Showing posts with label Mohd Zamri Abdul Hazis.. Show all posts
Showing posts with label Mohd Zamri Abdul Hazis.. Show all posts

Wednesday, September 16, 2009

Catatan-1

Assalamualaikum..............
Alhamdulillah,sebentar tadi lebih kurang jam 1.30 petang,saya berkesempatan menunaikan solat Zohor secara berjemaah di Masjid Al-Alami MITC,Ayer Keroh,Melaka. Selesai sahaja melaksanakan perintah Allah tersebut.Imam masjid tersebut yang juga,abang senior sekolah menengah agama saya,telah membuat satu pengumuman kutipan derma untuk membantu saudara baru(orang baru memeluk agama Islam).Ramai jemaah yang tidak melepaskan peluang ini dan bermurah hati menghulurkan sedekah dan tidak terkecuali diri saya turut memberi sekadar yang mampu. Sumbangan yang diberikan secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban saudara baru ini. Individu ini baru sahaja memeluk agama Islam.
Dalam saat itu,saya berfikir sejenak tentang tiga perkara seperti berikut:
1. Ganjaran yang Allah janjikan kepada hambanNya yang bersedekah dan menginfakkan harta di jalan Allah s.w.t. Pernyataan di dalam ayat Al-Quran:
"Bandingan(derma)orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya,dan Allah Maha Luas(rahmat)kurniaNya lagi meliputi ilmu pengetahuanNya"(Surah Al-Baqarah ayat 261).
Ringkasnya,Derma1- bercambah 7- bercambah 100-dan bercambah banyak-banyak lagi berlipat ganda dari Allah yang tidak terhingga dan hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Wallahual'am.
2. Individu ini(saudara baru)ini tergolongan dalam asnaf zakat yang diperihalkan Allah s.w.t pada ayat 60 Surah At-Taubah:
"orang-orang(muallaf yang dijinakkan hatinya".
3.Takrif saudara baru.
Saya merasakan takrif bagi istilah saudara baru ini perlu difahami dalam konteks yang lebih luas,bukan sepertimana yang kita maklum sebelum ini golongan saudara baru ialah individu yang diberi hidayah oleh Allah untuk memeluk agama Islam. Pada pandangan saya,dengan ilmu yang terbatas ini(lebih banyak yang belum diketahui daripada sedikit yang diketahui),mereka yang memang dilahirkan sebagai seorang Islam tetapi tidak mengetahui perihal agamanya dan jauh sekali untuk beramal sebagai seorang Islam dan mukmin yang sejati.Namun begitu,dalam satu tempoh yang tertentu Allah Yang Maha Mengasihi telah memberi hidayah(petunjuk) kepada hambaNya untuk kembali ke pangkal jalan dan mengenali serta beramal dengan ajaran Islam........
Sekian,wassalam.Wallahual'am.

Sunday, September 13, 2009

Fiqh Puasa-3-Amalan Iktikaf.

Antara amalan yang diseru oleh Rasulullah s.a.w untuk diperbanyakan pada 10 malam Ramadhan yang terakhir ialah amalan iktikaf. Lantaran itu,marilah mengulangkaji serba sedikit berkenaan iktikaf dan yang berkaitan dengannya.
Apa itu iktikaf?
Dari sudut bahasa: tinggal dan melazimi sesuatu perkara.
Dari sudut syarak bererti: berada dalam masjid dengan niat yang khusus.
Dalil Pensyariatan Amalan Ini.
Al-Quran
Firman Allah s.w.t:
"Dan janganlah kamu setubuhi mereka ketika kamu sedang beriktikaf di masjid"(Surah Al-Baqarah ayat 187).
Hadith
Dari Aisyah r.a: "Rasulullah s.a.w telah beriktikaf pada sepuluh akhir bulan Ramadhan. Kemudian isteri-isteri Baginda beriktikaf selepas kewafatannya".(Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari hadith no1922 dan Imam Muslim hadith no1172)
Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah melakukan amalan iktikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan dan amalan sunnah ini berterusan dilakukan oleh isteri-isteri Baginda selepas kewafatan Nabi s.a.w serta hadith dan nas Al-Quran di atas menjadi dua dalil yang jelas tentang pensyaritan amalan beriktikaf.
Persoalan: Adakah amalan ini juga wujud dalam syariat-syariat terdahulu?
Iktikaf terdapat di dalam syariat-syariat terdahulu.Ia telah dikenali sebelum Islam berdasarkan firman Allah s.w.t:
"Dan Kami telah perintahkan kepada Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s(dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku(dari apa yang diharam)untuk orang-orang yang bertawaf dan yang beriktikaf serta yang ruku' dan sujud(padanya)(Al-Baqarah ayat 125)
Hikmah Disyariatkan
Seorang Muslim mestilah-dari semasa ke semasa-berusaha mengekang keinginan nafsunya terhadap perkara yang diharuskan,mengawalnya supaya dapat melakukan ketaatan kepada TuhanNya dan mengkhususkan waktu tertentu untuk beribadah kepada Allah agar dia dapat membiasakan dirinya mencintai Allah s.w.t mengutamakan keredhanNya denga meninggalkan perkara haram yang ingin dilakukan dan memudaratkan hawa nafsunya. Nafsu sentiasa mengajak tuannya melakukan perkara-perkara yang buruk dan mengheretnya ke lembah maksiat.Firman Allah s.w.t:
"Kerana sesungguhnya nafsu itu benar-benar menyuruh melakukan kejahatan kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh TuhanNya(maka terselamatlah dia daripada hasutan nafsu itu)"(Surah Yusuf ayat 53)
Dengan disyariatkan iktikaf untuk menjadi usaha yang mengumpulkan segala niat yang baik dan menyucikan hati juga mendidik jiwa supaya zuhud terhadap syahwat(keinginan) yang dibenarkan dan menjauhkan diri daripada melakukan pelanggaran dan dosa.
Hukum Iktikaf
Iktikaf sunat dilakukan pada setiap masa. Pada bulan Ramadhan ia lebih disunatkan lagi.Pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan,hukum sunat lebih ditegaskan(sunat muakkad)sunat yang sangat dituntut untuk melakukan. Bagi nazar,orang yang bernazar,wajib mereka melaksanakannya.Dengan ini iktikaf mempunyai tiga hukum:
1. Sunat iaitu pada sepanjang masa.
2. Sunat muakkad iaitu pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan.
Hikmah ditegaskan(lebih dituntut)pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan ialah sebagai usaha untuk memperoleh Lailatul Al-Qadr. Jumhur ulama sepakat menyatakan bahawa Lailatul Al-Qadr jatuh pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan.
3.Wajib dalam keadaan ia dinazarkan.
Syarat Sah Iktikaf
1.Niat-Dilakukan pada permulaan iktikaf dan ini bermakna orang yang berada dalam masjid dalam tempoh masa tertentu hendaklah berniat iktikaf melakukan ibadat.
2.Berada dalam masjid.
1.Secara berterusan dalam satu tempoh yang pada adanya dikira telah beriktikaf.
2.Berada dalam masjid dalam keadaan yang suci.
Adab Iktikaf
1. Disunatkan memenuhi tempoh beriktikaf dengan menghampirkan diri kepada Allah s.w.t
2. Berpuasa.Iktikaf dalam keadaan puasa lebih afdal.
3. Hendaklah dilakukan di masjdi jamek yakni masjid yang didirikan padanya solat Jumaat berjemaah.
4. Hanya bercakap perkara-perkara yang baik sahaja.
Perkara Yang Makruh Dilakukan
1. Berbekam,apabila ia boleh mengotorkan masjid bertukar hukum kepada haram.
2. Terlalu banyak melakukan perkara yang lain seperti jual beli walaupun sedikit, menjahit dan sebagainya.
Perkara Yang Merosakkan Iktikaf
1. Berjimak. Dalil: Surah 187 Al-Baqarah.
2. Keluar daripada masjid tanpa hajat dan sengaja.
3. Murtad, mabuk, dan gila.
4. Keluar haid dan nifas.
(Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji,Jilid 2,M/S 460-465)
Wallahual'am.

Objektif Hukuman Jenayah Islam....

Prof Madya Dr Paizah bin Ismail dalam bukunya yang berjudul Status Wanita Dalam Undang-Undang Jenayah Islam menjelaskan secara umum ada tiga objektif utama dalam hukuman atau keseksaan jenayah Islam iaitu:

1. Pembalasan
Secara umumnya,ia member pengertian bahawa penjenayah perlu dikenakan pembalasan yang setimpal dengan apa yang dilakukannya tanpa memandang sama ada hukuman itu berfaedah atau sebaliknya untuk dirinya atau masyarakat. Ini sesuai sekali dengan konsep keadilan yang memerlukan seseorang itu mendapat pembalasan yang sesuai dengan apa yang dilakukannya. Firman Allah s.w.t:
Maksudnya: Dan(jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya.
(Surah Asy-Syuura:40)
Istilah pembalasan()ini banyak digunakan oleh Al-Quran dalam jenayah-jenayah hudud.
Mengenai jenayah mencuri. Allah s.w.t berfirman:
Maksudnya: Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka hukumnya potonglah tangan mereka sebagai balasan dengan sebab apa yang telah mereka usahakan juga sebagai suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan ingatlah Allah Maha Kuasa Lagi Maha Bijaksana.
(Surah Al-Maaidah:38)
Mengenai kesalahan merompak pula Allah s.w.t berfirman:
Maksudnya: Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangai Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh(kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang(kalau mereka membunuh dan merampas),atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bersilang(kalau mereka merampas sahaja) atau dibuang negeri(kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum).Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.
(Surah Al-Maaidah:33)
Objektif pembalasan ini dapat dilihat denga jelas terutamanya pada hukuman-hukuman atau keseksaan-keseksaan yang tidak boleh dimaafkan seperti kesalahan hudud,contohnya yang jelas bagi tujuan ini ialah kes Fatimah Al-Makhzumiyyah yang telah mencuri. Terdapat sebahagian daripada para sahabat Rasulullah s.a.w yang berusaha supaya wanita berkenaan dilepaskan daripada tindakan hukuman. Ini telah menimbulkan kemarahan Rasulullah s.a.w. Sabda Baginda:
“Musnahnya orang-orang yang sebelum dari kamu semua ialah kerana apabila seorang yang mulia dari kalangan mereka mencuri, mereka biarkan begitu sahaja. Tetapi apabila orang yang lemah dari mereka mencuri, mereka akan mengenakan hukuman ke atasnya. Demi Allah! Kalau Fatimah binti Muhammad mencuri sekalipun,aku akan potong tangannya”. (Riwayat Muslim, An-Nasa’i dan Ahmad dari Aisyah)

2. Pencegahan
Maksudnya ialah untuk mencegah jenayah daripada berulang lagi. Dalam Al-Quran sendiri, ada terdapat beberapa ayat yang secara jelas member isyarat kepada objektif pencegahan ini. Antaranya ialah firman Allah s.w.t:
Maksudnya: Dan tidaklah kami memperlihatkan kepada kamu sesuatu tanda kebenaran Nabi Musa melainkan tanda itu adalah lebih terang dari yang terdahulu daripadanya dan kami timpakan mereka dengan berbagai azab(bala bencana) supaya mereka kembali(bertaubat)
(Surah Az-Zukhruf:48)
Menghuraikan pengertian ayat ini, Dr Abu al-Ma’ati Hafiz Abu al-Futuh berpendapat bahawa sesungguhnya azab Allah yang dikenakan ke atas manusia di dunia ini bukanlah matlamat yang sebenar. Segala apa yang menimpa manusia sama ada pada harta bendanya atau diri dan nyawanya bukanlah tujuan yang sebenar. Sesungguhnya yang menjadi matlamat dan tujuan dariapad semua azab itu ialah sebagai satu peringatan dari Allah s.w.t kepada manusia supaya dengan itu dapat mencegah mereka daripada melakukan kejahatan dan kesesatan. Maka, mereka akan kembali mentaati Allah s.w.t seterusnya mereka beroleh kebaikan di dunia dan di akhirat. Jadi segala azab itu adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia sendiri dan bukannya azab itu sendiri yang dimaksudkan. Ini terkandung di sebalik firman Allah yang bermaksud:
“Mudah-mudahan mereka kembali ke jalan Allah yang benar”
Pencegahan yang menjadi objektif kepada hukuman-hukuman ini dapatdilihat dari dua aspek; Pencegahan umum dan pencegahan khusus. Pencegahan umum ditujukan kepada masyarakat secara keseluruhannya. Lebih jauh lagi ia membawa erti usaha-usaha menegah segala unsure yang boleh membawa kepada kejahatan,sama ada dari dalam diri manusia ataupun unsur-unsur luar diri yang dapat mempengaruhi manusia untuk melakukan kejahatan. Bagi tujuan ini,amaran-amaran keras dengan janji-janji azab yang pedih telah dibuat oleh syariat Islam dengan harapan,ia dapat menghapuskan segala unsur yang boleh membawa kepada berlakunya kejahatan.
Usaha-usaha pencegahan umum ini,tidak ditujukan hanya kepada orang-orang tertentu sahaja tetapi sebaliknya kepada semua masyarakat manusia. Ini kerana segala unsur yang boleh mendorong manusia kea rah melakukan kejahatan tidak hanya ada pada orang-orang tertentu sahaja tetapi juga pada semua orang. Begitu juga unsur-unsur tersebut tidak hanya ada pada suasana dan keadaan tertentu sahaja tetapi dalam banyak suasana dan keadaan. Firman Allah s.w.t:
Maksudnya: Dihiaskan(dan dijadikan indah)kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu iaitu perempuan-perempuan, anak-pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan di dunia. Dan ingatlah pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya(iaitu Syurga).
(Surah A-li-Imran:14)
Jadi keinginan kepada perkara-perkara seperti ini tidak hanya ada pada sesetengah orang, tetapi sebaliknya merupakan sifat semula jadi yang dibekalkan oleh Allah s.w.t kepada semua manusia. Persoalannya,sejauhmanakah manusia dapat menghadapi segala keinginan yang disebut sebagai punca kejahatan ini terutama perasaan yang mendalam dalam diri sendiri?. Di sinilah letaknya kepentingan-kepentingan amaran dan ugutan kerana ia cukup berkesan dalam usaha-usaha pencegahan seperti ini.
Pencegahan umum dalam sifatnya ini terdapat pada semua jenis hukuman atau keseksaan yang diperuntukkan oleh undang-undang Islam, sama ada yang berbentuk hudud, qisas, dan diyat ataupun ta’zir. Ini kerana keseluruhan hukuman atau keseksaan ini mengandungi unsur-unsur kesakitan yang membuat manusia berasa takut untuk menghadapinya. Walaupun terdapat kemungkinan maaf daripada pihak mangsa, namun ia tidak boleh menafikan keberkesanan pencegahan ini. Ini kerana selain dari kemaafan itu tidak boleh dibuat dalam kes-kes seperti hudud,ia juga hanya satu kemungkinan sahaja.
Sementara aspek kedua daripada pencegahan ini ialah pencegahan khusus. Ia lebih merupakan pemulihan bagi orang-orang tertentu yang sememangnya sudah terlibat dengan kejahatan. Pencegahan khusus ini mempunyai dua matlamat asas. Pertama, mengenakan hukuman ke atas pesalah yang telah melakukan jenayah berkenaan. Kedua, mencegah pesalah berkenaan daripada mengulangi kesalahan yang sama dan kesalahan-kesalahan lain lagi pada masa yang akan datang. Walau bagaimanapun matlamat yang kedua ini lebih penting, kerana dalam melaksanakan hukuman ke atas pesalah bukanlah keseksaannya dan azab itu sendiri yang menjadi pokok utama, tetapi sebaliknya kesedaran yang mengembalikan pesalah berkenaan kepada jalan kebenaran dan yang menjauhkannya daripada jenayah itulah yang diutamakan. Ini ternyata dari firman Allah s.w.t yang berbunyi:
Maksudnya: Dan kami timpakan mereka dengan berbagai azab(bala bencana) supaya mereka kembali(bertaubat)
(Surah Az-Zukhruf:48)
Tidak seperti pencegahan umum,sifat pencegahan khusus ini tidak semestinya ada dalam setiap hukuman atau keseksaan yang dilaksanakan ke atas pesalah. Contohnya, hukuman bunuh balas, tidak wujud padanya erti pencegahan bagi pesalah yang dikenakan hukuman demikian. Ini kerana dengan terlaksananya hukuman berkenaan, dia telah mati. Bagi mencapai matlamat pencegahan khusus ini,hukuman yang dikenakan mestilah sesuai dengan kesalahan yang dilakukan.Ia jangan terlalu ringan dan jangan terlalu berat. Hukuman atau keseksaan yang terlalu ringan tidak banyak meninggalkan kesan terhadap sikap manusia. Sebaliknya hukumannya terlalu berat juga akan menghilangkan matlamat pencegahan tadi.

3. Pemulihan
Satu lagi objektif penting daripada keseksaan dalam undang-undang Islam ialah pemulihan. Ini jelas daripada objektif pencegahan khusus sepertimana yang dihuraikan di atas. Malah,sebahagian para penyelidik berpendapat,tujuan pemulihan merupakan objektif paling asas dalam undang-undang Islam. Menjelas pandangannya mengenai hal ini,Abd al-Aziz Amir berkata:
“Tidak keterlaluan kalau saya katakana bahawa pendidikan,pemulihan,bimbingan,dan taubat penjenayah ini telah diletakkan pada tempat yang pertama sekali sehingga keengganan orang ramai untuk melakukan jenayah akan berasaskan kepada kesedaran beragama dan dorongan diri sendiri dan bukannya kerana takutkan hukuman.”
Di samping itu, pemulihan juga merupakan suatu penyediaan suasana ke arah penerimaan kembali penjenayah ke dalam masyarakat.Ini dapat dilihat dalam hukuman-hukuman seperti penjara dan buang daerah. Berasaskan kepada objektif inilah maka terdapat pandangan para fuqahayang berpendapat bahawa tempoh hukuman akan terus dilanjutkan sehingga ternyata penjenayah berkenaan telah benar-benar bertaubat.
(Dr Paizah Haji Ismail:2004:107-112)
Moga artikel ini dapat memberi kefahaman kepada golongan yang tidak memahami objektif hukuman jenayah Islam dan sering memberi tentangan dan kenyataan bersandarkan kejahilan serta emosi mereka.Sekian,Wassalam...Wallahual'am.

Thursday, September 10, 2009

Fiqh Puasa-1

Sedut ubat penyakit asma tak batal puasa


Apakah hukum jika seseorang yang mengidap penyakit asma, tetapi menggunakan alat (sejenis pam) untuk melegakan sesak nafasnya (perlu pam melalui mulut). Adakah terbatal puasanya? Jika tidak mengambilnya, kesihatannya akan lebih mudarat untuk menjalani ibadah puasa. Jika perlu ganti, bilakah waktu yang sesuai kerana setiap hari perlu menggunakannya? Dan jika tidak menggantikan puasa itu, adakah perlu membayar fidyah? Harap ustaz dapat menghuraikan kemusykilan berkenaan. Abang Faidy, Kedah. Mengikut Syeikh Abd Aziz bin Baz, tidak membatalkan puasa kerana yang disedut adalah gas atau oksigen dengan menggunakan inhaler atau nebulizer untuk tujuan perubatan. Al-Imam Ibnu Taimiah juga membolehkan selama mana tidak membabitkan penggunaan makanan. Imam Ibn Hazm berpendapat bahawa suntikan atau sedutan serbuk juga tidak membatalkan puasa. Kesimpulannya puasa tidak batal dan tidak perlu qada atau membayar fidyah. Apakah dalil yang membolehkan pasangan suami isteri bersama malam Ramadan dan apakah harus bagi seseorang meneruskan puasa Ramadan selepas bersama isterinya di malam hari dan tertidur sehingga terbit fajar? Pasangan Keliru, Danau Kota. Suami isteri diharuskan bersama pada malam Ramadan berpandukan firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 187 bermaksud : "Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isterimu". Bagi yang terlanjur dan tertidur sehingga terbit fajar diwajibkan mandi dan solat Subuh seperti biasa. Sabda Nabi SAW : Apabila seseorang tertidur atau terlupa dari menunaikan solat, maka hendaklah dia menunaikan solat selepas terjaga atau tersedar (maksud hadis). Sabda Nabi SAW dalam hadis lain bermaksud : "Diangkat catatan amalan seseorang pada tiga keadaan; l Orang yang tertidur sehinggalah dia terjaga. l Orang yang gila sehinggalah kembali pulih. l Kanak-kanak belum cukup umur sehinggalah mereka baligh. Bagi mereka yang bersama dan tertidur wajib meneruskan puasa dan tidak boleh meneruskan hubungan semula apabila terbit fajar kerana ia adalah diharamkan.-Berita Harian 11.9.2009

Terkini: Kartika disebat selepas Hari Raya???

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bersedia meneruskan hukuman sebat ke atas seorang model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Pengarah JAIP Datuk Abdul Manan Abdul Rahman berkata pelaksanaan hukuman itu bagaimanapun bergantung kepada semakan Panel Rayuan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang dijangka selesai selepas hari raya ini.

Beliau berkata keputusan semakan itu akan diumumkan oleh Ketua Hakim Syarie Pahang Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman.

Pada 20 Julai lepas, Kartika Sari Dewi dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating, 11 Julai 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.

Bagaimanapun pada 24 Ogos lepas hukuman itu ditangguhkan bagi menghormati bulan Ramadan dan keputusan itu dikecam pelbagai pihak.

"Masyarakat tidak memahami antara sebat syarie iaitu lebih kepada mendidik dan sebat sivil yang selalu dihukum ke atas pesalah yang amat menyakitkan dan bagi kes Kartika, dia dihukum dengan hukuman sebat syarie," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bengkel Rasm Uthmani dan buku Menuju Gerbang Akhirat di Kuantan hari ini. BERNAMA

Ulasan:
Syabas diucapkan atas iltizam dan kesungguhan pihak JAIP untuk meneruskan juga hukuman sebatan kepada model sambilan ,Kartika Sari Dewi Shukarnor 32 tahun, yang telah disabitkan bersalah melakukan kesalahan meminum arak pada awal bulan Julai yang lalu. Diharapkan proses sebatan ini akan berjalan dengan licin dan lancar tanpa sebarang kontroversi lagi selepas ini. Jangan pula ada lagi masalah dan alasan seperti ketiadaan juru sebat syariah dan sebagai. Selain itu,usah dilayankan komen dan kenyataan dari golongan yang jahil,yang konon ingin menjadi jaguh dalam isu ini atas apa nama sekalipun. Kepada para pemimpin harap anda jangan memberi kongkongan dan mencampuri urusan Badan Kehakiman kerana sesungguhnya negara kita ini mengamalkan doktrin Pengasingan Kuasa..Sekian,Wassalam...Wallahua'lam...
SYARIAH ASAS KEADILAN