Oleh Roosfa Hashim.
ALLAHYARHAM Said Ibrahim adalah seorang mufti dan ulama yang telah memperlihatkan sumbangan yang besar dalam menegakkan syiar Islam di negara ini. Rekod perkhidmatannya menampilkan ciri-ciri beliau sebagai seorang pemuka atau pemimpin agama yang giat membimbing dan memandu umat Islam dalam masalah-masalah agama mahupun masalah sehari-hari yang diperlukan baik dari sisi keagamaan ataupun sosial kemasyarakatan.
Sungguhpun telah hampir sedekad meninggal dunia, Haji Said Ibrahim masih diingati kerana dua sifat dan sikapnya, iaitu seorang mufti yang tegas dan ulama terbilang. Ketegasannya amat ketara terutama apabila menetapkan sesuatu hukum, atau semasa menjawab apa juga persoalan dan kemusykilan yang dikemukakan kepadanya. Beliau tidak ragu-ragu menyatakan pendapatnya sungguhpun apa yang dilafazkannya itu memang disedarinya tidak menyenangkan beberapa pihak.
Ulama kelahiran Kelantan pada 1923 ini kemudian mendapat pendidikan di Jambi, dan Tanah Suci Mekah. Jambi adalah tanah tumpah darah kedua-dua orang tuanya yang kemudian merantau hingga ke Kelantan. Apabila orang tuanya kembali ke Jambi, Said mengambil peluang mengaji di pondok di Sumatera khususnya di Jambi. Dari Jambi Said belayar ke Mekah dan mengaji ilmu agama di Masjidil Haram.
Beliau kemudian memulakan kegiatan dakwahnya dengan mengajar di pondok di Kelantan sebelum merantau ke Singapura. Said bersama isteri dan anak sulungnya singgah di Lipis dan menjadi tukang jahit beberapa ketika di situ sementara menunggu tawaran bekerja di Singapura. Di Singapura beliau mengajar di Madrasah al-Hidayah pada sekitar 1954-56 serta menjadi pegawai agama tentera British. Beliau sempat juga menjadi Yang Dipertua, Persatuan Guru-guru Agama Singapura (PERGAS) antara 1963-68. Banyak kegiatan yang dianjurkan oleh PERGAS sewaktu dipimpin oleh Said.
Dari Singapura Said terbang pula ke Brunei dan mengajar di Sekolah Menengah Arab di Brunei. Beliau turut terlibat dalam menyusun sukatan pelajaran untuk Maktab Perguruan Agama Brunei ketika itu. Selepas berkhidmat tiga tahun di Brunei antara 1968-71, Said dilantik pula menjadi Pegawai Penerangan Agama di Sabah dan bergerak bersama-sama Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA). Antara 1972-75 Said menjadi Imam Masjid Negara.
Kerana pengetahuannya yang luas dalam hal keagamaan dan hukum-hakam, Said kemudian dilantik pula menjadi Mufti Negeri Sabah antara 1975-78. Ketika itu Said berkhidmat di bawah pentadbiran Datuk Harris Salleh sebagai Ketua Menteri Sabah. Dari Sabah beliau terbang dan kembali berkhidmat dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebagai Pakar Rujuk berkaitan syariat Islam. Kemudian semasa pentadbiran Datuk Pairin Kitingan, Said dilantik bagi kali kedua sebagai Mufti negeri Sabah antara 1985-89.
Haji Said sepanjang usianya berdakwah tidak langsung menunjukkan minatnya untuk terjun ke dalam arena politik. Meskipun ada sahabat karibnya seperti Tok Jiring yang terjun ke dalam dunia politik dan berjaya mendapat kedudukan yang baik dan kemudiannya dikenang dan diabadikan namanya pada sebuah sekolah di Terengganu, Said langsung tidak pernah terlibat dengan bidang tersebut. Walau bagaimanapun, apabila menyatakan pandangannya tentang hukum hudud beliau tidak pula menyembunyikan pandangannya yang agak kritikal adn berterus terang.
berterus-terang
Sebagai seorang mufti dan pakar rujuk kerajaan, ada ketika pendirian dan pandangannya yang berterus-terang itu menimbulkan polemik dalam kalangan pentadbir dan pemimpin politik dan ada juga yang tidak disenangi. Kadang-kadang kenyataannya yang bersifat politik itu digunakan pula sebagai hujah oleh pihak pembangkang. Said sedar bahawa di pihak kerajaan juga terdapat kesedaran bagi melaksanakan hukum Allah dan kerana itulah beliau berkata benar. Said juga insaf akan kedudukannya sebagai penjawat awam yang terikat dengan pelbagai peraturan.
Pendapat yang dikemukakan oleh Said dalam tulisan-tulisannya terutamanya tentang hukum hudud bukanlah semata-mata bermaksud menyebelahi pembangkang tetapi demi menegakkan kebenaran. Oleh yang demikian pendirian Haji Said ini tidak sepatutnya dilihat sebagai bersikap anti establishment. Pendiriannya yang tidak popular ini lebih didorong oleh sikapnya yang sentiasa berpegang pada kebenaran. Bagi Haji Said, apabila beliau mengkritik kerajaan bukanlah bermakna beliau menentang kerajaan. Tidak ada gunanya jika kita menjadi sokong yang membawa rebah. Memang dalam banyak keadaan kita mesti memilih untuk berubah, jika tidak, kita pasti akan rebah.
Tidak pernah sama sekali kita lihat arwah mengambil jalan tengah semata-mata mahu menyedapkan hati orang tertentu. Beliau menyatakan apa saja kebenaran meskipun pahit untuk ditelan. Demikianlah tegasnya Allahyarham Haji Said Ibrahim dalam menegakkan kebenaran.
Ketegasan Haji Said juga dapat kita lihat dalam beliau menjalani perancangan hidupnya. Setiap kali apabila beliau sudah membuat keputusan, beliau akan menurut apa saja kata hatinya asalkan keputusannya itu diyakininya berada pada landasan syarak. Ketegasannya inilah yang telah menghantarnya jauh hingga ke Makkah meskipun beliau bukanlah datang dari keluarga yang berada.
Demikianlah juga apabila menetapkan hendak ke Singapura dan singgah di Kuala Lipis, beliau mengharunginya dengan yakin dan tabah. Semasa menjadi imam Masjid Negara, beliau pernah memohon cuti untuk mengerjakan haji di Mekah tetapi permohonannya tidak diluluskan atas alasan pentadbiran. Oleh sebab telah memutuskan hendak menunaikan haji sebaik mengetahui permohonannya ditolak dan ini dapat menahan niatnya ke tanah suci, maka, Haji Said terus mengutus surat meletakkan jawatan sebagai imam Masjid Negara. Tidak ada apa yang dapat menghalang niat dan hajatnya kecuali kuasa Allah. Demikianlah ketegasan Said Ibrahim dalam meniti kehidupannya.
Beliau tidak pernah bimbang akan kehilangan pekerjaan kerana Said penuh yakin pintu rezekinya berada pada ketentuan Allah. Tuhan tidak akan melupakan hamba-Nya yang murah hati dengan ilmu. Dengan sedikit sebanyak wang sagu hati yang berikan kepadanya apabila menyampaikan ceramah, wang hasil jualan buku dan honorariumnya menulis di akhbar dan majalah lebih dari cukup untuk beliau menyara hidup lapan orang anaknya dengan serba sederhana.
Sikap kedua yang kental pada Allahyarham Haji Said memang amat langka pada kebanyakan ulama ialah kebolehannya berbahasa Arab dengan fasih, iaitu salah satu bahasa utama di dunia. Beliau juga memiliki pelbagai minat dan kebolehan selain menjadi mufti beliau juga terus menjadi pendakwah bukan sekadar menjalankan kerja pentadbiran di pejabat. Masanya yang cukup padat diisinya juga dengan menulis dan kemudian menjadi editor, melakukan penterjemahan dan juga menjadi penerbit. Jiwanya mendesak Said agar tekun dan rajin menulis tanpa mempedulikan jadual kerjanya yang memang sudah ketat dengan kuliah, ceramah selain urusan pentadbiran di pejabat. Jika terlalu sibuk, Said menulis berdikit-dikit. Sehari sesuku, lama-lama menjadi buku.
Beliau menguasai ilmu mantik dan ilmu logik, ilmu fikah dan tauhid selain bukunya menunjukkan beliau juga memiliki kepakaran dalam ilmu perbankan. Sepanjang hayatnya beliau telah menulis dan menerbitkan lebih dua puluh judul buku dan kitab. Pada hari ini memang boleh dibilang dengan jari seorang ulama yang memiliki kesemua kebolehan ini. Dengan setiap kebolehan inilah yang menjadi ramuan lengkap menghasilkan resipi terbaik yang melengkapkan peribadi Allahyarham Haji Said Ibrahim muncul sebagai seorang ulama terbilang.
Dalam zaman yang serba moden ini, dengan segala kemudahan berkomunikasi dan jalinan pengangkutan yang serba pantas belum tentu setiap orang bersedia meninggalkan kampung halamannya bertahun-tahun untuk menuntut ilmu di tempat yang jauh. Dengan kemudahan penulisan yang serba mudah berbantukan komputer, belum tentu dapat menjadikan semua orang penulis yang prolifik seperti Said Ibrahim.
terbilang
Kerana sifatnya yang terbilang itulah Said Ibrahim dihargai dan diberikan pengiktirafan. Said yang hanya lulus daripada pondok pengajian di Jambi dan kemudian ke Mekah dianugerahkan sarjana kehormat Universiti Kebangsaan Malaysia, sesuatu yang tidak pernah diimpikannya. Pada hujung perjalanan hidupnya beliau berdiri dengan rendah diri di hadapan para sarjana dan cendekiawan pengajian Islam dan pakar pelbagai bidang ilmu yang lain. Pada 1991 Said Ibrahim dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Wilayah Persekutuan.
Selain rumahnya yang sebuah di Gombak, Said Ibrahim tidak meninggalkan harta benda dan kekayaan dunia. Beliau meninggalkan anak-anaknya yang soleh. Sedekah jariahnya yang kita ketahui adalah dalam bentuk bukunya yang dirompak lanun penerbitan. Karyanya disalin dan diulang cetak. Haji Said menghalalkan semua itu demi ilmu dan amalnya. Ilmunya juga banyak sudah ditaburkan selama beliau hidup dan kebanyakannya ditulis dan diterbitkan. Itulah harta peninggalannya yang paling berharga. Said Ibrahim berharap ilmu yang ditinggalkannya itu akan dimanfaatkan oleh umat Islam dan generasi akan datang selepas putus hubungannya dengan dunia yang serba fana ini.
apa2 aja...
13 years ago
0 ulasan:
Post a Comment