Monday, November 9, 2009

Ilmu Pusaka Islam(Faraid)-Siri 1

Pengenalan

Agama Islam adalah sebuah agama yang bersifat syumul,merangkumi semua perkara, baik dalam perkara kehidupan dan kematian. Islam memberikan panduan dan aturan yang jelas dalam perkara tersebut. Undang-undang pusaka Islam merupakan satu undang-undang yang unik bersumberkan wahyu Ilahi yakni Al-Quran, hadith Rasulullah s.a.w dan ijmak ulama. Sistem ini sesuai dengan naluri dan fitrah manusia serta sangat berbeda dengan sistem pusaka sebelum Islam terutamanya selepas turunnya ayat al-mawarith(Surah Al-Nisa' ayat 11,12, dan 176).

Firman Allah s.w.t:
كل نفس ذآئقة الموت ثم الينا ترجعون
Maksudnya: "Setiap yang hidup pasti akan merasai mati kemudian kamu akan kembali kepada Kami. (Surah Al-Ankabut ayat 57).
Ayat di atas, satu dalil yang nyata menjelaskan bahawa kematian adalah satu kepastian dan mesti dilalui oleh semua manusia.

Dalam ayat yang lain Allah s.w.t berfirman:
كل من عليها فان ويبقى وجه وربك ذو الجلال والاكرام
Maksudnya: Sekelian yang berada di alam ini semua akan binasa dan yang kekal hanya Allah Tuhan Yang Maha Berkuasa Lagi Maha Mulia.(Surah Al-Rahman ayat 26-27).
Hakikatnya dapat disimpulkan di sini,sesungguhnya semua insan yang bernama manusia pasti akan binasa(mati) tiada yang kekal abadi melainkan Allah. Lantaran itu, apabila memahami dan menyedari akan perkara ini, urusan harta pusaka si mati perlu diambil perhatian.

Ilmu Faraid(Ilmu Al-Mawarith)

Definisi
Ilmu bermaksud mengetahui keadaan sebenar sesuatu perkara. Ilmu juga didefinisikan sebagai hukum akal yang pasti dan bersesuaian dengan realiti. Ia juga didefinisikan sebagai kaedah-kaedah yang ditulis atau kemahiran yang tinggi.
Sementara faraid pula adalah kata jama bagi kata faridhah bermaksud sesuatu yang diwajibkan atau sesuatu yang ditetapkan. Faraid daripada segi bahasa ialah ketetapan. Firman Allah s.w.t:
فنصف ما فرضتم
Maksudnya: Maka mereka berhak mendapat separuh dari mas kahwin yang telah kamu tetapkan itu(Surah Al-Baqarah ayat 237).
Faraid menurut syarak ialah bahagian yang ditetapkan oleh syarak kepada pewaris.
Ilmu Faraid daripada segi syarak pula bermaksud pengetahuan mendalam tentang pusaka dan ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka yang berhak diterima oleh orang-orang yang berhak.
Dalam definisi lain ilmu faraid adalah ilmu berkaitan kaedah fikah dan kaedah kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka setiap pewaris.
Ilmu Faraid juga disebut sebagai ilmu mawarith, kata jamak bagi mirath(warisan) yang juga disebut sebagai turath dan irth. Firman Allah s.w.t:
ولله ميرث السموات والارض
Maksudnya: Dan bagi Allah jualah hak milik segala mirath(warisan) langit dan bumi.
(Surah A-li-Imran ayat 180).
Oleh kerana itu, ilmu faraid atau ilmu al-mawarith adalah merupakan satu disiplin ilmu yang membawa seseorang untuk mengetahu dua perkara yang utama iaitu waris-waris yang berhak kepada harta pusaka dan kadar wajib yang diperolehi bagi setiap waris yang berhak tersebut.

Dalil Pensyariatan Pusaka.

Hukum pusaka telah disyariatkan dalam Islam melalui Al-Quran, Al-Sunnah, dan ijmak ulama. Maka individu atau mana-mana kumpulan yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam.

Al-Quran
للرجال نصيب مما ترك الولدان والاقربون وللنساء نصيب مما ترك الولدان والاقربون مما قل منه أو كثر نصيبا مفروضا
Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat Dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pula dari peninggalan ibu bapa dan kerabat sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu mengikut bahagian yang ditetapkan Allah.
(Surah An-Nisa ayat 7).

Hadith
Sabda Rasulullah s.a.w:
ألحقوا الفرائض بأهلها فما بقي فهو فلأولى رجل ذكر
Maksudnya: Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.(H.R Bukhari)

تعلموا الفرائض وعلموها الناس.............
Maksudnya: Pelajarilah faraid dan ajarkanlah kepada orang lain....
(H.R Al-Hakim).

Ijmak Ulama
Para ulama sepakat mengatakan pusaka disyariatkan dan tiada seorang pun orang Islam yang menafikannya.
(Rujukan Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji, Dr Mustofa Al-Khin, Dr Mustofa Al-Bugho, dan Ali Asy-Syarbaji Jilid 5 halaman 1069-1070)

Bersambung.................

0 ulasan: