Apakah hukum kita membuat maulid Nabi atas qaul 4 mazhab dan adakah membuat maulid ini bid`ah sepertimana kata-kata puak Wahabi?
Jawapan:
الحمد لله الفتاح الوهاب الهادى إلى الحق والصواب ، والصلاة والسلام على رسوله خاتم الأنبياء والرسل ، وآله وصحبه أجمعين.
Perkara hukum, sama ada boleh atau tidak mengadakan perayaan atau memperingati Maulid Nabi besar Muhammad Shallallahu `alaihi wasallam telah lama diputuskan oleh ulama, termasuk oleh Imam as-Suyuthi yang meninggal pada abad ke-10H.
Jadi kita pada masa ini hanyalah mengikut aliran pendapat mereka itu.
Berikut ialah perkara-perkara yang berkaitan dengan pendapat tersebut yang dimulai dengan perkara tarikh kelahiran Nabi besar Muhammad Shallallahu `alaihi wasallam:
1. Tarikh , Hari Dan Tahun Keputeraan
Ahli sejarah Islam dahulu dan sekarang tidak sependapat dalam menetapkan tarikh tepat keputeraan Baginda Shallallahu `alaihi wasallam.
Di antara mereka itu ada yang berpendapat 12hb. Rabiulawal dan inilah pendapat yang masyhur di kalangan orang ramai. Ada pula yang berpendapat 08hb. atau 09hb. Atau 10hb. Rabiulawal.Selain daripada pendapat-pendapat ini ada lagi beberapa pendapat lain , tetapi mengikut ahli sejarah islam pendapat-pendapat lain itu terlalu lemah dan tidak dapat dipertanggungjawabkan.
Walaupun tarikh 12hb. Lebih dikenali dan masyhur, namun berdasarkan pendapat para ulama terdahulu dan kajian para sarjana mutakhir di samping kajian dan penyelidikanulama-ulama falak Islam, maka Baginda Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam diputerakan pada hari ke-9 bulan Rabiulawal.
Dengan menolak pendapat yang lemah yang tidak dapat dipertanggungjawabkan, maka dapatlah ditentukan bahawa tarikh yang diperselisihkan itu ialah antara 08hb, 09hb, 10hb, dan 12hb. Rabiulawal dan mengikut perkiraan falak adalah di antara keempat-empat tarikh itu hanya 09hb sahaja yang jatuh dan tepat pada hari isnin. Jadi tarikh inilah yang lebih hampir kepada ketepatan , dan ia bertepatan dengan hasil kajian yang di buat oleh ulama falak yang terkenal, Mahmud Basya al-Falakiyang di sebutkannya dalam kitabnya Nata’ij al-Afham fi Taqwim al-`Arab Qabl al-Islam.
Adapun hari, bulan dan tahunnya adalah disepakati, iaitu hari Isnin, bulan Rabiulawal, tahun Gajah.Mengikut tersebut tarikh keputeraan Baginda Shallallahu `alaihi wasallam itu adalah bersamaan dengan 20hb. April, 571 Masihi.
Setelah menyebut semua pendapat tentng tarikh keputeraan Baginda dan setelah membuat kajian dan analisis mengenainya, pengarang berkata:
ويتلخص من هذا ىأن سيدنا محمدا صلى الله عليه وسلم ولد يوم الإثنين ٩ ربيع الأول الموافق ٢٠ ابريل سنة ٥٧١ مسيحية ، فاحرص على هذا التحقيق ولا تكن أسير التقليد
Ertinya: “Disimpulkan daripada ini, bahawa Sayyidina Muhammad Shallallahu `alaihi wasallam itu dilahirkan pada hari Isnin, sembilan Rabiulawal, bersamaan 20hb. April, tahun 571 Masihi. Oleh itu berpeganglah kepada kajian ini dan jangan bertaqlid secara membuta.”
Berkaitan dengan hari Isnin itu, di dalam kitab Shahih Muslim menerusi hadis Abu Qatadah al-Anshari, dia berkata: “Nabi Shallallahu `alaihi wasallam pernah ditanya tentang berpuasa pada hari Isnin, lalu Baginda bersabda:
ذَلِكَ يَوْمٌ وُلِدْتُ فِيْهِ وَيَوْمٌ بُعِثْتُ أَوْ أُنْزِلَ عَلَي فِيهِ (رواه المسلم)
Maksudnya: “(Hari Isnin itu) adalah hari aku dilahirkan, dan hari aku dilantik sebagai rasul, atau pada hari itulah wahyu (pertama) diturunkan kepadaku.”
(Hadis riwayat Muslim)
Sementara petunjuk yang meliputi tentang hari, bulan dan tahun, Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Jabir dan Ibnu ‘Abbas:
ولد رسول الله صلى الله عليه وسلم عام الفيل يوم الإثنين الثانى عشر من ربيع الأول، وفيه بعث وفيه عرج به إلى السماء وفيه هاجر وفيه مات ، أى فى فى شهر ربيع الأول.
Ertinya: “Rasulullah Shallallahu `alaihi Wasallam diputerakan pada tahun Gajah,hari Isnin ,dua belas Rabiulawal, dan pada hari Isnin Baginda dilantik sebagai Rasul dan padanya di mi`rajkan ke langit, padanya Baginda berhijrah dan padanya Baginda wafat,yakni pada bulan Rabiulawal.” (Ahsan al-Kalam:6/98
Nampaknya umat Islam adalah sekata memilih riwayat ini sebagai sandaran bagi penetapan tahun, bulan dan hari keputeraan Baginda Shallallahu `alaihi Wasallam tanpa menghiraukan lain-lain teori atau pendapat mengenainya.
Sheikh `Athiyah Saqar Rahimahullah pula berkata bahawa Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam telah bersabda bahawa hari Baginda diputerakan itu mempunyai kelebihan berbanding hari-hari lain. Oleh sebab itu orang-orang beriman hendaklah berlumba-lumba menambahkan pahalanyadengan melakukan perkara-perkara yang baik pada hari yang berkat itu, kerana sudah sedia dimaklumi bahawa jika melakukan amal kebajikan bertepatan pada waktu-waktu yang berkat sudah barang tentu pahalanya berlipat kali ganda.
Jadinya membuat karaian atau kesukaan pada hari itu sebagai tanda syukur kepada Allah Ta`ala di atas limpah kurnianya mengutus nabinya yang mulia adalah suatu perkara yang diperakui oleh syara’ tetapi dengan syarat keraian atau perayaan tersebut jangan dicampur dengan perkara-perkara bathil yang ditegah oleh syara’.
2. Asal Usul
Para sejarawan Islam belum dapat memastikan adanya orang atau pihak tertentu yang pernah mengadakan mengadakan sambutan perayaan maulid Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebelum munculnya pemerintahan Fatimiyah.
Mengikut catatan sejarah, Kerajaan Fatimiyah adalah salah satu kerajaan Islam yang pernah menguasai kawasan Maghribi sehingga kawasan Mesir selama lebih kurang 3 abad , iaitu dari tahun 297 sehingga 568H (abad ke-3-6). Di antara khalifahnya: Abdullah al-Mahdi, Abu Qasim Nizar, Ismail (al-Manshurah), al-Mu’iz li Dinilillah, al-`Aziz, al-Hakim fi Amarillah bin al-Aziz,az-Zahir, al-Mustanshir Billah, al-Musta’ala billah dan alAmir fi Ahkamillah (Muhammad Farid Wajdi, Daiirah Ma’arif al-Qarn al-‘Isyrin: 7/314-325).
Berdasarkan catatan ini,selama 297 tahun sejak Hijrah belum ada perayaan berkenaan , dan sejak tahun 297H, barulah perayaan itu diperkenalkan oleh khalifah-khalifah Fatimiyah dangan acara besar-besaran sebagaimana yang di ceritakan oleh pengarang kitab Shubh al-A’sya fi Shina’ah al-Insya’, Ahmad bin Ali al-Qalqasyandi dengan tajuk:
جلوسه في مولد النبي صلى الله عليه وسلم في الثاني عشر من شهر ربيع الأول
(Kedudukan Khalifah Dalam Menyambut Tarikh Keputeraan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pada 12 Rabiulawal)
Pengarang antara lain menyebutkan bahawa adalah sudah menjadi adat kebiasaan para khalifah Fatimiyyah terlebih dahulu membuat pelbagai jenis manisan seberat 20 qintar ( 1 qintar = lebih kurang 100 kati=20 x 100 = 2000 kati)
Yang dituangkan kepada 300 mangkuk tembaga cina. Kemudian apabila tiba malam maulid, manisan-manisan itupun dibahagi-bahagikan kepada orang-orang yang sedia tercatat namanya di istana seperti qadhi besar, ahli-ahli pembaca al-Quran dan lain-lain.
Sebelum itu, selepas waktu Ashar qadhi besar bersama orang ramai bergerak ke Jami’ al-Azhar sambil melaungkan zikir . Di Jami’ ini mereka mendengar syarahan yang dihadiri oleh khalifah. Selepas acara tersebut, merekapun bersurai.
Demikian dicatatkan secara ringkas dengan pindaan daripada kitab tersebut(Shubh al-‘Asya fi Shina’ah al-Insya’: 3/576).
Perayaan maulid Nabi pada zaman al-Musta’la terhenti lebih kurang selama 29 tahun, kerana pada tahun 488 khalifah al-Musta’la Billah melantik al-Afdal Syahinsyah bin Badar al-Jamali sebagai menteri yang tidak suka perayaan dan tidak dapat dipengaruhi oleh ahli Sunnah.Sehinggalah pada tahun 517 jawatan menteri disandang oleh al-Makmun al-Bathi yang mengeluarkan perintah agar sedekah dibahagi-bahagikan semula pada 13 Rabiulawal 517 sempena menyambut hari keputeraan Nabi. (lihat Ahsan al-Kalam: 6/97).
Apabila pemerintah Fatimiyah berakhir pada tahun 568 dan digantikan oleh pemerintahan al-Ayyubiah al-Kurdiah (569 sehingga 784: Farid Wajdi: 1/799), kebanyakan warisan Fatimiyah dihapuskan dan ditiadakan oleh pemerintahan al-Ayyubiah,tetapi amalan perayaan menyambut maulid Nabi masih mereka kekalkan. (Ahsan al-Kalam: 6/97).
Pada awal abad ke-7 amalan perayaan maulid Nabi dijadikan sebagai salah satu amalan rasmi pihak pemerintah di Kota Irbil di Utara Iraq. Perayaan dijadikan silih berganti pada setiap tahun. Dua hari sebelum tarikh perayaan , binatang ternak seperti unta,sapi, dan kambing akan dihalau ke tanah lapang untuk disembelih.
Dengan adanya perayaan yang berlaku di Kota Irbil ini bermakna ia telah menjalar keluar dari Mesir buat pertama kalinya dan inilah barangkali yang dicatatkan as-Suyuti di dalam al-hawi sebagaimana yang disebutkan di bawah ini.
Mengikut catatan Imam as-Suyuthi Rahimahullah di dalam kitabnyaal-Hawi, bahawa orang yang mula-mula sekali melakukan sambutan maulid Nabi ialah Penguasa Negeri Irbil, Raja al-Muzfir Abu Sa’id Kukubri bin Zainuddin Ali bin Buktakin (wafat 630 Hijriyyah), salah seorang raja yang amat pemurah dan mempunyai pelbagai warisan yang berkebajikan, dan Bagindalah yang membangunkan Masjid al-Muzfiri di kawasan Safah Qasiyun. (1/292).
Berdasarkan catatan Ibnu Katsir dalam kitab Tarikhnya, bahawa Raja al-Muzfir inilah yang menyambut maulid Nabi dalam bulan Rabiulawal secara besar-besaran. (al-Bidayah wa an-Nihayah: 13/158).
Hal ini diperinci lagi oleh pengarang kitab mir’ah az-Zaman bahawa mengikut cerita orang yang pernah menghadiri salah satu perayaan itu, Raja al-Muzfir menyediakan lima ribu kepala kambing panggang, sepuluh ribu ayam, seratus kuda, seratus ribu keju dan tiga puluh ribu piring manisan.
Perayaan yang diadakan raja ini dihadiri ulama-ulama besar dan para ahli tashawuf,kemudian memberikan pelbagai hadiah kepada mereka.
Untuk menjayakan perayaan ini, baginda membelanjakan setiap tahun tiga ratus ribu dinar. Baginda juga mempunyai rumah tetamu bagi yang datang daripada pelbagai tempat dan peringkat dan memperuntukkan sebanyak seratus ribu dinar untuk perbelanjaan di rumah tetamu ini. Bahkan baginda juga memperuntukkan sebanyak tiga puluh ribu dinar setahun untuk keperluan tanah haram Makkah dan Madinah dan pada masa yang sama nilai pakaian baginda tidak sampai harga lima dirham.
Perayaan yang dibuat oleh Raja ai-Muzafir itu disebutkan juga oleh Ibnu Khalikan ketika mencatatkan riwayat hidup al-Hafiz Abu Al-Khathtab bin Dihyah di mana al-Khaththab ini adalah seorang ulama besar yang datang dari Maghhribi ke Syam dan Iraq lalu pergi ke Negeri Irbil pada tahun 604 Hijriyyah. Di negeri ini dia mendapati Rajanya yang bernama Muzfiruddin bin Zainuddin sangat mengambil berat tentang sambutan maulid Nabi, maka Ibnu al-Khaththab pun mengarang sebuah kitab mengenainya bertajuk at-Tanwir fi Maulid al-Basyir an-Nadzir, dan membacakannya kepada raja. Kemudian raja al-Muzfir member hadiah kepadanya seribu dinar.
Raja ini wafat pada tahun 630 Hijriyyah. (Ibnu Katsir, al-Bidayah wa an-Nihayah: 13/158).
Irbil adalah nama sebuah bandar dan kawasan di utara Iraq, terletak di sebelah timur bandar al-Maousil (Syauqi Abu Khalil, ‘Atlas at-Tarikh al-‘Arabi: 86)
3. Bentuk Sambutan
Berdasarkan pembacaan kita tentang catatan para ulama, acara dan bentuk sambutan maulid Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang telah bermula pada zaman pemerintahan Fatimiyah sehingga sekarang, adalah dalam bentuk dan cara yang berbagai-bagai, di antaranya:
- Memperbanyak sedekah, sama ada dalam bentuk makanan (jamuan), mata wang, pakaian dan sebagainya.
- Berzikir dan mendengar syarahan di masjid-masjid, sepertimana yang berlaku pada awal kemunculannya.
- Selain melakukan yang disebutkan di atas, acara telah pun dimulai sebelum masuk bulan Rabiulawal dengan mengadakan persembahan lagu-lagu, tari-menari, membunyikan alat-alat muzik sebagaimana yang berlaku di negeri Ibril. (Ahsan al-Kalam: 6/97).
- Membaca kisah Nabi, seperti berzanji (sama ada satu malam atau selama beberapa malam) di masjid-masjid dan disudahi dengan bacaan doa serta syarahan agama. (HH. Sirajuddin Abbas, 40 Masalah Agama: 3/2-jawi).
- Mendengar syarahan saja.
- Berkumpul dan berarak dan lain-lain.
4. Hukum
Pengarang kitab Ahsan al-Kalam menukil perkataan Syeikh Muhammad al-Fadhil bin ‘Asyur yang bermaksud:
“Abad ke-9 muncul di mana ulama berbelah bahagi di antara yang mengharuskan dan menegah membuat sambutan maulid Nabi.”
Imama as-Suyuthi, Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan Ibnu Hajar al-Haitami berpendapat, adalah baik dan harus dilakukan, tetapi menegahnya apabila ia disertai sama dengan perkara-perkara bid’ah . (6/97)
Dengan didasari pendapat imam-imam besar tersebut, maka banyaklah ulama, termasuk dalam mazhab Syafi ‘e yang memfatwakan bahawa adalah sunat memperingati hari keputeraan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, begitu juga memperingati Isra’ dan Mi ‘raj.
Merayakan hari maulid Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu boleh dengan apa sahaja, asalkan ianya diniatkan untuk membesar dan untuk mengagungkan hari keputeraan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam , begitu juga memperingati Isra’ dan MI’raj.
Namun dalam pada itu, janganlah ada di dalam perayaan itu sesuatu yang ditegah oleh agama, seperti merayakan dengan berjudi, merayakannya dengan tari-menari, merayakannya dengan muzik-muzik, merayakannya semalam suntuk dengan pergaulan bebas muda-mudi dan lain-lain pekerjaan yang jelas haramnya.
Di bawah ini disebutkan beberapa alasan atau dalil yang menghukumkannya sunat iaitu terbahagi kepada dalil khas dan dalil am seperti di bawah ini:
Dalil pertama:
Imam Jalaluddin as-Suyuthi berkata:
انه سءل عن عمل المولود النبى فى شهر ربيع الأول وهل هو محمود أو مذموم وهل يثاب فاعله أولا ؟ والجواب عندى أن أصل المولد الذى هو اجتماع الناس وقراءة ما تيسر من القرآن ورواية الأخبار الواردة فى مبدإ أمر النبي صلى الله عليه وسلم وما وقع فى مولده من الأيات ثم يمد لهم سماط يأكلونة وينصرفون من غير زيادة على ذلك من البدع الحسنة الذى يثاب عليها لما فيه من تعظيم قدر النبي صلى الله عليه وسلم وإظهار الفرح والإستبشريف.
Ertinya:
“Bahawasanya beliau ditanya tentang maulid Nabi pada bulan Rabiulawal, apakah hukumnya menurut syara’, apakah pekerjaan itu dipuji atau dicela dan apakah pelakunya diberi pahala atau tidak?”
Jawab saya, (kata Imam as-Suyuthi): “Asas daripada amal maulid itu ialah, bahawa manusia berkumpul, lalu mereka membaca sekadarnya ayat-ayat al-Qur’an, kemudian membaca kisah-kisah sejarah Nabi dan kisah-kisah bagaimana situasinya pada masa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dilahirkan kemudian mereka bersama dan selepas itu bersurai, tidak lebih daripada itu. Ibadat macam itu adalah bid ‘ah hasanah (bid ‘ah baik), yang diberi pahala mengerjakannya, kerana dalam amal ibadat tersebut terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang mulia.” (Al-Hawi: 1/292)
Daripada huraian ini dapatlah disipulkan :
1. Amalan maulid, iaitu berkumpul umat Islam di suatu tempat (di rumah, surau atau masjid) pada setiap bulan Rabiulawal adalah amalan bukan baru, tetapi telah berabad-abad dilakukan oleh orang Islam. Di dalamnya berbagai-bagai aturcara dibuat, seperti membaca sedikit ayat al-Quran dan sedikit kisah Nabi ketika lahir dan sedikit perjalanan hidup dan mu ‘jizat-mu ‘jizat Baginda, di samping untuk menzahirkan kegembiraan dan kesyukura atas kedatangan Baginda membawa agama Islam yang suci.
Sesudah itu mereka berjamu makan minum, sama ada yang disediakan oleh orang perseorangan ataupun orang ramai kemudian bersurai.
2. Ibadat serupa itu adalah bid ‘ah, tetapi bid ‘ah hasanah, kata Imam as-Suyuthi.
3. Orang yang mengerjakan bid ‘ah hasanah masih berpahala, kata Imam as-Suyuthi.
4. Mengadakan perayaan maulid Nabi itu ibadat yang diberi pahala jika dikerjakan, dan tidak berdosa jika ditinggalkan.
Imam as-Suyuthi adalah ulam besar dalam mazhab Syafi ‘e yang jarang ada tandingannya. Beliau lahir tahun 849H, di kampung Asyut, Mesir dan meninggal tahun 911H.
Dalil kedua:
Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Mufti Syafi ‘e di Makkah al-Mukarramah dalam kitab Sirah an-Nabi berkata:
جرت العادة ان الناس اذاسمعواذكر وضعه صلى الله عليه وسلم يقومون تعظيما له صلى الله عليه وسلم وهذا القيام مستحب لمافيه من تعظيم صلى الله عليه وسلم وقد فعل ذلك كثير من علماء الأمة الذين يقتدى بهم
Ertinya: “Telah berlaku kebiasaan, bahawa orang apabila mendengar kisah kelahiran Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mereka berdiri bersama-sama untuk menghormati dan membesarkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Berdiri ini adalah suatu yang mustahabb (baik), kerana dasarnya ialah membesarkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan sesungguhnya telah mengerjakan hal serupa itu ramai daripada kalangan ulama ikutan umat.” (I ‘anah ath-Thalibin: 3/363)
Jadi Sayyid Zaini Dahlan berpendapat, bahawa mengadakan maulid Nabi dengan membaca kisah-kisah Baginda berserta dengan berdiri ketika sampai kepada kelahirannya adalah suatu amalan yang baik (mustahabb).
Sayyid Zaini Dahlan ialah Mufti Besar Imam Syafi ‘e di Makkah, meninggal 1304 Hijriyyah.
Dalil Ketiga:
Tersebut dalam kitab as-Sirah, karangan Syeikh al-Halabi:
فقد حكى بعضهم ان الإمام السبكى اجتمع عنده كثير من علماء عصره فانشده قول الصرصرى فى مدحه صلى الله عليه وسلم:
قليل لمدح المصطفى الخط بالذهب
على ورق من خط أحسن من كتب
وأن تنهض الأشراف عند سماعه
قيام صفرفا أو جثيا على الركب
فعند ذلك قام الإمام السبكى وجميع من بالمجلس.
Ertinya: “Telah dikhabarkan, bahawa di hadapan Imam as-Subki pada suatu kali berkumpul ramai ulama pada zaman itu. Kemudian salah seorang daripada mereka membaca perkataan ash-Sharshari dalam memuji Nabi:
“Sedikit tulisan emas memuji al-Mustafa,
pada selembar kertas,
lebih baik daripada kitab yang banyak.
Dan orang-orang mulia berdiri,
ketika mendengar sebutannya,
bersaf-saf atau tunduk hormat.”
Pada ketika itu Imam as-subki dan sekalian ulama yang hadir dalam majlis juga berdiri menghormati Nabi.”
(I ‘anah ath-Thalibin: 3/364).
Imam as-Subki adalah salah seorang ulama besar dalam mazhab asy-syafi ‘e, pengarang kitab Takmilah al-Majmu’, iaitu sambungan daripada kitab al-Majmu’ Syarh Muhadzdzab karangan Imam an-Nawawi.
As-Subki meninggal dunia pada tahun 657H. Beliau berpendapat bahawa berdiri ketika mendengar kisah Nabi dilahirkan adalah suatu pekerjaan yang baik, demi menghormati Nabi.
Dalil Keempat:
Imam Abu Syamah berkata:
ومن أحسن ما ابتدع فى زمننا ما يفعل كل عام فى اليوم الموافق ليوم مولده صلى الله عليه وسلم من الصدقات والمعروف وإظهار الزينة والسرور فإن ذلك مع ما فيه من الإحسان للفقراء مشعر بمحبة النبى صلى الله عليه وسلم وتعظيمه فى قلب فاعل ذلك وشكرالله تعالى على ما من به إيجاد رسول الله صلى الله عليه وسلم الذى ارسله رحمة للعالمين.
Ertinya: “Suatu hal yang baik dibuat pada zaman kita ini ialah apa yang dibuat pada tiap-tiap tahun bersamaan dengan hari maulid Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan memberi sedekah, membuat kebajikan, melahirkan kegembiraan dan kesukaan. Sesungguhnys ysng demikian – di samping dapat berbuat kebajikan kepada fakir miskin – adalah satu bukti adanya perasaan cinta kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hati orang melakukan perkara-perkara itu, dan juga sebagai tanda membesarkan Baginda dan bersyukur kepada Allah Ta ‘ala atas kurnianya yang telah mengirim Baginda sebagai rasul yang diutus untuk kebahagiaan seluruh makhluk.”
(I ‘anah ath-Thalibin: 3/364)
Imam Abu Syamah juga adalah seorang ulama besar dalam lingkungan mazhab Syafi ‘e. beliau hidup pada akhir abad ke-6 Hijriyyah sehingga awal abad ke-7 Hijriyyah (599-665 Hijriyyah/1202-1267 Masihi) dan beliau adalah guru Imam Nawawi.
Beliau ini berpendapat:
1. Merayakan maulid Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan suatu perayaan dan dengan memperbanyakkan sedekah, amal bakti serta melahirkan kegembiraan kerana maulid itu adalah suatu bid ‘ah hasanah. Bid ‘ah hasanah apabila dibuat mendatangkan pahala.
2. Mengadakan perayaan maulid Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah suatu “manifestasi” daripada kecintaan kita kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Dari pendapat Imam Jalaluddin as-Suyuthi dan Abu Syamah ini kita mendapat isyarat bahawa bid ‘ah itu ada dua, pertama bid ‘ah yang baik (hasanah) dan kedua bid ‘ah yang buruk (sayyi’ah):
1. Bid ‘ah hasanah iaitu suatu pekerjaan yang belum pernah wujud di zaman Nabi tetapi ia suatu pekerjaan yang baik yang mendatangkan faedah kepada masyarakat.
Umpamanya membuat sekolah agama, mengarang buku-buku agama, mengumpulkan al-Quran dalam satu mushhaf, mengadakan universiti-universiti Islam, membuat kitab-kitab hadis, semuanya ini belum wujud di masa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masih hidup.
Demikian juga perayaan dan sambutan maulidar-rasul hanya muncul setelah lama Baginda wafat. Ia dianggap sangat baik untuk membangkitkan semula semangat cintakan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana itu ia dibenarkan dan dianggap sebagai bid ‘ah hasanah yang juga mendatangkan pahala apabila dibuat.
2. Bid lah sayyi’ah ialah bid ‘ah yang buruk, yang boleh membawa dosa jika dikerjakan, umpamanya bermain muzik dalam masjid atau lainnya, bercampur-gaul lelaki dan perempuan di tempat-tempat permainan dan di tempat-tempat hiburan atau lain-lain yang tidak dibenarkan oleh syara ‘.
Dalil-dalil Umum Yang Menjadi Dasar Bagi Amalan Maulid
Walaupun amalan maulid itu belum ada pada zaman Nabi namun secara umum ianya dianjurkan oleh agama.
Walaupun tidak nyata nasnya namun secara simbolik Allah dan Rasulnya memang menggalakkan hari maulid, hari Mi ‘raj, hari turun al-Qur’an (nuzul al-Qur’an), hari tahun baru Islam (Hijriyyah), hari ‘Asyura’ dan lain-lain.
Banyak dalil yang bertalian dengan perkara ini, di antaranya:
Dalil pertama:
Tersebut dalam hadis:
أن النبى صلى الله عليه وسلم قدم المدينة فوجد اليهود يصومون عاشوراء فسألهم فقالوا : هو يوم أغرق الله فرعون ونجى موسى ونحن نصومه شكرا فقال : نحن أولى بموسى منكم.
(رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya: “Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam datang ke Madinah, lalu Baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’, (hari 10 Muharram). Maka Nabi pun bertanya kepada orang-orang Yahudi itu: “Kenapa kamu berpuasa pada hari ‘Asyura’?” jawab mereka: “Ini adalah hari peringatan, pada hari ini dikaramkan Fir ‘aun dan pada hari ini jug Musa dibebskan, kami berpuasa sebagai tanda syukur”. Maka Nabi bersabda: “Kmi lebih patut menghormati Musa berbanding kamu.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani, iaitu pengarang Syarh al-Bukhari yang bernama Fath al-Bari mengatakan, bahawa daripada hadis ini dapatlah dipetik hukum:
1. Umat Islam dibolehkan dan bahkan dianjurkan, agar memperingati hari-hari yang bersejarah, hari-hari yang dianggap besar, umpamanya hari maulid dan lain-lain.
2. Nabi pun memperingati hari karamnya Fir ‘aun dan bebasnya Musa dengan melakukan puasa ‘Asyura’ sebagai syukur atas hapusnya kebatilan dan tegaknya kebenaran. ( Fath al-bahri:4)
Dalil kedua:
Allah berfirman dalam al-Quran al-Karim:
فالذين عامنوا به وعزروه ونصروه واتبعوا النور الذى أنزل معه أولئك هم المفاحون
(سورة الأعاف : ١٥۷)
Maksudnya: “Maka orang yang beriman kepadanya (Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam), dan memulikannya, juga menolongnya serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
(Surah al-A ‘raf: 157)
Di dalam ayat ini dinyatakan dengan tegas, bahawa orang-orang yang memuliakan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah orang yang berjaya. Merayakan maulid Nabi tidak syak lagi adalah rangka memuliakan itu.
Bukan saja merayakan maulid, tetapi juga merayakan hari Mi’raj, hari Hijrah dan lain-lain itu adalah memuliakan namanya. Sekalian orang yang memuliakan Nabi itu akan mendapat syurga insya’ Allah.
Ayat ini umum dan sangat luas tafsirnya. Apa jua yang dilakukan jika niat memuliakan Nabi, maka pekerjaan itu diberi pahala. Kecualilah perkara-perkara yang memang bertentangan dengan ajaran Islam, pahala tidak dapat, sebaliknya kutukan pula yang datang.
Umpamanya, seorang mengadakan perayaan maulid, walaupun dengan tujuan untuk memuliakan Nabi, namun disulam dengan judi, menyabung ayam, dengan lakonan orang lelaki memakai pakaian wanita dan wanita memakai pakaian lelaki, maka semua ini bukan mencari pahala tetapi mengundang kepada laknat Allah.
Dalil ketiga:
Allah berfirman:
إنى معكم لئن أقمتم الصلوة وءاتيتم الزكوة وءا منتم برسلى وعزرتموهم وأقرضتم الله قرضا حسنا لأكفرن عنكم سيئاتكم ولأدخلنكم جنت تجرى من تحتها الأنهر
( سورة المائدة : ١٢)
Tafsirnya : “Sesungguhnya Aku berserta kamu jika kamu mengerjakan sembahyang dan menunaikan zakat serta beriman kepada rasul-rasulKu, dan kamu muliakan mereka, dan kamu member pinjam kepada Tuhan dengan apa saja yang baik, nescaya akan Aku ampuni dosa-dosa kamu, dan akan Aku masukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya beberapa sungai”.
(Surah al-maidah:12)
Erti: “"عزرتموهم ialah “memuliakan mereka”. (Tafsir ath-Thabari: 6/151)
Dalil keempat:
Allah berfirman:
وَمَن يُعَظِّمُ شَعَئِرَ اللهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى اْلقُلُوبِ
(سورة الحج: 32)
Tafsirnya: “Dan barang siapa yang memuliakan tanda-tanda kebesaran Allah sesubgguhnya itu adalah sesuiatu manifestasi dari hati yang bertaqwa kepada Tuhan
(Surah al-Hajj:32)
Nabi kita, Muahmmad Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah ‘syi’ar’, kerana dengan munculnya Baginda, dunia mengetahui Allah Yang Maha Esa.
Maka memuliakan syi’ar Allah ini adalah membuktikan hati taqwa kepadaNya. Orang yang hatinya tidak bertaqwa tidak akan memuliakan Nabi.
Dalil kelima:
Nabi bersabda:
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتىَّ أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
(سورة البخاري ومسلم)
Maksudnya: "Belum sempurna iman seseorang kamu, kecuali saya lebih dikasihinya daripada ibu bapa, anak-anak dan manusia keseluruhannya.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis ini dinyatakan bahawa iman itu belum wujud atau belum sempurna pada seseorang, kecualilah orang itu mengasihi Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam melebihi daripada kasihnya kepada keluarganya (anak dan isterinya), hartanya dan seluruh manusia.
Jadi iman itu, ada ataupun tidak, sempurna ataupun tidak adalah tergantung kepada isi hati seseorang. Jika dalam hatinya dia mengasihi Nabi melebihi daripada mengasihi orang lain, hatta keluarganya, maka barulah imannya itu dianggap sempurna.
Dalil keenam:
Tersebut dalam hadis:
Maksudnya: “Datang seorang Badwi kepada Nabi, lalu dia bertanya: “Wahai Rasulullah, bilakah kiamat itu datang?” Nabi menjawab: “Apa yang telah engkau sediakan untuk menemui Hari Kiamat itu?”
Badwi itu menjawab: “Saya tidak menyiapakan sembahyang yang banyak, juga tidak puasa yang banyak, melainkan aku adalah (benar-benar mencintai Allah dan RasulNya).”
Nabi menjawab: “Seseorang itu (di akhirat) akan bersama-sama orang yang dicintainya.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut hadis ini, sekalian orang yang mencintai Allah dan Rasul akan bersama-sama Allah dan Rasul di akhirat nanti.
Maka merayakan ulang tahun maulid Nabi dengan membaca berzanji, membaca puji-pujian, membaca maulid atau bersyarah agama serta berdiri sambil membaca ‘marhaban’ itu adalah suatu tanda tentang kecintaan kita terhadap Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Kerana itu ia menjadi punca pahala termasuklah juga akan turut dapat itu ialah sekalian orang yang terlibat menyumbangkan tenaga, keringat dan wangnya untuk perayaan ini.
Imam al-Ghazali, seorang ulama dalam lingkungan mazhab asy-Syafi’e, membahagikan cinta itu kepada tiga:
1) Hubb asy-syafaqah, kasih sayang kepada anak-anak kita.
2) Hubb syahwat, kasih sayang kerana syahwat, seperti kasih kepada wanita, kasih kepada kekasih dan kasih kepada dunia.
3) Hubb at-ta’zhim. Iaitu kasih ‘memuliakan’ seperti kepada ibu bapa dan kasih kepada ketua-ketua.
Adapun kasih kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bukanlah ia hubb asy-syafaqah, dan bukan juga hubb syahwat, tetapi ia adalah hubb at-ta’zhim, iaitu kasih kerana hormat dan memuliakan baginda itu.
Jadi membaca riwayat Baginda, membaca selawat kepada Baginda, membaca madah atau puji-pujian terhadap Baginda, adalah semua itu terangkum dalam rangka hub at-ta’zhim, yakni kasih dan cinta kerana hormat dan memuliakan Baginda.
Berdiri membaca "مَرْحَبًا جَدَّ الْحُسَين"atau "طَلَعَ الْبَدْرُ عَلَيْنَا" adalah suatu pekerjaan yang baik, yang dibeti pahala jika diniatkan untuk menghormati dan memuliakan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Imam al-Bushairi (yang meniggal tahun 695) pengarang Amin Tadzakkur berkata dalam Qasidah al-Burdahnya begini:
دع ما ادعته النصارى فى نبيهم
واحكم بما شئت فيه مدحا واحتكم
وانسب إلى ذاته ما شئت من شرف
وانسب إلى قدره ما شئت من عظم
Ertinya: “Tinggalkanlah apa yang diserukan oleh orang Nashrani tentang nabinya, kerjakanlah apa yang engkau sukai dalam memujinya, taruhkanlah kepada Baginda apa saja kemuliaan yang engkau suka dan letakkanlah kepada pangkatnya apa saja yang engkau kehendaki.” (Qasidah al-Burdah)
Nazam ini menegaskan, bahawa kita umat Islam boleh memuliakan Nabi kita dengan apa saja yang berupa kemuliaan, tetapi janganlah kita tiru orang Nashrani memuliakan nabinya dengan menganggapnya Tuhan di samping Rasul Tuhan. Baginda juga manusia serupa orang lain, cuma keadaan dan kedudukan Bgainda sangat mulia, melebihi kemuliaan seluruh makhluk.
Pangkat dan darjat Baginda (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) sangatlah tinggi, selaku Rasul Allah, Baginda dideretkan dengan nama Tuhan, dan sehingga tidaklah sah Islam seseorang jika tidak mengakui keesaan Allah dan tidak mengakui kerasulan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Masalah ‘berdiri’ apakah ‘berdiri’ itu menandakan penghormatan?
Jawabnya: Ya.
Dalam sejarah Islam berlaku suatu ketika sedang Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam duduk bersama sahabat-sahabat, datanglah seorang kepala suku Aus namnya Sa’ad bin Muaz. Anak buah Sa’ad yang ketika itu ada bersama-sama Nabi tidak berdiri menyambut ketuanya itu, lalu Nabi pun bersabda kepada mereka:
قُومُوا إِلَى سَيِّدِكُمُ
(رواه البخاري)
Maksudnya: “Berdirilah kamu menyambut ketua kamu.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
(Lihat buku sejarah Muhammad Rasulullah, karangan Muhammad Redha, halaman 238).
Dalam peristiwa ini ternyata bahawa ‘berdiri’ untuk menyambut kedatangan orang besar atau ketua dianjurkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri.
Dalil ketujuh:
Firman Allah Ta’ala:
وَذَكِّرْهُم بِأَيَّمِ الله
(سورة ابراهيم: 5)
Tafsirnya: “Dan ingatkanlah merreka dengan hari-hari Allah.”
(Surah Ibrahim:5)
Maksud hari-hari Allah di sini ialah peristiwa-perristiwa yang bersejarah bagi sesuatu umat yang mengandungi nikmat-nikmat ppertolongan Allah, atau bala bencanaNya yang membawa kepada naik atau jatuhnya sesuatu umat itu. (Tafsir ar-Rahman: 596)
Kelahiran Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan peristiwa amat bersejarah yang mengandungi hikmah dan nikmat besar.
An-Nasa’I, Abdullah bin Ahmad dalam kitab Zawaid al-Musnad, dan al-Baihaqi dalam kitab Syu’ab al-Iman telah mentakhrijkan daripada Ka’ab daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
أَنَّهُ فَسَّرَ اْلأَيَّامَ فِى اْلآيَةِ بِنِعَمِ اللهِ وَآلاَئِهِ
Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya Bgainda mentafsirkan الأيام (hari-hari) dalam ayat itu dengan: “Nikmat dan tanda-tanda kebesaran Allah. “ (Tafsir al-Alusi: 13/188)
Oleh itu memperingati hari keputeraan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah merupakan pernyataan bersyukur terhadap nikmat Allah yang tidak ada tolok bandingannya.
5. Hikmah Maulid
Pengarang kitab I’anah ath-Thalibin menukilkan pendapat beberapa ulama tentang maulid, hikmah dan khasiatnya.
• As-Sakhawi:
“Amalan maulid itu muncul selepas abad ke-3 Hijriyah. Selepas itu umat Islam dari pelbagai negeri dan kota-kota besar terus mengamalkan perayaan maulid ini dengan bersedekah pada malam harinya dengan berbagai-bagai jenis sedekah dan juga secara khusus membaca sirah kelahiran Nabi. Dan adapun kesan daripada amalan ini, mereka itu telah beroleh berkatnya.
• Ibnu al-Jawzi:
“Di antara khasiat atau berkat mengadakan perayaan maulid ialah beroleh kedamaian dan kegembiraan pada tahun yang berkenaan itu.”
• Al-Hasan al-Bashri:
“Sekiranya aku mempunyai emas seperti sebesar gunung Uhud, aku akan membelanjakannya untuk membacakan kisah maulid Nabi.”
• Ma’ruf al-kurkhi:
“Barang siapa membuat persiapan majlis kerana membaca kisah maulid Rasul, menyiapkan jamuannya, menghimpunkan teman-teman, menyalakan lampu, memakai pakaian baru, berwangi-wangian dan berhias semata-mata untuk mengagungkan hari keputeraan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dia akan dihimpunkan Allah pada Hari Kiamat bersama-sama dengan rombongan pertama para Nabi dan ditempatkan di dalam syurga yang tertinggi.”
Dan barang siapa yang membacakan kisah maulid Rasul kepada mata wang dirham emas atau perak, dan kemudian dia mencampurkannya dengan mata wang yang lain, maka akan diberkati semuanya, dan pemiliknya pula tidak akan miskin dan tidak pernah kekosongan wang.
• Imam al-Yafi’e al-Yamani:
“ Barang siapa yang menghimpunkan orang ramai bagi tujuan mengadakan perayaan maulid Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, menyediakan makanan dan tempat, bersedekah dan menjadi sebab diadakan kerja-kerja pembacaan kisah maulid Nabi, maka dia akan dibangkitkan oleh Allah pada Hari Kiamat bersama-sama dengan para shiddiqin dan shalihin, dan ditempatkan dalam syurga an-Na’im.”
• As-Sirri as-Saqthi:
“Barang siapa yang berjalan menuju ke tempat pembacaan kisah maulid Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, bermakna dia itu berjalan menuju salah satu taman syurga, kerana berjalannya ke tempat tersebut semata-mata oleh dorongan cinta terhadap Bgainda.”
• As-Suyuthii:
“Tiada mana-mana rumah, atau masjid, atau tempat yang dibaca padanya kisah maulid Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, melainkan malaikat menaungi penghuni tempat berkenaan serta dilimpahi oleh Allah dengan kurniaNya.”
Mana-mana rumah orang Islam yang dibacakan kisah maulid Nabi di rumahnya, Allah akan angkatkan kemarau, bencana, kebakaran, kerosakan, bala, kebinasaan, musibah, kemarahan hasad dengki, pandangan jahat dan pencuri daripada penghuni rumah berkenaan. Dan jika dia mati, Allah mudahkan baginya menjawab pertanyaan Munkar dan Nakir serta ditempatkan pada kedudukan yang hak di sisi Allah”. (3/364-365)
Seterusnya pengarang berkata:
“Saya bercakap panjang mengenai maulid ini sebagai mendorong dan menggalakkan saudara-saudara untuk membaca kisah maulid Nabi itu semoga Allah memberi taufiq kepada kita semua agar terus membaca kisah maulid Nabi yang mulia dan mengeluarkan perbelanjaan untuk menjayakan pada bila-bila masa saja.” (I’anah ath-Thalibin: 3/3665)
6. Kesimpulan
1. Mengadakan perayaan-perayaan maulid pada tiap-tiap tahun adalah sunat hukumnya, kerana termasuk dalam ibadat memuliakan Nabi dan mengasihi Nabi yang sangat dianjurkan oleh Allah dalam kitab suciNya. Hukum sunat ini hanyalah berlaku apabila tidak dicampur dengan perkara-perkara haram.
2. Bacaan-bacaan yang dibaca ketika itu boleh apa saja kitab yang memuji dan mengandungi sejarah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, atau kita mengadakan syarahan yang berkaitan dengannya.
3. Perbuatan berdiri ketika ‘marhaban’ adalah sunat sekiranya diniatkan menghormati Nabi Muhammad di akhirat nanti.
Mudah-mudahanlah Allah Yang Maha Pemurah akan sentiasa menganugerahkan kita dengan rahmat dan taufikNya, sehingga dapatlah kita berterusan memuliakan NabiNya, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.
والله أعلم بالصواب
Negara asal : Brunei darussalam
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam.
Tarikh Diisu : 2003
apa2 aja...
13 years ago
0 ulasan:
Post a Comment