Tuesday, November 10, 2009

Ilmu Pusaka Islam(Faraid)-Siri 2

Kedudukan Ilmu Faraid Dalam Islam

Bilamana membicarakan akan perihal ilmu faraidh,kita tidak dapat lari daripada membahaskan akan kedudukan ilmu ini dalam Islam. Dalam syariat Islam, kedudukan hukum-hukum berkaitan pusaka amat jelas. Ini kerana hukum-hukum ini mengambil bahagian yang besar dalam sistem harta Islam. Tambahan lagi,kebanyakan hukum-hukum didatangkan melalui nas-nas Al-Quran yang bersifat qatie. Bahkan ada dikalangan sebahagian ulama berkata:"Ilmu Faraidh adalah ilmu yang paling mulia. Maksud mereka ialah ilmu yang paling utama selepas ilmu asas agama iaitu tauhid dan ilmu yang berkaitan akidah Islam.

Galakan Mempelajari Ilmu Faraidh Dan Mengajarnya.

Baginda Rasulullah s.a.w memberi galakan dan perangsang kepada umat islam agar mempelajari ilmu pusaka ini. Di samping itu,Baginda s.a.w juga memberi amaran agar umat Islam tidak mengabaikan ilmu ini,sabda Rasulullah s.a.w:
تعلموا الفرائض وعلموها الناس فاني امرؤ مقبوض وان العلم سيقبض وتظهر الفتن حتى يختلف الاثنين فى الفريضة لا يجدان من يقضي بها
Maksudnya: Pelajarilah ilmu faraid dan ajarlah kepada orang lain. Sesungguhnya aku akan mati,ilmu ini juga akan mati dan akan berlaku kacau-bilau. Sehingga apabila dua orang bertelingkah kerana harta pusaka,mereka tidak menemui sesiapa yang boleh menyelesaikan kes mereka.(H.R Al-Hakim,Al-Baihaqi,dan Abdullah Ibnu Masud r.a).

تعلموا الفرائض وعلموها فانه نصف العلم وانه ينسى وهو أول ما ينزع من أمتى
Maksudnya: Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah dia, kerana sesungguhnya itu separuh ilmu, yang akan dilupakan orang dan yang mula-mula akan dicabut dari umatku.(H.R Al-Hakim dan Al-Baihaqi dari Abi Hurairah r.a).
Ilmu faraid disebut sebagai setengah daripada ilmu kerana manusia ini terbahagi kepada dua keadaan:
Keadaan hidup dan keadaan mati.Keadaan hidup berkaitan dengan sembahyang,zakat,dan sebagainya.Sementara keadaan mati berkaitan dengan pusaka,wasiat,dan sebagainya.
Dalam Buku Sistem Pengagihan Harta Pusaka Islam,frasa separuh dari ilmu bermaksud separuh daripada ilmu yang berkaitan dengan harta pusaka seperti wasiat,hibah,wakaf dan bukannya bermaksud separuh dari ilmu agama Islam.

Hukum Mempelajari Dan Mengajarkannya.


Hukumnya ialah fardhu ain dan fardhu kifayah pada pihak yang lain. Jika tiada seorang pun yang boleh melaksanakannya maka semua orang Islam akan menanggung dosanya. Meninggalkan ilmu faraidh ini tidak ubah seperti juga meninggalkan kewajipan-kewajipan fardhu kifayah yang lain. Sandaran wajib belajar dan mengajar berdasarkan dua hadith di atas yang lalu.

Ambil Beratnya(Perihatinya)Para Sahabat dan Para Fuqaha Terhadap Ilmu Faraid.

Para sahabat amat mengambil berat terhadap ilmu faraid sama ada pembelajarannya atau pengajarannya.Umar Ibnu Khattab r.a sendiri pernah berkata: Pelajarilah ilmu faraid kerana ia sebahagian daripada agama kamu.Terdapat beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w yang khusus mempelajari ilmu ini dan mereka menguasainya melebihi orang lain. Mereka adalah seperti Ali bin Abu Thalib, Abdullah bin Abbas,Abdullah bin Masud, dan Zaid bin Thabit r.a. Malah Rasulullah s.a.w sendiri mengakui akan kepakaran Zaid bin Thabit r.a dalam disiplin ilmu ini. Sabda Baginda:
"Orang yang paling arif tentang ilmu faraid ialah Zaid Ibnu Thabit r.a"
(H.R Tirmidhi,Ibnu Majah, dan Ahmad).
Umar r.a pernah menyatakan sesiapa yang ingin bertanya tentang faraid,dia hendaklah menemui Zaid bin Thabit. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a, beliau berkata pada hari kematian Zaid:"Hari ini seorang ilmuwan Madinah telah meninggal dunia".
Selain itu,para tabin juga mengambil berat tentang ilmu faraid sebagaimana para sahabat.Mereka sentiasa berusaha mempelajari dan mengajarnya. Antara mereka yang masyhur ialah tujuh orang ulama yang terkenal iaitu Said bin Al-Musayyib, Urwah bin Az-Zubair,al-Qasim bin Muhammad, Kharijah bin Zaid, Abu Bakar bin Harith bin Hisyam,Sulaiman bin Yasar, dan Ubaidullah bin Abdullah bin Utbah bin Masud. Setelah itu,usaha murni ini diteruskan oleh para tabin,itba tabin,dan para ulama islam yang seterusnya termasuk para ulama mazhab muktabar yang empat dan sehingga ke hari ini. Semoga Allah sentiasa memberikan yang selayaknya atas usaha murni mereka dan mengurniakan mereka syurga yang luas serta memberi hidayah kepada kita agar mengikut jalan dan petunjuk mereka,meneruskan kesinambungan mempelajarinya dan mengajarkannya.

Rujukan
1.Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji Jilid 5(Wakaf,Wasiat,dan Faraid),Dr Mustofa Al-Khin,Dr Mustofa Al-Bugha,dan Ali Asy-Syarbaji halaman 1071-1073
2.Sistem Pengagihan Harta Pusaka Islam, Tan Sri Hj Ibrahim bin Lembut,halaman 5-6.

0 ulasan: