Menyentuh Kaabah atau Hijr Ismail semasa tawaf
Jika disentuh dengan sengaja maka akan terbatal pusingan tawaf tersebut. Jika tidak sengaja maka tidak batal pusingan tawaf, boleh teruskan tawaf seperti biasa.
Jangan sekali-kali menyentuh Kaabah ketika tawaf walaupun jemaah amat hampir dengan Kaabah semasa tawaf. Terdapat kes jemaah yang begitu teruja untuk menyentuh Kaabah ketika tawaf disebabkan kedudukannya amat hampir dengan Kaabah.
Sabar, ini mungkin ujian Allah, jika berhasrat hendak menyentuh Kaabah pastikan telah selesai tawaf dengan sempurna. Begitu juga dengan Hijr Ismail.
Menyentuh Makam Ibrahim semasa tawaf
Jika disentuh Makam Ibrahim tidak membatalkan pusingan tawaf. Begitu juga berjalan melaluinya semasa tawaf.
Keraguan berkaitan bilangan tawaf selepas tawaf
Jika perasaan keraguan yang timbul selepas selesai amalan haji atau umrah maka keraguan tersebut tidak boleh ambil kira.
Sila abaikan keraguan yang datang setelah sempurna amalan haji atau umrah kita, banyakkan baca surah al-Nas dan berdoa.
Sekiranya keraguan datang semasa tawaf, contohnya berapakah bilangan tawaf yang dilakukan? Maka berpegang pada kiraan bilangan yang kecil, contoh tujuh atau enam.
Maka hendaklah berpegang pada enam dan hendaklah tawaf dengan satu pusingan lagi untuk cukupkan tujuh dengan yakin. Begitu juga semasa saie.
Mula tawaf pada bukan penjuru Hajarul Aswad
Tawaf yang dimulakan pada penjuru selain dari Hajarul Aswad adalah tidak sah, jemaah perlu membuat tambahan pusingan tawaf, ini kerana tawaf yang dimulakan pada penjuru selain dari Hajarul Aswad adalah batal dan tidak diambil kira.
Masuk dalam Hijr Ismail ketika tawaf
Semasa sedang tawaf jemaah haji tidak dibenarkan menyentuh, masuk atau hanya melalui laluan dalam Hijr Ismail kerana ia adalah sebahagian daripada Kaabah.
Begitu juga semasa tawaf tidak boleh menyentuh Kaabah (termasuk kelambu Kaabah) dan Syazarwan.
Sekiranya berhajat hendak memasuki Hijr Ismail untuk bersolat atau berdoa dalamnya atau menyentuh Kaabah atau Syazrawan pastikan telah sempurna tawaf dengan yakin.
Peringatan untuk jemaah haji atau umrah bahawa kelambu Kaabah adalah wangi pastikan sekiranya masih dalam larangan ihram pastikan tidak terlalu asyik dengan bau wangian pada kelambu Kaabah. Jika berbuat demikian dikira berdosa dan dikenakan dam.
Tawaf menggunakan kerusi roda
Jika tidak berupaya tawaf dengan berjalan kaki maka jemaah diboleh bertawaf dengan menaiki kerusi roda.
Orang yang sihat juga boleh bertawaf dengan menaiki kerusi roda, ini kerana tawaf dalam keadaan berjalan kaki adalah termasuk dalam kategori amalan sunat semasa tawaf.
Rasulullah SAW pernah tawaf dalam keadaan menunggang binatang. Melakukan tawaf dalam keadaan menunggang tanpa uzur, hukumnya harus.
Pastikan sorongan yang dibuat hendaklah cukup tujuh pusingan. Keadaan tawaf adalah tidak sah jika orang yang disorong tidur dalam keadaan papan punggung yang tidak tetap dan tidak pula mengetahui bilangan sorongan yang dibuat.
Pastikan orang yang akan membantu untuk sorongan tawaf tersebut boleh dipercayai dan dibuat urusan dengan jelas antara kedua belah pihak, ini bagi mengelak berlaku penipuan.
Pastikan aurat juga dijaga semasa tawaf menggunakan kerusi roda, khususnya jemaah wanita, pastikan tidak menampak aurat kaki atau betis semasa duduk di atas kerusi roda, pastikan stoking panjang dan sesuai untuk menutup aurat kaki.
Tawaf dengan yakin cukup tujuh pusingan
Pastikan tawaf yang dilakukan adalah diyakini cukup tujuh pusingan. Sekiranya tidak yakin hendaklah membuat tambahan pusingan.
Sering berlaku jemaah tawaf tidak cukup tujuh pusingan kerana bimbang di tinggalkan kawan, atau suami/isteri maka jemaah terus meninggalkan tempat tawaf walaupun dalam keadaan ragu-ragu mengenai bilangan tawaf yang telah dilakukan.
Suami/isteri dan sahabat handai hendaklah bertolak ansur dalam perkara ini, jangan mementingkan diri sendiri sehingga boleh menjejaskan ibadat orang lain.
Untuk memberi keyakinan mengenai bilangan tawaf, jemaah dinasihatkan mencari kaedah atau formula memudahkan mereka mengingati bilangan tawaf yang dibuat.
Berdasarkan pengalaman penulis ada jemaah yang menggunakan kaedah lipatan pada buku doa yang dibawa semasa tawaf, ada yang menggunakan biji tasbih dan sebagainya.
Walaupun nampak remeh tetapi ia dapat membantu kita membina keyakinan terhadap bilangan tawaf yang dibuat.
Terpisah daripada sahabat selepas tawaf
Sebaiknya sebelum bergerak di tempat tawaf, jemaah dinasihatkan membuat perancangan di manakah tempat yang paling mudah bertemu jika terpisah dengan rakan dan keluarga.
Dinasihatkan carilah tempat yang mudah untuk berjumpa. Contohnya seperti di bawah kawasan lampu hijau yang bertentangan dengan penjuru Hajarul Aswad atau mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai dan dipersetujui oleh ahli keluarga atau rakan, tetapkan had masa menunggu dan bincang serta dapatkan persetujuan bersama.
Makan dan minum ketika tawaf
Makruh makan dan minum ketika tawaf, kemakruhan minum lebih ringan daripada makan. Tidak membatalkan pusingan tawaf. Rasulullah SAW pernah minum air ketika tawaf kerana sangat dahaga.
Bercakap-cakap ketika tawaf
Tidak membatalkan pusingan tawaf. Sebaiknya elakkan, ini penting untuk mendatangkan ketenangan dan kekhusyukan semasa sedang beribadat .
Inilah antara isu-isu berkaitan tawaf dan beberapa tips sebagai panduan tetamu Allah sekalian. Walaupun adakalanya nampak remeh dan telah disentuh berulang kali dalam siri kursus haji dan sebagainya tetapi ia jugalah yang sering menjadi perkara yang berbangkit berkaitan tawaf pada saban tahun.
Kepada jemaah haji tahun 1431H diucapkan selamat berangkat ke Tanah Suci dan mengerjakan ibadat dengan tenang dan mendapat haji yang mabrur, insya-Allah
apa2 aja...
13 years ago
0 ulasan:
Post a Comment