Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Rasulullah SAW ada menyebutkan: "Sebaik-baik perempuan itu ialah perempuan Ansar (penduduk asal Yathrib berbangsa Arab), mereka tidaklah malu untuk (belajar) perkara-perkara agama (Islam)".
Begitulah hendaknya bagi wanita-wanita Islam yang lainnya, tidak kira bangsa, warna kulit mahupun bangsa mereka mesti mencontohi kegigihan wanita dari golongan Ansar ini. Sebagaimana perintah dari ayat hadis yang sangat popular, Tallabu ilmi faridhatun 'ala kulli muslim! (Menuntut ilmu itu adalah wajib bagi Muslim)
Perkara-perkara agama di sini, tidak perlu dilihat dalam perspektif yang sempit. Ini kerana ia mencakupi apa juga tajuk selagi ia memberikan manfaat kepadanya dunia dan akhirat.
Bagi wanita Islam itu sendiri, mereka perlu mengenali diri mereka sendiri baik dari aspek bentuk fizikal sehinggalah hak-hak yang mereka harus nikmati dalam hidup ini.
Maka dengan adanya buku yang sebaik ini, iaitu Fikh Kerahsiaan Wanita, tugas untuk mengenali diri kaum ini menjadi lebih mudah. Ya, buku ini tidak sahaja sasaran pembacanya kepada kaum wanita sahaja, malah kaum lelaki pun, jika mereka membaca buku ini adalah lebih baik lagi.
Tidak dinamakan lelaki itu sebagai pemimpin yang baik kepada keluarga misalnya, jika tidak mengetahui apa juga permasalahan orang yang dipimpin dalam keluarganya itu, iaitu terutama isteri dan anak-anak perempuan.
Penulis buku ini merupakan Profesor Fikh Perbandingan, di Universiti al-Azhar, Mesir yang pada kulit buku ini dirangkumkan makna mengenai tajuk buku ini, iaitu: "…memahami secara jelas isu yang melibatkan rongga keintiman wanita (faraj) menurut syariat Islam. Persoalan 'dalaman' yang difahami oleh setiap wanita mukalaf dan para suami yang menjadi nakhoda rumahtangga. Bertanya mengenainya sering mengundang segan, kini dihidangkan secara jelas dan ringkas sebagai panduan hidup muslimah sejati!"
Sedangkan tidak perlu malu sebagaimana mengambil pengajaran hadis, iaitu: "Ummu Sulaim isteri kepada Abu Talhah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran, adakah menjadi kewajipan ke atas seorang wanita untuk mandi wajib apabila dia bermimpi (basah?) Lalu Nabi pun menjawab: "Ya (wajib mandi) apabila melihat air mani keluar".
Begitu pun jika masih malu maka buku ini adalah terbaik untuk dijadikan rujukan utama kerana mungkin yang paling terjawab adalah dalam bahasa Arab sebagai bahasa utama dalam semua aspek perundangan dan peraturan dalam Islam.
Tetapi mujurlah anak ulama terkenal negara, Allahyarham Fadzil Noor, Ahmad Fauwaz mengambil inisiatif yang sangat besar menterjemahkan tulisan pensyarah beliau ini ke Bahasa Malaysia. Beliau disifatkan sebagai anak yang taat kepada Dr. Saadudin di samping pelajar yang menghargai ilmu dan para ulama.
Ahmad Fauwaz mahu memastikan ilmu gurunya itu dapat disebar luaskan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pembaca seantero Asia Tenggara yang rata-rata bahasa ibundanya, Melayu.
Moga usaha Ahmad Fauwaz ini akan dicontohi oleh lebih ramai cerdik pandai demi menyedar dan memajukan ummahnya sendiri.
Buku ini dikatakan lengkap kerana ia begitu menyentuh setiap aspek hukum hakam membabitkan maslahah wanita Islam.
Walaupun dalam lingkungan 184 muka surat tetapi ia sarat dengan pelbagai perbincangan penting mengenai aurat-aurat wanita yang ada padanya pelbagai fiqh dan hukum yang wajib diketahui.
Dibahagikan kepada lima bahagian atau topik utama, iaitu;
* Hukum Bersuci, aurat dan berkhatan terhadap faraj wanita - menyentuh soal lelehan (discharge) faraj, aurat faraj dan khatan wanita.
* Hadas-hadas yang keluar melalui faraj - menyentuh hadas wuduk, hadas junub dan hadas dari darah-darah yang keluar (seperti haid, nifas dan istihadah)
* Hukum bersetubuh - menyentuh bersetubuh ketika wanita hamil dan hukum azal,
* Hukum-hukum berkaitan dengan wanita hamil, idah (cerai hidup mahupun mati) dan menggugurkan kandungan kehamilan.
* Hukum melakukan jenayah ke atas kemaluan wanita.
Topik-topik tersebut sangat relevan dengan kehidupan seharian seorang wanita dan malangnya ramai yang tidak mengetahui.
Ini termasuklah adakah mereka jelas mengenali perbezaan air mani, air mazi dan lain-lain jenis lelehan yang keluar, adakah dengan menyentuh faraj wanita lain, wuduk seseorang wanita itu turut terbatal?
Pelbagai persoalan mengenai darah haid, nifas dan darah-darah penyakit yang sering menimbulkan pelbagai kemusykilan kepada kaum wanita (dan kaum lelaki juga perlu ketahui).
Apa itu al Ghilaah, pembahagian atau jenis-jenis idah sehinggalah adakah wanita yang mati dalam keadaan hamil disifatkan sebagai mati syahid?
Segala persoalan mengenai wanita dijadikan maklumat-maklumat yang sangat penting dan menarik dalam buku ini.
Jaminan pemahaman 100 peratus terhadap pembaca sehinggakan tidak perlu merujuk secara bersemuka dengan yang pakar tidak dapat diberi.
Namun, sekurang-kurangnya ia memberi asas pengetahuan yang kuat malah mereka yang membaca buku ini pasti mampu menyebar atau berkongsi maklumat kepada kaumnya sendiri.
Tetapi jika dapat memanjangkan persoalan untuk dirujuk kepada yang lebih pakar adalah lebih baik. Ini kerana yang menulis mungkin tidak memahami sesetengah perkara yang membezakan wanita Islam mengikut negara.
Wanita di Malaysia mungkin tidak sama persoalan dan masalah yang mereka hadapi berbanding wanita Islam di Mesir misalnya.
Persoalan mengenai aurat-aurat wanita ini tidak boleh dianggap enteng. Ini kerana Islam sangat memartabatkan golongan wanita berbanding sesetengah masyarakat lain yang melihat wanita sebagai golongan rakyat kelas kedua, tanpa dipedulikan segala permasalahan mereka sehinggakan untuk menuntut apa-apa yang sepatutnya menjadi hak dianggap tidak layak!.(Utusan Malaysia 15 Oktober 2010)
Tuesday, October 19, 2010
Fiqh Kerahsiaan Wanita-Buku 'wajib' dimiliki wanita
Tuesday, October 12, 2010
Bidaah Baik dan Buruk
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
ALHAMDULILLAH, dengan izin-Nya jua dapat kita menunaikan hasrat seperti yang dinyatakan di minggu lepas untuk kita memulakan perbahasan beberapa isu yang sering dimanipulasikan oleh sesetengah pihak untuk memakaikan imej negatif terhadap Tasawuf.
Berdasarkan kitab rujukan kita, Mafahim karya Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi al-Maliki, isu pertama yang diberi tumpuan adalah isu bidaah. Tasawuf atau aliran Sufi yang sebenarnya merupakan pegangan dan kecenderungan para ulama arus perdana umat, termasuk para ulama hadis dan fiqh sering digambarkan sebagai penuh dengan pegangan dan amalan bidaah.
Untuk mengelakkan kita terjerumus kepada menyalahkan sekian ramai para ulama umat yang terpilih ini, marilah kita meneliti makna dan erti bidaah yang sebenar.
Di akhir perbincangan nanti, kita berharap sekurang-kurangnya mereka yang tidak bersetuju tetap akan mengakui bahawa kita tetap ada asas pijakan ilmiah bagi pendirian kita lantas bersedia untuk lebih berlapang dada dalam berbeza pendapat.
Terdapat di kalangan umat Islam yang mengaku sebagai ulama atau pakar ajaran Islam telah menisbahkan diri mereka kepada salafussoleh.
Malangnya, mereka mengajak umat Islam mengikut jejak langkah atau Sunnah ulama Salafussoleh dengan cara-cara yang primitif, penuh kejahilan, fanatik buta, akal yang senteng, pemahaman yang dangkal dan dada yang sempit.
Bahkan, mereka juga berani memerangi setiap sesuatu yang baru dan mengingkari setiap penemuan baru yang baik dan berfaedah hanya kerana menilai (dengan pemahaman mereka yang sempit) perkara tersebut sebagai bidaah. Pada pemahaman mereka, semua bidaah adalah sesat tanpa membezakan di antara jenis-jenis bidaah yang ada.
Sedangkan, roh dan semangat agama Islam menghendaki supaya kita membezakan di antara pelbagai bidaah yang ada. Sepatutnya umat Islam perlu mengakui bahawa bidaah itu ada yang baik dan ada yang sesat. Inilah perkara yang lebih selari dengan akal yang cerdas dan penelitian yang cemerlang.
Inilah perkara yang telah ditahqiq (diakui kebenarannya setelah dilakukan penelitian) oleh ulama usul daripada kalangan ulama Salaf umat ini seperti Imam al 'Iz Ibnu Abdul Salam, Imam Nawawi, Imam Suyuti, Imam Jalaluddin al Mahalli, dan Ibnu Hajar, semoga Allah merahmati mereka semua.
Inilah perbahasan awal dalam menetapkan bahawa sebenarnya ada hujah yang kuat dan muktabar untuk menerima pembahagian bidaah kepada yang tercela dan terpuji, baik dan buruk. Insya-Allah kita akan menyambung perbincangan ini di minggu hadapan dengan harapan agar Allah SWT sentiasa membuka hati-hati kita untuk mendengar kalam yang baik lalu mengikut yang terbaik. Hanya Dialah yang menunjukkan seseorang ke jalan yang lurus.
Memahami Hadis Tentang Bidaah
KAEDAH ilmu menetapkan bahawa hadis-hadis Nabi SAW perlu ditafsir di antara sebahagiannya dengan sebahagian hadis yang lain dan perlu disempurnakan sebahagiannya dengan sebahagian yang lain. Umat Islam perlu memahami sabda Nabi Muhammad SAW dengan pemahaman yang cermat, komprehensif dan sempurna. Ia juga mesti ditafsirkan dengan roh Islam dan difahaminya bertepatan dengan pendapat dan penelitian Ahli Nazar (Pakar-pakar pengkaji Islam).
Oleh kerana itu, kita mendapati untuk memahami atau mentafsir banyak hadis, memerlukan kepada kecemerlangan akal, kecerdasan intelektual dan pemahaman yang mendalam serta disertai hati yang sensitif. Pemahamannya mesti berdasarkan syariat Islam. Di samping memerhatikan keadaan dan situasi umat Islam serta pelbagai keperluannya. Situasi dan keadaan umat memang harus diselaraskan dengan batasan-batasan kaedah Islam, nas-nas al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW tanpa terkeluar daripadanya.
Contohnya termasuklah hadis ini: "Setiap bidaah adalah sesat." Untuk memahami hadis seperti ini dengan betul, kita mesti mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan bidaah dalam hadis ini ialah bidaah sayyi'ah, iaitu bidaah yang salah dan menyesatkan. Yang tidak didasarkan kepada ajaran pokok agama Islam.
Pendekatan seperti ini atau apa diistilahkan sebagai taqyid (membataskan yang mutlak) juga digunakan pada hadis yang lain seperti hadis:"Tidak ada solat (yang sempurna) bagi tetangga masjid, kecuali (yang dilakukan) di dalam masjid."
Hadis di atas, meskipun mengandungi hasr (pembatasan), iaitu menafikan solat tetangga masjid, tetapi kandungan umum daripada hadis-hadis lain mengenai solat, mengisyaratkan bahawa hadis tersebut perlu difahami dengan suatu qayyid atau pengikat. Maka pengertiannya ialah, "tidak ada solat (fardu) yang sempurna bagi tetangga masjid, kecuali di masjid." Namun, tetap terdapat perselisihan pendapat di antara ulama dalam isu ini.
Begitu juga dengan hadis Rasulullah SAW ini: "Tidak ada solat di samping makanan (yang telah terhidang)." Maksudnya adalah "tidak sempurna solat di samping makanan yang telah terhidang."
Pendekatan yang sama juga harus kita gunakan untuk memahami hadis berikut: "Tidak beriman seseorang kamu kecuali ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri." Iaitu dengan erti kata, "tidak sempurna iman."
Begitu juga hadis berikut: "Demi Allah! Tidak beriman. Demi Allah! Tidak beriman. Demi Allah! Tidak beriman (dengan keimanan yang sempurna)." Ada yang bertanya, "Siapakah (yang tidak sempurna keimanannya) itu, wahai Rasulullah?" Baginda SAW bersabda: "Orang yang jirannya tidak berasa aman dengan gangguannya."
Demikian juga hadis-hadis ini: "Tidak masuk syurga pengadu domba." "Tidak masuk syurga pemutus tali persaudaraan. Tidak masuk syurga orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya."
Menurut tafsiran ulama, yang dimaksudkan dengan tidak masuk syurga itu adalah tidak masuk awal ke dalam syurga, atau tidak masuk syurga jika menghalalkan perbuatan mungkar tersebut. Justeru kita dapati, para ulama tidak memahami hadis tersebut menurut zahirnya, tetapi mereka memahaminya melalui dengan pendekatan takwil (melihat makna alternatif yang muktabar).
Maka hadis bidaah tersebut juga termasuk dalam bab ini. Keumuman kandungan pelbagai hadis lain dan amalan para sahabat RA memberikan kesan bahawa yang dimaksudkan dengan bidaah dalam hadis tersebut hanyalah bidaah sayyi'ah; yakni bidaah yang jelas tidak mempunyai landasan pokok daripada ajaran Islam; dan bukan semua bidaah.
Cuba pula kita perhatikan hadis berikut: "Sesiapa yang melakukan suatu Sunnah yang baik, maka ia berhak mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya hingga hari Kiamat." Juga hadis, "Hendaklah kalian mengikut Sunnahku dan Sunnah para khalifah yang memberikan petunjuk." Perhatikan juga perkataan Umar al Khattab RA mengenai solat Terawih (secara jemaah): "Sebaik-baik bidaah adalah perbuatan ini."
Wednesday, October 6, 2010
Akhlak Muslim Pikat Yusuf
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
WARGA kulit putih ini memilih nama Yusuf Muhammad Ansari apabila memeluk Islam pada 1996 di Penjara Soughton, Edinburgh. Namun beliau mempunyai kisah-kisah menarik untuk dikongsi bersama. Ikuti kisah kembara rohani Yusuf.
Pada 4 September 1993, saya memulakan satu perjalanan jauh merentasi benua dan sempadan geografi pelbagai negara, iaitu dari bandar di mana saya menetap Aberdeen di Scotland ke Goa, India.
Satu perjalanan yang saya rancang sekian lama sebagai memenuhi impian saya sejak kecil yang terlalu ingin melihat tempat orang.
Namun sebelum memulakan perjalanan dengan memandu sebuah van, saya melakukan pelbagai persediaan seperti membaca pelbagai jenis maklumat mengenai negara-negara yang bakal saya lalui.
Terutama mengenai penduduk, budaya dan agama yang dianuti bagi membantu saya apabila berhadapan dengan mereka kelak.
Daripada situ saya memperolehi pelbagai maklumat yang sangat menarik namun kepelbagaian mengenai agama adalah yang paling menarik minat saya.
Terutama mengenai Islam menyebabkan saya semakin teruja menjayakan pengembaraan merentasi pelbagai liku-liku dan cabaran yang tiada siapa dapat menduga.
Sehinggalah akhirnya saya tiba di Turki tanpa menghadapi sebarang masalah sepanjang perjalanan itu kecuali hanya beberapa masalah mekanikal sahaja.
Tentu sahaja apa yang saya perlukan sekarang ialah rehat yang cukup setelah melalui satu pengembaraan yang sungguh memenatkan. Namun rehat saya itu lebih merupakan lawatan ke tempat-tempat menarik yang terdapat di Istanbul, ibu negara Turki.
Ini yang saya lakukan selama tiga minggu berada di ibu negara itu dengan lawatan ke Masjid Biru dan Masjid Hagia Sofia yang tersergam indah dan yang mempunyai seni bina yang sangat hebat itu.
Untuk pengetahuan anda, sebaik sahaja saya masuk melawat ke Masjid Hagia Sofia itu kebetulan masuk waktu solat Jumaat dan semua pelawat yang bukan Islam tidak dibenarkan berada dalam masjid itu.
Tetapi saya tidak dapat keluar malah terperangkap dalam ruang solat masjid itu apabila jemaah lelaki berpusu-pusu masuk mengerjakan solat.
Namun di sebalik sebatang tiang saya berdiri, ia memberikan satu peluang yang cukup unik dan sangat bermakna kepada saya, malah paling antara yang paling indah yang pernah saya saksikan.
Ini apabila menyaksikan para jemaah yang mengerjakan solat dengan begitu teratur, tertib, khusyuk dan sangat mempamerkan kekuatan apatah lagi selepas mendengar khutbah dari mimbar masjid.
Dari situ saya menyedari hakikat ketuhanan yang selama ini pun saya percaya bahwa tuhan itu wujud dan tuhan itu hanya satu untuk disembah.
Selepas selesai solat, saya masih tidak meninggalkan masjid sehinggalah seorang lelaki datang menegur saya jika saya memerlukan apa-apa bantuan.
Saya berasa sungguh malu dan meminta maaf kerana masih berada dalam masjid ketika umat Islam hendak mengerjakan solat.
Namun lelaki itu hanya tersenyum dan memberitahu saya tidak membuat apa-apa kesalahan.
Selepas itu saya meninggalkan masjid dan terus menuju ke arah pelabuhan dan tidak lama kemudian saya merasai kehadiran seseorang dan saya dapati lelaki yang menegur saya tadi datang semula kepada saya sambil senyumannya tidak lekang di bibir.
Sambil membawa sesuatu yang diisi dalam sebuah beg plastik, beliau kemudiannya menyerahkan beg tersebut kepada saya. "Adakah ini yang awak cari selama ini wahai saudara," tanya lelaki itu.
Saya tidak sempat menjawab kerana terkejut dan hanya terus melihat ke dalam isi beg tersebut dan saya dapati di dalamnya terdapat sebuah kitab tafsir al-Quran dalam bahasa Inggeris.
Ini sesuatu yang sangat mengejutkan dan bertambah terkejut apabila saya ingin mengucapkan terima kasih saya dapati lelaki itu sudah menghilangkan diri.
Apa yang menghairankan di situ tidak jalan atau lorong lain untuk lelaki itu menghilangkan diri sekelip mata. Sehingga kini misteri mengenai lelaki ini masih menyelubungi saya.
Monday, September 27, 2010
Tanggungjawab Peguam Tegakkan Keadilan
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
Kecemerlangan bukan sekadar memenangi kes, tetapi lebih penting berikan hak sebenar
PERDEBATAN mengenai profesion peguam hangat diperkatakan apabila suspek pembunuhan kes Datuk Sosilawati Lawiya, juga seorang peguam. Salah seorang mangsa juga adalah peguam. Majlis Peguam turut diheret dalam kemelut ini kerana dikatakan tidak bertindak sewajarnya menangani disiplin peguam.
Umum mengetahui dalam setiap tindakan di mahkamah sama ada Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil, peguam adalah pihak tidak kurang pentingnya membantu perjalanan sesuatu kes. Peguam adalah ‘alat’ bagi mencapai keadilan di mahkamah.
Malah, peranan peguam tidak terhad di mahkamah saja kerana saranan dan nasihat peguam biasanya diambil kira dalam membuat sesuatu keputusan di luar mahkamah. Apatah lagi jika membabitkan hal ehwal perundangan.
Umumnya, profesion kepeguaman berpaksikan kepada minat, kesungguhan dan kecintaan kepada bidang guaman itu sendiri. Seorang peguam wajar berusaha memiliki kualiti seperti berintegriti, sabar, suka mencari ilmu, meluangkan masa, tenaga dan kepakaran untuk membantu pihak memerlukan.
Wang buka ganjaran dan matlamat utama sebaliknya, perlu menjadikan peluang berkhidmat dan membantu pihak teraniaya sebagai keutamaan. Antara ciri yang perlu ada pada peguam ialah:
# Mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasan.
Peguam wajib menjalankan tugasan dengan penuh integriti, bersikap jujur, amanah terhadap pelanggan, menjalankan tanggungjawab penuh kesungguhan tanpa menolak nilai profesional tinggi peguam. Peguam mesti bertindak dengan penuh keyakinan, menghormati orang lain sama ada pelanggan, peguam lain dan mahkamah dalam menegakkan keadilan.
# Mengambil berat dan sabar dalam berurusan.
Sikap ini menghendaki peguam untuk sentiasa menghormati dan melayan semua pihak sama ada pihak lawan dan peguam mereka dengan adil, baik serta menjauhi daripada bertindak tidak adil atau prejudis terhadap mana-mana pihak sepanjang proses undang-undang dilaksanakan. Ia bermakna, walaupun peguam mewakili pelanggannya, pada masa sama peguam di pihak lawan tetap dianggap kawan dan boleh berbincang dengan sebaiknya demi kesejahteraan kes serta pihak yang diwakili.
# Cintakan ilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu.
Peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu menggunakan pelbagai kaedah seperti menghadiri seminar undang-undang, membaca buku atau bertanya kepada peguam lebih berpengalaman perkara yang belum difahami. Dengan bekerjasama, kita akan lebih cepat memahami dan menyelesaikan sesuatu kekusutan yang belum diketahui. Peguam berpengalaman juga perlu terbuka untuk mendidik peguam baru sebagai pelapis profesion ini.
# Bersikap baik dan mengambil berat.
Peguam yang menjaga profesion akan mengambil berat serta menghormati bukan saja mahkamah dan rakan sekerja, tetapi juga seluruh manusia yang digaulinya. Menghormati mereka memerlukan kita menepati setiap mesyuarat diputuskan, temu janji dibuat, mengambil berat jadual tugasan dan memberi komitmen tinggi kepada apa perlu dilaksanakan.
# Peguam mesti mewakili pelanggan dengan penuh kesetiaan dan kesungguhan, komited serta menghormati kepercayaan diberikan. Pada masa sama, kesungguhan dan kesetiaan kepada pelanggan tidak menyebabkan dia melakukan tindakan tidak benar, kasar dan biadab apatah lagi menzalimi lawannya. Setiap peguam perlu menjadi contoh kepada kebaikan, kepatuhan undang-undang dan menjaga sistem keadilan syariah yang diperjuangkan.
# Bersungguh dan teliti. Peguam perlu sanggup berkorban masa, tenaga, kepakaran untuk memahami dan menguasai setiap fakta kes serta peruntukan undang-undang yang dibentangkan di hadapannya.
# Suka berkhidmat dengan hati yang luhur dan ikhlas.
Peguam tidak wajar terbabit dalam urusan undang-undang saja, tetapi turut sama memberi kebajikan kepada masyarakat, membantu dalam soal membabitkan perundangan, pendidikan, khidmat sosial dan kebajikan.
Peguam yang beramal di Mahkamah Syariah perlu mengelak daripada melakukan sesuatu yang boleh memberi kesan buruk, menjatuhkan nama baik Mahkamah Syariah, sistem perundangan syariah atau menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap perundangan syariah terhakis.
Apa yang menjadi matlamat adalah mencari kebenaran, menamatkan perselisihan secara baik dan memberi hak kepada yang berhak dengan penuh keadilan seperti diperuntukkan hukum syarak.
Sebelum memilih untuk membawa sesuatu kes ke muka pengadilan dan meneruskan perbicaraan, peguam wajar mencari jalan, mencadangkan kepada pelanggan alternatif untuk menyelesaikan pertelingkahan seperti menggunakan kaedah sulh dan mediasi.
Berbalik kepada peranan peguam syarie di Mahkamah Syariah, sudah tentu mereka perlu merujuk sumber asal perundangan syariah iaitu al-Quran dan Sunnah, bukan sekadar merujuk kepada sumber terjemahan saja.
Diriwayatkan Abu Dawud yang bermaksud: “Hakim itu ada tiga jenis. Satu dalam syurga dan dua lagi akan ke neraka…”
Jika kita mengkaji hadis itu kita akan dapati ia memberi penekanan mengenai konsep integriti. Hadis itu bukan ditujukan kepada hakim saja, juga peguam kerana hakim yang akan ke neraka itu sudah pasti mengheret peguam yang berhujah secara palsu di depannya bersama mereka.
Oleh itu, peguam hendaklah menjadi pembantu kepada kebenaran bukan kebatilan. Peranan peguam sangat besar sebagai pembantu mahkamah menegakkan keadilan demi meletakkan hak kepada mereka yang berhak.
Bukanlah ukuran seorang peguam cemerlang itu memenangi kesemua kes diwakilinya tetapi lebih penting ialah dapat memberikan keadilan kepada yang berhak menerimanya. Jika peguam memberikan hak kepada yang tidak berhak menerimanya, seolah-olah dia memberikan sepotong api neraka kepada mereka.
Persoalan yang timbul ialah jika penegak keadilan ini sendiri terbabit dalam perlakuan jenayah, adakah masyarakat akan masih menghormati profesion guaman?
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Thursday, September 23, 2010
Bani Ubairiq Suku Munafik di Mekah
PADA suatu hari, Rifa'ah bin Zaid telah membeli beberapa guni terigu. Beliau menyimpan makanan itu di dalam gudang tempat menyimpan alatan perangnya.
Pada malam itu, gudang tersebut telah dicerobohi dan kesemua isinya dicuri. Keesokan hari, pagi-pagi lagi Rifa'ah datang menemui anak saudaranya Qatadah.
"Wahai Qatadah, malam tadi gudang kita telah dimasuki pencuri. Semua makanan dan senjata di dalamnya telah hilang," adu Rifa'ah.
Qatadah pun mengajak Rifa'ah menyiasat di sekeliling kampung. Mereka bertanyakan orang kampung kalau mereka terlihat sesiapa yang dicurigai.
"Semalam, aku melihat Bani Ubairiq menyalakan api untuk memasak terigu," kata seseorang.
Pada waktu itu, terigu adalah makanan orang kaya. Orang miskin seperti Bani Ubairiq hanya makan buah kurma dan kekacang yang didatangkan dari Madinah.
Qatadah dan Rifa'ah pun pergi ke rumah Bani Ubairiq.
Kata Bani Ubairiq: "Kami telah bertanya di sekitar kampung ini. Lahib bin Sahl yang mencerobohi gudangmu. Demi Allah, aku yakin."
Lahib ialah seorang muslim yang terkenal kerana kejujurannya. Apabila mendengar tuduhan Bani Ubairiq itu, Lahib segera menarik pedangnya dan berkata: "Engkau menuduh aku mencuri? Demi Allah, buktikan aku mencuri, kalau tidak aku bunuh kamu semua."
"Bukan! Bukan kami yang menuduhmu!" nafi Bani Ubairiq.
Qatadah dan Rifa'ah terus menyiasat. Akhirnya mereka yakin Bani Ubairiq yang mencuri barang mereka. Qatadah pun pergilah menemui Rasulullah untuk meminta penjelasan mengenai perkara itu.
Qatadah pun menceritakan tentang barang-barang bapa saudaranya yang dicuri. Katanya, Rifa'ah hanya mahukan senjatanya sahaja. Makanan itu dihalalkan. Rasulullah berjanji akan menyiasat perkara itu.
Dalam masa yang sama, Bani Ubairiq telah menjaja cerita kononnya Qatadah menuduh Lahib mencuri. Orang kampung pun menemui Rasulullah untuk membuat aduan.
Ia bertujuan menutup tuduhan mencuri daripada kaumnya sendiri.
"Wahai Rasulullah! Qatadah dan bapa saudaranya telah menuduh seorang yang jujur mencuri tanpa bukti yang kukuh," kata mereka.
Rasulullah yang mendengar kata-kata Bani Ubairiq hampir-hampir menjatuhkan hukuman kepada orang yang tidak bersalah. Sebaliknya baginda membela Bani Ubairiq.
Oleh sebab itu, apabila Qatadah datang menemui Rasulullah, baginda telah menegurnya. Baginda berkata: "Adakah kau menuduh seorang muslim yang jujur tanpa mengemukakan bukti?"
Qatadah pun pulang dan menceritakan kepada Rifa'ah. Apabila mendengar cerita Qatadah mengenai teguran Rasulullah itu, Rifa'ah pun berkata: "Hanya Allah tempat kita berlindung."
Lalu Allah menurunkan ayat 105 dari surah an-Nisa' sebagai penjelasan bahawa pencuri yang sebenar ialah Bani Ubairiq dan Rasulullah sendiri yang membawa senjata yang dicuri untuk dikembalikan kepada Rifa'ah.
Rasulullah kasihkan surah al-A'la
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Syed Qutub berkata, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dari al-Imam Ali Karamallahu Wajhahu, bahawa Rasulullah SAW kasihkan surah al-A'la.
Tersebut di dalam Sahih Muslim bahawa baginda membaca surah al-A'la dan al-Ghasiyah dalam solat dua hari raya dan hari Jumaat.
Baginda juga membaca kedua-dua surah itu untuk sembahyang hari raya dan sembahyang Jumaat yang jatuh pada hari Jumaat.
Memang wajar bagi Rasulullah menyintai surah ini, kerana surah ini menukarkan seluruh alam menjadi sebuah tempat ibadat di mana bergema ucapan tasbih dan tahmid di seluruh sudutnya, dan menjadi sebuah tempat pameran yang penuh dengan kejadian-kejadian yang mengilhamkan tasbih dan tahmid.
Firman Allah SWT: Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu yang Maha tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan).
Al-Maraghi berkata: Sucikanlah nama Tuhanmu dari sesuatu yang tidak layak dengan keagungan-Nya, sama ada tentang zat-Nya, sifat-sifat-Nya, perbuatan-Nya dan hukum-hukumnya.
Oleh sebab itu, janganlah kamu menyebutnya kalau tidak untuk mengagungkan-Nya, dan jangan kamu menggunakan nama-Nya kepada selain-Nya, dan jangan menganggap sifat-sifat-Nya sama dengan sifat-sifat yang selain-Nya.
Firman Allah SWT: Yang telah menciptakan (sekalian makhluk-Nya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya.
Ibn Kathir berkata: Allah SWT ciptakan makhluk dan menyamakannya dengan sebaik-baik kejadian dari segi bentuknya.
Firman Allah SWT: Dan yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaan-Nya).
Mujahid berkata: Allah memberi petunjuk kepada manusia sama ada untuk kecelakaan atau kebahagiaan yang dipilih oleh manusia begitu juga menunjuk haiwan ternakan untuk padang ragutnya.
Ayat ini sama seperti firman Allah SWT yang mengkhabarkan berkenaan perihal manusia yang berkata kepada Firaun.
Firman Allah SWT: Dan yang telah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan untuk binatang-binatang ternak.
Al-Maraghi berkata: Dialah yang menumbuhkan segala macam tumbuh-tumbuhan untuk menjadi makanan haiwan.
Tidak ada tumbuh-tumbuhan yang tidak layak untuk dimakan oleh haiwan dan makhluk hidup yang lainnya.
Firman Allah SWT: Kemudian ia menjadikan (tumbuh-tumbuhan yang menghijau) itu kering (berubah warnanya) kehitam-hitaman.
Syed Qutub berkata: Tumbuh-tumbuhan itu mulanya tumbuh menghijau. Kemudian beransur-ansur layu kering hitam kekuning-kuningan. Semasa hijau ia boleh dimakan dan semasa kering hitam kekuningan juga boleh dimakan.
Dalam semua keadaan, tumbuh-tumbuhan itu berguna belaka kepada kehidupan mengikut perencanaan Allah yang telah menjadikan makhluk-Nya dengan ciptaan yang sempurna dengan menentukan tugas dan matlamat masing-masing serta memberi bimbingan kepadanya.
Penutup
Al-Maraghi berkata: Kita diperintahkan agar mengenal Allah SWT Yang Maha Agung, bahawa Dialah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana yang mana dengan sifat-sifat-Nya itu kita dapat menyaksikan bukti-bukti ciptaan-Nya.
Juga kita diperintahkan untuk memberikan nama-nama yang tidak layak, sebagaimana dilakukan oleh golongan yang ingkar, yang bertuhankan selain Allah SWT sebagai sekutunya atau menyifatkan Allah SWT dengan sifat-sifat yang serupa dengan makhluk-Nya.
Kita juga diperintahkan untuk menyucikan sifat Allah SWT bukan zat-Nya, adalah untuk membimbing kita bahawa tingkat kemampuan kita yang paling tinggi hanyalah mengenal sifat-sifat-Nya, yang dapat menunjukkan adanya Zat-Nya, Zat-Nya sendiri jauh lebih tinggi daripada yang dapat dijangkau oleh akal kita.
Justeru, cukuplah kita memerhatikan sifat-sifatnya yang dapat menunjukkan kewujudan Zat-Nya.
Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa mempelajari ilmu Allah sehingga akhirnya menatijahkan ma'rifah kepada-Nya. Amin.
Sabar Pada Pandangan Prof Dr Yusof Al-Qaradawi Hafizuhullah
UNTUK kita memahami sepenuhnya konsep atau sifat sabar, buku ini mungkin antara yang terbaik. Apatah lagi ia ditulis oleh ulama terkemuka Islam hari ini, Prof. Dr. Yusuf Al Qaradawi.
Bicaranya dalam program Syariah dan Kehidupan (As Syariah wal Hayat) sahaja yang disiarkan melalui saluran Al Jazeera ditonton oleh 40 juta penonton dari seluruh dunia.
Walaupun pernah dipenjara sebanyak tiga kali iaitu antara tahun 1949 dan 1961, namun atas faktor sabar dan kesabaran Dr. Yusuf yang sangat kuat, menyebabkan beliau tidak pernah putus asa, putus harap apatah lagi kecewa.
Malah sehingga ke hari ini, pada usia lewat senja beliau masih aktif berdakwah. Semua ini kerana beliau mempunyai pemahaman yang kuat dan tepat mengenai kesabaran.
Tajuk asal buku ini ialah Ash-Shabru Fil Quran menghuraikan dengan terperinci dalam bahasa yang mudah mengenai sabar yang merupakan akhlak ai-Quran yang paling utama dan sangat ditekankan oleh Allah.
Seringkali diulang saranan atau lebih tepat kewajipan untuk umat Islam bersabar kerana dengan mengekalkan sifat kesabaran menjadi kunci kejayaan di dunia dan di akhirat.
Maka tidak menghairankan jika dikatakan perkataan sabar itu disebut lebih dari 70 kali dalam kitab suci itu.
Ia sebagaimana yang ditulis oleh Imam Al Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin manakala Imam Ahmad seperti yang dinukil oleh Ibnu Qayyim pula berkata: "Sebutan sabar dalam al-Quran ditemui pada 94 tempat."
Mengapa penerbitan buku ini sangat tepat pada masanya untuk menjadi bahan bacaan utama kita pada hari ini.
Adakah kerana manusia semakin hilang kesabaran? Adakah sifat itu tidak lagi relevan atau sesuai untuk dijadikan amalan? Atau selama ini kita telah begitu jauh menyimpang dari konsep kesabaran yang sebenar?
Tidak dinafikan apabila kehidupan semakin terdesak, sesak dan diasak, nilai-nilai kesabaran seakan-akan mulai menipis bagai kabus sirna dek sinar mentari pagi.
Malah sesetengah berkata soal masa menghalang untuk mereka bersabar malah sabar itu disifatkan seperti sebuah tembok yang besar, panjang dan tebal.
Maka manusia tidak lagi mahu membuang masa atau bersusah payah untuk membina tembok yang seperti itu.
Tetapi jika kita kembali memahami maksud sebenar kesabaran ini, maka manusia akan menyedari seperti yang ditulis oleh Dr. Yusuf bahawa kita kembali kepada fitrah kepada kejadian bahawa kita dilahirkan sebagai insan yang berakal, bukannya haiwan.
Justeru itu kita perlu kepada kesabaran kerana kita akan selalu diuji dan diduga.
Kita bukan dilahirkan sebagai haiwan yang hidup 100 peratus bertunjangkan nafsu syahwat, yang sama sekali tidak memerlukan sebarang nilai-nilai kesabaran.
Adakah haiwan perlu bersabar apabila mereka diserang misalnya? Berbeza pula keadaannya apabila berlaku terhadap manusia.
Ciri khas milik manusia
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan (balasan) yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepada kamu. Tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang yang bersabar. Dan bersabarlah (Muhammad) dan kesabaranmu itu semata-mata dengan pertolongan Allah dan janganlah engkau bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan jangan (pula) bersempit dada terhadap tipu daya yang mereka rencanakan. (an-Nahl: 126-127)
Malah kata Imam Ghazali: "Sabar merupakan ciri khas milik manusia dan tidak dimiliki oleh haiwan atas sifat kekurangan-kekurangannya dan tidak pula dimiliki oleh malaikat atas sifat-sifat kesempurnaannya sebagai hamba yang paling taat terhadap Allah".
Justeru, Dr. Yusuf menyebutkan jenis-jenis kesabaran seperti yang disebut dalam al-Quran selain kita memahami makna sabar dari aspek lughahnya ialah menahan diri dan mencegah diri.
Khususnya sifat sabar jenis kedua, iaitu selain kesabaran fizikal (badaniah), sifat sabar untuk mental dan rohani (nafsu) adalah yang paling kritikal di mana manusia semakin lupa dan sanggup meninggalkannya.
Menurut Dr. Yusuf, serangan kesabaran dari aspek mental yang sering berlaku adalah berupa nafsu perut dan seksual, maka kesabaran di sini dinamakan iffah bererti kehormatan, martabat dan maruah diri.
Tanpa ada kesabaran terhadap gejolak nafsu maka manusia itu tidak lagi mempunyai iffah pada dirinya.
Kesabaran juga diperlukan dalam soal menahan diri dalam kekayaan, yang lawan katanya di sini adalah bathur atau lupa daratan.
Iaitu manusia apabila kaya, sering lupa diri, angkuh, besar diri dan memandang rendah kepada orang lain. Sedangkan jika dia bersabar dengan kekayaan yang dimiliki, hartanya itu turut dikongsi dengan golongan yang memerlukan. Ini menjadikan kekayaannya itu turut menjadikan dirinya seorang yang kaya budi dan turut mempunyai kekayaan di akhirat kelak!
Begitu juga apabila sabar dalam menyimpan sesuatu maklumat dan yang paling penting kita juga mesti selalu bersabar dengan soal rezeki yang sedikit yang disebut Qanaah atau rela dan puas hati yang kata lawannya adalah 'rakus'.
Dalam hal ini, si polan tidak menyalahkan takdir atas rezekinya yang sedikit tetapi sentiasa bersabar dengan pertolongan usaha dan doa, malah dengan rezeki yang sedikit dirasakan begitu berkat.
Buku ini mengandungi lima tajuk besar keseluruhannya dengan pelbagai tajuk yang sangat menarik.
Ini termasuklah Kedudukan Sabar dan Mereka Yang Sabar Dalam al-Quran (bab tiga), Peribadi-Peribadi Sabar yang Dikisahkan Dalam al- Quran (bab empat) dan Apa yang Menunjang Kesabaran Menurut al-Quran (bab lima).
Buku ini mampu memotivasikan diri pembaca untuk menaikkan semula nilai kendiri dengan menjadikan sabar sebagai faktor kejayaan dalam hidup.
Tidak ada persoalan yang menjadi rumit atau kusut jika kita mampu bersabar, tidak berkeluh kesah, tidak melampaui batas, tidak bertindak tanpa berfikir dan kita tetap kembali dan memohon bantuan kepada Allah.
Kata Dr Yusuf, Allah menjanjikan kesudahan yang baik bagi mereka yang bersabar dan bertakwa, meskipun jalan yang mereka tempuh penuh duri dan kaki mereka tertusuk dan berdarah.
Firman Allah yang bermaksud: Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya bumi ini milik Allah, diwariskan-Nya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya. Dan kesudahan (yang baik) adalah bagi mereka yang bertakwa. (al-A'raf: 128)
Wanita hamil kena fidyah puasa
Soalan
PADA bulan Ramadan lalu, isteri saya hamil lapan bulan tetapi dia tidak lagi lengkap mengqada puasanya yang lepas.
Jika dia tidak mampu untuk mengqadakan puasanya sekarang, adakah boleh dia mengqada puasanya selepas bersalin nanti (selepas raya)?
Ini kerana sekarang dia bimbang akan merasa keletihan yang amat sangat apabila berpuasa.
Jawapan
Jawapan bagi masalah yang pertama, boleh, Islam adalah agama yang penuh kerahmatan Allah SWT tidak membebankan hambanya dengan sesuatu kefarduan yang hambanya sendiri tidak mampu melakukannya.
Dalam persoalan saudara, sekiranya isteri saudara tidak dapat melangsaikan puasa yang tertinggal pada tahun ini. Maka selepas Ramadan dia perlu qada dan membayar fidyah satu cupak bagi setiap hari yang lepas.
Alasannya, Allah SWT memberi kelonggaran bagi ibu mengandung dan ibu yang menyusukan anak sekiranya dikhuatiri susu kering atau mendatangkan mudarat kepada anak maka si ibu boleh berbuka. Syaratnya, ganti puasa bersama membayar fidyah.
Jika si ibu khuatir akan keselamatan atau kesejahteraannya lalu berbuka puasa maka dia hendaklah mengqadakan puasa yang tertinggal tanpa membayar fidyah.
Seperkara yang harus diketahui, sekiranya bulan Ramadan yang Allah SWT fardukan puasa memberi keizinan untuk berbuka puasa bagi mereka yang ada keuzuran syarie apatah lagi di bulan bukan Ramadan.
Maksudnya jika isteri saudara gagal menggantikan puasa sebelum Ramadan kerana khuatir keselamatan bayinya maka dia boleh menangguhkan qadanya selepas dia bersalin.
Selepas ini janganlah tangguh qada puasa sampai Ramadhan 1432 hijrah pula. Memang betul Allah beri hambanya peluang dengan memberi kelonggaran (rukhsah) beribadat dalam keadaan yang sihat dan sejahtera, oleh itu janganlah hendaknya kita mengambil peluang dengan mencipta bermacam alasan.
Di antara rahmat Allah yang agung kepada hamba-hamba-Nya yang lemah, Allah memberi rukhsah kepada mereka untuk berbuka, dan di antara mereka adalah wanita yang hamil dan menyusukan anak.
Daripada Anas bin Malik al-Ka'biy r.a sabda baginda yang bermaksud: "Kuda Rasulullah SAW telah datang kepada kami, lalu aku pun datang bertemu Rasulullah saw, dan aku temui baginda sedang makan. Baginda bersabda: "Hampirlah ke sini dan makanlah" Aku berkata, "Sesungguhnya aku sedang berpuasa" Maka baginda bersabda: "Dekatkan diri kamu ke sini, aku akan memberitahu kamu berkenaan dengan puasa. Sesungguhnya Allah SWT telah menggugurkan (meringankan) setengah hari beban solat ke atas orang yang bermusafir, menggugurkan (memberi rukhsah iaitu memberi kelonggaran) ke atas wanita yang hamil dan menyusukan anak akan kewajipan berpuasa. Demi Allah, Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengucapkan keduanya atau salah satu dari keduanya. Aku benar-benar menyesal kerana tidak memakan makanan Nabi SAW. (Riwayat at-Tirmidzi (715), an-Nasaie (4/180), Abu Dawud (3408), Ibnu Majah (16687). Sanadnya hasan sebagai mana pernyataan at-Tirmidzi).
Berpandukan hadis di atas, jelas baginda selaku pembawa syariat dan pengasasnya memaklumkan bahawa wanita yang hamil dan wanita yang menyusukan bayi boleh berbuka puasa dan menggantikannya pada hari-hari lain.
Keringanan dalam hadis ini adalah bagi mereka yang ada keperluan untuk meninggalkan puasa. Jika ada yang mahu terus berpuasa walaupun di dalam Islam Allah SWT mahukan hambanya atau penganut agamanya ini benar-benar faham falsafah ibadah dengan melaksanakan ibadat sebagai jambatan menghubung hamba dan pencipta untuk mencapai keredaan Allah.
Oleh itu Allah SWT tidak membebankan hambanya dengan suatu ibadat yang sukar untuk dilakukan. Walaupun pada akal manusia pasti akan berkata apalah susah sangat nak berpuasa, tahan makan minum dari terbit fajar (masuk waktu subuh) sampailah (tenggelam matahari) waktu maghrib.
Walaupun nampak mudah ada di sana individu-individu diberi kelonggaran menangguhkan puasanya dan berpuasa pada hari yang tiada halangan syarie untuknya dari berpuasa.
Antaranya, orang bermusafir melebihi dua marhalah, ibu yang mengandung, ibu yang menyusukan anak, orang tua yang uzur dan keadaan-keadaan yang diizinkan syarak.
Diizinkan berbuka puasa bagi wanita yang menyusukan bayi kerana ia boleh membawa si ibu kepada keadaan dehidrasi atau kekurangan air dalam badan.
Mungkin juga akan akan ada kesan-kesan yang lain antaranya seperti tekanan darah rendah, letih, menggigil, rasa loya, pening-pening dan rasa haus yang teruk yang berpunca dari dehidrasi. Apabila terdapat keadaan sebegini, maka dibenarkan berbuka.
Kekurangan susu pula adalah akibat daripada dehidrasi yang teruk. Namun, ada beberapa kajian menunjukkan puasa Ramadan tidak membawa kepada dehidrasi bagi ibu yang menyusukan anak. Kecuali jika si ibu kurang menitik beratkan amalan sahur dan tidak minum air yang cukup dalam selang waktu yang lama sebelum berpuasa.
Jika menurut kajian di atas, punca kekurangan susu tidak boleh dikaitkan sepenuhnya dengan puasa kecuali berlakunya dehidrasi.
Dalam banyak keadaan, kerisauan ibu yang takut letih dan kekeringan susu menyebabkan mereka kurang menyusukan bayi mereka semasa puasa. Kurangnya rangsangan kepada payu dara membawa kepada kurangnya susu.
Wednesday, September 22, 2010
Permasalahan Dam(Ibadah Haji)
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Pada ruangan kali ini akan diterangkan lebih jelas berkenaan dengan isu dam dan permasalahannya berdasarkan kitab-kitab fiqh khususnya dalam mazhab al-Syafie.
Perkataan dam bermaksud darah iaitu sesuatu sembelihan binatang seperti kambing yang perlu dilakukan oleh jemaah haji dengan sebab-sebab tertentu seperti yang akan dijelaskan selepas ini.
Terdapat lima bahagian dam yang wajib dalam ibadah haji iaitu:
Pertama: Dam kerana meninggalkan wajib haji. Ia dilaksanakan mengikut urutan dan kadarnya ditetapkan.
Seseorang yang meninggalkan satu daripada wajib haji dia wajib menyembelih seekor kambing yang layak untuk korban, atau sama ada 1/7 lembu atau unta.
Jika kesemuanya tidak didapati dia wajib menggantikannya dengan berpuasa selama 10 hari, iaitu semasa haji dan tujuh hari setelah di tanah air.
Termasuk dalam bahagian dam ini ialah dam haji tamattu' dan dam kerana meninggalkan wuquf yang dilaksanakan selepas tahallul umrah.
Kedua: Dam kerana melakukan larangan semasa berihram. Ia boleh dilaksanakan mengikut pilihan manakala kadarnya ditetapkan.
Sesiapa yang melakukan larangan tersebut seperti bercukur, memotong kuku (Dalam Manasik al-Haj menyebut: Dam memotong kuku wajib mengeluarkan satu cupak makanan. Dam memotong dua kuku wajib mengeluarkan dua cupak makanan dan dam memotong tiga atau lebih kuku pada masa yang sama wajib mengeluarkan Dam Takhyir dan Taqdir iaitu hendaklah menyembelih seekor kambing atau bersedekah kepada enam orang fakir miskin sebanyak dua cupak makanan tiap-tiap seorang atau berpuasa selama tiga hari) dan sebagainya dia wajib sama ada menyembelih seekor kambing, berpuasa selama tiga hari atau memberi makanan kepada enam orang miskin di Tanah Haram sebanyak 0.5 gantang gandum, setiap seorang.
Dengan memotong tiga helai rambut atau tiga kerat kuku sahaja sudah cukup untuk mewajibkan fidyah ini.
Ketiga: Dam kerana memotong tumbuh-tumbuhan (Dalam Nihayah al-Muhtaj dan Sabil al-Muhtadin menyebut: Semua pokok di Tanah Haram Mekah, sama ada yang tumbuh sendiri atau yang ditanam atau yang dipindahkan, haram dipatah, dipotong atau dicabut sekiranya ia berasal dari Tanah Haram. Maka dikenakan Dam ke atas orang yang mematah, memotong atau mencabutnya sama ada di dalam ihram atau tidak. Sekiranya ia berasal dari Tanah Halal maka tidak haram. Ada pun benih daripada Tanah Halal ditumbuhkan di Tanah Haram, maka hukumnya seperti pokok di Tanah Haram kerana pokok diiktibarkan kepada tempat tumbuhnya.
Dalam buku Soal Jawab Haji dan Umrah menyatakan: Memandangkan pokok-pokok yang ditanam oleh kerajaan Arab Saudi di Tanah Suci itu tidak diketahui asalnya maka dinasihatkan ia tidak dipatah, dipotong atau dicabut (damnya takhyir dan ta'dil) atau membunuh binatang buruan. Ia boleh dilaksanakan mengikut pilihan manakala gantinya adalah mengikut persamaan.
Sesiapa yang melakukan perbuatan tersebut dia wajib sama ada menyembelih binatang ternakan yang sama dengan binatang buruannya di Tanah Haram, atau membeli makanan yang sama harganya dan disedekahkan kepada fakir miskin Mekah atau berpuasa sebanyak kadar cupak yang dianggarkan daripada makanan tersebut.
Jika binatang buruan tersebut tiada perbandingannya dia boleh memilih, sama ada bersedekah makanan atau berpuasa, kecuali jika membunuh burung merpati, bagi setiap ekor dia wajib menyembelih seekor kambing.
Keempat: Dam disebabkan halangan. Ia dilaksanakan mengikut urutan manakala gantinya mengikut persamaan.
Sesiapa yang terhalang mengerjakan haji setelah berihram, dia wajib menyembelih seekor kambing di tempat dia tersekat.
Jika tidak mampu, dia hendaklah bersedekah makanan yang setara dengan harga kambing tersebut kepada fakir miskin. Dan jika tidak mampu juga, dia hendaklah berpuasa sehari bagi setiap cupak makanan berkenaan.
Kelima: Dam kerana persetubuhan. Ia juga dilaksanakan mengikut urutan dan gantinya mengikut persamaan.
Sesiapa yang bersetubuh sebelum bertahallul yang pertama dia wajib menyembelih seekor unta. Jika tidak mampu dia hendaklah menyembelih tujuh ekor kambing.
Seterusnya, jika tidak mampu dia hendaklah bersedekah makanan yang sama dengan harga unta tersebut kepada penduduk Tanah Haram. Dan sekiranya tidak mampu juga, dia hendaklah berpuasa sehari bagi setiap cupak makanan berkenaan.
Kesimpulannya, sembelihan dan bersedekah makanan tidak sah dilakukan kecuali di Tanah Haram. Manakala puasa boleh dilakukan di mana-mana tempat yang dikehendaki. Sementara maksud dam tertib adalah seseorang tidak boleh melaksanakan dam kedua kecuali jika tidak mampu melakukan dam yang pertama.
Dam takhyir pula bermaksud seseorang boleh memilih mana-mana dam yang dikehendakinya.
Maksud dam taqdir adalah syarak menetapkan gantinya, sama ada ia dam tertib atau dam takhyir, manakala dam ta'dil pula bermaksud dam tersebut dinilai dan digantikan dengan sesuatu yang sama dengan nilai tersebut.