Diarah sara ibu bapa sepanjang hayat.
Pensyarah, suami juga mesti tunai lima tuntutan lain
SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam memerintahkan seorang pensyarah universiti yang berkelulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dan suaminya memberi nafkah kepada ibu bapanya sepanjang hayat.
Hakim Mohd Nadzri Abdul Rahman Ibrahim, juga memerintahkan Raja Suzana Kassim, 39, dan suaminya, Zulazli Hashim, 43, memenuhi lima tuntutan lain yang difailkan Kassim Othman, 74, dan isterinya, Fatimah Salleh, 66, iaitu membenarkan mereka sepanjang hayat tinggal di sebuah rumah di Kampung Jiboi Baru, Ampangan.
Mahkamah turut memerintahkan pasangan warga emas itu diberi kebebasan bergerak dan melakukan aktiviti dalam rumah itu serta kawasan persekitaran; diberi kebebasan dilawati anak lain pada bila-bila masa sepanjang hayat; menghormati dan menjaga kebajikan mereka serta membiayai mereka mengerjakan haji.
"Saya juga memerintahkan defendan pertama membayar nafkah RM500 sebulan, iaitu RM250 kepada plaintif pertama (Kassim) untuk membayar bil utiliti dan kos penyelenggaraan kawasan rumah serta RM250 kepada plaintif kedua (Fatimah) untuk kos perbelanjaan harian pada setiap akhir bulan sepanjang hayat mereka.
"Saya fikir bayaran nafkah itu mencukupi untuk pasangan warga emas seperti mereka kerana anak lain juga perlu bertanggungjawab menanggung mereka. Perintah ini berkuat kuasa serta-merta," katanya dalam penghakiman ringkas kes itu.
Bagaimanapun, hanya Zulazli hadir ketika hakim membacakan keputusan itu. Raja Suzana, anak kelima daripada lapan beradik tidak hadir kerana mahkamah diberitahu peguamnya, Norzaini Nordin, bahawa anak guamnya terpaksa mengendalikan peperiksaan akhir semester penuntutnya.
Pada April 2007, Kassim dan Fatimah yang diwakili Haniff Hassan, memfailkan enam tuntutan termasuk nafkah sepanjang hayat daripada anak perempuan dan menantunya kerana didakwa memungkiri janji dan mengusir mereka dari rumah yang dipindah milik kepada anak dan menantunya itu.
Pada 1993, Raja Suzana serta Zulazli mendirikan rumah tangga dan pada 2002, Kassim memindah pemilikan tanah kepada defendan selepas mereka berjanji, antara lain menanggung nafkah plaintif selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-dua plaintif tinggal di rumah itu.
(Berita Harian,Khamis, 5 November 2009 )
NOTA:MUHASABAH DIRI UNTUK SEMUA ADAKAH KITA TELAH MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB SEBAGAI ANAK KEPADA IBU BAPA KITA?..MEMELIHARA DAN MENJAGA MEREKA, MENGAMBIL BERAT DAN PRIHATIN DENGAN KEHIDUPAN MEREKA, MENYARA KEHIDUPAN SEHARIAN MEREKA,USAH PINGGIR DAN LUPAKAN MEREKA..USAH LUPA DARATAN SERTA USAH BERGELAR ANAK DERHAKA VERSI TANGGANG MODEN..SALAM MUHASABAH DIRI DAN PERINGATAN BERSAMA. Wallahual'am.
apa2 aja...
13 years ago
0 ulasan:
Post a Comment