Oleh Dr Abdul Hayei Abd Sukor
Soalan: Tentang kelebihan hari Jumaat ini, adakah ia bersandarakan nas sahih atau sebaliknya?
DR. HAYEI: Memang tidak dinafikan hari Jumaat itu mempunyai banyak kelebihan berbanding hari lain. Antara kelebihannya adalah Nabi Adam diturunkan ke bumi pada hari Jumaat.
Demikian juga hari Jumaat adalah hari raya mingguan bagi umat Islam. Sebabnya kita berkumpul pada solat Jumaat setiap minggu untuk mendengar khutbah. Ini tidak ada pada hari lain kecuali pada hari raya puasa dan korban.
Hari Jumaat memang ada fadilat dan kelebihannya, namun fadilat tidak boleh direka sesuka hati, biarpun seorang itu merupakan ulama besar yang berpengetahuan luas.
Jika hal-hal yang berkaitan agama boleh direka orang-orang tertentu, maka apa perlu lagi kepada al-Quran dan hadis.
Nabi pernah bersenda dengan orang yang berani mereka-reka dalam agama dengan sabdanya yang bermaksud: Jika anda tidak menyimpan rasa malu, lakukan sahaja apa yang anda suka. (Bukhari, al-Abad 10/434).
Bagaimanapun, apabila diselidiki didapati ia bersandar lebih banyak hadis daif daripada hadis sahih.
Soalan: Apakah antara hadis daif itu?
DR. HAYEI: Perlu dijelaskan bahawa hadis daif tidak boleh dijadikan hujah bagi perkara-perkara yang berkaitan akidah dan hukum-hukum asas dalam Islam, kecuali dalam hal-hal yang berkaitan fada'il amal (kelebihan-kelebihan amal). Itupun hendaklah hadis yang dipilih tidak terlalu daif.
Tentang hadis-hadis yang menyatakan fadilat hari Jumaat, ada yang sahih dan ada yang daif, bahkan ada juga yang palsu dan sengaja direka-reka oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Saya sebutkan di sini beberapa contoh amalan yang berkaitan hari Jumaat dan keterangan yang berhubung dengannya dari segi sahih, daif dan maudu' (palsu).
Imam Malik dalam al-Muatta 1/108 meriwayatkan: Sebaik-baik hari yang menyingsing matahari padanya ialah hari Jumaat, padanya Adam dijadikan, dimasukkan ke syurga dan dikeluarkan daripadanya.
Hadis ini menyatakan sebab mengapa hari Jumaat itu afdal, iaitu kerana ada hubungannya dengan sejarah Nabi Adam yang dicipta, dimasuk dan dikeluarkan dari syurga.
Selain hadis sahih ada pula hadis daif yang hanya boleh dipakai pada fada'il amal, tetapi tidak boleh dalam perkara yang menyentuh akidah. Misalnya orang yang meninggal pada hari atau malam Jumaat akan terlepas daripada seksa kubur atau tidak disoal oleh malaikat Mungkar dan Nakir.
Hadis ini diriwayat oleh Abu Nu'aym dalam kitabnya Hilyah al-Awltya, tetapi sanadnya terlalu daif.
Persoalan terlepas daripada seksa kubur dan soalan Mungkar dan Nakir adalah termasuk dalam hal-hal akidah. Justeru, meninggal pada hari Jumaat tidak memberi apa-apa erti yang istimewa.
Jika ada keistimewaan diperoleh si mati itu, maka bukan disebabkan kematiannya pada hari Jumaat, tetapi kerana sebab lain, seperti amal ibadat, perjuangan dan jihadnya pada jalan Allah SWT.
Demikian juga dengan beberapa jenis syahid dunia, seperti kematian kerana sakit perut, lemas air, bersalin, kerana mempertahankan nyawa, ditimpa bangunan dan mati di luar negara, disenaraikan sebagai mati syahid yang terselamat daripada seksa kubur.
Saya berpendapat, di samping sebab kematian itu ada lagi faktor yang lebih utama bagi kematiannya, seperti jihad kerana mempertahankan agama Allah.
Kita sedia mengetahui, ramai para sahabat yang kanan dan kuat iman serta sumbangannya kepada Islam tidak meninggal dunia pada hari Jumaat, bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri tidak diwafatkan pada hari itu.
Jika hari Jumaat merupakan hari terbaik untuk kematian, nescaya Allah memilih hari itu untuk diwafatkan nabi-nabi pilihannya.
Sebaliknya, kita dapati ramai orang bukan Islam, atau orang yang cara hidupnya tidak lurus dengan Islam, meninggal dunia pada hari Jumaat.
Apakah hari kematian itu suatu keistimewaan baginya, atau menyebabkannya terlepas daripada seksa kubur dan soalan Mungkar dan Nakir?
Soalan: Bagaimana pula dakwaan tarikh wukuf jika jatuh pada hari Jumaat juga boleh diubah bagi mengelak berlakunya haji akbar?
DR. HAYEI: Saya pernah mengikuti ceramah yang menyebut kelebihan hari Jumaat dan fadilat wukuf pada hari itu.
Sayangnya, hujah-hujah yang diberi kebanyakannya lemah dan tidak bersandarkan al-Quran dan hadis sahih.
Ada juga penceramah mempersalahkan pihak-pihak tertentu jika wukuf tidak berlaku pada hari Jumaat. Misalnya kerajaan Arab Saudi sengaja ubah tarikh wukuf kepada hari-hari selain Jumaat, bagi elak terpaksa membebaskan ramai tahanan yang dipenjara akibat pelbagai kes jenayah dan yang dihukum dengan kerja-kerja berat.
Saya kurang pasti sejauh mana kebenaran fakta ini, sehingga tarikh wukuf boleh diubah. Sebabnya, ini adalah bulan Islam dan ibadat haji itu adalah peraturan Allah. Bukan kita boleh tukar tarikh sesuka hati.
Lagipun, cerita haji akbar itu memang lama wujud dalam kitab-kitab dan penulisan Islam. Kesahihannya ditolak oleh ulama dalam kitab-kitab dan penulisan mereka.
Sebagai contoh, Ibn al-Qayyim dalam kitabnya Zad al-Ma'ad 1/12 menyatakan, haji akbar dengan pengertian apabila hari wukuf berlaku pada hari Jumaat dan keistimewaan haji pada tahun itu menyamai 72 kali haji biasa adalah batil (salah dan tidak bersumberkan dalil-dalil yang sah, sama ada daripada Rasulullah, sahabat, mahupun tabiin).
Kenyataan Ibn al-Qayyim ini di samping menafikan propaganda oleh pihak tertentu, seharusnya menjadi hakim dan pemutus kata dalam isu haji akbar yang dibincangkan.
Penafian adanya haji akbar oleh Ibn al-Qayyim, tidak bermakna istilah itu tiada dalam al-Quran dan hadis. Memang ada istilah itu, tetapi dengan pengertian hari wukuf atau hari yang pada malamnya bermula wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, melontar jamrah dan beberapa amalan haji yang disempurnakan pada hari itu.
Haji akbar dengan pengertian ini kerap disebut dalam al-Quran dan hadis, iaitu dalam surah al-Taubah, ayat 3. Demikian juga dalam hadis riwayat Abu Daud yang membawa maksud: Pada suatu hari baginda Rasulullah berdiri di Mina, Baginda bertanya jemaah haji yang hadir berwukuf: Tahukah anda apakah hari ini? Para sahabat menjawab: Hari ini hari nahar (sembelihan korban). Sabda baginda: Hari ini juga dinamakan hari haji akbar.
Kesimpulannya, haji akbar dengan pengertian haji yang wukuf berlaku pada hari Jumaat tidak wujud dalam amalan Islam. Sebaliknya haji akbar berlaku pada setiap tahun, iaitu nama kepada amalan haji yang dikerjakan pada malam wukuf di Arafah dan kerja-kerja yang disempurnakan pada harinya.
apa2 aja...
13 years ago
0 ulasan:
Post a Comment