HIBAH
Definsi
Hibah secara literalnya, diambil dari kata (هبوب الريح) perjalanan atau tiupan angin . Ada pendapat yang menyatakan hibah jua bermakna orang yang bangun daripada tidur, seolah-olah pelakunya bangun daripada tidur, dan terkejut menerima penerimaan.
Dari segi syarak ialah pertukaran hak milik sesuatu secara mutlaq ketika masa hidup tanpa sebarang iwadh(gantian) walaupun daripada orang yang lebih tinggi.
(Rujukan Raudhah Al-Talibin Jilid 4 halaman 426)
Hibah juga dari segi bahasa bererti pemberian.
Dari segi istilah syarak: suatu akaq yang mengandungi pemberian hak milik oleh seseorang terhadap hartanya kepada orang lain pada masa hidupnya dengan tidak mengharapkan balasan.
(Rujukan Buku Sistem Pengagihan Harta Pusaka Islam halaman 107)
Kitab Fiqh Al-Manhaji Jilid 5 pula menakrifan hibah atau anugerah dari segi bahasa ialah suatu pemberian yang diberikan bukan kerana tanggungjawab tertentu dan pemberian ini memberi manfaat kepada penerima.
Menurut istilah syarak ialah suatu kontrak yang merujuk kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian ketika masih hidup dan dilakukan secara sukarela. (Rujukan Al-Fiqh Al-Manhaji Jilid 5 halaman 1449-1450)
Kesimpulan
Hibah ialah satu bentuk kontrak pemindahan atau pemberian hak milik dari satu pihak ke satu pihak yang lain tanpa mengharapkan balasan atau gantian,berlaku dalam keadaan tidak dipaksa(sukarela) ketika masih hidup. Semua takrif tadi termasuk dalam jenis hibah yang disebut sebagai hibah mutlaq.
Dalil Hujahan.
1. Al-Quran
Firman Allah s.w.t:
وهب لنا من لدنك رحمة انك أنت الوهب
Maksudnya: Dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
(Surah A-li-Imran ayat 8)
وءاتوا النساء صدقتهن نحلة فان طبن لكم عن شيء منه نفسا فكلوه هنيئا مريئا
Maksudnya: Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah(gunakanlah) pemberian(yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.
(Al-Nisaa ayat 4)
2. Hadith
Sabda Rasulullah s.a.w:
قد كان لرسول الله صلى الله عليه وسلم جيران من الأنصار كانت لهم منائح وكانوا يمنحون رسول الله صلى الله عليه وسلم من ألبانهم فيسقينا
Maksudnya: Rasulullah s.a.w berjiran dengan seorang Ansar dan mereka mempunyai manihah(anugerah). Mereka memberi susu kepada Rasulullah s.a.w dan Baginda memberikannya kepada kami untuk diminum.
(Hadith Riwayat Bukhari,no.2972)
Manihah dalam hadith ini bermaksud unta atau kambing yang mempunyai susu.
عن خالد بن عدى أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: من جاءه من أخيه معروف من غير اسراف ولا مسالة فليقبله ولايرده قائم هو رزق ساقة الله اليه
Maksudnya: Dari Khalid bin Adi: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Barangsiapa yang diberi oleh saudaranya kebaikan dengan tidak berlebih-lebihan dan tidak dia minta hendaklah diterimanya(jangan ditolak), sesungguhnya yang demikian itu pemberian yang diterima oleh Allah kepadanya. (Hadith Riwayat Ahmad)
3. Ijmak Ulama
Para fuqaha Islam pada sepanjang zaman sependapat bahawa sebarang bentuk anugerah(hibah) adalah digalakkan kerana amalan ini sebahagian daripada budaya bekerjasama. Firman Allah s.w.t:
وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الاثم والعدون واتقوا الله ان الله شديد العقاب
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah bertolong-tolongan pada melakukan dosa(maksiat) dan pencerobohan Dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab sekesaNya( bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
(Surah Al-Maa’idah ayat 2)
Rukun Hibah
1. Orang yang menghibah
2. Orang yang menerima hibah
3. Barang dihibahkan
4. Sighah(Ijab dan Qabul)
Setiap rukun ini ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi. Syarat-syarat tersebut ialah:
Syarat-syarat Hibah
1. Syarat-syarat pemberi hibah:
1. Baligh.
2. Berakal.
3. Tidak ditegah mempergunakan harta.
4. Dengan kerelaan hati.
5. Memiliki barangan yang diberikan.
2. Syarat-syarat penerima hibah
Mempunyai keahlian dalam memiliki harta yang dihibahkan kepadanya. Tidak sah jika:
i. Penerimannya ialah kanak-kanak yang masih dalam kandungan ibunya.
ii. Penerimanya ialah haiwan.
3. Syarat-syarat barang yang dihibahkan
i. Hendaklah ianya suci
ii. Ada manfaatnya.
iii. Dapat diserahkan
iv. Pemilik mempunyai kekuasaan untuk memberi.
v. Diketahui(dimaklumi oleh pemberi dan pemilik).
4. Syarat-syarat sighah(ijab dan qabul)
i. Hendaklah ijab itu diikuti oleh qabul dengan segera.
ii. Didengari oleh orang yang hampir kepadanya.
iii. Maksud yang difahami oleh kedua belah pihak.
iv. Tidak bertaqlik atau bersyarat.
v. Tiada tempoh waktu.
vi. Ijab tidak berubah sebelum qabul.
Hak Milik Selepas Hibah
Barangan yang diberikan belum menjadi milik penerima kecuali dengan kebenaran pemberi hibah. Jika berlaku kematian salah seorang dari penerima atau pemberi maka waris pemberi atau penerima hibah yang mati itu mestilah menjadi pengganti dalam melakukan penerimaan dengan izin atau membatalkan pemberian tersebut.(Rujukan Buku Sistem Pengagihan Harta Pusaka Islam halaman 108-109).
Berdasarkan pendapat Jumhur Fuqaha(Mazhab Syafie, Hanafi, dan Hanbali) hibah hanya berlaku setelah barang yang dihibahkan itu berada di tangan(القبض) atau di dalam milik penerima hibah, bukan hanya dengan aqad semata-mata. Bila mati pemberi hibah atau penerima hibah sebelum berlaku penyerahan maka hiba itu batal. Sebaliknya, mazhab Maliki berpendapat, bila pemberi hibah atau penerima hibah mati sebelum penyerahan hibah atau berada di tangan penerima hibah,maka hibah itu tidaklah batal. Kerana hanya dengan aqad semata-mata hibah telah menjadi milik penerima hibah.
(Rujukan Al-Fiqh Al-Islami Wa Al-Adilatuhu Jilid 7 halaman 19-21)
Jenis-jenis Hibah
Hibah dibahagikan kepada beberapa jenis hibah. Antaranya ialah hibah ain(benda) dan hibah manfaat.Hibah ain ialah yang diqasadkan(diniatkan) pada balasan dan ada yang tidak diqasadkan(diniatkan) padanya balasan. Dan yang diniatkan padanya balasan iaitu mengharapkan balasan dari Allah dan mengharapkan balas daripada makhluk(manusia). Adapun hibah jenis tanpa balasan(mutlaq) tiada perselisihan akan keharusan, manakala hibah al-sawwab maka berselisih para fuqaha tentangnya. Ringkasnya hibah ini boleh dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu hibah(hibah mutlaq)tidak ada balasan dan hibah al-sawwab(bissawwab) yakni hibah dengan balasan.
Hibah Bi Al-Sawwab(Hibah Bissawwab).
Hibah jenis kedua ialah hibah bi al-sawwab. Kitab Ahsyaru Al-Muhtasar Fi Al-Fiqh Ala Mazhab Al-Imam Ahmad Ibnu Hambali(Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman Al-Jabrini) mendefinisikan hibah bi al-sawwab ialah hibah yang disyaratkan untuk pemberiannya balasan. Dengan maksud yang lain,sesungguhnya individu yang memberi sesuatu pemberian itu mengharap ganjaran(balasan) daripada pemberiannya, maka inilah yang dikatakan hibah bi al-sawwab. Sepertimana katanya: Aku hadiahkan kepada engkau kitab ini atau saya kurniakan engkau kitab ini dan gantikanlah kepada saya sesuatu sebagai balasan dan maka sesungguhnya ini yang dinamakan hibah bi al-sawwab. Ia juga adalah termasuk dalam jenis jual beli, hukum dan syaratnya adalah seperti jual beli. Dari segi hukumnya para ulama berselisih pendapat. Imam Malik dan Imam Abu Hanifah r.ah mengharuskannya,manakala Imam As-Syafie, Daud, dan Abu Thur menegahnya. Sebab perselisihan mereka ialah adakah ini adalah jual beli yang tidak diketahui nilai atau bukan jual beli yang tidak diketahui nilainya?. Golongan yang berpegang pada pandangan yang pertama menyatakan ia adalah daripada jenis jual beli gharar(tidak pasti) yang tidak harus. Adapun yang berpendapat sebaliknya mengharuskannya.
(http://www.taimiyah.org/Display.asp?f=3khwq-00003.htm)
Fiqh Syafii Jilid 2 halaman 136 menyatakan boleh dilakukan pemberian itu dengan bersyarat supaya diberi pula( balas), umpamanya kata seorang: “ Aku berikan barangku ini kepadamu dengan syarat bila engkau berikan pula barang engkau itu kepadaku”. Dalam hal ini, bila syarat tidak dipenuhi, maka pemberian itu boleh diminta kembali.
(Rujukan Fiqh Syafii Jilid 2 halaman 136)
Sabda Nabi Muhammad s.a.w:
عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: وهب رجل لرسول الله صلى الله عليه وسلم ناقة فأثابه عليها فقال: رضيت؟ قال: لا فزاده فقال: رضيت؟ قال: لا فزاده فقال: رضيت؟ قال: نعم.
Maksudnya: Dari Ibnu Abbas r.a berkata ia: “Pernah seorang lelaki memberikan kepada Rasulullah s.a.w seekor unta betina,lalu dibalas beliau pemberian itu dan beliau bersabda: Telah redakah kamu? Jawab lelaki itu: Belum, Rasulullah lalu menambah balasannya itu dan bersabda: Telah redakah kamu?. Jawab lelaki itu: Belum. Lalu ditambah lagi pemberian itu, kemudian beliau bersabda: Telah redakah kamu?. Jawab lelaki itu: Ya, sudah.(Hadith Riwayat Ahmad dan dianggap sahih oleh Ibnu Hibban).
Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani r.ah dalam kitab Bulughul Maram menyatakan hadith ini menunjukkan bahawa memberi balasan orang yang memberi hadiah itu disyaratkan harus sampai orang itu merasa senang dan puas.
(Rujukan Bulughul Maram halaman 548-549).
Syed Sabiq r.ah pula berkata: Disunatkan membalas hadiah sekalipun hadiah itu dari orang yang lebih tinggi kepada orang yang lebih rendah. Argumentasi beliau ialah sebuah hadith dari Aishah r.a yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Abu Daud, dan Al-Timirdzi:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يقبل الهدية ويثيب عليها
Maksudnya:
Dari Aishah r.a berkata dia: “Adalah Rasulullah s.a.w menerima hadiah dan membalasnya”.
Dan lafaz Ibni Abi Syihab:
ويثيب ما هو خير منها
Maksudnya:
“Dan membalas dengan apa yang lebih baik darinya”.
(Al-Fiqh Al-Sunnah halaman 173-174)
Menurut Sayidina Umar Ibnu Khattab r.a siapa yang menghibahkan suatu hibah kerana silaturahim atau atas segi sedekah, maka ia tidak dapat mengambil kembali sedekah dan hibah itu. Dan siapa yang menghibahkan suatu hibah yang ia melihat bahawa ia mengkehendaki balasan, maka dia itu atas hibahnya, dapat ia mengambil kembali,kalau ia tidak rela dengan hibah itu.(Al-Umm Jilid 5 halaman 356)
apa2 aja...
13 years ago
0 ulasan:
Post a Comment