Friday, July 2, 2010

Perkukuh akidah Ahli Sunah Wal Jamaah - Sultan Johor

NUSAJAYA 1 Julai - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyeru umat Islam memperkukuhkan akidah dan amalan hidup berdasarkan pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah.

Sultan Ibrahim menegaskan, ini kerana pegangan berkenaan sumber kekuatan bagi umat Islam berhadapan apa juga suasana dan cabaran.

"Kita perlu peka terhadap ancaman yang boleh membawa kepada perpecahan dan perselisihan antara ummah di negeri Johor ini.

"Seperti fahaman tidak mengamalkan doa qunut, talkin, wirid dan berdoa bersama-sama selepas solat berjemaah serta membaca Yasin pada malam Jumaat, ternyata mampu menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat Islam," titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika perasmian pembukaan penggal ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor Ke-12 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Sultan Ibrahim berkata, usaha memperkukuh dan menjelaskan tentang fahaman yang boleh menjejaskan perpaduan ummah dari segi akidah, ibadah dan akhlak perlu dipergiatkan dari semasa ke semasa.

"Saya ingin mengingatkan semua pihak berkuasa terutama polis, Bahagian Keselamatan Negara, pejabat daerah, Imigresen dan agensi penguat kuasa supaya membendung penularan ajaran-ajaran yang bercanggah dengan fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah,"
tegasnya.(Utusan Malaysia Jumaat 2 Julai/19 Rejab 1431 Hijrah)


Sultan Ibrahim mahu umat Islam perkukuh akidah, amalan elak perpecahan


KOTA ISKANDAR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim bertitah supaya masyarakat Islam di negeri ini, peka terhadap ancaman agama yang boleh membawa kepada perpecahan dan perselisihan antara ummah. Sehubungan itu, baginda mahu umat Islam memperkukuhkan akidah dan amalan hidup berpandu kepada ajaran agama dalam berhadapan dengan sebarang suasana serta cabaran di peringkat individu dan masyarakat. “Fahaman yang tidak mengamalkan qunut, talqin, wirid dan berdoa bersama selepas solat berjemaah serta membaca surah Yasin pada malam Jumaat ternyata mampu menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat Islam.

“Usaha memantapkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta penjelasan mengenai fahaman yang boleh menjejaskan perpaduan ummah daripada segi akidah, ibadat dan akhlak hendaklah diteruskan.

“Pada masa sama, pihak berkuasa terutama polis, Bahagian Keselamatan Negara, Pejabat Daerah, Jabatan Imigresen dan agensi penguatkuasaan perlu bekerjasama membendung penularan ajaran yang bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah,” titah baginda.

Baginda bertitah pada perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-12, semalam. Hadir sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Ali Hassan; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Latif Yusoff, barisan exco kerajaan negeri dan semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor.
Sultan Ibrahim turut memuji usaha berterusan kerajaan negeri dalam membasmi kemiskinan tegar dengan penurunan mendadak bilangan miskin tegar di Johor daripada 132 keluarga tahun ini, berbanding 1,497 tahun lalu.

Titah Baginda, kadar kemiskinan keseluruhan juga menurun daripada dua peratus pada 2004 kepada 1.3 peratus tahun lalu, manakala purata pendapatan isi rumah juga meningkat daripada RM3,076 kepada RM3,835 dalam tempoh sama.

Selain itu, Sultan Ibrahim juga menghargai komitmen kerajaan negeri menambah dan mengekalkan keluasan rizab hutan simpan kekal dan kawasan tadahan air di Johor sehingga meliputi kawasan seluas lebih 500,000 hektar atau 29 peratus daripada keluasan negeri.

“Saya juga mahu supaya sungai di negeri ini, sentiasa bersih manakala yang tercemar hendaklah dipulihkan bagi memastikan sumber air sentiasa terpulihara,” katanya.

(Berita Harian Jumaat 2 Julai/19 Rejab 1431 Hijrah)

0 ulasan: