Rasulullah memerintahkan setiap ibu bapa supaya menitikberatkan soal akhlak dan solat ini terhadap anak seperti maksud hadis berbunyi:
"Suruhlah anakmu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun. Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur" (Hadis Abu Daud)
Perintah menunaikan solat juga termaktub dalam al-Quran yang bermaksud, "Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, bahkan Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa" (Toha: 132)
Memang tidak dinafikan kebanyakan ibu bapa tidak mendidik anaknya di rumah kerana selalu sibuk dengan urusan kerja sehingga tidak mempunyai waktu. Sebenarnya itu hanya alasan semata-mata. Bukankah kita diperintah supaya mengurus masa dengan bijaksana? Oleh itu, ibu bapa sebenarnya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hala tuju dan corak hidup anaknya.
Di samping itu, ibu bapa yang beriman, bertanggungjawab dan kaya dengan sifat kasih sayang, selalu mengharap dan berdoa kepada Allah supaya dikurniakan anak yang taat melaksanakan solat, lantaran ibadah itu akan memberi kesan yang sangat baik bukan saja terhadap diri, bahkan juga kehidupan masyarakat seluruhnya.
"Wahai Tuhanku. Jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku" (Surah Ibrahim: 40)
Orang yang solat bermakna selalu ingat dan dekat kepada Allah Taala, cinta semakin bertambah dan jiwanya sentiasa tenang dan lapang. Dalam dirinya tumbuh sifat mahmudah, berbudi pekerti mulia, sabar, tahan diuji, suka memberi pertolongan, tidak sombong dan lain-lain. Inilah gambaran sahsiah Muslim yang dibentuk oleh kewajipan solat dalam agama.
Dengan demikian, soal keruntuhan akhlak dan gejala sosial lainnya akan pasti lenyap. Masyarakat dapat hidup dalam suasana aman dan bahagia, dan dapat menjalani kehidupan dengan selesa dengan rahmat dan keredaan-Nya.
apa2 aja...
13 years ago
0 ulasan:
Post a Comment