Modul keagamaan, pembangunan insan diutama agar banduan bertaubat, lebih insaf
AKTA Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 memperuntukkan hukuman maksimum yang boleh digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan denda RM5,000, penjara tiga tahun dan sebatan enam kali. Dalam ruangan ini penulis tidak akan berbincang mengenai hukuman sebat syariah kerana sudah beberapa kali membincangkannya.
Penulis ingin memberi tumpuan kepada hukuman penjara atau al habs dalam undang-undang Islam. Hukuman penjara bukan hanya dijatuhkan Mahkamah Sivil, malah ia juga dijatuhkan Mahkamah Syariah di setiap negeri.
Walaupun hukuman penjara oleh Mahkamah Syariah terhad kepada tempoh maksimum tiga tahun saja (berbanding mahkamah sivil yang boleh menjatuhkan hukuman penjara sehingga seumur hidup), hakikatnya Mahkamah Syariah mempunyai kuasa dan sudah menjatuhkan hukuman penjara terhadap pesalah syariah.
Pelbagai kesalahan jenayah syariah apabila disabitkan boleh dijatuhi hukuman penjara seperti diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dan beberapa undang-undang lain lagi.
Pemenjaraan dalam Islam bertujuan memberi peluang kepada pesalah menjalani sesi pemulihan dan bertaubat.
Ia bukan hanya bertujuan menyeksa pesalah dengan menarik balik hak kebebasan mereka. Banduan di penjara syariah pula perlu diberi layanan sewajarnya, tidak boleh diseksa dan tidak boleh dinafikan hak mereka untuk mengamalkan agamanya.
Buat masa ini semua pesalah sama ada jenayah sivil atau syariah ditempatkan di penjara sama. Ini bermakna pesalah jenayah syariah seperti berpoligami tanpa kebenaran atau melanggar fatwa mufti, diletakkan di penjara sama dengan pesalah dadah, rogol dan merompak.
Implikasinya dikhuatiri juga pesalah syariah terdedah dengan pesalah lain dan apabila keluar, mereka bukan insaf atas kesalahan yang dilakukan tetapi lebih teruk, cuba melakukan kesalahan lain pula.
Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan mengambil langkah proaktif untuk mengasingkan penjara pesalah syariah daripada pesalah jenayah lain dan modul khusus dibuat bagi memfokuskan dalam tempoh pemenjaraan itu pemulihan akidah, akhlak dan adab dilakukan.
Ini membolehkan mereka melangkah keluar dari penjara dengan penuh keinsafan dan bertaubat untuk tidak mengulangi kesalahan sama. Dari sudut pakaian saja kita sudah boleh melihat pakaian dikenakan banduan di penjara tidak menutup aurat.
Aspek ini kita sudah boleh nampak ketidakpatuhan kepada syariah. Modul, pakaian, layanan dan kegiatan di penjara syariah mesti digarap mengikut piawaian diiktiraf hukum syarak.
Mungkin cetusan pandangan ini membawa implikasi besar dari segi kewangan kerajaan termasuk perbelanjaan dan perjawatan pegawai awam.
Namun pada era 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' penjara syariah amat mendesak keperluannya kerana kadar kesalahan jenayah syariah semakin berganda, apatah lagi penjara sivil terlalu sesak dan tidak memungkinkan pesalah syariah mendapat program yang boleh menginsafkan mereka.
Keperluan penjara berasingan bagi pesalah syariah amat ketara buat masa ini kerana sistem penjara sedia ada gagal mengekang pesalah mengulangi kesilapan mereka.
Sering kita dengar pesalah mengulangi kesalahan mereka semata-mata ingin kembali ke penjara kerana mereka rasa lebih selesa berada di sana.
Kerajaan membelanjakan banyak wang awam bagi menanggung banduan. Sifat punitif pemenjaraan itu dikesampingkan kerana tiada atau kurang nilai keagamaan disemai di dalam penjara.
Penulis bukan mengatakan tiada langsung program keagamaan di dalam penjara tetapi tidak sesuai mencampurkan pesalah berat dengan syariah,
Pendekatan rohani acara terbaik ke arah pendidikan banduan kerana mereka mempunyai lompang rohani yang besar dalam diri dan tersasar jauh daripada landasan keagamaan.
Bagi tujuan pemulihan terutama pesalah akidah, kaunseling agama oleh mereka yang terlatih boleh dilaksanakan. Jabatan kerajaan seperti Jabatan Agama Islam, Jabatan Mufti dan Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh bersama membantu.
Di samping itu badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan juga boleh membantu penjara syariah dalam melaksanakan programnya.
Begitu juga penyelidik dan ahli akademik dari institusi pengajian tinggi perlu turut menjayakan dasar ini.
Program penghayatan agama, peningkatan akhlak Islamiah, pemantapan akidah dan nilai budaya Islam perlu dititikberatkan dalam pelaksanaan modul dakwah di penjara syariah.
Dengan cara ini pesalah syariah menginsafi kesalahan yang mereka dan peluang untuk membuka lembaran baru dalam catatan kehidupan mereka amat besar.
Oleh itu, demi pemulihan adalah kerajaan perlu mengadakan penjara berasingan bagi pesalah syariah.
Pelaksanaan penjara berasingan membawa kesan yang amat besar kepada pesalah dan sistem keadilan syariah di negara ini.
Pada masa sama hukuman lain seperti khidmat masyarakat dan sebatan boleh dilaksanakan di penjara ini.
Hal lain yang berkaitan penjara syariah seperti lokap syariah dan reman perlu difikirkan.
Dengan wujudnya penjara syariah diharapkan pesalahnya dapat dipulihkan dan tidak menjadi tegar seperti banduan di penjara sivil. -Berita Harian-Tulisan Zainur Rijal Abu Bakar
ULASAN: Isu yang ditimbulkan mantan Presidem Persatuan Peguam Syarie Malaysia(PGSM)ini bukanlah sesuatu yang baru,perkara ini telah lama dibangkitkan oleh para peguam syarie,para hakim,dan ahli-ahli perundangan islam yang lain. Mereka merasakan ada satu keperluan untuk diwujudkan satu penjara khusus kepada pesalah jenayah syariah. Saya secara peribadi pernah berbincang dan berbual dengan beberapa orang Hakim Syarie Mahkamah Syariah di Negeri Melaka dalam hal ini dan mereka juga senada mencadangkan syor yang serupa dengan penerapan modul pemulihan khas kepada para pesalah jenayah syariah ini.Saya jua dalam penulisan latihan ilmiah(tesis) peringkat ijazah pertama turut mencadangkan supaya perkara yang sama diambil perhatian oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Berikut petikan penulisan saya tentang perkara ini:
"2. Menyusun program pemulihan yang khusus, penekanan kepada aspek kerohanian dengan modul yang tersendiri.
Satu program pemulihan khusus seumpama program yang telah dirangka pihak kerajaan,swasta, dan NGO untuk pemulihan penagih dadah perlu diwujudkan dan diadakan kepada golongan lelaki berlagak seperti perempuan(mak nyah) ini agar mereka dapat kembali ke pangkal jalan menjalani kehidupan normal seperti sediakala. Program pemulihan ini perlulah menumpukan kepada aspek jasmani dan rohani. Dengan penumpuan yang lebih kepada aspek rohani. Kuliah agama yang bertunjangkan ilmu akidah, syariah, dan akhlak mesti dititik beratkan, sesi muhasabah diri dan mengenali diri yang sebenar, dan sebagainya. Semua ini perlu dirangka secara sistematik dan dalam bentuk modul agar lebih mudah meresap, dicerna, dan dihadam serta menarik minat oleh golongan sasaran dan yang penting dapat merubah diri mereka menjadi lebih baik.
3. Pengwujudan penjara khusus untuk pesalah syariah.
Idea ini ditimbulkan kepada penulis semasa sesi temubual secara tidak formal penulis dengan 2 orang hakim mahkamah rendah. Mereka ialah Yang Arif Tuan Che Saupi Bin Che Husin,(Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Jasin Melaka) kini Timbalan Pengarah Biro Bantuan Guaman Negeri Perak, dan Yang Arif Tuan Mohammad Zamri Bin Roslan,Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Alor Gajah Melaka. Cadangan ini amat baik sekali dan perlu dipertimbangkan. Bukan untuk mengatakan prasarana penjara yang sedia ada sekarang tidak baik tetapi penulis merasakan pengwujudan penjara khusus kepada pesalah jenayah syariah ini satu keperluan. Tambahan pula, bentuk-bentuk kesalahan yang dilakukan oleh pesalah jenayah syariah dan pesalah sivil adalah jauh berbeza dan pastinya kaedah untuk menangani mereka juga begitu. Islam mempunyai cara dan kaedah yang boleh digarap dan diambil untuk memberi pengajaran dan hukuman terhadap pesalah ini dan ia boleh diketengahkan apabila terbinanya penjara syariah itu nanti.
Selain itu, kewujudan penjara ini boleh membawa kebaikan kepada pesalah jenayah syariah terutamanya pesalah lelaki berlagak seperti perempuan kerana mereka tidak akan menjadi mangsa gangguan seksual dan habuan seks luar tabi’golongan spesis kaum Nabi Allah Luth a.s. Keadaan ini secara tidak langsung dapat membantu dan mempercepatkan proses pemulihan diri golongan menjadi insan yang normal dan kembali ke pangkal jalan. Dengan penekanan dan pengisian bercorak kerohanian(keagamaan) diutamakan di sampingkan aktiviti fizikal yang tidak diabaikan."
(Pesalah Berulang Syariah Lelaki Berlagak Seperti Perempuan: Analisa Seksyen 72 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 Menurut Perspektif Para Pegawai Syariah Negeri Melaka.Kajian Kes Di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Melaka Tengah Melaka,Mohd Zamri Abdul Hazis,2009,halaman 103-104).
Diharapkan pihak kerajaan dapat mengambil cakna dalam soal ini dan pihak-pihak yang disebutkan di atas boleh berganding bahu demi meninggikan kedudukan dan martabat Mahkamah Syariah dalam sistem kehakiman di negara kita dan tidak dipandang sepi dan hanya berstatus kelas dua.
Sekian,terima kasih,wassalam. Wallahual'am
apa2 aja...
13 years ago
0 ulasan:
Post a Comment