Sunday, September 27, 2009

Pengekalan Momentum Ramadhan Al-Mubarak.



1 Syawal 1430 Hijrah, telah hampir seminggu meninggalkan kita. Walau bagaimanapun, kehangatan dan suasana Hari Raya Eidulfitri ini masih lagi menyelubungi dan dirasai oleh masyarakat kita. Lagu-lagu raya masih diputarkan di corong radio dan dialunkan oleh para penyanyi di kaca televisyen, jamuan hari raya dan majlis rumah terbuka semakin rancak berjalan, amalan ziarah-menziarah giat dilakukan terutamanya di hujung minggu(Sabtu dan Ahad), dan pemberian sumbangan dan duit raya oleh syarikat-syarikat tertentu dan orang-orang perseorangan kepada mereka yang kurang bernasib baik turut berlaku.
Dalam keadaan kita bersuka ria dan bergembira ini, jangan pula lupa dan alpa untuk meneruskan atau mengekalkan momentum amalan yang kita lakukan sepanjang sebulan di bulan yang mulia iaitu Ramadhan Al-Mubarak. Antara amalan yang boleh kita lakukan untuk meneruskan momentum tersebut ialah melakukan ibadah berpuasa 6 hari di bulan Syawal. Paling afdhal perbuatan ini dilakukan sehari selepas kita menyambut Hari Raya Eidulfitri secara berturut-turut selama 6 hari,akan tetapi tidak menjadi kesalahan jika dilakukan secara berselang-seli asalkan dalam bulan Syawal.
Fadhilat amalan ini diterangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam satu hadith riwayat Muslim daripada Abu Ayub r.a,sabda Baginda:
من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان لصيام الدهر..........أو كما قال رسول الله(ص)..........
Maksudnya: “Barangsiapa berpuasa Ramadhan dan diikuti dengan puasa enam hari bulan Syawal maka seolah-olah dia telah berpuasa selama-lamanya”(Hadith no.1164).
Kedua,menunaikan solat lima waktu secara berjemaah di masjid sekerap yang boleh. Solat adalah tunjang dan tiang utama agama. Ia juga ibadah yang teristimewa kurniaan Allah kepada umat Islam melalui peristiwa Israk Wal Mikraj. Amalan penting yang pertama akan dihisab Allah jua diberikan tawaran hangat dan berganda jika didirikan secara berjemaah. Sabda Rasulullah s.a.w:
صلاة الجماعة تفضل من صلاة الفذ بسبع وعشرين درجة
Maksudnya: “Sembahyang berjemaah melebihi solat seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat”(Hadith Riwayat Bukhari(618) dan Muslim(650) )
Pengekalan kita melakukan solat berjemaah ini dapat menerus kesinambungan perlakuan kita semasa dalam madrasah Ramadhan. Menghadirkan diri solat berjemaah lima waktu dan solat sunat Tarawih di surau atau masjid sehingga melimpah ruah memenuhi setiap penjuru masjid. Di samping itu, perbuatan iktikaf yang dilakukan secara intensif pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan dan sebagai rutin harian sebulan Ramadhan dapat diteruskan. Dengan bersolat berjemaah di masjid kita boleh melakukan iktikaf juga,amat beruntung sekali kerana kita melakukan amalan 2 in 1.
Selain itu, mujahadah melawan hawa nafsu daripada melakukan perkara maksiat sebaiknya diusahakan seperti biasa. Bercakap yang tidak baik seperti mengumpat mencaci,mencarut,menfitnah, dan sewaktu dengannya, menonton,melakukan,menyeru dan mengajak kepada perkara maksiat semoleknya dihindari dan dijauhi. Amalan tidak merokok ketika berpuasa Ramadhan juga patut diteruskan dan adalah lebih baik berhenti daripada mengambil benda haram ini serta katakan”TAK NAK KEPADA ROKOK”.
Seterusnya,perbuatan sunat dikekalkan dan dipertingkatkan. Dengan erti kata, segala amalan perbuatan yang kita perbuatan pada bulan Ramadhan dilakukan seperti biasa sambil berusaha menambahkan lagi amalan sunat yang lain yang boleh menghampiri kita kepada Allah dan meningkatkan ketaqwaan kepadaNya.
Kesimpulannya, pengekalan momentum amalan yang dilakukan sepanjang tempoh satu semester di IPT Ramadhan perlu dikekalkan dan cuba dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Jangan hanya menjadi hangat-hangat tahi ayam dan jangan seperti gas yang keluar dari air minuman berkarbonat apabila ia dibuka serta renungkanlah bersama intipati kata-kata seorang abid : “Jangan kita menjadi golongan yang apabila tiba Ramadhan seperti wali yang beribadat dan beramalan,hampir dan mendekatkan diri kepada Allah tetapi apabila Ramadhan berlaku beliau pula ibarat syaitan yang bermaharajalela bebas melakukan apa sahaja” Wallahua’lam
Sekian,terima kasih.
“ Salam Muhasabah Diri Kepada Diri Saya Yang Dhaif Ini Dan Kepada Sahabat-Sahabat Dan Rakan-Rakan Sekelian”

Friday, September 18, 2009

Bicara Agama

Hadis fadilat tarawih

Soalan: SAYA ada menerima edaran risalah hadis fadilat harian solat tarawih riwayat Saidina Ali selepas bersolat tarawih di masjid kariah saya. Adakah ia hadis yang benar?

Jawapan:

Berdasarkan kajian yang dijalankan, hadis ini tidak terdapat di dalam al-Kutub al-Sittah (Buku yang Enam) yang merupakan buku-buku rujukan hadis paling utama.

Ia terdiri daripada al-Sahihan (Buku Sahih yang Dua) iaitu Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim pada kelas yang pertama. Manakala baki empat buku lagi dipanggil al-Sunan al-Arba’ah (Buku Sunnah yang Empat) yang terdiri daripada Sunan Abu Daud, Sunan al-Tirmidzi, Sunan al-Nasa’i (yang diberi nama al-Mujtaba) dan Sunan Ibnu Majah.

Malah tidak juga terdapat dalam Muwatta’ Imam Malik, Sunan al-Darimi, Musnad Imam Ahmad bin Hanbal atau Mustadrak al-Hakim.

Malah satu cakera padat umpama perpustakaan bergerak tentang hadis seperti Maktabah Shamilah dan Sunnah Alfiyyah pun gagal menjejak hadis ini, hatta dalam buku-buku yang menyenaraikan hadis-hadis palsu.

Oleh yang demikian, mahu tidak mahu, ia terpaksa digolongkan dalam hadis yang tidak berasas (la asla la hu).

Apabila sesuatu hadis itu dilabelkan demikian maka ia adalah hadis yang palsu, baru diada-adakan dan haram hukumnya berpegang kepada.

Mempercayai apalagi menyebarkannya berdasarkan satu hadis mutawatir yang paling masyhur dalam bidang hadis: “Sesiapa yang berdusta atas namaku, maka dia telah menempah tempatnya di neraka.” (Sumber: Sahih al-Bukhari (1/52) dan Sahih Muslim (1/7), Sunan Abu Daud (3/357), Sunan al-Tirmidzi (5/35), Sunan al-Nasa’i (3/457), Sunan Ibnu Majah (1/13), dan Sunan al-Darimi (1/87).

Malahan ia tersenarai sebagai satu daripada 70 dosa besar dalam Islam - berdusta kepada Allah dan Rasul-Nya.

Antara ciri-ciri hadis palsu ialah:

1. Tidak terdapat hukum sedemikian di dalam fikah Islam yang diketahui

2. Hadis itu bertentangan dengan al-Quran atau kaedah-kaedah agama yang diketahui

3. Hadis itu bertentangan dengan hadis lain yang lebih tinggi status sahih dan penerimaannya dalam ilmu Islam

4. Hadis itu bertentangan dengan ijmak ulama

5. Hadis itu tidak terdapat dalam buku-buku kompilasi hadis yang muktabar - contoh yang jelas ialah seperti hadis yang ditanya oleh soalan ini.

6. Terdapat lafaz dan makna yang janggal jika dibandingkan dengan kefasihan dan keindahan untaian kata hadis-hadis sebenar daripada Rasulullah s.a.w.

7. Terdapat perkara-perkara yang melampau sifatnya di dalam hadis

8. Perawi mengaku dia mengada-adakan hadis palsu untuk tujuan tertentu seperti untuk mendapatkan sokongan orang-orang atasan dan seumpamanya.

Menurut Imam al-Nawawi hukumnya haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu’) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu’ atau dia hanya mengesyaki hadis itu maudhu’.

Tiada perbezaan status hukum haram itu di antara hadis yang berkaitan dengan hukum-hukum atau selainnya seperti hadis-hadis targhib untuk memotivasikan orang ramai beribadat atau tarhib untuk menakut-nakutkan mereka terhadap maksiat atau dosa sekalipun atas tujuan nasihat.

Di dalam asas fikah Islam, niat tidak menghalalkan cara. Maka kita perlu berhati-hati dalam merealisasikan praktik ajaran Islam agar niat yang murni itu tidak menjerumuskan kita kepada perbuatan yang mengakibatkan dosa pula.

Oleh sebab itulah, al-Quran sering menyebut perkataan iman dahulu kemudian digandingkan dengan kalimah amal bagi mengisyaratkan bahawa sebagai penganut Islam, kita mesti berilmu dahulu sebelum beramal bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku.
Jabatan Mufti Kerajaan Brunei Darussalam telah menyatakan satu fatwa dalam hal yang serupa seperti berikut:
"Unit Kajian Dan Penyelidikan, Bahagian Kajian Dan Penerbitan, Pusat Da'wah Islamiah sedang menjalankan kajian mengenai dengan hadis fadhilat sembahyang Tarawih, kitab Durrah AI-Nashihin (terbitan Mesir tahun 1949), diriwayatkan oleh Ali bin Abu Thalib.

Hadis tersebut sangat popular di kalangan masyarakat di negara ini kerana sejak 10 tahun yang lalu penerbitan-penerbitan buku (risalah) mengenai hadis tersebut telah dijalankan dan hadis-hadis berkenaan juga disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei dalam bentuk promo bagi maksud mentarghib masyarakat supaya mendirikan sembahyang Tarawih dengan teratur.Sepanjang tempoh tersebut, kitani tidak pemah mempersoalkan tentang sanad atau sumber hadis tersebut. Bagaimanapun, Berita Harian (Malaysia) keluaran 31hb. Disember, 1998, Ihb. Januari, 1999 dan 16hb. Januari, 1999 telah mempersoalkan keshahihan hadis tersebut sehingga sampai kepada kesimpulan bahawa hadis tersebut adalah hadis maudh71 '.

Sukacita abis kaola menghadapkan isu mengenai hadis ini kepada Pehin bagi mendapatkan fatwa dan ketentuan tentang kedudukan hadis-hadis berkenaan untuk dijadikan pegangan dan menghindari keraguan di kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

Jawapan:

الحمد الله الفتاح الوهاب الهادى إلى الحق والصواب، والصلاة والسلام على رسوله سيدنا محمد خاتم الانبياء والمرسلين، وآله وصحبه أجمعين.


Hadis mengenai fadhilat sembahyang Tarawih yang disebutkan dalam kitab Durrah Al- Nashihin bermaksud: “ Daripada Ali Bin Abu Talib Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu alaihi Wasllam telah ditanya tentang keutamaan-keutamaan Tarawih di bulan Ramadhan. Baginda bersabda: “ Orang mukmin keluar daripada dosanya pada:

Malam pertama: Seperti saat dia dilahirkan ibunya

Malam kedua: Dia diampuni, juga kedua orang tuanya, jika keduanya mukmin.

Malam ketiga: Malaikat berseru dari bawah ‘Arasy. Mulailah beramal, semoga Allah mengampuni dosamu yang telah lalu.”

Malam keempat: Dia memperolehi pahala seperti pahala membaca Taurat, Injil, Zabur dan Al-Furqan.

Malam kelima: Allah Ta’ala memberinya pahala seperti pahala orang yang sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.

Malam keenam: Allah Ta’ala memberinya pahala orang yang bertawaf di Makmur dan dipohonkan ampun oleh setiap batu dan cadas ( lapisan tanah yang keras )

Malam ketujuh: Seolah-olah dia mencapai darjat Nabi Musa ‘Alaihi salam dan kemenangannya atas Firaun dan Haman

Malam kelapan: Allah Ta’ala memberinya apa yang pernah Dia berikan kepada Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam

Malam kesembilan: Seolah-olah dia menyembah Allah Ta’ala sebagaimana ibadat Nabi Shallallahu alaihi wasalam

Malam kesepuluh: Allah Ta’ala mengurniakan kepada nya kebaikan dunia dan akhirat.

Malam kesebelas: Dia keluar dari dunia seperti saat dia dilahirkan dari perut ibunya.

Malam kedua belas: Dia dating pada Hari Kiamat sedang wajahnya bagaikan bulan di malam purnama.
Malam ketiga belas: Dia dating pada Hari Kiamat dalam keadaan aman daripada setiap keburukan

Malam keempat belas: Para malaikat datang seraya memberi kesaksian untuknya, bahawa dia telah melakukan sembahyang Tarawih, maka Allah tidak menghisabnya pada hari Kiamat.

Malam kelima belas: Dia didoakan oleh para malaikat dan para penanggung ‘Arasy dan Kursi

Malam keenam belas: Allah menetapkan baginya kebebasan untuk selamat dari neraka dan kebebasan masuk ke dalam syurga

Malam ketujuh belas: Dia diberi pahala seperti pahala para nabi.

Malam kelapan belas: Malaikat menyeru: “ Wahai Hamba Allah, sesungguhnya allah redha kepadamu dan kepada ibu bapamu.”

Malam kesembilan belas: Allah mengangkat darjat-darjatnya dalam syurga Firdaus.

Malam kedua puluh: Allah memberi pahala para syuhada’ dan shalihin.

Malam kedua puluh satu: Allah membangun untuknya sebuah gedung daripada cahaya

Malam kedua puluh dua: Dia dating pada hari Kiamat dalam keadaan aman daripada setiap kesedihan dan kesusahan.

Malam kedua puluh tiga: Allah membangun untuknya sebuah kota dalam syurga

Malam kedua puluh empat: Dia memperolehi dua puluh empat doa yang dikabulkan

Malam kedua puluh lima: Allah Ta’ala menghapuskan daripadanya azab kubur

Malam kedua puluh enam: Allah mengangkat pahalanya selama empat puluh tahun.

Malam kedua puluh tujuh: Dia dapat melewati Shirath pada Hari Kiamat, bagaikan kilat yang menyambar.

Malam kedua puluh lapan: Allah mengangkat baginya seribu darjat dalam syurga

Malam kedua puluh sembilan: Allah memberi pahala seribu haji yang diterima.

Malam ketiga puluh: Allah berfirman: “ Hai Hambakan makanlah buah-buahan syurga, mandilah daripada air Salsabila dan minumlah dari Kauthar. Akulah Tuhanmu, dan engkau hambaKu.” ( Majalis )Setelah merujuk kepada kitab-kitab hadis yang muktabar di kalangan ahli Sunnah Wal Jama’ah, termasuk kitab-kitab yang menjadi sandaran dalam pencarian hadis-hadis, sehingga setakat ini tidak dijumpai hadis-hadis yang khusus menyebutkan tentang kelebihan sembahyang Tarawih dengan menyatakan ganjaran yang diperolehi pada setiap malam Ramadhan sepertimana yang dinyatakan.
Apa yang telah ditemui setakat ini, hanyalah riwayat-riwayat yang hampir sama dengannya dan dihubungkan sanadnya kepada sayyidina Ali Bin Abu Talib iaitu tersebut dalamkitab Bihar Al-Majlisi, salah Ramadhan dan kirab Was’a’il Al- Syi’ah karangan Al-Shiekh Muhammad bin Al-Hasan Al-Har Al-‘Amili dalam bab Istihab Al-Shalah Al-Mukhshushah Kulla Lailah min Syahr Ramadhan wa Awwal Yaum Minh.Maka sehubungan itu, oleh kerana hadis yang ditanyakan itu tidak diketahui sumbernya yang boleh ditanyakan itu tidak diketahui sumbernya yang boleh dii’timad, maka ia mestilah dihentikan daripada dipromokan melalui radio ataupun televisyen.

Sekiranya Pusat Da’wah Islamiah ingin menggalakkan orang ramai supaya rajin dan bersungguh-sungguh mengerjakan sembahyang Tarawih, adalah lebih baik hadis-hadis yang dipromokan itu diambil daripada kitab-kitab yang muktabar.Fadhilat sembahyang Tarawih yang ada disebut dalam hadis-hadis yang terkandung dalam kitab-kitab sunan yang muktabar hanyalah secara umum sahaja tanpa menyebut fadhilat 30 malam Ramadhan itu. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada abu Hurairah Radhiallahu a’nhu, sabda Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه
Maksudnya: “ Sesiapa yang mendirikan sembahyang di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan ( pahala daripada Allah ), diampunkan baginya dosa-dosanya yang terdahulu.”Hadis seumpama inu turut diriwayatkan oleh Muslim, Tirmidzi, abu daud, Imam Ahmad dan lainnya…
Negara asal : Brunei darussalam
Negeri : Brunei
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Penulis/Ulama : Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia
Tarikh Diisu : 1999
Nota: Fatwa Mufti Kerajaan 1999.
Wallahual'am...

Ah..Macam Mana Nie...

Bagan Pinang: 59.6% mahu Isa Samad calon BN
Nazri Abdullah
Fri | Sep 18, 09 | 10:50:37 am MYT
SHAH ALAM, 18 Sept: Menjelang pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan. Kaji selidik awal sebuah firma penyelidikan bebas, Ilham Centre mendapati pengundi di DUN berkenaan setuju mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dipilih sebagai calon BN.
Rata- rata responden berpendapat, legasi Isa perlu diberi tempat semula kerana lebih memberi keuntungan kepada mereka berbanding Menteri Besar sekarang Datuk Seri Mohamad Hassan.

Biarpun peratusan itu agak besar, namun responden masih meletakkan kerisauan terhadap Isa.

Ini kerana Isa pernah dikaitkan dengan pelbagai skandal penyalahgunaan kuasa khususnya isu rasuah pada pemilihan UMNO empat tahun lalu, isu kronisme dikalangan ahli keluarga dan ahli parti di sekitar Port Dickson khususnya di kawasan Si Rusa, Teluk Kemang dan Bagan Pinang sehingga membawa kepada masalah dalaman parti yang meruncing.

Kajian juga menunjukkan 48.5 peratus meletakkan faktor calon lebih penting berbanding 41.8 peratus kekuatan perti untuk menang pilihanraya itu. Manakala 8.1 peratus yang lain tidak pasti.

Selain itu kajian itu juga mendapati Umno sukar untuk menang dengan majoriti besar kerana berdepan pengundi muda luar kawasan yang dilihat lebih bermaklumat.

Image45.9 peratus dari pengundi muda yang ditemui yakin undi Umno BN tidak banyak di saluran 4 dan 5. Manakala 32.3 peratus pula yakin rekod prestasi wakil rakyat BN lalu bukan sahaya tidak boleh mambantu namun memberi beban kepada kemenangan BN itu sendiri.

Pada kajian itu juga, 57.2 peratus pengundi menjangkakan Pakatan Rakyat diwakili PAS akan bertandingmelawan BN. Manakala hanya 32.8 peratus meletakkan harapan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding biarpun Parlimen Teluk Kemang milik parti itu.

Dalam temubual mereka sepanjang kajian bermula 15 hingga 16 September lalu itu mendapati sebanyak 34.8 peratus bersetuju untuk menyatakan bahawa UMNO adalah parti yang bersifat perkauman, hanya 32.8 peratus responden tidak bersetuju dengan kenyataan itu manakala 32.3 peratus memberikan respon tidak pasti.

Selain perkauman, 52.0 peratus bersetuju bahawa UMNO-BN adalah parti rasuah dan sering terlibat dengan skandal moral yang memungkinkan akan terjejasnya sokongan pengundi muda.

Manakala hanya 22.2 peratus menyatakan tidak setuju yang kebanyakkan mereka merupakn pengundi di saluran 1 dan 2 yang juga merupakan penyokong tegar kepada UMNO-BN.

Berkenaan undi pos pula, 47.0 peratus responden bersetuju BN sangat bergantung kepada undi Pos untuk menang, 11.1 tidak bersetuju manakala 41.9 tidak pasti.

Kebanyakan anggota tentera yang ditemubual beranggapan bahawa sistem undi POS sekarang adalah tidak telus dan diguna bagi memberi kelebihan kepada BN.

Kesimpulan kajian tersebut menunjukkan Barisan Nasional (BN) menghadapi saingan yang sukar dan sengit untuk terus memenangi kerusi N31 ini sekiranya PAS hadir dengan semangat dan kerjasama yang padu bersama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat (PR).

Kesemua kajian tersebut dijalankan secara temubual disamping pemerhatian terus dan penglibatan di lapangan.

Pecahan responden pula adalah 53.0 peratus pengundi Melayu, 30.8 peratus Cina dan 12.1 peratus adalah India.

Respondan juga dipilih berdasarkan komposisi kaum dan lokaliti Unit Peti Undi (UPU) mengikut satu satu saluran.

Kajian melibatkan responden di kawasan bandar dan luar bandar di 8 buah UPU iaitu Ladang Atherton, Pekan Siliau, Ladang Bradwall, Sua Betong, Taman Eastern, Kampung Bagan Pinang, Si Rusa dan Teluk Kemang). _ Harakahdaily...

Dengar Molek Pesanan Ini Boh...

Ku Li: Hati-hati pilih calon BN di Bagan Pinang
Sep 18, 09 2:29pm
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menasihatkan Umno supaya mengambil iktibar daripada keputusan pilihanraya kecil Permatang Pasir, dalam memilih calon yang sesuai bagi mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang.

Dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir, isu pembatalan lesen guaman calon BN, Rohaizat Othman, berhubung kes pecah amanah membabitkan wang anak guamnya, telah dijadikan modal oleh PAS.

Dalam pilihanraya kecil pada 25 Ogos lalu itu, calon PAS, Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi untuk menewaskan Rohaizat dengan majoriti 4,551 undi. Rohaizat mendapat 5,067 undi.

Tengku Razaleigh berkata pembangkang telah memenangi tujuh pilihanraya kecil di Semenanjung Malaysia selepas pilihanraya umum tahun lalu.

“Umno bertanding dalam enam pilihanraya kecil dan kalah semuanya. Kini tidak siapa yang boleh meragui bahawa rasa tidak puashati rakyat terhadap BN yang mengakibatkannya ia kehilangan lima negeri dan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, masih belum pulih,” tulis Tengku Razaleigh dalam blognya.

Menurutnya, punca rasa tidak puashati rakyat terhadap BN itu adalah persepsi bahawa mereka yang memegang kuasa adalah angkuh dan korup.

Malah, katanya, pemilihan calon yang dibatalkan lesen guamannya sebagai calon BN di Permatang Pasir serta mengenepikan bantahan terhadap pemilihannya, telah mengesahkan persepsi tersebut.

Tindakan itu, katanya, telah menghantar mesej bahawa kedudukan Umno adalah tinggi daripada standard kesusilaan biasa.

“Kini seorang pemimpin muda Umno dipetik sebagai berkata bahawa satu-satu kriteria pemilihan calon ialah mereka boleh menang,” katanya sambil menyifatkannya sebagai satu pemikiran jangka pendek yang meletakkan Umno dan BN di tempat yang salah, sedangkan rakyat menuntut akuantabiliti dan ketelusan.

Oleh itu, Tengku Razaleigh mengingatkan kepimpinan Umno supaya mengambil iktibar isyarat daripada pengundi Permatang Pasir - dan dalam semua pilihanraya kecil sejak 8 Mac - dan lebih berhati-hati dalam memilih calon bagi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Katanya, jika Umno terus memilih calon-calon yang tercemar rekodnya, maka rakyat mungkin akan membuat kesimpulan bahawa lebih baik bagi negara, jika Umno kalah.

Pilihan raya kecil kawasan itu akan diadakan pada 11 Oktober dan penamaan calon pada 3 Oktober. Ia diadakan berikutan kematian Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 September akibat jangkitan dalam darah.

Sehingga ini dilaporkan Umno bahagian Teluk Kemang mahukan ketuanya, Tan Sri Isa Samad dipilih sebagai bagi pilihan raya kecil tersebut.

Bagaimanapun, mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Isa tidak sepatutnya dipilih bertanding di situ.

Bekas perdana menteri itu berkata imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004. Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.-Malaysiakini.com

Thursday, September 17, 2009

Lambaian Aidilfitri-4

Amalan Dalam Menyambut Hari Raya Eidul Fitri.
Ramadhan Al-Kareem kini telah hampir tiba ke penghujungnya. Sebahagian besar umat Islam di Malaysia pada ketika ini sedang sibuk bersiap sedia membuat persiapan dan persediaan untuk menyambut hari kemenangan ini. Pulang ke kampung halaman,membeli-belah di pasaraya,membuat juadah(biskut,kueh,kek,dan sebagainya) untuk dihidangkan ke tetamu yang bakal hadir pada hari raya nanti, mengacau dodol,dan membeli barangan mentah di pasar-pasar tani FAMA. Di samping itu ada juga sebilangan yang lain yang sedar dan menghayati promosi tawaran mega yang diberikan oleh Allah s.w.t di bulan Ramadhan,mereka berasa sedih dan hiba dengan pemergiaan bulan ini dan bermuhasabah sejauhmana pencapaian mereka,adakah layak untuk dianugerahkan Pingat Takwa(PT)dari Allah s.w.t? serta bersuakah lagi mereka dengan Ramadhan pada masa akan datang.Wallahual'am.Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Sebaliknya,mereka yang mengamalkan sikap acuh tidak acuh dan tidak mengambil kisah tentang kelebihan Ramadhan, pasti berasa gembira dan berpesta dengan pemergian bulan ini. Lebih bertambah malang,hiburan yang bertentangan dengan ruh dan syariat Islam menjadi pilihan utama. Seolah-olah gambaran ini memberitahu bahawa mereka mendapat natijah "gagal" selepas mengharungi pengajian selama lebih kurang 29 atau 30 hari di Institus Pengajian Tinggi Ramadhan(IPTR).Tiba-tiba datang pula soalan: Adakah pada hari raya tak boleh bersuka ria dan berhibur? Jawapannya: bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam.
Nabi SAW juga pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :
دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد
Ertinya : "Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" ( Riwayat Al-Bukhari)
Mukmin sebenar akan merasa gembira kerana berterima kasih kepada Allah s.w.t atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan di bulan Ramadhan.
Sudah tentu mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang berganda, walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT semata. Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW :
من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ
Ertinya "Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )
Selain mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan sewaktu Ramadhan, bergembira juga atas kejayaan membina ‘benteng kukuh' dari godaan Syaitan, bukankah Nabi SAW telah menyebut bahawa "Puasa itu benteng" (Riwayat Al-Bukhari).
Jadi apa yang perlu lakukan pada hari mulia?
Antara amalan yang perlu dan digalakkan pada tersebut:-
1.Syukur(Bertahmid)
Memperbanyakkan mengucap dan menglahirkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah kerana diberi kesempatan dan peluang bertemu dengan bulan Ramadhan pada kali ini dan berupaya menamatkannya serta berdoa dan berharap agar Allah mempertemukan kita dengan bulan ini pada tahun yang akan datang.
2.Memperbanyakkan takbir, mengurangkan menonton tv,dan meninggalkan main mercun dan meriam.
Seharusnya takbir diberi keutamaan apabila memasuki malam raya,baik di mana-mana sekalipun di jalanraya, rumah,masjid,dan pasar dengan suara bernada tinggi dan nyaring.Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya. Agenda menonton tv dengan rancangan yang pelbagai sebaiknya harap dapat diminimumkan dan permainan mercun dan meriam ditinggalkan,malang tidak berbau,jangan nasib malang menjengah anda,ketika orang lain berhari raya di rumah dengan riang,sebaliknya anda terpaksa beraya di hospital dengan penuh duka dan hiba.
Firman Allah s.w.t: "Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran, dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan suapaya kamu bersyukur"(Surah Al-Baqarah ayat 186).
Pada pagi 1 Syawal...
3.Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .
Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".
4.Menjamah makanan sebelum keluar.
Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."
5.Memakai pakaian terbaik yang ada ;
Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.
Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal(kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).
6. Pergi ke masjid mendirikan solat hari raya.
Amalan ini perlu diambil perhatian khusus,usaha diremehkannya sama sekali. Jangan mudah alpa,lupa,dan mencari alasan yang tak maksud akal untuk mengecualikan diri.
7.Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;
Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari).
8.Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.
Ambillah masa ini untuk menjalinkan semula hubungan keluargaan yang mungkin telah terputus sejak sekian lama,ambil peluang ini untuk mempereratkan dan mengkukuh hubungan silaturahim dan ukhuwah Islamiyyah telah lama terjalin,yang jauh kita dekat,yang dekat kita mesrakan,yang mesrakan kita serasi dan perkuatkan agar ikat ini tidak rungkai buat selamanya. Selain itu,adab ziarah perlu diberi penekanan,jangan dilakukan amalan ziarah pada waktu yang tidak sesuai(awal pagi,saat tuan rumah dan keluarga sedang beristirehat,dan waktu lewat malam),memberi salam firman Allah:يآايها الذين آمنوا لا تدخلوا بيوتا غير بيوتكم حتى تستانيسوا وتسلموا على أهلها".
9. Bermaaf-maafan antara satu sama lain.
Setipa insan tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dan kesilapan.Hari ini boleh digunakan untuk bermaafan,andai sebelum ini terasa berat dan tidak berkesempatan. Buang dan campakanlah ego dan dendam kesumat yang lalu,usah nanti di sana(akhirat)kita akan dipersoalkan.
10.Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;
Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbala Allahu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".
Disebut dalam sebuah riwayat :
قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك
Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabballahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )
11.Memberi duit raya.
Amalan ini sangat baik dan satu kesempatan untuk kita menderma dan memberi kepada yang memerlukan dan bernasib kurang baik. Firman Allah s.w.t: ayat 261 dan 254 Al-Baqarah. Cuma terdapat kelompongan yang perlu ditambah baikkan iaitu didik kepada kanak-kanak tentang pemberian duit raya ini bukanlah sesuatu yang wajib pada sesebuah rumah yang diziarahi,tetapi mencapai matlamat ziarah yang lebih utama. Menerima dengan bersyukur atas pemberian duit raya oleh tuan rumah,pertikai dan merungut jangan ditimbulkan.
12. Rumah terbuka.
Harus dilakukan kepada yang berkemampuan. Penyertaan niat yang baik dan betul akan membuahkan pahala dari ilahi.

Kesalahan Di Hari Raya
KESILAPAN DI HARI RAYA
Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-
1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.
2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.
3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.
4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.
5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)
6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.

7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh

Wallahual'am.Semoga perkongsian yang tidak seberapa ini memberi manfaat...... Assalamualaikum......Selamat Hari Raya Eidul Fitri Minal Aidil Wal Faizin Al-Maqbullin Wa Antum Bil Khair..Taqabballahu Minna Wa Minka,Sekian,Wassalam.
http://akubukanyangterbaik.blogspot.com

Ha..Dengar Kata Pakar Undang-Undang Syariah..ni

http://akubukanyangterbaik.blogspot.com
Hukuman sebat Kartika bukan bersifat penderaan

Kebebasan hak individu perlu ditafsir ikut kehendak Islam, bukan pandangan Barat

MODEL sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno yang reda dengan hukuman sebat yang dijatuhkan terhadapnya disifatkan sebagai wanita Islam yang mematuhi perintah Allah.

Ketua Jabatan Undang-Undang Islam, Kuliah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (Aikol) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Penolong Profesor Dr Badruddin Ibrahim, berkata dalam Islam, minum arak kesalahan yang tidak boleh dipertikaikan dan hukuman sebat terhadap pesalahnya tidak boleh dipersoalkan.

Beliau berkata, setiap pihak juga mesti menghormati keputusan Mahkamah Syariah kerana institusi itu bebas daripada campur tangan.

"Keputusan mahkamah berhubung kes sebat adalah mengikut undang-undang dan tidak boleh dipertikaikan.

"Jika ada yang mempertikaikan keputusan itu, mereka perlu didakwa atas tuduhan menghina mahkamah," katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan hukuman sebat syariah terhadap peminum arak di Malaysia, di Kuala Lumpur, semalam.

Kartika, 32, didenda RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Julai lalu selepas mengaku bersalah minum arak di sebuah hotel di Cherating pada Julai tahun lalu.

Dia juga dihukum sebat tidak melebihi enam kali tetapi hukuman itu ditangguhkan bagi menghormati bulan puasa. Pelaksanaan hukum sebat terhadapnya menimbulkan polemik.

Semalam, beliau mengeluarkan kenyataan reda dengan hukuman sebat terhadapnya dan memohon ia dilaksanakan secepat mungkin.

Dr Badruddin berkata, pelaksanaan hukuman sebat tidak bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan bukan diskriminasi terhadap wanita.

Katanya, hukuman sebat mengikut undang-undang Islam terpakai tanpa mengira jantina dan bersifat kemanusiaan kerana mengambil kira keadaan pesalah dan faktor lain yang boleh memberikan kemudaratan kepada pesalah.

"Hukuman sebat ini bukan satu bentuk penderaan atau kejam, tidak berperikemanusiaan atau menghinakan.

"Ia juga tidak bertentangan dengan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita yang dianggotai Malaysia atau mana-mana konvensyen yang tidak mengikat Malaysia antaranya seperti Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1984, Waad Antarabangsa Hak-Hak Sivil dan Politik 1966 dan Konvensyen Terhadap Penderaan atau Layanan atau hukuman lain yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau menghina," katanya.

Mengenai tanggapan pendukung hak asasi manusia hukuman sebat melanggar kebebasan individu, Dr Badruddin menjelaskan menurut Islam, hak asasi manusia perlu ditafsirkan mengikut kehendak Islam.

Beliau berkata, hak individu perlu diseimbangkan dengan hak masyarakat yang inginkan keselamatan serta kesejahteraan.

Kenyataan itu disokong Dr Mohd Hisham Mohd Kamal, seorang lagi pensyarah di Aikol yang berkata, hak asasi dalam Islam termaktub dalam al-Quran dan ia dilaksanakan sejak zaman Nabi Muhammad SAW.

"Kenapa kita tidak pandang apa yang Baginda buat tetapi mengagungkan hak asasi manusia yang dicipta Barat," soalnya.

Dr Shamrahayu Abdul Aziz, yang juga pensyarah di Aikol berkata, pihak yang memainkan isu hak asasi manusia dalam kes Kartika ialah orang yang tidak memahami Islam atau mendalami undang-undang Islam.

"Kalau seseorang itu bukan Islam atau tidak memahami undang-undang Islam, jangan komen pasal Islam, jangan bincang, baik tutup mulut.

"Soal agama bersangkut paut dengan keimanan dan apabila orang luar (bukan Islam) bercakap soal keimanan kita, takkan kita nak duduk diam," katanya.

Mengenai kaedah sebatan, Dr Badruddin berkata, cara menurut Islam dan juga Enakmen Tatacara Jenayah Syariah adalah berbeza dengan kaedah sebatan yang dilaksanakan di Mahkamah Sivil.

"Kaedah sebatan secara Islam dilaksanakan oleh tukang sebat dengan menggunakan alat sebatan serta kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan si penyebat melebihi kepalanya.

"Pesalah juga dikenakan pakaian yang sempurna dan sebatan yang dilaksanakan tidak akan melukakan kulit pesalah," katanya. Bernama.(Berita Harian,17 September 2009)

Ulasan: Assalamualaikum...........
Tahniah saya ucapkan kepada ahli akademik(pakar uu syariah) kerana berani bersuara menyatakan pandangan dalam isu yang menimbulkan polemik. Semua pihak mahu mengeluarkan kenyataan hatta yang jahil,golongan yang berjuang kononnya atas nama hak asasi manusia,orang-orang perseorangan,dan pemimpin atasan yang dangkal pengetahuan agamanya. Sebahagian besarnya lebih banyak mengarut dan saya sangat bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Dr Shamrahayu Abdul Aziz:
"Kalau seseorang itu bukan Islam atau tidak memahami undang-undang Islam, jangan komen pasal Islam, jangan bincang, baik tutup mulut.
"Soal agama bersangkut paut dengan keimanan dan apabila orang luar (bukan Islam) bercakap soal keimanan kita, takkan kita nak duduk diam," katanya.
Ringkasnya,orang yang bukan ahli dalam hal ini sebaik-baiknya mengunci terus mulutnya. Jangan sesekali memberi komen dan membincang hal tersebut dan pihak wartawan pula rujuklah dan pohon komen dan pendapat daripada orang yang ahli dalam sesuatu bidang tersebut dan usaha tangkap muat memilih orang dalam sesuatu isu. Tambahan lagi,dalam isu agama,perintah Allah s.w.t dalam ayat 43 Surah An-Nahl:
وما أرسلنا من قبلك الا رجالا نوحى اليهم فسئلوا أهل الذكر ان كنتم لا تعلمون
Maksudnya: "Dan tiadalah Kami mengutus rasul-rasul sebelummu(wahai Muhammad) melainkan dari kalangan orang-orang lelaki,yang kami wahikan kepada mereka. Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui".
Ayat ini menjadi dalil bahawa orang-orang Islam yang tidak mengetahui sesuatu masalah agama hendaklah bertanya kepada alim ulama dan ahli pengetahuan.
(Rujuk no.542,muka surat 641,Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian(Rumi)JPM).
Kedua,saya sependapat dengan kenyataan Dr Badrudin Ibrahim bahawa jika ada golongan yang mempertikai keputusan itu, mereka perlu didakwa atas tuduhan menghina mahkamah. Harap pihak Bahagian Pendakwaan JAWI ambil perhatian saranan ini kerana seingat saya banyak juga pihak yang berkelakuan sedemikian dan lebih tak malu lagi sanggup hendak mencampuri bidangkuasa Badan Kehakiman yang patutnya bebas dari belenggu Badan Eksekutif dan pihak2 yang lain. Ketiga,bagi jaguh perjuang hak asasi manusia(Barat),
malulah sikit,kamu baru setahun jagung berjuangkan hal ini,dah kecoh, heboh,dan gempar negara dibuatnya ibarat ayam telur sebiji riuh sekampung.Ini nak beritahu Islam sejak 1430H telah ada acuan hak asasi manusia sendiri yang lebih baik berbanding acuan kamu yang hanya bercap ayam(Barat). Hayatilah firman Allah ini molek2:
صبغة الله ومن أحسن من الله صبغة ونحن له عبدون
Maksudnya:"Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah celupan Allah(yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam)dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah?(Kami tetap percayakan Allah)dan kepadaNya kami beribadat"(Surah Al-Baqarah ayat 138).
Sekian,wassalam.Wallahual'am.

Syariah Dan Undang-Undang

Dua dihukum sebat kerana cuba lakukan persetubuhan haram
17/09/2009 1:27pm

SHAH ALAM 17 Sept. – Selepas kes Kartika Sari Dewi Shukarnor hampir reda, seorang lagi wanita dan pasangannya dikenakan hukuman sebatan enam kali dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini selepas mengaku bersalah cuba melakukan persetubuhan haram pada Mei lalu.

Mereka yang merupakan kerani akaun dan kerani di syarikat swasta adalah individu pertama yang disebat mengikut peruntukan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shai hari ini bagaimanapun membenarkan hukuman sebat itu ditangguhkan sehingga rayuan terhadap hukuman tersebut selesai. - Utusan.

Wednesday, September 16, 2009

Lambaian Aidilfitri-3








Lambaian Aidilfitri-2


Cara-Cara Mendirikan Solat Sunat Eidul Fitri.
Solat ini mempunyai dua rakaat. Ia dimulakan dengan takbiratul Ihram kemudian membaca doa iftitah dan bertakbir sebanyak 7 kali dalam keadaan mengangkat kedua tangan hingga bersetentangan dua bahunya seperti mana takbiratul ihram. Ketujuh-tujuh takbir ini diselangi satu sama lain dengan satu bacaan tasbih yang disunatkan:
سبحان الله والحمد لله ولا اله الا الله والله أكبر
Maksudnya: "Maha suci Allah,segala pujian bagiNya,tidak ada tuhan selain Allah dan Allah Yang Maha Besar".
Kemudian membaca istiazah dan membaca Fatihah serta dibaca bersamanya satu surah atau beberapa ayat. Apabila memasuki rakaat kedua hendaklah bertakbir sebanyak 5 kali tidak termasuk takbir yang dilafaz ketika bangun sebelum memulakan bacaan. Seperti sebelumnya takbir ini dipisahkan antara satu sama lain dan membaca lafaz tasbih yang telah disebut di atas.
Peringatan semua takbir ini adalah sunat jika terlupa adalah tidak mengapa dan tidak perlu diulangi semula serta tidak menjejaskan sahnya solat.
Ijmak ulama pada perkara ini. Amru Bin Auf Al-Muzri r.a meriwayatkan:
"Nabi s.a.w telah bertakbir ketika solat kedua-dua hari raya pada rakaat pertama sebanyak 7 kali sebelum bacaan Al-Fatihah dan rakaat kedua sebanyak 5 kali sebelum bacaan Al-Fatihah"(Hadith Riwayat Imam At-Tirmidzi)
Kata Imam At-Tirmidzi: "Hadith yang aku nukilan ini merupakan hadith Rasulullah yang paling baik dalam bab ini" Wallahual'am.
Tempat Sembahyang Hari Raya
1.Boleh didirikan di masjid atau padang(padang yang luas). Tempat yang paling afdhal ialah tempat yang paling banyak dan mampu memuatkan semua orang yang solat.
2.Jika keduanya sama(boleh berbuat demikian) maka masjid lebih afdhal kerana kemuliaannya lebih daripada tempat yang lain. Seseorang yang melakukan ibadat solat di dalam masjid,dia bukan sahaja mendapat pahala beribadat bahkan juga pahala iktikaf di dalamnya.
3.Mengenai Nabi s.a.w sembahyang di padang pasir,ia disebabkan sempitnya masjid untuk menampung orang ramai ketika itu. Ini disebabkan sebagaimana yang telah dimaklumi sembahyang hari raya ini dituntut ke atas semua golongan lelaki, perempuan, dan semua orang Mukallaf.
4. Andai masjid itu luas dan mampu menampung jemaah yang ramai dalam keadaan selesa dan tenang maka ketika itu tidak ada lagi makna pada kelebihan solat di padang(kawasan yang luas)
Persoalan ini satu ketika dahulu pernah dibangkitkan oleh mantan Mufti Kerajaan Negeri Perlis,Dr Asri Zainal Abidin yang ada mencadangkan solat hari raya dilakukan di kawasan luas(padang). Pendapat ini disokong oleh Raja Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin(anak kepada Tuanku Syed Sirajuddin),kerana ia adalah sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
Selesai sahaja solat,ia akan disusuli dengan dua khutbah sunat hari raya. Secara ringkas:
1.Dilakukan selepas solat,berlawanan dengan khutbah Hari Jumaat yang dilakukan sebelum solat didirikan.
Dalil 1: Hadith Bukhari(920) dan Muslim(888) dari Ibnu Umar r.a:
"Nabi Muhammad s.a.w, Abu Bakar, dan Umar r.a solat sunat hari raya sebelum berkhutbah"
Dalil 2: Hadith Bukhari(932) dari Ibnu Abbas r.a:
"Aku telah keluar bersama Nabi Muhammad s.a.w pada hari raya puasa dan hari raya haji lalu Baginda sembahyang kemudian berkhutbah".
Dua dalil ini membuktikan bahawa khutbah hari raya dilakukan selepas bersolat.
2. Semua rukun dan sunat khutbah ini serupa sepert khutbah hari Jumaat.
3.Khatib perlu memulakan khutbah pertama dengan 9 kali takbir dan khutbah kedua dengan 7 kali takbir.Hadith: " menurut sunnah khutbah dibuka dengan 9 kali takbir berturut-turut dan khutbah kedua dengan 7 kali takbir berturut-turut".(Hadith Riwayat Al-Baihaqi daripada Ubaidillah Bin Abdullah Bin Utbah).

Catatan-1

Assalamualaikum..............
Alhamdulillah,sebentar tadi lebih kurang jam 1.30 petang,saya berkesempatan menunaikan solat Zohor secara berjemaah di Masjid Al-Alami MITC,Ayer Keroh,Melaka. Selesai sahaja melaksanakan perintah Allah tersebut.Imam masjid tersebut yang juga,abang senior sekolah menengah agama saya,telah membuat satu pengumuman kutipan derma untuk membantu saudara baru(orang baru memeluk agama Islam).Ramai jemaah yang tidak melepaskan peluang ini dan bermurah hati menghulurkan sedekah dan tidak terkecuali diri saya turut memberi sekadar yang mampu. Sumbangan yang diberikan secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban saudara baru ini. Individu ini baru sahaja memeluk agama Islam.
Dalam saat itu,saya berfikir sejenak tentang tiga perkara seperti berikut:
1. Ganjaran yang Allah janjikan kepada hambanNya yang bersedekah dan menginfakkan harta di jalan Allah s.w.t. Pernyataan di dalam ayat Al-Quran:
"Bandingan(derma)orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya,dan Allah Maha Luas(rahmat)kurniaNya lagi meliputi ilmu pengetahuanNya"(Surah Al-Baqarah ayat 261).
Ringkasnya,Derma1- bercambah 7- bercambah 100-dan bercambah banyak-banyak lagi berlipat ganda dari Allah yang tidak terhingga dan hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Wallahual'am.
2. Individu ini(saudara baru)ini tergolongan dalam asnaf zakat yang diperihalkan Allah s.w.t pada ayat 60 Surah At-Taubah:
"orang-orang(muallaf yang dijinakkan hatinya".
3.Takrif saudara baru.
Saya merasakan takrif bagi istilah saudara baru ini perlu difahami dalam konteks yang lebih luas,bukan sepertimana yang kita maklum sebelum ini golongan saudara baru ialah individu yang diberi hidayah oleh Allah untuk memeluk agama Islam. Pada pandangan saya,dengan ilmu yang terbatas ini(lebih banyak yang belum diketahui daripada sedikit yang diketahui),mereka yang memang dilahirkan sebagai seorang Islam tetapi tidak mengetahui perihal agamanya dan jauh sekali untuk beramal sebagai seorang Islam dan mukmin yang sejati.Namun begitu,dalam satu tempoh yang tertentu Allah Yang Maha Mengasihi telah memberi hidayah(petunjuk) kepada hambaNya untuk kembali ke pangkal jalan dan mengenali serta beramal dengan ajaran Islam........
Sekian,wassalam.Wallahual'am.