Showing posts with label Fiqh Wanita. Show all posts
Showing posts with label Fiqh Wanita. Show all posts

Tuesday, October 19, 2010

Fiqh Kerahsiaan Wanita-Buku 'wajib' dimiliki wanita

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Rasulullah SAW ada menyebutkan: "Sebaik-baik perempuan itu ialah perempuan Ansar (penduduk asal Yathrib berbangsa Arab), mereka tidaklah malu untuk (belajar) perkara-perkara agama (Islam)".

Begitulah hendaknya bagi wanita-wanita Islam yang lainnya, tidak kira bangsa, warna kulit mahupun bangsa mereka mesti mencontohi kegigihan wanita dari golongan Ansar ini. Sebagaimana perintah dari ayat hadis yang sangat popular, Tallabu ilmi faridhatun 'ala kulli muslim! (Menuntut ilmu itu adalah wajib bagi Muslim)

Perkara-perkara agama di sini, tidak perlu dilihat dalam perspektif yang sempit. Ini kerana ia mencakupi apa juga tajuk selagi ia memberikan manfaat kepadanya dunia dan akhirat.

Bagi wanita Islam itu sendiri, mereka perlu mengenali diri mereka sendiri baik dari aspek bentuk fizikal sehinggalah hak-hak yang mereka harus nikmati dalam hidup ini.

Maka dengan adanya buku yang sebaik ini, iaitu Fikh Kerahsiaan Wanita, tugas untuk mengenali diri kaum ini menjadi lebih mudah. Ya, buku ini tidak sahaja sasaran pembacanya kepada kaum wanita sahaja, malah kaum lelaki pun, jika mereka membaca buku ini adalah lebih baik lagi.

Tidak dinamakan lelaki itu sebagai pemimpin yang baik kepada keluarga misalnya, jika tidak mengetahui apa juga permasalahan orang yang dipimpin dalam keluarganya itu, iaitu terutama isteri dan anak-anak perempuan.

Penulis buku ini merupakan Profesor Fikh Perbandingan, di Universiti al-Azhar, Mesir yang pada kulit buku ini dirangkumkan makna mengenai tajuk buku ini, iaitu: "…memahami secara jelas isu yang melibatkan rongga keintiman wanita (faraj) menurut syariat Islam. Persoalan 'dalaman' yang difahami oleh setiap wanita mukalaf dan para suami yang menjadi nakhoda rumahtangga. Bertanya mengenainya sering mengundang segan, kini dihidangkan secara jelas dan ringkas sebagai panduan hidup muslimah sejati!"

Sedangkan tidak perlu malu sebagaimana mengambil pengajaran hadis, iaitu: "Ummu Sulaim isteri kepada Abu Talhah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran, adakah menjadi kewajipan ke atas seorang wanita untuk mandi wajib apabila dia bermimpi (basah?) Lalu Nabi pun menjawab: "Ya (wajib mandi) apabila melihat air mani keluar".

Begitu pun jika masih malu maka buku ini adalah terbaik untuk dijadikan rujukan utama kerana mungkin yang paling terjawab adalah dalam bahasa Arab sebagai bahasa utama dalam semua aspek perundangan dan peraturan dalam Islam.

Tetapi mujurlah anak ulama terkenal negara, Allahyarham Fadzil Noor, Ahmad Fauwaz mengambil inisiatif yang sangat besar menterjemahkan tulisan pensyarah beliau ini ke Bahasa Malaysia. Beliau disifatkan sebagai anak yang taat kepada Dr. Saadudin di samping pelajar yang menghargai ilmu dan para ulama.

Ahmad Fauwaz mahu memastikan ilmu gurunya itu dapat disebar luaskan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pembaca seantero Asia Tenggara yang rata-rata bahasa ibundanya, Melayu.

Moga usaha Ahmad Fauwaz ini akan dicontohi oleh lebih ramai cerdik pandai demi menyedar dan memajukan ummahnya sendiri.

Buku ini dikatakan lengkap kerana ia begitu menyentuh setiap aspek hukum hakam membabitkan maslahah wanita Islam.

Walaupun dalam lingkungan 184 muka surat tetapi ia sarat dengan pelbagai perbincangan penting mengenai aurat-aurat wanita yang ada padanya pelbagai fiqh dan hukum yang wajib diketahui.

Dibahagikan kepada lima bahagian atau topik utama, iaitu;

* Hukum Bersuci, aurat dan berkhatan terhadap faraj wanita - menyentuh soal lelehan (discharge) faraj, aurat faraj dan khatan wanita.

* Hadas-hadas yang keluar melalui faraj - menyentuh hadas wuduk, hadas junub dan hadas dari darah-darah yang keluar (seperti haid, nifas dan istihadah)

* Hukum bersetubuh - menyentuh bersetubuh ketika wanita hamil dan hukum azal,

* Hukum-hukum berkaitan dengan wanita hamil, idah (cerai hidup mahupun mati) dan menggugurkan kandungan kehamilan.

* Hukum melakukan jenayah ke atas kemaluan wanita.

Topik-topik tersebut sangat relevan dengan kehidupan seharian seorang wanita dan malangnya ramai yang tidak mengetahui.

Ini termasuklah adakah mereka jelas mengenali perbezaan air mani, air mazi dan lain-lain jenis lelehan yang keluar, adakah dengan menyentuh faraj wanita lain, wuduk seseorang wanita itu turut terbatal?

Pelbagai persoalan mengenai darah haid, nifas dan darah-darah penyakit yang sering menimbulkan pelbagai kemusykilan kepada kaum wanita (dan kaum lelaki juga perlu ketahui).

Apa itu al Ghilaah, pembahagian atau jenis-jenis idah sehinggalah adakah wanita yang mati dalam keadaan hamil disifatkan sebagai mati syahid?

Segala persoalan mengenai wanita dijadikan maklumat-maklumat yang sangat penting dan menarik dalam buku ini.

Jaminan pemahaman 100 peratus terhadap pembaca sehinggakan tidak perlu merujuk secara bersemuka dengan yang pakar tidak dapat diberi.

Namun, sekurang-kurangnya ia memberi asas pengetahuan yang kuat malah mereka yang membaca buku ini pasti mampu menyebar atau berkongsi maklumat kepada kaumnya sendiri.

Tetapi jika dapat memanjangkan persoalan untuk dirujuk kepada yang lebih pakar adalah lebih baik. Ini kerana yang menulis mungkin tidak memahami sesetengah perkara yang membezakan wanita Islam mengikut negara.

Wanita di Malaysia mungkin tidak sama persoalan dan masalah yang mereka hadapi berbanding wanita Islam di Mesir misalnya.

Persoalan mengenai aurat-aurat wanita ini tidak boleh dianggap enteng. Ini kerana Islam sangat memartabatkan golongan wanita berbanding sesetengah masyarakat lain yang melihat wanita sebagai golongan rakyat kelas kedua, tanpa dipedulikan segala permasalahan mereka sehinggakan untuk menuntut apa-apa yang sepatutnya menjadi hak dianggap tidak layak!.(Utusan Malaysia 15 Oktober 2010)

Saturday, May 15, 2010

hukum wanita bekerja dan hukum musafir bagi wanita ?

Soalan saya apakah hukum wanita bekerja dan bagaimana hukum musafir bagi wanita sebegini?

Jawapan:
KERJAYA golongan wanita yang pertama dan paling agung serta tidak perlu dipertikaikan, adalah mendidik generasi baru. Itulah kerjaya yang Allah SWT siapkan mereka untuk melaksanakannya baik dari segi fizikal mahupun spiritual. Atas alasan ini, tidak wajarlah beliau disibukkan daripada melaksanakan tugas ini oleh kesibukan material atau seni.

Ini bagaimanapun tidak bermaksud kerjaya seorang wanita di luar rumahnya adalah haram di sisi syarak. Tidak ada seorang pun yang berhak mengharamkan sesuatu yang sabit sesuatu perkara dan tindakan itu adalah harus sebagai mana yang maklum ketahui.

Berdasarkan asas ini, kerjaya seorang wanita itu sendiri adalah harus, malah kadang kala menjadi satu tuntutan apabila diperlukan seperti perempuan janda atau yang sudah diceraikan oleh suaminya atau tidak menemui jodoh, yang tidak mempunyai sumber pendapatan dan juga tiada orang yang menanggungnya sedangkan beliau mampu melakukan pekerjaan yang boleh menyelamatkan dirinya daripada meminta daripada orang ramai. Tidak syak lagi, wanita seperti ini diharuskan bekerja.
Mengenai perempuan bermusafir tanpa ditemani mahram, ada sebuah hadis dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang perempuan tidak boleh musafir kecuali berserta dengan muhrimnya.”

Alasan tegahan atau Illah ini ialah kerana bimbang kepada keselamatan perempuan yang bermusafir bersendirian tanpa ditemani oleh suami atau mahram, kerana ketika itu orang bermusafir menaiki unta atau keldai. Pada umumnya mereka akan merentasi padang pasir yang luas dan tidak ada sebarang kampung dan bangunan. Dalam keadaan seumpama ini, walaupun perempuan itu tidak ditimpa bencana ke atas dirinya, tetapi namanya menjadi buruk.

Apabila keadaan sudah berubah seperti zaman ini, di mana orang bermusafir menaiki kapal terbang yang penumpangnya lebih 100 orang atau menaiki kereta api yang penumpangnya ratusan orang, tidak lagi dibimbangi mengenai keselamatan wanita, apabila mereka bermusafir bersendirian. Menurut Syarak, bermusafir dalam keadaan ini tidak ditegah. Perbuatan ini juga tidak bertentangan dengan hadis daripada ‘Adi bin Hatim dalam Sahih al-Bukhari yang bermaksud: “Akan berlaku seorang wanita yang bermusafir keluar dari al-Hira’ menuju ke Kaabah dan suaminya tidak bersamanya.”

Hadis ini pada hakikatnya untuk memberi pujian kepada Islam yang akan tersebar. Cahayanya akan menular ke seluruh alam dan keamanan yang ada di atas muka bumi. Jadi harus bagi perempuan bermusafir tanpa disertai mahram. Ini adalah pandangan Ibn Hazm.

Tidak syak lagi ada ulama yang mengharuskan perempuan mengerjakan haji tanpa mahram, tanpa suami sekiranya dia pergi bersama beberapa orang perempuan yang dipercayai. Saidatina ‘Aisyah dan beberapa orang isteri Rasulullah SAW yang lain pada zaman Saidina Umar sudah mengerjakan haji tanpa ada mahram tetapi mereka bersama Saidina Uthman dan Abd Rahman bin Auf. Demikianlah yang tercatat dalam Sahih al-Bukhari.

Ada ulama berpendapat, cukup dengan ditemani oleh seorang perempuan yang dipercayai. Sesetengah ulama lain menyatakan seseorang perempuan itu boleh musafir seorang diri jika jalannya aman. Dalam kitab al-Muhazzab daripada kalangan fuqaha’ as-Syafie mengakui kebenaran ini. Sesetengah fuqaha’ as-Syafie mengkiaskan dengan musafir dalam semua hal. Wallahualam.
(Ustaz Zahazan Mohamad)

Thursday, November 12, 2009

Persoalan Solat Wanita

SOALAN:
SAYA ada kemusykilan tentang kedudukan wanita dalam solat berjemaah. Adakah hadith sahih yang kata perempuan tidak digalakkan turun surau?

Adakah sirah Nabi atau para sahabat yang mana ada muslimat yang komited untuk berjemaah di surau?

Jawapan:

Solat berjemaah di masjid atau surau sangat digalakkan dalam Islam. Hadith-hadith Rasulullah SAW juga cukup banyak yang sentiasa memberi motivasi bahawa pahala orang yang solat berjemaah jauh lebih baik berbanding solat bersendirian.

Di sana juga terdapat hadith-hadith Rasulullah SAW yang mengecam dan memberi amaran yang sangat keras bagi mereka yang tidak hadir solat berjemaah.

Malahan dalam suasana yang sangat getir pun mereka tidak mengabaikan solat berjemaah. Disebabkan keyakinan yang tidak berbelah bagi Rasulullah SAW bahawa penyatuan saf di dalam masyarakat adalah bermula dengan penyatuan saf di dalam masjid.

Masjid menjadi tempat bertemu dan bertanya khabar, peluang menyuburkan semangat persaudaraan. Sebab itulah, falsafah solat berjemaah adalah bertujuan menyatukan ummah sehingga dilabel sebagai khaira ummah (umat terbaik).

Masjid mampu merungkai persengketaan dan perbalahan, tempat menimba yang jernih. Dalam pada itu persoalan solat berjemaah dan fadilatnya banyak ditujukan kepada kaum lelaki bukan kaum wanita.

Namun demikian, ini tidaklah bermaksud wanita tidak perlu ke masjid atau surau untuk solat berjemaah. Untuk memberi jawapan kepada persoalan ini para ulama telah berbincang dan memberi beberapa saranan dan pandangan.

Solat berjemaah di masjid wajib hukumnya, di mana keterangan masalah ini nampak sekali imbas bahawa solat jemaah seakan-akan diwajibkan bagi setiap muslim, baik lelaki mahupun perempuan.

Padahal tidaklah demikian. Ini kerana di dalamnya terdapat beberapa pengecualian dan pengkhususan.

Di antara pengkhususan itu adalah tidak diwajibkan solat berjemaah bagi wanita. Hal itu sesuai dengan ijmak (kesepakatan) ulama. Adapun dibolehkan mereka ikut serta dalam solat berjemaah bukan bererti merupakan kewajipan bagi mereka sebagaimana yang telah dikatakan oleh Abu Muhammad bin Hazm rahimahullah; “Adapun bagi wanita maka hukum menghadiri solat berjemaah adalah tidak wajib. Dalam perkara ini tidak terdapat ikhtilaf di antara para ulama”. (Al Muhalla 4: 196)

Sebaliknya wanita dianjurkan untuk solat di rumahnya kerana fadilat (keutamaannya) lebih besar dibandingkan dengan solat berjemaah di masjid. Rasulullah SAW bersabda kepada seorang wanita yang bermaksud: “Solat di bilikmu (rumahmu) lebih baik daripada solat di rumahmu. Solat di rumahmu lebih utama daripada solat di masjid kaummu”. (riwayat Ibn Khuzaimah)

Di dalam hadith lain Rasulullah bersabda: “Janganlah kalian melarang wanita-wanita kamu (untuk pergi ke) masjid dan rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka”. (riwayat Ibnu Khuzaimah)

Berkata Imam Asy Syaukani r.h ketika menjelaskan lafaz “Rumah-rumah mereka lebih utama bagi mereka”, maksudnya adalah “Solat mereka (wanita) di rumahnya itu lebih utama bagi mereka dibandingkan dengan solatnya di masjid”.

Jika mereka mengetahui yang demikian (pastilah mereka tidak meminta untuk keluar masjid). Akan tetapi kerana mereka tidak mengetahuinya, maka mereka meminta izin untuk keluar ke masjid dengan berkeyakinan bahwa pahalanya lebih banyak daripada solat di rumahnya”. (al-Syaukani, Nailul Authar 3:131).

Dari riwayat-riwayat di atas, para ulama mengistinbatkan hukum bahawa solat wanita di dalam rumahnya lebih utama daripada solat di masjid.

Walaupun demikian mungkin akan timbul dalam benak kita suatu pertanyaan: “Manakah yang lebih utama, wanita solat di rumahnya dengan berjemaah atau solat sendiri. Dan apakah solat jemaahnya akan mendapatkan seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW (yakni lebih utama 27 darjat)?”

Untuk menjawab pertanyaan ini terlebih dahulu kita melihat syarah hadis solat berjemaah lebih utama dibandingkan solat sendiri dengan dua puluh lima (dalam riwayat lain dengan dua puluh tujuh) darjat. Apakah hadis tersebut bersifat umum bagi lelaki dan wanita?

Hujah-hujah yang dikemukakan tadi adalah berdasarkan tuntutan bahawa wanita tidak disuruh dan jangan dilarang.

Hukum awal wanita tidak digalakkan ke masjid atas tujuan mengelak fitnah yang mungkin berlaku, kerana perumahan di zaman Madinah dan Mekah agak jauh dari Masjid. Atas kebimbangan keselamatan adalah lebih baik solat di rumah masing-masing.

Perkara kedua, budaya masyarakat Arab memang tidak akan membenarkan wanita keluar bersendirian, suami akan dikata sebagai tidak bertanggungjawab.

Namun demikian hari ini ramai wanita yang ke masjid tidak ditemani oleh suami tapi dengan izin. Ini kerana suasana hari ini mungkin lebih selamat, apatah lagi dalam suasana kampus.

Beberapa Syarat

Telah menjadi ijmak (kesepakatan) para ulama bahawa Rasulullah tidak mencegah sama sekali para wanita untuk solat berjemaah di masjid bersama beliau sehingga wafatnya.

Demikian pula para Khulafah Rasyidin sesudah beliau SAW. Rasulullah SAW bersabda: Apabila salah satu wanita di antara kalian meminta izin ke masjid, maka janganlah kalian cegah mereka. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Ibnu Umar ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Janganlah kalian melarang hamba (para wanita) Allah ke masjid-masjid Allah. (riwayat al-Bukhari)

Menyoroti hadith-hadith di atas, Imam Nawawi r.a berkata: Hadis ini dan yang semisalnya (menjelaskan) dengan jelas sekali bahawa wanita tidak dilarang pergi ke masjid. Akan tetapi dengan syarat-syarat yang telah disebutkan oleh para ulama yang diambil daripada hadis-hadis iaitu: Tidak memakai wangi-wangian, tidak tabarruj (berhias-hias, bersolek-solek), tidak memakai gelang kaki yang dapat terdengar bunyinya, tidak memakai baju yang mewah, tidak berikhtilat dengan kaum lelaki dan bukan gadis yang dengannya dapat menimbulkan fitnah, tidak terdapat sesuatu yang dapat menimbulkan bahaya di jalan yang akan dilalui. Apabila dia mempunyai suami atau tuan dan terpenuhi syarat-syarat yang disebutkan tadi, maka dimakruhkan melarang mereka ke masjid. Namun jika dia belum/tidak mempunyai suami atau tuan, maka diharamkan melarang mereka ke masjid apabila terpenuhi syarat-syarat di atas. (Syarh Shahih Muslim 4:382-383).

Inilah syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh para ulama yang disyariatkan kepada para wanita yang ingin ke masjid. Syarat-syarat ini diambil daripada hadith-hadith Nabi SAW.(www.utusan.com.my)

Kesimpulannya,wanita boleh menunaikan solat berjemaah di masjid dengan memenuhi dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh para ulama melalui hadith-hadith Nabi Muhammad s.a.w dan berdasarkan beberapa perkara yang lain seperti izin suami bagi yang telah berkahwin,tidak menimbulkan fitnah,dan tidak memudharatkan(aman) ketika menghadirkan diri berjemaah ke masjid. Namun begitu,wanita lebih utama solat di rumah bersandaran hadith yang dinyatakan di atas dan pendapat serta ijma ulama dalam masalah ini. Wallahual'am

Monday, October 19, 2009

Malu Seorang Wanita Islam

MUKADDIMAH

Dulu2 saya ada ditanya oleh bekas pelajar sy ada bertanya tentang muslimah yang menayangkan pelbagai gambar didalam blog dan freindster. Saya jawab hukumnya harus selagi mana ia menutup aurat. Namun dari sudut adab yang tinggi bagi seorang muslimah tidak selayaknya sebagai muslimah yang mempunyai sifat malu yang tinggi untuk dia sewenang-wenangnya mendedahkan diri dan mukanya kepada khalayak ramai tanpa tujuan yang dibenarkan. Sebentar tadi saya baca buku "makarimul akhlak Fil Islam" yang tentang kisah seorang wanita yang malu mendedahkan mukanya di mahkamah perbicaraan Islam. Oleh itu saya ingin menulis tentang malunya seorang wanita.

MALUNYA WANITA DALAM QURAN

Didalam al-Quran disebut kisah dua anak Nabi Syuaib as dengan Nabi Musa as. Firman Allah swt:

"Salah seorang anak perempuan Nabi Syuaib as berjalan untuk menemui Nabi Musa dengan penuh rasa malu" (25 : al-Qasas)

Dalam tafsir Sofwatut Tafasir menyatakan anak perempuan Nabi Syuaib as datang sambil menutup mukanya dengan pakaiannya.

Anak Nabi Syuaib as ini datang berjumpa dengan Nabi Musa atas arahan ayahnya yang sudah uzur.

Pengajaran: Wanita yang mempunyai urusan dengan lelaki hendaklah berjumpa dengan penuh rasa malu dan adab yang tinggi.

MALUNYA WANITA DALAM SUNNAH


كان صلى الله عليه وسلم أشد حياء من العذراء في خدرها


"Nabi saw tersangat malu lebih dari malunya anak dara yang berada disebalik tirainya." (Hr Ahmad -sahih)

Dalam hadis menunjukkan kepada malunya seorang wanita terutama anak dara. Ia sepatutnya tidak mempamirkan diri kepada yang bukan mahramnya tanpa keperluan.

KISAH MALUNYA SEORANG WANITA

Seorang isteri telah mengemukakan aduan kepada qadi Mu'tadid Ali ar-Rayy tentang 500 dinar (wang mas) kahwin yang belum dibayar oleh suaminya. Wanita tadi membawa beberapa orang saksi yang menyokong dakwaannya. Si suami tidak mengakui dakwaan si isteri. Qadi pun menyuruh saksi-saksi untuk mengemukakan penyaksian mereka untuk menyokong dakwaan si isteri. Para saksi berkata:

"Wanita ini hendaklah memperlihatkan wajahnya supaya kami dapat pastikan dia lah wanita yang kami maksudkan."

Si Qadi menerima permintaan para saksi dan menganggapnya itu hak saksi2. Wanita menolak untuk menunjukkan mukanya kerana malu. Si Qadi menyuruh wanita tadi untuk memperlihatkan wajahnya untuk meneruskan dakwaan tadi. Tiba2 si suami yang bersimpati dengan isterinya segera berkata:

"Tidak usah tunjukkan muka mu. Aku mengakui dakwaan mu itu."

Si isteri terkesan dengan sikap suaminya lalu berkata:

"Aku menjadikan Allah sebagai saksi dan juga kamu semua bahawa aku halalkan semua mas kahwinku dunia dan akhirat."

Pengajaran: Walaupun ditempat yang sepatutnya wanita tadi membuka purdahnya untuk mendapatkan haknya tetapi oleh kerana itu sifat malu yang tinggi menyebabkan dia sanggup mengorbankan 500 dinar (wang emas).

KESIMPULAN

Oleh itu, walaupun wanita diharuskan meletakkan gambarnya diruang yang dilihat oleh bukan mahramnya selagi menutup aurat tetapi sebagai muslimah yang kuat pegangannya dengan Islam dan sifat malunya yang tinggi hendaklah menjaga dari mendedahkan gambarnya tanpa sebab dan tujuan seperti diletakkan gambarnya di blog dan friendster. Terutama yang mempunyai paras rupa yang cantik amatlah dituntut untuk mengelakkan perkara ini. Ini kerana Islam melarang wanita melakukan perkara yang boleh mencairkan hati lelaki dan menimbulkan fitnah. Firman Allah swt:


ولا يضربن بأرجلهن ليعلم ما يخفين من زينتهن


"Janganlah para wanita itu menghentak kakinya dengan tujuan supaya orang lelaki mendengar bunyi gelang kakinya sehingga menarik perhatian orang lelaki." (Sebahgian ayat 30 : an-Nur)

Peringatan: Hendaklah sifat malu ini tidak memilih jenis bangsa dan tempat. Jangan di luar negara (mesir contohnya) mempunyai malu yang tinggi tetapi tidak dimalaysia. Hendaklah sifat malu itu kerana Allah bukannya kerana manusia. Sentiasa mengawasi kita dimana sahaja kita berada.

MALUNYA WANITA TIDAK MENEGAH IA UNTUK KELUAR MENUNTUT ILMU AGAMA

Walaupun Islam menyanjung sifat malu pada wanita tetapi hendaklah sifat malu itu tidak menegah dari dia keluar menuntut ilmu. Kita lihat kesungguhan para wanita di zaman Nabi saw. Abu Sai'id al-Khudri berkata:

"Seorang wanita berjumpa Rasulullah saw dan berkata "Wahai Rasulullah, orang2 lelaki beruntung kerana selalu mendapat tazkirah darimu. Kami minta satu hari untuk kamu khususkan kepada kami bagi menyampaikan ilmu yang telah engkau ajarkan." Lalu Nabi saw menjawab:

اجتمعن يوم كذا وكذا

"Berhimpun pada hari sekian-sekian."

Kami pun berhimpun pada hari yang telah ditetapkan Nabi dan Nabi saw mengajar mereka apa yang telah ajarkan pada Nabi saw." (Hr Bukhari dan Muslim - sahih)

Dalam athar ada menyebut:

نعمت النساء نساء الأنصار لم يمنعهن الحياء من السوءال عن دينهن

"Sebaik-baik wanita adalah wanita ansar, sifat malu yang ada pada mereka tidak menghalang mereka bertanya dan mencari ilmu agama."

Pengajaran: Oleh itu ditempat yang diperlukan , wanita hendaklah berani e hadapan. Kita lihat zaman Nabi dan para sahabat bagaimana berani Nusaibah ra berjihad menentang musuh, Rafidah al-Aslami merawat orang lelaki yang cedera dalam peperangan, Asma' bintu Abu bakar yang menghantar makanan pada Nabi dan ayahnya dalam peristiwa hijrah, Khaulah yang menegur Khalifah umar di khalayak ramai dan lain-lain. Jangan menggunakan alasan malu untuk menjauhkan dari kerja-kerja menegakkan Islam. Kerja-kerja ini adalah melibatkan lelaki dan perempuan seperti yang dinyatakan dalam ayat 71 surah at-Taubah.

Rujukan: Safwatut Tafasir oleh Sobuni, Makarimul Akhlak Fil Islam dan Riadus salihin oleh Imam Nawawi.
http://akhisalman.blogspo.com
Wallahual'am