Tuesday, August 31, 2010

Isu Yang Kerap Timbul: Raya Pada Hari Jumaat

Gugur Kefardhuan Jumaat Atau Tidak???????

Soalan

Sejauh mana kekal hukum pengguguran solat Jumaat apabila hari raya jatuh pada hari Jumaat. Sebabnya masih ada yang keliru dan mengambil langkah memilih untuk hadir salah satu daripada solat tersebut?

Jawapan

Dalam persoalan ini para ulama berselisih pendapat dalam menentukan kefarduan Jumaat.

Jumhur ulama bersetuju untuk tidak menggugurkan kefarduan Jumaat walaupun hari raya jatuh pada hari Jumaat yang telah dituntut oleh Allah SWT.

Imam Ahmad bin Hambal r.a berpendapat bahawa solat Jumaat gugur sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat, ini kerana sudah ada solat yang menghimpun manusia seumpama dengan solat Jumaat dan falsafahnya juga sama. Ditambah lagi, hari raya kebiasaannya orang sibuk dengan aktiviti khusus hari raya.

Imam Ahmad juga berhujah bahawa Saidina Uthman bin Affan mengizinkan penduduk kawasan tinggi di Madinah supaya tidak datang bersolat Jumaat.

Akan tetapi ulama menolak bahawa amalan seorang sahaja dari kalangan sahabat tidak boleh dijadikan hujah dalam persoalan pengguguran solat Jumaat. Hal ini juga tidak disepakati oleh jumhur ulama.

Penolakan ini dikukuhkan lagi dengan penghujahan daripada ayat al-Quran itu sendiri, dalam perintah solat Jumaat Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Jumu'ah: 9)

Di dalam ayat kefarduan Jumaat ini Allah SWT menyuruh dan meminta menuju ke masjid dengan kadar segera kepada menunaikan solat Jumaat seperti mana pada Jumaat-Jumaat yang lain termasuklah Hari Raya Aidilfitri mahupun Hari Raya Aidiladha.

Dalam kitab Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-A'immah karya Imam Al-Dimasyqi, telah dinyatakan bahawa: "Apabila hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka menurut pendapat Imam asy-Shafie yang sahih, dinyatakan bahawa tuntutan solat Jumaat tidak gugur daripada penduduk kampung (pemastautin) yang mengerjakan solat Jumaat. Adapun bagi mereka yang datang dari kampung lain, tuntutan tersebut digugurkan.

Demikianlah menurut pendapat Imam Shafie yang sahih. Sekiranya mereka telah menunaikan solat hari raya, dibenarkan bagi mereka untuk terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, bagi penduduk kampung mereka wajib menunaikan solat Jumaat. Menurut Imam Ahmad pula tidak wajib solat Jumaat sama ada penduduk tetap ataupun tidak. Kewajipan solat Jumaat gugur setelah mengerjakan solat hari raya. Tetapi mereka wajib solat Zuhur.

Ad-Dimasyqi tidak menampilkan pendapat Imam Malik. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid menyatakan bahawa pendapat Imam Malik selari dengan pendapat Imam Abu Hanifah. Dinukilkan bahawa, "Imam Malik dan Abu Hanifah bersependapat, 'Jika hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka mukalaf dituntut untuk melaksanakan kedua-duanya'.

Berdasarkan keterangan-keterangan yang telah diberikan, ternyata bahawa dalam hal ini terdapat empat pendapat:

Solat Jumaat tidak gugur terhadap penduduk kota ( ahlul madinah) yang di tempat mereka ada dilaksanakan solat Jumaat. Bagi mereka yang datang dari kampung atau gurun, atau dari kampung yang yang terletak di kawasan yang tinggi, yang di kawasan mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, kewajipannya digugurkan.

Maka sekiranya mereka iaitu mereka yang datang dari kampung telah menunaikan solat hari raya, mereka boleh terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Inilah pendapat Imam Shafie. Pendapat ini juga merupakan pendapat Uthman dan Umar bin Abdul Aziz.

Solat Jumaat tetap wajib ditunaikan, sama ada penduduk kota di kawasan yang dilaksanakan solat Jumaat mahupun bagi penduduk luar. Pendapat inilah yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Maka, solat Jumaat tetap wajib dan tidak gugur biarpun sesudah menunaikan solat hari raya.

Tidak wajib solat Jumaat, tetapi mereka wajib solat Zuhur. Demikianlah pendapat Imam Ahmad.

Secara dasarnya, Imam Shafie tetap mewajibkan solat Jumaat yang jatuh pada hari raya. Namun beliau menetapkan kewajipan tersebut terhadap penduduk kota. Bagi penduduk desa atau padang pasir (badwi) yang berkunjung ke kota untuk solat raya (dan solat Jumaat), dan di tempat mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, maka mereka dibenarkan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat.

Bagi kita rakyat Malaysia yang berpegang dengan mazhab al-Syafie adalah tidak gugur kefarduan Jumaat sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat. Kebenaran yang diberi oleh Imam al-Syafie kepada penduduk yang berjauhan dari masjid adalah dengan tujuan tidak membebankan mereka, sedangkan mereka terpaksa keluar dua kali untuk ke masjid. Di negara kita keadaannya sangat berlainan, kita tidak menghadapi kesukaran untuk ke masjid, manakala masjid pun tidak sejauh mana dari rumah.

Usah campur aduk ta'zhim, penyembahan

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KITA masih meneruskan kembara ilmu menelusuri dan mengutip mutiara-mutiara hikmah daripada kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) karya agung tokoh besar ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah zaman ini, al-Allamah al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad 'Alawi al-Maliki.

Mereka yang mengetahui kelebihan karya ini sangat menghargainya kerana sumbangannya dalam memperbetul dan mentajdid semula fahaman-fahaman terhadap isu-isu yang boleh menjerumuskan umat dalam kancah persengketaan sesama sendiri.

Menjauhi permusuhan dan perpecahan sesama Islam adalah ibadah dan kewajipan yang utama. Ia harus direbut oleh setiap umat Islam tanpa mengira bulan, zaman atau tempat.

Dalam siri kali ini, sesudah menyentuh beberapa premis asas yang menjadi sebab salah-faham dalam memahami bahasa wahyu, pengarang terjun langsung menangani salah satu isu utama yang boleh menjadi punca pertikaian iaitu beza antara perbuatan ta'zhim (mengagungkan) dan menyembah.

Ramai salah faham tentang hakikat ta'zhim (mengagungkan atau membesarkan) dan hakikat ibadah (penyembahan). Mereka dengan jelas telah mencampuradukkan antara kedua-duanya dan menganggap apa jua bentuk ta'zhim adalah suatu penyembahan kepada yang diagungkan.

Justeru, perbuatan berdiri bagi menghormati orang yang mulia, mencium tangan, membesarkan baginda SAW dengan menyematkan gelaran Sayyid dan Mawlana, berdiri di hadapan Nabi SAW ketika menziarahinya dengan adab-adab yang baik, penuh hormat dan merendah diri semuanya ini dianggap ghuluw (berlebih-lebihan dan melampau) di sisi mereka, hingga kononnya membawa kepada penyembahan kepada selain Allah SWT.

Hakikatnya, anggapan seperti itu adalah suatu kejahilan dan kesilapan. Bahkan Allah dan Rasul-Nya tidak reda terhadapnya dan ia tidak sejalan dengan roh syariat Islam.

Kita sedia maklum, Nabi Adam a.s adalah insan dan hamba Allah yang soleh yang pertama daripada jenis manusia. Allah SWT memerintahkan para malaikat sujud kepadanya sebagai memulia dan membesarkan ilmunya. Ia sebagai pemberitahuan kepada mereka, bahawa Allah telah memilih Adam a.s menjadi nabi daripada sekelian makhluk-Nya.

Firman Allah SWT: Dan (ingatlah peristiwa) tatkala Kami berfirman kepada para malaikat, "Sujudlah kamu semua kepada Adam", maka mereka sujud melainkan iblis. Ia berkata, "Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah yang diadun?" Ia berkata lagi: "Khabarlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan lebih daripadaku?" (al-Israk: 61-62)

Para malaikat patuh sujud mengagungkan insan yang diagungkan oleh Allah SWT, sementara iblis takbur dan enggan sujud kepada makhluk yang diciptakan daripada tanah.

Iblislah makhluk pertama yang mengqiaskan agama dengan pendapatnya, ketika ia berkata: "Aku lebih baik daripadanya".

Alasan iblis, dia diciptakan daripada api, sedangkan Nabi Adam dicipta daripada tanah.

Akibatnya, iblis diusir dan dihalau jauh daripada rahmat Allah SWT kerana sikap sombong dan takburnya terhadap hamba yang soleh.

Pada hakikatnya, sikap takbur itu merupakan kesombongan terhadap Allah kerana sujud yang diarahkan itu sebenarnya kepada Allah, sebagai mengikut perintah-Nya.

Contoh lain berkaitan Nabi Yusuf a.s, Allah SWT berfirman: Dan dia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu, mereka (saudara-saudara Yusuf) sekeliannya sujud memberi hormat kepada Yusuf. (Yusuf: 100)

Sujud hormat ini adalah suatu penghormatan, penghargaan, kemuliaan dan ta'zhim terhadap Nabi Yusuf a.s. Kemungkinan ia diharuskan dalam syariat mereka. Atau pun, boleh jadi sujud mereka itu seperti sujud para malaikat kepada Nabi Adam a.s sebagai penghormatan dan pengagungan, serta pelaksanaan terhadap perintah Allah SWT.

Sujud lazimnya dikaitkan dengan penyembahan, tetapi seperti yang kita lihat dalam contoh-contoh ini, al-Quran menegaskan perbuatan sujud sekalipun tidak semestinya bererti menyembah dan sebaliknya boleh berbentuk memuliakan dan mengagungkan.

Mesejnya di sini adalah mengagungkan tidak semestinya menyembah, kalaupun sujud sesama makhluk dilarang dalam syariat Nabi Muhammad SAW.

Bila Lailatul Qadar?

RAMADAN yang datang menjanjikan pahala yang banyak. Amat beruntunglah golongan muslim yang merebut peluang ibadah yang besar pahalanya.

Salah satu anugerah Ramadan adalah Lailatul Qadar. Dalam tulisan kali ini, kita cuba telesuri beberapa pandangan para ulama sebagaimana yang dihuraikan panjang lebar dalam kitab Fath al-Bari.

Ada kiraan bagi menentukan malam Al-Qadar. Antaranya ada disebut tentang jumlah lafaz yang ada dalam surah al-Qadr.

Jumlah lafaznya adalah 30. Manakala lafaz hiya dalam ayat yang terakhir merujuk kepada Lailatul Qadar. Lafaz ini adalah lafaz yang ke 27, maka dihukum bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan.

Dalam kiraan yang lain, disebut bahawa lafaz Lailatul Qadar dalam tulisan Arab terdiri daripada sembilan huruf. Lafaz Lailatul Qadar disebut sebanyak tiga kali dalam surah al-Qadr, maka sembilan darab tiga menjadi 27. Maka hukumnya Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan.

Kesemua pendapat ini hasil ijtihad para ulama. Untuk melengkap lagi kefahaman tentang Lailatul Qadar, ada beberapa hadis sebagai pedoman.

Antaranya sabda Nabi SAW maksudnya: Maka carilah Lailatul Qadar pada sembilan, tujuh dan lima. (riwayat al-Bukhari).

Menurut satu tafsiran hadis, sembilan, tujuh dan lima merujuk kepada 29, 27 dan 25 Ramadan.

Kesemua pendapat ini adalah baik bagi menerangkan hakikat malam Lailatul Qadar. Bagi sesetengah kelompok masyarakat pula, Lailatul Qadar tetap pada satu malam sahaja iaitu malam 27 Ramadan.

Kepelbagaian pandangan para ulama dalam penentuan Lailatul Qadar memberi isyarat jelas bahawa tiada kesepakatan dalam masalah ini. Maka Lailatul Qadar menjadi rahsia.

Ijtihad ulama dalam lontaran pandangan hanya sekadar ijtihad yang ada masanya betul dan ada masanya silap.

Maka di sini nyata hikmah disembunyikan Lailatul Qadar agar umat Islam lebih berusaha mencarinya.

Terserah kepada kita umat Islam untuk memilih mana-mana pandangan selagi mana ia berdasarkan dalil dan hujah.

Maka tidaklah menjadi keperluan untuk bertegang urat dalam masalah penentuan malam ini. Apa yang penting, bagaimanakah amalan kita.

Oleh MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR,Pensyarah UIA.

Monday, August 16, 2010

Memahami Khususiat Nabi SAW

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ALHAMDULILLAH, kita sekali lagi dipanjangkan umur untuk bertemu dengan Ramadan kali ini. Semoga ia benar-benar menjadi gerbang ketakwaan bagi kita semua. Dalam ruangan ini, kita masih dalam usaha meluruskan fahaman terhadap kedudukan Nabi SAW yang tetap sebagai makhluk walaupun dikurniakan pelbagai keistimewaan oleh al-Khaliq SWT. Perlu diingat bahawa pengisian ilmu dan kefahaman adalah juga termasuk bentuk ibadah yang utama sama ada di bulan Ramadan atau selainnya.

Ramai manusia yang tersilap dalam memahami beberapa perkara yang menjadi persamaan di antara hak Khaliq dan hak makhluk. Mereka menyangka bahawa dengan menisbahkan atau menyandarkan hak Allah kepada makhluk merupakan perbuatan syirik.

Antara perkara yang menimbulkan permasalahan ini ialah sebahagian daripada khususiat Nabi SAW (Keistimewaan yang Allah kurniakan kepada Rasulullah SAW sahaja) yang tidak difahami dengan sebenar-benarnya.

Mereka menganggap bahawa menyifatkan Nabi SAW dengan sifat-sifat istimewa yang dikurniakan oleh Allah tersebut bermakna menisbahkan Baginda SAW dengan sifat-sifat ketuhanan.

Ini jelas merupakan suatu kejahilan kerana Allah SWT Yang Maha Suci dan Maha Tinggi berhak memberikan apa saja kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya, tanpa ada yang mewajibkan atau memaksa-Nya. Dia juga berhak mengurniakan dan memuliakan sesiapa sahaja yang hendak diberikan kemuliaan, dinaikkan kedudukan dan dizahirkan kelebihannya atas manusia yang lain. Ini bukan merupakan pencabutan atau pencabulan hak-hak Allah SWT sebagai pentadbir alam dan juga sifat-sifat-Nya sebagai Tuhan Yang disembah. Hak-hak Allah dan sifat-sifat-Nya tersebut tetap terpelihara sesuai dengan maqam-Nya.

Apabila seseorang makhluk itu mempunyai sifat-sifat istimewa tersebut, maka sifat-sifat itu hanya sekadar yang bersesuaian dengan kemanusiaannya yang diciptakan terbatas dan diperolehi dengan izin, kurniaan dan kehendak-Nya. Bukan dengan kekuatan makhluk ataupun pentadbiran atau perintahnya kerana makhluk itu lemah dan tidak berkuasa memberi manfaat dan menolak kemudaratan daripada dirinya sendiri, begitu juga mematikan atau menghidupkan. Telah berapa banyak keistimewaan yang menunjukkan bahawa ia adalah hak Allah, tetapi Dia berkenan mengurniakan kepada Nabi-Nya, Muhammad SAW dan nabi-nabi yang lain. Dalam pada itu, tidaklah diangkat darjat mereka hingga sampai ke maqam ketuhanan atau menjadi sekutu Allah.

Kesimpulannya, janganlah kita cepat menyalahkan perbuatan menyifatkan Nabi SAW dengan beberapa kelebihan yang tinggi kerana ia tidaklah bererti kita menyamakan atau menyekutukan Allah SWT dengan Nabi SAW. Sesungguhnya bahasa dan istilah perlulah ditunaikan haknya dan difahami dengan betul. Insya-Allah, kita akan menyambung tentang peranan penggunaan bahasa dalam konteks ini di minggu hadapan.

Memahami Khususiat Nabi SAW

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ALHAMDULILLAH, kita sekali lagi dipanjangkan umur untuk bertemu dengan Ramadan kali ini. Semoga ia benar-benar menjadi gerbang ketakwaan bagi kita semua. Dalam ruangan ini, kita masih dalam usaha meluruskan fahaman terhadap kedudukan Nabi SAW yang tetap sebagai makhluk walaupun dikurniakan pelbagai keistimewaan oleh al-Khaliq SWT. Perlu diingat bahawa pengisian ilmu dan kefahaman adalah juga termasuk bentuk ibadah yang utama sama ada di bulan Ramadan atau selainnya.

Ramai manusia yang tersilap dalam memahami beberapa perkara yang menjadi persamaan di antara hak Khaliq dan hak makhluk. Mereka menyangka bahawa dengan menisbahkan atau menyandarkan hak Allah kepada makhluk merupakan perbuatan syirik.

Antara perkara yang menimbulkan permasalahan ini ialah sebahagian daripada khususiat Nabi SAW (Keistimewaan yang Allah kurniakan kepada Rasulullah SAW sahaja) yang tidak difahami dengan sebenar-benarnya.

Mereka menganggap bahawa menyifatkan Nabi SAW dengan sifat-sifat istimewa yang dikurniakan oleh Allah tersebut bermakna menisbahkan Baginda SAW dengan sifat-sifat ketuhanan.

Ini jelas merupakan suatu kejahilan kerana Allah SWT Yang Maha Suci dan Maha Tinggi berhak memberikan apa saja kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya, tanpa ada yang mewajibkan atau memaksa-Nya. Dia juga berhak mengurniakan dan memuliakan sesiapa sahaja yang hendak diberikan kemuliaan, dinaikkan kedudukan dan dizahirkan kelebihannya atas manusia yang lain. Ini bukan merupakan pencabutan atau pencabulan hak-hak Allah SWT sebagai pentadbir alam dan juga sifat-sifat-Nya sebagai Tuhan Yang disembah. Hak-hak Allah dan sifat-sifat-Nya tersebut tetap terpelihara sesuai dengan maqam-Nya.

Apabila seseorang makhluk itu mempunyai sifat-sifat istimewa tersebut, maka sifat-sifat itu hanya sekadar yang bersesuaian dengan kemanusiaannya yang diciptakan terbatas dan diperolehi dengan izin, kurniaan dan kehendak-Nya. Bukan dengan kekuatan makhluk ataupun pentadbiran atau perintahnya kerana makhluk itu lemah dan tidak berkuasa memberi manfaat dan menolak kemudaratan daripada dirinya sendiri, begitu juga mematikan atau menghidupkan. Telah berapa banyak keistimewaan yang menunjukkan bahawa ia adalah hak Allah, tetapi Dia berkenan mengurniakan kepada Nabi-Nya, Muhammad SAW dan nabi-nabi yang lain. Dalam pada itu, tidaklah diangkat darjat mereka hingga sampai ke maqam ketuhanan atau menjadi sekutu Allah.

Kesimpulannya, janganlah kita cepat menyalahkan perbuatan menyifatkan Nabi SAW dengan beberapa kelebihan yang tinggi kerana ia tidaklah bererti kita menyamakan atau menyekutukan Allah SWT dengan Nabi SAW. Sesungguhnya bahasa dan istilah perlulah ditunaikan haknya dan difahami dengan betul. Insya-Allah, kita akan menyambung tentang peranan penggunaan bahasa dalam konteks ini di minggu hadapan.

Wednesday, August 11, 2010

Fadilat puasa dan orang berpuasa

Oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

RAMADAN amat sinonim dengan salah satu daripada rukun Islam iaitu berpuasa. Ibadat yang mempunyai 1001 macam rahsia dan hikmah. Begitu juga ia membawa kepada banyak pahala dan keuntungan bagi mereka yang berpuasa serta melakukan ketaatan pada bulan Ramadan.

Dibincangkan di sini fadilat Ramadan, puasa dan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa;

lImam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi SAW: Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka: Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam.

Hadis ini menunjukkan kemuliaan Ramadan dan mulut orang yang berpuasa di sisi Allah SWT di samping syaitan dibelenggu kerana kelebihan Ramadan.

lImam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa'd sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan al-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya. Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Zain bin al-Munir dalam al-Fath al-Bari: Sesungguhnya dikatakan pada Syurga, tidak dikatakan bagi Syurga untuk menggambarkan bahawa pintu itu sendiri sebahagian daripada kenikmatan dan kerehatan yang membawa lebihan rasa rindu kepadanya.

lKetiga: Mengikut riwayat al-Nasaie sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi SAW: Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum dan siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya.

Hadis ini menunjukkan kelebihan minuman dalam syurga yang menghilangkan dahaga selama-lamanya.

lMengikut riwayat Imam Ahmad dan al-Nasaie daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah SAW: Puasa merupakn perisai. Dan daripada Uthman bin Abi al-As; Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat. Ini kerana, puasa mempunyai kelebihannya yang tersendiri dan pada ghalibnya, mereka yang berpuasa akan memelihara nilai puasanya.

lAl-Baihaqi meriwayatkan daripada Uthman bin Abi al-As: Puasa merupakan perisai daripada azab Allah.

Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa yang melindungi tuannya daripada disambar api neraka.

lImam Ahmad, Muslim dan al-Nasaie meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa'id, Sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagi-Ku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

Hadis ini menggambarkan kemuliaan orang yang berpuasa semata-mata kerana Allah SWT yang sudah pasti mendapat pembalasan daripadanya.

lIbn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak.

Hadis ini menunjukkan kelebihan orang yang berpuasa dengan mustajabnya doa.

lAl-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan.

Hadis ini menunjukkan terlalu banyak kelebihan orang yang berpuasa sekalipun diam dan tidur.

lIbn Majah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, al-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam.

Hadis ini menunjukkan keampunan Allah SWT kepada yang berpuasa.

lAl-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa.

Hadis ini menggambarkan betapa sabarnya orang yang berpuasa.

lImam Ahmad, al-Turmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat ke atasnya sehingga selesai makanannya.

Hadis ini dengan jelas menunjukkan betapa malaikat berdoa dan berselawat kepada yang berpuasa.

Sebenarnya banyak lagi kelebihan puasa dan Ramadan seperti mendapat syafaat dan dijauhkan daripada neraka.

Justeru, marilah sama-sama kita mengambil kesempatan dengan kunjungan Ramadan al-Mubarak dengan berpuasa dan beramal.

Selamat Berpuasa dan semoga diterima Allah.