H1N1: Dua lagi kematian dilaporkan
Oleh Wan Hazmir Bakar
KUALA LUMPUR; Dua kematian akibat Influenza A (H1N1) disahkan sehingga jam 9 pagi tadi, menjadikan angka korban di seluruh negara sebanyak 76 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata kematian terbaru itu membabitkan wanita berusia 45 tahun di Sabah dan remaja perempuan berusia 19 tahun dari Bentong, Pahang.
Dr Mohd Ismail berkata, pada hari ini sejumlah 156 pesakit baru dengan gejala penyakit seakan influenza telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa sama sejumlah 189 kes telah dibenar keluar.
"Ini menjadikan baki kes ILI yang sedang dirawat di 98 buah hospital termasuk 11 hospital swasta di seluruh negara adalah seramai 881 orang. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, 141 pesakit (19%) telah disahkan positif H1N1," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, 37(26%) kes sedang dirawat di ICU dimana 4 kes merupakan kemasukan baru, sementara 4 lagi kes telah keluar dari ICU.
Daripada 37 kes yang sedang dirawat di ICU, 28(76%) kes mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (9), penyakit respiratori kronik (3), obesiti (6), kanak-kanak bawah 5 tahun (8) dan hamil (2).-Berita Harian(www.bharian.com.my)
Wednesday, September 16, 2009
Terbaru: H1N1
Tuesday, September 15, 2009
Tok Menteri,SIS,JAG,dan lain2 jangan ganggu saya ye.. nanti saya saman kang..
Kartika ambil tindakan jika diganggu
Sep 16, 09 2:03pm
Kartika Sari Dewi Shukarnor, model sambilan yang dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang, memberi notis untuk tidak diganggu.
Kartika, yang reda dengan hukuman yang dikenakan itu serta memohon ia dilaksanakan secepat mungkin, berkata terlalu ramai orang perseorangan, ahli politik, pertubuhan kerajaan dan NGO yang menghubunginya serta berjumpa dengannya serta keluarga sejak kebelakangan ini, dan ini mengganggu kehidupannya sekeluarga selain beliau didesak melakukan pelbagai perkara yang
tidak mahu dilakukan.
"Oleh yang demikian, saya memberi notis bahawa saya tidak mahu diganggu oleh mana-mana orang perseorangan, ahli politik, pertubuhan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan segala perjumpaan yang telah, sedang dan akan dirancang serta apa-apa perhubungan dengan saya sekeluarga hendaklah dihentikan serta-merta," kata Kartika dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui firma guaman Tetuan Adham & Associate hari ini.
Kartika berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengganggu ketenteraman beliau dan keluarganya selepas ini.
Dalam kenyataan itu, beliau menegaskan bahawa beliau amat menyesal dan bertaubat dengan kesilapan yang telah dilakukan.
"Saya tidak akan mempertanggungjawabkan kepada sesiapapun dalam pelaksanaan hukuman sebatan ini," katanya.
Kartika berkata beliau telah mendapatkan khidmat nasihat daripada beberapa peguam sivil dan peguam syarie berkaitan dengan pelaksanaan hukuman sebat ini dan berpuas hati dengan nasihat tersebut.
Beliau juga telah melantik peguam sivil dan syarie dari firma guaman Tetuan Adham & Associate di Ipoh bagi menjaga kepentingan beliau dan keluarganya.
Kartika dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas selepas mengaku salah meminum arak sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.
Pada 24 Ogos lepas, penangguhan hukuman sebat terhadap Kartika dikeluarkan di Kuantan oleh Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Abdul Rahman Yunus bagi menghormati bulan Ramadan. -BERNAMA,malaysiakini
1Malaysia F1 Team sertai Formula Satu tahun depan
1Malaysia F1 Team sertai Formula Satu tahun depan
Malaysia akan membuat penampilan sulung dalam Kejohanan Formula Satu FIA menerusi pasukan sendiri, 1Malaysia F1 Team mulai tahun depan, kata Datuk Seri Najib Razak.
Ketika mengumumkan perkara itu di sini petang tadi, Perdana Menteri berkata pasukan berkenaan akan terdiri daripada rakyat Malaysia termasuk yang mengendalikan ‘pit stop’.
Katanya, dua pemandu pasukan Malaysia itu dijangka diperkenalkan pada 31 Oktober ini selepas tapisan daripada enam calon.
Malaysian Prime Minister Najib Razak (R) along with the country's national car maker Proton Chairman Nadzmi Salleh hold a model of a Formula One car following a press conference in Putrajaya on September 15, 2009. Malaysia will form its own Malaysia F1 team with the Formula One Federation (FIA) having accepted Malaysia's bid to enter the 2010 and future FIA F1 championships, Najib Tun Razak said.“Ini akan pasukan Malaysia dalam erti kata yang sebenarnya, maknanya kereta ini akan direkabentuk, dibuat dan diuji di Litar Antarabangsa Sepang dan adalah kereta buatan Malaysia,” katanya pada sidang media di sini.
Najib berkata, pasukan berkenaan akan dibiayai menerusi gabungan sektor awam dan swasta yang mana pembabitan kerajaan adalah menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Proton Holdings Berhad.
Katanya, pasukan itu turut mendapat kerjasama tiga tokoh korporat iaitu Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes; Timbalannya, Datuk Kamarudin Meranum, dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimudin.
Najib berkata, pasukan F1 Malaysia itu akan menggunakan teknologi Proton dan Lotus dengan bantuan teknikal kepakaran permotoran daripada Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Petronas dan pengeluar produk komposit, Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) dengan bantuan SIC dan Persatuan Permotoran Malaysia (AAM).
Ditanya mengenai kos yang akan dikeluarkan oleh kerajaan dalam projek itu, Najib berkata: “Ia dilakukan melalui Proton, saya tak tahu kalau mereka (syarikat) hendak berikan angka.” Menjawab soalan, Perdana Menteri berkata usaha itu bukan satu pembaziran kerana ia membabitkan sektor swasta dan akan memberi pendedahan yang besar kepada Malaysia khususnya jenama Proton dan Lotus.
“Maknanya kalau kita hendak eksport Proton dan guna enjin Lotus, kita perlu menentukan jenama kita lebih mantap dan dikenali serta diterima di peringkat antarabangsa.
“Ada elemen pemasaran yang kuat di sebalik (projek) ini kerana ia bukan dilihat sebagai satu kegiatan sukan semata-mata tetapi ada unsur pemasaran dan untuk Malaysia seluruhnya,” katanya.
Malah, katanya, usaha berkenaan juga akan turut membawa faedah kepada pengukuhan jenama Air Asia dan Naza di peringkat antarabangsa.
Ditanya sama ada pasukan itu sempat membuat persediaan menjelang kejohanan tahun depan, Najib berkata beliau yakin dengan daya saing pasukan itu.
“Tentunya kita tidak boleh berharap ia (kejayaan) berlaku serta merta, ia bersifat progresif tetapi saya harap suatu hari nanti kita boleh mendengar lagu kebangsaan negara dimainkan (ketika menang), itu impian kita,” katanya.
FIA telah menerima kemasukan Malaysia dalam perlumbaan bertaraf dunia itu mulai tahun depan dan seterusnya selama 10 tahun mengikut kontrak.
Malaysia terbabit dalam perlumbaan F1 sejak 1999 menerusi pembukaan SIC yang berjaya memasuki kalendar perlumbaan F1 dunia menerusi Grand Prix Petronas (Petronas GP) yang mana tahun depan adalah siri ke-11.
-http://www.bharian.com.my
Persoalannya: Dalam situasi semasa,ekonomi negara yang masih pada peringkat pemulihan dan baru hendak meningkat, adakah perlu untuk kita menghabiskan@membazirkan wang berjuta-juta ringgit untuk projek sebegini. Jangka hanya kerana hendak mengwar-warkan gagasan baru seorang pemimpin yang telah terpalit lumpur muka sebelum bergelar PM,wang negara dan rakyat berjuta-juta dibazirkan sebegitu sahaja.Setelah,wujud Amanah Saham Satu Malaysia,lagu rasmi 1 Malaysia dan sekarang 1 Malaysia F1 Team pula..lepas ini tak tahulah apa pula produk berkenaan 1 Malaysia..
Lambaian Aidilfitri-1
Assalamualaikum...
Tidak beberapa hari lagi,insyaAllah umat Islam di Malaysia akan menyambut hari kemenangan yang dinantikan dengan penuh kegembiraan dan gilang-gemilang yakni Hari Raya Eid Al-Fitri. Agenda utama dan wajib bagi setiap keluarga pada awal pagi hari tersebut ialah menunaikan Solat Sunat Eid Al-Fitri. Solat sunat ini hanya setahun sekali didirikan dan sebahagian besar daripada kita mungkin tidak berapa mengingati akan kaifiat(cara-cara) untuk mendirikannya.
Sebelum diperturunkan berkenaan kaifiat mendirikan solat ini molek rasanya kita bersama memahami apa itu eid al-fitri dan yang berkaitan dengannya?.Perkataan eid jika diterjemahkan secara terus bererti hari raya. Dari segi literal ia bermakna kembali. Manakala,al-fitri pula bermakna fitrah.Apabila digandingkan dua perkataan ini ia membawa maksud kembali kepada fitrah. Hari yang mana sekelian manusia kembali kepada fitrah(suci,bersih,ibarat kain putih,asal(tidak melakukan dosa))seperti bayi yang baru dilahirkan. Sepertimana yang disabda Nabi Muhammad s.a.w:
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ما من مولود الا يولد على الفطرة فأبواه يهودانه وينصرانه أو يمجسانه.
Maksudnya: Tiada ada seorang anak yang lahir melainkan dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanya yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.
(Riwayat Al-Bukhari, hadith no. 1359, Fathul Bari Bi Syarah Shahih Al- Bukhari)
وفي روايه: كل مولود يولد على الفطرة فابواه يهودانه او ينصرانه او بمجسانه......
Maksudnya: Setiap anak dilahirkan atas fitrah(keadaan semulajadi) maka kedua ibu bapanyalah yang akan menyahudikan atau menasranikan atau memajusikannya.
(Riwayat Al-Bukhari, hadith no.1296, Fathul Bari Bi Syarah Shahih Al-Bukhari, Juzuk 4 halaman 465).
Dalam maksud yang mudah,apabila masuk ke dalam hari ini,semua manusia akan kembali kepada fitrah iaitu tidak berdosa umpama bayi yang baru lahir dan ini ada dinyatakan Baginda dalam hadith yang lain.
Bila tarikh mula disyariatkan?
Solat sunat hari raya Eid Al-Fitri dan solat sunat hari raya Korban(hari raya haji) disyariatkan pada tahun kedua selepas hijrah.Solat hari raya pertama yang didirikan oleh Rasulullah s.a.w ialah solat sunat Eid Al-Fitri pada tahun kedua hijrah.
Dalil Pensyariatan
Firman Allah s.w.t:
فصل لربك وانحر Maksudnya:Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban(sebagai bersyukur)(Surah Al-Kauthar ayat 2).
Perintah "kerjakanlah sembahyang" para ulama menyatakan solat yang dimaksudkan di sini ialah solat sunat hari raya korban.
Hadith:
"Rasulullah s.a.w keluar pada hari raya puasa dan hari raya korban(haji) menuju ke tempat sembahyang. Perkara pertama yang dilakukan ialah sembahyang. Kemudian Baginda berpaling mengadap orang ramai yang sedang duduk dalam saf-saf mereka.Lalu Baginda memberi nasihat dan mengeluarkan perintah kepada mereka. Sekiranya Baginda ingin memilih satu kumpulan daripada mereka untuk dicetuskan bagi tujuan berjihad, Baginda akan lakukannya. Atau jika Baginda ingin memerintah supaya melakukan sesuatu,Baginda akan perintah.Kemudian Baginda beredar"(Hadith Riwayat Bukhari(913) dan Muslim(889) daripada Abi Said Al-Khudri r.a).
Hukum Solat Hari Raya
-Hukumnya ialah sunat Muakkad(yang dituntut).Ini kerana Rasulullah s.a.w tidak pernah meninggalkannya semenjak disyariatkan sehinggalah Baginda s.a.w wafat dan amalan ini dilakukan berterusan oleh para sahabat s.a.w selepas kewafatan baginda.
-Ia dituntut supaya dilakukan secara berjemaah sebagaimana dalam hadith terdahulu. Walau bagaimanapun,ia tetap sah jika dilakukan secara bersendirian.Tuntutan supaya melakukannya merangkumi semua mukallaf sama ada lelaki atau perempuan,orang yang bermukim atau bermusafir, orang merdeka atau hamba, melainkan perempuan yang berperhiasan atau yang boleh menimbulkan fitnah maka dia hendaklah bersembahyang di rumah.
Waktu Solat Hari Raya
-Bermulanya dengan terbitnya matahari hingga tergelincir.Hujah,hadith riwayat Bukhari daripada Al-Barra r.a bahawa dia berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w berkhutbah dengan sabdanya: "Sesungguhnya perkara pertama yang kita mulakan pada hari kita ini ialah kita mendirikan sembahyang...
Perkara pertama yang berlaku pada setiap hari ialah terbit fajar sedangkan waktu tersebut disibukkan dengan sembahyang Subuh iaitu sebelum terbit matahari dan dengan sembahyang Zohor,selepas gelincir matahari dan waktunya yang afdal(lebih baik) ialah ketika matahari naik sekadar panjang lembing(tinggi segalah) kerana itulah waktu yang selalu didirkan oleh Rasulullah s.a.w.(Kitab Fiqh Al-Manhaji Jilid 1 m/s 226-228)......
Fadhilat Puasa Bagi Kesihatan
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).
Para ilmuwan menganggap berpuasa sebagai fenomena yang penting dan semula jadi, di mana kehidupan yang sempurna dan kesihatan yang baik tidak dapat diperoleh tanpa berpuasa. Apabila seseorang atau bahkan seekor haiwan tidak berpuasa, maka ia akan terjangkit berbagai macam penyakit.
McFadon, seorang ahli kesihatan Amerika, menyatakan: "Setiap orang perlu berpuasa, kerana kalau tidak berpuasa maka ia akan sakit. Sebab racun makanan berkumpul dalam tubuh dan membuatnya seperti orang sakit, memberatkan tubuhnya, dan mengurangkan vitalitinya.
"Apabila ia berpuasa, maka berat badannya menurun, dan racun-racun terurai daripada tubuhnya dan keluar, sehingga tubuhnya menjadi bersih secara sempurna dan sel-sel kembali baik".
Menurut kajiannya, di antara manfaat kesihatan daripada berpuasa ialah:
lMerehatkan tubuh dan memperbaiki saraf.
lMenyerap zat-zat yang mengendap di usus. Pengendapan dalam jangka waktu yang lama mengakibatkan perubahan endapan itu menjadi kotoran yang beracun.
lMemperbaiki fungsi pencernaan dan penyerapan.
lMengembalikan virtaliti organ pembuangan, dan memperbaiki fungsinya untuk membersihkan tubuh, yang mengakibatkan terkawalnya kestabilan dalam darah dan berbagai cairan dalam tubuh.
lMengurai zat-zat yang berlebihan dan endapan di dalam jaringan yang sakit.
lMengembalikan keremajaan dan vitaliti sel-sel serta berbagai jaringan dalam tubuh.
lMenguatkan indera dan meningkatkan IQ.
lMemperelok dan membersihkan kulit.
Alexis Carrel, pemenang hadiah nobel di bidang kedoktoran, dalam bukunya Man the Unknown menyatakan: "Banyaknya bahan makanan dapat melemahkan fungsi organ, dan itu merupakan faktor yang besar bagi berdiamnya jenis-jenis virus dalam tubuh.
"Fungsi tersebut adalah fungsi adaptasi terhadap bahan makanan yang sedikit. Gula pada jantung bergerak, dan bergerak pula lemak yang tersimpan dalam kulit.
"Semua organ tubuh mengeluarkan zat khususnya untuk mempertahankan keseimbangan dalaman dan kesihatan jantung. Berpuasa benar-benar memberikan dan pengganti jaringan tubuh kita".
Allah berfirman yang bermaksud: Kerana itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu. (al-Baqarah: 185).
Sementara Prof. Nicko Lev dalam bukunya, Hungry for Healthy menyatakan: "Setiap orang mesti berpuasa dengan berpantang makan selama empat minggu setiap tahun, agar ia memperoleh kesihatan yang sempurna sepanjang hidupnya".
Seterusnya, menurut penelitian beliau, mukjizat penepatan waktu berpuasa dari matahari terbit hingga matahari terbenam, adalah dengan tidak berlebihan saat berbuka puasa. Penelitian ilmiah membuktikan bahawa jarak waktu yang tepat untuk berpuasa adalah antara 12 hingga 18 jam. Selepas itu, simpanan gula dalam tubuh mulai terurai.
Dreanik dan kawan-kawannya, pada tahun 1964, mencatat sejumlah penyakit komplikasi kritis akibat berpuasa lebih dari 31 hari.
Di sini nampak jelas mukjizat Nabi SAW dalam larangan berpuasa bersambung (tidak termasuk puasa sunat Syawal).
Di samping itu, penelitian ilmiah membuktikan kepentingan makan sahur dan berbuka adalah untuk membekalkan tubuh dengan zat asam lemak dan amino, tanpa kedua zat ini, lemak dalam tubuh kita akan terurai dalam jumlah besar, sehingga mengakibatkan sirosis pada hati, dan menimbulkan berbagai bahaya besar bagi tubuh.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Umatku akan tetap dalam keadaan baik selama mereka menyegerakan berbuka dan mengakhirkan makan sahur." (riwayat Ahmad)
Mengenai bersahur (makan sahur), Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Bersahurlah kamu sekalian, kerana bersahur itu ada keberkatannya. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Waktu bersahur itu selepas pertengahan malam sampai menjelang terbit fajar (waktu Subuh).
Menyegerakan berbuka, iaitu setelah mengetahui waktu Maghrib. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Manusia sentiasa dalam keadaan baik selama mereka menyegerakan berbuka." (riwayat Bukhari dan Muslim).
Berdoa sewaktu berbuka dan sepanjang melaksanakan puasa. Dari Abdullah bin Amr bin As r.a, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya bagi orang yang sedang berpuasa, saat berbuka doanya tidak ditolak". (riwayat Ibnu Majah).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada tiga doa yang tidak akan ditolak Allah, orang yang berpuasa sampai ia berbuka, imam (pemimpin) yang adil dan orang yang teraniaya". (riwayat Tirmizi).
Adapun doa saat berbuka yang bermaksud: "Telah hilang haus dan telah basah tenggorakan, dan telah tetap pahala insya-Allah". (riwayat Tirmizi).
Monday, September 14, 2009
Fatwa-1
Cara pengurusan Mayat Yang Tiada Diketahui Identitinya
Agama islam itu tinggi, mulia dan tidak ada agama yang mengatasinya.
Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam :
الأسلام يعلو ولا يعلى عليه
( رواه البخارى )
Maksudnya : “ islam itu tinggi dan tidak ada yang mengatasinya.”
( Hadis riwayat Bukhari )
Dengan sebab kemuliaan dan ketinggian agama islam, maka orang-orang islam dan Negara-negara islam juga turut menjadi mulia dan mempunyai kehormatan, kerana mereka dibangsakan kepadanya. Kemuliaan dan kehormatan orang-orang islam bukan sahaja semasa hidupnya tetapi juga selepas matinya. Hatta mayat yang tidak diketahui identitinya yang dijumpai atau didapati dalam Negara islam hendaklah diurus sebagaimana mestinya berdasarkan agama mayat itu ( Islam ). Oleh kerana itu para ulama telah meletakkan asas-asas yamg kukuh bagaimana menguruskan jenazahnya, di antara dasar-dasarnya itu ialah :
“ sekiranya dijumpai tengkorak, salah satu anggota mayat atau tubuh badan mayat yang lengkap dalam negeri islam yang tidak mempunyai tanda pengenalan secara pasti adakah anggota mayat itu orang islam atau bukan islam, maka wajiblah mayat atau anggota yang dijumpai itu disempurnakan sebagaimana menyempurnakan mayat orang islam iaitu dimandi, dukafan, disembahyang dan di kebumikan di perkuburan orang islam.”
Di dalam kitab Nihayah Al-Muhtaj menyebutkan :
ولو وجد ميت مجهول أو بغضة ببلادنا صلى عليه إذ الغالب فيها الإسلام
Ertinya : “ Dan jikalau dijumpai mayat yang tidak diketahui pengenalan dirinya atau sebahagian anggotanya di negeri kita ( islam ), ia disembahyangkan , kerana yang lebih ramai di negeri itu orang-orang islam.” ( Nihayah Al-Muhtaj 2/495 )
Manakala di dalam matan kitab Asna Al-Mathalib iaitu kitab Ar-Raudh berbunyi :
ومن وجد ميتا مجهولا أو فى بلاد الاسلام صلى عليه
Ertinya : “ sesiapa menjumpai mayat yang tidak diketahui pengenalan dirinya atau anggotanya, di dalam negeri islam maka hendaklah dia menyembahyangkannya.” ( Asna Al-Mathalib 1/313 )
Di antara alasan atau ‘illah yang dikemukakan ulama mengenai perkara ini kerana orang islam lebuh ramai dan kerana kehormatan negeri islam itu sendiri. Imam As-Syubramalissi menyebutkan bahawa tidak ada perbezaan di negeri yang kebanyakannya orang-orang islam itu – sama ada di situ terdapat tanda-tanda kufur seperti salib atau pun tidak, dan hukum seperti ini berlaku kerana kemuliaan dan kehormatan negeri oran-orang islam itu. ( Nihayah Al-Muhtaj 2/495 )
Manakala Syeikh Ahmad Al-Maghribi menyebutkan bahawa jika yang dijumpai itu tergolong di bawah hukum laqith ( kanak-kanak pungut ), yang tidak di ketahui identitinya dijumpai di negeri orang kafir, tetapi di negeri itu ada juga orang islam, hendaklah mayat itu disembahyangkan. Katanya :
فحكمه حكم اللفيط ، وقضيته أنه إذا وجد بدار الكفر وفيها مسلم أنه يصلى عليه
Ertinya : “ Maka hukum mayat yang tidak diketahui atau anggotanya, adalah sama dengan hukum laqith, dan permasalahannya ialah : “ Apabila ia dijumpai dalam negeri orang kafir dan di itu ada orang islam, sesungguhnya ia adalah disembahyangkan.” ( Nihayah Al-Muhtaj dan kedua-dua Hawasyinya 2/495 )
Dengan berpandukan keterangan ulama-ulama ini, maka mayat yang dijumpai di kawasan belukar Kampong Tungku Rimba itu hendaklah disempurnakan mengikut pengurusan jenazah orang islam iaitu dimandi, dikafan, disembahyang dan dikuburkan diperkuburan orang-orang islam.
Negara asal : Brunei darussalam
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan mufti kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darulssalam
Penulis/Ulama : Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned
Tarikh Diisu : 2000
Nota: Fatwa mufti kerajaan Brunei 2000
Wanita-3-Siri 2
WANITA SELEPAS KEDATANGAN ISLAM
Kedatangan Islam ternyata membawa angina perubahan terhadap nasib golongan Hawa. Mereka tidak lagi dipandang sepi,hina,keji, dan rendah. Kedudukan dan martabat mereka dimuliakan dan dipandang tinggi oleh Islam. Agama Islam melindungi hak mereka yang asalnya tidak mendapat harta pusaka, maka Islam memberi bahagian separuh dari bahagian lelaki (لذكر خط مثل الأنثين) .Selanjutnya, Islam tidak memandang rendah kehadiran anak perempuan dan mengiktiraf kewujudan mereka. Ini boleh dilihat dari kata-kata Nabi s.a.w:
“Barangsiapa yang memiliki tiga anak perempuan,lalu ia melindungi mereka, mengasihi mereka, memelihara mereka dengan baik, ia mesti masuk syurga”
Dalam kitab Riyadhus Solihin tulisan Al-Imam An-Nawawi terdapat beberapa hadith yang juga Rasulullah s.a.w menyatakan fadhilat yang sama bagi mereka yang menjaga, memelihara, dan mengasihi anak perempuan dengan baik sama ada dua orang atau tiga orang dan sebagainya akan mendapat janji syurga Allah s.w.t.
Seterusnya, kita boleh melihat berdasarkan beberapa ayat Al-Quran yang menyatakan bahawa perempuan atau wanita ini sama martabat dan sama menurut pandangan Islam.
97. Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki maupun perempuan dalam keadaan beriman, Maka Sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.(Surah An-Nahl ayat 97)
Ditekankan dalam ayat ini bahawa lelaki dan perempuan yang melakukan amalan soleh dengan keadaan beriman sama-sama akan memperoleh pahala.
Ayat yang lain pula Allah s.w.t berfirman:
195. Maka Tuhan mereka telah memperkenankan permohonannya seruan(doa) mereka (dengan berfirman): "Sesungguhnya Aku tidak akan mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di kalangan kamu, sama ada lelaki mahupun perempuan,kerana setengah kamu adalah keturunan dari setengah yang lain.(Surah Ali-Imran ayat 195)
Ayat di atas ini menerangkan bahawa Allah menerima dan tidak menyesiakan amalan hambaNya lelaki dan perempuan.
Ayat seterusnya ialah ayat ke-35 Surah Al-Ahzab:
35. Sesungguhnya orang- orang lelaki yang Islam dan perempuan-perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman dan perempuan- perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat dan perempuan-perempuan yang taat,dan orang- orang lelaki yang benar dan perempuan-perempuan yang benar, dan orang-orang serta perempuan-perempuan yang sabar, orang-orang lelaki yang khusyuk serta perempuan-perempuan yang khusyuk, dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta perempuan-perempuan yang bersedekah,dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta perempuan-perempuan yang berpuasa,dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta perempuan-perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang banyak menyebut (nama) Allah banyak-banyak, dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.
Hadith Nabi Muhammad s.a.w juga ada menyentuh berkenaan pengiktirafan dan peletakkan kemuliaan kepada perempuan atas status mereka sebagai ibu atau sebagai isteri. Berikut adalah hadith-hadith tersebut:
جاء رجل الى النبى صلى الله عليه وسلم فقال: ما أحق الناس بصحبتي؟ قال: أمك. ثم قال ثم من؟ قال: أمك. ثم من؟ قال:أمك قال: ثم من؟ قال: أبوك.( رواه البخارى)
Maksudnya: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w bertanya: Siapakah orang yang lebih baik(yang lebih yang patut) aku jadikan sahabatku? Jawab Nabi s.a.w: ialah ibumu. Selepas itu dia bertanya lagi kemudian siapa lagi?. Jawab Nabi: Ibumu. Sesudah itu orang itu bertanya lagi, siapa lagi selepas itu?. Jawab Nabi ialah ibumu. Kemudian ia bertanya lagi. Sesudah itu siapa lagi? Rasul menjawab: ialah bapamu.
جاء رجل الى النبي صلى الله عليه وسلم وقال: أريد الجهاد في سبيل الله. فقال له رسول الله(ص): حل أمك حية؟ قال: نعم. قال: ألزم رجلها فثم الجنة.(رواه الطبرانى)
Maksudnya: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w bertanya: Aku teringin hendak berjihad di jalan Allah s.w.t. Maka lantas Nabi s.a.w bertanya: Masih adakah ibumu?. Jawab pemuda itu: Ya, masih ada. Bersabda Nabi s.a.w: Di bawah tapak kaki ibu itu terletak syurga.
Berdasarkan dua hadith yang dibentangkan di atas terdapat beberapa perkara penting yang boleh kita ambil sebagai dalil bahawa sesungguhnya wanita atau perempuan lebih diutamakan dan berkedudukan yang lebih tinggi berbanding lelaki. Dalam hadith yang pertama Rasulullah s.a.w menyebut ibu itu sebanyak tiga kali lebih utama dan lebih baik(yang lebih yang patut) untuk jadikan sahabat berbanding bapa yang hanya disebut sekali sahaja. Dalam sebuah hadith yang lain,ada diterangkan bahawa keutamaan untuk mengutamakan ibu ini boleh membawa kepada peringkat kita mengutamakan ibu itu walaupun kita sedang bersolat. Misal yang mudah untuk menggambarkan dan mengupas keadaan ini ialah hadith yang merekod tentang kisah Juraij . Para fuqaha mengatakan apabila wujud keadaan sebegini maka individu itu perlu meninggalkan solatnya tersebut dan pergi segera menyahut seruan ibu itu dan perlakuan ini dilakukan semasa kita mendirikan solat sunat.Wallah”uallam. Hadith kedua menjelaskan keutamaan berbuat baik, berbakti, dan berkhidmat kepada ibu lebih penting serta lebih utama daripada keluar berjihad dijalankan di jalan Allah(berperang) dan hukum berjihad pada masa itu adalah sunat.
Wanita-3-Siri 1
Mukadimah
Manusia adalah ciptaan Allah yang hebat, unik, dan menakjubkan. Salah satu daripada kehebatan penciptaan manusia ialah Allah mencipta manusia secara berpasangan. Manusia bernama lelaki dicipta berpasangan dengan manusia yang bernama perempuan dan kedua-dua ciptaan ini sama sekali amat berbeza antara satu sama lain. Baik sama ada dari segi fizikal,mental,emosi,dan intelektual.
Wanita, individu yang dicorakkan Allah dengan sifat semulajadi seperti lemah lembut, pemalu, emosi, cantik, dan sebagainya. Manakala dari aspek fizikal penciptaan mereka ini adalah berasal dari tulang rusuk sebelah kiri lelaki yang bersifat bengkok. Hal ini dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya:
1. Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan Mengawasi kamu.
Maksud “dan daripadanya Allah menciptakan isterinya” menurut Jumhur Mufassirin ialah dari bahagian tubuh (tulang rusuk) Adam a.s. berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan muslim. Di samping itu, ada pula yang menafsirkan “dan daripadanya” ialah dari unsur yang serupa yakni tanah yang daripadanya Adam a.s. diciptakan. Ibnu Abbas r.a mengatakan wanita diciptakan dari lelaki dan lelaki itu dijadikan dari tanah.
Di dalam sebuah hadith sahih disebutkan dengan jelas tentang hal di atas. Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
ان المرأة خلقت من ضلع وان أعوج شيء في الضلع أعلاه فان ذهبت تقيمه كسرته وان استمتعت بها استمتعت بها وفيها عوج.
Maksudnya: Sesungguhnya wanita itu dijadikan dari tulang rusuk dan sesungguhnya rusuk yang paling bengkok adalah bahagian atasnya. Maka jika kamu bertindak untuk meluruskannya, nescaya kamu akan membuatnya patah tetapi jika kamu bersenang-senang dengannya bererti kamu bersenang-senang dengannya sedangkan padanya terdapat kebengkokan. (Tafsir Al-Quran Al-Azhim: 2000:J4:425-426).
Muhammad Ishaq memberitahu menerusi Ibnu Abbas r.a, Hawa itu adalah diciptakan dari tulang rusuk kiri Adam di kala Adam sedang tidur. Kenyataan ini sebagaimana yang difirman Allah s.w.t:
189. Dialah yang menciptakan kamu dari diri yang satu dan dari padanya dia menciptakan isterinya, agar dia merasa senang kepadanya. Maka setelah dicampurinya, isterinya itu mengandung kandungan yang ringan, dan teruslah dia merasa ringan (beberapa waktu). Kemudian tatkala dia merasa berat, keduanya (suami-isteri) bermohon kepada Allah, Tuhannya seraya berkata: "Sesungguhnya jika Engkau memberi kami anak yang saleh, tentulah kami terraasuk orang-orang yang bersyukur"
Dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim menyebut hadith riwayat Zaidah menerusi Maisarah al-Asyjai’ menerusi Abi Hazim daripada Abu Hurairah yang menyebutkan Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Saya berpesan agar kamu berlaku baik terhadap wanita, kerana sesungguhnya wanita itu dijadikan daripada tulang rusuk, sedang yang paling bengkok adalah yang paling atas, maka seandainya kamu hendak merosaknya(secara mendadak) nescaya putuslah dia dan seandainya kamu biarkan, maka mestilah bengkok berterusan nescaya itu(sekali-kali) saya berpesan agar kamu berbuat baik kepada wanita”
Dari penerangan hadith tersebut di atas, maka bolehlah disimpulkan bahawa asal kejadian wanita itu berbeza dengan kejadian lelaki. Wanita diciptakan dari tulang rusuk, sedangkan lelaki dibuat dari tanah liat dan ini membezakan antara mereka.
(Mukhlas As-Sharkoni: 1999: 2-3)
Bila ditinjau dari aspek yang lain terdapat perbezaan yang jelas di antara wanita dan lelaki. Perbezaan itu ialah berbeza sifat dan personaliti, susuk tubuh, keistimewaan, keutamaan, pembahagian kerja dan tanggungjawab, perkara-perkara yang bersangkutan dengan hukum-hakam, dan sebagainya. Jika melihat dalam konteks yang lebih luas dan menyingkap sejarah peradaban manusia, golongan wanita diletakkan dan dikategorikan dalam kedudukan yang rendah di dalam masyarakat. Hal ini akan disentuh secara lanjut selepas ini.
Walaupun begitu, apabila datang cahaya yakni Islam, kedudukan dan martabat golongan wanita diangkat dan dimuliakan. Mereka tidak lagi dianggap golongan kelas kedua, malah sama dengan lelaki. Malah dalam beberapa perkara sebenarnya wanita dilebihkan dan diutamakan berbanding lelaki seperti dalam masalah pewarisan dan hal pertembungan antara solat dan sahut atau panggilan ibu,panggilan ibu perlu diutamakan dan perkara init thabit daripada sebuah hadith dalam kitab Riyadus Solihin karangan Al-Imam An-Nawawi ra.h.
Setelah itu,wanita diberi kedudukan dan peranan yang sewajarnya serta mereka tidak di diskriminasi, Islam memberi peluang dan kesempatan yang luas kepada golongan wanita untuk bersama berganding bahu dan bekerjasama dalam pelbagai lapangan. Hasil dari itu lahirlah individu-individu yang hebat dan mampu memberi sumbangan kepada Islam dan masyarakatnya di kalangan kaum Hawa. Antaranya ialah Saydatina Aishah r.a, Saydatina Khadijah Binti Khuwalid, dan sebagainya. Dalam penulisan yang serba ringkas insyaAllah kita akan melihat dengan lebih dekat tentang kedudukan dan peranan wanita dalam sebuah negara Islam.
TAKRIF WANITA
Kamus Dewan Edisi Keempat di halaman 1182 mentakrifkan perempuan adalah wanita dan lawan kepada perempuan adalah lelaki. .(Kamus Dewan:2005:1182)
Dalam kamus yang sama jika merujuk kepada perkataan wanita, ianya juga memberi maksud perempuan dan lawan bagi perkataan wanita adalah lelaki. .(Ibid:2005:1800).
Apa yang boleh kita simpulkan berpandukan dua perkataan di atas, wanita dan perempuan mempunyai maksud yang makna.
Dalam bahasa inggeris perempuan dan wanita disebut female (Kamus Inggeris Melayu Dewan:1992:522). Selain perkataan female, perkataan women dalam bahasa inggeris juga membawa bererti wanita tetapi ianya diperinci tentang takrif itu yang mana women ialah golongan perempuan yang memasuki peringkat dewasa.(adult female human being)(Kamus Inggeris Melayu Dewan:1992: 1920)
Dalam bahasa Arab pula perempuan disebut (مرأة) dan jamaknya ialah(نساء) . Lelaki pula disebut (رجل) dan jamaknya (رجا ل). Di sini kita boleh melihat keistimewaan perkataan mar’ah itu sendiri yang hanya datang dalam bentuk mufrad dan musannah sahaja dan tiada jama baginya.
PEREMPUAN DALAM SEJARAH TAMADUN MANUSIA SEBELUM KEDATANGAN ISLAM.
YUNANI
Pada permulaan peradaban masyarakat Yunani perempuan dipandang suci,bersih,mulia, dan terhormat bila mana tidak pernah meninggalkan rumah. Mereka dikurung dan dijaga ketat serta diharuskan selalu berada di rumah ketika diperlukan. Setelah itu, mereka dipandang hina, dan dicop sebagai najis perbuatan syaitan,. Undang-undang pada masa itu memperlakukan perempuan sebagai barang dagangan yang dijual di pasar-pasar. Hak kemerdekan, hak waris,dan dinafikan hak dalam perkahwinan. Peringkat kemuncak golongan perempuan dijadikan pelacuran dan menjadi bahan tayangan dalam pertunjukkan umum.
RUMAWI
Adapun masyarakat Rumawi mereka akan mengasingkan anak perempuan yang lahir dari keluarganya dan anak tersebut akan di letakkan di bawah jagaan pusat asuhan. Setelah agak besar barulah anak itu diambil semula dan duduk bersama keluarga. Manakala jika anak yang lahir itu cacat,maka anak itu akan dibuang ke kawasan terbuka jauh dari kampungnya supaya bayi itu mati kelaparan atau kehausan atau terbakar kerana terik mentari atau mati kedinginan. Dalam hal harta, anak perempuan tidak berhak memiliki harta penghasilan suami isteri(gonogini) dan harta benda yang terhasi dari usahanya dan harta itu mesti diserahkan kepada pusat asuhan anak perempuan itu semasa kecil. Namun begitu, sewaktu zaman pemerintahan Kaisar berlaku perubahan yang sebaliknya, harta benda yang menjadi milik anak perempuan hanya boleh diwarisi oleh ibu beliau sahaja tetapi bapa ada hak untuk mempergunakannya.
HAMURABBI
Keadaan perempuan di dalam Kod Undang-Undang Hamurabbi, mereka diperlakukan seperti binatang peliharaan dan barangsiapa yang membunuh anak perempuan orang lain maka akan ada hukuman timbal balas yang mana anak orang membunuh itu akan dibunuh juga atau dipelihara sebagai anak kandung sendiri oleh individu yang telah dibunuh anaknya.
YAHUDI
Ada beberapa golongan orang Yahudi berpendapat bahawa darjat seluruh wanita adalah setaraf babu. Bapa berhak menjual anak perempuannya. Harta benda bapa tidak diwarisi anak perempuan kecuali bilamana bapa itu tidak memiliki anak lelaki. Orang Yahudi juga menganggap wanita, manusia yang terlaknat, dikutuk Tuhan,hujah mereka berkenaan kisah Adam dan Hawa. Selain itu, terdapat dalam kitab Taurat bahawa orang-orang yang baik di sisi Allah ialah orang yang menjauhi diri dari perempuan. Peribahasa Yahudi pula ada menyebutkan “Seorang dalam seribu orang lelaki memang ada seorang di antaranya yang baik tetapi perempuan tidak pernah ada.
(Dr Mustafa Siba’i: 1986: 3-10)
ARAB
Masyarakat Arab Jahiliyah berpendapat perempuan adalah benda yang tidak berguna dan hanya layak dijadikan alat pemuas nafsu serakah yang bersifat kebinatangan dan kesyaitanan sahaja. Mereka tidak berhak mendapat harta pusaka. Paling menyedihkan anak perempuan ini ada yang ditanam hidup-hidup selepas dilahirkan dan ianya diamalkan oleh sebilangan kecil dari puak arab jahiliyah.
(Nukilan Mohd Zamri Abdul,Peranana Wanita Dalam Sebuah Negara Islam)
Wallahual'am
Persoalan Fiqh Semasa(Fiqh Muasirah/Muasarah)
PENGKID DAN ISU SEMASA DALAM ISLAM
Beberapa bulan yang lalu Majlis Fatwa telah mengeluarkan fatwa mengharamkan pengkid dan berikut adalah kenyataan akhbar yang telah diberikan oleh majlis tersebut:
“Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan perlakuan ‘pengkid’ atau wanita yang menampilkan diri menyamai lelaki sama ada dari segi pergaulan, tingkah laku, atau berpakaian, haram dan dilarang sama sekali. Pengerusinya yang juga Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia(USIM), Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata pengharaman itu dibuat berdasarkan perkembangan terkini di kalangan remaja perempuan yang cenderung mengamalkan cara hidup lelaki. Beliau berkata fenomena ini menjadi isu serius di kalangan anak gadis di negara ini dan ia perlu ditangani segera supaya tidak berkembang hingga sukar di atasi pada masa depan. “Majlis Fatwa mendapati isu pengkid kini semakin ketara. Remaja perempuan kini lebih gemar dengan cara hidup lelaki dari segi pergaulan, perbuatan, dan berpakaian, yang bukan saja bertentangan dengan fitrah asal, tetapi cuba menafikan hak kewanitaan. Lebih membimbangkan pengkid kini sudah melarat kepada perkara yang berkaitan seksual dengan meminati sama jenis”. Sehubungan itu, Dr Abdul Shukor meminta ibu bapa, keluarga, dan masyarakat menasihatkan golongan terbabit supaya tidak melakukan perkara yang menyalahi ajaran Islam”
(Petikan dari Akhbar Berita Harian: 24 Oktober 2008 bersamaan 24 Syawal 1429 muka hadapan dan muka surat empat)
Pengharaman budaya tomboy dan pengkid oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan kali ke -83 di Kota Bharu pada 24 Oktober 2008 baru- baru ini mendapat kritikan pedas daripada beberapa golongan masyarakat dan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO). Isu pengharaman pengkid masih panas diperkatakan dan tidak sesuai dipolemikkan. Senario penyerupaan wanita kepada lelaki ini merupakan satu realiti krisis kehilangan identiti yang amat ketara. Penyerupaan yang dimaksudkan bukan sahaja melibatkan penampilan luaran, tetapi turut mempengaruhi orientasi seksual mereka yang lebih cenderung kepada kaum sejenis. Gejala ini bukanlah sesuatu yang baru, namun jika ditelusuri susur galur asal- usulnya ia sudah lama wujud semenjak sejarah awal tamadun manusia lagi sekitar tahun 625 hingga 750 sebelum masihi. Tersebut dalam lipatan sejarah Greek purba, sudah muncul watak seorang lesbian bernama Sappho, penyair wanita yang memuja- muja kaum sejenisnya melalui nukilan bait- bait puisi. Beliau yang dianggap sebagai pengasas falsafah lesbian telah menjalin hubungan cinta dengan murid perempuannya. Kemudian kes Rosdi Ahmad atau nama sebenarnya Azizah Abd.Rahman yang menipu pegawai agama bagi menikahi wanita daripada Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan pada tahun 1996 merupakan satu kes bagaimana pengkid cuba menjustifikasi personaliti yang dimilikinya sebagai satu- satunya cara melindungi perempuan lain. Peristiwa Oktober 1996 yang membawa kepada penangkapan beliau di Klang membawa kita kepada dilema yang sama sekali lagi selepas dua belas tahun. Rosdi adalah kegemparan di bawah isu pengkid. Kini ia timbul lagi dengan pendedahan yang meresahkan. (Azlin Mohd Hamin, 2009:27).
2.4.1 DEFINISI PENGKID
Pengkid mempunyai apa yang dikatakan sebagai dual personality iaitu mempunyai karakteristik perempuan dan pada masa yang sama meniru karakter lelaki dalam segala hal. Ia dianggap oleh ahli psikologi sebagai masalah mental dan memerlukan bantuan psikoterapi bagi tujuan pemulihan (Zamri Mohamad, 2009:16).
Wanita pengkid memiliki fizikal tubuh seperti lelaki, menjalin hubungan intim dengan wanita sehingga ada di kalangan mereka yang melakukan hubungan seks, membengkung payudara, dan mengangap diri mereka seperti lelaki yang boleh melindungi pasangan wanita mereka. Ciri wanita pengkid sedikit sebanyak menyamai ciri wanita tomboi. Cuma wanita tomboi masih mempunyai perasaan terhadap lelaki dan mereka hanya meminati aktiviti lasak dan bersikap kasar seperti lelaki (Zulkifli Mohamad Al- Bakri, 2008:50).
Walaupun perwatakan tomboi dan pengkid hampir sama dari segi 'penyamarannya', tetapi yang membezakan di antara keduanya adalah naluri atau keinginan mereka terhadap pasangan. Tomboi bersikap seperti lelaki, tetapi naluri seks masih lagi seperti perempuan dan menyukai pasangan lelaki. Manakala lesbian pula berpakaian masih sebagai wanita tetapi keinginannya cenderung kepada wanita atau kaum sejenis. Oleh itu, golongan lesbian agak susah untuk dikenal pasti kerana pada zahirnya mereka sama sahaja dengan perempuan- perempuan lain.
Ketiga- tiga golongan ini mempunyai kecelaruan identiti. Secara rasionalnya, pengkid dan pasangannya lebih mudah dikategorikan sebagai lesbian kerana masing- masing sukakan perempuan yang mempunyai penampilan feminin atau menyukai perempuan berpenampilan maskulin. Menurut Profesor Madya Dr. Mariani Md. Nor, pensyarah Universiti Malaya, tomboi pula ada potensi menjadi pengkid sekiranya sentiasa bergaul dengan wanita yang boleh mendorong keinginannya meminati wanita, di tambah dengan kecenderungannya berpenampilan seperti lelaki. Tetapi jika pergaulannya cenderung bersama lelaki, kemungkinan tidak mempengaruhi seseorang tomboi itu untuk menjadi pengkid (Zalmimazura Zahari, 2009:24).
2.4.2 PENGHARAMAN PENGKID
Di kalangan para sarjana Islam,hubungan luar tabi’i yang berlaku di antara seorang wanita dengan wanita lain dinamakan sihaq atau musahaqah . ia merupakan perbuatan yang bertujuan memuaskan nafsu seks masing- masing dengan cara yang tertentu (Enakmen Undang- Undang Kanun Jenayah Syariah (11) 1993, (Hukum Hudud), Negeri Kelantan, fasal 19). Amalan sihaq atau musahaqah merupakan amalan terkutuk di dalam Islam. Tidak ada ulama’ yang mengatakan iainya sesuatu yang halal di sisi syara’. Pengharamannya merujuk kepada firman Allah di dalam surah al- Mukminun, ayat 5-6 dan sebuah Hadith Rasulullah saw yang bermaksud: seorang lelaki janganlah melepaskan nafsunya kepada seorang lelaki di dalam sehelai kain dan seorang perempuan janganlah melepaskan nafsunya kepada seorang perempuan yang lain dalam sehelai kain (Nail Authar,6:16). Maksud Hadith ini amat jelas menunjukkan pengharaman liwat dan musahaqah di antara seorang perempuan dengan pasangan perempuannya (Dr Hj. Mat Saad Abd Rahman:2008:106-107).
Menurut pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Al- Quran dan Al- Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Azwira Abdul Aziz, fatwa pengharaman pengkid tidak seharusnya dipersoalkan lagi kerana boleh dikatakan semua ulama sama ada jalur hadis atau fikah atau dari pelbagai aliran mazhab, telah sepakat mengatakan penyerupaan atau penipuan gender adalah suatu perkara yang haram. Tidak kiralah sama ada penyerupaan wanita terhadap lelaki atau penyerupaan lelaki terhadap wanita. (Zalmimazura Zahari, 2009:24).
Dari sudut hukum asal, pengharaman pengkid adalah jelas dan tiada khilaf di kalangan ulama pun. Tamadun awal kegemilangan Islam ada merakamkan kewujudan kelompok wanita menyerupai lelaki atau lelaki menyerupai wanita ini dalam beberapa hadis sahih. Baginda Rasulullah s.a.w dengan hikmahnya telah menggariskan beberapa kaedah yang proaktif dan tegas sebelum gejala negatif itu menular ke dalam masyarakat.
Pernah suatu ketika baginda berada di dalam rumah Ummu Salamah, baginda terdengar seorang mukhannah ( mak nyah) berkata kepada adik Ummu Salamah: "Sekiranya Allah memberi kemenangan kepada kamu ke atas Taif esok, nescaya aku akan tunjukkan kepadamu anak perempuan Ghailan, yang bila dilihat dari hadapan ( badannya) berbelang empat dan bila dilihat dari belakang (badannya) berbelang lapan." Mendengar kata- kata itu, Nabi s.a.w berkata: " Halau mereka (mak nyah) keluar dari rumah kamu." (al- Bukhari, no:5887 dan 6834).
Ini membuktikan syariat Islam mempunyai prinsip yang tegas bagi mengharamkan penyerupaan gender antara kaum lelaki dan perempuan. Nabi s.a.w bersabda: " Rasulullah s.a.w. melaknat lelaki yang meyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki ( Al- Bukhari, no:5435). Laknat adalah suatu hukuman yang berat bagi kesalahan yang berat pada pertimbangan syariat Islam. Lantas, tiada khilaf di kalangan ulama dalam mengharamkan kedua- dua perkara tersebut. Dengan kata lain, hukum wanita menyerupai lelaki sama haramnya dengan hukum lelaki menyerupai wanita. Bahkan tindakan tegas juga dikenakan ke atas kedua- dua mereka.
Dalam hal ini diterangkan dengan lebih lanjut oleh al- Hafiz Ibn Hajar al- Asqalani yang memetik kata- kata Ibn at- Tin yang bermaksud:" Yang dimaksudkan dengan laknat dalam hadis ini ialah penyerupaan dari segi pakaian. Adapun jika penyerupaan itu sampai ke tahap melakukan hubungan kelamin luar tabii, maka celaan dan hukuman lebih berat berbanding yang tidak sampai ke tahap itu." ( Al- Asqalani,Fath al-Bari BiSyarh Sahih al- Bukhari, 10:333).
Dalam sebuah hadis lain, Nabi s.a.w. pernah didatangi oleh seorang mak nyah yang menginaikan tangan serta kakinya, lalu baginda memerintahkan individu tersebut dibuang ke Daerah An- Naqi'( sebuah kawasan pedalaman di mana aktiviti jual beli kambing dijalankan)." Dalam hadis itu, si sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w, "Bukankah lebih baik dibunuh sahaja?" Nabi s.a.w menjawab:"Sesungguhnya aku dilarang membunuh orang yang bersolat."(Riwayat Abu Daud, No. 4928.) Tindakan buang daerah seperti yang dilakukan oleh Nabi s.a.w itu turut dilakukan oleh Khalifah Umar al- Khattab r.a terhadap beberapa individu mak nyah dan pengkid di zaman pemerintahannya. (Zalmimazura Zahari, 2009:24).
2.4.3 KESIMPULAN
Sedar atau tidak, golongan pengkid secara langsung melakukan dua jenayah iaitu jenayah syariah dan jenayah yang boleh meruntuhkan institusi keluarga. Jika tidak dibendung, gejala ini boleh membuka kepada jenayah yang lebih besar. Oleh itulah fatwa pengharaman pengkid dikeluarkan bagi menyelamatkan orang Islam, malah gejala ini juga ditolak oleh agama lain.Dalam hal ini, semua pihak memainkan peranan yang penting dalam membasmi gejala pengkid. Pelaksanaan"amar ma'ruf nahi mungkar" mesti disebarkan secara lebih menyeluruh. Implikasi buruk gejala pengkid perlu didedahkan melalui siaran media massa kerana gejala ini bercanggah dari segi nilai agama, moral, serta budaya masyarakat timur. Di samping itu, secara peribadinya penulis merasakan adalah perlu digubal dan diwujudkan satu peruntukan seksyen yang khusus kesalahan pengkid ini dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri supaya kerisauan yang dinyatakan oleh pengerusi majlis fatwa dalam sidang akhbar beliau ketika menghebahkan fatwa pengharaman pengkid tidak akan menjadi lebih parah dan menjadi satu realiti pada masa hadapan. Sepertimana yang biasa dituturkan dalam satu kata hikmah “Mencegah Itu Lebih Baik Daripada Merawat”, maka adalah berpatutan sekiranya langkah penguatkuasa melalui undang-undang dilaksanakan
(Petikan dari penulisan ilmiah "Pesalah Berulang Syariah Lelaki Berlagak Seperti Perempuan: Analisa Seksyen 72 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 Menurut Perspektif Para Pegawai Syariah Negeri Melaka Kajian Kes Di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Melaka Tengah Melaka"tulisan Mohd Zamri Abdul Hazis,2009 m/s 35-39)
Wanita-2
6 JENIS WANITA MALANG
“Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang Ananah, yang Mananah, dan yang Hananah, dan jangan engkau kahwini yang Hadaqah, yang Baraqah dan yang Syadaqah.”
Wanita Ananah:banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.
Wanita Mananah:suka membangkit-bangkit terhadap suami. Wanita ini sering menyatakan, “Aku membuat itu keranamu”.
Wanita Hananah: menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.
Wanita Hadaqah: melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.
Wanita Baraqah: ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagianya.
Wanita Syadaqah: banyak cakap tidak menentu lagi bising.
Dicatat oleh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali
Nukilan Drs Idham Lim..