Sunday, December 16, 2012

Jihad dalam perkahwinan




Objektif utama perkahwinan dalam Islam adalah ketenangan dan kebahagiaan. ini kerana dua insan berkenaan memenuhi fitrah kemanusiaan dengan menjalin hubungan biologi, fizikal dan rohani bersama pasangan menurut kehendak syarak.
Sabda Rasulullah SAW: “Nikah itu adalah sunnahku, dan sesiapa yang membenci sunnahku bererti dia tidak termasuk dalam golonganku. (Hadis riwayat Muslim).
Dalam al-Quran, jalinan perkahwinan disebut Allah sebagai mithaqan ghaliza yang bermaksud satu perjanjian yang sangat berat tanggungjawabnya dan sangat kuat. Jelas di sini bahawa Allah dan Rasul-Nya melarang umat Islam mempermain-mainkan persoalan nikah kahwin, apatah lagi untuk dijadikan isu atau modal dalam senda gurauan.
Malah, Islam juga melarang pernikahan yang bersifat kontrak atau sementara kerana ikatan pernikahan adalah suatu jalinan perhubungan di antara lelaki dan wanita yang berlangsung sepanjang hayat, bukannya untuk tempoh 15 minit, sebulan, empat bulan dan sebagainya.
Paling menarik ialah mereka yang sudah berkahwin akan diberkati Allah SWT dan diberikan kekayaan melalui limpah kurnia-Nya.
Allah SWT berfirman: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Nur, ayat 32).

Di samping itu, pasangan yang sudah berkahwin bermakna mereka menyempurnakan separuh daripada agamanya kerana memiliki tanggungjawab keluarga, bukan sekadar tanggungjawab dirinya sendiri seperti sebelumnya.
Rumah tangga dalam konteks ini adalah satu komuniti terkecil dalam sebuah masyarakat yang memiliki fungsi penting bagi kehidupan bersama. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bernikah, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan separuh imannya. Oleh kerana itu, dia hendaklah bertakwa kepada Allah dalam separuh yang berbaki itu.” (Hadis riwayat Tabrani)
Sehubungan itu, Imam al-Ghazali pernah berkata: “Sebenarnya perkahwinan itu mempunyai makna jihad dan di antara latihan jihad itu adalah mengawal dan mentadbir, menunaikan hak-hak keluarga, bersabar terhadap kerenah dan budi pekerti isterinya, memimpinnya ke jalan agama, berjuang mencari rezeki yang halal untuk mereka di samping berusaha mendidik anak-anak. Kesemua tugas itu adalah kerja dan tanggungjawab besar.”
Namun, mengapa kadangkala perkahwinan yang terjalin hanya mampu bertahan seumur jagung? Mengapa pula kebahagiaan perkahwinan hanya sebatas pada resepsi perkahwinan secara besar-besaran? Mengapa pula perbalahan dan pertengkaran kerap mewarnai kehidupan rumah tangga?
Dalam hal ini, Rasulullah SAW menjelaskan kepada kita empat kriteria yang menjadi sebab dan kecenderungan terciptanya ikatan pernikahan serta memberi panduan kepada umatnya supaya mengutamakan satu daripada empat kriteria itu.
Rasulullah SAW bersabda: Perempuan dinikahi kerana empat perkara: hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang memiliki pengetahuan agama yang baik, yang akan memberi keuntungan kepadamu. (Hadis riwayat Muslim)"
Selanjutnya, campur tangan pihak lain, terutama pihak mentua adalah antara punca keretakan rumah tangga. Oleh itu, biarkanlah suami isteri yang melakukan penyesuaian dan penyelesaiannya serta mengatasi masalah dengan caranya sendiri, mengharungi suka dan duka, pahit dan manis nescaya mereka akan menemui penyelesaian baru dalam memecahkan permasalahan yang ada.
Setiap pasangan hendaklah berusaha untuk saling mencintai dan menyayangi, menghormati dan bertolak ansur, menjaga perasaan dan memuji, serta sifat mulia lainnya dalam usaha mengekalkan kelangsungan bahtera melayari ombak kehidupan yang membadai.
Demikianlah, matlamat perkahwinan yang seharusnya berfungsi melahirkan kebahagiaan demi kebahagiaan, bukannya kesedihan demi kesedihan kerana ia bererti berjalan di atas fitrah kemanusiaan dan menjunjung perintah Allah.


Penulis ialah Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA (Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi)

Monday, December 3, 2012

Wanita bekerja tak boleh abai tugas sebagai isteri, ibu

Fahaman konservatif mempersoalkan kedudukan wanita sebagai pekerja. Wanita dianggap hanya sesuai menjalankan tugas sebagai isteri. Menyedihkan apabila larangan itu dikaitkan dengan alasan bahawa Islam menghalang wanita bekerja dan terbabit aktiviti kemasyarakatan.
Sesungguhnya Allah SWT tidak menyekat kebebasan hamba-Nya daripada melakukan kebaikan untuk diri sendiri dan keluarga. Allah SWT menyuruh melakukan kebaikan tanpa mengkhususkan kepada lelaki atau wanita Firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal salih, sama ada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, mereka akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiayai (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun.” (Surah an-Nisa, ayat 124)


Sistem pendidikan sama rata membuka peluang kepada wanita memperoleh pendidikan dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Kelulusan dimiliki membuka peluang wanita menyertai pelbagai sektor pekerjaan.
Banyak sektor pekerjaan tidak membezakan antara pekerja lelaki dan wanita. Keupayaan bekerja lebih menumpukan kepada kemahiran berbanding kekuatan fizikal, membolehkan wanita melaksanakan tugas dengan sempurna.
Realitinya, banyak wanita berjaya membuktikan kemampuan dalam pelbagai tugas dan kerjaya seperti lelaki. Wanita kini dilantik mengetuai jabatan, organisasi dan sebagainya.
Wanita berkahwin perlu mendapat kebenaran daripada suami untuk bekerja. Jika wanita itu sudah bekerja sebelum berkahwin dan suami mengetahui perkara itu serta tidak menghalangnya, maka boleh dianggap suami telah mengizinkan untuk terus bekerja.
Tugas mencari rezeki menjadi tanggungjawab suami. Sebab itu suami dilebihkan kedudukan berbanding isteri. Suami juga sebagai pemimpin.
Firman Allah SWT bermaksud: “Lelaki adalah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 34)
Namun, Islam tidak melarang isteri turut menyumbang dalam kewangan keluarga. Isteri Rasulullah SAW, Siti Khadijah adalah seorang peniaga berjaya. Siti Khadijah menyumbangkan kekayaannya untuk mengembangkan Islam.
Pola sosial ekonomi sekarang menuntut wanita terbabit dalam ekonomi rumah tangga. Banyak keluarga menghadapi masalah kewangan jika isteri tidak membantu suami dalam soal mencari rezeki.
Kini, bilangan wanita bekerja semakin banyak. Perubahan positif ini disebabkan kesedaran wanita pentingnya mereka turut menyumbangkan tenaga, kemahiran dan fikiran untuk kebaikan diri, keluarga dan negara.
Namun wanita bekerja tidak boleh melupakan tugas hakiki sebagai isteri dan ibu. Kerja tidak boleh dijadikan alasan mengabaikan tugas dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Isteri juga ada tanggungjawab dalam keluarga.
Wanita bekerja mesti bijak mengatur tugas sebagai isteri, ibu dan kerjaya. Suami perlu menghargai kesediaan isteri menanggung sebahagian keperluan kewangan yang menjadi tanggungjawab suami sepenuhnya. Tolak ansur dalam rumah tangga menjamin kebahagiaan berkekalan.

Berfesyen ikut syariat

Adakah salah untuk kita berfesyen? Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya mengenakan sesuatu fesyen sama ada dalam bentuk pakaian ataupun aksesori kecantikan. Sesungguhnya Allah menyukai hamba-Nya yang menjaga keterampilan diri dan kecantikan.
Daripada Abdullah Ibnu Masud, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada sifat sombong walaupun seberat zarah. Maka berkata seorang lelaki kepada Baginda: Sesungguhnya seseorang individu itu suka jika pakaiannya baik dan kasutnya juga baik. Balas Baginda SAW: Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan. Sifat sombong melenyapkan kebenaran dan kehinaan kepada manusia.” (Riwayat Imam Muslim)
  Rasulullah SAW tidak melarang seseorang manusia itu untuk memperagakan fesyen malah Baginda menerangkan Allah itu sifat-Nya cantik dan suka akan kecantikan. Namun Rasulullah SAW melarang jika seseorang itu berfesyen dalam keadaan angkuh dan sombong kepada masyarakat sekelilingnya.
Walaupun kita diberikan kebebasan dalam memperagakan sesuatu fesyen, tidak bermakna kita boleh memakai apa saja pakaian tanpa perlu menghiraukan adab dan tata susila. Islam telah menggariskan beberapa panduan bagi seseorang Muslim mahupun Muslimah dalam berpakaian. Antara perkara yang perlu diambil perhatian dalam berfesyen ialah memastikan pakaian menutup aurat. Aurat dalam berpakaian ialah kawasan anggota yang perlu dijaga dan ditutup oleh setiap orang Islam daripada dilihat orang lain.
Tujuan utama diwajibkan menutup aurat ke atas umat Islam semata-mata untuk memelihara dirinya dan orang lain daripada perkara buruk yang menjerumuskan mereka ke lembah dosa. Aurat bagi lelaki antara kawasan pusat dan lututnya, manakala bagi wanita pula auratnya ketika bersama dengan bukan mahram adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan kedua-dua pergelangan tangannya.

Antara adab ketika berpakaian adalah memakai pakaian tidak ketat yang menampakkan bentuk tubuh terutama kepada kaum wanita.
Dalam hal ini Nabi SAW telah menyatakan seperti mana diriwayatkan Imam Muslim dalam sahihnya antara golongan akan diazab Allah dalam api neraka adalah perempuan yang disebut ‘Kaasiyat Aariyat’ iaitu wanita yang memakai pakaian mendedahkan sebahagian bentuk tubuhnya.
Ulama terkenal, Sheikh Muhammad Salih al-Uthaimin ketika mengulas hadis ini menyatakan yang dimaksudkan golongan ini antaranya perempuan yang menampakkan bentuk tubuh badan sama ada dengan pakaian ketat, jarang mahupun terdedah sebahagian tubuh badannya.
Bagi kaum lelaki juga mereka tidak digalakkan memakai pakaian ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh pada bahagian aurat mereka dan hukumnya adalah makruh seperti diterangkan Imam al-Nawawi dalam karyanya al-Majmu’.
Sesungguhnya Islam melarang umatnya daripada terikut-ikut budaya negatif masyarakat bukan Islam. Hal ini termasuklah ketika berpakaian dan memperagakan sesuatu fesyen. Nabi SAW melarang terikut-ikut budaya luar yang kadangkala mampu menggugat akidah dan akhlak umat Islam terutama dalam kalangan pemuda-pemudi.

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang terikut-ikut dengan gaya hidup sesuatu kaum maka dia termasuk dalam golongan itu.” (Direkodkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi)
Hadis ini melarang umat Islam terikut-ikut budaya luar yang bersifat negatif termasuklah dalam berpakaian. Antara ikutan negatif yang berlaku seperti memakai pakaian mempunyai gambar salib, bertindik pada anggota badan tertentu bagi kaum lelaki, melukis tatu dan lain-lain.
Inilah realiti umat Islam akhir zaman seperti dinyatakan Nabi SAW: “Sesungguhnya kamu akan mengikuti gaya hidup masyarakat selepas kamu (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak sekali pun nescaya kamu akan memasukinya.” (Hadis muttafaq alaih)
Sesungguhnya Islam melarang umatnya menyerupai golongan berlainan jantina termasuklah dalam memperagakan fesyen. Hukum lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki adalah haram kerana ia berlawanan fitrah asal penciptaan manusia dalam tingkah laku dan pemakaian.
Contohnya kaum lelaki tidak dibenarkan memakai pakaian yang menunjukkan ciri-ciri wanita seperti memakai pakaian diperbuat daripada sutera. Begitulah juga mereka ditegah daripada memperagakan tubuh badan dengan aksesori wanita seperti rantai emas, pewarna bibir dan pewarna kuku.

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita memakai pakaian lelaki.” (Direkodkan oleh Abu Daud, al-Nasaie dan Ahmad)
Nabi SAW menganjurkan kita bersederhana dalam segala perkara termasuk ketika memperagakan sesuatu fesyen. Kita perlu mengambil berat dalam memilih sesuatu fesyen yang ingin diketengahkan.
Antara larangan Nabi SAW dalam berpakaian ialah memakai pakaian yang disebut sebagai pakaian ‘syuhrah’ iaitu pakaian yang keterlaluan bentuk dan potongannya berbanding pakaian kebiasaan.
Hal ini untuk mengelakkan daripada timbulnya perasaan sombong dalam jiwa pemakai. Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang memakai pakaian ‘syuhrah’ di dunia maka Allah SWT akan memakaikannya dengan pakaian yang hina pada hari akhirat.” (Direkodkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah)
Islam tidak melarang seseorang untuk berfesyen namun perlulah mengikut seperti yang digariskan syariat Islam. Malah kita digalakkan untuk menghias diri kita secara kemas, cantik dan sederhana. Bagaimanakah niat kita berfesyen? Kita sewajibnya menghiaskan fesyen yang diharuskan syarak dengan penuh ketakwaan seperti firman Allah SWT: “Dan pakaian takwa itulah yang paling baik.”

Wednesday, November 28, 2012

Isteri nusyuz tiada hak nafkah?


KITA sering mendengar perkataan nusyuz yang sering dikaitkan dengan perangai isteri. Wanita terutama isteri sangat takut kepada perkataan nusyuz kerana memperlihatkan perangai buruk yang menyebabkan dia diceraikan.
Sebenarnya isu nusyuz banyak kaitannya dengan nafkah. Untuk mendapatkan nafkah, salah satu syarat utama nafkah ialah 'isteri menyerahkan diri sepenuhnya kepada suami, walaupun suami seorang kanak-kanak'.
Jika isteri menahan diri daripada disetubuhi, maka suami tidak wajib memberinya nafkah. Ini kerana Rasulullah SAW mengahwini Aishah dan hanya bersatu selepas dua tahun akad perkahwinan dan baginda tidak membiayai nafkah melainkan selepas bersatu dengan Aishah.
Jika isteri menahan dirinya kerana sebab yang hak seperti suami tidak membayar mahar tunai atau tidak menyediakan tempat tinggal yang sesuai, maka suami wajib membayar nafkah.
Ulama Hanafi kebanyakannya berpendapat secara umumnya, isteri yang bekerja tidak menyerahkan diri sepenuhnya kepada suami, maka dengan itu dia tidak berhak mendapat nafkah.
Bagaimanapun, ada pandangan dalam mazhab Hanafi, sekiranya si isteri keluar rumah untuk bekerja dan suami meredainya, maka wajib nafkah ke atasnya kerana dia masih taat dan tidak nusyuz. Sekiranya suami tidak reda, maka gugur haknya ke atas nafkah kerana dia dikira tidak taat atau nusyuz.
Isteri yang nusyuz perlu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah menjadi nusyuz. Jika dilihat, peruntukan ini mencerminkan Hukum Syarak yang telah dijelaskan oleh para ulama.
Sebenarnya isu nusyuz banyak digunakan oleh suami untuk tidak membayar nafkah kepada isteri dan isteri perlu sedar bahawa walau apa sekalipun pangkat dan kedudukannya, dia mesti menghormati dan mentaati suami kecuali jika suami memerintahkannya mensyirikkan Allah atau membuat maksiat.
Malah isteri mesti sentiasa ingat bahawa taat dan tunduk kepada kemahuan suami adalah sebahagian daripada akad nikah yang diterima suami daripada wali isteri.
Isteri tidak wajib bekerja dan menanggung keluarga. Sebaik sahaja seorang wanita berkahwin, dia diletakkan di bawah jagaan suaminya sebagai satu amanah.
Suami bukan sahaja wajib memberinya makan dan minum malah wajib memberinya pendidikan agama supaya dia (isteri) tahu akan tanggungjawab dan kewajipannya. Oleh itu, sebelum berkahwin, setiap pasangan perlu jelas siapa isteri dan siapa suami dan siapa yang perlu melaksanakan apa.
Dalam hal nafkah, jika suami tidak membayar nafkah dalam tempoh tiga bulan, isteri berhak memohon perceraian melalui fasakh di bawah seksyen 53(1)(b). Isteri perlu membuktikan bahawa dia tidak nusyuz untuk membolehkan mahkamah membubar perkahwinannya kerana kecuaian suami daripada membayar nafkah.
Pada masa yang sama di bawah peruntukan seksyen 53(1)(i) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Melaka 2002, seorang suami boleh menfasakhkan isteri, jika isterinya secara sengaja dan tanpa sebab yang munasabah enggan disetubuhi.
Dalam hal ini, jika suami berjaya dalam permohonan fasakhnya, maka dia juga secara automatik tidak wajib membayar nafkah semasa berkahwin atau semasa isteri dalam iddah. Ini menunjukkan hubungkait fasakh dengan nusyuz dan kewajipan suami membayar nafkah.
Isteri juga perlu akur bahawa haknya untuk bekerja adalah dengan kebenaran suami, namun, jika suami semasa mengahwini isteri tahu isteri seorang wanita bekerja dan menyara keluarganya, maka suami tidak boleh kemudiannya meminta isteri berhenti kerja kecuali dengan kemahuannya sendiri.
Suami juga perlu sedar bahawa kewajipan menyara isteri adalah tanggungjawabnya dan jika dia mahu isterinya bekerja, membantunya dalam menyara keluarga, maka suami tidak boleh kemudiannya berkata bahawa isterinya nusyuz kerana bekerja sehinggakan tanggungjawab utama isteri iaitu melayan suami terabai dan tidak dilaksanakan.
Suami tetap tidak berhak kepada gaji isteri dan jika isteri memberi gajinya untuk kepentingan keluarga, itu adalah sedekah jariah isteri tersebut.
Isteri tetap akan nusyuz jika dia melampaui batas dan menyalahgunakan kebenaran bekerja yang diberikan suami.
Sebagai seorang isteri yang bekerja, dia perlu menjaga maruah diri dan suami dan mengehadkan pergaulannya dengan lelaki lain untuk menjaga keharmonian rumah tangga.
Isteri tetap tidak boleh membenarkan lelaki masuk ke rumahnya semasa ketiadaan suami di rumah atau bergaul bebas dengan lelaki lain tanpa kehadiran suami.
Jika isteri bekerja kerana membantu kedudukan ekonomi keluarga, suami tidak boleh memerintahkan isteri melayannya seolah-olah isterinya tidak bekerja sepanjang hari.
Keseimbangan antara bekerja dan tanggungjawab melayan suami perlu ada untuk mengelak isteri menjadi nusyuz atau suami menyiksa atau mendera isterinya dalam usaha menguatkuasakan haknya sebagai suami.
Dalam banyak kes perceraian di Mahkamah Syariah hari ini, ketidakseimbangan ini menjadi punca perceraian dan suami mendabik dada enggan membayar nafkah kerana isterinya dikatakan nusyuz.
Isteri pula, atas dasar cinta, bekerja dari pagi hingga ke petang, balik mengurus rumah dan anak-anak tanpa bantuan pembantu rumah atau suami sehingga memudaratkan kesihatannya, mendapati dirinya dipersalahkan kerana tidak melayan suami.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121128/ba_02/Isteri-nusyuz-tiada-hak-nafkah#ixzz2DaAoEeIU

Tuesday, October 30, 2012

Isu nusyuz bukan senjata ampuh suami

Mahkamah Syariah tentukan hukum isteri tak dapat nafkah




Kebanyakan suami masih keliru atau kabur dan sebahagian besarnya tidak faham langsung maksud nusyuz. Ramai suami mentafsirkan sendiri istilah 'nusyuz' dengan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada ulama muktabar.

Nusyuz dijelaskan dalam firman Allah SWT: “Dan wanita-wanita (isteri-isteri) yang kamu khuatir nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahlah diri dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari untuk menyusahkan mereka sesungguhnya Allah Maha Tinggi Lagi Maha Besar.” (Surah Al-Nisa’, ayat 34)



“Suami tidak boleh memandai-mandai menghukum isteri sebagai nusyuz dengan menghentikan pemberian nafkah kepada isteri atas andaian isteri telah nusyuz. Sebaliknya suami perlu mengemukakan permohonan di Mahkamah Syariah untuk mensabitkan isterinya nusyuz.



Isu isteri nusyuz ini dijadikan senjata ampuh bagi suami dan dibangkitkan mereka dalam semua kes termasuk tuntutan mutaah, hadanah, fasakh serta harta sepencarian. Walhal nusyuz hanya memberi kesan kepada nafkah isteri.



Suami juga keliru dalam membezakan antara berkelakuan buruk (fahisyah) dengan nusyuz. Sesetengah suami cukup mudah menghukum isteri yang meninggikan suara, tidak memasak atau tidak membasuh baju sebagai isteri nusyuz.



Sedangkan dari sudut undang-undang, nusyuz adalah kes yang sukar untuk dibuktikan dan memerlukan beban pembuktian yang berat. Bukan hak suami untuk mengatakan isterinya nusyuz, tetapi ia adalah kuasa Mahkamah Syariah.



Mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003, perkataan nusyuz disebutkan sebanyak tiga kali, dua kali disebutkan dalam Seksyen 60 dan sekali disebutkan dalam Seksyen 66.

Seksyen 60 menyebut hak isteri untuk mendapat nafkah daripada suaminya semasa dalam pernikahan, serta kesan nusyuz terhadap hak nafkah itu. Manakala Seksyen 66 mengenai hak isteri mendapatkan nafkah ketika dalam edah serta kesan nusyuz terhadap hak nafkah edah itu.



Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan, seorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya.



Antaranya, apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya; meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya atau enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah tanpa sebab sah mengikut hukum syarak.



Selepas isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz. Ringkasnya, sabitan nusyuz perlu kepada pengesahan dari Mahkamah Syariah.



Suami tidak boleh memandai-mandai menghukum isteri sebagai nusyuz dengan menghentikan pemberian nafkah kepada isteri atas andaian isteri telah nusyuz. Sebaliknya suami perlu mengemukakan permohonan di Mahkamah Syariah untuk mensabitkan isterinya nusyuz.



Kebanyakan kes nusyuz yang dibangkitkan di mahkamah adalah berkaitan tindakan isteri meninggalkan rumah disediakan oleh suami. Namun, sejak kebelakangan ini, semakin banyak muncul kes nusyuz yang mana suami mendakwa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.



Kes nusyuz boleh didaftarkan melalui prosedur kes mal atau jenayah kerana tiada prosedur khusus.



Tuntutan nusyuz juga boleh dibuat semasa pembelaan dan tuntutan balas suami dalam kes tuntutan perceraian isteri.



Apabila suami mendapati isterinya nusyuz, suami perlu memulakan tindakan proaktif iaitu dengan membuat aduan di Pejabat Agama Islam untuk satu sesi kaunseling bagi menasihati pihak-pihak menyelesaikan krisis yang dihadapi.



Suami juga perlu mengambil tindakan memujuk isteri kembali ke pangkuannya dan kembali mentaatinya menurut hukum syarak. Jika suami tidak mengambil sebarang tindakan wajar, kemungkinan isteri tidak dapat disabitkan sebagai nusyuz.



Nusyuz juga biasanya akan dimulakan dengan tuntutan taat terlebih dulu yang dikemukakan suami. Jika selepas perintah isteri taat dikeluarkan, isteri masih lagi enggan, maka isteri boleh disabitkan nusyuz.



Isteri nusyuz juga boleh didakwa menggunakan prosedur jenayah dengan menggunakan peruntukan isteri tidak menurut perintah (Seksyen 129) dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Kesilapan suami ialah menimbulkan isu nusyuz sebagai pembelaan diri.



Kesilapan suami juga, masih ingin menimbulkan isu nusyuz dalam kes tuntutan selepas perceraian sedangkan pengisytiharan atau sabitan nusyuz tidak pernah dimohon suami sebelum berlaku perceraian.



Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Sunday, July 15, 2012

Syarat fidyah jika tinggalkan puasa

Fidyah berkait rapat dengan ibadah puasa di mana ada beberapa sebab dalam puasa wajib yang jika ditinggalkan akan dikenakan fidyah iaitu meninggalkan puasa kerana tua atau lanjut usia, sakit kronik berpanjangan dan tiada harapan untuk sembuh, Wanita hamil dan yang menyusukan anak terpaksa meninggalkan puasa serta menangguhkan qada puasa sehingga tiba Ramadan berikutnya.. Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Hukum menyempurnakan ibadah yang tidak sempurna adalah wajib, maka justeru itu hukum fidyah adalah wajib seperti ditentukan syarak.


Firman Allah SWT bermaksud: “…Dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 184).



Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan yang belum diqadanya, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari ditinggalkan bagi pihaknya.” (Hadis riwayat Imam Tirmizi).



Terdapat beberapa keadaan di mana seseorang itu dikenakan fidyah apabila meninggalkan puasa atau sebaliknya:

• Seseorang yang meninggalkan puasa kerana bermusafir atau sakit, maka wajib ke atasnya mengqada’ puasa sebelum datangnya Ramadan tahun berikutnya dan jika dilaksanakan dalam keadaan sedemikian maka tiada dikenakan fidyah.

• Seseorang yang menangguhkan qada puasanya sehingga tiba Ramadan berikutnya kerana cuai atau tidak mengambil berat, maka dia dikira berdosa dan diwajibkan membayar fidyah berserta qada puasa mengikut bilangan hari ditinggalkan.

• Seseorang sakit berterusan hingga masuk Ramadan yang lain, dia wajib mengqada puasanya saja tanpa dikenakan fidyah.

• Sekiranya seseorang itu mati sebelum berkemampuan atau berkesempatan mengqada puasanya bukan disebabkan cuai atau sebagainya, maka dia tidak berdosa dan tidak perlu meminta orang lain mengqada bagi pihaknya serta tidak diwajibkan membayar fidyah bagi puasa ditinggalkannya.

• Sesiapa yang mati selepas mampu mengqada puasanya, maka walinya (bapa, datuk atau ahli keluarganya) disunatkan mengqada hari-hari ditinggalkan bagi pihaknya.



Orang lain yang berpuasa bagi pihaknya adalah sah apabila mendapat keizinan salah seorang ahli keluarga terdekatnya. Jika dia berpuasa tanpa mendapat keizinan dan wasiat daripada si mati, maka puasa ganti itu tidak sah.

• Jika tiada seorang pun berpuasa bagi pihak si mati, maka hendaklah dikeluarkan satu cupak makanan bagi setiap hari ditinggalkannya. Makanan itu wajib dikeluarkan daripada harta pusaka ditinggalkannya, sama seperti hutang. Sekiranya dia tidak memiliki harta, maka orang lain boleh mengeluarkan bagi pihaknya dan terlepaslah dosanya.

• Seseorang meninggalkan puasa kerana tua atau lanjut usia, sekiranya dengan berpuasa akan membawa kesulitan kepadanya, maka wajib membayar fidyah saja berdasarkan kesepakatan ulama.

• Seseorang yang tidak berkemampuan untuk berpuasa, sekiranya dia tidak berkemampuan juga untuk membayar fidyah maka tiada apa-apa dikenakan ke atasnya.

• Seseorang yang mengalami sakit kronik berpanjangan dan tiada harapan untuk sembuh, maka wajib membayar fidyah dengan kesepakatan ulama, kerana puasa tidak lagi diwajibkan ke atasnya.

• Wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak, jika meninggalkan puasa kerana bimbangkan keselamatan anaknya, maka wajib membayar fidyah berserta dengan qada puasa mengikut jumhur ulama.



Sebaliknya, jika dia meninggalkan puasa kerana bimbangkan keselamatan dirinya sendiri, maka dia boleh berbuka puasa dan diwajibkan qada’ puasa saja tanpa perlu membayar fidyah.



Menurut pandangan paling sahih dalam Mazhab Syafii, bayaran fidyah berganda dengan bergandanya tahun. Manakala menurut Mazhab Maliki dan Hanbali, bayaran fidyah tidak berganda mengikut tahun kerana ia dikira sekali gus saja.



Bayaran fidyah boleh ditunaikan sepanjang hidup. Namun, lebih baik mempercepatkan pembayarannya sekadar termampu dan seboleh-bolehnya ditunaikan dalam Ramadan kerana pahala pada bulan itu lebih banyak berbanding bulan lain.



Penulis Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR)



Monday, June 11, 2012

Guna kekayaan dunia dengan perbanyakkan amal jariah

ADA hadis Rasulullah SAW yang mengatakan bahawa orang miskin lebih ringan hisabnya dan lebih awal masuk ke syurga. Kenyataan Rasulullah SAW ini haruslah kita lihat sebagai satu bentuk motivasi diri agar berwaspada tatkala dikurniakan Allah dengan limpahan harta benda. Ini bukannya satu penghalang buat kita berusaha di dunia atau meninggalkan visi untuk menjadi seorang yang kaya.




Sebaliknya kenyataan Rasulullah SAW itu perlu diteliti dari perspektif murni yang mengajak kita supaya sentiasa dalam sifat kewaspadaan terhadap pemilikan harta sehingga hanyut dalam kenikmatannya. Juga mendidik kita supaya memanfaatkan harta kekayaan ke jalan yang menjurus kepada kehendak agama. Islam tidak pernah membawa umatnya ke arah negatif yang berbentuk pesimis dengan mengetepikan nikmat dunia lantaran mengejar ganjaran ukhrawi. Walaupun kita lihat begitu ramai golongan ahlus sufah pada zaman Rasulullah SAW iaitu golongan miskin, tetapi mereka tidak terbabit dalam amalan negatif seperti meminta-minta. Apa yang berlaku ialah golongan miskin itu dibantu secara sukarela oleh golongan mukmin yang kaya. Inilah semangat ukhuwah yang jitu pada zaman Baginda. Apa yang ditegah adalah sikap bakhil, kecintaan melampau terhadap nikmat dunia dan kurang peka terhadap golongan memerlukan bantuan. Sikap seumpama ‘enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ sebenarnya tidak ada dalam kamus Islam. Tinjaulah bagaimana mereka yang berada dalam kelompok mukmin yang bergelar hartawan seperti Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf mempamerkan nilai diri yang melandasi tuntutan agama. Mereka langsung tidak sayang dan kedekut dengan harta yang mereka miliki, sebaliknya merekalah yang muncul sebagai penyumbang utama kepada usaha meningkatkan syiar agama termasuk dalam aspek menyalurkan aneka bantuan kepada masyarakat. Sejarah dengan jelas merekodkan dalam tinta emas kedudukan mereka itu yang begitu berperibadi luhur dalam kerja-kerja membantu golongan miskin. Inilah sebenarnya yang Islam kehendaki, iaitu yang kaya membantu mereka yang miskin. Barulah bermakna dan bermanfaat segala harta dunia yang dimiliki.



Pesanan Allah berikut ini wajar kita ingat selalu yang Firman-Nya: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian rahmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (Maksud Surah al-Qasas ayat 77)



Justeru, daripada apa yang dinyatakan Allah itu jelaslah bahawa kita digalakkan supaya berusaha menggandakan usaha mencari kekayaan dunia tetapi dalam kerangka piawai hidup yang seimbang untuk dunia dan akhirat. Dengan demikian kita sebenarnya dianjurkan berusaha gigih memperoleh kekayaan dunia agar dapat mempertingkat kualiti ibadat yang berhubung secara langsung dengan Allah dan sesama manusia. Inilah yang diarahkan kepada kita semua.



Allah ada berfirman yang bermaksud, “Orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau berterang-terangan, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tiada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Maksud Surah al-Baqarah ayat 274).

Menyentuh firman Allah ini, Imam al-Khazin dalam tafsirnya memberitahu kita bahawa: “Dikatakan bahawa ayat ini berlaku umum untuk setiap orang yang membelanjakan harta mereka pada setiap waktu dan merata untuk semua kalangan, baik yang berada dalam kesulitan memenuhi keperluan, dan mereka yang meminta-minta serta hidup dalam kemelaratan.”



Rasulullah SAW sepanjang hayat Baginda sangat memandang tinggi sikap dermawan yang tidak bakhil dengan menyumbangkan hartanya ke jalan kebaikan. Dengan kenyataan yang juga berbentuk satu motivasi buat umatnya, baginda berpesan kepada kita: “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah, dan tangan yang di atas suka memberi dan tangan yang di bawah suka meminta.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)



Selain itu, kita perlu insafi bahawa Islam mendidik kita agar memperseimbangkan antara kehidupan dunia dan akhirat. Maknanya Islam tidak pernah menyarankan kita secara terus-menerus beribadah tanpa menoleh kepada aktiviti untuk memenuhi keperluan duniawi. Allah dan Rasulullah SAW mengajak kita agar bertindak seimbang antara beribadah dan berusaha untuk memperlengkapkan keperluan diri sendiri dan juga untuk kemaslahatan insan yang lain. Dengan demikian fahamilah kita bahawa seseorang mukmin sejati bukanlah hidup miskin, menjauhkan dirinya daripada kehidupan dunia dan bersikap menyerah sahaja untung nasib kehidupan kepada Allah.



Kata Baginda Rasulullah SAW bahawa kemiskinan dapat membawa seseorang itu ke dalam kekufuran seharusnya menjadi titik tolak membangkitkan semangat untuk menerokai dan mencari khazanah rezeki Allah di muka bumi ini. Namun pada masa yang sama, Allah dan Rasulullah SAW sering memperingatkan kita tatkala beroleh kekayaan dunia supaya tidak lupa diri sehingga melalaikan perintah agama dan bersikap mementingkan diri sendiri. Inilah yang terlarang

Dua syarat utama ibadat diberkati

BOLEH dikatakan semua orang yang beriman mempunyai keinginan dan hasrat untuk mendapatkan ganjaran pahala, balasan yang baik, kebahagiaan pada hari kebangkitan, al-falah (kejayaan) di dunia dan di akhirat, dan yang paling kemuncak ialah keredaan Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Esa. Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah menyekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya” (Surah al-Kahfi ayat 110). ... Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah menyekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. - Al-Kahfi, ayat 110 Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan solat), dan beribadahlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)” (Surah al-Hajj ayat 77).




Berdasarkan kedua-dua ayat ini, jelaslah bahawa untuk mendapatkan semua keinginan yang dinyatakan di atas, ada dua syarat utama yang perlu dilaksanakan oleh seseorang Muslim. Pertama, mengerjakan amal ibadat dan amalan-amalan kebajikan, dan kedua, tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu makhluk yang lain.



Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim, kedua-dua perkara ini adalah rukun dalam penerimaan sesuatu ibadat yang dikerjakan itu. Maksudnya, sesuatu amal ibadat itu perlu dilakukan dengan penuh ketauhidan dan keikhlasan kepada Allah SWT. Selain itu, ia juga hendaklah mematuhi syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.



Sebenarnya, hal ini bertepatan dengan peristiwa yang menjadi sebab penurunan ayat 110 daripada Surah al-Kahfi. Diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Ibn Abi al-Dunya daripada Tawus bahawa seorang lelaki berkata: “Ya Rasulullah! Aku ini seorang yang tabah dalam berperang dan sangat mengharapkan keredaan Allah SWT. Namun pada masa yang sama aku juga ingin kedudukanku dilihat oleh orang lain.” Rasulullah SAW tidak sedikit pun memberikan respons berhubung perkara ini sehingga turunlah ayat 110 daripada Surah al-Kahfi sebagai pegangan kepada orang yang mengharapkan keredaan Allah SWT (Dipetik daripada al-Suyutiy dalam Lubab al-Nuqul fi Asbab al-Nuzul, No. Hadis 590).



Dalam sebuah hadis lain, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abi Salih daripada Ibn ‘Abbas ra ada menyatakan bahawa Jundub bin Zuhayr apabila bersolat atau berpuasa atau bersedekah, dia menginginkan orang lain menyebut dan memujinya. Dalam hal ini, dia lebih mengutamakan pujian manusia daripada mengharapkan keredaan Allah SWT. Berhubung peristiwa inilah Allah SWT menurunkan ayat 110 daripada Surah al-Kahfi ini (Dipetik daripada al-Syawkaniy dalam Fath al-Qadir).



Kedua-dua hadis ini menerangkan bahawa ketidakikhlasan dalam melakukan sesuatu amal kebaikan menyebabkan seseorang Muslim itu terhalang daripada mendapat keredaan Allah SWT. Apabila dia tidak mendapat keredaan Allah SWT, maka dia tidak akan mendapat al-falah.



Hal ini dijelaskan juga dalam sebuah hadis lain, iaitu hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT kerana hendak mencari keredaan manusia, Allah SWT akan memurkainya dan menjadikan setiap orang yang meredainya itu benci terhadapnya. Sesiapa yang mencari keredaan Allah walaupun dibenci oleh manusia, nescaya Allah SWT akan meredainya dan menjadikan setiap yang membencinya itu reda terhadapnya sehingga keredaan Allah SWT itu menghiasi dirinya, percakapannya dan amalannya. Dalam hal ini dia mendapat perhatian Allah” (Riwayat al-Tabrani, No. Hadis 11696).



Sebenarnya hadis ini menerangkan mengenai dua perkara, iaitu keredaan dan kemurkaan Allah SWT. Keredaan Allah SWT dapat menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Asas keredaan itu ialah berdasarkan kepada perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Allah SWT walaupun ia bertentangan dengan kemahuan manusia. Kemurkaan Allah SWT pula akan mengundang balasan buruk di dunia dan di akhirat. Ia bergantung pada amalan buruk manusia, iaitu perbuatan yang bertentangan dengan al-Quran dan hadis.



Dengan kata lain, sesiapa yang berusaha mendapatkan keredaan Allah SWT, maka Allah SWT akan menolong dan memeliharanya serta mendapat perhatian-Nya. Bagi sesiapa yang mengharapkan keredaan makhluk pula, iaitu dengan membuat perkara yang dimurkai oleh Allah SWT, maka Allah SWT tidak akan memberikannya pertolongan dan perhatian-Nya. Dengan ini, dia tidak akan bahagia di dunia dan di akhirat.



Jelas di sini bahawa setiap amalan kebaikan yang dilakukan dengan penuh ketauhidan, keikhlasan dan mematuhi syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW, maka ia akan diredai Allah SWT. Setelah mendapat keredaan Allah SWT, seseorang hamba itu akan mendapat al-falah di dunia dan di akhirat sebagai hasilnya.



Sebenarnya, keredaan Allah SWT dan Rasul-Nya saja yang boleh menentukan kedudukan seseorang manusia sama ada mulia atau hina. Malah keredaan Allah SWT dan Rasul-Nya itulah keredaan yang hakiki. Ia patut dicari oleh setiap manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Mereka bersumpah kepada kamu dengan (nama) Allah untuk mencari keredaanmu, padahal Allah dan rasul-Nya itulah yang lebih patut mereka cari keredaan-Nya jika mereka adalah orang yang beriman” (Surah al-Tawbah ayat 62).

Ibu tidak pernah jemu 'menuai' kasih

Oleh Imam Muda Hizbur Rahman


bhagama@bharian.com.my

2012/06/12

Laksana amanah didik anak sejak dalam kandungan hingga dewasa



WAHAI anakku, jauh sebelum dirimu hadir dalam kehidupan ayah dan ibu, kami sentiasa bermohon kepada Allah SWT supaya dikurniakan keturunan yang soleh dan solehah, taat kepada Allah, berbakti kepada orang tua, rajin beribadah, belajar, serta dapat menjadi penerus dakwah Islam. Banyak rencana yang kami rancang supaya kelak bila kau hadir, kami sudah siap menjadi orang tua yang baik dan mampu mendidikmu dengan didikan sesuai agama Islam, tuntunan kita seperti dicontohkan Rasulullah SAW kepada kita. Ayah dan ibu ingin kelak apabila Allah mengamanahkan kepada kami seorang puteri, maka dia akan berakhlak seperti akhlak Fatimah, puteri Rasulullah SAW, dan apabila Allah mengamanahkan seorang putera, maka dia akan seperti Saidina Ali.



Setelah tanda kehadiranmu mulai jelas, ibu sering mual, muntah-muntah, sakit kepala dan mahu pengsan. Ibu dan ayah bersyukur kepada Allah atas kurniaan-Nya, kami menjagamu sepenuh hati, serta sentiasa berharap, kelak dirimu lahir sebagai anak yang sihat, sempurna dan menyenangkan.



Sejak dalam rahim, kami cuba menanamkan kalimat tauhid kepadamu dan berupaya mengenalkanmu kepada Sang Pencipta, dengan bacaan ayat suci-Nya, senandung selawat Nabi, nasyid membangkitkan semangat dakwah dan rasa keimanan kepada Allah yang Esa.



Saat kau akan lahir, ibu merasakan sakit amat sangat, seolah-olah berada antara hidup dan mati, namun ibu tidak mengeluh dan putus asa, kerana bayangan kehadiranmu, lebih ibu rindukan dibanding sakit yang dirasakan.

Ibu tak henti-henti berdoa, memohon ampunan dan kekuatan kepada Allah. Ayah pun tidak tidur beberapa malam untuk memastikan kehadiranmu, menemani dan menguatkan ibu, supaya sanggup melahirkanmu dengan sempurna. Bacaan zikir dan istighfar, mengiringi kelahiranmu.



Begitu kau lahir, rasa sakit dilupakan begitu saja. Setelah tangismu terdengar, seolah kebahagiaan hari itu hanya milik ibu dan ayah. Air mata yang tadinya hampir tak henti mengalir kerana menahan sakit, berganti menjadi senyum bahagia menyambut kelahiranmu.



Ibu dan ayah bersyukur kepada Allah SWT, kemudian ayah melantunkan bacaan azan dan iqamah di telingamu, supaya kalimat pertama kau dengar adalah kalimat tauhid yang harus dirimu yakini dan taati selama hidupmu.



Ibu berasakan kebahagiaan menyusukanmu, memastikan anaknya tidak lapar dan membesar sihat. Ibu selalu bersedia memberikan air syurga kurniaan Ilahi kepadamu.



Ibu berusaha menjagamu walau dalam keadaan apapun. Saat malam sedang tidur lelap, ibu akan terjaga bila kau tiba-tiba menangis kerana lampinmu basah atau lapar. Saat sedang makan dan dikau buang air besar, ibu dengan rela menghentikan makan dan mengganti pakaianmu dulu. Semuanya ibu lakukan dengan senang hati, tanpa rasa susah dan jijik.



Sejak dirimu masih dalam buaian, ibu membacakan doa dalam setiap kegiatan kau lakukan. Ibu bacakan doa hendak makan ketika dikau hendak makan, doa hendak tidur ketika dirimu hendak tidur, dan doa apa saja yang harus dikau tahu serta amalkan dalam kehidupan seharianmu.



Ibu bacakan selalu ayat Kursi dan surah pendek satu persatu setiap malam, di kala menghantarmu tidur, ayat demi ayat dan ibu ulang berkali-kali hingga dirimu dapat mengingatinya dengan baik, dengan harapan dirimu besar nanti menjadi penghafaz al-Quran.



Ketika dikau sudah mampu berbicara, Subhanallah, tanpa kami duga dirimu telah menghafal pelbagai macam doa dan beberapa surah pendek. Ibu bersyukur dan bangga kepadamu. Muncul harapan dalam hati ini, kelak dikau tumbuh menjadi anak yang pintar dan rajin belajar.



Tatkala dirimu mulai belajar solat, walau dengan bacaan yang masih belum sempurna, bercucuran air mata ibu kerana kau telah mampu melafazkan doa itu.



Timbul harapan di hati yang paling dalam, kelak hingga ketika ibu dan ayah tiada, dikau tetap melantunkan doa itu, kerana doamu akan memberikan kepada ibu dan ayah pahala tak henti-henti di hari akhirat. Kaulah aset masa depan bagi ibu dan ayah.



Saat dikau memasuki usia sekolah, kami carikan sekolah yang baik untukmu. Sekolah yang memiliki visi pendidikan seperti yang ibu dan ayah inginkan. Alhamdulillah, saat dirimu mulai bersekolah, telah banyak didirikan sekolah Islam.



Apabila ibu dan ayah tidak mahu melayanimu untuk hal yang sudah dapat dirimu lakukan sendiri, itu bukan bererti kami tidak menyayangimu. Ibu dan ayah sayang sekali padamu, dikau tidak boleh terlalu dimanjakan hingga saat dirimu besar nanti, dikau jadi anak yang berdikari dan serba boleh.



Maafkan ibu dan ayah apabila sesekali atau sering memarahimu ketika dikau membuat kesalahan yang berulang. Sebenarnya ibu dan ayah tidak ingin memarahimu, namun kami sedar dikau perlu tahu dan dapat membezakan mana yang benar, mana yang salah.



Inilah harapan ibu dan ayah kepadamu, sangat banyak dan sangat ideal. Oleh kerana itu, kami sentiasa memohon petunjuk dan bimbingan dari Allah Yang Esa, yang Berkuasa dan Maha Agung, supaya tidak salah langkah dalam mendidikmu.

Wednesday, January 4, 2012

Kos tinggi punca lambat kahwin?

Oleh NOOR AZIAH MOHD. AWAL

--------------------------------------------------------------------------------

PADA musim cuti sekolah dan cuti perayaan, perkara yang paling banyak diadakan adalah majlis perkahwinan. Pada masa inilah juga katerer mendapat rezeki melimpah ruah, maklumlah kenduri kahwin bukan kecil-kecilan.

Di Malaysia, trend majlis perkahwinan di hotel atau dewan telah mengganti majlis yang biasanya diadakan di rumah.

Orang kampung pun sudah pandai kenduri dengan menempah makanan. Jika dulu tuan rumah menghantar tepak menjemput tetapi hari ini ada kad, ada yang pakai emel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk jemput ke majlis perkahwinan. Ke mana pergi adat budaya kita?

Dulu orang bagi bunga telur tanda terima kasih tuan rumah kepada tetamu, hari ini ada yang bagi gula-gula, coklat, buah, kek dan berbagai hiasan termasuk rantai kunci dan sapu tangan.

Semua perubahan majlis perkahwinan bermula daripada persedian hingga ke majlisnya menunjukkan masyarakat Melayu Islam Malaysia yang melalui proses perubahan dan yang pasti kelihatan semakin mewah.

Namun berapa ramaikah yang benar-benar tahu tentang hukum pernikahan dan hukum mengadakan kenduri atau walimatulurus?

Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab mengadakan majlis dan siapa yang perlu mengeluarkan belanja? Yang pasti, ramai pasangan yang mahu berkahwin, digamit rasa khuatir kerana perkahwinan memakan belanja yang tinggi. Akhirnya, tunda majlis kerana tidak cukup wang.

Adakah perkahwinan itu majlis kenduri atau majlis akad nikahnya? Adakah kenduri itu wajib diadakan?

Pernikahan adalah akad yang ditetapkan oleh syarak bagi membolehkan seorang lelaki menikmati hubungan kelamin dengan seorang perempuan dan sebaliknya.

Perkahwinan adalah satu ibadah dalam Islam sebagaimana dalam surah ar-Rum ayat 21. Demikian juga sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Nikah adalah sunnahku dan barang siapa yang tidak suka sunnahku, maka dia bukanlah dari umatku". (riwayat Ibnu Majah)

Perkahwinan menjadi fardu jika seseorang itu yakin bahawa jika dia tidak berkahwin maka dia akan tercebur ke lembah perzinaan. Selain itu, dia juga mampu melunaskan mahar atau mas kahwin, mampu memberi nafkah isteri zahir dan batin.

Perkahwinan adalah sunat bagi seorang lelaki normal yang jika tidak berkahwin tidak akan melakukan zina dan dia juga tidak akan menganiaya isterinya jika berkahwin.

Pernikahan adalah makruh bagi sesaorang yang takut atau bimbang jika dia berkahwin dia akan menganiaya isterinya kerana tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi atau perangai yang kasar atau tidak berminat kepada wanita. Perkahwinan adalah haram jika dia yakin dengan perkahwinannya dia akan menzalimi isterinya seperti tidak mampu menanggung nafkahnya atau tidak mampu mengadakan hubungan seks.

Perkahwinan juga bukan sekadar kendurinya saja. Hari ini, orang tidak tanya berapa mahar atau mas kahwin pengantin perempuan kerana ia telah ditetapkan (ikut ketetapan negeri) dan orang mampu mengadakannya.

Sebaliknya, tetamu menjeling-jeling wang hantaran dan mengira jumlah dulang yang dihantar. Bukan itu saja, ada yang sanggup membelek-belek barangan yang dihantar hendak menentukan kualiti; tulen atau tiruan.

Ibu bapa sanggup berbelanja ratusan ribu ringgit malah ada pasangan muda yang sanggup berhutang untuk memastikan kenduri perkahwinan menjadi paling meriah dan paling mahal.

Memanglah, pasangan mempelai mahu majlis perkahwinan mereka paling istimewa dan unik sebagai tanda cinta mereka. Namun berapa ramai yang tahu bahawa dalam satu majlis perkahwinan, akad nikah itu wajib dilaksanakan kerana ia berlandaskan syarak.

Tanpa akad nikah maka tiadalah majlis perkahwinan. Orang dah kenyang makan dan balik tetapi pengantin belum lagi sah suami isteri kecuali pasangan telah selamat diakad nikahkan.

Apa yang berlaku hari ini, pasangan mendahulukan semua yang adat seperti membelanja wang untuk hantaran, membeli barang hantaran, membeli bunga telur atau apa-apa buah tangan untuk tetamu, menempah mak andam beserta pelamin, baju dan hiasan perkahwinan.

Pasangan hanya berbelanja RM300 sebagai mas kahwin atau mahar berbanding RM50,000 untuk yang lain-lain sedangkan ia hanya adat, bukannya wajib. Malah ia boleh menimbulkan riak kerana rasa ingin menunjuk-nunjuk dan pembaziran.

Menurut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002 mas kahwin adalah pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang.

Bagi memastikan suatu perkahwinan itu sah berlaku dan memenuhi kehendak hukum syarak, pasangan hendaklah diakadnikahkan oleh wali atau oleh pendaftar dengan kebenaran wali dan disaksikan oleh dua saksi.

Pasangan mestilah seorang lelaki dan seorang perempuan dan pengantin lelaki hendaklah membayar mas kahwin kepada pengantin perempuan.

Alangkah mudahnya majlis pernikahan tersebut dan hari ini pasangan telah boleh bernikah dengan mempunyai minimum RM500 kerana jika maharnya RM300, upah nikah dan sedikit yang lain, pasangan boleh diakadnikah dengan selamat.

Tentunya ramai yang berkata "tidak mungkin" kerana hari ini hantaran mencecah RM20,000 (bagi seorang anak gadis yang berkelulusan ijazah pertama tidak termasuk artis, orang kenamaan dan sebagainya).

Itu tidak termasuk harga barang hantaran seperti cincin pertunangan dan cincin perkahwinan (ada juga yang memberi rantai dan gelang emas) kasut, baju, bag tangan, minyak wangi dan lain-lain barangan sokongan sebagai hantaran.

Ada pasangan berbelanja RM5,000 ke 10,000 untuk hantaran sahaja. Majlis kenduri jika berlangsung di hotel, kosnya kepada berapa jemputan dan jenis makanan yang dihidangkan dan tidak kurang daripada RM50,000.

Barang-barang lain yang sangat mahal adalah pelamin, baju pengantin dan bunga telur dan hadiah kepada tetamu. Jika dijumlahkan dari bertunang hingga s akad nikah, ada pasangan membelanjakan RM100,000.

Ada yang membelanjakan wang simpanan, ada yang membelanjakan duit ibu bapa yang bergadai bergolok untuk majlis anaknya kerana takut malu dan mahu menjaga air muka dan nama. Lebih malang, pengantin lelaki yang terpaksa meminjam wang bank, koperasi atau kawan kerana wang simpanan tidak mencukupi.

Ramai yang terpaksa bertunang lama kerana perlu mengumpul wang. Lebih malang, bayaran pinjaman belum habis dibayar, isteri dah minta cerai. (Utusan Malaysia melaporkan statistik perceraian yang meningkat dan dan 20peratus yang bercerai baru berkahwin lima tahun.)

Menurut kajian, lelaki berkahwin pada usia 28 tahun dan wanita 26 tahun dan adakah ini bermakna pasangan lambat berkahwin kerana faktor kos perkahwinan yang sangat mahal.

Perkahwinan adalah isu jodoh dan kita perlu sentiasa ingat bahawa jodoh pertemuan adalah hak Allah. Memang ramai wanita berkahwin lambat kerana kebanyakan wanita berpendidikan tinggi.

Umur minimum tamat ijazah pertama universiti adalah 23-24 tahun dan bagi yang membuat diploma adalah 21 tahun. Bagi yang wanita perkahwinan bergantung kepada jika ada orang masuk meminang tetapi bagi lelaki sama ada dia mampu untuk meminang.

Jika tamat belajar mereka berumur 24 tahun dan dengan gaji RM3,000 ke 4,000 sebulan, dengan membayar PTPTN, pinjaman kereta dan perbelanjaan harian, mereka mungkin dapat menabung RM1,000 sebulan. Jika perbelanjaan perkahwinan (hantaran sahaja RM15,000) mereka perlu menabung 15 bulan. Jika anggaran perbelanjaan perkahwinan itu RM50,000 maka mereka hanya boleh berkahwin selepas 50 bulan bekerja (iaitu empat tahun) dan tentulah usia perkahwinan menjadi 28 tahun.

Alangkah baiknya simpanan RM50,000 itu dijadikan wang muka membeli rumah dan pasangan boleh terus tinggal di rumah sendiri selepas berkahwin.

Memang kos perkahwinan telah naik tetapi itu bukan alasan melewatkan perkahwinan. Ibu bapa perlu ada transformasi pemikiran daripada mahu mengadakan majlis besar-besaran kepada melihat anak berumahtangga tanpa hutang dan memulakan kehidupan rumahtangganya tanpa riba. Tepuk dada tanya selera.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Undang-Undang UKM.

Monday, January 2, 2012

Syarat bebas daripada belenggu syahwat

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
ALLAH SWT menyebut bahawa Dia yang memiliki tangga dan darjat yang tinggi serta nikmat-nikmat yang melimpah ruah yang dikurniakan kepada sekalian hamba-Nya yang terpilih.
Kemudian Allah SWT menambah lagi dengan menyebut syarat untuk sampai kepada martabat yang tinggi itu dengan menjauhkan daripada kegelapan yang dapat memasukkan jiwa ke dalam neraka yang menyala-nyala sehingga dapat mengelupaskan kulit kepala.
Seterusnya, Allah SWT menjelaskan 10 syarat yang mampu membebaskan manusia daripada belenggu yang mengikat nafsu syahwat, antaranya:
*Sembahyang.
*Sentiasa mengerjakan sembahyang secara istiqamah pada waktu yang ditetapkan.
*Mendirikan sembahyang dengan cara yang paling sempurna dengan menghadirkan hati, khusyuk kepada Allah SWT di samping menjaga sunah-sunah serta peraturan sembahyang.
*Membenarkan kedatangan hari kiamat dengan melahirkan di dalam dirinya sama ada dalam bentuk iktikad atau amal perbuatan.
*Mengeluarkan sedekah dengan harta benda mereka kepada golongan fakir dan orang yang memerlukan.
*Menepati janji.
*Menunaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya.
*Memelihara faraj (kemaluan) mereka daripada melakukan perbuatan yang haram.
*Menyempurnakan kesaksian dengan menepati syarat-syaratnya.
*Takut terhadap azab Allah SWT.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah. Dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir. (al-Maarij: 19-21)
Muqatil berkata: Ayat ini ditujukan kepada Umayyah bin Khalaf al-Jumahi. Adapun perkataan halu' terdapat tujuh pandangan:
*Seperti yang disifatkan dalam ayat-ayat selepas ini. Inilah riwayat Atiyah daripada Ibn Abbas dan pendapat Abu Ubaidah dan al-Zajjaj.
*Orang yang loba dan tamak dengan harta yang tidak halal baginya seperti riwayat Abu Soleh daripada Ibn Abbas.
*Orang yang bakhil. Inilah pendapat al-Hasan dan al-Dahak.
*Orang yang amat kedekut. Inilah pendapat Ibn Jubair.
*Orang yang jahat. Inilah pendapat Mujahid.
*Orang yang kasar lagi ganas. Inilah pendapat Ikrimah, Qatadah, Muqatil dan al-Farra'.
*Mereka yang keras lagi samseng. Inilah pendapat Ibn Qutaibah.
Syed Qutub berkata: Tiga ayat yang pendek ini memberi gambaran yang jelas bahawa manusia amat gelisah dan cemas apabila ditimpa kesusahan seolah-olah ia adalah untuk selamanya.
Ia menggambarkan manusia yang kedekut dan bakhil apabila mendapat kekayaan dan kesenangan. Dia menganggap hasil usahanya sendiri dan mengabaikan orang sekeliling tanpa berbakti kepada Allah dengan kekayaan yang dianugerahkan.
Apabila kekayaannya ditarik dan dirampas, maka mereka kegelisahan dan cemas tanpa pedoman. Itulah gambaran manusia yang sungguh malang dan menderita apabila hatinya kosong dari iman.
Firman Allah SWT: Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat, yang mereka itu tetap mengerjakan solatnya. (al-Maarij: 21-22)
Ibn Kathir berkata: Manusia disifatkan dengan sifat yang keji kecuali Allah memeliharanya memberi taufik dan hidayah ke arah kebaikan. Begitu juga mereka menjaga waktu solat dan segala yang wajib. Inilah juga pendapat Ibn Mas'ud, Masruq dan Ibrahim al-Nakaie.
Al-Maghari berkata: Manusia yang memiliki sifat yang tercela layak menerima kemurkaan Allah kecuali orang yang dipelihara dan ditunjukkan Allah SWT mengerjakan amalan kebaikan dengan dipermudahkan kepada mereka bagaimana melakukan sebab kebaikan itu.
Mereka itu terdiri daripada orang yang memelihara sembahyang pada waktunya serta tidak disibukkan dengan urusan lain. Ayat di atas menjadi bukti utama agar sentiasa mengerjakan amal ibadah kepada-Nya.
Firman Allah SWT: Dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu. Bagi orang (miskin) yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mahu meminta). (al-Maarij: 24-25)
Ibn Kathir berkata: Sebahagian harta mereka diperuntukkan untuk mereka yang memerlukannya.
Syed Qutub berkata: Yang dimaksudkan dengan peruntukan itu secara khususnya adalah zakat dan sedekah yang tertentu kadarnya. Peruntukan ini merupakan suatu hak dan kewajipan dalam harta kekayaan orang mukmin.
Mungkin tujuannya lebih luas dan besar iaitu mereka memperuntukkan sebahagian tertentu dari harta kekayaan mereka dengan kesedaran sebagai hak orang yang meminta bantuan dan orang yang susah.
Dengan ini mereka dapat membebaskan diri mereka dari sifat kikir dan tamak di samping membuat orang yang kaya membantu orang yang miskin tanpa bersoal jawab dan sebagainya.

Bertabarruk dengan peninggalan nabi SAW

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
--------------------------------------------------------------------------------

KITA menyambung perbincangan kita tentang bertabarruk atau mengambil berkat dengan bekas-bekas peninggalan Nabi SAW. Alhamdulillah, minggu lepas Yayasan Sofa dalam lawatan kerja ke Mesir berkesempatan melihat dan menyentuh beberapa bekas peninggalan Nabi SAW yang disimpan di Masjid Saidina Hussein r.a.

Wujud dan tersimpan baiknya bekas-bekas peninggalan nabi SAW itu hingga ke hari ini bukanlah sesuatu yang aneh jika kita melihat pelbagai laporan mengenai sikap generasi sahabat dan tabi'en dalam menghargai dan memelihara bekas-bekas peninggalan ini.

Melalui perbuatan mereka ini kita bukan sahaja mendapat pedoman bahawa bertabarruk ini dibolehkan tetapi juga mendapat gambaran tentang sikap kasih dan hormat yang begitu hebat terhadap nabi SAW yang sepatutnya tersemai di hati kita.

Imam Ahmad RH dan lain-lainnya meriwayatkan daripada Anas r.a: Nabi SAW pernah datang ke rumah Ummu Sulaim. Di dalam rumahnya terdapat qirbah (bekas air daripada kulit) yang tergantung. Lalu Rasulullah SAW minum di bahagian bibir qirbah itu sambil berdiri.

Anas r.a berkata, "Maka Ummu Sulaim memotong bibir qirbah itu dan ia ada pada kami". Maksudnya, Ummu Sulaim memotong mulut qirbah yang pernah menjadi tempat minum Rasulullah SAW. Dia menyimpan dan menjaga barang itu di rumahnya untuk bertabarruk dengan bekas atau kesan Nabi SAW.

Diriwayatkan daripada Yahya ibn al Harith al Zimari, katanya: Aku pernah bertemu dengan Wathilah ibn al Asqa', Aku berkata kepadanya, "Dengan tanganmu ini, engkau membaiah Rasulullah SAW"? Dia berkata: "Ya". Kataku, "Hulurkan tanganmu. Aku akan mengucupnya". Dia pun menghulurkan tangannya kepadaku, lalu aku mengucupnya. (riwayat At-Tabrani)

Menurut riwayat Abu Nu'aim di dalam Al-Hilyah, daripada Yunus ibn Maisarah, disebutkan bahawa beliau berkata: "Kami pernah menziarahi Yazid ibn al-Aswad. Lalu datang Wathilah ibn al-Asqa' r.a. Ketika Yazid melihatnya, Wathilah r.a menghulurkan tangannya. Yazid pun memegang tangan Wathilah r.a, lalu disapu ke muka dan dadanya; kerana Wathilah r.a pernah membaiah Rasulullah SAW.

Wathilah berkata kepadanya: "Wahai Yazid! Bagaimana prasangkamu terhadap Tuhanmu"? Dia menjawab: "Baik". Dia berkata: "Maka bergembiralah kerana sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, Sesungguhnya Allah SWT berfirman: "Aku mengikut prasangka hambaKu terhadapKu. Jika sangkaannya baik, maka Aku menilainya baik. Jika sangkaannya buruk, maka Aku menilainya buruk". (Al-Hilyah, 9: 306)

Imam al-Bukhari meriwayatkan di dalam Al-Adab al-Mufrad, daripada Abdul Rahman ibn Razin, katanya: Ketika kami melalui daerah Rabzah, ada yang berkata kepada kami, "Di sinilah tempat Salamah ibn al Akwa' r.a berada". Kami pun menemuinya dan mengucapkan salam kepadanya. Lalu dia mengeluarkan kedua-dua belah tangannya seraya berkata: "Aku pernah membaiah Nabi Allah SAW dengan kedua-dua tangan ini".

Kemudian, dia mengeluarkan telapak tangannya yang gemuk dan kasar seperti telapak kaki unta. Maka kami pun berdiri mendekatinya dan mengucupnya. (ms. 144)

Ibnu Saad juga meriwayatkan hadis seperti itu daripada Abdul Rahman ibn Zaid al 'Iraqi. (Tabaqat Ibn Saad, 4: 39)

Demikian juga Imam Bukhari di dalam Al-Adab al-Mufrad meriwayatkan daripada Ibnu Jad'aan: Thabit berkata kepada Anas r.a: "Apakah engkau pernah menyentuh Nabi SAW dengan tanganmu"? Dia menjawab: "Ya, pernah". Lalu Thabit mengucup tangan Anas. (ms. 144)

Imam al-Bukhari juga meriwayatkan dalam kitab yang sama daripada Suhaib, katanya: "Aku pernah melihat Saidina Ali r.a mengucup tangan al-Abbas r.a dan kedua-dua belah kakinya". (ms. 144)

Diriwayatkan daripada Thabit, katanya: Dahulu, jika aku datang kepada Anas r.a, dia akan diberitahu mengenai kedudukanku. Lalu, aku masuk kepadanya dan memegang kedua-dua belah tangannya serta mengucupnya. Aku berkata: "Demi ayahku! Kedua-dua belah tangan ini pernah menyentuh Nabi SAW". Aku juga mengucup kedua-dua belah matanya, dan aku berkata: "Demi ayahku! Kedua-dua mata ini pernah melihat Rasulullah SAW". (Disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam al-Matolib al-'Aliyyah (4: 111)

Wednesday, December 14, 2011

Peguam syarie penentu kelancaran kes syariah

Mahkamah perlu dilihat sebagai institusi berintegriti, mampu kembalikan keyakinan ummah
Oleh Musa Awang
TAHUN ini menyaksikan beberapa bangunan Mahkamah Syariah dirasmikan di seluruh negara. Pada 28 Jun lalu, Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, berkenan merasmikan Bangunan Mahkamah Syariah Tapah yang konsep dan idea luaran bangunan menyerupai Istana Kuning, Bukit Chandan.

Dalam titah perasmian, Raja Nazrin berkata, Mahkamah Syariah perlu cekap mengendalikan kes yang dibawa untuk mendapat pengadilan, termasuk tidak melayan kerenah menangguhkan kes secara sengaja kerana tindakan itu boleh menidakkan terlaksananya keadilan. Hakim, pegawai mahkamah dan peguam syarie perlu bekerjasama secara kolektif bagi memastikan prosiding mahkamah dapat berjalan lancar dan kes dibicarakan dapat diselesaikan segera. Pada 25 November lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menyeru pegawai Mahkamah Syariah khususnya hakim syarie supaya bersedia berhadapan cabaran besar dengan melengkapkan diri dalam pelbagai disiplin ilmu.

Baginda yang bertitah ketika Majlis Perasmian Bangunan Baru Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) di Shah Alam, berkata, kes di Mahkamah Syariah kini bukan membabitkan kes perceraian, juga tuntutan harta bernilai jutaan ringgit dan kes mencabar sensitiviti masyarakat.

Baginda bertitah supaya semua pihak terutama peguam syarie, pendakwa syarie dan pihak yang bertikai perlu membantu mahkamah dengan membentangkan fakta sebenar supaya keadilan dapat ditegakkan.

Mahkamah Syariah perlu dilihat sebagai sebuah institusi yang berintegriti dan berkualiti tinggi kerana ini penting dalam usaha membina keyakinan serta kepercayaan masyarakat terhadap Mahkamah Syariah.
Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan yang menelan belanja RM96 juta di Jalan Hartamas, berhampiran Kompleks Mahkamah Jalan Duta dan Masjid Wilayah Persekutuan, yang juga Mahkamah Syariah terbesar di Malaysia menjadi bukti keunggulan perundangan syariah negara.

Oleh itu, peguam syarie sebagai sahabat mahkamah juga perlu diberi pengiktirafan dan tidak dipinggirkan dalam bangunan mahkamah yang tersergam indah itu. Seperti mana di Mahkamah Sivil, bilik rehat yang selesa untuk peguam syarie sepatutnya disediakan di bangunan mahkamah.

Selain itu, sudah tiba masanya diadakan peraturan atau arahan mewajibkan pihak yang memfailkan kes di Mahkamah Syariah, terutama di Mahkamah Tinggi Syariah melantik peguam syarie sama ada swasta atau kerajaan, supaya tuntutan atau permohonan ke mahkamah dibuat mengikut prosedur.

Langkah itu juga bagi memastikan perbicaraan kes berjalan lancar dan dapat diselesaikan dengan cepat. Peguam syarie sebenarnya membantu mahkamah mengendalikan kes dengan baik dan berkesan, supaya hakim dapat menghukum dengan adil, tepat dan cepat.

Ketidakfahaman segelintir suami isteri membuat tuntutan adalah faktor utama menyebabkan sebilangan kes di Mahkamah Syariah tertangguh begitu lama. Kadang-kadang mereka tidak faham apa permohonan yang hendak dibuat semasa kes didaftarkan.

Statistik Jabatan Kehakiman Syariah Melaka menunjukkan sebanyak 24.2 peratus kes tertangguh bagi 2006 hingga 2009, berpunca daripada pihak yang bertikai tidak hadir ke mahkamah atau tidak bersedia pada tarikh pendengaran ditetapkan dan 12.65 peratus disebabkan dokumen tidak lengkap.

Pada masa sama, peguam syarie juga perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan memperbaiki akhlak serta budi pekerti mulia seperti dituntut hukum syarak.
Peguam syarie yang kurang ilmu pengetahuan syariah dan undang-undang semasa tidak akan membantu hakim menegakkan keadilan.

Peguam syarie yang tidak berakhlak dan tidak amanah bukan saja akan menyusahkan anak guam, tetapi juga menjadi halangan untuk membantu mahkamah menghukum dengan adil, tepat, cepat dan berkesan.

Adanya bangunan baru dan kemudahan diberikan, diharap peguam syarie dapat memberi kerjasama sepenuhnya untuk memastikan perbicaraan dijalankan dengan berkesan seterusnya mengurangkan jumlah kes tertunggak.

Tuesday, November 29, 2011

Tiada kesepakatan laksana fatwa kelirukan umat Islam

Oleh Musa Awang

2011/11/30
Wanita Muslim sertai ratu cantik cabar ketetapan syariah

PENYERTAAN wanita Islam pada pertandingan ratu cantik pernah menggugat ketenangan masyarakat apabila tiga gadis Melayu menyertai pertandingan itu di Selangor pada 1997. Baru-baru ini, lima wanita Islam menyertai pertandingan Ratu Cantik Borneo (MBB) 2011 di Kuching, Sarawak, walaupun sudah diberi kaunseling oleh Jabatan Agama Islam Sarawak dan mendapat bantahan pelbagai pihak. Walaupun belum ada undang-undang khusus di Sarawak yang menghalang orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik, tidak bermakna mereka boleh memperagakan aurat pada pertandingan itu. Dicadangkan supaya diwujudkan jawatankuasa penyelarasan pada peringkat kebangsaan untuk memastikan negeri yang belum mewartakan fatwa sudah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk berbuat demikian Firman Allah SWT bermaksud: “Dan katakan kepada perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan jangan memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh melainkan kepada suami atau bapa atau bapa mentua atau anak atau anak tiri atau saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan atau perempuan Islam atau hamba atau orang gaji daripada lelaki yang sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti mengenai aurat perempuan dan jangan mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubat kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur, ayat 31)

Kecantikan tubuh wanita Islam bukan untuk dipertontonkan atau dijadikan bahan pertandingan. Wanita Islam perlu memiliki sifat tawaduk dan tidak membanggakan diri. Kecantikan wanita Islam terletak pada ketaatan agama, kemuliaan hati, kelembutan tutur kata dan tindak-tanduk.

Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan untuk mengharamkan wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik pada 1997. Isu terbaru membuka mata kita walaupun selepas lebih 14 tahun fatwa kebangsaan dikeluarkan, masih ada negeri belum menerima dan mewartakan fatwa itu.

Walaupun dari sudut perundangan keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mengikat negeri untuk menerimanya, dari sudut pandangan syarak, keputusan itu suatu fatwa.
Dari sudut lain, ia menunjukkan tiada kesepaduan pendapat dalam urusan umat Islam. Perbezaan adat dan budaya tidak boleh mengubah hukum ditetapkan syarak. Dicadangkan supaya diwujudkan jawatankuasa penyelarasan peringkat kebangsaan untuk memastikan negeri yang belum mewartakan fatwa sudah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk berbuat demikian. Alasan munasabah perlu diberikan negeri yang belum mewartakan fatwa kebangsaan itu termasuk Sarawak. Mereka perlu menyemak semula semua fatwa kebangsaan yang belum diwartakan, terutama larangan ratu cantik Islam.

Suasana mutakhir ini membabitkan ancaman pihak yang menaja hak asasi dan individu secara terbuka, memerlukan tindakan segera pihak berkuasa agama. Ramai gadis terlalu ghairah memperagakan kecantikan pada pertandingan majalah dan akhbar sama ada dalam keadaan mereka mengetahui atau jahil hukum.

Dari segi penguatkuasaan, jika sudah diwartakan, orang yang melakukan tindakan bertentangan dengan fatwa itu boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang jenayah syariah negeri. Seksyen 9 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah 2001 (Ordinan 46 Tahun 2001) memperuntukkan: “Mana-mana orang yang bertindak dengan cara menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan majlis dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

Tindakan menasihatkan lima peserta terbabit adalah langkah awal yang harus dipuji. Apabila mereka masih menyertai pertandingan itu walaupun diberi nasihat, ia seperti mencabar kewibawaan pihak berkuasa agama. Maka, kajian menjadikan larangan itu dalam bentuk penguatkuasaan undang-undang perlu disegerakan bagi menyekat aktiviti itu terus berleluasa.

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia boleh dihubungi di alamat e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com

Tuesday, November 22, 2011

Sains akui kelebihan solat jemaah

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila engkau berada di tengah-tengah mereka (sahabatmu), lalu engkau hendak mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan daripada mereka berdiri (solat) bersamamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang solat beserta denganmu) sujud maka hendaklah mereka berpindah dari belakangmu (untuk menghadap musuh). (an-Nisa': 102)

SOLAT berjemaah sangat dituntut dalam Islam sehinggakan ia diperintahkan walaupun berada di medan pertempuran untuk berperang. Ini sebagaimana firman Allah SWT menerusi ayat di atas yang turunkan kepada Rasulullah semasa baginda ingin menghadapi peperangan dengan orang kafir.

Mungkin ramai yang masih meragui mengapa perlunya melaksanakan solat berjemaah sedangkan ia boleh dilakukan secara bersendiri di rumah atau di lokasi kita berada tanpa bersusah payah ke masjid ataupun surau.

Namun salah faham terhadap kemestian solat jemaah di surau dan masjid ini juga sebenarnya telah merumitkan untuk melaksanakan tuntutan tersebut sedangkan ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja walaupun hanya dua orang.

Mengerjakan solat secara berjemaah seminggu sekali pada solat Jumaat atau solat sunat raya dianggap telah mencukupi oleh sesetengah umat Islam asakan tidak meninggalkan kewajipan dalam rukun Islam kelima itu sendiri di rumah.

Solat berjemaah sering diambil mudah dan semakin kurang mendapat sambutan. Antara sebabnya, kurangnya kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap kelebihan dan manfaat yang bakal diperoleh daripada menunaikan tuntutan Allah tersebut.

Kelebihan solat berjemaah disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda baginda yang bermaksud: Solat berjemaah itu lebih afdal daripada sembahyang berseorangan dengan kelebihan 27 darjat. (riwayat al-Bukhari)

Sabda Rasulullah dalam ayat di atas menunjukkan betapa Allah melipat kali gandakan ganjaran kepada hambanya yang menunaikan solat berjemaah berbanding solat secara bersendirian walaupun ia tiada perbezaan dari segi perbuatan fizikal dan bacaan ketika solat.

Malah kelebihan serta manfaat solat berjemaah terbukti dari segi saintifik dan diakui oleh pakar sains fizik di sebuah universiti di Amerika Syarikat, Prof. John Herbert selepas membuat kajian mengenai tujuan dan kelebihan solat berjemaah.

Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr. Abdul Ghaffar Surip berkata, hasil kajian John Herbert mendapati sentuhan antara bahu jemaah ketika solat mampu menyeimbangkan cas elektrik positif dan negatif yang terdapat dalam tubuh manusia menjadikan tubuh lebih segar dan bertenaga.

"Tubuh manusia terdiri daripada dua cas elektrik iaitu cas positif dan negatif. Setiap aktiviti harian kita tidak kira bekerja, beribadat atau berehat banyak menggunakan tenaga yang menyebabkan berlakunya pertukaran cas positif dan negatif yang menyebabkan ketidakseimbangan cas tersebut di dalam tubuh.

"Ini menyebabkan tubuh berasa letih dan tidak bermaya. Oleh itu, cas ini perlu diseimbangkan semula untuk memulihkan tubuh badan kita iaitu dengan cara menunaikan solat berjemaah yang merangsang proses pertukaran cas elektrik dalam tubuh kita tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mega pada majlis penyampaian Sijil Tinggi Pengajian Sains Dakwah di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Seramai 27 peserta terdiri daripada Saudara Muslim mengikuti kursus tersebut yang dijalankan dua minggu sekali selama tiga bulan.

Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Razali Shahabudin yang turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta.

Dr. Abdul Ghaffar berkata, tubuh manusia mengeluarkan cas yang berlebihan dan cas itu akan ditarik oleh cas yang berlawanan dalam tubuh badan jemaah di sebelah kanan dan kiri.

Begitu juga proses yang sama berlaku kepada setiap jemaah. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang dan semakin segar tubuh badan kita.

Mengikut hasil kajian tersebut, proses pertukaran cas ini sangat diperlukan dalam kehidupan harian sebagaimana keperluan tidur pada setiap hari dengan sama.

Menurutnya, bilangan rakaat yang berlainan dalam setiap waktu solat adalah bertepatan dengan keperluan pertukaran cas elektrik positif dan negatif tersebut.

Solat subuh hanya dua rakaat kerana ia hanya memerlukan sedikit pertukaran cas dalam tubuh. Berlainan pula dengan solat Zuhur dan Asar yang memerlukan pertukaran cas yang banyak untuk menyeimbangkan cas dan mengembalikan tenaga dan kecergasan tubuh.

"Selepas waktu Asar pula, pada kebiasaannya kita hanya beriadah atau melakukan aktiviti ringan yang tidak terlalu banyak menggunakan tenaga di samping perbezaan masa yang diperuntukan tidak terlalu ketara.

"Oleh itu, solat berjemaah waktu Maghrib hanya sebanyak tiga rakaat mencukupi untuk menyeimbangkan cas dalam tubuh," katanya.

Walaubagaimanapun, mungkin sesetengah daripada kita keliru mengenai bilangan solat Isyak yang banyak sedangkan ia tidak jauh berbeza dengan waktu solat Maghrib.

Dr. Ghaffar berkata, menurut kajian itu, pertukaran cas yang banyak perlu bagi menyediakan cas elektrik dalam tubuh yang benar-benar seimbang dan pengumpulan tenaga yang secukupnya untuk bangun pada sepertiga malam bagi menunaikan solat sunat seperti yang dituntut dalam Islam.

"Hasil kajian saintifik tersebut menunjukkan kepada kita betapa indah dan sempurnanya amalan agama Islam sehingga setiap kewajipan yang diperintahkan kepada kita mempunyai kelebihan dan manfaat tersendiri," katanya.

Hasil kajian John Herbert itu membuka pintu hatinya dan mendapat hidayah Allah untuk memeluk agama Islam kerana tiada amalan agama lain yang selengkap dan sempurna sebagaimana ajaran Islam.

Tuesday, October 25, 2011

Persoalan hukum tepuk tangan

Oleh Muhammad Asyraf

2011/10/25
Haram ketika solat, diharus bagi meriahkan majlis

KEBIASAANNYA bertepuk tangan disaksikan ketika menghadiri majlis keramaian dan persembahan. Sudah menjadi kebiasaan majlis berbentuk Islam sunyi daripada tepukan gemuruh penontonnya. Bahkan suasana sedemikian menampakkan kesuraman sesuatu program. Apabila diteliti permasalahan ini, timbul beberapa perbahasan dalam kalangan sesetengah orang agama bahawa bertepuk tangan itu diharamkan. Ada pula mengeluarkan pendapat pelik ia boleh menyebabkan syaitan melahirkan anaknya. Bertepuk tangan di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah Malah ada yang mencadangkan jika ingin menepuk tangan maka tepuklah dengan belakang tapak tangan sebagai isyarat gantian. Persoalannya adakah ini sesuatu ditetapkan agama.

Walaupun ada dibahaskan dalam bab solat oleh ulama asy-Syafi’iyyah seperti Imam Ramli dan al-Bajuri, namun ia tidak membabitkan hukum menepuk tangan di luar solat. Maka, ada pendapat mengharamkannya berasaskan penghujahan dalil tertentu.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tiadalah solat atau ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ (siulan) dan tashdiyyah (tepuk tangan). Maka rasakan azab disebabkan kekafiran kamu.” (Surah al-Anfal ayat 35)

Pentafsir mentafsirkan ayat ini mengatakan perkataan al-muka’ (siulan) dan al-tashdiyyah (tepuk tangan) yang dimaksudkan dalam surah al-Anfal ialah perbuatan orang kafir yang mengganggu solat dan bacaan al-Quran Rasulullah serta kaum muslimin.
Tepukan dan siulan itu mendatangkan rasa tidak senang kepada Rasulullah dan orang Islam sehingga Rasulullah menegah perbuatan berkenaan. Ini pandangan paling tepat dalam menceritakan sebab turunnya ayat menurut Imam Jalaluddin as-Suyuti.

Al Qurtubi pula merujuk kepada pendapat Ibnu Abbas mengatakan, masyarakat Quraisy jahiliah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia adalah ibadat. Ini juga pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu Umar.

Merujuk sebab turun dan kisah di sebalik ayat 35 surah al-Anfal ini, jelas pengharaman tepuk tangan secara umumnya adalah kepada orang yang meniru perbuatan orang kafir dalam melakukan ibadah. Jika ibadah solat diselang-selikan dengan bertepuk tangan maka secara jelas diharamkan.

Bagaimanapun, mengharamkan hukum menepuk tangan ketika di luar solat adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya kerana ayat berkenaan tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk tangan.

Sudah jelas kepada kita bertepuk tangan dalam solat seperti orang jahiliah adalah dilarang. Namun, menepuk tangan di dalam solat dan di luar solat berbeza. Maka penyabitan hukumnya juga berbeza.

Begitu juga sebahagian pendapat mengatakan menepuk tangan diharamkan kepada lelaki berasaskan dalil hadis sahih yang bermaksud: “Barang siapa yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih (dengan berkata subhanallah). Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya (memberi perhatian). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan itu dilarang kerana termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) wanita seperti dinyatakan hadis bahawa hal semacam itu hanya khusus bagi wanita ketika memperingatkan imam yang tersilap dalam solat sementara lelaki disuruh mengingatkan imam dengan ucapan tasbih.

Hadis ini khusus mengenai bertepuk tangan dalam solat. Kes berlaku apabila seorang imam melakukan kesilapan maka makmum wanita hanya boleh menepuk tangan sebagai isyarat membetulkan imam. Ia tidak boleh menjadi dalil menegah bertepuk di luar solat seperti disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami.

Pengharaman hukum menepuk tangan dalam sesuatu majlis itu tertolak kerana masih lagi didasari dalil agak lemah. Penulis cenderung kepada pandangan beberapa ulama yang membenarkannya seperti Syeikh Atiyyah Saqr, yang mengharuskannya kerana tiada dalil mengharamkan.

Menurut kaedah fiqh Islam, asal sesuatu perkara adalah harus. Maksudnya, sesuatu perkara yang tidak diberitakan oleh syariat dipandang harus hukumnya. Namun, ia boleh menjadi haram mahupun wajib jika disertakan dalil yang menyuruh.

Pengarang kitab al-Hafl al-Zifaf fi al-Fiqh Islam, Syeikh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh, berkata tepuk tangan perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor ia dilakukan.

Hukum bertepuk tangan dalam majlis asalnya mubah (perkara diharuskan) sebab bertepuk tangan termasuk perbuatan jibiliyah (af’al jibiliyyah) yang hukum asalnya mubah, sepanjang tidak ada dalil mengharamkan.

Perbuatan jibiliyah adalah perbuatan secara alamiah (fitrah) dilakukan manusia sejak penciptaannya dan menjadi bahagian yang tidak terpisah dari sifat kemanusiaannya seperti berfikir, bercakap, berjalan, berlari, melompat, duduk, makan, minum, mendengar, melihat dan seterusnya.

Menepuk tangan itu sesuatu yang diharuskan syarak. Ia boleh menceriakan sesuatu majlis terutama bagi menggembirakan kanak-kanak. Walaupun begitu, hukumnya boleh menjadi haram apabila bertepuk tangan dalam pertunjukan hiburan yang tidak syarak, pembukaan aurat atau menghina serta mengejek orang lain.

Bertepuk tangan di luar solat sama ada di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah. Begitu juga niat orang yang bertepuk tangan untuk mengejek, menghina ataupun memuji orang yang tidak sepatutnya.

Tegakkan hukum agama atas dasar hujah dan dalil kerana agama tertegak bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah, bukannya dakwaan atau sangkaan semata-mata tanpa menilai dari mana asal usulnya.

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

Tuesday, October 4, 2011

Undang-undang jenayah Islam tangani isu sosial

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

2011/10/05
Hukuman tegas mampu didik pesalah, pelihara kehormatan diri daripada perbuatan jahat

PELAKSANAAN undang-undang jenayah Islam masih menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam menyebabkan mereka menolak pemakaian undang-undang jenayah Islam. Hikmah hukuman jenayah Islam bertujuan mencegah manusia daripada melakukan segala bentuk jenayah, sekali gus memelihara kehormatan diri dan menjaga kemaslahatan masyarakat, selain mendidik pesalah dan masyarakat umum. Contohnya, jika seseorang individu itu mengetahui hukuman mencuri ialah potong tangan, pasti dia tidak akan mencuri dengan sewenang-wenangnya.

Masyarakat tidak faham kerana kekurangan maklumat mengenai hudud yang menyebabkan timbul pelbagai persepsi negatif terhadap undang-undang ini. Hudud ialah hukum yang sudah ditetapkan Allah SWT dan umat Islam tidak boleh menolaknya.

Oleh itu, masyarakat khususnya orang Islam perlu melihat hudud dari aspek positif sebagai penyelesaian terhadap masalah sosial yang kian meruncing masa kini seperti isu pembuangan bayi, kelahiran anak luar nikah, jenayah samun, ragut, rompak serta masalah murtad dan lain-lain.

Secara asasnya, hukuman jenayah Islam terbahagi kepada tiga iaitu hudud, qisas dan takzir. Hudud berasal daripada perkataan ‘hadd’ yang bererti larangan. Hukuman hudud ditentukan oleh syarak yang mana ia tidak boleh ditambah mahupun dikurangkan hukumannya.
Jenayah yang dikenakan hukuman hudud iaitu zina, tuduhan zina, mencuri, meminum minuman memabukkan, merompak dan murtad.

Bagi kesalahan zina, hukuman yang telah ditetapkan kepada penzina yang sudah atau pernah berkahwin ialah rejam seperti disabitkan oleh sunnah, manakala bagi yang belum berkahwin, dikenakan 100 kali sebatan.

Hukuman tuduhan zina, jika yang menuduh gagal membuktikan kesahihan dakwaannya, maka dikenakan hukuman sebanyak 80 kali sebatan dan hak pesalah dari segi kesaksian turut digugurkan kecuali jika dia bertaubat.

Bagi kesalahan mencuri, hukuman yang ditetapkan ialah memotong tangan (pergelangan tangan) sementara kesalahan meminum minuman memabukkan dikenakan 40 kali sebatan berdasarkan amalan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik.

Jenayah merompak, iaitu serangan bertujuan merampas harta, membunuh atau menakut-nakutkan dengan cara terang-terangan hukumannya mengikut kategori kesalahan sama ada serangan dilakukan dengan membunuh dan merompak harta, atau membunuh saja.

Berkaitan kesalahan murtad atau keluar daripada agama Islam, sudah ditetapkan hukumannya bunuh melainkan pesalah bertaubat.

Bagaimanapun, perlu difahami hukuman tidak dikenakan dengan sewenang-wenangnya kerana pemakaian hukuman hudud berdasarkan pendakwaan dan pembuktian yang digariskan mengikut setiap kesalahan jenayah.

Pembuktian hudud sangat ketat dengan mengambil kira kriteria saksi, bilangan saksi dan aspek lain sehingga boleh membuktikan sesuatu jenayah itu berlaku. Jika pembuktian berjaya dilakukan tanpa sebarang keraguan dan setelah disabitkan kesalahan, hukuman hendaklah dilaksanakan. Namun harus diingat, pembuktian hendaklah melampaui keraguan yang munasabah bagi mengelakkan sebarang kesilapan dalam menjatuhkan hukuman. Rasulullah SAW telah bersabda bahawa: “Hudud tertolak dengan ada syubhah atau keraguan.”

Jika ada keraguan, kemungkinan hukuman yang akan dijatuhkan bukan hudud tetapi hukuman takzir. Kes zina pembuktian sangat ketat serta memerlukan empat saksi yang melihat perlakuan itu dengan syarat tertentu sebelum hukuman dikenakan terhadap tertuduh.

Enakmen jenayah syariah negeri memang ada akta kesalahan hudud seperti kesalahan minum minuman memabukkan, namun hukuman dikenakan ialah takzir atas kekangan undang-undang sedia ada.

Untuk melaksanakan hukuman hudud, pindaan undang-undang terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1988 perlu dilakukan tanpa memerlukan pindaan kepada kanun keseksaan secara keseluruhan.

Jika hukuman ini dilaksanakan beberapa kajian perlu dilaksanakan dengan teliti dari sudut pendakwaan, pembuktian, cara melaksanakan setiap hukuman, pihak yang melaksanakan hukuman (tukang sebat, orang yang memotong tangan dan sebagainya) bagi mengelakkan permasalahan serta tohmahan di kemudian hari.

Masyarakat juga perlu diberi kefahaman supaya tidak takut pelaksanaan hudud. Hukuman sebat dalam Islam berbeza dengan hukuman sebat diamalkan di Mahkamah Sivil. Semua itu perlu dijelaskan dengan terperinci supaya jenayah undang-undang Islam dapat difahami dengan jelas.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Monday, March 14, 2011

Syarat pakaian solat bersih, tutup aurat

Oleh Muhammad Asyraf

2011/03/15
Penggunaan telekung, berkain pelikat, baju Melayu kebiasaan bagi masyarakat Nusantara

ISLAM mudah dan tidak menyulitkan umatnya. Malah ia meraikan semua bangsa dan warna kulit. Budaya sesuatu bangsa itu terbentuk hasil daripada pandang nilai yang sama. Kehidupan kini jauh berbeza. Perubahan zaman dengan kehidupan lebih pantas dan luas membuatkan beberapa isu budaya perlu diubah. Masyarakat terutama wanita dilihat lebih banyak berurusan dengan situasi kerja dan urusan harian membuatkan beberapa kesukaran terjadi akibat terikat dengan budaya lampau. Pemakaian telekung adalah struktur keagamaan yang dibentuk dalam komuniti masyarakat Islam di Nusantara. Ia amat baik jika dilihat dari aspek kesempurnaan ibadat. Ulama Melayu amat teliti dalam memastikan kesempurnaan ibadat umat ketika itu. Pemilihan telekung yang longgar, lebar dan mudah disarung menjadikannya sesuai untuk semua peringkat umur dan bentuk badan. Ini bersesuaian dengan perintah Allah SWT dalam al-Quran yang menghendaki kita memakai pakaian yang baik ketika mendirikan solat seperti dalam surah al-A’raaf ayat 31 bermaksud : “Hai anak Adam, pakailah perhiasan kamu (pakaian) yang indah di setiap kali kamu (memasuki) masjid, makan dan minumlah dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” Menurut Syeikh Khatib al-Syarbini dalam kitabnya Mughni Muhtaj menguatkan pendapat daripada Ibn Abbas RA mengatakan, maksud memakai pakaian indah setiap kali memasuki masjid adalah merujuk kepada pakaian ketika solat. Ibnu Hazm pula memahami maksud ‘perhiasan’ di sini adalah menutup aurat.

Imam Ibn Kathir, memetik riwayat Imam Muslim mengatakan ayat ini adalah bantahan atas tindakan orang musyrik yang sengaja mengerjakan tawaf di Baitullah dalam keadaan telanjang. Ia juga memberi pengertian lain iaitu disunatkan menghias diri ketika menunaikan solat lebih-lebih lagi pada Jumaat dan Hari Raya. Juga disunatkan memakai wangi-wangian kerana ia termasuk daripada perhiasan.

Malah kita boleh mengenakan pakaian berjenama asalkan tidak mendatangkan rasa takabbur. Sseperti diberitahu Qatadah yang meriwayatkan daripada Muhammad Ibnu Sirin bahawa sahabat Nabi SAW Tamim ad-Dari pernah membeli rida’ (selendang atau serban) dengan harga seribu, lalu ia mengerjakan solat dengan mengenakannya.

Ulama Melayu amat bijak membentuk budaya berpakaian yang baik kepada umat Islam di Nusantara. Mereka memilih putih sebagai warna rasmi telekung. Ini bersesuaian dengan sunnah yang disukai Baginda Nabi SAW dalam memilih warna pakaian terbaik. Seperti diriwayatkan daripada Imam Ahmad dari Ibnu Abbas dalam hadis marfu’, Rasulullah SAW bersabda: “Pakailah pakaian berwarna putih. Kerana sesungguhnya ia sebaik-baik pakaian. Dan kafanilah orang yang mati di kalangan kamu dengannya.”
Pembentukan budaya pemakaian telekung membuatkan umat Islam di Nusantara agak janggal memilih pakaian berlawanan dengan adat budaya yang dibentuk sejak sekian lama. Budaya yang baik sedikit sebanyak mula mendatangkan kesan negatif kepada wanita Islam masa kini yang bergerak aktif dalam kehidupan seharian. Ini kerana pemahaman budaya itu disalahertikan wanita kini tanpa melihat aspek Islam sebenar.

Disebabkan itu muncul pelbagai alasan tidak munasabah apabila tiba waktu solat. Ada wanita mengabaikan solat apabila berada di luar rumah contohnya di pusat beli belah, tempat kerja dan sebagainya dengan alasan tidak membawa telekung. Ada juga memberi alasan telekung disediakan di masjid atau surau kotor dan berbau.

Sedangkan pemakaian telekung bukan syarat sah solat seseorang wanita. Bagaimana wanita yang berada di luar dari Nusantara? Mereka tidak pernah mengenal telekung. Disebabkan itu, ramai wanita Nusantara pelik dengan pakaian wanita Muslimah di Barat, China, India mahupun Timur Tengah.

Sebenarnya syarat dalam pakaian solat adalah cukup dengan menutup aurat dan bersih daripada sebarang najis. Bukanlah telekung berwarna putih itu menjadi syarat sahnya solat kita.

Andainya seorang wanita memakai baju kurung atau pakaian yang menepati syarat aurat, walaupun ia berwarna-warni, solatnya tetap sah. Menurut Jumhur Ulama, diwajibkan wanita dalam solat adalah memakai baju dan tudung kepala. Maka Ibnu Munzir berpendapat: “Jika kain dipakai cukup luas lalu ia menutupi kepalanya dengan kelebihan kain itu, maka ia dibolehkan.”

Aurat wanita ketika solat sama seperti aurat wanita di luar solat. Seperti batasan aurat wanita yang diguna pakai masyarakat di Malaysia dengan merujuk kepada pandangan Mazhab Syafie iaitu seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Berasaskan pandangan ini, tidak semestinya telekung saja boleh dijadikan pakaian solat. Baju kurung, jubah dan blaus juga boleh dijadikan pakaian solat walaupun ia bukan berwarna putih.

Bagi lelaki, kebersihan, kerapian dan wangian menjadikan solat mereka lebih baik pada zahirnya di sisi Allah SWT. Ini kerana situasi menghadapi Pencipta Maha Agung itu memerlukan ketrampilan berbanding berhadapan manusia.

Berpakaian elok tidak semestinya mewajibkan berkain pelekat, berjubah atau baju Melayu. Ada juga yang meninggalkan solat kerana beranggapan pakaiannya kotor dengan peluh, minyak kereta kerana bekerja sebagai mekanik atau kotor dengan lumpur kerana baru pulang dari kebun.

Sedangkan, syarat sah solat ialah pakaian hendaklah bebas najis. Kotor tidak bermaksud ia najis. Seorang dalam keadaan berpeluh selepas bersukan boleh bersolat tanpa menukar pakaian.

Dalam kitab Fathul Bari, karangan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengambil riwayat daripada Ibnu Hibban mengatakan Muawiyah Abu Sufyan bahawasanya ia bertanya kepada saudara perempuannya (Ummu Habibah): “Apakah Rasulullah pernah solat memakai pakaian yang digunakan ketika berhubungan dengan isterinya?” Ummu Habibah menjawab, “Ya, apabila Baginda tidak melihat sebarang kotoran di pakaian itu.”

Hadis ini menerangkan, selagi pakaian itu tidak jelas najis yang boleh merosakkan solat, maka sah solat. Malah remaja lelaki yang memakai seluar jeans dan berbaju pelbagai warna boleh bersolat tanpa janggal. Islam tidak menyusahkan umatnya melakukan solat. Allah lebih mengetahui keadaan hamba-Nya. Islam tidak hanya meraikan kelompok manusia yang sentiasa berada dalam kelapangan. Maka solatlah walau di mana anda berada.

Friday, March 11, 2011

Aku Ceraikan Kau

Talaq satu perkataan yang berasal daripada perkataan Arab “al-talaq”. Dari segi bahasa ia membawa maksud perpisahan dan pelepasan. Dari segi hukum syarak pula ia bererti uraian atau rombakan ikatan perkahwinan yang sah dari pihak suami dengan suatu lafaz yang khusus ataupun apa saja yang dapat memberikan maksudnya, sama ada akan berlaku pada saat itu atau pada masa akan datang.
“Aku ceraikan kau” “Aku lepaskan kau” “Kita berdua tak ada apa-apa lagi mulai hari ini”. Semua di atas adalah contoh lafaz talak sama ada berbentuk soreh ataupun kinayah. Kuasa mentalaq isteri terletak di tangan suami. Walau bagaimanapun,suami tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kuasa tersebut secara suka hati dan membabi buta. Suka dingatkan penyalahgunaan kuasa ini kelak akan mengundang padah dan boleh mewujudkan individu yang gila talaq. Sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadith yang bermaksud:
“Tiga perkara yang sungguhnya tetap sungguh,bergurau main pun dikira sungguh iaitu berkahwin,talaq,dan rujuk”.
Talaq bukanlah barang mainan,talaq bukanlah mudah-mudah dilafazkan di bibir, talaq bukan sama sekali subjek yang boleh digunakan untuk bergurau,talaq bukanlah bukti untuk menunjukkan kekuasaan, talaq bukanlah cara yang terbaik untuk melepaskan marah,dan talaq bukan juga perencah tambahan dalam pergaduhan dan pertengkaran. Ketahuilah sekalian para suami melafaz talaq memanglah mudah,namun begitu,implikasinya amat parah,kelak ada yang merana, kelak ada yang merayu dan kelak ada yang merapu tak tentu hala. Status pernikahan telah tergantung dan menjadi samar,lafaz talaq tersebut menghantui diri, tidur malam tidak lena, makan tak berselera, mandi tak basah, dan hidup tak keharuan.
Lantaran itu,berhati-hati dan berfikir dahulu sebelum melafaz talaq,ia tetap akan jatuh dalam keadaan sungguh dan bergurau. Andai telah terlajak kata, maka rujuklah perkara tersebut ke Mahkamah Rendah Syariah untuk proses pengesahan lafaz talaq. Di Sarawak, untuk proses ini tertakluk di bawah Seksyen 55 Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam 2001 Sarawak(Pendaftaran Penceraian Di Luar Mahkamah). Seksyen ini menyatakan:
(1) Walau apa pun seksyen 53,seseorang lelaki yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talaq di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah hendaklah dalam masa tujuh hari dari pelafazan talak itu melaporkan kepada Mahkamah.
(2) Mahkamah hendaklah mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada talaq yang dilafazkan itu adalah sah mengikut Undang-Undang Keluarga Islam.
(3) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa talaq yang telah dilafazkan itu adalah sah mengikut Undang-Undang Keluarga Islam, maka mahkamah hendaklah, tertakluk kepada seksyen 128;
(a) membuat perintah meluluskan perceraian dengan talaq
(b) merekodkan perceraian itu; dan
(c) menghantar salinan rekod itu kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar bagi pendaftaran.
Dari peruntukan ini dapat kita rumuskan beberapa perkara seperti berikut:
1. Sesuatu kejadian lafaz cerai luar mahkamah hendaklah dilaporkan kepada Mahkamah dengan erti kata difailkan pengesahan lafaz cerai ke mahkamah dalam tempoh masa 7 hari dari tarikh kejadian.
2. Mahkamah akan menetapkan satu tarikh dan masa untuk kes ini didengar dan dilakukan siasatan terhadap lafaz yang didakwa dan perlu diambil perhatian pihak-pihak yakni suami dan isteri wajib hadir dalam prosiding ini.
3. Setelah itu,sesudah Mahkamah melakukan siasatan dan berpuas hati,Mahkamah akan membuat keputusan sama ada lafaz tersebut sah atau tidak dari segi Undang-Undang Keluarga Islam dan Hukum Syarak.
4. Andainya talaq itu diputus sah maka individu yang melafazkan talak tersebut akan tertakluk pula kepada peruntukan seksyen 128 ordinan yang sama dan akan didakwa oleh Pihak Pendakwaan atas kesalahan jenayah syariah iaitu melafaz talaq di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah. Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Sebagai kesimpulannya,sesungguhnya talaq bukanlah barang mainan dan boleh digunakan sesuka hati.Hargailah ia dan dihindarilah ia,sesungguhnya perceraian adalah jalan pilihan yang terakhir dan bukan jalan pilihan yang pertama.Wallahua’llam.

Tuesday, November 30, 2010

Hukum mewarna rambut

APAKAH hukum mewarnakan rambut bagi lelaki dan perempuan. Adakah ia boleh dibuat untuk suka-suka?

Jawapan:

Menurut keputusan Mesyuarat Panel Kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kali ke-29 pada tahun 2000, hukum mewarna rambut dan seumpamanya hendaklah mematuhi syarat-syarat berikut:

i. Bahan pewarna itu bersih dan suci daripada benda-benda yang diharamkan syarak.

ii. Telap air ketika wuduk dan berhadas besar.

iii. Tidak memudaratkan pengguna.

Perbuatan mewarna rambut juga hendaklah dengan tujuan yang halal seperti untuk berubat, menyenangkan suami dan sebagainya, bukan untuk tujuan yang terlarang atau taqarrub (dekat) kepada zina.

Dilakukan oleh orang yang halal melakukannya, seperti dilakukan sendiri, atau oleh wanita lain, tetapi jika dilakukan oleh lelaki yang bukan mahram, maka yang demikian itu tidak dibenarkan di sisi syarak.