Thursday, October 29, 2009

Allah uji orang beriman

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sheikh Sya'rawi berkata : Sesungguhnya iman bukan semata-mata ucapan tetapi memerlukan ujian untuk menthabitkan bahawa kamu diuji dan berjaya dalam ujian. Fitnah merupakan ujian, justeru jangan menyangka masalah berlaku secara mudah dengan hanya berkata kami membawa dakwah kebenaran.

Ayat ke-142

Firman Allah SWT yang bermaksud: Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

Iktibar dan fiqh ayat

i. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Peristiwa perang Uhud banyak memberi pengajaran kepada umat Islam.

"Apa yang berlaku banyak hikmahnya antaranya memberi peluang kepada kaum Muslimin untuk muhasabah dan merapatkan saf perpaduan dan perjuangan.

"Ia juga ujian kepada kaum Muslimin dalam perjuangan mengejar syahid dan syurga".

ii. Hamka berkata: "Sebagai guru yang dijelaskan peranannya, menjadi satu harapan kepada kita semua untuk meneruskan setiap peninggalan daripada mereka.

"Banyak yang bersuara lantang, berfatwa menyuruh orang berjuang dan bersabar.

"Sangat mudah untuk berkata sedemikian sebelum mereka menyaksikan sendiri betapa payahnya berjuang dan pahitnya untuk bersabar".

iii. Al-Sonhadji berkata: "Sesungguhnya memerangi hawa nafsu untuk menunaikan hak-hak Allah dan hak-hak manusia amatlah berat memikulnya.

"Namun jika menang dalam perjuangan itu, ganjaran yang akan diperolehi ialah mendapat kemenangan dan kejayaan di dunia ini, dan mendapat ganjaran di akhirat dengan memperolehi syurga jannatunna'im".

Ayat ke-143

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Kathir berkata: "Kamu orang yang beriman begitu bersemangat untuk bertempur dengan musuh sebelum hari ini. Sedangkan apabila bertemu dengan mereka kamu bimbang pula".

ii. Al-Qurtubi berkata: "Ayat ini menjadi celaan bagi mereka yang kalah lebih-lebih lagi yang menggesa Nabi SAW supaya keluar daripada Madinah dalam peperangan Uhud.

"Walaupun begitu, ditegaskan di sini ada di kalangan orang yang beriman yang memohon daripada Allah supaya dikurniakan syahid dan mereka memohon kesabaran untuk berjihad sekalipun membawa kepada kematian".

iii. Al-Alusi berkata: "Ayat ini ditujukan kepada kumpulan orang yang beriman yang tidak menyertai perang Badar kerana tidak menyangka berlakunya peperangan".

iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Mereka dikecam kerana berpaling dari pertemuan dengan musuh ketika diberikan kesempatan.

"Dalam satu riwayat Rasulullah SAW mengingatkan: Wahai manusia, janganlah mengharapkan pertemuan dengan musuh (peperangan), mohonlah perlindungan Allah SWT dan bersabarlah apabila bertemu mereka. Sesungguhnya syurga di bawah bayang-bayang dan naungan pedang".

v. Al-Sonhadji berkata: "Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang berjuang dalam medan perang Uhud.

"Yang demikian itu ialah kerana ramai sahabat Nabi SAW yang tidak turut serta dalam peperangan Badar, ingin benar hendak keluar menerpa musuh yang telah berkhemah menunggu di luar bandar Madinah, dengan harapan mereka dapat mengalahkan musuh dan di samping itu memperoleh pula keuntungan seperti orang-orang yang bertempur di medan perang Badar dahulu".

Ketahuilah saudaraku, syurga Allah SWT nilainya amat tinggi dan mahal. Justeru, marilah sama-sama kita melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya untuk melayakkan kita memasuki syurga-Nya. Amin.

lDR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI ialah Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan dan Terengganu,Pakar Rujuk Tabung Haji,dan mantan pensyarah USIM.

Wednesday, October 28, 2009

Pendidikan: Misi utama Rasulullah

Panel PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ADALAH menjadi salah satu tanda keagungan Allah SWT dan kemukjizatan Rasul-Nya SAW, walaupun sudah lebih 1400 tahun Baginda SAW meninggalkan kita, tetap akan ada sejumlah individu, kumpulan dan organisasi yang berusaha untuk menyambung misi perjuangan Rasulullah SAW.

Tinggal lagi, mungkin kerana keluasan skop misi perjuangan Rasulullah SAW, kita dapati, kalaupun mereka ini sama bersemangat untuk menyambung misi perjuangan beliau, akhirnya bentuk amal Islami yang terhasil akan berbeza-beza pendekatan dan acuan penghayatannya.

Antara pendekatan-pendekatan utama yang dapat kita perhatikan ialah pendidikan, kebajikan, politik, dakwah, kerohanian, ekonomi dan termasuk juga jihad bersenjata.

Dalam kepelbagaian 'jalan' yang dipilih, perlu rasanya dibuat penegasan bahawa misi utama dan teras kepada perjuangan Rasulullah SAW adalah pendidikan. Malah tidak salah dikatakan bahawa dimensi pendidikanlah yang lazimnya menjadi penentu kualiti dan keberkesanan sudut-sudut lain perjuangan warisan Nabawi.

Keutamaan pendidikan dan pendidik sebagai misi utama Nabi SAW jelas tampak dalam sumber al-Quran dan hadis seperti dalam ayat yang bermaksud: Dia lah Yang telah mengutuskan Dalam kalangan orang-orang (Arab) Yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, Yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad Yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan Yang mendalam mengenai hukum-hukum Syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad SAW) itu adalah Dalam kesesatan yang nyata. (al-Jumu'ah : 2)

Manakala satu hadis yang menarik dalam soal ini ada diriwayatkan oleh Ibnu Majah dalam sunannya dan al-Darimi dalam sunannya daripada Abdullah ibnu Amru ibnu al 'Aas r.a, beliau berkata: "Pada satu hari, Rasulullah SAW keluar daripada salah satu biliknya dan masuk ke masjid lalu Baginda berada antara dua kumpulan.

Salah satu daripadanya manusia yang sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah Taala. Sementara yang satu kumpulan lagi sedang belajar dan mengajar.

Lalu bersabda Rasulullah SAW berkata: "Kesemua mereka adalah baik. Adapun orang yang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah SWT, jikalau Allah SWT inginkan kebaikan kepada mereka, nescaya Allah SWT akan beri, jikalau Allah SWT tidak menginginkan maka Dia akan menegahnya. Adapun orang yang mengajar dan belajar, maka sesungguhnya saya diutuskan sebagai pendidik," lalu Rasulullah SAW duduk bersama kumpulan mereka." (Sunan Ibnu Majah :1:83)

Bukti kejayaan Nabi SAW sebagai pendidik terlihat pada kualiti insan sebelum Baginda dibangkitkan dan sesudahnya. Baginda telah berhasil mengubah masyarakat jahiliah yang tandus daripada nilai kemanusiaan kepada satu generasi yang paling tinggi nilai keperibadiannya.

Lahirlah di tangan Baginda SAW, tokoh-tokoh perkasa berkeperibadian luhur yang muncul memimpin manusia secara sambung-menyambung hingga buahnya dapat dinikmati hingga ke zaman ini.

Rasulullah cintai ilmu

Penekanan dan keutamaan yang diberikan oleh Rasulullah SAW terhadap pendidikan juga dapat dirasakan apabila kita meninjau beberapa sikap Rasulullah SAW dalam aspek ini.

Kitab al-Targhib wa al-Tarhib oleh al Hafiz al-Munziri dalam bab al-Tarhib fi Katmi al-'Ilm (Celaan Terhadap Menyembunyikan Ilmu) dan al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Majma' al-Zawaid ada merakamkan daripada 'Alqamah ibnu Saad ibnu Abd Rahman ibnu Abza daripada ayahandanya daripada datuknya dari Abd. Rahman ibnu Abza r.a telah berkata, Rasulullah SAW telah berkhutbah pada satu hari.

Baginda memuji Allah SWT dan berdoa serta menyebutkan tentang sekumpulan orang Islam dan mendoakan kebaikan ke atas mereka, lalu bersabda, "Alangkah malangnya kaum yang tidak memahamkan dan mengajarkan agama kepada jiran-jiran mereka serta tidak mencerdikkan mereka terhadap agama dan tidak pula menyuruh mereka membuat kebaikan dan melarang membuat keburukan."

Allamah Syeikh Mustofa al-Zarqa dalam kitabnya al-Madkhal al-Fiqhi al-'Aam telah mengulas hadis ini dengan berkata, "Ini adalah satu pernyataan yang penting dan jelas bahawa pengabaian terhadap pendidikan dan menuntut ilmu adalah merupakan jenayah kemasyarakatan yang amat besar dan sewajarnya mereka yang terlibat dalam jenayah ini dikenakan denda di dunia lagi. Jenayah kemasyarakatan ini akan mengakibatkan pengabaian pelbagai kewajipan agama."

Oleh itu, apabila seorang alim tidak melaksanakan peranannya mendidik dan seorang yang jahil tidak menunaikan tugasnya untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka wajib kedua pihak ini mendapat hukuman denda terhadap kecuaian mereka.

Umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW telah mewajibkan menuntut ilmu dalam sabdanya yang bermaksud: "Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas lelaki dan perempuan."

Daripada pengertian hadis ini, dapat kita faham bahawa Nabi SAW mengkaitkan kefarduan menuntut ilmu dengan sifat Islam seseorang sebagai peringatan bahawa sesiapa yang menisbahkan dirinya sebagai seorang Islam, maka telah menjadi kewajipan padanya untuk menuntut ilmu dan menjauhi kejahilan.

Rasulullah SAW juga memperingatkan umatnya supaya mempelajari ilmu yang bermanfaat serta berwaspada daripada ilmu yang tidak bermanfaat.

Mesej ini dapat difahami daripada doa Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam satu hadis daripada Zaid Ibnu Arqam r.a berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW telah berdoa: Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk (lalai) , daripada nafsu yang tidak pernah puas dan daripada doa yang tidak mustajab. (Sahih Muslim 17:41)

Nabi model pendidik

Sewajarnya bagi setiap orang yang menjadi pembimbing dan pendidik manusia mempunyai sifat-sifat yang sesuai dengan peranan yang dilakukan.

Dalam konteks ini, tidak ada di sepanjang zaman seorang manusia pun yang mempunyai atau menghampiri ciri-ciri kesempurnaan akhlak sebagaimana yang dimiliki oleh Rasulullah SAW sehingga mendapat pujian unggul daripada Allah SWT sebagaimana firmannya: Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak Yang amat mulia. (al-Qalam :4)

Kesempurnaan yang dimiliki oleh Rasulullah SAW adalah sifat-sifat yang seharusnya ada pada seorang pendidik dan boleh diperincikan kepada empat perkara iaitu kesempurnaan kejadian, kesempurnaan akhlak, kelebihan kata-kata dan kelebihan perbuatan.

Kesempurnaan zahir yang ada pada Nabi SAW yang ditonjolkan oleh kesederhanaan tubuh badannya terdiri daripada;

1. Ketenangan yang membangkitkan sifat hebat (menggerunkan) dan dipandang hebat. Sifat inilah yang telah menyebabkan utusan Raja Kisra menggeletar ketakutan apabila berhadapan dengannya. Sekalipun pandangan manusia kepadanya hebat tetapi Nabi SAW tetap bersifat tawaduk tidak mengambil kesempatan untuk menguasai seseorang.

2. Air muka yang berseri menyebabkan Baginda dicintai oleh setiap orang yang memandang wajahnya. Yang hampir berharap ingin sentiasa bersamanya, yang jauh ingin berdekatan dengannya.

3. Mendapat penerimaan yang menjadikan semua hati cenderung untuk menerima apa sahaja yang datang daripada Nabi SAW. Tidak ada yang mengingkari kecuali orang yang hasad.

4. Kecenderungan manusia untuk mentaati Rasulullah SAW sekalipun perlu kepada kesabaran dan kesusahan yang terpaksa mereka tetap berpegang teguh dan mentaati-Nya. Demikian antara kesempurnaan fizikal yang dimiliki oleh Rasulullah.

Adapun kesempurnaan akhlak Nabi SAW pula terdiri dari empat perkara iaitu:

*kebernasan fikiran, sangkaan dan firasatnya.

*Sabar di atas segala kesusahan dan rintangan.

*Zuhud terhadap dunia serta tidak berkehendak dan tidak cenderung kepadanya.

*Tawaduk kepada manusia lain sedangkan mereka semua adalah pengikutnya. Bermesra dengan sahabatnya tanpa ada jurang pemisah yang membezakan mereka.

*Berlemah lembut dengan manusia serta mudah mesra dan simpati dengan manusia lain. Sehingga setiap orang merasakan Rasulullah SAW seumpama ayah mereka.

*Memelihara janji dan tidak pernah memungkirinya.

Kelebihan Rasulullah dari sudut pengucapannya pula ialah:

1. Diberikan kepadanya kebijaksanaan dari segi menuturkan ucapan. Perkataannya dipenuhi dengan seni bahasa Arab yang terdiri daripada balaghah, ma'ani dan badi'. Walaupun begitu perkataan Rasulullah mudah difahami oleh mereka yang ingin menerimanya.

2. Menghafaz apa-apa yang dikhabarkan oleh Allah kepadanya dari kisah-kisah para nabi terdahulu dalam hafalan dadanya tanpa dicatat.

3. Perkara-perkara yang disuruhnya adalah terdiri dari perkara yang baik-baik dan adab-adab yang tinggi.

Kelebihan perbuatan Rasulullah SAW pula dapat dilihat dari berapa sudut. Antara ialah:

1. Elok perjalanan hidupnya dan tepat perancangannya.

2. Sederhana dalam melakukan perkara yang disyariatkan tanpa berlebihan atau kekurangan.

3. Tidak menjadikan sahabatnya terlalu cenderung terhadap hal keduniaan dan tidak pula menolak dunia secara keseluruhannya.

Kita tidak menafikan bahawa agenda pendidikan ada digarap dalam pelbagai pendekatan individu dan kumpulan yang beridealismekan perjuangan Rasulullah SAW di zaman kita ini.

Cuma yang harus dimuhasabah adalah setakat mana agenda ini diberi tempat yang utama dan sepatutnya dalam kerangka gerak kerja masing-masing. Juga setakat mana ciri-ciri acuan pendidikan Rasulullah SAW yang hakiki telah dihayati.

Seperti yang dihimbau di atas, sebagai pendidik ulung, acuan pendidikan Rasulullah SAW dicirikan oleh gaya penerangannya yang jelas, tuturan yang fasih, gaya bahasa yang indah, isyarat fizikal yang menawan, sinaran roh yang memancar, sifat kasih sayang yang tebal serta kebijaksanaan yang tiada tolok bandingnya. Semoga kita semua mampu menterjemahkannya dalam diri dan organisasi kita.

Tuesday, October 27, 2009

Hibah Dan Bahagiannya

HIBAH
Definsi
Hibah secara literalnya, diambil dari kata (هبوب الريح) perjalanan atau tiupan angin . Ada pendapat yang menyatakan hibah jua bermakna orang yang bangun daripada tidur, seolah-olah pelakunya bangun daripada tidur, dan terkejut menerima penerimaan.
Dari segi syarak ialah pertukaran hak milik sesuatu secara mutlaq ketika masa hidup tanpa sebarang iwadh(gantian) walaupun daripada orang yang lebih tinggi.
(Rujukan Raudhah Al-Talibin Jilid 4 halaman 426)

Hibah juga dari segi bahasa bererti pemberian.
Dari segi istilah syarak: suatu akaq yang mengandungi pemberian hak milik oleh seseorang terhadap hartanya kepada orang lain pada masa hidupnya dengan tidak mengharapkan balasan.
(Rujukan Buku Sistem Pengagihan Harta Pusaka Islam halaman 107)

Kitab Fiqh Al-Manhaji Jilid 5 pula menakrifan hibah atau anugerah dari segi bahasa ialah suatu pemberian yang diberikan bukan kerana tanggungjawab tertentu dan pemberian ini memberi manfaat kepada penerima.
Menurut istilah syarak ialah suatu kontrak yang merujuk kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian ketika masih hidup dan dilakukan secara sukarela. (Rujukan Al-Fiqh Al-Manhaji Jilid 5 halaman 1449-1450)

Kesimpulan
Hibah ialah satu bentuk kontrak pemindahan atau pemberian hak milik dari satu pihak ke satu pihak yang lain tanpa mengharapkan balasan atau gantian,berlaku dalam keadaan tidak dipaksa(sukarela) ketika masih hidup. Semua takrif tadi termasuk dalam jenis hibah yang disebut sebagai hibah mutlaq.
Dalil Hujahan.

1. Al-Quran
Firman Allah s.w.t:
وهب لنا من لدنك رحمة انك أنت الوهب
Maksudnya: Dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.

(Surah A-li-Imran ayat 8)

وءاتوا النساء صدقتهن نحلة فان طبن لكم عن شيء منه نفسا فكلوه هنيئا مريئا

Maksudnya: Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah(gunakanlah) pemberian(yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.
(Al-Nisaa ayat 4)
2. Hadith

Sabda Rasulullah s.a.w:

قد كان لرسول الله صلى الله عليه وسلم جيران من الأنصار كانت لهم منائح وكانوا يمنحون رسول الله صلى الله عليه وسلم من ألبانهم فيسقينا
Maksudnya: Rasulullah s.a.w berjiran dengan seorang Ansar dan mereka mempunyai manihah(anugerah). Mereka memberi susu kepada Rasulullah s.a.w dan Baginda memberikannya kepada kami untuk diminum.
(Hadith Riwayat Bukhari,no.2972)
Manihah dalam hadith ini bermaksud unta atau kambing yang mempunyai susu.

عن خالد بن عدى أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: من جاءه من أخيه معروف من غير اسراف ولا مسالة فليقبله ولايرده قائم هو رزق ساقة الله اليه
Maksudnya: Dari Khalid bin Adi: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Barangsiapa yang diberi oleh saudaranya kebaikan dengan tidak berlebih-lebihan dan tidak dia minta hendaklah diterimanya(jangan ditolak), sesungguhnya yang demikian itu pemberian yang diterima oleh Allah kepadanya. (Hadith Riwayat Ahmad)

3. Ijmak Ulama
Para fuqaha Islam pada sepanjang zaman sependapat bahawa sebarang bentuk anugerah(hibah) adalah digalakkan kerana amalan ini sebahagian daripada budaya bekerjasama. Firman Allah s.w.t:
وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الاثم والعدون واتقوا الله ان الله شديد العقاب
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah bertolong-tolongan pada melakukan dosa(maksiat) dan pencerobohan Dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab sekesaNya( bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
(Surah Al-Maa’idah ayat 2)
Rukun Hibah
1. Orang yang menghibah
2. Orang yang menerima hibah
3. Barang dihibahkan
4. Sighah(Ijab dan Qabul)

Setiap rukun ini ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi. Syarat-syarat tersebut ialah:
Syarat-syarat Hibah

1. Syarat-syarat pemberi hibah:
1. Baligh.
2. Berakal.
3. Tidak ditegah mempergunakan harta.
4. Dengan kerelaan hati.
5. Memiliki barangan yang diberikan.

2. Syarat-syarat penerima hibah
Mempunyai keahlian dalam memiliki harta yang dihibahkan kepadanya. Tidak sah jika:
i. Penerimannya ialah kanak-kanak yang masih dalam kandungan ibunya.
ii. Penerimanya ialah haiwan.

3. Syarat-syarat barang yang dihibahkan
i. Hendaklah ianya suci
ii. Ada manfaatnya.
iii. Dapat diserahkan
iv. Pemilik mempunyai kekuasaan untuk memberi.
v. Diketahui(dimaklumi oleh pemberi dan pemilik).

4. Syarat-syarat sighah(ijab dan qabul)
i. Hendaklah ijab itu diikuti oleh qabul dengan segera.
ii. Didengari oleh orang yang hampir kepadanya.
iii. Maksud yang difahami oleh kedua belah pihak.
iv. Tidak bertaqlik atau bersyarat.
v. Tiada tempoh waktu.
vi. Ijab tidak berubah sebelum qabul.

Hak Milik Selepas Hibah
Barangan yang diberikan belum menjadi milik penerima kecuali dengan kebenaran pemberi hibah. Jika berlaku kematian salah seorang dari penerima atau pemberi maka waris pemberi atau penerima hibah yang mati itu mestilah menjadi pengganti dalam melakukan penerimaan dengan izin atau membatalkan pemberian tersebut.(Rujukan Buku Sistem Pengagihan Harta Pusaka Islam halaman 108-109).

Berdasarkan pendapat Jumhur Fuqaha(Mazhab Syafie, Hanafi, dan Hanbali) hibah hanya berlaku setelah barang yang dihibahkan itu berada di tangan(القبض) atau di dalam milik penerima hibah, bukan hanya dengan aqad semata-mata. Bila mati pemberi hibah atau penerima hibah sebelum berlaku penyerahan maka hiba itu batal. Sebaliknya, mazhab Maliki berpendapat, bila pemberi hibah atau penerima hibah mati sebelum penyerahan hibah atau berada di tangan penerima hibah,maka hibah itu tidaklah batal. Kerana hanya dengan aqad semata-mata hibah telah menjadi milik penerima hibah.
(Rujukan Al-Fiqh Al-Islami Wa Al-Adilatuhu Jilid 7 halaman 19-21)

Jenis-jenis Hibah
Hibah dibahagikan kepada beberapa jenis hibah. Antaranya ialah hibah ain(benda) dan hibah manfaat.Hibah ain ialah yang diqasadkan(diniatkan) pada balasan dan ada yang tidak diqasadkan(diniatkan) padanya balasan. Dan yang diniatkan padanya balasan iaitu mengharapkan balasan dari Allah dan mengharapkan balas daripada makhluk(manusia). Adapun hibah jenis tanpa balasan(mutlaq) tiada perselisihan akan keharusan, manakala hibah al-sawwab maka berselisih para fuqaha tentangnya. Ringkasnya hibah ini boleh dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu hibah(hibah mutlaq)tidak ada balasan dan hibah al-sawwab(bissawwab) yakni hibah dengan balasan.

Hibah Bi Al-Sawwab(Hibah Bissawwab).
Hibah jenis kedua ialah hibah bi al-sawwab. Kitab Ahsyaru Al-Muhtasar Fi Al-Fiqh Ala Mazhab Al-Imam Ahmad Ibnu Hambali(Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman Al-Jabrini) mendefinisikan hibah bi al-sawwab ialah hibah yang disyaratkan untuk pemberiannya balasan. Dengan maksud yang lain,sesungguhnya individu yang memberi sesuatu pemberian itu mengharap ganjaran(balasan) daripada pemberiannya, maka inilah yang dikatakan hibah bi al-sawwab. Sepertimana katanya: Aku hadiahkan kepada engkau kitab ini atau saya kurniakan engkau kitab ini dan gantikanlah kepada saya sesuatu sebagai balasan dan maka sesungguhnya ini yang dinamakan hibah bi al-sawwab. Ia juga adalah termasuk dalam jenis jual beli, hukum dan syaratnya adalah seperti jual beli. Dari segi hukumnya para ulama berselisih pendapat. Imam Malik dan Imam Abu Hanifah r.ah mengharuskannya,manakala Imam As-Syafie, Daud, dan Abu Thur menegahnya. Sebab perselisihan mereka ialah adakah ini adalah jual beli yang tidak diketahui nilai atau bukan jual beli yang tidak diketahui nilainya?. Golongan yang berpegang pada pandangan yang pertama menyatakan ia adalah daripada jenis jual beli gharar(tidak pasti) yang tidak harus. Adapun yang berpendapat sebaliknya mengharuskannya.
(http://www.taimiyah.org/Display.asp?f=3khwq-00003.htm)

Fiqh Syafii Jilid 2 halaman 136 menyatakan boleh dilakukan pemberian itu dengan bersyarat supaya diberi pula( balas), umpamanya kata seorang: “ Aku berikan barangku ini kepadamu dengan syarat bila engkau berikan pula barang engkau itu kepadaku”. Dalam hal ini, bila syarat tidak dipenuhi, maka pemberian itu boleh diminta kembali.
(Rujukan Fiqh Syafii Jilid 2 halaman 136)
Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: وهب رجل لرسول الله صلى الله عليه وسلم ناقة فأثابه عليها فقال: رضيت؟ قال: لا فزاده فقال: رضيت؟ قال: لا فزاده فقال: رضيت؟ قال: نعم.
Maksudnya: Dari Ibnu Abbas r.a berkata ia: “Pernah seorang lelaki memberikan kepada Rasulullah s.a.w seekor unta betina,lalu dibalas beliau pemberian itu dan beliau bersabda: Telah redakah kamu? Jawab lelaki itu: Belum, Rasulullah lalu menambah balasannya itu dan bersabda: Telah redakah kamu?. Jawab lelaki itu: Belum. Lalu ditambah lagi pemberian itu, kemudian beliau bersabda: Telah redakah kamu?. Jawab lelaki itu: Ya, sudah.(Hadith Riwayat Ahmad dan dianggap sahih oleh Ibnu Hibban).
Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani r.ah dalam kitab Bulughul Maram menyatakan hadith ini menunjukkan bahawa memberi balasan orang yang memberi hadiah itu disyaratkan harus sampai orang itu merasa senang dan puas.
(Rujukan Bulughul Maram halaman 548-549).

Syed Sabiq r.ah pula berkata: Disunatkan membalas hadiah sekalipun hadiah itu dari orang yang lebih tinggi kepada orang yang lebih rendah. Argumentasi beliau ialah sebuah hadith dari Aishah r.a yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Abu Daud, dan Al-Timirdzi:

عن عائشة رضي الله عنها قالت: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يقبل الهدية ويثيب عليها
Maksudnya:
Dari Aishah r.a berkata dia: “Adalah Rasulullah s.a.w menerima hadiah dan membalasnya”.
Dan lafaz Ibni Abi Syihab:
ويثيب ما هو خير منها
Maksudnya:
“Dan membalas dengan apa yang lebih baik darinya”.
(Al-Fiqh Al-Sunnah halaman 173-174)

Menurut Sayidina Umar Ibnu Khattab r.a siapa yang menghibahkan suatu hibah kerana silaturahim atau atas segi sedekah, maka ia tidak dapat mengambil kembali sedekah dan hibah itu. Dan siapa yang menghibahkan suatu hibah yang ia melihat bahawa ia mengkehendaki balasan, maka dia itu atas hibahnya, dapat ia mengambil kembali,kalau ia tidak rela dengan hibah itu.(Al-Umm Jilid 5 halaman 356)

Wednesday, October 21, 2009

Rahsia Qailulah

Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.
Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi :
"Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah SallAllahu Alaihi wasallam ada melakukannya."

Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata :
"Hendaklah seseorang tidak meninggalkan ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor."

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai satu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti.

Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja.
Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca industri telah mendapati bahawa 92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti.
(Napping News : 'Scientific Proof Confirms : Napping Enhances Worker Productivity,' from eFuse)


Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai 'a midafternoon quiescent phase' atau 'a secondary sleep gate'.
Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini adalah Dr.William A.Anthony, Ph.D. dan Camille W.Anthony, pengarang buku 'The Art of Napping at Work'. Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka 'Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavior and Medical Aspects of Napping'.

Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam.
(Gail Benchener: 'Parents and Sleep Deprivation,' Family.com)
Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi SallAllahu Alaihi Wasallam rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini.
Sumber:www.iLuvislam.com
dihantar oleh : pencari_ketenangan
editor : almusafirq8

Monday, October 19, 2009

Perintahlah Anak Kamu Menunaikan Solat !

Rasulullah memerintahkan setiap ibu bapa supaya menitikberatkan soal akhlak dan solat ini terhadap anak seperti maksud hadis berbunyi:

"Suruhlah anakmu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun. Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur" (Hadis Abu Daud)

Perintah menunaikan solat juga termaktub dalam al-Quran yang bermaksud, "Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, bahkan Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa" (Toha: 132)

Memang tidak dinafikan kebanyakan ibu bapa tidak mendidik anaknya di rumah kerana selalu sibuk dengan urusan kerja sehingga tidak mempunyai waktu. Sebenarnya itu hanya alasan semata-mata. Bukankah kita diperintah supaya mengurus masa dengan bijaksana? Oleh itu, ibu bapa sebenarnya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hala tuju dan corak hidup anaknya.

Di samping itu, ibu bapa yang beriman, bertanggungjawab dan kaya dengan sifat kasih sayang, selalu mengharap dan berdoa kepada Allah supaya dikurniakan anak yang taat melaksanakan solat, lantaran ibadah itu akan memberi kesan yang sangat baik bukan saja terhadap diri, bahkan juga kehidupan masyarakat seluruhnya.

"Wahai Tuhanku. Jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku" (Surah Ibrahim: 40)

Orang yang solat bermakna selalu ingat dan dekat kepada Allah Taala, cinta semakin bertambah dan jiwanya sentiasa tenang dan lapang. Dalam dirinya tumbuh sifat mahmudah, berbudi pekerti mulia, sabar, tahan diuji, suka memberi pertolongan, tidak sombong dan lain-lain. Inilah gambaran sahsiah Muslim yang dibentuk oleh kewajipan solat dalam agama.

Dengan demikian, soal keruntuhan akhlak dan gejala sosial lainnya akan pasti lenyap. Masyarakat dapat hidup dalam suasana aman dan bahagia, dan dapat menjalani kehidupan dengan selesa dengan rahmat dan keredaan-Nya.

Muslim Berkemampuan Bersegeralah Tunaikan Haji

Jemaah wajib persiap bekalan ilmu, sentiasa bersabar laksana ibadat Rukun Islam kelima

MUSIM haji menjelang kembali. Pada waktu ini, bakal haji pastinya sibuk membuat pelbagai persediaan terakhir sebelum menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Ibadat haji adalah satu daripada lima Rukun Islam yang wajib dilaksanakan setiap Muslim yang berkemampuan sekali seumur hidup.

Allah berfirman bermaksud: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan barang siapa yang kufur (ingkar kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu apapun) dari sekalian makhluk". (Ali Imran: 97)
Menyedari akan kewajipan ibadat haji yang terpikul pada bahu setiap Muslim di samping kemampuannya yang melayakkannya untuk menyahut seruan Ilahi ke Tanah Suci, sepatutnya tidak melengah-lengahkan lagi. Rasulullah bersabda, "Hendaklah kamu bersegera menunaikan ibadat haji iaitu haji fardu kerana sesungguhnya seseorang itu tidak mengetahui apakah rintangan yang akan menghalang kamu (pada masa akan datang jika sengaja melengahkan). (Hadis Ahmad)

Jelas Rasulullah memberi peringatan keras berkaitan kesudahan dan akibat yang akan diterima mereka yang sengaja melengah-lengahkan dan cuai daripada menunaikan ibadat haji biarpun sudah memenuhi segala syarat-syaratnya. Oleh demikian, setiap Muslim berkemampuan dinasihatkan supaya tidak melengah-lengahkan masa lagi untuk membuat persiapan haji seperti menyimpan wang secukupnya, mendaftar dengan Tabung Haji untuk urusan haji, menghadiri kursus bersiri haji dan menyelesaikan segala masalah berkaitan ketika ketiadaannya kelak.

Amat mendukacitakan apabila ada sebahagian umat Islam yang sengaja melambat-lambatkan pemergian mereka ke Tanah Suci dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah, kononnya belum sampai seruan lagi atau kerana kesibukan kerja seharian atau bimbangkan kepada siapa dan ke mana hendak ditinggalkan anak atau memikirkan kepada siapakah yang akan mengendalikan projek pertanian dan perniagaan sedang meningkat atau takut kalau ditinggalkan begitu saja akan mengakibatkan kerugian besar.

Walaupun semua alasan dikemukakan adalah punca yang akan mendatangkan keuntungan besar di dunia ini, perlulah diinsafi bahawa keuntungan itu hanya kecil jika dibandingkan dengan ganjaran pahala berlipat ganda diperoleh seorang Muslim melalui ibadat haji yang mabrur. Bukankah Rasulullah pernah bersabda maksudnya: Haji yang mabrur itu tidak ganjarannya melainkan syurga penuh kenikmatan. (Hadis riwayat Bukhari)

Selain itu, ada juga kebimbangan sebahagian umat Islam terhadap pelbagai kesusahan dan kesulitan yang akan dihadapi ketika berada di Tanah Suci, terutama apabila kedengaran rungutan dan aduan daripada jemaah yang balik menunaikan ibadat haji lalu. Mereka begitu terpengaruh dengan cerita berkenaan sehingga membantutkan azam untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Perlu ditegaskan bahawa ibadat haji menyingkap pelbagai hikmah pengajaran dan falsafah yang wajib difahami dan dihayati setiap Muslim bertakwa. Oleh itu, setiap Muslim seharusnya memahami dan bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan dan dugaan ke atas dirinya sejak dari mula mendaftar di Tabung Haji, menghadiri kursus bersiri haji, menjalani pemeriksaan kesihatan, ketika di lapangan terbang, dalam perjalanan haji hinggalah sampai ke Tanah Suci.

Menjadi kebiasaan di dalam setiap perjalanan seseorang akan berhadapan dengan pelbagai dugaan yang akan menguji kesabarannya. Sehubungan itu, Rasulullah bersabda bermaksud, "Perjalanan atau pelayaran yang jauh itu sebahagian daripada penderitaan". (Hadis riwayat Bukhari).

Itulah sebahagian perkara yang perlu diingat setiap Muslim, bukan saja dalam haji, bahkan ia juga amat penting sebagai bekalan hidup Muslim mendepani pelbagai ujian yang terhampar sepanjang perjalanan menuju keredaan Ilahi.

Oleh itu, setiap Muslim perlu bersedia dan bersabar menghadapinya kerana semua itu mempunyai hikmah dan rahsia tersirat. Malah, perlu diinsafi semua berlaku itu adalah kehendak Allah sebagai ujian kepada hamba-Nya untuk memperoleh haji yang mabrur. Dalam hal ini, setiap Muslim yang beriman akan menerimanya dengan penuh sabar dan reda di samping berdoa ke hadrat Allah agar dilimpahi kekuatan, keampunan, keselamatan dan kejayaan dalam menunaikan perintah-Nya.

Barangkali inilah hikmah dan pengajaran yang cukup sinonim dengan ibadat haji iaitu kesabaran seseorang yang menunaikan ibadat haji dan ketenangannya dalam menghadapi apa juga cabaran yang mendatang. Kesabarannya itu sebenarnya hasil atau buah yang diperolehnya dari perjalanan spiritualnya menuju keredaan Ilahi. Sehubungan itu, kesabaran seseorang akan menjadi neraca piawaian sama ada seseorang itu memperoleh haji mabrur atau sebaliknya.

Akhirnya, ibadat haji sebagai satu ibadat yang ditegakkan di atas landasan kesabaran, maka amatlah wajar bagi setiap jemaah haji membuat persiapan dan persediaan awal supaya tidak terjebak dalam perangkap sikap mudah marah, tidak sabar, perilaku maksiat dan dosa atau segala perbuatan yang dilarang Allah. Oleh itu, setiap jemaah haji wajib mempersiapkan diri dengan bekalan ilmu secukupnya, perhiasan akhlak terpuji terutamanya sifat sabar dan ketakwaan serta keikhlasan yang kudus ke hadrat Ilahi agar ibadat hajinya diterima Allah.

Tulisan Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Bin Engku Alwi,Prof Madya di Fakulti Kontemporari Islam Universiti Darul Iman Malaysia(UDM).

Malu Seorang Wanita Islam

MUKADDIMAH

Dulu2 saya ada ditanya oleh bekas pelajar sy ada bertanya tentang muslimah yang menayangkan pelbagai gambar didalam blog dan freindster. Saya jawab hukumnya harus selagi mana ia menutup aurat. Namun dari sudut adab yang tinggi bagi seorang muslimah tidak selayaknya sebagai muslimah yang mempunyai sifat malu yang tinggi untuk dia sewenang-wenangnya mendedahkan diri dan mukanya kepada khalayak ramai tanpa tujuan yang dibenarkan. Sebentar tadi saya baca buku "makarimul akhlak Fil Islam" yang tentang kisah seorang wanita yang malu mendedahkan mukanya di mahkamah perbicaraan Islam. Oleh itu saya ingin menulis tentang malunya seorang wanita.

MALUNYA WANITA DALAM QURAN

Didalam al-Quran disebut kisah dua anak Nabi Syuaib as dengan Nabi Musa as. Firman Allah swt:

"Salah seorang anak perempuan Nabi Syuaib as berjalan untuk menemui Nabi Musa dengan penuh rasa malu" (25 : al-Qasas)

Dalam tafsir Sofwatut Tafasir menyatakan anak perempuan Nabi Syuaib as datang sambil menutup mukanya dengan pakaiannya.

Anak Nabi Syuaib as ini datang berjumpa dengan Nabi Musa atas arahan ayahnya yang sudah uzur.

Pengajaran: Wanita yang mempunyai urusan dengan lelaki hendaklah berjumpa dengan penuh rasa malu dan adab yang tinggi.

MALUNYA WANITA DALAM SUNNAH


كان صلى الله عليه وسلم أشد حياء من العذراء في خدرها


"Nabi saw tersangat malu lebih dari malunya anak dara yang berada disebalik tirainya." (Hr Ahmad -sahih)

Dalam hadis menunjukkan kepada malunya seorang wanita terutama anak dara. Ia sepatutnya tidak mempamirkan diri kepada yang bukan mahramnya tanpa keperluan.

KISAH MALUNYA SEORANG WANITA

Seorang isteri telah mengemukakan aduan kepada qadi Mu'tadid Ali ar-Rayy tentang 500 dinar (wang mas) kahwin yang belum dibayar oleh suaminya. Wanita tadi membawa beberapa orang saksi yang menyokong dakwaannya. Si suami tidak mengakui dakwaan si isteri. Qadi pun menyuruh saksi-saksi untuk mengemukakan penyaksian mereka untuk menyokong dakwaan si isteri. Para saksi berkata:

"Wanita ini hendaklah memperlihatkan wajahnya supaya kami dapat pastikan dia lah wanita yang kami maksudkan."

Si Qadi menerima permintaan para saksi dan menganggapnya itu hak saksi2. Wanita menolak untuk menunjukkan mukanya kerana malu. Si Qadi menyuruh wanita tadi untuk memperlihatkan wajahnya untuk meneruskan dakwaan tadi. Tiba2 si suami yang bersimpati dengan isterinya segera berkata:

"Tidak usah tunjukkan muka mu. Aku mengakui dakwaan mu itu."

Si isteri terkesan dengan sikap suaminya lalu berkata:

"Aku menjadikan Allah sebagai saksi dan juga kamu semua bahawa aku halalkan semua mas kahwinku dunia dan akhirat."

Pengajaran: Walaupun ditempat yang sepatutnya wanita tadi membuka purdahnya untuk mendapatkan haknya tetapi oleh kerana itu sifat malu yang tinggi menyebabkan dia sanggup mengorbankan 500 dinar (wang emas).

KESIMPULAN

Oleh itu, walaupun wanita diharuskan meletakkan gambarnya diruang yang dilihat oleh bukan mahramnya selagi menutup aurat tetapi sebagai muslimah yang kuat pegangannya dengan Islam dan sifat malunya yang tinggi hendaklah menjaga dari mendedahkan gambarnya tanpa sebab dan tujuan seperti diletakkan gambarnya di blog dan friendster. Terutama yang mempunyai paras rupa yang cantik amatlah dituntut untuk mengelakkan perkara ini. Ini kerana Islam melarang wanita melakukan perkara yang boleh mencairkan hati lelaki dan menimbulkan fitnah. Firman Allah swt:


ولا يضربن بأرجلهن ليعلم ما يخفين من زينتهن


"Janganlah para wanita itu menghentak kakinya dengan tujuan supaya orang lelaki mendengar bunyi gelang kakinya sehingga menarik perhatian orang lelaki." (Sebahgian ayat 30 : an-Nur)

Peringatan: Hendaklah sifat malu ini tidak memilih jenis bangsa dan tempat. Jangan di luar negara (mesir contohnya) mempunyai malu yang tinggi tetapi tidak dimalaysia. Hendaklah sifat malu itu kerana Allah bukannya kerana manusia. Sentiasa mengawasi kita dimana sahaja kita berada.

MALUNYA WANITA TIDAK MENEGAH IA UNTUK KELUAR MENUNTUT ILMU AGAMA

Walaupun Islam menyanjung sifat malu pada wanita tetapi hendaklah sifat malu itu tidak menegah dari dia keluar menuntut ilmu. Kita lihat kesungguhan para wanita di zaman Nabi saw. Abu Sai'id al-Khudri berkata:

"Seorang wanita berjumpa Rasulullah saw dan berkata "Wahai Rasulullah, orang2 lelaki beruntung kerana selalu mendapat tazkirah darimu. Kami minta satu hari untuk kamu khususkan kepada kami bagi menyampaikan ilmu yang telah engkau ajarkan." Lalu Nabi saw menjawab:

اجتمعن يوم كذا وكذا

"Berhimpun pada hari sekian-sekian."

Kami pun berhimpun pada hari yang telah ditetapkan Nabi dan Nabi saw mengajar mereka apa yang telah ajarkan pada Nabi saw." (Hr Bukhari dan Muslim - sahih)

Dalam athar ada menyebut:

نعمت النساء نساء الأنصار لم يمنعهن الحياء من السوءال عن دينهن

"Sebaik-baik wanita adalah wanita ansar, sifat malu yang ada pada mereka tidak menghalang mereka bertanya dan mencari ilmu agama."

Pengajaran: Oleh itu ditempat yang diperlukan , wanita hendaklah berani e hadapan. Kita lihat zaman Nabi dan para sahabat bagaimana berani Nusaibah ra berjihad menentang musuh, Rafidah al-Aslami merawat orang lelaki yang cedera dalam peperangan, Asma' bintu Abu bakar yang menghantar makanan pada Nabi dan ayahnya dalam peristiwa hijrah, Khaulah yang menegur Khalifah umar di khalayak ramai dan lain-lain. Jangan menggunakan alasan malu untuk menjauhkan dari kerja-kerja menegakkan Islam. Kerja-kerja ini adalah melibatkan lelaki dan perempuan seperti yang dinyatakan dalam ayat 71 surah at-Taubah.

Rujukan: Safwatut Tafasir oleh Sobuni, Makarimul Akhlak Fil Islam dan Riadus salihin oleh Imam Nawawi.
http://akhisalman.blogspo.com
Wallahual'am

Mufti Allahyarham Haji Said Ibrahim

Oleh Roosfa Hashim.

ALLAHYARHAM Said Ibrahim adalah seorang mufti dan ulama yang telah memperlihatkan sumbangan yang besar dalam menegakkan syiar Islam di negara ini. Rekod perkhidmatannya menampilkan ciri-ciri beliau sebagai seorang pemuka atau pemimpin agama yang giat membimbing dan memandu umat Islam dalam masalah-masalah agama mahupun masalah sehari-hari yang diperlukan baik dari sisi keagamaan ataupun sosial kemasyarakatan.

Sungguhpun telah hampir sedekad meninggal dunia, Haji Said Ibrahim masih diingati kerana dua sifat dan sikapnya, iaitu seorang mufti yang tegas dan ulama terbilang. Ketegasannya amat ketara terutama apabila menetapkan sesuatu hukum, atau semasa menjawab apa juga persoalan dan kemusykilan yang dikemukakan kepadanya. Beliau tidak ragu-ragu menyatakan pendapatnya sungguhpun apa yang dilafazkannya itu memang disedarinya tidak menyenangkan beberapa pihak.

Ulama kelahiran Kelantan pada 1923 ini kemudian mendapat pendidikan di Jambi, dan Tanah Suci Mekah. Jambi adalah tanah tumpah darah kedua-dua orang tuanya yang kemudian merantau hingga ke Kelantan. Apabila orang tuanya kembali ke Jambi, Said mengambil peluang mengaji di pondok di Sumatera khususnya di Jambi. Dari Jambi Said belayar ke Mekah dan mengaji ilmu agama di Masjidil Haram.

Beliau kemudian memulakan kegiatan dakwahnya dengan mengajar di pondok di Kelantan sebelum merantau ke Singapura. Said bersama isteri dan anak sulungnya singgah di Lipis dan menjadi tukang jahit beberapa ketika di situ sementara menunggu tawaran bekerja di Singapura. Di Singapura beliau mengajar di Madrasah al-Hidayah pada sekitar 1954-56 serta menjadi pegawai agama tentera British. Beliau sempat juga menjadi Yang Dipertua, Persatuan Guru-guru Agama Singapura (PERGAS) antara 1963-68. Banyak kegiatan yang dianjurkan oleh PERGAS sewaktu dipimpin oleh Said.

Dari Singapura Said terbang pula ke Brunei dan mengajar di Sekolah Menengah Arab di Brunei. Beliau turut terlibat dalam menyusun sukatan pelajaran untuk Maktab Perguruan Agama Brunei ketika itu. Selepas berkhidmat tiga tahun di Brunei antara 1968-71, Said dilantik pula menjadi Pegawai Penerangan Agama di Sabah dan bergerak bersama-sama Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA). Antara 1972-75 Said menjadi Imam Masjid Negara.

Kerana pengetahuannya yang luas dalam hal keagamaan dan hukum-hakam, Said kemudian dilantik pula menjadi Mufti Negeri Sabah antara 1975-78. Ketika itu Said berkhidmat di bawah pentadbiran Datuk Harris Salleh sebagai Ketua Menteri Sabah. Dari Sabah beliau terbang dan kembali berkhidmat dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebagai Pakar Rujuk berkaitan syariat Islam. Kemudian semasa pentadbiran Datuk Pairin Kitingan, Said dilantik bagi kali kedua sebagai Mufti negeri Sabah antara 1985-89.

Haji Said sepanjang usianya berdakwah tidak langsung menunjukkan minatnya untuk terjun ke dalam arena politik. Meskipun ada sahabat karibnya seperti Tok Jiring yang terjun ke dalam dunia politik dan berjaya mendapat kedudukan yang baik dan kemudiannya dikenang dan diabadikan namanya pada sebuah sekolah di Terengganu, Said langsung tidak pernah terlibat dengan bidang tersebut. Walau bagaimanapun, apabila menyatakan pandangannya tentang hukum hudud beliau tidak pula menyembunyikan pandangannya yang agak kritikal adn berterus terang.

berterus-terang

Sebagai seorang mufti dan pakar rujuk kerajaan, ada ketika pendirian dan pandangannya yang berterus-terang itu menimbulkan polemik dalam kalangan pentadbir dan pemimpin politik dan ada juga yang tidak disenangi. Kadang-kadang kenyataannya yang bersifat politik itu digunakan pula sebagai hujah oleh pihak pembangkang. Said sedar bahawa di pihak kerajaan juga terdapat kesedaran bagi melaksanakan hukum Allah dan kerana itulah beliau berkata benar. Said juga insaf akan kedudukannya sebagai penjawat awam yang terikat dengan pelbagai peraturan.

Pendapat yang dikemukakan oleh Said dalam tulisan-tulisannya terutamanya tentang hukum hudud bukanlah semata-mata bermaksud menyebelahi pembangkang tetapi demi menegakkan kebenaran. Oleh yang demikian pendirian Haji Said ini tidak sepatutnya dilihat sebagai bersikap anti establishment. Pendiriannya yang tidak popular ini lebih didorong oleh sikapnya yang sentiasa berpegang pada kebenaran. Bagi Haji Said, apabila beliau mengkritik kerajaan bukanlah bermakna beliau menentang kerajaan. Tidak ada gunanya jika kita menjadi sokong yang membawa rebah. Memang dalam banyak keadaan kita mesti memilih untuk berubah, jika tidak, kita pasti akan rebah.

Tidak pernah sama sekali kita lihat arwah mengambil jalan tengah semata-mata mahu menyedapkan hati orang tertentu. Beliau menyatakan apa saja kebenaran meskipun pahit untuk ditelan. Demikianlah tegasnya Allahyarham Haji Said Ibrahim dalam menegakkan kebenaran.

Ketegasan Haji Said juga dapat kita lihat dalam beliau menjalani perancangan hidupnya. Setiap kali apabila beliau sudah membuat keputusan, beliau akan menurut apa saja kata hatinya asalkan keputusannya itu diyakininya berada pada landasan syarak. Ketegasannya inilah yang telah menghantarnya jauh hingga ke Makkah meskipun beliau bukanlah datang dari keluarga yang berada.

Demikianlah juga apabila menetapkan hendak ke Singapura dan singgah di Kuala Lipis, beliau mengharunginya dengan yakin dan tabah. Semasa menjadi imam Masjid Negara, beliau pernah memohon cuti untuk mengerjakan haji di Mekah tetapi permohonannya tidak diluluskan atas alasan pentadbiran. Oleh sebab telah memutuskan hendak menunaikan haji sebaik mengetahui permohonannya ditolak dan ini dapat menahan niatnya ke tanah suci, maka, Haji Said terus mengutus surat meletakkan jawatan sebagai imam Masjid Negara. Tidak ada apa yang dapat menghalang niat dan hajatnya kecuali kuasa Allah. Demikianlah ketegasan Said Ibrahim dalam meniti kehidupannya.

Beliau tidak pernah bimbang akan kehilangan pekerjaan kerana Said penuh yakin pintu rezekinya berada pada ketentuan Allah. Tuhan tidak akan melupakan hamba-Nya yang murah hati dengan ilmu. Dengan sedikit sebanyak wang sagu hati yang berikan kepadanya apabila menyampaikan ceramah, wang hasil jualan buku dan honorariumnya menulis di akhbar dan majalah lebih dari cukup untuk beliau menyara hidup lapan orang anaknya dengan serba sederhana.

Sikap kedua yang kental pada Allahyarham Haji Said memang amat langka pada kebanyakan ulama ialah kebolehannya berbahasa Arab dengan fasih, iaitu salah satu bahasa utama di dunia. Beliau juga memiliki pelbagai minat dan kebolehan selain menjadi mufti beliau juga terus menjadi pendakwah bukan sekadar menjalankan kerja pentadbiran di pejabat. Masanya yang cukup padat diisinya juga dengan menulis dan kemudian menjadi editor, melakukan penterjemahan dan juga menjadi penerbit. Jiwanya mendesak Said agar tekun dan rajin menulis tanpa mempedulikan jadual kerjanya yang memang sudah ketat dengan kuliah, ceramah selain urusan pentadbiran di pejabat. Jika terlalu sibuk, Said menulis berdikit-dikit. Sehari sesuku, lama-lama menjadi buku.

Beliau menguasai ilmu mantik dan ilmu logik, ilmu fikah dan tauhid selain bukunya menunjukkan beliau juga memiliki kepakaran dalam ilmu perbankan. Sepanjang hayatnya beliau telah menulis dan menerbitkan lebih dua puluh judul buku dan kitab. Pada hari ini memang boleh dibilang dengan jari seorang ulama yang memiliki kesemua kebolehan ini. Dengan setiap kebolehan inilah yang menjadi ramuan lengkap menghasilkan resipi terbaik yang melengkapkan peribadi Allahyarham Haji Said Ibrahim muncul sebagai seorang ulama terbilang.

Dalam zaman yang serba moden ini, dengan segala kemudahan berkomunikasi dan jalinan pengangkutan yang serba pantas belum tentu setiap orang bersedia meninggalkan kampung halamannya bertahun-tahun untuk menuntut ilmu di tempat yang jauh. Dengan kemudahan penulisan yang serba mudah berbantukan komputer, belum tentu dapat menjadikan semua orang penulis yang prolifik seperti Said Ibrahim.

terbilang

Kerana sifatnya yang terbilang itulah Said Ibrahim dihargai dan diberikan pengiktirafan. Said yang hanya lulus daripada pondok pengajian di Jambi dan kemudian ke Mekah dianugerahkan sarjana kehormat Universiti Kebangsaan Malaysia, sesuatu yang tidak pernah diimpikannya. Pada hujung perjalanan hidupnya beliau berdiri dengan rendah diri di hadapan para sarjana dan cendekiawan pengajian Islam dan pakar pelbagai bidang ilmu yang lain. Pada 1991 Said Ibrahim dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Wilayah Persekutuan.

Selain rumahnya yang sebuah di Gombak, Said Ibrahim tidak meninggalkan harta benda dan kekayaan dunia. Beliau meninggalkan anak-anaknya yang soleh. Sedekah jariahnya yang kita ketahui adalah dalam bentuk bukunya yang dirompak lanun penerbitan. Karyanya disalin dan diulang cetak. Haji Said menghalalkan semua itu demi ilmu dan amalnya. Ilmunya juga banyak sudah ditaburkan selama beliau hidup dan kebanyakannya ditulis dan diterbitkan. Itulah harta peninggalannya yang paling berharga. Said Ibrahim berharap ilmu yang ditinggalkannya itu akan dimanfaatkan oleh umat Islam dan generasi akan datang selepas putus hubungannya dengan dunia yang serba fana ini.

Aurat Lelaki Dan Perempuan

Hadith :
Dari Abu Said al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan. Lelaki tidak boleh berselimut sesama lelaki dalam satu selimut tanpa pakaian dan perempuan tidak boleh berselimut sesama perermpuan dalam satu selimut tanpa pakaian.”

(Bukhari)

Huraian
Pakaian adalah satu keperluan penting bagi manusia. Secara lahirnya, pakaian melindungi manusia, tetapi secara batinnya adalah lambang kemuliaan insan. Syarak mendefinisikan bahawa aurat adalah sesuatu yang wajib disembunyikan dan haram dilihat. Menurut pendapat jumhur ulama’, wajib menutup aurat dalam semua keadaan sama ada pada waktu solat atau di luar solat Secara keseluruhannya empat mazhab utama dalam fiqh Islam iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali menetapkan bahawa aurat bagi lelaki adalah antara pusat dan lutut manakala bagi wanita ialah keseluruhan tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan berdasarkan nas yang kuat daripada al-Quran dan al-sunnah.

Sunday, October 18, 2009

Cinta Kampus

www.iluvislam.com
Tuan Mohd Reza
Editor: RosNiza Abdullah

Cinta Kampus:Matlamat Halalkan Cara.

Matlamat salah cuba menghalalkan cara.

Melalui hidup sebagai remaja, hidup di universiti yang berjauhan daripada ibu bapa, sedikit sebanyak, tempiasnya akan terkena juga. Terlalu banyak dugaan dalam cinta siswa siswi dan tidak semudah kata-kata untuk memelihara diri. Kehidupan di kampus yang jauh daripada pengawasan keluarga menyebabkan diri mudah terpedaya dengan ajakan nafsu.

Bagi mereka yang sudah terjebak, bukan mudah untuk membuat keputusan yang rasional di saat emosi dan perasaan sedang berkecamuk. Kalau ambil keputusan untuk berpisah, adakah masih ada lelaki lain yang seperti dia? Kalau diteruskan hubungan ini, sanggupkah aku menanggung dosanya?

Tiada siapa yang akan menolong aku kalau bukan aku. Kekuatan itu mesti bangkit daripada dalaman diri sendiri. Jika niat itu sudah nekad, Allah Taala akan permudahkan jalan itu.

Inilah dunia sekarang yang penuh dengan kekeliruan dan jauh daripada penghayatan Islam sebenar. Masing-masing menggunakan agama sebagai pasport untuk membuat kebaikan daripada kaca mata mereka sendiri bukannya apa yang telah digariskan oleh Allah Taala dan Rasul.

Walaupun pada awalnya kita berniat hendak melakukan sesuatu yang baik, tapi mudah sungguh syaitan dan nafsu memesongkan niat suci itu dalam pelbagai cara yang cukup kreatif. Rasanya ramai remaja merasakan perlu kepada teman lelaki atau perempuan yang berlainan jantina merupakan satu ‘keperluan’ untuk rasa sempurna. Tempiasnya terkena juga kepada golongan remaja khususnya siswa dan siswi yang nampak komited pada kerja-kerja dakwah.

Sememangnya manusia lebih terdedah kepada kebaikan yang adakalanya mengaburi mata mereka, walhal perkara itulah sebenarnya yang mengundang malapetaka buat diri mereka sendiri. Begitu payahnya kita mahu membezakan perkara yang baik dan yang benar-benar baik. Apabila kita sudah terhantuk barulah kita baru terngandah itulah sebenarnya kesilapan.

Mereka tahu mereka hidup dalam dosa dan kesalahan, cuma yang penulis tidak faham bagaimana mereka boleh rasa sayang untuk lepaskan pasangan semata-mata mereka rasa dalam perhubungan mereka masih ada kebaikan, bersandarkan kepada sms tazkirah, suruh bangun tahajjud. Bagaimana mereka memandang dan menilai kebaikan?



MATLAMAT HALALKAN CARA

Penulis rasa gusar memandangkan beberapa kes yang banyak berlaku di kalangan mereka ingin membawa Islam, tetapi akhlak pergaulan muslimah dan muslimin tidak dijaga.

Hanya berbekalkan perkataan yang berbentuk perbincangan, jihad, tazkirah, dan mengejutkan untuk ber-tahajjud, sinonim dengan perbincangan berbau Islam mereka anggap hubungan mereka ini sudah diredhai walaupun hanya sekadar bertelefon, sms, e-mail dengan luahan perasaan cinta masing-masing.

Tambahan lagi pengaruh nasyid temporari kini yang hangat mengutarakan lagu cinta sesama muslim menjadi penghangat cinta bagi mereka yang menghalalkan cara.

Segala-galanya adalah mainan perasaan yang kerap melihat kebaikkan di dalam dosa itu, dan amat jarang bagi kita untuk bermuhasabah di atas kebaikkan-kebaikan yang kita sangkakan telah dilakukan. Memanglah alam remaja, teramat indah jika ada orang lain yang sentiasa caring ke atas kita, tetapi percayalah ianya hanyalah khayalan sementara kerana selepas hidup bersama barulah kita tahu kelemahan dan keburukan pasangan masing-masing.

Bila anak-anak sudah bertambah dan kesibukan hidup pun juga bertambah, hilanglah segala impian-impian dan angan-angan terdahulu.

Kepada adik-adik remaja, khususnya mereka yang di bangku menara gading, jauhilah maksiat ber-couple atau apa sahaja perlakuan mungkar kerana semuanya itu saling membuktikan kepada Allah Taala bahawa kalian berdua amat berani mendurhakai Allah Taala. Rumahtangga dibina bukan hanya atas cinta, tetapi juga pada saling mempercayai.

Jika Allah sudah diingkari, siapa lagikah yang boleh dijadikan tempat meletakkan kepercayaan? Dosa semalam akan pasti menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya.

Muhasabahlah kalian.



HAYATI AJARAN ISLAM SEBENAR

Kita bincang pasal manusia, naluri manusia suka dicintai dan mencintai, hati pula kalau sentiasa senang akan menjadi bosan tapi kalau sentiasa susah hati akan menjadi rawan, nafsu adalah kelemahan manusia. Barang siapa berjaya menundukkan nafsu, martabatnya akan menyaingi malaikat, kalau ditundukkan oleh nafsu akan turun lebih rendah daripada binatang.

Memang susah merubah seorang musuh menjadi kawan, kemudian menjadi sahabat, memadamkan kemarahan hati dan merubah muka marah dengan senyum, memberi maaf kesalahan sehingga udara yang tadinya mendung menjadi terang benderang. Memang susah melakukan itu, dan ini hanyalah pekerjaan orang yang berhati waja, mempunyai kemahuan yang besar dan bercita-cita mulia.

Namun sedar atau tidak, takwa kepada Allah Taala adalah yang perlu ditekankan. Betapa beratnya balasannya andai kita tersilap langkah dan akhirnya terjerumus ke arah maksiat yang pastinya kita semua maklum tentang balasan Tuhan.

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang berusaha (berjihad) dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya” al-Ankabut (29:69)

Usahlah berlengah lagi untuk berhijrah, andai sudah terdetik dalam hati bahawa perlakuan kalian buat ini adalah salah dan dilaknat Allah Taala, segeralah berhijrah kerana teramat khuatir andai hanya kali ini sahaja peringatan Allah Taala datang untuk menegur kita dan kita pula tidak mengendahkannya, kita akan terus hanyut dengan dosa kita sampai ke akhir hayat kita.

Perlakuan matlamat menghalalkan cara mengelabui mata.

Perintah itu wajib.

Berjihadlah dalam mencari cinta yang suci iaitu cinta selepas pernikahan. Mengapa mencari kaca andai telah dijanjikan permata, dan mengapa mencari api yang membakar kalau sudah dijanjikan salju dingin. Bersabarlah untuk sesuatu yang lebih manis pada masa akan datang.

Jika kita mencari redha Allah dengan kemarahan manusia, nescaya dicukupkan Allah dengan keredhaannya , jika kita mencari kemarahan Allah dengan keredhaan manusia nescaya Allah Taala serahkan kita kepada manusia.

Mua’dz ra berdoa sebelum kematiaannya: “Aku mencintai hidup hanya untuk tiga perkara iaitu untuk berpuasa di siang hari, untuk qiammullail di malam hari dan untuk berkumpul dengan para ulama”.

Carilah kesibukkan di antara terlopong masa dengan pekerjaan, daripada sesenang pekerjaan yang dikira ibadat yang boleh menghasilkan pahala. ameen



Sumber: Blog penulis

Wednesday, October 14, 2009

Malik Bennabi:Fenomena Al-Quran: Esei Tentang Teori Berkenaan Al-Quran

Buku: Fenomena Al-Quran: Esei Tentang Teori Berkenaan Al-Quran
Pengarang: Malik Bennabi
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad
Pengulas: Muhd Yusuf Abu Bakar.

FENOMENA Al-Quran, hasil tulisan Malik Bennabi berasal dari Algeria yang menuntut di Perancis, ini boleh dijadikan rujukan bagi mereka yang ingin melihat al-Quran dari sudut kajian ilmiah.

Pendekatan yang digunakan Bennabi untuk membuktikan hakikat kitab suci itu wahyu Allah yang disampaikan kepada manusia melalui Nabi Muhamad SAW digarap begitu menarik sekali, malah ia menjadi teks penting kepada orang bukan Islam yang ingin mengetahui mengenai al-Quran dan Islam.

Ternyata hasil tulisan Bennabi pada sekitar Perang Dunia Kedua iaitu pada 1943, masih lagi relevan sehingga kini dan pendekatan yang diambil untuk membuktikan mukjizat Al-Quran sebagai wahyu Allah dan juga pengadilan ke atas semua usaha dan dakwaan mengenai kekurangan kitab suci itu berjaya disingkap beliau.

Bennabi turut menggunakan pendekatan psikoanalitik dalam kajian mengenai fenomena al-Quran dengan mengambil pendekatan aliran ahli falsafah Perancis Rene`Descartes yang menggunakan kaedah keraguan untuk melihat kebenaran yang dibawa Nabi Muhamad SAW yang pada asalnya buta huruf dan tidak mempunyai ilmu dan latar belakang sebelum penurunan wahyu yang membentuk al-Quran.

Pengarang menganggap usaha untuk membuat kajian mengenai al-Quran semakin mendesak bagi membolehkan umat Islam menjadikan al-Quran sebagai pegangan kukuh akidah dan keimanan berasaskan persepsi mantap terhadap nilai al-Quran sebagai kitab yang diwahyukan.

Selain itu, bukan Islam boleh menggunakan buku ini untuk pengajian akademik.

Ternyata bagi mereka yang ingin membaca buku mengenai kajian al-Quran berasaskan nilai akademik tinggi, buku ini wajib dijadikan asasnya untuk melihat susur galur sejarah, kenabian, wahyu dan perbandingan agama yang memantapkan lagi hujah kebenaran al-Quran diturunkan Allah kepada manusia.

Malah, cara Bennabi membuat perbandingan kisah Nabi Yusuf melalui versi al-Quran dan kitab Injil (Bible) secara berurutan ayat cukup menarik untuk melihat ketepatan ayat yang diturunkan Allah dengan penulisan yang dihasilkan manusia berasaskan wahyu yang diturunkan Allah kepada Nabi Isa.

Namun apa yang menarik, dua kisah yang digambarkan pengarang mengenai kesan mukjizat al-Quran kepada Umar bin al Khatab yang memeluk Islam sebaik saja mendengar ayat suci itu dibaca adiknya. Manakala, pemimpin Quraish, al-Walid bin al Mughirah yang mengagumi al-Quran dan hampir memeluk Islam, namun mengakhiri kesimpulan dan berkata, “Dia (Muhamad) ialah seorang tukang sihir yang menanam bibit kebencian antara seorang anak dengan bapanya...”.

Bennabi turut mencatatkan beberapa aspek al-Quran yang menakjubkan termasuk perkataan yang diturunkan Allah namun tidak difahami contohnya, Alif, Lam, Mim dan lain-lain yang turut tidak diketahui Muhamad SAW sendiri.

Malah, beliau turut menggarapkan keserasian al-Quran dengan hal semasa yang berlaku kini selepas lebih 1,400 tahun, kitab itu diturunkan. Buku ini bermanfaat untuk mengenal al-Quran dan bagaimana kesannya dalam kehidupan sejagat.

Monday, October 12, 2009

Fatimah Ibu Mithali

FATIMAH binti Asad ialah ibu kepada Ali bin Abu Talib. Abu Talib adalah bapa saudara Nabi Muhammad. Selepas Aminah meninggal dunia, Abu Talib mengambil tanggungjawab menjaga Nabi Muhammad.

Semasa Nabi Muhammad tinggal dengan Abu Talib, Fatimah menjaga anak saudaranya dengan baik.

Segala makan minum, tempat tinggal dan pakaian Nabi Muhammad disediakan oleh pasangan suami isteri itu mengikut kemampuan mereka.

Nabi Muhammad merupakan seorang yang baik, jujur, amanah dan menghormati orang yang lebih tua daripadanya.

Fatimah adalah antara wanita yang awal memeluk agama Islam. Semasa Nabi Muhammad dilantik menjadi nabi, Fatimah memberi sokongan padu kepada Nabi Muhammad bagi menegakkan agama Islam.

Anak-anak Fatimah juga turut mengikuti jejak langkah ibunya dengan memeluk agama Islam. Antara anak Fatimah yang memeluk Islam ialah Uqail, Jaafar, Ali, Ummu Hani dan Talib.

Nabi Muhammad sangat menghormati Fatimah seperti ibunya sendiri.

Semasa Fatimah tinggal di Madinah, Nabi Muhammad sering berkunjung ke rumah Fatimah dan berehat serta tidur pada siang hari di rumah itu.

Begitu juga keadaan berlaku semasa Fatimah tinggal di Mekah. Nabi Muhammad sering ke rumah Fatimah untuk berjumpa dengan ibu saudaranya itu.

Ada seorang lelaki tua bercerita kepada jirannya tentang Fatimah binti Asad. Lelaki tua itu berkata: “Nampaknya keluarga Fatimah sangat rapat dengan Muhammad. Fatimah menjaga Muhammad dengan baik sekali”.

Lalu jiran itu berkata pula: “Bukankah Fatimah itu isteri kepada Abu Talib? Abu Talib adalah bapa saudara Muhammad”.

“Ya,” jawab lelaki tua itu.

Jiran itu menambah lagi: “Sekarang ini Muhammad sudah berkahwin dengan Siti Khadijah. Saya dapat tahu bahawa Ali, anak Fatimah tinggal bersama Muhammad”.

“Ya. Saya juga dengar berita itu,” kata lelaki tua itu pula.

Lelaki tua itu tersenyum mendengar cerita jirannya itu. Lelaki tua itu berkata lagi: “Sejak kecil Fatimah mendidik dan menjaga Muhammad. Sudah tentu Fatimah mengetahui sifat-sifat yang ada pada Muhammad.

“Saya sendiri melihat Muhammad itu baik orangnya. Dia seorang yang amanah, jujur dan baik budi pekerti. Muhammad tidak pernah memungkiri janji”.

“Patutlah Fatimah sanggup membiarkan Ali tinggal bersama Muhammad. Sekiranya saya ada anak, sudah tentu saya juga ingin melihat anak saya tinggal bersama Muhammad. Pasti Muhammad dapat mendidik anak saya menjadi orang baik,” kata jiran itu panjang lebar.

Rata-rata orang yang mengenali Fatimah binti Asad akan memuji sifat keibuannya. Dia pandai mendidik anak sehingga anak-anaknya menjadi anak yang baik.

Sejarah Islam mencatatkan bahawa anak Fatimah iaitu Ali bin Abi Talib telah dilantik menjadi Khalifah yang ketiga selepas Khalifah Umar al-Khattab menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Fatimah juga menyumbang usahanya kepada Islam. Dia adalah seorang wanita yang suka menghafal dan melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Sepanjang hayat, dia telah melaporkan sebanyak 46 buah hadis.

Ali bin Abi Talib iaitu anak Fatimah telah berkahwin dengan anak Nabi Muhammad iaitu Fatimah az-Zahra. Semasa Fatimah az-Zahra menjadi menantunya, Fatimah menjaga menantunya dengan baik.

Ada satu peristiwa yang berlaku semasa Fatimah di rumahnya. Ali meminta ibunya membantu isterinya di rumah.

Ali berkata kepada ibunya: “Wahai ibu, bolehkah ibu membantu isteri saya mengambil air dan membuat pekerjaan yang lain. Isteri saya akan membantu ibu membuat roti untuk kita makan pada hari ini”.

“Boleh. Ibu sedia buat apa sahaja untuk anak dan menantu ibu yang disayangi itu,” kata Fatimah kepada anak lelakinya.

Semasa Fatimah menghembuskan nafasnya yang terakhir, Nabi Muhammad datang menziarahi jenazah Fatimah.

Nabi Muhammad berdoa kepada Allah, “Semoga Allah menyayangi diri Fatimah. Dia merupakan ibu bagi diri saya. Walaupun dia lapar, dia tetap memberi saya makan sehingga kenyang.

“Apabila pakaian saya koyak dan kotor dia akan beri pakaian yang baik kepada saya. Dia akan menghidangkan saya makanan yang enak dan lazat. Semoga Allah membalas jasa dan kebaikan Fatimah di akhirat kelak”.

Kisah srikandi Fatimah merupakan kisah teladan yang boleh dijadikan contoh. Ibu mithali sangat dihormati dan disayangi oleh anak-anak.

*Petikan daripada buku Bidadari Syurga terbitan PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Sunday, October 11, 2009

Ayat al-Quran, doa mampu hindari sihir

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Mempercayai dukun ilmu hitam khurafat kerana dampingi jin, syaitan

APABILA kita membicarakan mengenai sihir, kebiasaannya kita akan berdepan dengan tiga golongan manusia, iaitu mereka yang tidak mempercayai kewujudannya, mereka yang terpengaruh serta menggunakan khidmat ahli sihir dan mereka yang terlalu takut dengan kesan ilmu sihir sehingga tidak mengetahui apakah tindakan yang perlu dilakukan bagi melindungi diri mereka daripada terkena sihir.

Apa itu sihir? Menurut Ibnu Qudamah Al-Maqdisi di dalam al-Mughni, sihir adalah ikatan, jampi, perkataan yang dilontarkan secara lisan mahupun tulisan, atau melakukan sesuatu yang mempengaruhi badan, hati atau akal orang yang terkena sihir tanpa berinteraksi langsung dengannya.

Sihir ini mempunyai hakikat di antaranya ada yang boleh membunuh, menyakiti, membuat seseorang suami tidak boleh bersama isterinya atau memisahkan pasangan suami isteri, atau membuat satu pihak membenci lainnya atau membuat kedua-dua belah pihak saling mencintai.

Amalan sihir ini sebenarnya mempunyai hubung kait yang rapat dengan alam jin dan syaitan. Tukang sihir, pawang, dukun atau bomoh menjalankan ilmu hitamnya menerusi pertolongan jin dan syaitan.

Ahli sihir perlu melakukan amalan syirik, khurafat dan tahyul terlebih dulu bagi bersahabat dengan jin dan syaitan yang mereka gunakan untuk melakukan kerja jahat mereka. Apabila tukang sihir meningkatkan amalan kufur maka jin dan syaitan itu akan lebih taat kepadanya dan lebih cepat melaksanakan perintahnya.

Sehubungan dengan itu tukang sihir dan syaitan adalah teman setia yang saling bekerjasama dalam melakukan perbuatan yang terkutuk di sisi syarak dan ini dicela Allah SWT seperti firman-Nya: "Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat." (al-Jinn: 6)

Bagi sesetengah pihak, sekiranya sesuatu perkara itu tidak boleh dibuktikan mengikut kaedah saintifik maka dia akan menolaknya secara mentah seolah-olah ilmu sains itu menjadi satu cabang ilmu yang sempurna tanpa cacat-cela. Ilmu sains bukanlah sesuatu cabang ilmu yang sempurna. Sesuatu perkara itu hanya kita boleh diyakini sebagai seratus peratus benar sekiranya ia termaktub di dalam al-Quran dan Sunnah.

Sihir dan alam jin ini sebenarnya termasuk dalam perkara ghaib dan bagi umat Islam perkara itu perlu dirujuk kepada nas al-Quran dan hadis. Sekiranya sihir itu tidak wujud mana mungkin Allah SWT menyuruh kita berlindung diri daripada perbuatan tukang sihir seperti firman-Nya: "Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan; dan daripada bahaya gelap apabila ia masuk; dan dari kejahatan makhluk (tukang sihir) yang menghembus pada simpulan- (dan ikatan); dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya." (al-Falaq: 1-5).

Di dalam al-Quran juga ada kisah Nabi Musa AS bertarung dengan tukang sihir Firaun. Bahkan dalam riwayat hidup Rasulullah, Baginda juga pernah terkena sihir Labid bin al-A'sham, seorang tukang sihir Yahudi seperti diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.

Bagi mereka yang terbabit dengan perbuatan sihir dan suka bertemu dengan ahli sihir seperti pawang, dukun dan bomoh, ketahuilah bawah amalan sihir ini termasuk dalam kategori dosa besar. Nabi SAW bersabda: "Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan". Baginda ditanya: "Apakah dosa itu wahai Rasulullah? Baginda berkata: "Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina. "(Hadis al-Bukhari)

Sehubungan itu adalah diharamkan untuk bertemu bahkan mempercayai ahli sihir dan tukang ramal kerana ia perbuatan kufur. Sabda Baginda, "Bukan termasuk golongan kami yang melakukan atau meminta tathayyur (menentukan nasib sial berdasarkan tanda-tanda benda, burung dan lain-lain), yang meramal atau yang meminta diramalkan, yang menyihir atau meminta disihirkan dan barang siapa mendatangi peramal dan membenarkan apa yang dia katakan, maka sesungguhnya dia sudah kafir terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad SAW" (Hadis riwayat al-Bazzaar)

Tukang sihir ini sudah melakukan kerosakan serta huru-hara di dalam sesebuah masyarakat. Lantaran itu majoriti ulama mengharuskan hukuman bunuh terhadap tukang sihir. Akan tetapi Imam Syafie berpendapat tukang sihir hanya boleh dikenakan hukuman bunuh sekiranya dia menggunakan ilmu sihirnya itu untuk membunuh jiwa insan yang lain. Imam Syafie mengkategorikan hukuman terhadap tukang sihir ini sebagai qisas.

Dalam usaha seseorang itu untuk menghindarkan diri daripada terkena sihir, janganlah pula turut mengamalkan perbuatan yang memiliki unsur sihir atau meminta pertolongan daripada ahli sihir. Hendaklah setiap umat Islam melindungi diri mereka daripada niat jahat tukang-tukang sihir itu dengan membaca ayat al-Quran serta doa yang diajar Rasulullah SAW.

Berikut adalah beberapa petua yang diambil daripada hadis Baginda.

# Membaca ayat Kursi, iaitu surah al-Baqarah ayat 255 setiap kali selesai solat lima waktu dan sebelum tidur.

# Membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas setiap kali selesai solat lima waktu dan membaca ketiga surah itu sebanyak tiga kali pada pagi hari sesudah solat Subuh dan menjelang malam sesudah solat Maghrib.

# Membaca dua ayat terakhir dari surat al-Baqarah, iaitu ayat 285-286 pada permulaan malam.

# Membaca doa, "Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna daripada kejahatan makhluk ciptaan-Nya" � pada malam hari dan siang hari ketika ingin pergi atau masuk ke sesuatu tempat.

# Membaca doa, "Dengan nama Allah, yang bersama nama-Nya, tidak ada sesuatu pun yang membahayakan, baik di bumi mahupun di langit dan Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui " -tiga kali pada pagi hari dan menjelang malam.

Menurut Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah, bacaan zikir dan permohonan perlindungan kepada Allah bagi memperoleh keselamatan dan untuk menjauhkan diri dari kejahatan sihir atau kejahatan lainnya iaitu bagi mereka yang selalu mengamalkannya secara benar disertai keyakinan yang penuh kepada Allah, bertumpu dan pasrah kepada-Nya dengan lapang dada dan hati yang khusyuk.

Panggilan Agung-Siri 1.

Mukadimah-Solat

Solat atau dalam bahasa Sanskritnya disebut sembahyang adalah tunjang utama dalam ibadah umat Islam. Ibadah ini menjadi jalan penghubung terbaik antara pencipta(Allah) dengan yang dicipta(manusia). Ia juga bertindak sebagai satu sesi dialog atau forum Allah dan hambaNya. Makhluk yakni manusia akan berkata-kata, berdoa,dan memuji Allah dan Allah pula akan mendengar, menjawab setiap kata-kata hambanNya dan memakbulkan apa yang dipinta.

Ibadah yang istimewa ini disyariatkan kepada umat Islam selepas peristiwa Isra'Wa Mikraj iaitu setahun sebelum hijrah Baginda s.a.w ke Madinah Al-Munawarah. Menurut satu pendapat yang sahih, peristiwa ini berlaku 18 bulan sebelum hijrah Rasulullah s.a.w. Ekspedisi yang pada akal logik manusia tidak tercapai untuk memikirkannya apatah lagi mempercayainya tetapi itulah yang dikatakan kekuasaan Allah, bertemu dengan Allah s.w.t di Sidratul Muntaha',pergi selepas waktu Isyak dan pulang semula sebelum waktu Subuh,diperjalankan Allah dari Masjid Al-Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin dan kemudian ke Sidratul Muntaha'bertemu Allah Azza Wa Jalla' dan sebagainya. Semua tadi merupakan rencah yang membawa kepada kefardhuan rukun Islam kedua ini kepada umat Islam lima waktu sehari semalam.
Dalam bahasa Arab,solat digunakan dengan makna berdoa untuk kebaikan. Firman Allah s.w.t:
Maksudnya: Dan berdoalah untuk mereka, sesungguhnya doa kamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka. (Surah At-Taubah ayat 103).
Dari segi istilah fuqahak(ulama fiqh) ia adalah perbuatan-perbuatan dan perkataan-perkataan tertentu yang dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam.

Dalil Solat Disyariatkan
ان الصلوة كانت على المؤمنين كتبا موقوتا(103)
Maksudnya: Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman.
Dalil yang lain ayat 17 dan 18 Surah Al-Rum.

Hadith
“Serulah mereka kepada pengakuan bahawa tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah. Sekiranya mereka mentaati perkara tersebut maka ajarkanlah kepada mereka bahawa Allah telah menfardhukan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam”
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas r.a)

Kedudukan Sembahyang
1. Tiang agama.
Sabda Rasulullah s.a.w:
الصلاة عماد الدين ومن أقامها فقد أقام الدين ومن تركها فقد هدم الدين...
Maksudnya: "Solat itu adalah tiang agama dan barangsiapa mendirikan(menunaikannya) maka sesungguhnya dia telah mendirikan agama dan barangsiapa meninggalkan yakni tidak menunaikkannya maka sesungguhnya dia meruntuhkan agama".

2. Sebagai ibadat badaniyyah yang dilakukan oleh anggota badan yang paling afdal.
“Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w, apakah amalan yang paling afdal? Jawab Rasulullah s.a.w: Solat. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab: Solat. Dia bertanya lagi: Kemudian apa?. Jawab Rasulullah s.a.w: Solat.(H.R Ibnu Hibban(258) ).

3. Penghapus dosa.
Hadith: “Allah akan menghapuskan dosa-dosa dengan menunaikan solat lima waktu”.(1)
“Barangsiapa yang menyempurnakan wudhuk sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah maka solat lima waktu yang diwajibkan akan menghapusakan dosa yang dilakukan antara waktu-waktu solat”
Thabit dari hadit shahih riwayat (1)Bukhari(505) dan (2)Muslim(231) ini bahawa solat yang ditunaikan dengan sempurna boleh menghapuskan dosa yang telah dilakukan antara dua waktu tersebut.

4. Perkara pertama yang akan dihisab di hari akhirat
Ini berdasarkan maksud satu hadith Baginda s.a.w, perkara pertama yang akan dihisab kepada hamba(manusia) pada hari akhirat ialah solat……….

Wallahual’am.

Perihal Anjing

Hukum Kenajisan Anjing

Dalam sebuah hadisnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
عن أبى هريرة رضي الله قال: أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: اذا شرب الكلب فى اناء أحدكم فيغسله سبعا
Apabila seekor anjing minum dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka basuhlah ia tujuh kali.( Dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Shahih al-Bukhari – hadis no: 172 (Kitab Wudhu, Bab jika anjing minum daripada bekas air……)(Hadith Riwayat Bukhari no 172 dan Muslim)
Dalam riwayat-riwayat lain diterangkan bahawa salah satu basuhan hendaklah bersama dengan tanah. Sebahagian riwayat menyebut basuhan kali pertama, sebahagian lagi kali terakhir dan sebahagian lagi kali ke-lapan. Yang rajih (kuat) adalah basuhan kali pertama kerana sifat riwayat-riwayatnya.[1]
(Ibn Hajar al-‘Asqalani – Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (tahqiq Bin Baz; Dar al-Fikr, Beirut), jld. 1, ms. 369-370 dan al-Albani – Irwa’ al-Ghalel fi Takhrij Ahadith Manar al-Sabil (Maktab al-Islami, Beirut 1985), jld 1, ms 62.)
Berdasarkan hadith ini wujud dua pendapat tentang kenajisan anjing. Pendapat pertama berkata anjing adalah najis keseluruhannya manakala pendapat kedua berkata ianya tidak najis keseluruhannya. Perinciannya adalah seperti berikut:
Pendapat pertama dan dalil-dalilnya:
Pendapat pertama menyatakan bahawa seluruh anjing sama ada kecil atau besar adalah najis. Ini adalah pendapat Mazhab al-Syafi‘iy dan Hambali.[2]
(Wahbah al-Zuhaili – Fiqh al-Islami wa ‘Adilatuhu (Dar al-Fikr, Damsyik 1994), jld. 1, ms. 305)
Pendapat ini diikuti oleh umumnya Kaum Muslimin di Indonesia dan mereka yang bermazhab Syafie. Terdapat beberapa dalil yang menjadi hujah bagi pendapat pertama ini. Antaranya:

Sabda Rasulullah s.a.w:
عن أبى هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: طهور اناء أحدكم اذا ولغ فيه الكلب أن يغسله سبع مرات أولاهن بالتراب ( رواه مسلم حديث:279)
Maksudnya: Apabila bekas seseorang kamu dijilat oleh anjing(seperti meminum air di dalamnya), maka sucikanlah dengan membasuhnya sebanyak tujuh kali; basuhan pertama hendaklah dengan tanah(air yang dicampurkan dengan tanah)

Dalil pertama adalah berdasarkan kaedah qiyas. Suruhan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk membasuh bekas yang diminum oleh anjing adalah dalil bagi menunjukkan najisnya lidah, air liur dan mulut anjing. Memandangkan lidah dan mulut adalah anggota utama haiwan dan ia dikategorikan sebagai najis maka sudah tentu lain-lain anggotanya - yakni seluruh badannya – adalah najis juga. Lebih dari itu air liur anjing terhasil daripada peluhnya sendiri, maka jika peluh yang keluar dari mulut (yakni air liur) adalah najis maka sudah tentu peluh yang keluar daripada seluruh badannya adalah najis juga. Maka dengan itu seluruh badan anjing adalah najis.

Dalil kedua adalah berdasarkan sebuah hadith:
Bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam diundang ke rumah satu kaum lalu baginda memenuhi undangan tersebut, kemudian baginda diundang ke rumah satu kaum yang lain namun tidak baginda memenuhinya. Lalu ditanya kepada baginda kenapa? Baginda menjawab: “Sesungguhnya pada rumah si fulan itu ada anjing.” Lalu dikatakan kepada baginda: “Dalam rumah si fulan (undangan pertama) ada kucing. Baginda menjawab: “Sesungguhnya kucing bukan najis.”
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Daruquthni dan al-Hakim. Berdasarkan hadis ini difahami bahawa anjing adalah najis (berbeza dengan kucing yang bukan najis).

Pendapat kedua dan dalil-dalilnya.
Pendapat kedua menyatakan bahawa anjing tidak najis seluruhnya, demikian yang masyhur daripada Mazhab Maliki. Mazhab Hanafi berpendapat seumpama kecuali mulut, air liur dan tahi anjing, ketiga-tiga ini mereka kategorikan sebagai najis.(Ibid:1994:305)
Tokoh-tokoh Mazhab Maliki berpendapat suruhan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk membasuh bekas yang diminum oleh anjing bukanlah disebabkan oleh kenajisan mulut, lidah dan air liur anjing tetapi disebabkan kepada ketaatan kepada Allah semata-mata (ta’abudi). Mereka berpendapat sedemikian dengan merujuk kepada lain-lain hadith Rasulullah yang membenarkan penggunaan anjing terlatih untuk berburu dan tiadalah seekor anjing memburu dan membunuh mangsanya melainkan melalui gigitan mulutnya. Haiwan yang ditangkap oleh anjing buruan tersebut adalah tetap suci untuk dimakan seluruhnya berdalilkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya. [al-Maidah 5:04]
Berdasarkan gabungan dalil-dalil ayat di atas dan hadith-hadith yang membenarkan penggunaan anjing terlatih untuk memburu, mazhab Maliki berpendapat bahawa mulut, lidah dan air liur anjing bukanlah najis.
Sedikit berbeza adalah mazhab Hanafi di mana mereka berpendapat anjing bukan najis kecuali mulut, lidah dan air liurnya adalah najis dengan merujuk secara zahir kepada hadis yang pertama di atas.

Pendapat yang rajih (kuat):
Pendapat yang dianggap rajih (terkuat) adalah pendapat yang kedua. Sebab-sebabnya adalah seperti berikut:

Pertama:
Kaedah qiyas yang digunakan untuk menghukum seluruh anjing sebagai najis adalah qiyas yang lemah.
Ini kerana asal pengusulan kaedah qiyas adalah bagi mencari hukum terhadap kes baru yang tidak wujud pada zaman turunnya wahyu – al-Qur’an dan al-Sunnah. ‘Illat atau sebab bagi kes yang baru tersebut dikaitkan secara analogi kepada satu kes yang sudah sedia wujud pada zaman penurunan wahyu.

Menggunakan qiyas untuk menghukum keseluruhan anjing sebagai najis dianggap lemah kerana anjing pada asalnya sudah wujud pada zaman turunnya wahyu. Bererti ia bukanlah kes yang baru. Apabila sesuatu kes itu sudah sedia wujud di zaman penurunan wahyu dan tidak ada wahyu yang menerangkan hukumnya, bererti sememangnya Allah tidak bermaksud untuk menurunkan apa-apa hukum ke atasnya.

Apabila tiada hukum yang diturunkan maka ia kembali kepada kedudukan yang asal, iaitu halal/harus/bersih. Firman Allah:

Dia-lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi. [al-Baqarah 2:29]

Kedua:
Hadis yang menerangkan keengganan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memenuhi undangan kerana ada anjing di dalam rumah adalah lemah (dha‘if). Berkata Syaikh ‘Adl Ahmad ‘Abd al-Mawjud dan Syaikh ‘Ali Muhammad Ma’wudh ketika mentakhrij hadis tersebut:
(Sunan al-Daruquthni (Dar al-Ma’refah, Beirut 2001), jld. 1, ms 171.)

Dikeluarkan oleh Ahmad (2/442), al-Hakim (1/183), al-‘Uqaili dalam al-Dhu‘afa’ (3/386) dan al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (1/151); setiapnya daripada jalan ‘Isa bin al-Musayyab, daripada Abi Zur’ah, daripada Abi Hurairah.

Berkata al-Hakim: “Dan ‘Isa bin al-Musayyab berseorangan daripada Abi Zur’ah kecuali bahawasanya beliau benar (shaduq) dan tidak tidak dicela secara pasti.”

Namun ini kemudiannya diikuti dengan komentar al-Zahabi: “Berkata Abu Daud (tentang ‘Isa bin al-Musayyab): Dha’if. Berkata Abu Hatim: Tidaklah dia kuat.”

Diriwayatkan oleh al-‘Uqaili daripada Yahya bin Ma’in bahawa dia berkata: “‘Isa bin al-Musayyab dha’if.” Berkata al-Haitsami di dalam al-Majma’ (4/48):

“Diriwayatkan oleh Ahmad dan di dalam (sanadnya) terdapat ‘Isa bin al-Musayyab, dinilai terpercaya (thiqah) oleh Abu Hatim dan dha’if oleh selainnya.” (Ini tidak benar) kerana Abu Hatim tidak menilai beliau thiqah, beliau hanya berkata tentangnya dalam al-Jarh wa al-Ta’dil (6/288): “Dianggap shaduq akan tetapi kuat.”

Demikian takhrij oleh Syaikh ‘Adl Ahmad ‘Abd al-Mawjud dan Syaikh ‘Ali Muhammad Ma’wudh. Selain itu, al-Daruquthni dan al-Baihaqi menilai ‘Isa bin al-Musayyab sebagai “shalih al-Hadis.” Akan tetapi dalam ilmu hadis sedia diterangkan bahawa apabila bertembung celaan dan pujian, hendaklah diunggulkan celaan tersebut.
Oleh kerana itu Syaikh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Sunan al-Daruquthni (Muassasah al-Risalah, Beirut 2004), jld 1, ms 103 telah mengkategorikan hadis ini sebagai: “Hadis Dha’if.”
Kesimpulannya, hadis ini dha’if dan tidak boleh dijadikan sumber dalil dalam perkara hukum.
Ketiga:
Hadis yang dijadikan dalil dalam Mazhab al-Syafi’iy berakhir dengan lafaz: “Sesungguhnya kucing bukan najis.” Lafaz ini sebenarnya tidak wujud di dalam mana-mana kitab hadis yang meriwayatkan hadis tersebut. Lafaz yang terdapat dalam Sunan al-Daruquthni adalah:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah datang ke rumah satu kaum daripada kalangan orang-orang Anshar namun baginda enggan masuk rumah mereka. Ini menimbulkan kegelisahan ke atas mereka (tuan rumah) lalu mereka bertanya: “Ya Rasulullah, anda datang ke rumah si fulan tetapi anda enggan pergi ke rumah kami.” Maka baginda menjawab: “Ini kerana rumah kamu ada anjing.” Mereka berkata: “Akan tetapi pada rumah mereka ada kucing.” Rasulullah menjawab: “Kucing adalah sejenis binatang buas (yakni tidak tetap penjagaannya, sering merayau-rayau).”
Oleh itu al-Hafiz al-‘Iraqi telah berkata:
(Thahr al-Tastrib bi Syarh al-Taqrib al-Asanid wa Tartib al-Masanid (Dar al-Fikr, Beirut), jld. 2, ms 123.)
Seandainya sabit tambahan ini (yakni “Sesungguhnya kucing bukan najis.”), ia telah menjadi sumber pendalilan yang masyhur. Akan tetapi ianya tidak dikenali asal usulnya di dalam mana-mana kitab hadis yang sedia ada. Padahal hadis ini diriwayatkan dengan tambahannya oleh Imam Ahmad, dalam Musnadnya, al-Daruquthni dalam Sunannya dan al-Hakim dalam al-Mustadraknya daripada riwayat ‘Isa bin al-Musayyab daripada Abi Zur’ah daripada Abi Hurairah, kecuali mereka tidak menyebut dalam (kitab-kitab mereka) lafaz: “Sesungguhnya kucing bukan najis.”
Sesunguhnya yang disebut adalah sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:
“Kucing adalah sejenis binatang buas.” Dan berkata al-Daruquthni sesudah mengeluarkan hadis tersebut: “’Isa bin al-Musayyab Shalih al-Hadis.” Dan berkata al-Hakim: “Hadis ini sahih isnad dan tidak dikeluarkan (oleh al-Bukhari atau Muslim) dan ‘Isa bin al-Musayyab berseorangan daripada Abi Zur’ah, akan tetapi (tak mengapa) kerana dia benar (shaduq) dan tidak dicela secara pasti.”
Saya (al-Hafiz al-Iraqi) berkata: Bahkan yang benar dia telah dicela oleh Ibn Ma’in, Abu Daud, al-Nasa’iy, Ibn Hibban dan al-Daruquthni sendiri di tempat yang lain.
Kesimpulannya, hadis yang dijadikan dalil kenajisan anjing tertolak dari dua sudut: pertama adalah kelemahan sanadnya manakala kedua adalah tambahan lafaz “Sesungguhnya kucing bukan najis” yang sebenarnya tidak wujud dalam mana-mana kitab hadis.
Berdasarkan tiga sebab di atas, maka yang rajih (kuat) ialah pendapat kedua, iaitu anjing tidak najis. Hadis yang menyuruh menyucikan bekas yang dijilat oleh anjing tidak semestinya bererti jilatan anjing itu najis, sebagaimana kita manusia juga disuruh berwudhu’ dan bertayamum – suruhan ini tidaklah bererti kita najis. Akan tetapi ia adalah ketaatan kita kepada perintah Allah dan Rasul-Nya semata-mata.
Inilah juga merupakan pendapat Yusuf al-Qaradhawi. Setelah mengkaji dalil masing-masing mazhab, beliau merumuskan:[10]
Di antara yang najis ialah air liur anjing. Disebut dalam Shahih al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Apabila seekor anjing minum dalam bekas salah seorang daripada kamu,
maka basuhlah ia tujuh kali.
Ini juga sebagaimana telah ditetapkan menurut hadis keduanya (al-Bukhari dan Muslim) dan selain keduanya daripada hadis ‘Abd Allah bin Mughaffal tentang kenajisannya. Dengan demikian, jelaslah tentang najisnya air liur anjing itu.

Bahkan, di sana ada beberapa fuqaha yang menyebut tentang kenajisan semua anggota tubuh anjing. Padahal tidak ada dalil yang menunjukkan hal ini baik dari Al-Quran maupun sunnah Rasulullah. Sedangkan pengambilan dalil tentang dijilat atau minumnya anjing dari tempat air, maka itu khusus untuk sesuatu yang dijilat saja. Tidak ada yang menunjukkan pada kenajisan anjing secara keseluruhan: daging, tulang, darah, bulu, dan keringat. Sedangkan mengqiyaskan ini dengan jilatan anjing, adalah bentuk qiyas yang sangat jauh sekali, sebagaimana disebut oleh Imam al-Syaukani. Khususnya jika dikaitkan dengan hadits ‘Abd Allah ibn ‘Umar (yang menerangkan)

“Anjing masuk dan keluar di masjid pada masa Rasulullah dan para sahabat
tidak memercikkan air apa pun.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Abu Daud).


Ada juga sebagian yang lain yang mengatakan tentang kesucian semua anggota tubuh anjing dan mengatakan, sesungguhnya dicucinya tempat yang dijilat anjing adalah masalah yang bersifat ibadah (ta'abbudi), yang hikmahnya hanya Allah yang tahu. Sedangkan yang wajib kita lakukan adalah mengamalkan apa yang ada di dalam nash walaupun kita tidak mengetahui hikmahnya. Ini adalah madzhab Imam Malik.

Imam Malik berhujah bahwa Allah membolehkan makan dari hasil buruan anjing tanpa memerintahkan kita untuk mencucinya. Sebagaimana yang Allah Ta'ala firmankan:
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad):
“Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu.
Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu
dan sebutlah nama Allah atasnya. [al-Maidah 5:04
Sedangkan saya sendiri (al-Qaradhawi) cenderung pada pendapat Imam Malik bahwa semua yang hidup adalah suci. Demikianlah juga dengan anjing. Dalam zatnya dia suci. Oleh sebab itulah dibolehkan bagi kita untuk memakan hasil buruannya. Dan perintah Nabi untuk mencuci apa yang dijilat anjing adalah sesuatu yang bersifat ta'abbudi. Sedangkan penemuan ilmu moden tentang sesuatu yang menyangkut air liur anjing bahwa di dalamnya ada penyakit-penyakit, kemungkinan penemuan selanjutnya akan lebih mengejutkan.
Sekian al-Qaradhawi.

Di atas merupakan pendapatnya yang terbaru, membatalkan pendapat beliau yang lama dalam kitab al-Halal wa al-Haram fi al-Islam.
Kesimpulannya, setiap pendapat memiliki dalil,hujah,dan pendalilan masing-masing. Fahamilah sebaik mungkin. Ambillah sesuatu pendapat itu berdasarkan kekuatan dalil.

Seterusnya terdapat tiga persoalan lanjut yang perlu dijelaskan:
Persoalan pertama:
Jika anjing tidak najis, haruskah kita mencuci jilatannya jika ia menjilat kita atau perkakas kita?
Penjelasan kepada persoalan pertama:
Jawapannya ya, berdasarkan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang menyuruh kita mencuci jilatan anjing. Kita mencucinya bukan kerana ia najis tetapi kerana taat kepada perintah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Persoalan kedua:
Apabila tersentuh jilatan atau air liur anjing, adakah cara menyucinya wajib dengan tujuh kali basuhan diawali dengan campuran tanah atau boleh dicuci dengan apa sahaja yang bersifat menyucikan?
Penjelasan kepada persoalan kedua:
Di sini para fuqaha berbeza pendapat sama ada boleh menggunakan sabun bagi menggantikan tanah. al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqh al-Thaharah, ms 61-63 menerangkan bahawa sebahagian fuqaha Syafi‘iyyah dan Hanabilah kontemporer membolehkan penggunaan sabun. Bahkan Mazhab Maliki mengatakan penggunaan tanah/debu adalah tidak wajib, ia sunnah sahaja.

Pendapat yang dipertengahan lagi mendekati hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ialah mencuci jilatan anjing dengan tujuh kali basuhan diawali dengan campuran tanah. Akan tetapi jika tidak ditemui tanah atau pada saat itu tidak sesuai untuk menggunakan tanah maka dibolehkan menggunakan sabun atau apa jua yang sifatnya menyucikan. Ini kerana mencuci jilatan anjing ialah duduk dalam bab ketaatan kepada perintah syari‘at dan ketaatan ini adalah berdasarkan kemampuan setiap individu berdasarkan kesenangan dan kesukaran yang dihadapinya. Jika menghadapi kesukaran untuk mentaatinya maka syari‘at memberi kelonggaran sekadar mana yang perlu. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu. [al-Taghabun 64:16]

Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Apa sahaja yang aku larang kamu daripadanya maka tinggalkanlah ia dan apa sahaja yang aku perintahkan kamu dengannya maka lakukanlah ia sedaya upaya kamu.( Fiqh al-Thaharah (edisi Indonesia atas judul yang sama; al-Kautsar, Jakarta 2004), ms. 21-22.)

Persoalan ketiga:
Bolehkah memelihara anjing sebagai haiwan kesayangan (pet)?
Penjelasan bagi soalan ketiga:
Jawapan kepada soalan ketiga boleh diperolehi dengan merujuk kepada hadith berikut:
Sesiapa mengambil anjing (sebagai peliharaan) kecuali anjing menjaga tanaman atau anjing menjaga ternakan atau anjing berburu maka setiap hari pahalanya berkurang satu qiraat.( Dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 1337. Rujuk juga Hadis 40 al-Imam al-Nawawi – hadis no: 9.) [Shahih Muslim – no: 1574].
Terhadap hadith di atas para fuqaha berbeza pendapat adakah haram atau makruh untuk memelihara anjing atas sebab-sebab selain menjaga kemaslahatan dan menolak kemudaratan. ( Artikel Hafiz Firdaus Abdullah Hukum Kenajisan Anjing: Kajian Satu Penilaian)
Kata alQardhawi(alHalal wal Haram fil Islam), hukum membela anjing sebagai pet (hobi) adalah haram, yakni diharamkan oleh Rasulullah saw. Dalilnya: Dari Sufyan bin Abu Zuhair, bahawa Nabi saw bersabda,” Barangsiapa mmelihara anjing bukan untuk menjaga ladang atau ternak, maka setiap hari pahalanya berkurangan satu qirath.” [Bukhari-Muslim dan semua ahli hadith yg lain] Inilah juga pendapat majoriti mazhab, antaranya Syafi’iy, Hambali, Maliki dan Zahiri ( alMajmuu’, IX/234).
Diambil dari Kitab Madjmusyarah Kitab Muhadzah Juz 9 Hal.23 oleh Imam Nawawi ), iaitu ; Tidak Boleh Memelihara Anjing, kecuali untuk Berburu, Menjaga Ternak Ternak / Tanaman atau Hal Semacam itu
Kata al-Qardhawi lagi, walaupun majoriti fuqaha’ mengatakan haram, hakikat sebenarnya Islam tidaklah melihat anjing dengan keras, kasar dan harus membunuhnya. Dalil: hadith Jabir ra, ” kalau bukan kerana anjing-anjing itu satu ummat di antara umat-umat yang lainnya, nescaya aku perintahkan membunuhnya. (HR atTermidzi dan Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani dalam Ghayatul Maram)
Rumusan:
1. Berdasarkan dalil-dalil yang banyak, maka pemeliharaan anjing sebagai hobi adalah dilarang oleh RasuluLlah saw dengan berita-berita yang tidak menggembirakan kepada pemeliharanya.
2. Walaupun anjing ditegah menjadi hobi, Islam tidaklah bersikap keras kepada anjing jika ada keperluan seperti unit anjing di jabatan kepolisian, menjaga ternakan dan tanaman.
Pada Al-Imam al- Syaukani, pendapat yang rajih (kuat) adalah makruh hukumnya, sebagaimana ulas al-Syaukani
Ini menjadi dalil atas kebolehan memelihara anjing atas sebab-sebab selain daripada apa yang disebut (dalam hadis di atas). Sesungguhnya ia tidak haram kerana sesuatu yang jika penggunaannya adalah haram ia tidak boleh digunakan dalam semua keadaan tak kira sama ada ia mengakibatkan pengurangan pahala atau tidak. Maka ini menunjukkan bahawa penggunaannya (memelihara anjing selain daripada tujuan menjaga tanaman, ternakan dan berburu) adalah makruh dan bukan haram.
Rumusan: Makruh hukumnya untuk memelihara anjing kecuali jika memiliki sebab-sebab yang tertentu demi menjaga kemaslahatan dan menolak kemudaratan. Adapun hikmah hukum makruh ini antara lain adalah kerana memelihara anjing akan menyebabkan malaikat rahmat menjauhi rumah kita, menimbulkan rasa takut kepada tetamu dan salakannya mengganggu ketenteraman jiran.( Nail al-Authar min Asrar Muntaqa al-Abrar (Dar al-Kitab al-‘Arabi, Beirut 2000), jld. 5, ms. 204.)

Persoalan empat: Hukum Menyentuh Anjing
Jawapan:
Menurut pandangan mazhab Shafie, sentuhan biasa ketika sama-sama kering tidak perlu dibasuh tujuh kali termasuk sekali dengan tanah. Ini kerana menurut Sayyid Sabiq, walaupun anjing itu najis, bulunya tidaklah sabit sebagai najis (Sabiq, 2000: I:19).
Jika tersentuh haiwan anjing kering sama kering, maka kita tidak wajib menyamak anggota kita yang terkenanya, tetapi jika haiwan berkenaan basah dan diri kita kering atau sebaliknya, maka wajib kita menyamak anggota yang terkena haiwan berkenaan. Ini menurut mazhab Syafie.
Hukum bersentuhan dengan orang yang menyentuh anjing yang basah
(1) Jika bersentuh pada lain dari tangan bekas menyentuh anjing atau pada tangannya yang telah kering pada masa bersentuh itu maka tidaklah mesti (wajib) disamak tangannya itu. Adapun bersentuh pada tangan yang masih basah lagi maka mestilah (wajib) disamak.
(2) Tidak batal wudhu dengan sebab bersentuh dengan orang yang menyentuh anjing itu walaupun pada masa basah kerana tidak termasuk didalam perkara-perkara yang membatalkan wudhu.
(Fatwa Negeri Kelantan 1993,M Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Datuk Haji Mohamad Shukri Bin Muhamad)(http://infad.usim.edu.my)

Wallahual'am.

Friday, October 9, 2009

Katakan Tak Nak


Baru-baru ini kerajaan telah mengambil langkah menaikkan harga rokok di pasaran. Bagi para perokok perkara serba sedikit memberi kesan kepada. Namun begitu,kami merasakan langkah ini bukanlah satu langkah penyelesaian yang terbaik kerana para perokok akan tetap merokok jua walau semahal mana pun harga rokok itu demi melepaskan ketagihan mereka.Tindakan penerangan,penyeragaman dan penguatkuasa fatwa di seluruh negara perlu dilaksanakan serta penutup kilang dan premis rokok secara menyeluruh mesti dijalankan. Dengan erti kata,kerajaan mengharamkan sama sekali penjual, pembeli,perniagaan,dan perusahaan rokok ini.
Kepada para perokok baca dan renungkanlah kata-kata para ulama dalam hal ini seperti berikut:
Hukum Merokok
Dalam masalah ini terdapat 2 pendapat iaitu:
1) Haram : Ulama kontemporari yang mengatakan demikain adalah Dar Al-Ifta Mesir, Lajnah Fatwa Saudi, Lajnah Fatwa Azhar, Seluruh ahli persidangan Mencegah rokok ( persidangan di Madinah pada 2-5 Mac 1982) , Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Sayyed Sabiq, Syeikh Ahmad Syurbasi, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaat, Syeikh Atiyyar Saqar. ( Akhbar al-Jumhuriyyah, 22 Mac 1979 ; Fatawa Muasiroh, 1/667; Al-Fatawa li Muhd Syaltut, Yasalunaka oleh Syurbasi dan Fiqh As-Sunnah


Ulama silam yang mengatakan haram pula adalah Syeikh muhd alauddin haskafi al-hanafi, syeikh sulaiman al-Bujairimi as-Syafie, Syeikh Mustafa ar-Rihbani, Syeikh Ibrahim al-Laqqani al-Maliki dan ramai lagi. (Al-hukm as-Syar'ir fi at-Tadhin, Kumpulan Ulama, Kementerian Kesihatan Sedunia, 1988, hlm 25-26)

Kumpulan ini semakin kuat mengharamkan apabila terdapat maklumat yang menyebut terdapat unsur arak dan racun di dalam rokok, maka ia adalah seperti darah dan bangkai yang diharamkan kerana unsur kotor dan racun ( seperti nikotin, tar, alcohol methnol, karbon monoksida, ammonia dan lain-lain ) yang terkandung di dalamnya. ( Abu Ubaidah al-Mashur, At-ta'liqat al-hisan dzayl tahqiq al-Burhan, hlm 28 ; Dr Abd Sabur as-Shahin, As-Sajayir Halalun am Haramun,hlm 34-35 )


Pada tahun 1962, Fakulti Perubatan Diraja Britain mengesahkan kesan buruk rokok terhadap kesihatan, pada tahun 1964 Fakulti Kedoktoran Amerika mengeluarkan satu kajian setebal 387 halaman dan diterbitkan kandungannya di akhbar yang menyebut "Merokok memudaratkan kesihatan secara pasti, ia juga menyebut "rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit membunuh " ( Rujuk Mahmud Nazim, At-Tibbun An-Nabawi Wal ‘Ilmi al-Jadid, 1/346 )

Maka dengan kenyataan-kenyataan ini Allah SWT menyuruh kita agar merujuk kepada ahli dalam sesuatu ilmu sebagaimana erti firman Allah SWT " Maka hendaklah kamu bertanya kepada yang berpengalaman" ( Al-Furqaan : 59 ) ; Justeru, pandangan pakar perubatan dalam hal ini tidak boleh diketepikan oleh para ulama dalam membuat sebarang fatwa.

Selain keburukan dari sudut kesihatan, ia juga boleh memudaratkan hubungan kemasyarakatan dengan sebab baunya yang kuat dan busuk. Hal ini tidak dibenarkan oleh Islam berdasarkan sabda Nabi SAW ertinya : " Tiada boleh memberi mudarat dan membalas mudarat" ( Riwayat Malik, 1/122; Ad-Dar Qutni, 4/228; Al-Hakim 2/66 ; Sohih kata Hakim, dan di atas syarat Muslim kata az-zahabi, Albani : Ia punyai banyak jalan yang menguatkan satu sama lain sehingga naik ke darjat Sohih)


Hadith lain pula menyebut : " Sesiapa yang memakan dari pokok ini , berkata bawang merah, bawang putih maka janganlah mendekati masjid-masjid kami, sesungguhnya (bau yang busuk) itu menyakiti Malaikat sebagaimana ia menyakiti manusia" ( Riwayat Al-Bukhari, KItab al-Azan, no 807 ; Muslim, Kitab Masajid wa Mawadi' as-Solat, no 876 )



2) Kumpulan yang Memfatwakan Harus atau Melihat secara tafsil (terperinci)

Ulama yang dipihak ini adalah Syeikh Abd Ghani an-Nablusi, Syeikh Muhd Amin Ibn ‘Abidin, Syeikh Hasanain Makhluf (berpendapat hukumnya secara terperinci menurut keadaan ), Syeikh Hasan Makmun.

Antara dalil mereka adalah asal segala sesuatu yang tidak mudarat adalah halal dan beberapa dalil yang lain. Bagaimanapun, kesimpulan dalil mereka adalah lemah kerana ia bersandarkan pandagan mereka tanpa maklumat berkenaan keburukan dari sudut perubatan pada zaman itu. Hasilnya mereka memberikan fatwa hanya berdasarkan bau asap rokok yang busuk dan menggangu, justeru, sudah tentu bau yang busuk sahaja tidak mampu menyebabkannya menjadi haram. Jelaslah pandangan mereka tidak mengambil kira maklumat baru perubatan.


Cuma Syeikh Al-Qaradawi di dalam Fatawanya (Fatawa muasiroh, 1/667) menjelaskan hukumnya berkata ( dengan pindaan ) :-

a- Sekiranya seorang perokok cuba sedaya upaya memberhentikan tabiat rokoknya, bagaimanapun ia gagal, maka ia patut terus mencuba dan diberikan uzur setakat yang ia gagal. Perlulah ia menghalang dari menyebarkan tabiatnya kepada orang lain.

b- Walaupun ianya haram, tapi tidaklah haramnya besar seperti zina, mencuri dan lain-lain dosa besar. Setiap perkara haram ada tahapnya di sisi Shariah, ada yang dikira dosa besar dan ada yang kecil. Dosa hasil rokok bolehlah di katakan termasuk dalam dosa kecil. Bagaimanapun perlu diingat, Ibn Abbas r.a menegaskan bahawa dosa kecil pasti menjadi besar apabila berterusan atau kesannya benar-benar memudaratkan. Kesimpulan Al-Qaradawi, rokok adalah haram secara pasti bagi yang belum merokok, dan makruh bagi sesiapa yang telah terjebak sehingga sukar untuk keluar darinya. Apa yang pasti, segala jenis usaha bagi memberhentikan aktiviti buruk ini mesti dicari segera. Firman Allah s.w.t:
ولا تلقوا بأيديكم الى التهلكة وأحسنوا ان الله يحب المحسنين
Maksudnya: "Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan"

Wallahu a'lam.