Tuesday, October 25, 2011

Persoalan hukum tepuk tangan

Oleh Muhammad Asyraf

2011/10/25
Haram ketika solat, diharus bagi meriahkan majlis

KEBIASAANNYA bertepuk tangan disaksikan ketika menghadiri majlis keramaian dan persembahan. Sudah menjadi kebiasaan majlis berbentuk Islam sunyi daripada tepukan gemuruh penontonnya. Bahkan suasana sedemikian menampakkan kesuraman sesuatu program. Apabila diteliti permasalahan ini, timbul beberapa perbahasan dalam kalangan sesetengah orang agama bahawa bertepuk tangan itu diharamkan. Ada pula mengeluarkan pendapat pelik ia boleh menyebabkan syaitan melahirkan anaknya. Bertepuk tangan di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah Malah ada yang mencadangkan jika ingin menepuk tangan maka tepuklah dengan belakang tapak tangan sebagai isyarat gantian. Persoalannya adakah ini sesuatu ditetapkan agama.

Walaupun ada dibahaskan dalam bab solat oleh ulama asy-Syafi’iyyah seperti Imam Ramli dan al-Bajuri, namun ia tidak membabitkan hukum menepuk tangan di luar solat. Maka, ada pendapat mengharamkannya berasaskan penghujahan dalil tertentu.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tiadalah solat atau ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ (siulan) dan tashdiyyah (tepuk tangan). Maka rasakan azab disebabkan kekafiran kamu.” (Surah al-Anfal ayat 35)

Pentafsir mentafsirkan ayat ini mengatakan perkataan al-muka’ (siulan) dan al-tashdiyyah (tepuk tangan) yang dimaksudkan dalam surah al-Anfal ialah perbuatan orang kafir yang mengganggu solat dan bacaan al-Quran Rasulullah serta kaum muslimin.
Tepukan dan siulan itu mendatangkan rasa tidak senang kepada Rasulullah dan orang Islam sehingga Rasulullah menegah perbuatan berkenaan. Ini pandangan paling tepat dalam menceritakan sebab turunnya ayat menurut Imam Jalaluddin as-Suyuti.

Al Qurtubi pula merujuk kepada pendapat Ibnu Abbas mengatakan, masyarakat Quraisy jahiliah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia adalah ibadat. Ini juga pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu Umar.

Merujuk sebab turun dan kisah di sebalik ayat 35 surah al-Anfal ini, jelas pengharaman tepuk tangan secara umumnya adalah kepada orang yang meniru perbuatan orang kafir dalam melakukan ibadah. Jika ibadah solat diselang-selikan dengan bertepuk tangan maka secara jelas diharamkan.

Bagaimanapun, mengharamkan hukum menepuk tangan ketika di luar solat adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya kerana ayat berkenaan tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk tangan.

Sudah jelas kepada kita bertepuk tangan dalam solat seperti orang jahiliah adalah dilarang. Namun, menepuk tangan di dalam solat dan di luar solat berbeza. Maka penyabitan hukumnya juga berbeza.

Begitu juga sebahagian pendapat mengatakan menepuk tangan diharamkan kepada lelaki berasaskan dalil hadis sahih yang bermaksud: “Barang siapa yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih (dengan berkata subhanallah). Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya (memberi perhatian). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan itu dilarang kerana termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) wanita seperti dinyatakan hadis bahawa hal semacam itu hanya khusus bagi wanita ketika memperingatkan imam yang tersilap dalam solat sementara lelaki disuruh mengingatkan imam dengan ucapan tasbih.

Hadis ini khusus mengenai bertepuk tangan dalam solat. Kes berlaku apabila seorang imam melakukan kesilapan maka makmum wanita hanya boleh menepuk tangan sebagai isyarat membetulkan imam. Ia tidak boleh menjadi dalil menegah bertepuk di luar solat seperti disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami.

Pengharaman hukum menepuk tangan dalam sesuatu majlis itu tertolak kerana masih lagi didasari dalil agak lemah. Penulis cenderung kepada pandangan beberapa ulama yang membenarkannya seperti Syeikh Atiyyah Saqr, yang mengharuskannya kerana tiada dalil mengharamkan.

Menurut kaedah fiqh Islam, asal sesuatu perkara adalah harus. Maksudnya, sesuatu perkara yang tidak diberitakan oleh syariat dipandang harus hukumnya. Namun, ia boleh menjadi haram mahupun wajib jika disertakan dalil yang menyuruh.

Pengarang kitab al-Hafl al-Zifaf fi al-Fiqh Islam, Syeikh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh, berkata tepuk tangan perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor ia dilakukan.

Hukum bertepuk tangan dalam majlis asalnya mubah (perkara diharuskan) sebab bertepuk tangan termasuk perbuatan jibiliyah (af’al jibiliyyah) yang hukum asalnya mubah, sepanjang tidak ada dalil mengharamkan.

Perbuatan jibiliyah adalah perbuatan secara alamiah (fitrah) dilakukan manusia sejak penciptaannya dan menjadi bahagian yang tidak terpisah dari sifat kemanusiaannya seperti berfikir, bercakap, berjalan, berlari, melompat, duduk, makan, minum, mendengar, melihat dan seterusnya.

Menepuk tangan itu sesuatu yang diharuskan syarak. Ia boleh menceriakan sesuatu majlis terutama bagi menggembirakan kanak-kanak. Walaupun begitu, hukumnya boleh menjadi haram apabila bertepuk tangan dalam pertunjukan hiburan yang tidak syarak, pembukaan aurat atau menghina serta mengejek orang lain.

Bertepuk tangan di luar solat sama ada di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah. Begitu juga niat orang yang bertepuk tangan untuk mengejek, menghina ataupun memuji orang yang tidak sepatutnya.

Tegakkan hukum agama atas dasar hujah dan dalil kerana agama tertegak bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah, bukannya dakwaan atau sangkaan semata-mata tanpa menilai dari mana asal usulnya.

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

Tuesday, October 4, 2011

Undang-undang jenayah Islam tangani isu sosial

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

2011/10/05
Hukuman tegas mampu didik pesalah, pelihara kehormatan diri daripada perbuatan jahat

PELAKSANAAN undang-undang jenayah Islam masih menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam menyebabkan mereka menolak pemakaian undang-undang jenayah Islam. Hikmah hukuman jenayah Islam bertujuan mencegah manusia daripada melakukan segala bentuk jenayah, sekali gus memelihara kehormatan diri dan menjaga kemaslahatan masyarakat, selain mendidik pesalah dan masyarakat umum. Contohnya, jika seseorang individu itu mengetahui hukuman mencuri ialah potong tangan, pasti dia tidak akan mencuri dengan sewenang-wenangnya.

Masyarakat tidak faham kerana kekurangan maklumat mengenai hudud yang menyebabkan timbul pelbagai persepsi negatif terhadap undang-undang ini. Hudud ialah hukum yang sudah ditetapkan Allah SWT dan umat Islam tidak boleh menolaknya.

Oleh itu, masyarakat khususnya orang Islam perlu melihat hudud dari aspek positif sebagai penyelesaian terhadap masalah sosial yang kian meruncing masa kini seperti isu pembuangan bayi, kelahiran anak luar nikah, jenayah samun, ragut, rompak serta masalah murtad dan lain-lain.

Secara asasnya, hukuman jenayah Islam terbahagi kepada tiga iaitu hudud, qisas dan takzir. Hudud berasal daripada perkataan ‘hadd’ yang bererti larangan. Hukuman hudud ditentukan oleh syarak yang mana ia tidak boleh ditambah mahupun dikurangkan hukumannya.
Jenayah yang dikenakan hukuman hudud iaitu zina, tuduhan zina, mencuri, meminum minuman memabukkan, merompak dan murtad.

Bagi kesalahan zina, hukuman yang telah ditetapkan kepada penzina yang sudah atau pernah berkahwin ialah rejam seperti disabitkan oleh sunnah, manakala bagi yang belum berkahwin, dikenakan 100 kali sebatan.

Hukuman tuduhan zina, jika yang menuduh gagal membuktikan kesahihan dakwaannya, maka dikenakan hukuman sebanyak 80 kali sebatan dan hak pesalah dari segi kesaksian turut digugurkan kecuali jika dia bertaubat.

Bagi kesalahan mencuri, hukuman yang ditetapkan ialah memotong tangan (pergelangan tangan) sementara kesalahan meminum minuman memabukkan dikenakan 40 kali sebatan berdasarkan amalan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik.

Jenayah merompak, iaitu serangan bertujuan merampas harta, membunuh atau menakut-nakutkan dengan cara terang-terangan hukumannya mengikut kategori kesalahan sama ada serangan dilakukan dengan membunuh dan merompak harta, atau membunuh saja.

Berkaitan kesalahan murtad atau keluar daripada agama Islam, sudah ditetapkan hukumannya bunuh melainkan pesalah bertaubat.

Bagaimanapun, perlu difahami hukuman tidak dikenakan dengan sewenang-wenangnya kerana pemakaian hukuman hudud berdasarkan pendakwaan dan pembuktian yang digariskan mengikut setiap kesalahan jenayah.

Pembuktian hudud sangat ketat dengan mengambil kira kriteria saksi, bilangan saksi dan aspek lain sehingga boleh membuktikan sesuatu jenayah itu berlaku. Jika pembuktian berjaya dilakukan tanpa sebarang keraguan dan setelah disabitkan kesalahan, hukuman hendaklah dilaksanakan. Namun harus diingat, pembuktian hendaklah melampaui keraguan yang munasabah bagi mengelakkan sebarang kesilapan dalam menjatuhkan hukuman. Rasulullah SAW telah bersabda bahawa: “Hudud tertolak dengan ada syubhah atau keraguan.”

Jika ada keraguan, kemungkinan hukuman yang akan dijatuhkan bukan hudud tetapi hukuman takzir. Kes zina pembuktian sangat ketat serta memerlukan empat saksi yang melihat perlakuan itu dengan syarat tertentu sebelum hukuman dikenakan terhadap tertuduh.

Enakmen jenayah syariah negeri memang ada akta kesalahan hudud seperti kesalahan minum minuman memabukkan, namun hukuman dikenakan ialah takzir atas kekangan undang-undang sedia ada.

Untuk melaksanakan hukuman hudud, pindaan undang-undang terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1988 perlu dilakukan tanpa memerlukan pindaan kepada kanun keseksaan secara keseluruhan.

Jika hukuman ini dilaksanakan beberapa kajian perlu dilaksanakan dengan teliti dari sudut pendakwaan, pembuktian, cara melaksanakan setiap hukuman, pihak yang melaksanakan hukuman (tukang sebat, orang yang memotong tangan dan sebagainya) bagi mengelakkan permasalahan serta tohmahan di kemudian hari.

Masyarakat juga perlu diberi kefahaman supaya tidak takut pelaksanaan hudud. Hukuman sebat dalam Islam berbeza dengan hukuman sebat diamalkan di Mahkamah Sivil. Semua itu perlu dijelaskan dengan terperinci supaya jenayah undang-undang Islam dapat difahami dengan jelas.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)