak orang yang solat untuk menyembah matahari atau menghadap ke arahnya di dalam solat".
Kedua : Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili
Beliau berpendapat pengamalan yoga adalah haram. Ini kerana adanya unsur campuran dan fokus minda kepada tuhan yang lain daripada Allah SWT. Sebaliknya dalam solat sendiri sudah wujud unsur taammul dan juga penghayatan kepada Allah SWT. Begitulah seterusnya ibadat-ibadat yang lain.
Ketiga : Fatwa Majlis Agama Islam Singapura
"Yoga adalah antara perkara-perkara bid'ah yang digolongkan ke dalam bid'ah dhalalah. Ia mengandungi unsur-unsur agama Hindu. Segala perkara yang mengandungi unsur-unsur syirik dan boleh merosakkan kepercayaan (iktikad) seperti yang menganjurkan kepada persemadian kepada yang bukan mengingati Allah adalah dilarang dan hukumnya haram".
Keempat : Fatwa Dar al-Ifta' Mesir
"Bahawa pergerakan senaman semata-mata yang bermanfaat bagi tubuh atau sebahagian anggota badan, tidak salah dan tidak haram tetapi ini tidak dinamakan yoga. Bahawa apa yang disandarkan kepada nama ini (yoga) semestinya dikaitkan dengan konsep 'guru' (mursyid), konsep cakra (titik-titik pusat) dan konsep 'energi' (tenaga tertinggi), semuanya ini konsep-konsep yang berkaitan dengan keberhalaan dan kesyirikan. Adapun hanya pergerakan semata-mata maka ia tidak dinamakan dengannya (yoga). Pemaksaan seseorang untuk menamakan pergerakan-pergerakan badan ini sebagai yoga tidak harus dari segi syara'. Ia termasuk dalam bab menamakan sesuatu dengan bukan namanya yang boleh menatijahkan penghalalan atau pengharaman sesuatu, dan ia telah pun ditegah. Rasulullah SAW bersabda: "Akan ada manusia di kalangan umatku yang meminum arak yang mereka gelarkan bukan dengan namanya". Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Abi Malik al-Asy'ari RA. Dalam riwayat al-Darimi daripada 'Aisyah r.a.h. menyebut : "Mereka menamakannya dengan selain namanya lalu menghalalkan (arak)".
Kelima : Fatwa Ustaz Mas'ud Sobri ( Islamonline )
"Hukum syara' bagi melakukan senaman ini boleh disimpulkan seperti berikut: Sesiapa yang mengamalkan yoga dan mempercayai yoga sebagai satu kepercayaan yang meningkatkan kerohanian dan diri, menyerupai aqidah agama Hindu, maka mengamalkannya adalah haram. Manakala sesiapa yang melakukan senaman yoga sebagai satu jenis senaman semata-mata yang tiada kaitannya dengan aqidah, maka hukumnya ialah harus berasaskan kepada asal yang telah diletakkan oleh jumhur fuqaha' : Bahawa asal setiap sesuatu itu harus sehingga terdapat nas yang mengharam, diiringi pula dengan niat seseorang yang melakukannya, sebagaimana yang berlaku ke atasnya kebanyakan hukum berdasarkan sabda Rasulullah SAW : "Bahawasanya setiap amalan itu dengan niat, dan setiap orang berdasarkan apa yang diniatkannya". Sebagaimana Islam mendapati banyak amalan tradisi kemasyarakatan seperti perkahwinan dengan pelbagai jenis. Lalu Islam membatalkan kesemuanya dan mengekalkan apa yang dimaklumi oleh ramai hingga ke hari ini iaitu (kebiasaan) seorang lelaki menuntut anak gadis daripada bapanya dan lain-lain bentuk tradisi kemasyarakatan dalam perkahwinan yang telah dikekalkan oleh Islam. Berdasarkan apa yang diterangkan sebelum ini, tidak mungkin dihukumkan haram ke atas pengamalan yoga, sekiranya yoga itu hanya senaman secara jasmani semata-mata, yang tiada kaitannya dengan aqidah".
Keenam : Pandangan Fatwa Islamweb.net
Yoga bukanlah hanya senaman badan semata-mata tetapi ianya ialah ibadah yang dihadapkan oleh pelakunya kepada matahari selain daripada Allah SWT. Ianya tersebar ke seluruh India sejak zaman dahulu. Nama asal bagi senaman ini dalam bahasa Sanskrit (sastanja surya nama sakar). Bermaksud sujud kepada matahari dengan lapan titik ditubuh. Bermula latihan-latihan yoga dengan kedudukan pertama yang menggambarkan penghormatan kepada yang disembah iaitu matahari. Latihan-latihan ini semestinya diiringi dengan sejumlah lafaz-lafaz yang dengan jelas menyebut tentang penyembahan matahari dan menghadap ke arahnya. Dan sekiranya ditanya: Adakah harus beramal dengan latihan-latihan ini tanpa menghadap kearah matahari dan melafazkan ucapan-ucapan yang disebutkan (mantera)? Jawapannya: Bahawa sekiranya latihan-latihan ini terlepas daripada kalimah-kalimah keberhalaan dan menghadap ke arah matahari serta tunduk dan hormat kepadanya, ianya tidak dinamakan yoga. Sebaliknya ia adalah senaman mudah yang dilakukan oleh kesemua bangsa, maka tiada larangan untuk melakukannya ketika itu, di samping memelihara dua perkara berikut:-
a. Menyalahi susunan posisi-posisi yang disebutkan dalam yoga serta memasukkan sesetengah posisi-posisi yang baru ke atasnya bagi mengelakkan unsur penyerupaan.
b. Tidak melakukannya pada waktu yang digalakkan oleh agama Hindu melakukannya seperti pada waktu terbit matahari".
Kesimpulan
Hasil daripada pembentangan pendapat dan fatwa di atas dapat disimpulkan seperti berikut:
i. Yoga ialah sejenis senaman yang bersumber dan berlatar belakangkan agama dan falsafah Hindu.
ii. Kebanyakan penganjur dan pengajar senaman yoga adalah terdiri di kalangan bukan Islam yang tidak mampu membezakan antara senaman semata-mata atau senaman yang dicampuri unsur ibadat Hindu.
iii. Posisi yang dilakukan di dalam senaman yoga, walaupun ianya tidak disertai dengan niat untuk melakukan ibadat Hindu, namun pergerakan-pergerakan tersebut sekurang-kurangnya menyerupai ibadat Hindu pada bentuknya.
iv. Senaman yang berbentuk pergerakan fizikal semata-mata tidak boleh dikaitkan dengan yoga kerana yoga mempunyai unsur-unsur keagamaan. Jika ia dikaitkan dengan yoga sudah tentu senaman tersebut mempunyai falsafah tersendiri yang akhirnya akan merujuk kepada latar belakang ia diasaskan iaitu bersumberkan agama Hindu.
v. Senaman yoga tidak boleh dikaitkan sama sekali dengan usaha bagi meningkatkan kerohanian dalam erti keagamaan seperti mendakwa ia boleh menghubungkan diri manusia dengan tuhan. Kepercayaan sebegini menyerupai tujuan yoga dalam agama Hindu.
vi. Senaman yoga yang mengandungi unsur-unsur falsafah keagamaan bukan Islam adalah dilarang dan diharamkan beramal dengannya. Manakala senaman yoga yang hanya bersifat posisi tubuh badan semata-mata perlu dijauhi bagi mengelakkan umat Islam terjebak ke dalam perkara syubhah serta penyerupaan terhadap ibadat agama lain.
Pendapat Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia ( INFAD ) :
Sebelum dikemukakan pandangan INFAD suka dinyatakan bahawa INFAD yang menjadi salah satu institut di bawah USIM berhasrat menjadi sebuah institusi penyelidikan, perundingan dan pusat pengurusan maklumat berkaitan fatwa bertaraf dunia yang terkehadapan dan berwibawa serta dikenali dan mendapat pengiktirafan semua peringkat sama ada tempatan, serantau atau antarabangsa. Antara objektifnya ialah :
i. Untuk mewujudkan Perkongsian Pintar dan dialog intelek dengan tokoh-tokoh ilmuan dan pihak yang berkenaan dari institusi-institusi fatwa dan yang berkaitan dari Malaysia atau luar negara mengenai persoalan fatwa bagi mewujudkan persefahaman dan memantapkan lagi institusi fatwa dan khidmat rundingan hukum syara’.
ii. Untuk memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung berbagai-bagai dimensi fatwa dan hubungannya dengan pelaksanaan hukum Islam dalam situasi dan lokasi masyarakat yang berbeza serta menghapus kekeliruan di kalangan mereka berhubung hukum Islam bagi mewujudkan persefahaman dan perpaduan umat Islam.
Dengan menekuni isu ini INFAD bersetuju dengan Majlis Fatwa Kebangsaan. Ini kerana beberapa hujah dan dalil.
i. Penyerupaan dengan cara ibadat bukan Islam berdasarkan hadith Abdullah Ibn Umar menceritakan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Aku diutuskan di ambang kiamat (untuk melahirkan Islam) menerusi kekuatan sehingga Allah Yang Maha Tunggal sahajalah yang disembah, tiada sekutu-Nya, di mana rezekiku dijadikan dibawah lembayung lembingku (kekuasaan Islam) dan dijadikan kehinaan dan kelemahan itu (sebagai tindak balas Allah SWT) ke atas orang yang menentang perintahku, dan siapa yang menyerupai keadaan sesuatu kaum maka dia tergolong ke dalam golongan mereka.”
( Riwayat Ahmad dan Ibn ‘Asakir )
Penyerupaan yang dimaksudkan mengikut hadith ini adalah seperti kata Abu Muhammad bin Abi Jamrah yang dinaqalkan daripada Ibn Hajar al-Asqalani : “Zahir lafaz menunjukkan ancaman terhadap sebarang perbuatan menyerupai yang lain secara umum, namun hukum setiap satu daripadanya pula diketahui menerusi dalil-dalil yang lain. Yang dimaksudkan disini pula ialah hanya larangan menyerupai dari sudut pakaian dan sebahagian sifat dan pergerakan, bukan pada perkara-perkara kebaikan”.
ii. Syeikh Nasaruddin al-Albani dalam bukunya Hukum Penyerupaan di dalam Islam berkata : “Agama Islam telahpun menggariskan suatu ketetapan bahawa seseorang penganut Islam daripada kalangan lelaki dan wanitanya tidaklah harus (terlarang) meniru atau mencontohi orang-orang bukan Islam seluruhnya sama ada dari segi ibadat, perayaan dan perhiasan yang khusus (tertentu hanya) kepada kalangan mereka sahaja.
Ini merupakan satu kaedah (konsep) yang besar dalam syariat Islam. Akan tetapi sebahagian besar umat Islam kini telah menyeleweng – sayang sekali – sehingga orang yang berperanan dalam agama dan dakwah (seruan Islam) sendiri juga terlibat.
Keadaan ini tidaklah selain disebabkan kekurangan ilmu mengenai Islam itu sendiri dan sikap suka menuruti keinginan hawa nafsu dan hanyut dek arus kemodenan. Juga disebabkan sikap suka meniru-niru orang dari Barat atau Timur dimana ianya mengakibatkan kehinaan, kelemahan dan kejatuhan orang-orang Islam sendiri. Malah berlakunya kekuasaan orang-orang asing dan wujudnya penjajahan ke atas umat Islam sekiranya mereka sedar.
iii. Pengharaman yoga juga berdasarkan kepada sad al-zariah. Ini kerana menyekat dan memelihara lebih baik daripada merawat. Dalam bahasa yang lain boleh jadi dengan membiarkan begitu sahaja akan terhakis akidah umat Islam yang mengamalkannya.
iv. Begitu juga dengan kaedah “Apa yang membawa kepada haram, maka hukumnya haram.” Kaedah ini jelas menunjukkan berlakunya tasyabbuh dan seruan yang lain selain Allah SWT. Justeru, pengharamannya adalah amat sesuai.
Cadangan
Dicadangkan kepada pengamal amalan ini supaya dihentikan dan digantikannya dengan alternatif yang lain antaranya :
i. Sebenarnya Islam kaya dengan amal ibadat yang merangkumi di dalamnya konsep Tama’ninah atau ketenangan. Ini seperti solat jika dilakukan dengan khusyu’ dan zikir jika dihayatinya sudah pasti menatijahkan ketenangan yang mutlak sepertimana yang ditegaskan oleh nas Ilahi.
ii. Boleh mencari alternatif senaman lain seperti taichi, silat dan lain-lain.
Penutup
Sebenarnya isu seperti ini bukanlah menjadi gawat jika semuanya berlapang dada dan menekuni isu dan masalah yang dikemukakan berdasarkan dalil-dalil dan hujah syara’ dengan bersungguh-sungguh. Majlis Fatwa Kebangsaan yang dianggotai oleh ashab al-Samahah mufti-0mufti dan ashab al-Fadilah tokoh ulama’ hendaklah dihormati sekalipun tidak diletakkannya sebagai ma’sum atau muqaddas tetapi kesungguhan mereka dalam berijtihad secara jamai’ dan meneliti nas-nas amat wajar diberi penghormatan dan dipatuhi. Kalau berlaku ketidakpuasan hati sewajarnya dirujuk kepada para ulama’ yang berwibawa supaya isu ini dapat diterima oleh semua pihak. Yang penting umat Islam dapat memantapkan lagi institusi fatwa dan mematuhinya.
Bibliografi
i. Glosari Usul Fiqh. 1992. Kuala Lumpur : Penerbit Dewan Bahasa Dan Pustaka.
ii. Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1996. Usul Fiqh al-Islami. Beirut. Dar al-Fikr al-Maasir. Jilid 2.
iii. Linah Himsi, 1996. Tarikh al-Fatwa Fi al-Islam wa Ahkamuha al-Syariah, Damsyik : Dar al-Rasyid, Tarikh Fatwa.
iv. Sa’di Abu Jaib. 1988. Al-Qamus al-Fiqh al-Lughah wa Istilahan. Cetakan 2. Damsyik : Dar al-Fikr.
v. Yusuf Qardhawi. 1999. Fatwa Antara Ketelitian Dan Kecerobohan. (Terjemahan) Cetakan 3, Kuala Lumpur : Terbitan Thinker’s Library Sdn. Bhd.
vi. Muhammad Salam Madkur, 1969, al-Madkhal li al-Fiqh al-Islami, Mesir : Dar al-Nahdhah al-Arabiah.
vii. Nur Naemah Abd. Rahman. 2001. “Fatwa dan Realitinya Pada Zaman Rasulullah SAW” Jurnal Syariah, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya. Jilid 9.
Disediakan oleh :
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Timbalan Pengarah
Institut Pengurusan Dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Country Of Origin : Malaysia
State : Negeri Sembilan
Author/Scholar : DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Date Of Issue : 05/01/09
apa2 aja...
13 years ago
0 ulasan:
Post a Comment