Wednesday, October 14, 2009

Malik Bennabi:Fenomena Al-Quran: Esei Tentang Teori Berkenaan Al-Quran

Buku: Fenomena Al-Quran: Esei Tentang Teori Berkenaan Al-Quran
Pengarang: Malik Bennabi
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad
Pengulas: Muhd Yusuf Abu Bakar.

FENOMENA Al-Quran, hasil tulisan Malik Bennabi berasal dari Algeria yang menuntut di Perancis, ini boleh dijadikan rujukan bagi mereka yang ingin melihat al-Quran dari sudut kajian ilmiah.

Pendekatan yang digunakan Bennabi untuk membuktikan hakikat kitab suci itu wahyu Allah yang disampaikan kepada manusia melalui Nabi Muhamad SAW digarap begitu menarik sekali, malah ia menjadi teks penting kepada orang bukan Islam yang ingin mengetahui mengenai al-Quran dan Islam.

Ternyata hasil tulisan Bennabi pada sekitar Perang Dunia Kedua iaitu pada 1943, masih lagi relevan sehingga kini dan pendekatan yang diambil untuk membuktikan mukjizat Al-Quran sebagai wahyu Allah dan juga pengadilan ke atas semua usaha dan dakwaan mengenai kekurangan kitab suci itu berjaya disingkap beliau.

Bennabi turut menggunakan pendekatan psikoanalitik dalam kajian mengenai fenomena al-Quran dengan mengambil pendekatan aliran ahli falsafah Perancis Rene`Descartes yang menggunakan kaedah keraguan untuk melihat kebenaran yang dibawa Nabi Muhamad SAW yang pada asalnya buta huruf dan tidak mempunyai ilmu dan latar belakang sebelum penurunan wahyu yang membentuk al-Quran.

Pengarang menganggap usaha untuk membuat kajian mengenai al-Quran semakin mendesak bagi membolehkan umat Islam menjadikan al-Quran sebagai pegangan kukuh akidah dan keimanan berasaskan persepsi mantap terhadap nilai al-Quran sebagai kitab yang diwahyukan.

Selain itu, bukan Islam boleh menggunakan buku ini untuk pengajian akademik.

Ternyata bagi mereka yang ingin membaca buku mengenai kajian al-Quran berasaskan nilai akademik tinggi, buku ini wajib dijadikan asasnya untuk melihat susur galur sejarah, kenabian, wahyu dan perbandingan agama yang memantapkan lagi hujah kebenaran al-Quran diturunkan Allah kepada manusia.

Malah, cara Bennabi membuat perbandingan kisah Nabi Yusuf melalui versi al-Quran dan kitab Injil (Bible) secara berurutan ayat cukup menarik untuk melihat ketepatan ayat yang diturunkan Allah dengan penulisan yang dihasilkan manusia berasaskan wahyu yang diturunkan Allah kepada Nabi Isa.

Namun apa yang menarik, dua kisah yang digambarkan pengarang mengenai kesan mukjizat al-Quran kepada Umar bin al Khatab yang memeluk Islam sebaik saja mendengar ayat suci itu dibaca adiknya. Manakala, pemimpin Quraish, al-Walid bin al Mughirah yang mengagumi al-Quran dan hampir memeluk Islam, namun mengakhiri kesimpulan dan berkata, “Dia (Muhamad) ialah seorang tukang sihir yang menanam bibit kebencian antara seorang anak dengan bapanya...”.

Bennabi turut mencatatkan beberapa aspek al-Quran yang menakjubkan termasuk perkataan yang diturunkan Allah namun tidak difahami contohnya, Alif, Lam, Mim dan lain-lain yang turut tidak diketahui Muhamad SAW sendiri.

Malah, beliau turut menggarapkan keserasian al-Quran dengan hal semasa yang berlaku kini selepas lebih 1,400 tahun, kitab itu diturunkan. Buku ini bermanfaat untuk mengenal al-Quran dan bagaimana kesannya dalam kehidupan sejagat.

1 ulasan:

arnamee said...

Salam.

Perkongsian menarik. Lo jumpe kat kedai bukunyer mesti lepas beli, ae sni,trus bce.
hnks kungsi sikit sni:)