1. Bahawa Allah SWT menjadikan ujian sebagai sunnah-Nya, supaya Dia mengetahui di kalangan hamba-Nya yang jujur dan mana yang berdusta, mana yang benar-benar beriman dan mana yang munafik. Jika sekiranya semua perkara itu mudah dan penuh dengan kesenangan, nescaya semua orang akan mengaku bahawa dia adalah seorang yang jujur, benar dan beriman. Akan tetapi, Allah mengetahui orang-orang yang benar-benar jujur dan orang yang melaksanakan solat lima waktu.
2. Antara pelajaran yang dapat diambil daripada setiap ujian, iaitu membersihkan orang-orang yang komited dalam perjuangan mendaulatkan Islam, supaya Allah mengetahui siapa orang-orang yang menghina orang-orang soleh dengan pelbagai tindakan jahat, termasuk para da'ie, penuntut ilmu, para ulama dan para wali Allah.
3. Antara rahsia daripada ujian dan cubaan yang diturunkan Allah ke atas permukaan bumi ini, iaitu penghapusan pelbagai kesalahan dan dosa yang terdapat pada diri orang-orang pilihan, sehingga Allah akan gugurkannya hingga ke akar umbinya.
4. Bahawa agama Islam ini, meskipun sering diberitakan bahawa ia sudah menang dan berjaya, sebenarnya di tengah-tengah perjalanan, masih penuh pelbagai cabaran dan tentangan, cubaan dan konspirasi jahat yang merintang, sehingga seorang mukmin masih bimbang menghadapi pelbagai konspirasi busuk yang dilancarkan syaitan yang berupa manusia terkutuk dari setiap pintu, jendela dan setiap arah.
5. Kita mampu menyingkap pelbagai konspirasi jahat musuh-musuh Islam, hingga kita mengetahui bahawa konspirasi busuk mereka tidak terbatas pada satu dimensi sahaja, akan tetapi datang dari semua arah dan tempat, pembunuhan, penjara, pengusiran, pencemaran nama baik, pembohongan, tipudaya dan sebagainya. Akan tetapi semua itu akan berakhir dengan kegagalan.
6. Antara pelajaran yang dapat diambil daripada ujian yang ditimpakan, iaitu agar seorang hamba sentiasa berjuang dan bangkit daripada jurang kerendahan dan kehinaan, serta berjuang kembali dengan tenaga dan semangat baru dan mengembalikan aktivitinya setelah keluar daripada ujian ini dengan jayanya.
7. Hendaklah seorang hamba itu merendahkan diri, patuh, tunduk dan berlindung kepada Allah serta bermunajat kepada-Nya, kerana kemenangan hanya ada di tangan-Nya dan kemuliaan hanya wujud dengan merendah diri kepada-Nya.
8. Kejujuran dan keyakinan tauhid hanya kepada Allah SWT. Hal ini dapat diketahui oleh orang yang telah cuba menerapkan kalimah La ilah Ilallah, di mana kejujuran yang kukuh tidak akan nampak kecuali saat hamba itu mendapat ujian, maka itulah ucapan kalimah tauhid yang diungkapkan dengan penuh kejujuran dan keyakinan dari dalam hatinya.
9. Ujian dan cubaan yang diturunkan Allah adalah untuk menguji sejauhmana keimanan hambaNya. Seseorang insan tidak boleh berdabik dada menyatakan beriman tanpa diuji dan dicuba oleh Allah. Firman Allah s.w.t:
أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا ءآمنا وهم لا يفتنون
Maksudnya: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan"(Surah Al-Ankabut ayat 2)
Yakni orang-orang Islam tidak cukup dengan hanya beriman dan mengaku menjadi Islam sahaja, tetapi hendaklah mereka sabar dan tabah hati menerima ujian,sama ada ujian itu berupa perintah-perintah agama yang wajib dilaksanakan atau berupa larangan-larangan agama yang wajib dijauhi atau yang berupa kesusahan dan kemalangan yang menimpa diri dan harta benda. Dengan ujian yang demikian mereka akan beroleh pahala disebabkan kesabaran mereka dan akan ternyata pula orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan yang sebaliknya.(Tafsir Pimpinan Al-Rahman,Jakim,nota 1337 halaman 1031)
10.Allah mahu kita sentiasa berada dalam situasi dan keadaan berdoa,bermunajat,dan mengingati Allah. Kelaziman manusia apabila ditimpa musibah atau ujian akan menghampirkan diri kepada Allah. Maka beruntunglah mereka yang kerap diuji dan dicuba Allah.
Wallahual'am.
apa2 aja...
13 years ago
0 ulasan:
Post a Comment