Monday, June 11, 2012

Guna kekayaan dunia dengan perbanyakkan amal jariah

ADA hadis Rasulullah SAW yang mengatakan bahawa orang miskin lebih ringan hisabnya dan lebih awal masuk ke syurga. Kenyataan Rasulullah SAW ini haruslah kita lihat sebagai satu bentuk motivasi diri agar berwaspada tatkala dikurniakan Allah dengan limpahan harta benda. Ini bukannya satu penghalang buat kita berusaha di dunia atau meninggalkan visi untuk menjadi seorang yang kaya.




Sebaliknya kenyataan Rasulullah SAW itu perlu diteliti dari perspektif murni yang mengajak kita supaya sentiasa dalam sifat kewaspadaan terhadap pemilikan harta sehingga hanyut dalam kenikmatannya. Juga mendidik kita supaya memanfaatkan harta kekayaan ke jalan yang menjurus kepada kehendak agama. Islam tidak pernah membawa umatnya ke arah negatif yang berbentuk pesimis dengan mengetepikan nikmat dunia lantaran mengejar ganjaran ukhrawi. Walaupun kita lihat begitu ramai golongan ahlus sufah pada zaman Rasulullah SAW iaitu golongan miskin, tetapi mereka tidak terbabit dalam amalan negatif seperti meminta-minta. Apa yang berlaku ialah golongan miskin itu dibantu secara sukarela oleh golongan mukmin yang kaya. Inilah semangat ukhuwah yang jitu pada zaman Baginda. Apa yang ditegah adalah sikap bakhil, kecintaan melampau terhadap nikmat dunia dan kurang peka terhadap golongan memerlukan bantuan. Sikap seumpama ‘enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ sebenarnya tidak ada dalam kamus Islam. Tinjaulah bagaimana mereka yang berada dalam kelompok mukmin yang bergelar hartawan seperti Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf mempamerkan nilai diri yang melandasi tuntutan agama. Mereka langsung tidak sayang dan kedekut dengan harta yang mereka miliki, sebaliknya merekalah yang muncul sebagai penyumbang utama kepada usaha meningkatkan syiar agama termasuk dalam aspek menyalurkan aneka bantuan kepada masyarakat. Sejarah dengan jelas merekodkan dalam tinta emas kedudukan mereka itu yang begitu berperibadi luhur dalam kerja-kerja membantu golongan miskin. Inilah sebenarnya yang Islam kehendaki, iaitu yang kaya membantu mereka yang miskin. Barulah bermakna dan bermanfaat segala harta dunia yang dimiliki.



Pesanan Allah berikut ini wajar kita ingat selalu yang Firman-Nya: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian rahmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (Maksud Surah al-Qasas ayat 77)



Justeru, daripada apa yang dinyatakan Allah itu jelaslah bahawa kita digalakkan supaya berusaha menggandakan usaha mencari kekayaan dunia tetapi dalam kerangka piawai hidup yang seimbang untuk dunia dan akhirat. Dengan demikian kita sebenarnya dianjurkan berusaha gigih memperoleh kekayaan dunia agar dapat mempertingkat kualiti ibadat yang berhubung secara langsung dengan Allah dan sesama manusia. Inilah yang diarahkan kepada kita semua.



Allah ada berfirman yang bermaksud, “Orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau berterang-terangan, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tiada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Maksud Surah al-Baqarah ayat 274).

Menyentuh firman Allah ini, Imam al-Khazin dalam tafsirnya memberitahu kita bahawa: “Dikatakan bahawa ayat ini berlaku umum untuk setiap orang yang membelanjakan harta mereka pada setiap waktu dan merata untuk semua kalangan, baik yang berada dalam kesulitan memenuhi keperluan, dan mereka yang meminta-minta serta hidup dalam kemelaratan.”



Rasulullah SAW sepanjang hayat Baginda sangat memandang tinggi sikap dermawan yang tidak bakhil dengan menyumbangkan hartanya ke jalan kebaikan. Dengan kenyataan yang juga berbentuk satu motivasi buat umatnya, baginda berpesan kepada kita: “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah, dan tangan yang di atas suka memberi dan tangan yang di bawah suka meminta.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)



Selain itu, kita perlu insafi bahawa Islam mendidik kita agar memperseimbangkan antara kehidupan dunia dan akhirat. Maknanya Islam tidak pernah menyarankan kita secara terus-menerus beribadah tanpa menoleh kepada aktiviti untuk memenuhi keperluan duniawi. Allah dan Rasulullah SAW mengajak kita agar bertindak seimbang antara beribadah dan berusaha untuk memperlengkapkan keperluan diri sendiri dan juga untuk kemaslahatan insan yang lain. Dengan demikian fahamilah kita bahawa seseorang mukmin sejati bukanlah hidup miskin, menjauhkan dirinya daripada kehidupan dunia dan bersikap menyerah sahaja untung nasib kehidupan kepada Allah.



Kata Baginda Rasulullah SAW bahawa kemiskinan dapat membawa seseorang itu ke dalam kekufuran seharusnya menjadi titik tolak membangkitkan semangat untuk menerokai dan mencari khazanah rezeki Allah di muka bumi ini. Namun pada masa yang sama, Allah dan Rasulullah SAW sering memperingatkan kita tatkala beroleh kekayaan dunia supaya tidak lupa diri sehingga melalaikan perintah agama dan bersikap mementingkan diri sendiri. Inilah yang terlarang

0 ulasan: