Thursday, December 3, 2009

Salah Faham Tentang Fatwa Bola Sepak Mesir

Baru-baru ni wartawan utusan melaporkan bahawa Darul Ifta telah memberikan pengecualian kepada Pemain bola sepak Mesir dari berpuasa di bulan ramadhan kerana pemain berkenaan perlu mengikuti latihan bola sepak bagi Kejohanan Remaja Dunia yg bakal berlangsung 23 September depan. Laporan itu sedikit sebanyak mendatangkan kekeliruan umat Islam seluruh dunia. Sila lihat http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0826&pub=utusan_malaysia&sec=Sukan_Luar_negara&pg=sl_07.htm&arc=hive

Demi mengelakkan kekeliruan dan meluruskan pandangan yang adil terhadap para ulamak, maka perlulah kita mengetahui pandangan sebenar isu berkenaan : Syeikh al-Allamah Dr Ali Jum’ah Hafizahullah ketika menjawab kekeliruan orang ramai tentang perkara ini berkata :

“Seorang pemain bola sepak, terikat dengan kontrak yang dimeterai antaranya dengan kelab atau pasukan tersebut maka ianya dikira seorang yang dibayar gaji diatas pekerjaan tersebut. Jika pemain telah mengikat kontrak ini hanya memperoleh sumber rezekinya daripada pekerjaan sebagai pemain bola sepak, maka jika terdapat perlawanan yang dilaksanakan pada bulan Ramadhan maka dibenarkan untuknya berbuka puasa untuk perlawanan tersebut jika mutu permainannya akan terjejas disebabkan berpuasa. Ini merupakan rukhsah kepada pemain tersebut kerana dia dianggap sebagai seorang pekerja yang dibayar gaji dan perkerjaannya akan terjejas jika pemain tersebut tidak bertenaga. Ini seperti yang disebutkan oleh ulama Hanafiyah di dalam kitab-kitab mereka, seseorang yang dibayar gaji di dalam tempoh tertentu (kontrak) maka dibenarkan untuknya berbuka puasa pada bulan Ramadhan jika dia tidak mampu untuk berpuasa ketika melaksanakan kerjanya.(Maka pekerjaan kontrak sebegini termasuklah kepada pekerjaan sebagai pemain bola sepak).

Menurut al-Imam Ibn Abidin rahimahullah di dalam kitabnya “ Raddul Mukhtar a’la Durri al-Mukhtar” : "Di dalam permasalahan kerja kontrak, jika pekerja tersebut masih terdapat pendapatan yang mencukupi untuk dirinya dan keluarganya (selain pekerjaan yang memerlukan untuknya berbuka puasa pada bulan Ramadhan) maka diharamkan kepada pekerja tersebut untuk berbuka puasa pada Bulan Ramadhan. Tetapi jika dia tidak mempunyai pekerjaan yang lain selain pekerjaan tersebut untuk menampung perbelanjaan keluarganya, jika dengan disebabkan berpuasa tersebut menjejaskan mutu kerjanya maka dibenarkan untuknya berbuka..." .


Katanya lagi : "Kes Ini hanyalah untuk perlawanan yang terpaksa dibuat pada waktu siang yang menyebabkan seseorang pemain tersebut mungkin tidak berupaya. Manakala untuk latihan, perlulah kepada jurulatih untuk membuat latihan pada waktu malam kerana latihan malam itu tidak akan menjejaskan ibadah puasa itu sendiri. Jika pihak pengurusan sebenarnya mampu untuk melaksanakan latihan pada waktu malam tetapi tidak dilaksanakan maka berdosa hukumnya meninggalkan puasa...”-intaha


Pencerahan :

1) Berdasarkan keterangan ini, jelas kepada kita bahawa apa yang dilaporkan oleh Wartawan Utusan Malaysia di atas amat bertentangan dengan kenyataan sebenar sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Allamah Dr Ali Jum’ah. Kenyataan sebenar ialah dibenarkan (diberi kelonggaran) untuk berbuka puasa jika sesi latihan disiang hari. Maksudnya, bersahur dan berniat puasa terlebih dahulu, jika keletihan @ mudharat baru berbuka. Bukannya dikecualikan dari ibadat berpuasa di bulan Ramadhan.


2) Kenyataan SS Mufti Mesir berpandukan kepada rukhsah (kelonggaran hukum). Manakala laporan akhbar utusan mengulas tentang 'azimah (ketetapan hukum asal). Dalam disiplin Usul Feqh, Antara rukshah dan 'azimah terdapat perbezaan yang amat ketara.


3) SS Allamah Dr Ali Jum'ah juga berhujjah mengikut laras pandangan mazhab Hanafi berasaskan kontrak pekerja yang tidak mempunyai pendapatan lain untuk menyara diri @ keluarganya. Gaji pula dinilai berdasarkan prestasinya. Maka jika puasa menyebabkan hilang prestasi kerja kerana terpaksa membanting tulang disiang hari, maka diharuskan berbuka. Dan dikenakan qadha ke atas puasa yang ditinggalkan itu. Bukannya dikecualikan terus hukum yang wajib berkenaan semata-mata kerja berat @ bermain bolasepak dan selainnya. Kendatipun ia masih dikira dalam ruangan rukshah. Jika pekerja @ pemain berkenaan berkeupayaan utk bermujahadah. Maka ia lebih afdhal. Soal menutup aurat seperkara lain. Puasa tetap sah jika tidak menutup aurat. Tetapi nisbah pahalanya berkurangan kerana melakukan ibadat berkalang maksiat. Saya pernah merujuk SS Dato Mufti Penang dalam masalah ini. SS Dato Tuan Guru kami menjelaskan senario pandangan al-Syafiiyyah terhadap pekerja kontrak hampir sama.
4) Laporan picisan akhbar ini juga menggambarkan seolah-olah Darul Ifta membenarkan pemain tersebut ponteng fardhu puasa pada waktu latihan dgn sewenang-wenangnya. Sedangkan ia hanyalah rukhshah jika latihan disiang hari. Manakala cadangan latihan malam yang disyorkan SS Mufti tidak pula dihighlight.
Bagi saya, laporan tidak adil ini secara langsung menyebabkan umat Islam pesimis dgn kredibiliti Darul Ifta al-Masriyyah dan peranan para ulamaknya. Saya lebih tsiqah kepada para ulamak dari para wartawan yang memahami sesuatu pandangan secara kabur. Dan hanya bertindak mengedit isu-isu tertentu untuk melariskan jualan akhbar mereka. Nauzubillah. Sepatunya, rujuklah sesuatu fatwa kepada ahlinya. Semoga Allah terus memuliakan para alim ulamak kita yang ikhlas berjuang menegakkan syiar agamaNya.

http://al-ghari.blogspot.com/2009/09/salahfaham-fatwa.html

Mati Syahid Besar Ganjarannya




Berjihad di jalan Allah sehingga mengorbankan nyawa akan diberi ganjaran besar di sisi Allah kelak. - Gambar hiasan

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SHEIKH Muhammad Abu Zahrah berkata: Sentiasalah nas-nas al-Quran yang mulia mengingatkan pengajaran dan iktibar berkenaan kekalahan di Uhud, seolah-olah musibah ini bukanlah pemisah yang hakiki sebaliknya kembali kepada yang menang dan tidak berpaling daripada apa-apa.

Di sini terdapat banyak iktibar dan faedahnya yang terbesar ialah kemenangan serta menjelaskan realiti dan hakikat jiwa.

Dalam ayat-ayat ini juga, Allah SWT menjelaskan perbezaan antara golongan yang beriman dan yang terpisah serta kematian orang yang dikasihi ketika berjihad. Berbanding dengan jiwa orang kafir apabila terkena musibah ini amat jauh perbezaannya.

Iktibar dan fiqh ayat 156:

* Al-Qurtubi berkata: Iaitu golongan munafiqin. Justeru, dilarang orang Islam daripada berkata sebagaimana ucapan mereka.

*Al-Maraghi berkata: Beriman kepada qada dan qadar tidak semestinya menjadikan seseorang muslim melakukan sesuatu pekerjaan secara terpaksa (jabariyah).

Ini kerana kalimah qada mempunyai pertalian dengan ilmu Allah mengenai sesuatu yang akan terjadi. Ilmu-Nya adalah sesuatu yang dapat diungkapkan, sedikit pun tidak menunjukkan unsur paksaan. Qadar pula menyatakan sesuatu yang sudah terjadi seiring dengan ilmu-Nya.

Ilmu Allah SWT sudah pasti sesuai dengan apa yang berlaku, seandainya tidak ia akan menunjukkan Allah SWT bersifat jahil.

* Hamka berkata: Telah kita ketahui bahawa erti kufur ialah tidak mahu menerima kebenaran, walaupun orangnya masih mengakui muslim. Maka adalah orang-orang lemah imannya mengucapkan kata yang hanya patut keluar dari mulut orang kafir atau munafik.

Setelah mereka melihat kenyataan, bahawa dalam peperangan Uhud itu banyak orang yang tewas ataupun dalam kejadian yang lain, misalnya ada orang yang mati dalam perantauan, maka si lemah iman itu berkata: "Jika dia tidak pergi meninggalkan kampung halaman, tentu mereka tidak akan mati".

* Quraish Shihab: Ayat di atas memberi tontonan kepada kaum muslimin dengan menjadikan beberapa hal dari peristiwa itu sebagai titik tolak tontonan. Ia dimulai dengan akidah iaitu meluruskan sangkaan buruk terhadap Allah SWT.

Lebih-lebih lagi kerana ada di antara keluarga mereka terkorban dan sedih dengan kematian keluarga mereka, atau boleh jadi atau boleh jadi berbekas dalam hati mereka ucapan-ucapan orang munafik.

* Al-Sonhaji berkata: Setelah Allah menerangkan tentang kekalahan orang-orang mukmin dalam peperangan Uhud didorong oleh hasutan syaitan yang menyesatkan mereka.

Maka Allah mengingatkan mereka di dalam ayat ini dengan jenis hasutan syaitan yang lain pula iaitu hasutan yang menggoncangkan serta menyesatkan orang-orang yang kufur.

Iktibar dan fiqh ayat 157:

*Ibn Kathir berkata: Ayat ini mengandungi makna bahawa berperang dan mati di jalan Allah merupakan salah satu cara untuk mendapatkan rahmat, ampun dan keredaan-Nya. Dan yang demikian itu lebih baik daripada tetap hidup di dunia ini dan memperoleh segala isinya yang fana ini.

* Al-Maraghi berkata: Maksud mati pada jalan Allah SWT ialah sesuatu usaha yang baik dilakukan dalam keredaan Allah SWT.

Keampunan dan rahmat yang diberi oleh Allah SWT kepada mereka yang mati atau terbunuh lebih baik bagi kamu dibandingkan dengan segala kesenangan harta dan perhiasan yang ada di tangan orang kafir dalam meneruskan kehidupan dunia yang fana ini.

Ini kerana kesenangan dunia hanya bersifat sementara, sedangkan rahmat Allah SWT bersifat kesenangan yang abadi.

* Hamka berkata: Orang yang mati di atas katil seperti biasa, atau mati di medan peperangan, atau mati kerana sakit, kerana kecelakaan dan berbagai lagi dengan putusnya nyawa yang hanya satu sahaja.

Semuanya akan menjadi mayat, maka nyawa pun akan kembali ke tempat yang ditentukan oleh Allah SWT. Dan kelak semua mayat dan nyawa akan akan disatukan dan kembali berkumpul di hadapan mahkamah Allah SWT, dan di sanalah akan ditentukan arah mana kamu tujukan hidup itu.

* Quraish Shihab berkata: Setelah ayat yang lalu melarang mengikuti orang kafir atau munafik, serta menjelaskan kekeliruan ucapan-ucapan mereka tentang kematian, dan keengganan mereka berjihad kerana takut menemui kematian.

Melalui ayat di atas, Allah SWT menjelaskan ganjaran gugur di jalan Allah SWT serta apa yang dirah setelah kematian.

Ayat ini menyatakan bahawa sungguh demi Allah SWT, wahai orang-orang benar-benar beriman jika kamu gugur di jalan Allah memperjuangkan nilai-nilai-Nya, keampunan terhadap dosa dan kesalahan kamu dan rahmat-Nya akan dianugerahkan kepada kamu, dan tentu saja keampunan dan kerahmatan itu lebih baik bagimu dari apa yang mereka kumpulkan itu harta benda termasuk harta rampasan perang atau selainnya yang berkaitan dengan duniawi.

* Al-Sonhaji berkata: Adapun keampunan dari Allah yang dapat menghapuskan dosa dan rahmat yang dikurniakan-Nya pula sesungguhnya lebih baik daripada segala jenis kemewahan harta yang dikumpulkan dan dinikmati oleh orang-orang kafir.

Kemewahan tersebut tidak akan kekal di dunia yang fana ini, sedang keampunan dan rahmat Allah itu akan berkekalan selama-lamanya.

Iktibar dan fiqh ayat 158

* Ibn Kathir berkata: Ayat ini mengandungi bahawa yang mati di jalan Allah SWT adalah mati juga. Ia merupakan cara untuk mendapat rahmat Allah, keampunan dan keredaan-Nya. Dan ini jauh lebih baik daripada kekal di dunia yang fana ini.

* Al-Qurtubi berkata: Allah SWT memberi peringatan kepada mereka dengan kenyataan ini supaya jangan lari dari medan peperangan tetapi hendaklah lari daripada hukuman-Nya dan azab yang akan ditimpa kepada mereka.

* Al-Maraghi berkata: Maksud ayat "Kamu dikumpulkan kepada Allah SWT" ialah setiap manusia pada hari mereka dikumpulkan di akhirat kelak akan menerima semua balasan daripada Allah.

Mereka tidak mampu mengalihkan perhatian kepada yang lain. Oleh yang demikian, perhatiannya hanya semata-mata kerana Allah SWT sahaja. Segala makhluk yang hidup hanya kembali kepada Allah SWT sahaja.

* Al-Sonhaji berkata: Sesetengah orang-orang yang mengabdikan diri kepada Allah dan menyembah-Nya itu ada tiga tingkatan pengabdiannya:

* Siapa yang mengabdikan diri kepada Allah kerana takutkan neraka-Nya, Allah amankan dia dari apa yang ditakutinya. Ia sesuai dengan maghfirah (keampunan) yang diberikan oleh Allah.

* Siapa yang mengabdikan diri kepada Allah kerana mengharapkan syurga-Nya, Allah jayakan untuk mencapai apa yang dicita-citakannya. Dan ini sesuai dengan rahmat-Nya yang dikurniakan oleh Allah iaitu syurga-Nya kerana salah satu daripada syurga itu bernama Rahmat.

* Sesiapa yang mengabdikan diri kepada Allah semata-matu untuk ke hadrat Allah dan tidak kepada yang lain, dialah hamba Allah yang tulus ikhlas yang dilayakkan untuk menerima kehormatan dari Allah.

Ini sesuai pula dengan pengakuan Allah yang difirmankan-Nya, yang bermaksud: "Pasti kepada Allah juga kamu dikumpulkan".

Semoga kita menjadi golongan yang mendapat keampunan Allah, rahmat dan keredaan-Nya. Amin.

http://www.utusan.com.my/

Solat Dalam Kenderaan





SOALAN:

Saya kerap tersekat di dalam kesesakan lalu lintas terutamanya pada sebelah petang iaitu ketika pulang dari pejabat. Saya difahamkan bahawa kita boleh melaksanakan solat di dalam kenderaan.

Bagaimanakah kaedah atau caranya, tolong ustaz jelaskan kemusykilan di atas ini.

JAWAPAN

Solat adalah satu ibadah yang diwajibkan oleh Allah SWT kepada semua umat Islam dan pelaksanaannya adalah mengikut waktu dan tempoh masa yang telah ditetapkan (ditauqitkan).

Hal ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (al-Nisa': 103).

Perintah menunaikan solat adalah bersifat tetap dan tidak berubah. Maksudnya, meskipun seseorang itu menghadapi kesukaran untuk menyempurnakan ibadah solatnya dengan mengikut setiap hukum, rukun dan tatacaranya, dia tetap diwajibkan mendirikan solat yang telah difardukan ke atasnya dengan beberapa kelonggaran.

Dalam erti kata lain, syariat Islam memberikan beberapa kelonggaran hukum kepada orang yang dibebani dengan keuzuran atau hambatan akan tetapi syariat Islam tidak mengangkat kewajipan solat dari setiap umatnya sama ada lelaki atau wanita.

Baginda SAW pernah menunaikan solat dari atas unta, kuda dan keldai. Dari Jabir r.a. katanya: Pada suatu ketika Rasulullah SAW mengutusku untuk suatu keperluan, lalu aku pergi. Setelah selesai melaksanakan tugas itu, maka aku datang kembali kepada baginda SAW. Lantas aku mengucapkan salam, tetapi baginda tidak menjawab. Justeru timbul dugaan di hatiku, Allah sahajalah Yang Maha Tahu. Aku berkata kepada diriku, "Barangkali baginda SAW marah kepadaku kerana aku datang agak lewat. Kemudian aku memberi salam kembali, namun baginda tidak juga menjawab. Praduga di hatiku semakin bertambah. Kemudian aku memberi salam lagi, lalu baginda menjawab salamku". Lantas baginda menjawab: "Aku tidak mampu (terhalang) untuk menjawab salammu kerana aku sedang solat". Ketika itu baginda sedang menunaikan solat di atas kenderaan; tidak menghadap kiblat. (riwayat al-Bukhari, hadis 639, jil. II]

l Dari Amir r.a. katanya: Aku melihat baginda SAW menunaikan solat di atas kenderaan; baginda menghadap ke mana sahaja arah kenderaan (tunggangannya) itu menghadap. (riwayat al-Bukhari, hadis 567, Jil. II)

l Diriwayatkan daripada Jabir r.a: Rasulullah SAW pernah mengerjakan solat (sunat) sambil menunggang haiwan tunggangannya (rahilah) ke mana pun baginda menghadap dan ketika Nabi SAW hendak mengerjakan solat wajib Nabi SAW turun dari tunggangannya dan solat menghadap kiblat (Kaabah di Mekah). (riwayat al-Bukhari, hadis 569, jil.2)

Tatacara solat

Terdapat pelbagai tatacara atau kaedah yang telah digariskan oleh Islam termasuklah tata cara solat di dalam kenderaan.

Ia sama ada kenderaan tersebut bersifat terbang di udara seperti pesawat kapal terbang atau jet mahupun kenderaan daratan seperti kereta, lori atau kenderaan lautan seperti kapal, bot dan perahu.

Baginda SAW dan juga para sahabatnya pernah menunaikan solat di atas tunggangan mereka bagi mengelak dari terperangkap dalam cuaca hujan lebat.

Dalam satu riwayat Ya'la ibn Murrah menerangkan bahawa para sahabat pernah bersama-sama baginda SAW dalam satu perjalanan lalu sampai ke satu lembah sedang baginda berada di atas kenderaannya; dan langit pula sangat mendung dan di bawahnya sangat basah.

Tatkala masuknya waktu solat baginda memanggil muazinnya lalu muazinnya melaungkan azan dan iqamat. Baginda lantas maju dengan kenderaannya dan solat berjemaah bersama mereka (para sahabat). Baginda memberi isyarat yang sujudnya lebih rendah dari rukuknya.

Hadis di atas jelas membolehkan solat-solat fardu dilaksanakan di atas kenderaan jika seseorang itu menghadapi suasana kesukaran. Solat sebegini adalah tetap sah jikalau kesukarannya itu adalah benar-benar ikhlas dan ia tidak perlu diulangi.

Dalil lain yang membolehkan solat di atas kenderaan ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah ibn Umar r.a. bahawasanya seorang sahabat telah bertanya kepada baginda SAW: Bagaimanakah cara untuk saya bersolat dalam perahu? Lantas baginda menjawab: "Solatlah di dalamnya dengan berdiri kecuali jika engkau takut tenggelam".

Imam an-Nawawi mengatakan: Menurut pendapat mazhab kami (Mazhab Shafie), apabila seseorang menunaikan solat fardu di dalam kapal maka tidak boleh baginya mengerjakan solat dengan duduk selama sanggup berdiri. Diserupakan orang itu dengan keadaan di darat. Demikianlah juga pendapat Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal.

Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, boleh dikerjakan dengan duduk kalau kapal itu sedang bergerak.

Kaedah menunaikan solat fardu atau sunat adalah sama alam apa jua situasi sama ada di darat, di udara atau di lautan melainkan apabila timbul kesukaran maka kesempurnaan gerak laku solat itu berkurangan selari dengan kadar kesukaran yang dihadapi.

Ia mempunyai kesamaan dengan kaedah solat orang yang sakit dalam beberapa keadaan dan berbeza pula dalam beberapa keadaan lain.

Perintah menghadap kiblat tetap hadir dalam ibadah solat fardu tanpa terkecuali berbeza keadaannya jika melakukan solat sunat berdasarkan hadis Jabir r.a yang disebutkan tadi.

Berdasarkan pernyataan saudara, dalam situasi yang terdesak adalah lebih baik jika saudara menunaikan solat sebelum keluar dari pejabat. Ini kerana masuknya waktu solat asar sekarang pada jam 4.27 petang. Kebanyakan waktu kerja tamat adalah pada jam 5 petang.

Sememangnya tidak menjadi halangan kepada saudara/saudari untuk menunaikan solat terlebih dahulu sebelum balik.

Tambahan pula keadaan jalan raya ketika itu agak sibuk, sesak dan barangkali ditambah pula dengan kemalangan-kemalangan yang tidak diduga berlaku di jalan raya.

Pendek kata, sebelum membuat keputusan untuk menunaikan solat dalam kereta, saudara/saudari seharusnya berikhtiar mencari tempat atau lokasi yang bersesuaian untuk menunaikan solat.

Solat haruslah ditunaikan di tempat yang bersih dan menghadap kiblat serta didahului dengan wuduk. Jika tiada tempat untuk solat maka tetaplah bersolat di tempat duduk sendiri (atas tunggangan atau dalam kenderaan) dan solatlah dengan sujudnya ditunduk lebih rendah dari rukuk.

Namun, jika tidak dapat menunaikan solat dengan menghadap ke arah kiblat pada ketika itu saudara perlu bertaharri dan meyakini bahawa saudara telah menghadap ke arah kiblat lantas berserah diri kepada Allah swt.

Wallahu a'laam

http://www.utusan.com.my/

Dakwah Rasulullah ke Taif

SELEPAS penduduk Mekah menentang Rasulullah, baginda mula risau terhadap keselamatan para pengikutnya. Baginda berusaha mencari tempat baru di luar kota Mekah.

Selepas berbincang, baginda pun memilih Taif yang terletak kira-kira 135 kilometer (km) ke arah Tenggara Mekah.

Baginda berharap para pembesar daripada Bani Thaqif akan menerima baginda dengan baik. Bani Thaqif mempunyai hubungan dengan Bani Hashim, iaitu keturunan baginda. Baginda bertolak ke Taif dengan pembantunya, Zaid bin Harithah. Perjalanan itu mengambil masa selama 10 hari.

Apabila sampai di Taif, mereka sangat kagum dengan keindahan daerah itu. Tanaman hidup subur dan binatang ternakan sangat sihat.

Rasulullah dan Zaid pergi menemui para pembesar daerah itu. Apabila baginda memberitahu niat baginda datang ke Taif, para pembesar segera menghalau mereka.

"Pergi kau dari sini. Kami tidak menyediakan tempat untuk orang seperti kau," halau para pembesar. Baginda juga dihina dan dicerca.

Rasulullah menerima cacian tersebut dengan tenang. Baginda tidak menaruh dendam kepada mereka. Para pembesar telah melakukan bermacam-macam perkara untuk menentang Rasullullah daripada berdakwah. Baginda tidak menghiraukan ugutan mereka. Baginda terus menyeru penduduk Taif agar memeluk agama Islam.

Apabila gagal mengusir Rasulullah, mereka menyuruh semua penduduk Taif mengejek dan menghina baginda. Ramai penduduk Taif akur. Apabila Rasulullah dan Zaid lalu di hadapan mereka, mereka akan mengejek baginda.

Namun baginda hanya tersenyum. Ada juga yang kagum dengan kesabaran baginda. Namun bilangan mereka itu kecil sahaja. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa.

Penduduk Taif mencapai kayu dan batu lalu membaling ke arah Rasulullah dan Zaid. "Berlindunglah di belakang saya, Rasulullah," kata Zaid.

Zaid melindungi Rasulullah. Apabila ada kayu atau batu dibaling ke arah mereka, Zaid akan segera menepis.

Beliau mengalami luka parah akibat terkena batu dan kayu yang dibaling itu. Zaid tidak menghiraukan kesakitannya. Kasih sayangnya terhadap Rasulullah melebihi segala-galanya. Rasulullah hanya mengalami cedera ringan sahaja.

Rasulullah dan Zaid berjalan keluar dari Kota Taif dalam keadaan cedera dan keletihan. Baginda kesal dengan sikap penduduk Taif. Selama sepuluh hari baginda berdakwah dan mengajak mereka menyembah Allah, mereka masih enggan.

"Ya Allah, kepada-Mu aku mengadu. Aku hanyalah hamba-Mu yang lemah. Aku mengaku penghinaan manusia terhadapku," doa baginda sewaktu dalam perjalanan.

Malaikat Jibrail mendengar doa itu. Lalu meminta kebenaran untuk menurunkan bala ke atas penduduk Taif. Baginda tidak membenarkannya.

Baginda berdoa kepada Allah supaya memberikan rahmat dan hidayah kepada orang-orang yang telah menghina dan mencaci baginda.

Begitulah mulianya hati Nabi Muhammad SAW. Walaupun dihina, dikeji, malah dicederakan, baginda tetap mendoakan agar orang yang menganiayai baginda memperoleh kebaikan.

Petikan daripada buku 366 Kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
(http://www.utusan.com.my/

Wednesday, December 2, 2009

Kenali Mufti Baru Negeri Sembilan





DATO’ HJ. MOHD. YUSOF BIN HJ. AHMAD - MUFTI KEEMPAT KERAJAAN NEGERI SEMBILAN-2008 hingga sekarang

Dato' Haji Mohd Yusof bin Haji Ahmad – Beliau dilahirkan pada 7 Februari 1945. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Nuri Air Mawang, Johol, Negeri Sembilan pada tahun 1952 - 1957. Kemudian beliau meneruskan pengajiannya di Sekolah Pertukangan Kayu Nuri pada tahun 1958 sehingga Mei 1958, kemudian di Sekolah Ugama Menengah Rendah Johol, Kg. Pasit, Negeri Sembilan (SUMR) pada Jun 1959 - 1961, kemudian beliau meneruskan pula pelajaran di Sekolah Ugama Menengah Tinggi Istana Lama Sri Menanti (SUMT) pada tahun 1962 – 1963, seterusnya di Sekolah Ugama Menengah Tinggi Seremban (SUMT), tahun 1964 – 1965. Pada tahun 1966, beliau telah mengambil Sijil Tinggi di Kolej Islam Malaya Petaling Jaya, serta Diploma Pendidikan pada tahun 1969. Kemudian pada tahun 1970 sehingga 1972, beliau menyambung pengajiannya ke luar negara iaitu di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.


Pengalaman dalam perkhidmatan :

• Guru Bahasa Arab (sukarela), Sekolah Ugama Menenengah Tinggi, Seremban, Negeri Sembilan (SUMT) pada Mac 1973.


• Guru Bahasa Arab (Berijazah), Sekolah Ugama Menengah Tinggi Seremban (SUMT) pada September 1973.


• Guru Penolong Kanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ugama Seremban(SMKU)


• Menjawat jawatan sebagai Pengetua:

i) Sek. Men. Keb. Agama, Seremban (SMKA) - 1980 – 1985


ii) Sek. Men. Agama Wilayah Persekutuan - Okt 1985 – April 1987


iii) Sek. Men. Agama Persekutuan - 1987 – Nov 1988

Labu, Seremban, Negeri Sembilan (SMAP)

iv) Sek. Men. Keb. Agama Syarifah - 1988 – Feb 1989

Rudhiah, Melaka (SMKA)



v) Sek. Men. Keb. Agama Sheikh Hj. Mohd. Said, - Mac 1989-1997

Seremban(SMKA SHAMS)



vi) Maktab Perguruan Islam - 1998 – Feb 2000

Bangi, Selangor (MPI)


BIODATA MUFTI KERAJAAN NEGERI SEMBILAN

Pada tahun 1952, YB Dato’ Mufti telah memulakan pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Nuri Air Mawang, Johol, Negeri Sembilan sehingga tahun 1957. Selepas itu YB meneruskan pengajiannya di Sekolah Pertukangan Kayu Nuri pada tahun 1958 sehingga Mei 1958.

Bulan Jun 1959 - Sek. Ugama Men. Ren. Johol, Kg. Pasit, Negeri Sembilan (SUMR)

1962 sehingga 1963 - Sek. Ugama Men. Tinggi Istana Lama Sri Menanti (SUMT)

1964 sehingga 1965 - Sek. Ugama Men. Tinggi Seremban (SUMT)

1966 sehingga 1969 - Kolej Islam Malaya Petaling Jaya Sijil Tinggi & Diploma

Pendidikan

1970 sehingga 1972 - Universiti Al-Azhar, BA Usuludin, Jurusan Tafsir & Hadith,

MA Syariah, Jurusan Fiqh Perbandingan

1983 sehingga sekarang - Ahli Jawatankuasa Fatwa, Negeri Sembilan

1990 sehingga 2008 - Ahli Majlis Agama Islam, Negeri Sembilan

1974 sehingga 1983 - Pemeriksa Kertas Pendidikan Islam SRP

1980 sehingga 1983 - Pemeriksa Kertas Pendidikan Islam SPM

1982 sehingga 1985 - Ketua Panel Pemurniaan Soalan Thanawi Ma’had Gemencheh

1984 sehingga 1995 - Ketua Pasukan Kertas Pendidikan Islam SRP&SPM

1992 sehingga 1993 - Ketua Kumpulan Ujian Lisan Bahasa Arab STPM, N.Sembilan



1994 sehingga 1999 - Ketua Pemeriksa Ujian Lisan Bahasa Arab STPM,

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM)

1996 - Ketua Pemeriksa Kertas Pendidikan Islam SPM

2000 sehingga 2009 - Ketua Panel Penterjemah dan Penyunting Kitab Fiqh-Manhaji

2002 sehingga 2009 - Ketua Panel Penyunting Kitab ‘Aqidah Islamiyah’

2000 sehingga sekarang - . Jawatankuasa Rukyah Hilal Ramadhan, Syawal

Dan Zulhijjah


Sepanjang berkhidmat beliau dikurniakan 3 pingat dan anugerah :


1. Tokoh Guru Negeri Sembilan 2009.

2. Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah, Negeri Sembilan 1425 H/2005 Masihi.

3. Lencana Terima kasih daripada Persekutuan Pengakap Malaysia dan Majlis

Pengakap Kumpulan Latihan Malaysia Bahagian Pendidikan Guru.

-Sumber Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.