Monday, June 11, 2012

Dua syarat utama ibadat diberkati

BOLEH dikatakan semua orang yang beriman mempunyai keinginan dan hasrat untuk mendapatkan ganjaran pahala, balasan yang baik, kebahagiaan pada hari kebangkitan, al-falah (kejayaan) di dunia dan di akhirat, dan yang paling kemuncak ialah keredaan Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Esa. Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah menyekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya” (Surah al-Kahfi ayat 110). ... Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah menyekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. - Al-Kahfi, ayat 110 Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan solat), dan beribadahlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)” (Surah al-Hajj ayat 77).




Berdasarkan kedua-dua ayat ini, jelaslah bahawa untuk mendapatkan semua keinginan yang dinyatakan di atas, ada dua syarat utama yang perlu dilaksanakan oleh seseorang Muslim. Pertama, mengerjakan amal ibadat dan amalan-amalan kebajikan, dan kedua, tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu makhluk yang lain.



Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim, kedua-dua perkara ini adalah rukun dalam penerimaan sesuatu ibadat yang dikerjakan itu. Maksudnya, sesuatu amal ibadat itu perlu dilakukan dengan penuh ketauhidan dan keikhlasan kepada Allah SWT. Selain itu, ia juga hendaklah mematuhi syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.



Sebenarnya, hal ini bertepatan dengan peristiwa yang menjadi sebab penurunan ayat 110 daripada Surah al-Kahfi. Diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Ibn Abi al-Dunya daripada Tawus bahawa seorang lelaki berkata: “Ya Rasulullah! Aku ini seorang yang tabah dalam berperang dan sangat mengharapkan keredaan Allah SWT. Namun pada masa yang sama aku juga ingin kedudukanku dilihat oleh orang lain.” Rasulullah SAW tidak sedikit pun memberikan respons berhubung perkara ini sehingga turunlah ayat 110 daripada Surah al-Kahfi sebagai pegangan kepada orang yang mengharapkan keredaan Allah SWT (Dipetik daripada al-Suyutiy dalam Lubab al-Nuqul fi Asbab al-Nuzul, No. Hadis 590).



Dalam sebuah hadis lain, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abi Salih daripada Ibn ‘Abbas ra ada menyatakan bahawa Jundub bin Zuhayr apabila bersolat atau berpuasa atau bersedekah, dia menginginkan orang lain menyebut dan memujinya. Dalam hal ini, dia lebih mengutamakan pujian manusia daripada mengharapkan keredaan Allah SWT. Berhubung peristiwa inilah Allah SWT menurunkan ayat 110 daripada Surah al-Kahfi ini (Dipetik daripada al-Syawkaniy dalam Fath al-Qadir).



Kedua-dua hadis ini menerangkan bahawa ketidakikhlasan dalam melakukan sesuatu amal kebaikan menyebabkan seseorang Muslim itu terhalang daripada mendapat keredaan Allah SWT. Apabila dia tidak mendapat keredaan Allah SWT, maka dia tidak akan mendapat al-falah.



Hal ini dijelaskan juga dalam sebuah hadis lain, iaitu hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT kerana hendak mencari keredaan manusia, Allah SWT akan memurkainya dan menjadikan setiap orang yang meredainya itu benci terhadapnya. Sesiapa yang mencari keredaan Allah walaupun dibenci oleh manusia, nescaya Allah SWT akan meredainya dan menjadikan setiap yang membencinya itu reda terhadapnya sehingga keredaan Allah SWT itu menghiasi dirinya, percakapannya dan amalannya. Dalam hal ini dia mendapat perhatian Allah” (Riwayat al-Tabrani, No. Hadis 11696).



Sebenarnya hadis ini menerangkan mengenai dua perkara, iaitu keredaan dan kemurkaan Allah SWT. Keredaan Allah SWT dapat menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Asas keredaan itu ialah berdasarkan kepada perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Allah SWT walaupun ia bertentangan dengan kemahuan manusia. Kemurkaan Allah SWT pula akan mengundang balasan buruk di dunia dan di akhirat. Ia bergantung pada amalan buruk manusia, iaitu perbuatan yang bertentangan dengan al-Quran dan hadis.



Dengan kata lain, sesiapa yang berusaha mendapatkan keredaan Allah SWT, maka Allah SWT akan menolong dan memeliharanya serta mendapat perhatian-Nya. Bagi sesiapa yang mengharapkan keredaan makhluk pula, iaitu dengan membuat perkara yang dimurkai oleh Allah SWT, maka Allah SWT tidak akan memberikannya pertolongan dan perhatian-Nya. Dengan ini, dia tidak akan bahagia di dunia dan di akhirat.



Jelas di sini bahawa setiap amalan kebaikan yang dilakukan dengan penuh ketauhidan, keikhlasan dan mematuhi syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW, maka ia akan diredai Allah SWT. Setelah mendapat keredaan Allah SWT, seseorang hamba itu akan mendapat al-falah di dunia dan di akhirat sebagai hasilnya.



Sebenarnya, keredaan Allah SWT dan Rasul-Nya saja yang boleh menentukan kedudukan seseorang manusia sama ada mulia atau hina. Malah keredaan Allah SWT dan Rasul-Nya itulah keredaan yang hakiki. Ia patut dicari oleh setiap manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Mereka bersumpah kepada kamu dengan (nama) Allah untuk mencari keredaanmu, padahal Allah dan rasul-Nya itulah yang lebih patut mereka cari keredaan-Nya jika mereka adalah orang yang beriman” (Surah al-Tawbah ayat 62).

Ibu tidak pernah jemu 'menuai' kasih

Oleh Imam Muda Hizbur Rahman


bhagama@bharian.com.my

2012/06/12

Laksana amanah didik anak sejak dalam kandungan hingga dewasa



WAHAI anakku, jauh sebelum dirimu hadir dalam kehidupan ayah dan ibu, kami sentiasa bermohon kepada Allah SWT supaya dikurniakan keturunan yang soleh dan solehah, taat kepada Allah, berbakti kepada orang tua, rajin beribadah, belajar, serta dapat menjadi penerus dakwah Islam. Banyak rencana yang kami rancang supaya kelak bila kau hadir, kami sudah siap menjadi orang tua yang baik dan mampu mendidikmu dengan didikan sesuai agama Islam, tuntunan kita seperti dicontohkan Rasulullah SAW kepada kita. Ayah dan ibu ingin kelak apabila Allah mengamanahkan kepada kami seorang puteri, maka dia akan berakhlak seperti akhlak Fatimah, puteri Rasulullah SAW, dan apabila Allah mengamanahkan seorang putera, maka dia akan seperti Saidina Ali.



Setelah tanda kehadiranmu mulai jelas, ibu sering mual, muntah-muntah, sakit kepala dan mahu pengsan. Ibu dan ayah bersyukur kepada Allah atas kurniaan-Nya, kami menjagamu sepenuh hati, serta sentiasa berharap, kelak dirimu lahir sebagai anak yang sihat, sempurna dan menyenangkan.



Sejak dalam rahim, kami cuba menanamkan kalimat tauhid kepadamu dan berupaya mengenalkanmu kepada Sang Pencipta, dengan bacaan ayat suci-Nya, senandung selawat Nabi, nasyid membangkitkan semangat dakwah dan rasa keimanan kepada Allah yang Esa.



Saat kau akan lahir, ibu merasakan sakit amat sangat, seolah-olah berada antara hidup dan mati, namun ibu tidak mengeluh dan putus asa, kerana bayangan kehadiranmu, lebih ibu rindukan dibanding sakit yang dirasakan.

Ibu tak henti-henti berdoa, memohon ampunan dan kekuatan kepada Allah. Ayah pun tidak tidur beberapa malam untuk memastikan kehadiranmu, menemani dan menguatkan ibu, supaya sanggup melahirkanmu dengan sempurna. Bacaan zikir dan istighfar, mengiringi kelahiranmu.



Begitu kau lahir, rasa sakit dilupakan begitu saja. Setelah tangismu terdengar, seolah kebahagiaan hari itu hanya milik ibu dan ayah. Air mata yang tadinya hampir tak henti mengalir kerana menahan sakit, berganti menjadi senyum bahagia menyambut kelahiranmu.



Ibu dan ayah bersyukur kepada Allah SWT, kemudian ayah melantunkan bacaan azan dan iqamah di telingamu, supaya kalimat pertama kau dengar adalah kalimat tauhid yang harus dirimu yakini dan taati selama hidupmu.



Ibu berasakan kebahagiaan menyusukanmu, memastikan anaknya tidak lapar dan membesar sihat. Ibu selalu bersedia memberikan air syurga kurniaan Ilahi kepadamu.



Ibu berusaha menjagamu walau dalam keadaan apapun. Saat malam sedang tidur lelap, ibu akan terjaga bila kau tiba-tiba menangis kerana lampinmu basah atau lapar. Saat sedang makan dan dikau buang air besar, ibu dengan rela menghentikan makan dan mengganti pakaianmu dulu. Semuanya ibu lakukan dengan senang hati, tanpa rasa susah dan jijik.



Sejak dirimu masih dalam buaian, ibu membacakan doa dalam setiap kegiatan kau lakukan. Ibu bacakan doa hendak makan ketika dikau hendak makan, doa hendak tidur ketika dirimu hendak tidur, dan doa apa saja yang harus dikau tahu serta amalkan dalam kehidupan seharianmu.



Ibu bacakan selalu ayat Kursi dan surah pendek satu persatu setiap malam, di kala menghantarmu tidur, ayat demi ayat dan ibu ulang berkali-kali hingga dirimu dapat mengingatinya dengan baik, dengan harapan dirimu besar nanti menjadi penghafaz al-Quran.



Ketika dikau sudah mampu berbicara, Subhanallah, tanpa kami duga dirimu telah menghafal pelbagai macam doa dan beberapa surah pendek. Ibu bersyukur dan bangga kepadamu. Muncul harapan dalam hati ini, kelak dikau tumbuh menjadi anak yang pintar dan rajin belajar.



Tatkala dirimu mulai belajar solat, walau dengan bacaan yang masih belum sempurna, bercucuran air mata ibu kerana kau telah mampu melafazkan doa itu.



Timbul harapan di hati yang paling dalam, kelak hingga ketika ibu dan ayah tiada, dikau tetap melantunkan doa itu, kerana doamu akan memberikan kepada ibu dan ayah pahala tak henti-henti di hari akhirat. Kaulah aset masa depan bagi ibu dan ayah.



Saat dikau memasuki usia sekolah, kami carikan sekolah yang baik untukmu. Sekolah yang memiliki visi pendidikan seperti yang ibu dan ayah inginkan. Alhamdulillah, saat dirimu mulai bersekolah, telah banyak didirikan sekolah Islam.



Apabila ibu dan ayah tidak mahu melayanimu untuk hal yang sudah dapat dirimu lakukan sendiri, itu bukan bererti kami tidak menyayangimu. Ibu dan ayah sayang sekali padamu, dikau tidak boleh terlalu dimanjakan hingga saat dirimu besar nanti, dikau jadi anak yang berdikari dan serba boleh.



Maafkan ibu dan ayah apabila sesekali atau sering memarahimu ketika dikau membuat kesalahan yang berulang. Sebenarnya ibu dan ayah tidak ingin memarahimu, namun kami sedar dikau perlu tahu dan dapat membezakan mana yang benar, mana yang salah.



Inilah harapan ibu dan ayah kepadamu, sangat banyak dan sangat ideal. Oleh kerana itu, kami sentiasa memohon petunjuk dan bimbingan dari Allah Yang Esa, yang Berkuasa dan Maha Agung, supaya tidak salah langkah dalam mendidikmu.

Wednesday, January 4, 2012

Kos tinggi punca lambat kahwin?

Oleh NOOR AZIAH MOHD. AWAL

--------------------------------------------------------------------------------

PADA musim cuti sekolah dan cuti perayaan, perkara yang paling banyak diadakan adalah majlis perkahwinan. Pada masa inilah juga katerer mendapat rezeki melimpah ruah, maklumlah kenduri kahwin bukan kecil-kecilan.

Di Malaysia, trend majlis perkahwinan di hotel atau dewan telah mengganti majlis yang biasanya diadakan di rumah.

Orang kampung pun sudah pandai kenduri dengan menempah makanan. Jika dulu tuan rumah menghantar tepak menjemput tetapi hari ini ada kad, ada yang pakai emel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk jemput ke majlis perkahwinan. Ke mana pergi adat budaya kita?

Dulu orang bagi bunga telur tanda terima kasih tuan rumah kepada tetamu, hari ini ada yang bagi gula-gula, coklat, buah, kek dan berbagai hiasan termasuk rantai kunci dan sapu tangan.

Semua perubahan majlis perkahwinan bermula daripada persedian hingga ke majlisnya menunjukkan masyarakat Melayu Islam Malaysia yang melalui proses perubahan dan yang pasti kelihatan semakin mewah.

Namun berapa ramaikah yang benar-benar tahu tentang hukum pernikahan dan hukum mengadakan kenduri atau walimatulurus?

Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab mengadakan majlis dan siapa yang perlu mengeluarkan belanja? Yang pasti, ramai pasangan yang mahu berkahwin, digamit rasa khuatir kerana perkahwinan memakan belanja yang tinggi. Akhirnya, tunda majlis kerana tidak cukup wang.

Adakah perkahwinan itu majlis kenduri atau majlis akad nikahnya? Adakah kenduri itu wajib diadakan?

Pernikahan adalah akad yang ditetapkan oleh syarak bagi membolehkan seorang lelaki menikmati hubungan kelamin dengan seorang perempuan dan sebaliknya.

Perkahwinan adalah satu ibadah dalam Islam sebagaimana dalam surah ar-Rum ayat 21. Demikian juga sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Nikah adalah sunnahku dan barang siapa yang tidak suka sunnahku, maka dia bukanlah dari umatku". (riwayat Ibnu Majah)

Perkahwinan menjadi fardu jika seseorang itu yakin bahawa jika dia tidak berkahwin maka dia akan tercebur ke lembah perzinaan. Selain itu, dia juga mampu melunaskan mahar atau mas kahwin, mampu memberi nafkah isteri zahir dan batin.

Perkahwinan adalah sunat bagi seorang lelaki normal yang jika tidak berkahwin tidak akan melakukan zina dan dia juga tidak akan menganiaya isterinya jika berkahwin.

Pernikahan adalah makruh bagi sesaorang yang takut atau bimbang jika dia berkahwin dia akan menganiaya isterinya kerana tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi atau perangai yang kasar atau tidak berminat kepada wanita. Perkahwinan adalah haram jika dia yakin dengan perkahwinannya dia akan menzalimi isterinya seperti tidak mampu menanggung nafkahnya atau tidak mampu mengadakan hubungan seks.

Perkahwinan juga bukan sekadar kendurinya saja. Hari ini, orang tidak tanya berapa mahar atau mas kahwin pengantin perempuan kerana ia telah ditetapkan (ikut ketetapan negeri) dan orang mampu mengadakannya.

Sebaliknya, tetamu menjeling-jeling wang hantaran dan mengira jumlah dulang yang dihantar. Bukan itu saja, ada yang sanggup membelek-belek barangan yang dihantar hendak menentukan kualiti; tulen atau tiruan.

Ibu bapa sanggup berbelanja ratusan ribu ringgit malah ada pasangan muda yang sanggup berhutang untuk memastikan kenduri perkahwinan menjadi paling meriah dan paling mahal.

Memanglah, pasangan mempelai mahu majlis perkahwinan mereka paling istimewa dan unik sebagai tanda cinta mereka. Namun berapa ramai yang tahu bahawa dalam satu majlis perkahwinan, akad nikah itu wajib dilaksanakan kerana ia berlandaskan syarak.

Tanpa akad nikah maka tiadalah majlis perkahwinan. Orang dah kenyang makan dan balik tetapi pengantin belum lagi sah suami isteri kecuali pasangan telah selamat diakad nikahkan.

Apa yang berlaku hari ini, pasangan mendahulukan semua yang adat seperti membelanja wang untuk hantaran, membeli barang hantaran, membeli bunga telur atau apa-apa buah tangan untuk tetamu, menempah mak andam beserta pelamin, baju dan hiasan perkahwinan.

Pasangan hanya berbelanja RM300 sebagai mas kahwin atau mahar berbanding RM50,000 untuk yang lain-lain sedangkan ia hanya adat, bukannya wajib. Malah ia boleh menimbulkan riak kerana rasa ingin menunjuk-nunjuk dan pembaziran.

Menurut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002 mas kahwin adalah pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang.

Bagi memastikan suatu perkahwinan itu sah berlaku dan memenuhi kehendak hukum syarak, pasangan hendaklah diakadnikahkan oleh wali atau oleh pendaftar dengan kebenaran wali dan disaksikan oleh dua saksi.

Pasangan mestilah seorang lelaki dan seorang perempuan dan pengantin lelaki hendaklah membayar mas kahwin kepada pengantin perempuan.

Alangkah mudahnya majlis pernikahan tersebut dan hari ini pasangan telah boleh bernikah dengan mempunyai minimum RM500 kerana jika maharnya RM300, upah nikah dan sedikit yang lain, pasangan boleh diakadnikah dengan selamat.

Tentunya ramai yang berkata "tidak mungkin" kerana hari ini hantaran mencecah RM20,000 (bagi seorang anak gadis yang berkelulusan ijazah pertama tidak termasuk artis, orang kenamaan dan sebagainya).

Itu tidak termasuk harga barang hantaran seperti cincin pertunangan dan cincin perkahwinan (ada juga yang memberi rantai dan gelang emas) kasut, baju, bag tangan, minyak wangi dan lain-lain barangan sokongan sebagai hantaran.

Ada pasangan berbelanja RM5,000 ke 10,000 untuk hantaran sahaja. Majlis kenduri jika berlangsung di hotel, kosnya kepada berapa jemputan dan jenis makanan yang dihidangkan dan tidak kurang daripada RM50,000.

Barang-barang lain yang sangat mahal adalah pelamin, baju pengantin dan bunga telur dan hadiah kepada tetamu. Jika dijumlahkan dari bertunang hingga s akad nikah, ada pasangan membelanjakan RM100,000.

Ada yang membelanjakan wang simpanan, ada yang membelanjakan duit ibu bapa yang bergadai bergolok untuk majlis anaknya kerana takut malu dan mahu menjaga air muka dan nama. Lebih malang, pengantin lelaki yang terpaksa meminjam wang bank, koperasi atau kawan kerana wang simpanan tidak mencukupi.

Ramai yang terpaksa bertunang lama kerana perlu mengumpul wang. Lebih malang, bayaran pinjaman belum habis dibayar, isteri dah minta cerai. (Utusan Malaysia melaporkan statistik perceraian yang meningkat dan dan 20peratus yang bercerai baru berkahwin lima tahun.)

Menurut kajian, lelaki berkahwin pada usia 28 tahun dan wanita 26 tahun dan adakah ini bermakna pasangan lambat berkahwin kerana faktor kos perkahwinan yang sangat mahal.

Perkahwinan adalah isu jodoh dan kita perlu sentiasa ingat bahawa jodoh pertemuan adalah hak Allah. Memang ramai wanita berkahwin lambat kerana kebanyakan wanita berpendidikan tinggi.

Umur minimum tamat ijazah pertama universiti adalah 23-24 tahun dan bagi yang membuat diploma adalah 21 tahun. Bagi yang wanita perkahwinan bergantung kepada jika ada orang masuk meminang tetapi bagi lelaki sama ada dia mampu untuk meminang.

Jika tamat belajar mereka berumur 24 tahun dan dengan gaji RM3,000 ke 4,000 sebulan, dengan membayar PTPTN, pinjaman kereta dan perbelanjaan harian, mereka mungkin dapat menabung RM1,000 sebulan. Jika perbelanjaan perkahwinan (hantaran sahaja RM15,000) mereka perlu menabung 15 bulan. Jika anggaran perbelanjaan perkahwinan itu RM50,000 maka mereka hanya boleh berkahwin selepas 50 bulan bekerja (iaitu empat tahun) dan tentulah usia perkahwinan menjadi 28 tahun.

Alangkah baiknya simpanan RM50,000 itu dijadikan wang muka membeli rumah dan pasangan boleh terus tinggal di rumah sendiri selepas berkahwin.

Memang kos perkahwinan telah naik tetapi itu bukan alasan melewatkan perkahwinan. Ibu bapa perlu ada transformasi pemikiran daripada mahu mengadakan majlis besar-besaran kepada melihat anak berumahtangga tanpa hutang dan memulakan kehidupan rumahtangganya tanpa riba. Tepuk dada tanya selera.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Undang-Undang UKM.

Monday, January 2, 2012

Syarat bebas daripada belenggu syahwat

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
ALLAH SWT menyebut bahawa Dia yang memiliki tangga dan darjat yang tinggi serta nikmat-nikmat yang melimpah ruah yang dikurniakan kepada sekalian hamba-Nya yang terpilih.
Kemudian Allah SWT menambah lagi dengan menyebut syarat untuk sampai kepada martabat yang tinggi itu dengan menjauhkan daripada kegelapan yang dapat memasukkan jiwa ke dalam neraka yang menyala-nyala sehingga dapat mengelupaskan kulit kepala.
Seterusnya, Allah SWT menjelaskan 10 syarat yang mampu membebaskan manusia daripada belenggu yang mengikat nafsu syahwat, antaranya:
*Sembahyang.
*Sentiasa mengerjakan sembahyang secara istiqamah pada waktu yang ditetapkan.
*Mendirikan sembahyang dengan cara yang paling sempurna dengan menghadirkan hati, khusyuk kepada Allah SWT di samping menjaga sunah-sunah serta peraturan sembahyang.
*Membenarkan kedatangan hari kiamat dengan melahirkan di dalam dirinya sama ada dalam bentuk iktikad atau amal perbuatan.
*Mengeluarkan sedekah dengan harta benda mereka kepada golongan fakir dan orang yang memerlukan.
*Menepati janji.
*Menunaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya.
*Memelihara faraj (kemaluan) mereka daripada melakukan perbuatan yang haram.
*Menyempurnakan kesaksian dengan menepati syarat-syaratnya.
*Takut terhadap azab Allah SWT.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah. Dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir. (al-Maarij: 19-21)
Muqatil berkata: Ayat ini ditujukan kepada Umayyah bin Khalaf al-Jumahi. Adapun perkataan halu' terdapat tujuh pandangan:
*Seperti yang disifatkan dalam ayat-ayat selepas ini. Inilah riwayat Atiyah daripada Ibn Abbas dan pendapat Abu Ubaidah dan al-Zajjaj.
*Orang yang loba dan tamak dengan harta yang tidak halal baginya seperti riwayat Abu Soleh daripada Ibn Abbas.
*Orang yang bakhil. Inilah pendapat al-Hasan dan al-Dahak.
*Orang yang amat kedekut. Inilah pendapat Ibn Jubair.
*Orang yang jahat. Inilah pendapat Mujahid.
*Orang yang kasar lagi ganas. Inilah pendapat Ikrimah, Qatadah, Muqatil dan al-Farra'.
*Mereka yang keras lagi samseng. Inilah pendapat Ibn Qutaibah.
Syed Qutub berkata: Tiga ayat yang pendek ini memberi gambaran yang jelas bahawa manusia amat gelisah dan cemas apabila ditimpa kesusahan seolah-olah ia adalah untuk selamanya.
Ia menggambarkan manusia yang kedekut dan bakhil apabila mendapat kekayaan dan kesenangan. Dia menganggap hasil usahanya sendiri dan mengabaikan orang sekeliling tanpa berbakti kepada Allah dengan kekayaan yang dianugerahkan.
Apabila kekayaannya ditarik dan dirampas, maka mereka kegelisahan dan cemas tanpa pedoman. Itulah gambaran manusia yang sungguh malang dan menderita apabila hatinya kosong dari iman.
Firman Allah SWT: Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat, yang mereka itu tetap mengerjakan solatnya. (al-Maarij: 21-22)
Ibn Kathir berkata: Manusia disifatkan dengan sifat yang keji kecuali Allah memeliharanya memberi taufik dan hidayah ke arah kebaikan. Begitu juga mereka menjaga waktu solat dan segala yang wajib. Inilah juga pendapat Ibn Mas'ud, Masruq dan Ibrahim al-Nakaie.
Al-Maghari berkata: Manusia yang memiliki sifat yang tercela layak menerima kemurkaan Allah kecuali orang yang dipelihara dan ditunjukkan Allah SWT mengerjakan amalan kebaikan dengan dipermudahkan kepada mereka bagaimana melakukan sebab kebaikan itu.
Mereka itu terdiri daripada orang yang memelihara sembahyang pada waktunya serta tidak disibukkan dengan urusan lain. Ayat di atas menjadi bukti utama agar sentiasa mengerjakan amal ibadah kepada-Nya.
Firman Allah SWT: Dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu. Bagi orang (miskin) yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mahu meminta). (al-Maarij: 24-25)
Ibn Kathir berkata: Sebahagian harta mereka diperuntukkan untuk mereka yang memerlukannya.
Syed Qutub berkata: Yang dimaksudkan dengan peruntukan itu secara khususnya adalah zakat dan sedekah yang tertentu kadarnya. Peruntukan ini merupakan suatu hak dan kewajipan dalam harta kekayaan orang mukmin.
Mungkin tujuannya lebih luas dan besar iaitu mereka memperuntukkan sebahagian tertentu dari harta kekayaan mereka dengan kesedaran sebagai hak orang yang meminta bantuan dan orang yang susah.
Dengan ini mereka dapat membebaskan diri mereka dari sifat kikir dan tamak di samping membuat orang yang kaya membantu orang yang miskin tanpa bersoal jawab dan sebagainya.

Bertabarruk dengan peninggalan nabi SAW

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
--------------------------------------------------------------------------------

KITA menyambung perbincangan kita tentang bertabarruk atau mengambil berkat dengan bekas-bekas peninggalan Nabi SAW. Alhamdulillah, minggu lepas Yayasan Sofa dalam lawatan kerja ke Mesir berkesempatan melihat dan menyentuh beberapa bekas peninggalan Nabi SAW yang disimpan di Masjid Saidina Hussein r.a.

Wujud dan tersimpan baiknya bekas-bekas peninggalan nabi SAW itu hingga ke hari ini bukanlah sesuatu yang aneh jika kita melihat pelbagai laporan mengenai sikap generasi sahabat dan tabi'en dalam menghargai dan memelihara bekas-bekas peninggalan ini.

Melalui perbuatan mereka ini kita bukan sahaja mendapat pedoman bahawa bertabarruk ini dibolehkan tetapi juga mendapat gambaran tentang sikap kasih dan hormat yang begitu hebat terhadap nabi SAW yang sepatutnya tersemai di hati kita.

Imam Ahmad RH dan lain-lainnya meriwayatkan daripada Anas r.a: Nabi SAW pernah datang ke rumah Ummu Sulaim. Di dalam rumahnya terdapat qirbah (bekas air daripada kulit) yang tergantung. Lalu Rasulullah SAW minum di bahagian bibir qirbah itu sambil berdiri.

Anas r.a berkata, "Maka Ummu Sulaim memotong bibir qirbah itu dan ia ada pada kami". Maksudnya, Ummu Sulaim memotong mulut qirbah yang pernah menjadi tempat minum Rasulullah SAW. Dia menyimpan dan menjaga barang itu di rumahnya untuk bertabarruk dengan bekas atau kesan Nabi SAW.

Diriwayatkan daripada Yahya ibn al Harith al Zimari, katanya: Aku pernah bertemu dengan Wathilah ibn al Asqa', Aku berkata kepadanya, "Dengan tanganmu ini, engkau membaiah Rasulullah SAW"? Dia berkata: "Ya". Kataku, "Hulurkan tanganmu. Aku akan mengucupnya". Dia pun menghulurkan tangannya kepadaku, lalu aku mengucupnya. (riwayat At-Tabrani)

Menurut riwayat Abu Nu'aim di dalam Al-Hilyah, daripada Yunus ibn Maisarah, disebutkan bahawa beliau berkata: "Kami pernah menziarahi Yazid ibn al-Aswad. Lalu datang Wathilah ibn al-Asqa' r.a. Ketika Yazid melihatnya, Wathilah r.a menghulurkan tangannya. Yazid pun memegang tangan Wathilah r.a, lalu disapu ke muka dan dadanya; kerana Wathilah r.a pernah membaiah Rasulullah SAW.

Wathilah berkata kepadanya: "Wahai Yazid! Bagaimana prasangkamu terhadap Tuhanmu"? Dia menjawab: "Baik". Dia berkata: "Maka bergembiralah kerana sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, Sesungguhnya Allah SWT berfirman: "Aku mengikut prasangka hambaKu terhadapKu. Jika sangkaannya baik, maka Aku menilainya baik. Jika sangkaannya buruk, maka Aku menilainya buruk". (Al-Hilyah, 9: 306)

Imam al-Bukhari meriwayatkan di dalam Al-Adab al-Mufrad, daripada Abdul Rahman ibn Razin, katanya: Ketika kami melalui daerah Rabzah, ada yang berkata kepada kami, "Di sinilah tempat Salamah ibn al Akwa' r.a berada". Kami pun menemuinya dan mengucapkan salam kepadanya. Lalu dia mengeluarkan kedua-dua belah tangannya seraya berkata: "Aku pernah membaiah Nabi Allah SAW dengan kedua-dua tangan ini".

Kemudian, dia mengeluarkan telapak tangannya yang gemuk dan kasar seperti telapak kaki unta. Maka kami pun berdiri mendekatinya dan mengucupnya. (ms. 144)

Ibnu Saad juga meriwayatkan hadis seperti itu daripada Abdul Rahman ibn Zaid al 'Iraqi. (Tabaqat Ibn Saad, 4: 39)

Demikian juga Imam Bukhari di dalam Al-Adab al-Mufrad meriwayatkan daripada Ibnu Jad'aan: Thabit berkata kepada Anas r.a: "Apakah engkau pernah menyentuh Nabi SAW dengan tanganmu"? Dia menjawab: "Ya, pernah". Lalu Thabit mengucup tangan Anas. (ms. 144)

Imam al-Bukhari juga meriwayatkan dalam kitab yang sama daripada Suhaib, katanya: "Aku pernah melihat Saidina Ali r.a mengucup tangan al-Abbas r.a dan kedua-dua belah kakinya". (ms. 144)

Diriwayatkan daripada Thabit, katanya: Dahulu, jika aku datang kepada Anas r.a, dia akan diberitahu mengenai kedudukanku. Lalu, aku masuk kepadanya dan memegang kedua-dua belah tangannya serta mengucupnya. Aku berkata: "Demi ayahku! Kedua-dua belah tangan ini pernah menyentuh Nabi SAW". Aku juga mengucup kedua-dua belah matanya, dan aku berkata: "Demi ayahku! Kedua-dua mata ini pernah melihat Rasulullah SAW". (Disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam al-Matolib al-'Aliyyah (4: 111)

Wednesday, December 14, 2011

Peguam syarie penentu kelancaran kes syariah

Mahkamah perlu dilihat sebagai institusi berintegriti, mampu kembalikan keyakinan ummah
Oleh Musa Awang
TAHUN ini menyaksikan beberapa bangunan Mahkamah Syariah dirasmikan di seluruh negara. Pada 28 Jun lalu, Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, berkenan merasmikan Bangunan Mahkamah Syariah Tapah yang konsep dan idea luaran bangunan menyerupai Istana Kuning, Bukit Chandan.

Dalam titah perasmian, Raja Nazrin berkata, Mahkamah Syariah perlu cekap mengendalikan kes yang dibawa untuk mendapat pengadilan, termasuk tidak melayan kerenah menangguhkan kes secara sengaja kerana tindakan itu boleh menidakkan terlaksananya keadilan. Hakim, pegawai mahkamah dan peguam syarie perlu bekerjasama secara kolektif bagi memastikan prosiding mahkamah dapat berjalan lancar dan kes dibicarakan dapat diselesaikan segera. Pada 25 November lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menyeru pegawai Mahkamah Syariah khususnya hakim syarie supaya bersedia berhadapan cabaran besar dengan melengkapkan diri dalam pelbagai disiplin ilmu.

Baginda yang bertitah ketika Majlis Perasmian Bangunan Baru Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) di Shah Alam, berkata, kes di Mahkamah Syariah kini bukan membabitkan kes perceraian, juga tuntutan harta bernilai jutaan ringgit dan kes mencabar sensitiviti masyarakat.

Baginda bertitah supaya semua pihak terutama peguam syarie, pendakwa syarie dan pihak yang bertikai perlu membantu mahkamah dengan membentangkan fakta sebenar supaya keadilan dapat ditegakkan.

Mahkamah Syariah perlu dilihat sebagai sebuah institusi yang berintegriti dan berkualiti tinggi kerana ini penting dalam usaha membina keyakinan serta kepercayaan masyarakat terhadap Mahkamah Syariah.
Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan yang menelan belanja RM96 juta di Jalan Hartamas, berhampiran Kompleks Mahkamah Jalan Duta dan Masjid Wilayah Persekutuan, yang juga Mahkamah Syariah terbesar di Malaysia menjadi bukti keunggulan perundangan syariah negara.

Oleh itu, peguam syarie sebagai sahabat mahkamah juga perlu diberi pengiktirafan dan tidak dipinggirkan dalam bangunan mahkamah yang tersergam indah itu. Seperti mana di Mahkamah Sivil, bilik rehat yang selesa untuk peguam syarie sepatutnya disediakan di bangunan mahkamah.

Selain itu, sudah tiba masanya diadakan peraturan atau arahan mewajibkan pihak yang memfailkan kes di Mahkamah Syariah, terutama di Mahkamah Tinggi Syariah melantik peguam syarie sama ada swasta atau kerajaan, supaya tuntutan atau permohonan ke mahkamah dibuat mengikut prosedur.

Langkah itu juga bagi memastikan perbicaraan kes berjalan lancar dan dapat diselesaikan dengan cepat. Peguam syarie sebenarnya membantu mahkamah mengendalikan kes dengan baik dan berkesan, supaya hakim dapat menghukum dengan adil, tepat dan cepat.

Ketidakfahaman segelintir suami isteri membuat tuntutan adalah faktor utama menyebabkan sebilangan kes di Mahkamah Syariah tertangguh begitu lama. Kadang-kadang mereka tidak faham apa permohonan yang hendak dibuat semasa kes didaftarkan.

Statistik Jabatan Kehakiman Syariah Melaka menunjukkan sebanyak 24.2 peratus kes tertangguh bagi 2006 hingga 2009, berpunca daripada pihak yang bertikai tidak hadir ke mahkamah atau tidak bersedia pada tarikh pendengaran ditetapkan dan 12.65 peratus disebabkan dokumen tidak lengkap.

Pada masa sama, peguam syarie juga perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan memperbaiki akhlak serta budi pekerti mulia seperti dituntut hukum syarak.
Peguam syarie yang kurang ilmu pengetahuan syariah dan undang-undang semasa tidak akan membantu hakim menegakkan keadilan.

Peguam syarie yang tidak berakhlak dan tidak amanah bukan saja akan menyusahkan anak guam, tetapi juga menjadi halangan untuk membantu mahkamah menghukum dengan adil, tepat, cepat dan berkesan.

Adanya bangunan baru dan kemudahan diberikan, diharap peguam syarie dapat memberi kerjasama sepenuhnya untuk memastikan perbicaraan dijalankan dengan berkesan seterusnya mengurangkan jumlah kes tertunggak.

Tuesday, November 29, 2011

Tiada kesepakatan laksana fatwa kelirukan umat Islam

Oleh Musa Awang

2011/11/30
Wanita Muslim sertai ratu cantik cabar ketetapan syariah

PENYERTAAN wanita Islam pada pertandingan ratu cantik pernah menggugat ketenangan masyarakat apabila tiga gadis Melayu menyertai pertandingan itu di Selangor pada 1997. Baru-baru ini, lima wanita Islam menyertai pertandingan Ratu Cantik Borneo (MBB) 2011 di Kuching, Sarawak, walaupun sudah diberi kaunseling oleh Jabatan Agama Islam Sarawak dan mendapat bantahan pelbagai pihak. Walaupun belum ada undang-undang khusus di Sarawak yang menghalang orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik, tidak bermakna mereka boleh memperagakan aurat pada pertandingan itu. Dicadangkan supaya diwujudkan jawatankuasa penyelarasan pada peringkat kebangsaan untuk memastikan negeri yang belum mewartakan fatwa sudah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk berbuat demikian Firman Allah SWT bermaksud: “Dan katakan kepada perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan jangan memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh melainkan kepada suami atau bapa atau bapa mentua atau anak atau anak tiri atau saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan atau perempuan Islam atau hamba atau orang gaji daripada lelaki yang sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti mengenai aurat perempuan dan jangan mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubat kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur, ayat 31)

Kecantikan tubuh wanita Islam bukan untuk dipertontonkan atau dijadikan bahan pertandingan. Wanita Islam perlu memiliki sifat tawaduk dan tidak membanggakan diri. Kecantikan wanita Islam terletak pada ketaatan agama, kemuliaan hati, kelembutan tutur kata dan tindak-tanduk.

Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan untuk mengharamkan wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik pada 1997. Isu terbaru membuka mata kita walaupun selepas lebih 14 tahun fatwa kebangsaan dikeluarkan, masih ada negeri belum menerima dan mewartakan fatwa itu.

Walaupun dari sudut perundangan keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mengikat negeri untuk menerimanya, dari sudut pandangan syarak, keputusan itu suatu fatwa.
Dari sudut lain, ia menunjukkan tiada kesepaduan pendapat dalam urusan umat Islam. Perbezaan adat dan budaya tidak boleh mengubah hukum ditetapkan syarak. Dicadangkan supaya diwujudkan jawatankuasa penyelarasan peringkat kebangsaan untuk memastikan negeri yang belum mewartakan fatwa sudah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk berbuat demikian. Alasan munasabah perlu diberikan negeri yang belum mewartakan fatwa kebangsaan itu termasuk Sarawak. Mereka perlu menyemak semula semua fatwa kebangsaan yang belum diwartakan, terutama larangan ratu cantik Islam.

Suasana mutakhir ini membabitkan ancaman pihak yang menaja hak asasi dan individu secara terbuka, memerlukan tindakan segera pihak berkuasa agama. Ramai gadis terlalu ghairah memperagakan kecantikan pada pertandingan majalah dan akhbar sama ada dalam keadaan mereka mengetahui atau jahil hukum.

Dari segi penguatkuasaan, jika sudah diwartakan, orang yang melakukan tindakan bertentangan dengan fatwa itu boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang jenayah syariah negeri. Seksyen 9 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah 2001 (Ordinan 46 Tahun 2001) memperuntukkan: “Mana-mana orang yang bertindak dengan cara menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan majlis dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

Tindakan menasihatkan lima peserta terbabit adalah langkah awal yang harus dipuji. Apabila mereka masih menyertai pertandingan itu walaupun diberi nasihat, ia seperti mencabar kewibawaan pihak berkuasa agama. Maka, kajian menjadikan larangan itu dalam bentuk penguatkuasaan undang-undang perlu disegerakan bagi menyekat aktiviti itu terus berleluasa.

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia boleh dihubungi di alamat e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com

Tuesday, November 22, 2011

Sains akui kelebihan solat jemaah

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila engkau berada di tengah-tengah mereka (sahabatmu), lalu engkau hendak mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan daripada mereka berdiri (solat) bersamamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang solat beserta denganmu) sujud maka hendaklah mereka berpindah dari belakangmu (untuk menghadap musuh). (an-Nisa': 102)

SOLAT berjemaah sangat dituntut dalam Islam sehinggakan ia diperintahkan walaupun berada di medan pertempuran untuk berperang. Ini sebagaimana firman Allah SWT menerusi ayat di atas yang turunkan kepada Rasulullah semasa baginda ingin menghadapi peperangan dengan orang kafir.

Mungkin ramai yang masih meragui mengapa perlunya melaksanakan solat berjemaah sedangkan ia boleh dilakukan secara bersendiri di rumah atau di lokasi kita berada tanpa bersusah payah ke masjid ataupun surau.

Namun salah faham terhadap kemestian solat jemaah di surau dan masjid ini juga sebenarnya telah merumitkan untuk melaksanakan tuntutan tersebut sedangkan ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja walaupun hanya dua orang.

Mengerjakan solat secara berjemaah seminggu sekali pada solat Jumaat atau solat sunat raya dianggap telah mencukupi oleh sesetengah umat Islam asakan tidak meninggalkan kewajipan dalam rukun Islam kelima itu sendiri di rumah.

Solat berjemaah sering diambil mudah dan semakin kurang mendapat sambutan. Antara sebabnya, kurangnya kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap kelebihan dan manfaat yang bakal diperoleh daripada menunaikan tuntutan Allah tersebut.

Kelebihan solat berjemaah disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda baginda yang bermaksud: Solat berjemaah itu lebih afdal daripada sembahyang berseorangan dengan kelebihan 27 darjat. (riwayat al-Bukhari)

Sabda Rasulullah dalam ayat di atas menunjukkan betapa Allah melipat kali gandakan ganjaran kepada hambanya yang menunaikan solat berjemaah berbanding solat secara bersendirian walaupun ia tiada perbezaan dari segi perbuatan fizikal dan bacaan ketika solat.

Malah kelebihan serta manfaat solat berjemaah terbukti dari segi saintifik dan diakui oleh pakar sains fizik di sebuah universiti di Amerika Syarikat, Prof. John Herbert selepas membuat kajian mengenai tujuan dan kelebihan solat berjemaah.

Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr. Abdul Ghaffar Surip berkata, hasil kajian John Herbert mendapati sentuhan antara bahu jemaah ketika solat mampu menyeimbangkan cas elektrik positif dan negatif yang terdapat dalam tubuh manusia menjadikan tubuh lebih segar dan bertenaga.

"Tubuh manusia terdiri daripada dua cas elektrik iaitu cas positif dan negatif. Setiap aktiviti harian kita tidak kira bekerja, beribadat atau berehat banyak menggunakan tenaga yang menyebabkan berlakunya pertukaran cas positif dan negatif yang menyebabkan ketidakseimbangan cas tersebut di dalam tubuh.

"Ini menyebabkan tubuh berasa letih dan tidak bermaya. Oleh itu, cas ini perlu diseimbangkan semula untuk memulihkan tubuh badan kita iaitu dengan cara menunaikan solat berjemaah yang merangsang proses pertukaran cas elektrik dalam tubuh kita tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mega pada majlis penyampaian Sijil Tinggi Pengajian Sains Dakwah di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Seramai 27 peserta terdiri daripada Saudara Muslim mengikuti kursus tersebut yang dijalankan dua minggu sekali selama tiga bulan.

Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Razali Shahabudin yang turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta.

Dr. Abdul Ghaffar berkata, tubuh manusia mengeluarkan cas yang berlebihan dan cas itu akan ditarik oleh cas yang berlawanan dalam tubuh badan jemaah di sebelah kanan dan kiri.

Begitu juga proses yang sama berlaku kepada setiap jemaah. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang dan semakin segar tubuh badan kita.

Mengikut hasil kajian tersebut, proses pertukaran cas ini sangat diperlukan dalam kehidupan harian sebagaimana keperluan tidur pada setiap hari dengan sama.

Menurutnya, bilangan rakaat yang berlainan dalam setiap waktu solat adalah bertepatan dengan keperluan pertukaran cas elektrik positif dan negatif tersebut.

Solat subuh hanya dua rakaat kerana ia hanya memerlukan sedikit pertukaran cas dalam tubuh. Berlainan pula dengan solat Zuhur dan Asar yang memerlukan pertukaran cas yang banyak untuk menyeimbangkan cas dan mengembalikan tenaga dan kecergasan tubuh.

"Selepas waktu Asar pula, pada kebiasaannya kita hanya beriadah atau melakukan aktiviti ringan yang tidak terlalu banyak menggunakan tenaga di samping perbezaan masa yang diperuntukan tidak terlalu ketara.

"Oleh itu, solat berjemaah waktu Maghrib hanya sebanyak tiga rakaat mencukupi untuk menyeimbangkan cas dalam tubuh," katanya.

Walaubagaimanapun, mungkin sesetengah daripada kita keliru mengenai bilangan solat Isyak yang banyak sedangkan ia tidak jauh berbeza dengan waktu solat Maghrib.

Dr. Ghaffar berkata, menurut kajian itu, pertukaran cas yang banyak perlu bagi menyediakan cas elektrik dalam tubuh yang benar-benar seimbang dan pengumpulan tenaga yang secukupnya untuk bangun pada sepertiga malam bagi menunaikan solat sunat seperti yang dituntut dalam Islam.

"Hasil kajian saintifik tersebut menunjukkan kepada kita betapa indah dan sempurnanya amalan agama Islam sehingga setiap kewajipan yang diperintahkan kepada kita mempunyai kelebihan dan manfaat tersendiri," katanya.

Hasil kajian John Herbert itu membuka pintu hatinya dan mendapat hidayah Allah untuk memeluk agama Islam kerana tiada amalan agama lain yang selengkap dan sempurna sebagaimana ajaran Islam.

Tuesday, October 25, 2011

Persoalan hukum tepuk tangan

Oleh Muhammad Asyraf

2011/10/25
Haram ketika solat, diharus bagi meriahkan majlis

KEBIASAANNYA bertepuk tangan disaksikan ketika menghadiri majlis keramaian dan persembahan. Sudah menjadi kebiasaan majlis berbentuk Islam sunyi daripada tepukan gemuruh penontonnya. Bahkan suasana sedemikian menampakkan kesuraman sesuatu program. Apabila diteliti permasalahan ini, timbul beberapa perbahasan dalam kalangan sesetengah orang agama bahawa bertepuk tangan itu diharamkan. Ada pula mengeluarkan pendapat pelik ia boleh menyebabkan syaitan melahirkan anaknya. Bertepuk tangan di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah Malah ada yang mencadangkan jika ingin menepuk tangan maka tepuklah dengan belakang tapak tangan sebagai isyarat gantian. Persoalannya adakah ini sesuatu ditetapkan agama.

Walaupun ada dibahaskan dalam bab solat oleh ulama asy-Syafi’iyyah seperti Imam Ramli dan al-Bajuri, namun ia tidak membabitkan hukum menepuk tangan di luar solat. Maka, ada pendapat mengharamkannya berasaskan penghujahan dalil tertentu.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tiadalah solat atau ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ (siulan) dan tashdiyyah (tepuk tangan). Maka rasakan azab disebabkan kekafiran kamu.” (Surah al-Anfal ayat 35)

Pentafsir mentafsirkan ayat ini mengatakan perkataan al-muka’ (siulan) dan al-tashdiyyah (tepuk tangan) yang dimaksudkan dalam surah al-Anfal ialah perbuatan orang kafir yang mengganggu solat dan bacaan al-Quran Rasulullah serta kaum muslimin.
Tepukan dan siulan itu mendatangkan rasa tidak senang kepada Rasulullah dan orang Islam sehingga Rasulullah menegah perbuatan berkenaan. Ini pandangan paling tepat dalam menceritakan sebab turunnya ayat menurut Imam Jalaluddin as-Suyuti.

Al Qurtubi pula merujuk kepada pendapat Ibnu Abbas mengatakan, masyarakat Quraisy jahiliah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia adalah ibadat. Ini juga pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu Umar.

Merujuk sebab turun dan kisah di sebalik ayat 35 surah al-Anfal ini, jelas pengharaman tepuk tangan secara umumnya adalah kepada orang yang meniru perbuatan orang kafir dalam melakukan ibadah. Jika ibadah solat diselang-selikan dengan bertepuk tangan maka secara jelas diharamkan.

Bagaimanapun, mengharamkan hukum menepuk tangan ketika di luar solat adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya kerana ayat berkenaan tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk tangan.

Sudah jelas kepada kita bertepuk tangan dalam solat seperti orang jahiliah adalah dilarang. Namun, menepuk tangan di dalam solat dan di luar solat berbeza. Maka penyabitan hukumnya juga berbeza.

Begitu juga sebahagian pendapat mengatakan menepuk tangan diharamkan kepada lelaki berasaskan dalil hadis sahih yang bermaksud: “Barang siapa yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih (dengan berkata subhanallah). Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya (memberi perhatian). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan itu dilarang kerana termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) wanita seperti dinyatakan hadis bahawa hal semacam itu hanya khusus bagi wanita ketika memperingatkan imam yang tersilap dalam solat sementara lelaki disuruh mengingatkan imam dengan ucapan tasbih.

Hadis ini khusus mengenai bertepuk tangan dalam solat. Kes berlaku apabila seorang imam melakukan kesilapan maka makmum wanita hanya boleh menepuk tangan sebagai isyarat membetulkan imam. Ia tidak boleh menjadi dalil menegah bertepuk di luar solat seperti disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami.

Pengharaman hukum menepuk tangan dalam sesuatu majlis itu tertolak kerana masih lagi didasari dalil agak lemah. Penulis cenderung kepada pandangan beberapa ulama yang membenarkannya seperti Syeikh Atiyyah Saqr, yang mengharuskannya kerana tiada dalil mengharamkan.

Menurut kaedah fiqh Islam, asal sesuatu perkara adalah harus. Maksudnya, sesuatu perkara yang tidak diberitakan oleh syariat dipandang harus hukumnya. Namun, ia boleh menjadi haram mahupun wajib jika disertakan dalil yang menyuruh.

Pengarang kitab al-Hafl al-Zifaf fi al-Fiqh Islam, Syeikh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh, berkata tepuk tangan perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor ia dilakukan.

Hukum bertepuk tangan dalam majlis asalnya mubah (perkara diharuskan) sebab bertepuk tangan termasuk perbuatan jibiliyah (af’al jibiliyyah) yang hukum asalnya mubah, sepanjang tidak ada dalil mengharamkan.

Perbuatan jibiliyah adalah perbuatan secara alamiah (fitrah) dilakukan manusia sejak penciptaannya dan menjadi bahagian yang tidak terpisah dari sifat kemanusiaannya seperti berfikir, bercakap, berjalan, berlari, melompat, duduk, makan, minum, mendengar, melihat dan seterusnya.

Menepuk tangan itu sesuatu yang diharuskan syarak. Ia boleh menceriakan sesuatu majlis terutama bagi menggembirakan kanak-kanak. Walaupun begitu, hukumnya boleh menjadi haram apabila bertepuk tangan dalam pertunjukan hiburan yang tidak syarak, pembukaan aurat atau menghina serta mengejek orang lain.

Bertepuk tangan di luar solat sama ada di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah. Begitu juga niat orang yang bertepuk tangan untuk mengejek, menghina ataupun memuji orang yang tidak sepatutnya.

Tegakkan hukum agama atas dasar hujah dan dalil kerana agama tertegak bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah, bukannya dakwaan atau sangkaan semata-mata tanpa menilai dari mana asal usulnya.

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

Tuesday, October 4, 2011

Undang-undang jenayah Islam tangani isu sosial

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

2011/10/05
Hukuman tegas mampu didik pesalah, pelihara kehormatan diri daripada perbuatan jahat

PELAKSANAAN undang-undang jenayah Islam masih menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam menyebabkan mereka menolak pemakaian undang-undang jenayah Islam. Hikmah hukuman jenayah Islam bertujuan mencegah manusia daripada melakukan segala bentuk jenayah, sekali gus memelihara kehormatan diri dan menjaga kemaslahatan masyarakat, selain mendidik pesalah dan masyarakat umum. Contohnya, jika seseorang individu itu mengetahui hukuman mencuri ialah potong tangan, pasti dia tidak akan mencuri dengan sewenang-wenangnya.

Masyarakat tidak faham kerana kekurangan maklumat mengenai hudud yang menyebabkan timbul pelbagai persepsi negatif terhadap undang-undang ini. Hudud ialah hukum yang sudah ditetapkan Allah SWT dan umat Islam tidak boleh menolaknya.

Oleh itu, masyarakat khususnya orang Islam perlu melihat hudud dari aspek positif sebagai penyelesaian terhadap masalah sosial yang kian meruncing masa kini seperti isu pembuangan bayi, kelahiran anak luar nikah, jenayah samun, ragut, rompak serta masalah murtad dan lain-lain.

Secara asasnya, hukuman jenayah Islam terbahagi kepada tiga iaitu hudud, qisas dan takzir. Hudud berasal daripada perkataan ‘hadd’ yang bererti larangan. Hukuman hudud ditentukan oleh syarak yang mana ia tidak boleh ditambah mahupun dikurangkan hukumannya.
Jenayah yang dikenakan hukuman hudud iaitu zina, tuduhan zina, mencuri, meminum minuman memabukkan, merompak dan murtad.

Bagi kesalahan zina, hukuman yang telah ditetapkan kepada penzina yang sudah atau pernah berkahwin ialah rejam seperti disabitkan oleh sunnah, manakala bagi yang belum berkahwin, dikenakan 100 kali sebatan.

Hukuman tuduhan zina, jika yang menuduh gagal membuktikan kesahihan dakwaannya, maka dikenakan hukuman sebanyak 80 kali sebatan dan hak pesalah dari segi kesaksian turut digugurkan kecuali jika dia bertaubat.

Bagi kesalahan mencuri, hukuman yang ditetapkan ialah memotong tangan (pergelangan tangan) sementara kesalahan meminum minuman memabukkan dikenakan 40 kali sebatan berdasarkan amalan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik.

Jenayah merompak, iaitu serangan bertujuan merampas harta, membunuh atau menakut-nakutkan dengan cara terang-terangan hukumannya mengikut kategori kesalahan sama ada serangan dilakukan dengan membunuh dan merompak harta, atau membunuh saja.

Berkaitan kesalahan murtad atau keluar daripada agama Islam, sudah ditetapkan hukumannya bunuh melainkan pesalah bertaubat.

Bagaimanapun, perlu difahami hukuman tidak dikenakan dengan sewenang-wenangnya kerana pemakaian hukuman hudud berdasarkan pendakwaan dan pembuktian yang digariskan mengikut setiap kesalahan jenayah.

Pembuktian hudud sangat ketat dengan mengambil kira kriteria saksi, bilangan saksi dan aspek lain sehingga boleh membuktikan sesuatu jenayah itu berlaku. Jika pembuktian berjaya dilakukan tanpa sebarang keraguan dan setelah disabitkan kesalahan, hukuman hendaklah dilaksanakan. Namun harus diingat, pembuktian hendaklah melampaui keraguan yang munasabah bagi mengelakkan sebarang kesilapan dalam menjatuhkan hukuman. Rasulullah SAW telah bersabda bahawa: “Hudud tertolak dengan ada syubhah atau keraguan.”

Jika ada keraguan, kemungkinan hukuman yang akan dijatuhkan bukan hudud tetapi hukuman takzir. Kes zina pembuktian sangat ketat serta memerlukan empat saksi yang melihat perlakuan itu dengan syarat tertentu sebelum hukuman dikenakan terhadap tertuduh.

Enakmen jenayah syariah negeri memang ada akta kesalahan hudud seperti kesalahan minum minuman memabukkan, namun hukuman dikenakan ialah takzir atas kekangan undang-undang sedia ada.

Untuk melaksanakan hukuman hudud, pindaan undang-undang terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1988 perlu dilakukan tanpa memerlukan pindaan kepada kanun keseksaan secara keseluruhan.

Jika hukuman ini dilaksanakan beberapa kajian perlu dilaksanakan dengan teliti dari sudut pendakwaan, pembuktian, cara melaksanakan setiap hukuman, pihak yang melaksanakan hukuman (tukang sebat, orang yang memotong tangan dan sebagainya) bagi mengelakkan permasalahan serta tohmahan di kemudian hari.

Masyarakat juga perlu diberi kefahaman supaya tidak takut pelaksanaan hudud. Hukuman sebat dalam Islam berbeza dengan hukuman sebat diamalkan di Mahkamah Sivil. Semua itu perlu dijelaskan dengan terperinci supaya jenayah undang-undang Islam dapat difahami dengan jelas.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)