Showing posts with label Fiqh Muamalat. Show all posts
Showing posts with label Fiqh Muamalat. Show all posts

Friday, May 21, 2010

Teori akad dalam kehidupan

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

AKAD atau kontrak berasal dari bahasa Arab yang bermaksud ikatan atau simpulan sama ada yang dapat dilihat (hissiy) mahupun yang tidak dapat dilihat (ma'nawiy).

Daripada segi istilah, akad bermaksud suatu kesepakatan atau komitmen bersama, sama ada secara lisan, isyarat, ataupun tulisan antara dua pihak atau lebih. Ia memiliki implikasi hukum yang mengikat untuk melaksanakannya (rujuk Muhammad Salam Madkur (1963), al-Madkhal al-fiqh al -Islamiyy, Dar al-Nahdah al- 'Arabiyyah, hlm. 506).

Berdasarkan definisi tersebut, dapat difahami akad adalah perjanjian dan persefahaman yang mengikat pihak yang berakad untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing selagi belum menamatkan akad tersebut.

Akad juga boleh difahami sebagai pertalian antara ijab (tawaran) dan qabul (penerimaan) yang menimbulkan pengaruh dan kesan kepada subjek terlibat.

Pertalian ijab dan qabul ini mengikat pihak-pihak yang berakad untuk menunaikan kewajipan sebagaimana yang disepakati bersama.

Para ulama berbeza pandangan berkenaan dengan definisi antara akad dan wa'ad (janji). Namun, kebanyakan mereka menyatakan bahawa akad dan wa'ad berbeza.

Dalam akad, segala terma ditentukan secara spesifik sebelum akad itu dimeterai. Wa'ad adalah janji antara satu pihak dengan pihak yang lain.

Pihak yang memberi janji bertanggungjawab melaksanakan janjinya sedangkan pihak yang kedua tidak memikul apa-apa kewajipan terhadapnya.

Dalam berurusan sesama manusia, masyarakat perlu memahami konsep akad dalam Islam agar semua urusan yang dilakukannya menepati garis panduan yang ditetapkan oleh Islam.

Sekali gus, kefahaman yang diseiringkan pula dengan kepatuhan terhadap rukun-rukun dan syarat-syarat akan menyebabkan semua hak mereka yang terlibat dalam akad dapat dipelihara.

Kedudukan akad sangat penting untuk membezakan sama ada sesuatu urusan atau urusniaga itu sah atau tidak mengikut syarak. Justeru, penggunaan akad yang tepat untuk melakukan sesuatu urusan perlu diambil berat oleh setiap individu.

Sekiranya akad tersebut sah, maka ia akan mewujudkan tanggungjawab dan hak di kalangan pihak-pihak yang berakad. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu menyerahkan sejumlah wang dengan menggunakan akad bai' (jual beli), maka hendaklah orang yang menerima wang tersebut menggantikannya dengan barang yang diminta oleh pembeli.

Jika individu tersebut menyerahkan duitnya dengan menggunakan kontrak tabarru', maka ia tidak memerlukan sebarang penggantian dan pertukaran dalam bentuk barangan atau perkhidmatan. Ia adalah percuma dan diberikan mungkin disebabkan derma, wakaf, sedekah, hadiah dan sebagainya.

Jika ia menyerahkan duit dengan menggunakan kontrak qard (pinjaman), maka si penerima perlu membayar balik jumlah duit yang diterimanya tanpa melebihi kadar yang disumbangkan. Kita dapat lihat melalui contoh-contoh tersebut perbezaan yang ketara di antara kontrak-kontrak yang dilaksanakan.

Kontrak-kontrak dalam Islam mengandungi rukun dan syarat yang perlu dipatuhi. Kegagalan memenuhi segala rukun dan syarat tersebut akan memberi kesan buruk kepada akad. Jika akad tersebut tidak sah, maka segala yang berkaitan dengannya juga tidak sah.

Sebagai contoh, sekiranya seorang yang kurang siuman mendermakan sejumlah wang, maka derma tersebut tidak sah kerana syarat orang yang memberikan sumbangan adalah daripada orang baligh dan berakal.

Akad hanya boleh terbentuk sekiranya cukup rukun-rukun yang telah ditetapkan oleh Islam. Menurut majoriti ulama, akad terbentuk melalui tiga rukun iaitu:

l Al-'aqidain: Dua pihak yang berakad. Iaitu semua pihak yang terlibat secara langsung dengan akad seperti penjual dan pembeli dalam akad bai' (jual beli) serta penyumbang modal dan pekerja dalam akad mudharabah.

l Mahallul aqd: Subjek akad iaitu sesuatu yang hendak diakadkan seperti kereta dalam akad sewa dan beli (Aitab) atau rumah dalam akad Bai' Bithaman Ajil (BBA)

l Sighah: iaitu ijab (tawaran) dan qabul (penerimaan). Ia dilafazkan secara lisan atau bertulis oleh mereka yang berakad. (rujuk Wahbah Az-Zuhaili. 1989, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu,. Damaskus: Dar al-Fikr. IV: 92).

Para ulama fikah dalam Mazhab Hanafi berbeza pandangan dengan majoriti ulama. Bagi mereka, rukun akad hanya satu sahaja iaitu sighah (ijab dan qabul). Al-aqidain dan mahallul aqd adalah syarat akad kerana ia bersifat dalaman (dakhiliy) dan teknikal.

Pandangan ini didasari oleh kefahaman mereka bahawa rukun adalah sesuatu yang tunjang dan menjadi faktor utama terjadinya sesuatu akad.

Tuesday, May 11, 2010

Konsep pemilikan dalam Islam

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN

ISLAM tidak pernah menyekat dan menghalang manusia dari memenuhi tuntutan naluri dan fitrah mereka. Malah Islam mendidik cara yang betul bagaimana tuntutan naluri tersebut boleh dipenuhi.

Dalam Islam, pemilikan mutlak adalah hak Allah SWT. Manusia hanya 'meminjam' daripada Allah untuk membantunya mengabdikan diri kepadaNya.

Dalam hal pemilikan, selain berkaitan dengan persoalan keagamaan ada dua pihak diiktiraf oleh syarak yang boleh menerima pemilikan.

Pertama, Syakhsiyah tobi'iyyah ataupun manusia itu sendiri. Seseorang individu itu boleh memiliki harta kerana mereka diciptakan oleh Allah mempunyai keupayaan untuk memiliki dan mengawal harta berkenaan.

Di samping itu, ia juga mempunyai kebolehan memindahkan harta di bawah pemilikannya kepada pihak lain.

Pihak yang kedua pula adalah Syakhsiyah i'tibariyyah seperti syarikat dan institusi. Fiqh Islam telah mengiktiraf institusi-institusi seperti yayasan, pertubuhan, syarikat, masjid sebagai mempunyai keperibadian yang menyerupai manusia dari sudut keahlian untuk memiliki, sabitan hak dan melaksanakan kewajipan.

Maka dibolehkan institusi-institusi berkenaan memiliki harta dan kawalan terhadap harta tersebut diwakili oleh individu tertentu.

Baitul Mal boleh mewarisi harta bagi orang yang tidak mempunyai waris, kadi tidak perlu membayar diat jika berlaku kesilapan dalam keputusannya terhadap kes-kes yang berkaitan dengan hak-hak Allah SWT kerana beliau mewakili ummah dan sebagainya.

Namun untuk mengawal berlakunya penyelewengan dalam konteks ini, perlu ada kumpulan individu yang amanah dan berilmu menguruskan institusi berkenaan. Terutama dalam membuat keputusan membabitkan pihak pengurusan, pihak lembaga pengarah, pemegang amanah dan sebagainya.

Maka institusi juga boleh memindahkan hak milik dan mempunyai hak dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan.

Konsep ini secara umumnya diterima oleh semua fuqaha. Untuk lebih memahami konsep ini, sebagai contoh dalam sistem takaful, tabung atau dana tabarruk boleh dianggap sebagai Syakhsiyah I'tibariyyah.

Tabung berkenaan bertujuan mengumpul sumbangan derma daripada setiap peserta takaful bagi membantu peserta yang ditimpa musibah.

Pengendali takaful pula bertindak sebagai pemegang amanah menguruskan tabung berkenaan.

Dari sudut konsepnya, tabung berkenaan mempunyai hak sebagai Syakhsiyah i'tibariyyah kerana ia berhak memiliki dan menunaikan kewajipan mengikut syarat-syarat dan terma yang telah dipersetujui.

Milik atau pemilikan adalah hubungan manusia dengan harta yang diakui oleh syarak. Di mana harta itu dikhususkan kepada seseorang manusia dan membenarkannya untuk mentadbir harta tersebut mengikut kehendaknya selagi tidak bercanggah dengan syarak.

Dari segi bahasa, 'milik' adalah pemilikan harta oleh manusia dan penguasaannya ke atas harta itu. Bererti, dia sahaja yang mempunyai kuasa dalam mentadbirnya. Ahli-ahli fiqh secara umumnya memberi definisi berbeza tentang harta.

Namun, semuanya mempunyai kandungan maksud yang sama dan tidak mempunyai perbezaan yang ketara (al-Zuhayliyy 2002 :4 /57).

Islam bukan sahaja mengiktiraf hak setiap pemilik harta menikmati faedah daripada harta kepunyaannya. Malah mengiktiraf hak pemilik itu menguruskannya semasa hidup dan sesudah meninggal dunia.

Mengikut perspektif Islam, individu atau institusi hanya layak memiliki harta dengan cara dan kaedah yang diharuskan oleh syariah sahaja. Ia seperti dengan cara belian, sedekah, hadiah, warisan dan sebagainya.

Contohnya, seorang pelanggan yang membayar duit membeli sesuatu barangan, berhak mendapat barangan tersebut setelah membayarnya. Maka barang yang diperolehi itu menjadi miliknya, walaupun pada peringkat awal berada di bawah milikan si penjual.

Individu tersebut juga berhak dan layak memiliki sesuatu dengan cara usaha (kasb), tanpa melibatkan modal dan pembelian. Contohnya, ejen takaful yang berusaha mendapat pelanggan berhak mendapat komisen sebagai upah di atas kerja yang dilakukan.

Atas usahanya mempromosikan produk, menyampaikan mesej syarikat dan memberi khidmat kepada peserta, maka dia layak mendapat komisen.

Dalam kontrak mudharabah, seorang pekerja (mudharib) layak mendapat sebahagian keuntungan perniagaan yang dilakukan walaupun dia tidak mengeluarkan modal.

Sebaliknya, Islam tidak mengiktiraf pemilikan harta oleh individu dengan menggunakan harta yang haram walaupun ia sudah berada dalam tangannya atau di bawah jagaannya.

Islam juga tidak mengiktiraf pemilikan yang terhasil daripada cara haram seperti melalui perjudian, pelacuran, riba, rasuah dan sebagainya.

Malahan, jika harta itu didermakan atau disedekahkan, ia tidak akan diterima sebagai amal kebajikan di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik. (riwayat Muslim, 3/85 ).

Maka apabila seseorang itu memiliki harta yang haram, haram baginya mengambil manfaat daripada harta tersebut. Dia hendaklah melupuskan harta haram berkenaan sebagaimana yang digagaskan oleh syariah.

Namun, Allah SWT maha pengampun lagi maha penyayang. Allah sentiasa membuka ruang kepada hamba-Nya untuk bertaubat.

Pemilik harta haram yang ingin bertaubat perlu melupuskan harta berkenaan sebagai salah satu syarat untuk bertaubat.

Cara terbaik adalah memulangkan harta itu kepada tuannya. Jika tuannya sudah meninggal dunia, maka perlulah diserahkan kepada warisnya.

Jika tidak diketahui atau gagal menemuinya, maka bolehlah diserahkan kepada fakir miskin. Namun, derma dan sumbangannya kepada fakir miskin itu tidak mendatangkan sebarang pahala daripada Allah SWT. Sebaliknya, ia hanya satu kaedah yang wajib dilakukan untuk bertaubat.

Sabda Rasulullah SAW: "Barang siapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mendermakannya, tiadalah baginya sebarang pahala (kerana harta itu bukan hartanya) dan penanggungan dosanya kekal (sehingga bertaubat)". (riwayat al-Hakim)

Tuesday, October 27, 2009

Hibah Dan Bahagiannya

HIBAH
Definsi
Hibah secara literalnya, diambil dari kata (هبوب الريح) perjalanan atau tiupan angin . Ada pendapat yang menyatakan hibah jua bermakna orang yang bangun daripada tidur, seolah-olah pelakunya bangun daripada tidur, dan terkejut menerima penerimaan.
Dari segi syarak ialah pertukaran hak milik sesuatu secara mutlaq ketika masa hidup tanpa sebarang iwadh(gantian) walaupun daripada orang yang lebih tinggi.
(Rujukan Raudhah Al-Talibin Jilid 4 halaman 426)

Hibah juga dari segi bahasa bererti pemberian.
Dari segi istilah syarak: suatu akaq yang mengandungi pemberian hak milik oleh seseorang terhadap hartanya kepada orang lain pada masa hidupnya dengan tidak mengharapkan balasan.
(Rujukan Buku Sistem Pengagihan Harta Pusaka Islam halaman 107)

Kitab Fiqh Al-Manhaji Jilid 5 pula menakrifan hibah atau anugerah dari segi bahasa ialah suatu pemberian yang diberikan bukan kerana tanggungjawab tertentu dan pemberian ini memberi manfaat kepada penerima.
Menurut istilah syarak ialah suatu kontrak yang merujuk kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian ketika masih hidup dan dilakukan secara sukarela. (Rujukan Al-Fiqh Al-Manhaji Jilid 5 halaman 1449-1450)

Kesimpulan
Hibah ialah satu bentuk kontrak pemindahan atau pemberian hak milik dari satu pihak ke satu pihak yang lain tanpa mengharapkan balasan atau gantian,berlaku dalam keadaan tidak dipaksa(sukarela) ketika masih hidup. Semua takrif tadi termasuk dalam jenis hibah yang disebut sebagai hibah mutlaq.
Dalil Hujahan.

1. Al-Quran
Firman Allah s.w.t:
وهب لنا من لدنك رحمة انك أنت الوهب
Maksudnya: Dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.

(Surah A-li-Imran ayat 8)

وءاتوا النساء صدقتهن نحلة فان طبن لكم عن شيء منه نفسا فكلوه هنيئا مريئا

Maksudnya: Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah(gunakanlah) pemberian(yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.
(Al-Nisaa ayat 4)
2. Hadith

Sabda Rasulullah s.a.w:

قد كان لرسول الله صلى الله عليه وسلم جيران من الأنصار كانت لهم منائح وكانوا يمنحون رسول الله صلى الله عليه وسلم من ألبانهم فيسقينا
Maksudnya: Rasulullah s.a.w berjiran dengan seorang Ansar dan mereka mempunyai manihah(anugerah). Mereka memberi susu kepada Rasulullah s.a.w dan Baginda memberikannya kepada kami untuk diminum.
(Hadith Riwayat Bukhari,no.2972)
Manihah dalam hadith ini bermaksud unta atau kambing yang mempunyai susu.

عن خالد بن عدى أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: من جاءه من أخيه معروف من غير اسراف ولا مسالة فليقبله ولايرده قائم هو رزق ساقة الله اليه
Maksudnya: Dari Khalid bin Adi: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Barangsiapa yang diberi oleh saudaranya kebaikan dengan tidak berlebih-lebihan dan tidak dia minta hendaklah diterimanya(jangan ditolak), sesungguhnya yang demikian itu pemberian yang diterima oleh Allah kepadanya. (Hadith Riwayat Ahmad)

3. Ijmak Ulama
Para fuqaha Islam pada sepanjang zaman sependapat bahawa sebarang bentuk anugerah(hibah) adalah digalakkan kerana amalan ini sebahagian daripada budaya bekerjasama. Firman Allah s.w.t:
وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الاثم والعدون واتقوا الله ان الله شديد العقاب
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah bertolong-tolongan pada melakukan dosa(maksiat) dan pencerobohan Dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab sekesaNya( bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
(Surah Al-Maa’idah ayat 2)
Rukun Hibah
1. Orang yang menghibah
2. Orang yang menerima hibah
3. Barang dihibahkan
4. Sighah(Ijab dan Qabul)

Setiap rukun ini ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi. Syarat-syarat tersebut ialah:
Syarat-syarat Hibah

1. Syarat-syarat pemberi hibah:
1. Baligh.
2. Berakal.
3. Tidak ditegah mempergunakan harta.
4. Dengan kerelaan hati.
5. Memiliki barangan yang diberikan.

2. Syarat-syarat penerima hibah
Mempunyai keahlian dalam memiliki harta yang dihibahkan kepadanya. Tidak sah jika:
i. Penerimannya ialah kanak-kanak yang masih dalam kandungan ibunya.
ii. Penerimanya ialah haiwan.

3. Syarat-syarat barang yang dihibahkan
i. Hendaklah ianya suci
ii. Ada manfaatnya.
iii. Dapat diserahkan
iv. Pemilik mempunyai kekuasaan untuk memberi.
v. Diketahui(dimaklumi oleh pemberi dan pemilik).

4. Syarat-syarat sighah(ijab dan qabul)
i. Hendaklah ijab itu diikuti oleh qabul dengan segera.
ii. Didengari oleh orang yang hampir kepadanya.
iii. Maksud yang difahami oleh kedua belah pihak.
iv. Tidak bertaqlik atau bersyarat.
v. Tiada tempoh waktu.
vi. Ijab tidak berubah sebelum qabul.

Hak Milik Selepas Hibah
Barangan yang diberikan belum menjadi milik penerima kecuali dengan kebenaran pemberi hibah. Jika berlaku kematian salah seorang dari penerima atau pemberi maka waris pemberi atau penerima hibah yang mati itu mestilah menjadi pengganti dalam melakukan penerimaan dengan izin atau membatalkan pemberian tersebut.(Rujukan Buku Sistem Pengagihan Harta Pusaka Islam halaman 108-109).

Berdasarkan pendapat Jumhur Fuqaha(Mazhab Syafie, Hanafi, dan Hanbali) hibah hanya berlaku setelah barang yang dihibahkan itu berada di tangan(القبض) atau di dalam milik penerima hibah, bukan hanya dengan aqad semata-mata. Bila mati pemberi hibah atau penerima hibah sebelum berlaku penyerahan maka hiba itu batal. Sebaliknya, mazhab Maliki berpendapat, bila pemberi hibah atau penerima hibah mati sebelum penyerahan hibah atau berada di tangan penerima hibah,maka hibah itu tidaklah batal. Kerana hanya dengan aqad semata-mata hibah telah menjadi milik penerima hibah.
(Rujukan Al-Fiqh Al-Islami Wa Al-Adilatuhu Jilid 7 halaman 19-21)

Jenis-jenis Hibah
Hibah dibahagikan kepada beberapa jenis hibah. Antaranya ialah hibah ain(benda) dan hibah manfaat.Hibah ain ialah yang diqasadkan(diniatkan) pada balasan dan ada yang tidak diqasadkan(diniatkan) padanya balasan. Dan yang diniatkan padanya balasan iaitu mengharapkan balasan dari Allah dan mengharapkan balas daripada makhluk(manusia). Adapun hibah jenis tanpa balasan(mutlaq) tiada perselisihan akan keharusan, manakala hibah al-sawwab maka berselisih para fuqaha tentangnya. Ringkasnya hibah ini boleh dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu hibah(hibah mutlaq)tidak ada balasan dan hibah al-sawwab(bissawwab) yakni hibah dengan balasan.

Hibah Bi Al-Sawwab(Hibah Bissawwab).
Hibah jenis kedua ialah hibah bi al-sawwab. Kitab Ahsyaru Al-Muhtasar Fi Al-Fiqh Ala Mazhab Al-Imam Ahmad Ibnu Hambali(Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman Al-Jabrini) mendefinisikan hibah bi al-sawwab ialah hibah yang disyaratkan untuk pemberiannya balasan. Dengan maksud yang lain,sesungguhnya individu yang memberi sesuatu pemberian itu mengharap ganjaran(balasan) daripada pemberiannya, maka inilah yang dikatakan hibah bi al-sawwab. Sepertimana katanya: Aku hadiahkan kepada engkau kitab ini atau saya kurniakan engkau kitab ini dan gantikanlah kepada saya sesuatu sebagai balasan dan maka sesungguhnya ini yang dinamakan hibah bi al-sawwab. Ia juga adalah termasuk dalam jenis jual beli, hukum dan syaratnya adalah seperti jual beli. Dari segi hukumnya para ulama berselisih pendapat. Imam Malik dan Imam Abu Hanifah r.ah mengharuskannya,manakala Imam As-Syafie, Daud, dan Abu Thur menegahnya. Sebab perselisihan mereka ialah adakah ini adalah jual beli yang tidak diketahui nilai atau bukan jual beli yang tidak diketahui nilainya?. Golongan yang berpegang pada pandangan yang pertama menyatakan ia adalah daripada jenis jual beli gharar(tidak pasti) yang tidak harus. Adapun yang berpendapat sebaliknya mengharuskannya.
(http://www.taimiyah.org/Display.asp?f=3khwq-00003.htm)

Fiqh Syafii Jilid 2 halaman 136 menyatakan boleh dilakukan pemberian itu dengan bersyarat supaya diberi pula( balas), umpamanya kata seorang: “ Aku berikan barangku ini kepadamu dengan syarat bila engkau berikan pula barang engkau itu kepadaku”. Dalam hal ini, bila syarat tidak dipenuhi, maka pemberian itu boleh diminta kembali.
(Rujukan Fiqh Syafii Jilid 2 halaman 136)
Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: وهب رجل لرسول الله صلى الله عليه وسلم ناقة فأثابه عليها فقال: رضيت؟ قال: لا فزاده فقال: رضيت؟ قال: لا فزاده فقال: رضيت؟ قال: نعم.
Maksudnya: Dari Ibnu Abbas r.a berkata ia: “Pernah seorang lelaki memberikan kepada Rasulullah s.a.w seekor unta betina,lalu dibalas beliau pemberian itu dan beliau bersabda: Telah redakah kamu? Jawab lelaki itu: Belum, Rasulullah lalu menambah balasannya itu dan bersabda: Telah redakah kamu?. Jawab lelaki itu: Belum. Lalu ditambah lagi pemberian itu, kemudian beliau bersabda: Telah redakah kamu?. Jawab lelaki itu: Ya, sudah.(Hadith Riwayat Ahmad dan dianggap sahih oleh Ibnu Hibban).
Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani r.ah dalam kitab Bulughul Maram menyatakan hadith ini menunjukkan bahawa memberi balasan orang yang memberi hadiah itu disyaratkan harus sampai orang itu merasa senang dan puas.
(Rujukan Bulughul Maram halaman 548-549).

Syed Sabiq r.ah pula berkata: Disunatkan membalas hadiah sekalipun hadiah itu dari orang yang lebih tinggi kepada orang yang lebih rendah. Argumentasi beliau ialah sebuah hadith dari Aishah r.a yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Abu Daud, dan Al-Timirdzi:

عن عائشة رضي الله عنها قالت: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يقبل الهدية ويثيب عليها
Maksudnya:
Dari Aishah r.a berkata dia: “Adalah Rasulullah s.a.w menerima hadiah dan membalasnya”.
Dan lafaz Ibni Abi Syihab:
ويثيب ما هو خير منها
Maksudnya:
“Dan membalas dengan apa yang lebih baik darinya”.
(Al-Fiqh Al-Sunnah halaman 173-174)

Menurut Sayidina Umar Ibnu Khattab r.a siapa yang menghibahkan suatu hibah kerana silaturahim atau atas segi sedekah, maka ia tidak dapat mengambil kembali sedekah dan hibah itu. Dan siapa yang menghibahkan suatu hibah yang ia melihat bahawa ia mengkehendaki balasan, maka dia itu atas hibahnya, dapat ia mengambil kembali,kalau ia tidak rela dengan hibah itu.(Al-Umm Jilid 5 halaman 356)

Sunday, September 27, 2009

Pelaburan Dan Meniaga FOREX

Assalamualaikum,Salam Eidulfitri,beberapa hari lalu kita beraya ke rumah kawan-kawan sekolah menengah,saya ada diajukan persoalan hukum pelaburan dan meniaga forex, di sini saya perturunkan jawapan daripada Ustaz Zaharuddin Abd Rahman,Pensyarah UIAM untuk perkongsian.

Pelaburan Dan Meniaga FOREX

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Soalan

Saya ingin minta pihak ustaz untuk menerangkan tentang pelaburan tukaran matawang asing dan juga perniagaan Forex. Bagaimana pula jika saya melakukan transaksi sendiri dengan berbekalkan analisa sendiri atau yang disediakan oleh broker dengan melayari internet. Kemudian memperolehi untung dari jualan dan belian matawang asing ini. Terima kasih

Forex sumber kewangan keluarga ?


Jawapan

Bagi menjawab soalan ini, anda perlu memahami dua jenis perkara iaitu :-

1- Melabur wang ringgit anda ke dalam satu syarikat yang memperolehi untung melalui FOREX.

2- Melantik satu platform atau syarikat untuk menjalankan jual beli wang asing dan simpan. Semua transaksi dijalankan oleh anda sendiri, syarikat hanya menyediakan platform dan mengambil upah perkhidmatan sahaja.

Pertama : Hukum bagi melabur dalam syarikat yang menjalankan FOREX :

Forex (Foreign Exchange) atau yang lebih dikenal dengan Perdagangan Mata wang Asing; Ia merupakan suatu jenis perdagangan/transaksi yang memperdagangkan matawang suatu negara terhadap matawang negara lainnya yang melibatkan pasar-pasar matawang utama di dunia selama 24 jam secara berterusan.

Benar, memang FOREX matawang adalah diharuskan, tetapi keharusannya tertakluk kepada sejauh mana ia menurut garis panduan yang dikeluarkan dari hadith Nabi yang sohih. Iaitu :-

a- Ditukar (serah dan terima) dalam waktu yang sama ia disebut dalam hadis sebagai "yadan bi yadin". Dalam bahasa Inggerisnya adalah "on the spot basis". Ia datang banyak hadis antara yang paling utama adalah :'

الذهب بالذهب , والفضة بالفضة , والبر بالبر , والشعير بالشعير , والتمر بالتمر , والملح بالملح , مثلاً بمثل , سواء بسواء , يداً بيد , فإذا اختلفت هذه الأصناف فبيعوا كيف شئتم

Ertinya : Emas dengan Emas ( ditukar atau diniagakan) , perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus ( pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual-belilah kamu sebagaimana yang disukai" ( Riwayat Muslim, no 4039 no hadith , 11/9 ) .

b- Nabi bersabda :-

فإن رَسُولَ اللَّهِ قال الْوَرِقُ بِالذَّهَبِ رِبًا إلا هَاءَ وَهَاءَ

Ertinya : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w berkata : Pertukaran antara perak dan emas adalah riba kecuali jika ia dilakukan secara serentak (serah terima dalam satu masa)" (Riwayat Muslim, no 1586, 3/1209)

c- Manakala pembelian secara hutang dari salah satu antara dua pihak adalah haram berdasarkan hadis :-

نهى رسول اللَّهِ عن بَيْعِ الذَّهَبِ بِالْوَرِقِ دَيْنًا

Ertinya : "Rasulullah s.a.w melarang dari menjual emas dan perak secara berhutang"( Riwayat Al-Bukhari, no 2070, 2/762)

Hadis-hadis di atas menyebut perihal displin Islam dalam pertukaran emas dan perak. Untuk informasi, ulama bersepakat bahawa matawang (bank note) juga adalah sama displinnya dengan emas dan perak disebabkankan nilai dan fungsinya sebagai 'medium of exchange'. Justeru setiap displin dan syarat transaksi yang melibatkan emas dan perak juga TERPAKAI pada urusan transaksi matwang. Demikian keputusan Majlis Fiqh Antrabangsa dan juga Majlis Kewangan Islam Antarabangsa di bawah AAOIFI.

FOREX dalam matawang yang diuruskan oleh syarikat konvensional sudah pasti tidak akan menjaga syarat ini kerana kebanyakan FOREX yang dijalankan oleh institusi Konvensional adalah ‘Forward FOREX' atau Forex yang menggunakan ‘Value forward' (nilai masa hadapan) yang tergolong dalam Riba Nasiah. Mereka juga kerap menggunakan SWAP, Options dan lain-lain instrument yang tidak halal di sisi Shariah.

Instrumen-instrumen tadi tidak memenuhi syarat Islam iaitu serah terima atau disebut "qabadh" dalam Islam secara benar "hakiki" atau "hukmi" pada waktu yang sama. Masalah dalam implementasi FOREX adalah bertangguh dalam penyerahan dari kedua-dua pihak. Tatkala itu aqad menjadi batal (Radd al-Muhtar ala ad-durr, 4/531).

Tidak saya nafikan, bahawa terdapat sesetengah Institusi Kewangan Islam yang melakukan forex ini setelah mendapatkan kelulusan Majlis Penasihat Shariah mereka, Namun semua mereka hanya terlibat dalam FOREX jenis SPOT dan bukannya jenis ‘Forward' ; jika adapun jenis forward ia menggunakan konsep Al-WA'D atau 'Unilateral Promise' dan ia telah disepakati keharusannya. Apa yang pasti, Majlis Shariah mereka telah meletakkan beberapa syarat dan bukannya secara bebas begitu sahaja.

Justeru MELABUR MODAL ( BEERTI ANDA MELABUR DAN KEMUDIAN TUNGGU UNTUNG SAHAJA) dan di dalam institusi kewangan konvensional yang memperolehi untung melalui cara FOREX adalah tidak halal di sisi Islam.

Ia adalah keputusan Panel Penasihat Shariah dunia yang bernaung di bawah nama Accounting & Auditing Organization For Islamic Institutions (AAOIFI). Antara panel penasihat Shariahnya adalah Syeikh Mufti Taqi Uthmani, Prof. Dr. Syeikh Wahbah Zuhayli, Prof. Dr. Syeikh Siddiq Dharir, Syeikh Abdullah al-Mani', Dr. Abd Sattar Abu Ghuddah, Syeikh Dr. Nazih Hammad, Syeikh Dr. Hussain Hamid Hassan, Syeikh Nizam Ya'quby, Dr. Mohd Daud Bakar, Syeikh Al-Ayashi al-Sadiq Faddad, Syeikh Dr. Ajil Nashmi dan ramai lagi.

KEDUA : Hukum FOREX TRADING yang dijalankan sendiri-

Bagi mengetahui hukum bagi bentuk kedua ini, pertama-tamanya ia tertakluk kepada :-

a- Kesohihan dan kewibawaan syarikat platform dari sudut lesennya dan pengenalannya. Ia diperlukan bagi mengelak anda ditipu oleh platform syarikat yang tidak sebenar. Butiran terperinci berkenaan platform ini mestilah diteliti dan boleh diperolehi. Jika tidak, transaksi anda adalah syubhat dari awal lagi keran terdapat unsur gharar.



b- Jika platform tersebut punyai wibawa dan lessen serta info yang sangat mencukupi, perkara kedua adalah menilai akta-akata berkaiatan dengan aktiviti ini dari badan berwajib di Malaysia. Ini perlu bagi memastikan anda tidak terlibat dengan aktiviti menyalahi undang-undang Negara.

Jika yang kedua juga lulus, saya kira transaksi jual matawang asing dan simpan dan kemudian jual semula apabila harga tukarannya naik adalah harus kerana ia secara automatiknya dilaksanakan menurut kaedah ‘spot'. Namun mari kita sama-sama cuba mehami dan menyemak bagaimana proses ini dilakukan secara ringkas dan melihat pandangan Islam tentangnya.

Setakat apa yang diterangkan oleh individu yang terlibat dan yang tahu berkenaan cara forex trading memlali internet ini. Ia seperti berikut :-

1) Ia mempunyai minimum modal. Sebagai contoh USD 1, USD 100 dan lain-lain, ia berbeza mengikut polisi syarikat forex trading masing-masing.

2) Dengan modal itu, pihak syarikat platform forex trading ini akan membukakan satu akaun khas buat peserta.

Setelah itu, pihak peserta akan menentukan samada untuk membuka kaunter jualan matawangnya di dalam akaun atau membuka kaunter belian.

Gambaran mudahnya adalah :-

Katalah modalnya USD 100 yang dibeli dengan tukaran semasa hari tersebut USD 1 = RM 3.6, dan dibuka kaunter ‘selling' melalui platform syarikat tersebut.

Sebagai contoh, pada esok harinya apabila dilakukan analisa terhadap pegerakan nilai matawang, didapati nilai USD mengukuh berbanding Ringgit iaitu USD 1 = RM 4

Tatkala itu, ia akan menekan button jual USD 100 dan memperolehi RM 400. Ini bermakna ia telah beroleh keuntungan sebanyak RM 40 berbanding harga belian asalnya tadi.

Pihak syarikat FOREX ini MESTILAH memasukkan seluruh RM 400 itu sebaik sahaja transaksi jual beli dilakukan, TIDAK DIBENARKAN DILEWATKAN ATAU DIMASUKKAN SEBAHAGIAN SAHAJA, jika dalam contoh di atas, hanya RM 40 dimasukkan, manakala baki modal sebanyak RM 360 hanya akan dimasukkan sejurus peserta menutup akaun pada hari tersebut.

Isu Shariah : Jika ini tidak berlaku, maka ia lulus dari sudut Shariah, namun jika kelewatan berlaku, isu Shariah di sini adalah berlaku penangguhan dalam penyerahan matawang ringgit. Ini menjadikan ia bercangah dengan arahan Nabi s.a.w :-

Dalam menukar wang dengan wang, Nabi telah menyebut garis panduan yang mesti dipatuhi iaitu:

فإن رَسُولَ اللَّهِ قال الْوَرِقُ بِالذَّهَبِ رِبًا إلا هَاءَ وَهَاءَ

Ertinya : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w berkata : Pertukaran antara perak dan emas adalah riba kecuali jika ia dilakukan secara serentak (serah terima dalam satu masa)" (Riwayat Muslim, no 1586, 3/1209)

Manakala pembelian secara hutang dari salah satu antara dua pihak adalah haram berdasarkan hadis :-

نهى رسول اللَّهِ عن بَيْعِ الذَّهَبِ بِالْوَرِقِ دَيْنًا

Ertinya : "Rasulullah s.a.w melarang dari menjual emas dan perak secara berhutang"( Riwayat Al-Bukhari, no 2070, 2/762)

Imam An-Nawawi telah menyebut dengan terang bahawa para ulama telah bersepakat wajibnya syarat serah terima dalam satu masa atau ‘Taqabud' samada secara hakiki (fizikal) atau hukmi (melalui mediuam internet tetapi punyai bukti seperti resit atau nota elektronik yang menunjukkan transaski sah) ( Syarah Sohih Muslim)

Cadangan : Mesti dipastikan bahawa semasa transkasi jual beli dilakukan, kesemua modal dicampur untung dimasukkan di dalam akaun kita tanpa sebarang tangguh, dan secara automatik juga kita boleh mengeluarkan wang tersebut tanpa sebarang halangan.

3) Terdapat syarikat yang mensyaratkan minimum modal yang tinggi seperti USD 1000 dan lain-lain jumlah. Untuk itu mereka menawarkan apa yang dinamakan 'leverage' yangmana modal peserta akan digandakan.

Sebagai contoh, katalah modal sebenar anda adalah USD 100. Maka anda dikehendaki memilih atau secara pilihan memlih gandaan yang dikehendaki. Seperti 1 : 10 beerti modal anda akan digandakan kepada 10 kali menjadi USD 1000 atau jika memilih 1:100, beerti modal anda menjadi USD 10000. Dengan jumlah baru inilah matawang anda akan di pasarkan di pasaran.

Hukum Leverage :
Takrif Leverage :

The use of various financial instruments or borrowed capital, such as margin, to increase the potential return of an investment.

Leverage can be created through options, futures, margin and other financial instruments. For example, say you have $1,000 to invest. This amount could be invested in 10 shares of Microsoft stock, but to increase leverage, you could invest the $1,000 in five options contracts. You would then control 500 shares instead of just 10. (Rujukan)

Jika benarlah apa yang saya gambarkan ini, transaksi forex menggunakan Leverage ini adalah HARAM kerana ia dikira menjual matawang yang tidak di dalam milik anda. Milik sebenar anda hanyalah USD 100 tetapi yang dijual adalah 10,000. Ia berdasarkan apa yang disebut oleh Nabi s.a.w :

لَا تَبِعْ ما ليس عِنْدَكَ

Ertinya : Janganlah kamu menjual sesuatu yang tidak di dalam milikmu" ( Riwayat Abu Daud, no 3504, 3/283)

Malah saya juga hampir pasti, wang yang digandakan oleh syarikat itu dikira sebagai pemberian pinjaman dan sudah tentu mereka akan mengambil sedikit keuntungan samada diketahui atau tidak diketahui oleh peserta. Jika ini berlaku, sekali lagi riba telah berlaku.

Bagi mengelakkan perkara yang ditegah oleh Islam dari berlaku di sini, penggunaan leverage 1:1 sahaja yang dibenarkan. Wallahu'alam.

4) Diberitakan juga pihak syarikat menasihatkan peserta agar menggunakan modalnya kurang dari 30 % bagi mengurangkan risiko semasa trading dijalankan.

Dan jika terdapat masalah kemungkinan rugi atau apa yang dinamakan 'margin call', pihak peserta dibenarkan untuk membuka kaunter satu lagi samada jual atau beli bagi menyeimbangkan kemungkinan rugi.

Pandangan : Wallahu'alam, jika semunya dilaksanakan dengan jelas dan perancangan yang betul. Setakat ini saya tidak nampak adanya masalah Shariah dalam tindakan ini, kerana apa yag dilakukan adalah membuka kaunter baru, kalau sebelum ini ia membuka kaunter jual sahaja, maka apabila di posisi jual didapati boleh membawa kerugian, ia dengan segera mebuka kaunter beli, bagi memperolehi keuntungan pula. Semuanya adalah harus jika dilaksanakan menurut syarat di atas tadi, tiada leverage, tiada tangguh, dan wang yang telah diperolehi boleh dikeluarkan pada bila-bila masa. Wallahu'alam.

Kesimpulan

Walaupun berniaga sendiri forex dan memenuhi syarat ini boleh dikira halal, namun ia bukanlah sesuatu yang disukai oleh polisi ekonomi di dalam Islam, pertamanya kerana menurut pandangan ekonomi dalam Islam, matawang adalah 'medium of exchange' sahaja dan ia bukanlah komoditi yang wajar diniagakan bagi memperolehi untung dari perbezaan nilainya. Kita tahu nilai matwang kini tidak lagi bersandarkan emas atau perak, wang kertas hari ini (fiat money) tidak mempunyai nilai tersendiri (seperti logam emas dan perak) kecuali nilainya datang dari pasaran global yang ditentukan oleh 'demand and supply' di pasaran dunia.

Justeru, menjadikan cara ini bagi memberikan anak dan isteri makan bukanlah satu bentuk kerjaya yang terpuji di dalam Islam. Malah ia sebenarnya membantu sistem kapitalis dan menguatkan sistem ekonomi yang mereka anjurkan. Justeru, fikirkanlah....

Jika anda tidak ingin menerima padnagan saya, tidak mengapa tetapi bacalah pendapat ulama besar kewangan Islam sedunia iaitu Syeikh Mufti Taqi Uthmani dalam hal ini:

Forex Currency Trading

By Mufti Muhammad Taqi Usmani
Posted: 11 Zul Qa'Dah 1424, 22 November 2007

Q.) Is Forex Currency Trading halal? I have attached a document detailing the aspects of the business.



A.) I went throught the papers sent by you. I am of the opinion that these transactions are not compliant with Shariah. The very condition that you cannot take delivery of the purchased currency makes it impermissible. Morever, there are other elements according to my knowledge that makes this trade unlawful in Shariah, such as, forward sales, short sales etc. This is in addition to the fact that the currencies are originally a medium of exchange and should only be exchanged for personal use in different countries. To make them a tradable commodity only for earning a profit is also against the basic philosophy of Islamic economics. I would therefore not advise you to indulge in this trade.

Sila Buka Sumber : Forex Trading
Sekian,terima kasih.Wallahua'lam.