Wednesday, November 11, 2009

BIODATA MUFTI NEGERI MELAKA YANG KETIGA



DATUK SHEIKH HJ. MD. YUNUS BIN HJ. MOHD. YATIM-Tempoh perkhidmatan : 1979M- 1996M

DATUK SHEIKH HJ. MD. YUNUS BIN HJ. MOHD. YATIM dilahirkan di Kampung Kandang, Batu 5 Melaka pada 21.12.1929. Beliau merupakan anak yang ketujuh dari dua belas adik beradik. Bapanya bernama Haji Mohd. Yatim bin Haji Mohamad Zin, berasal dari Bukit Lintang, Melaka juga merupakan Imam Masjid Kandang. Ibunya bernama Hajjah Sikmah binti Saeman berasal dari Kampung Kandang, Batu 5 Melaka.

Datuk Sheikh Hj. Md. Yunus mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kandang hingga darjah enam, kemudian menyambung pelajaran di Sekolah Al-Khairiyah Air Molek selama satu tahun. Menyambung pelajaran ke Sekolah Al-Nurian Paya Rumput, Sungai Udang, Melaka selama dua tahun.

Beliau meneruskan pelajaran di Sekolah Al-Mashyor Pulau Pinang selama dua tahun. Kemudian berangkat ke Mesir memasuki Universiti Al-Azhar selama enam tahun sehingga memperolehi Ijazah Al-Aliya (BA) Al-Alalamiah (MA) Jurusan Syariah dan Kanun. Balik ke Melaka pada tahun 1959 menjadi Kerani Seranta dan telah mendirikan rumah tangga dengan Hajjah Kalsom binti Haji Abdul Wahab dan dikurniakan dengan dua orang cahayamata. Tahun 1968 beliau dilantik menjadi Kadi Tetap, tahun 1972 memangku Kadi Besar Melaka dan tahun 1974 menjadi Kadi Besar Wilayah Persekutuan selama enam tahun. Pada 16.8.1979 dilantik menjadi Mufti Negeri Melaka.

Pada tahun 1984 beliau bersara dan menyambung jawatan Mufti secara kontrak dari satu tahun ke satu tahun hingga 28.2.1996. Beliau dikurniakan Darjah Kebesaran oleh Kerajaan Persekutuan (KMN) dan (JSM). Kerajaan Negeri Melaka pula telah mengurniakan Darjah Kebesaran (DMSM). Beliau mengajar di Masjid-Masjid Negeri Melaka dan juga memberi ceramah agama di merata tempat selain dari Negeri Johor, Wilayah Persekutuan dan lain-lain tempat. Banyak menulis rencana dan risalah-risalah agama.
-Sumber Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Melaka.

1 ulasan:

Annuar said...

Macam mana nak berhubung dengan ahli keluarga Tuan Guru Mufti?